View Categories

Surah Ali-‘Imran : Ayat 45-51

SAYYIDAH MARYAM MENERIMA BERITA, TERKEJUT NAK DAPAT ANAK & SIFAT KEISTIMEWAAN NABI ISA AS.

Full video : https://youtu.be/UaFDhznf_tI?si=3fWh9Z6j1ai4oDUR

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 45 sehingga 51, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang ketiga.
  2. Dalam siri ini Allah SWT ceritakan tentang Sayyidah Maryam menerima berita akan mendapat seorang anak secara ajaib.
  3. Maryam begitu terkejut apabila tahu nak dapat anak tanpa ada suami atau bapa kepada bayi itu. 
  4. Kemudian Allah sebut beberapa sifat keistimewaan Nabi Isa AS.
  5. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat-ayat yang lepas ini Allah SWT telah menyebut kisah tentang Nabi Zakaria dan anaknya Nabi Yahya, juga tentang Sayyidah Maryam ibu kepada nabi Isa AS.

    ii- Maka dalam ayat ini, sesuailah sekarang tibalah kisah tentang Nabi Isa AS, bagaimana dia dilahirkan dengan penuh keajaiban & mukjizat yang nyata.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 45- {(INGATLAH) KETIKA MALAIKAT BERKATA: “WAHAI MARYAM! BAHAWASANYA ALLAH MEMBERIKAN KHABAR YANG MENGEMBIRAKANMU, DENGAN (MENGURNIAKAN SEORANG ANAK YANG ENGKAU AKAN KANDUNGKAN SEMATA-MATA DENGAN) KALIMAH DARIPADA ALLAH, NAMA ANAK ITU: AL-MASIH, ISA IBNI MARYAM, SEORANG YANG TERKEMUKA DI DUNIA DAN DI AKHIRAT, DAN IA JUGA DARI ORANG-ORANG YANG DIDAMPINGKAN (DIBERI KEMULIAAN DI SISI ALLAH).} (ALI-‘IMRAN 3:45)

  1. Allah mengingatkan (menceritakan) kepada Rasulullah SAW; apabila malaikat datang kepada Sayyidah Maryam dan memberikannya khabar gembira bahawa dia akan mendapat seorang anak. 
    Dia akan hamil semata-mata dengan perintah & kuasa Allah, tanpa disentuh oleh seorang lelaki atau suami!  Apabila Allah SWT kehendaki sesuatu itu ia akan berlaku.
  1. Firman Allah SWT tentang kisah ini juga:
    {Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam.  Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka menjadilah ia.} (A-li’Imraan 3:59)
  1. Anak itu akan datang dengan semata-mata dengan {بِكَلِمَةٍ} kalimah perintah dari Allah SWT iaitu: { كُن فَيَكُونُ- Jadi- maka jadilah!}.
  1. Isa digelar al-Masih {ٱلْمَسِيحُ} kerana beberapa sebab:
    i- Kakinya banyak melangkah atas muka bumi ini, maka telah banyak menyentuh bumi ini!

    ii- Tangannya mempunyai mukjizat. Apabila dia gosok/sapu orang yang sakit dengan tangannya, semua sembuh. Seperti orang buta, penyakit sopak, menghidupkan orang mati dan lain-lain.
    Ulama’ kata ada 50 pandangan tentang makna {ٱلْمَسِيحُ} ini.
  1. Satu lagi digelar al-Masih ialah Dajjal Al-Masih. Ia pula kerana:
    i- Dia boleh berjalan seluruh bumi dari timur ke barat dalam masa sehari sahaja! Maka ia dikatakan telah menyapu bumi ini {ٱلْمَسِيحُ}.

