View Categories

Surah Ali-‘Imran : Ayat 59-63

KEAJAIBAN NABI ISA SEPERTI ADAM AS, PELAWAAN MUBAHALAH DENGAN NASARA & KISAH BENAR DARI QURAN.

Full video : https://youtu.be/wyCMaLvd8Go?si=MKpdvPX3d-Zkut8f

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 55 sehingga 9, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang ketiga.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa keajaiban Nabi Isa. Di sisi Allah adalah seperti kejaiban Adam AS, dengan beberapa siri perbandingan dinyatakan.
  1. Dikisahkan juga bahawa sekumpulan Nasrani dari Najran datang mahu berdebat dengan Rasulullah SAW lalu Rasulullah SAW pelawa mereka bermubahalah- iaitu kemukan hujjah kemudian bersumpah.
  1. Allah juga nyatakan bahawa semua kisah & khabar yang disampaikan kepada Rasulullah SAW dari Al-Quran ini adalah kisah benar.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah sebut tentang kisah Nabi Isa & ibunya Maryam. 
    – Sebahagian kaumnya beriman dengan Nabi Isa dan isytihar untuk menjadi pembantunya. 
    – Manakala sebahagian lagi adalah penentang yang tegar bahkan mahu membunuhnya!
    – Terdapat juga kumpulan ketiga- yang tidak menentang tetapi tidak juga beriman dengan iman benar kerana mereka telah kalah dengan ujian yang Allah beri dalam penciptaan Nabi Isa AS. 

    Mereka percaya yang Allah masukkan roh-Nya ke dalam Maryam lalu mereka melampau dalam memuja Nabi Isa dan mendakwanya Tuhan atau anak Tuhan.

    ii- Jadi dalam ayat ini Allah SWT mahu menolak kepercaayan mereka itu- dengan mambawa hujjah- pelik apa dengan nabi Isa yang tiada bapa tetapi ada ibu- sedangkan Nabi Adam lebih ajaib lagi; Allah ciptanya tanpa ibu & bapa. Untuk menyedarkan dan menyentap pihak Kristian yang salah iktiqad.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 59- {SESUNGGUHNYA PERBANDINGAN (KEJADIAN) NABI ISA DI SISI ALLAH ADALAH SAMA SEPERTI (KEJADIAN) NABI ADAM. ALLAH TELAH MENCIPTAKAN ADAM DARI TANAH LALU BERFIRMAN KEPADANYA: “JADILAH ENGKAU!” MAKA MENJADILAH IA.} (ALI-‘IMRAN 3:59)

  1. Allah nyatakan bahawa kejadian Nabi Isa yang mereka anggap pelik adalah sama seperti kejadian Nabi Adam!
  1. Sedangkan Adam dicipta tanpa ibu & bapa- Allah ciptanya dari tanah liat kemudian berfirman: “Jadilah engkau!” maka menjadilah ia. {كُن فَيَكُونُ}.
  1. Maka jika kamu boleh terima keajaiban & kepelikan ciptaan Adam AS maka kenapa kamu tidak boleh terima akan keajaiban ciptaan