    ii- Kerana matanya hanya sebelah yang berfungsi. Sebelah lagi terjojol keluar seperti butir anggur & tidak dapat digunakan.
  1. Anak itu Allah berikan terus namanya, tidak perlu lagi ibunya Maryam memikirkannya: 
    {Nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam- ٱسْمُهُ ٱلْمَسِيحُ عِيسَى ٱبْنُ مَرْيَمَ}.
    Nabi Isa dibinkan kepada ibunya Maryam kerana dia tidak mempunyai bapa! 
    Jadi kita manusia yang ada bapa jangan bin/bintikan dengan ibu- itu salah mengikut adab & juga hukum! Kecuali anak yang lahir di luar nikah antara ibu & bapanya!
  1. Nabi Isa ini mempunyai kedudukan yang tinggi & mulia di dunia & Akhirat. Dia adalah seorang rasul & termasuk dalam 5 orang rasul yang ulul-azmi (mempunyai keazaman yang tinggi).
  1. Di Akhirat kelak dia juga mempunyai kelebihan kerana mempunyai kuasa syafaat untuk pengikutnya yang beriman kepada Allah SWT serta tempat yang tinggi dalam syurga!
    Nabi Isa juga salah seorang yang dekat dengan Allah SWT {المقربون}.
  1. Ini adalah kedudukan & kelebihan Nabi isa AS yang disebut oleh Allah SWT dalam ayat ini.
    i- Diciptakan dengan kalimah { كُن فَيَكُونُ- ‘kun fayakun’} bukan dengan air mani!  Yakni Allah berfirman: {Jadi! Maka jadilah!}

    ii- Diberi nama oleh Allah sendiri iaitu sebagai Isa, Al-Masih & putera Maryam.

    iii- Mempunyai kedudukan yang tinggi di dunia dan di akhirat.

    iv- Termasuk orang yang Muqarrabin, dekat dengan Allah Taala.

    v- Dapat memberi syafaat kepada kaumnya yang beriman

AYAT 46- {“DAN IA AKAN BERKATA-KATA KEPADA ORANG RAMAI SEMASA IA MASIH KECIL DALAM BUAIAN, DAN SEMASA IA DEWASA, DAN IA ADALAH DARI ORANG-ORANG YANG SOLEH.”} (ALI-‘IMRAN 3:46)

  1. Antara mukjizat nabi Isa ini juga:
    i- Dia dapat berkata-kata sewaktu bayi dalam buaian lagi kepada orang ramai.

    ii- Ini apabila Maryam bawa pulang anak tanpa bapa itu & seluruh kampungnya, orang ramai bising & tertanya.  Ibu Isa, Maryam tidak mahu berkata-kata bila ditanya tentang kehadiran bayi itu & hanya menunjukkan kepada anaknya. 

    iii- Maka nabi Isa yang masih bayi itu bercakap untuk membebaskan ibunya daripada tuduhan jahat itu dengan memberitahu bahawa: Aku adalah hamba Allah! Malangnya ada yang mendengar dia kata Aku adalah Tuhan! Lalu kaumnya terus bertukar; dari menuduhnya anak zina kepada anak tuhan pula! 
  1. Nabi Isa AS juga akan bercakap apabila dia tua nanti, ini kerana Nabi Isa masih hidup & berada di langit. 
    Apabila dia diturunkan semula ke bumi pada akhir zaman dekat Kiamat nanti, untuk menghadapi dajjal dia akan bercakap & berdakwah semula kepada manusia. Umur nabi Isa jika berdasarkan tahun masehi adalah 2024 tahun.
    Pada waktu dia turun nanti- entah berapa umurnya sehingga tiba hari Kiamat nanti. Wallahu a’lam.
  1. Untuk memperjelaskan lagi tentang kisah Nabi Isa ini boleh rujuk firman Allah SWT ini:
    {Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): “Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?” Ia menjawab:” Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.”Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka. Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)”.} (Maryam 19: 29- 33) 
  1. Nabi Isa AS ini adalah termasuk dari kalangan orang-orang yang soleh.

AYAT 47- {MARYAM BERKATA:” WAHAI TUHANKU! BAGAIMANAKAH AKU AKAN BEROLEH SEORANG ANAK, PADAHAL AKU TIDAK PERNAH DISENTUH OLEH SEORANG LELAKI PUN?” ALLAH BERFIRMAN; “DEMIKIANLAH KEADAANNYA, ALLAH MENJADIKAN APA YANG DIKEHENDAKINYA; APABILA IA BERKEHENDAK MELAKSANAKAN SESUATU PERKARA, MAKA IA HANYALAH BERFIRMAN KEPADANYA: ` JADILAH ENGKAU ‘, LALU MENJADILAH IA.”} (ALI-‘IMRAN 3:47)

  1. Apabila mendengar berita tersebut Maryam amat terkejut dan menyoal balik bagaimana dia nak dapat anak sedangkan tidak pernah berkahwin dengan mana-mana lelaki pun!
  1. Allah kata itu semua adalah dalam kuasa & ilmu Allah SWT yang mengatasi segalanya! Kamu terimalah anugerah Allah ini.
  1. Allah SWT mengulangi sekali lagi bahawa demikianlah keadaannya, apabila Allah SWT kehendaki sesuatu itu ia akan berlaku.  Hanya dengan kalimah perintah {بِكَلِمَةٍ} dari Allah SWT iaitu: { كُن فَيَكُونُ- Jadi- maka jadilah!}.

AYAT 48- {DAN ALLAH AKAN MENGAJARNYA ILMU MENULIS, DAN HUKUM-HUKUM ATURAN AGAMA, DAN JUGA KANDUNGAN KITAB-KITAB TAURAT DAN INJIL.} (ALI-‘IMRAN 3:48)

  1. Kelebihan Nabi Isa AS lagi adalah (yang keenam dari di atas):
    i- Allah mengajarnya ilmu menulis; yakni dia seorang Nabi yang boleh membaca & menulis. Ini kerana dia perlu membaca kitab Taurat yang telah ada di kalangan kaumnya.
    Nabi kita Muhammad SAW adalah seorang yang umiyy : Tidak membaca & tidak menulis.

    ii- Lalu dia diberi kefahaman tentang hukum-hukum aturan agama (Sunnah) yang ada dalam Taurat itu untuk diajar kepada pengikutnya. 

    iii- Juga diajar untuk memahami kandungan kitab : Taurat yang turun kepada nabi Musa dulu.

    iv- Dan diberikan kepadanya kitab Injil, ini khusus untuknya.

AYAT 49- {DAN (AKAN MELANTIKNYA) MENJADI SEORANG RASUL KEPADA BANI ISRAIL, (DENGAN MENEGASKAN KEPADA MEREKA): “SESUNGGUHNYA AKU TELAH DATANG KEPADA KAMU, DENGAN MEMBAWA SATU TANDA (MUKJIZAT) DARI TUHAN KAMU, IAITU AKU BOLEH MEMBUAT UNTUK KAMU DARI TANAH LIAT SEPERTI BENTUK BURUNG, KEMUDIAN AKU TIUP PADANYA LALU MENJADILAH IA SEEKOR BURUNG (YANG HIDUP) DENGAN IZIN ALLAH; DAN JUGA AKU BOLEH MENYEMBUHKAN ORANG YANG BUTA DAN ORANG YANG SOPAK, DAN AKU BOLEH MENGHIDUPKAN KEMBALI ORANG-ORANG YANG MATI DENGAN IZIN ALLAH; DAN JUGA AKU BOLEH MEMBERITAHU KEPADA KAMU TENTANG APA YANG KAMU MAKAN DAN APA YANG KAMU SIMPAN DI RUMAH KAMU. SESUNGGUHNYA PERKARA-PERKARA YANG DEMIKIAN ITU, MENGANDUNGI SATU TANDA (MUKJIZAT) BAGI KAMU (YANG MEMBUKTIKAN KEBENARAN BAHAWA AKU SEORANG RASUL YANG DIUTUS OLEH ALLAH KEPADA KAMU), JIKA KAMU ORANG-ORANG YANG (MAHU) BERIMAN.} (ALI-‘IMRAN 3:49)

  1. Kelebihan Isa juga (yang ketujuh) Allah telah melantiknya sebagai seorang rasul kepada bani Israil. Iaitu anak cucu nabi Ibrahim melalui nabi Ya’kub (Nabi Ya’kub itu sendiri yang dipanggil Israil) iaitu melalui jalur anaknya Ishaq AS.! 
    Jika keturunan Arab melalui jalur Ismail anak Ibrahim AS.
  1. Kemudian Allah SWT berikan kepada nabi Isa beberapa mukjizat iaitu:
    i- Boleh membentuk tanah liat menjadi seperti seekor burung kemudian meniupnya lalu menjadi seekor burung yang hidup dengan izin Allah;

    ii- Boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak,

    iii- Boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; bukan semua tetapi yang ada kes & keperluan di kalangan pengikutnya.

    iv- Dan juga boleh memberitahu kepada orang ramai tentang apa yang mereka makan dan apa yang simpan di rumah mereka. Yakni boleh mengetahui perkara yang tersembunyi!
  1. Allah beri semua mukjizat & kekuasaan yang pelik kepada nabi Isa AS ini sebagai ujian kepada manusia pada zamannya itu. Ini kerana ada manusia yang menganggapnya Tuhan atau anak Tuhan, maka mereka yang sesat ini akan bertambah percaya & kufur.
  1. Manakala bagi orang yang nak beriman, itulah tanda-tanda yang Allah beri. Mereka akan tahu bahawa mukjizat itu adalah dari kuasa Allah. Yang akan menambahkan keyakinan & keimanan mereka bahawa Nabi Isa adalah seorang rasul yang benar, yang diutus Allah SWT!

AYAT 50- {“DAN JUGA (AKU DATANG KEPADA KAMU IALAH UNTUK) MENGESAHKAN KEBENARAN KITAB TAURAT YANG DITURUNKAN DAHULU DARIPADAKU, DAN UNTUK MENGHALALKAN BAGI KAMU SEBAHAGIAN (DARI PERKARA-PERKARA) YANG TELAH DIHARAMKAN KEPADA KAMU; DAN JUGA AKU DATANG KEPADA KAMU DENGAN MEMBAWA SATU MUKJIZAT DARI TUHAN KAMU. OLEH ITU BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH DAN TAATLAH KEPADAKU.} (ALI-‘IMRAN 3:50)

  1. Mukjizat atau kelebihan nabi Isa lagi adalah:
    i- Mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripada Injil.

    ii- Dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian dari perkara-perkara yang telah diharamkan kepada kamu oleh bani Israil;

    iii- Dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu.
  1. Nabi Isa lalu berdakwah: Maka hendaklah kamu bertaqwalah kepada Allah dengan mengikut perintah-Nya & menjauhi larangan-Nya. Dan taatlah kepadaku dengan apa yang aku panggil & dakwah kamu!

AYAT 51- {“SESUNGGUHNYA ALLAH IALAH TUHANKU DAN TUHAN KAMU, OLEH ITU, BERIBADATLAH KAMU KEPADANYA. INILAH JALAN YANG LURUS”.} (ALI-‘IMRAN 3:51)

  1. Dakwah Nabi Isa lagi, jalan untuk bertaqwa itu ialah dengan menyembah Allah yang mencipta kita, yang beri rezeki kepada kita, Allah Tuhan aku & Tuhan kamu!
  1. Inilah jalan yang lurus yang boleh menyampaikan kepada keredhaan Allah & melayakkan kita ke syurga!  Bukan ikut jalan yang sesat seperti yang didakwa oleh yahudi & nasrani! 

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 45- {(Ingatlah) ketika malaikat berkata: “Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah,}-

    Antara hikmahnya ialah Allah berikan benda pelik ini secara berperingkat. 
    Tidak datang sekaligus dan mengejutkan.
    Iaitu sebagaimana mengikut susunan ayat:
    i- Kelebihan Maryam yang ajaib mendapat rezeki dari Allah tanpa perlu berusaha.

    ii- Lahirnya nabi Yahya dari ibu bapa yang sudah tua & mandul.

    iii- Kemudian Allah bawa cerita yang lebih pelik dan menakjubkan iaitu lahirnya seorang bayi, Nabi isa AS tanpa seorang bapa! Allah anugerahkan kepada Maryam seorang anak mengikut cara yang ajaib & menakjubkan sebagaimana kuasa Allah SWT. Ia bukan pilihan & kuasa manusia!  Hanya dengan satu kalimah “Kun Fayakun”- Jadilah-maka jadilah. Kelahiran Nabi Isa AS amat banyak kelebihan dan ia anugerah Allah SWT untuknya.
  1. Ayat 45- {(Ingatlah) ketika malaikat berkata: “Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah,}-

    Allah beri khabar gembira kepada Maryam dengan satu kalimah khas {بِكَلِمَةٍۢ} dari Allah SWT!
    Kerana biasanya apabila kalimah nakirah (tanpa alif & lam) ia adalah untuk umum, tetapi dalam kes ini ialah adalah kalimah yang khusus & khas dari Allah SWT untuk kejadian Nabi Isa AS.
    Sebagaimana dalam firman Allah sebelum ini, telah disebut 3 kali perkataan {كُن فَيَكُونُ} dalam ayat yang berkait dengan Nabi Isa AS:
    i- {Allah berfirman; “Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya; apabila Ia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Ia hanyalah berfirman kepadanya: ` Jadilah engkau ‘, lalu menjadilah ia.”} (Ali’ Imran: 47)

    ii- {Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka menjadilah ia.} (A-li’Imraan 3:59)

    iii- {Yang demikian sifat-sifatnya itulah Isa Ibni Maryam. Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya. Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Ia. Apabila menetapkan jadinya sesuatu perkara, maka hanyalah Ia berfirman kepadanya: “Jadilah engkau”, lalu menjadilah ia.} (Maryam 19: 34-35)
  1. Ayat 45- {nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat,}-

    Dalam ayat ini Allah menyebut tiga sekaligus nama & gelaran kepada nabi isa AS. Kenapa?
    i- Ianya bertujuan membezakan dengan orang lain. Namanya yang sebenar ialah Isa manakala gelaran al-Masih suatu darjat untuk Nabi Isa AS menerangkan tentang kelebihan & mukjizatnya.

    ii- Apabila nak perkenalkan Nabi Isa AS Allah sebut tiga namanya iaitu:
    i- al-Masih (ٱلْمَسِيحُ)- sifatnya yang berjalan atas bumi & sapu dengan tangannya.

    ii- Isa (عِيسَى) sebagai namanya yang khas.

    iii- Anak kepada Maryam (ٱبْنُ مَرْيَمَ) kerana dia tiada bapa.

    Kenapa pula digunakan gelaran al- Masih (ٱلْمَسِيحُ) dulu? 
    Jawapan : Kerana gelaran itu memberi satu darjat kebaikan yang tinggi. Seperti gelaran (الصديق- As-Siddiq) kepada Sayyidina Abu Bakar dan (الفاروق- al-Faruq) kepada Sayyidina Umar r.a.

    Maka Allah sebut gelaran dulu untuk menunjukkan kemuliaan & ketinggian kedudukan Nabi Isa AS! 
    Seperti kitalah : Tok Imam, tok Bilal, tok Qadhi dan seumpamanya.
  1. Ayat 46- {“Dan ia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa ia masih kecil dalam buaian, dan semasa ia dewasa,}-

    Untuk menyatakan bahawa Nabi isa itu bercakap secara ajaib sebanyak dua kali iaitu:
    i- Sewaktu dia bayi bercakap kepada penduduk kampungnya untuk membersihakan tuduhan jahat terhadap ibunya!

    ii- Dia akan bercakap pada waktu umurnya sudah tua iaitu waktu dia turun dari langit pada akhir zaman kelak, pada waktu itu penduduk kampungnya sudah tidak ada lagi! 
    Nabi Isa akan berdakwah mengajak manusia kepada Al-Quran, bukan Injil lagi. Kerana Al-Quran & Nabi Muhammad SAW adalah rasul & kitab yang terakhir.
  1. Ayat 50- {Dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.}-

    Yakni nabi Isa memberitahu kepada kaumnya dengan ulang balik ayat ini:
    i- Jika kamu tengok aku hebat, ada mukjizat, ada keajaiban; maka itu semua bukan aku punya, semua itu adalah tanda-tanda & kekuasaan yang Allah SWT beri kepada aku!  

    ii- Seperti mukjizat menghidupkan orang mati, menyembuhkan orang buta & penyakit kulit, menghidupkan burung dari tanah liat & tahu perkara ghaib.

    iii- Dari sudut hukum pula banyak perkara yang diharamkan oleh bani Israil sebelum ini telah dihalalkan kembali oleh nabi Isa AS dengan perintah dari Allah Azza wa Jalla.
    Yakni Nabi Isa menegaskan bahawa segala keistimewaan dan mukjizat yang dianugerahkan kepadanya, semuanya datang dari Allah SWT.
    Dia hanyalah pelaksana tanda-tanda kekuasaan yang Allah beri itu!
    Setiap nabi ada mukjizatnya & setiap orang ada karamahnya, cuma ada yang menonjol & ada yang tidak diketahui!  
    Cuma kita tidak tahu untuk membezakannya mungkin ia benda karamah atau ada benda (الخزعبلات) iaitu benda rekaan yang karut marut, mungkin yang guna sihir dan seumpamanya.
    Maka kita berhati-hatilah dengan benda pelik-pelik agar jangan sehingga memberi kesan buruk kepada keimanan, aqidah & tawakkal kita kepada Allah SWT!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran. 
Wallahu A’lam

Powered by BetterDocs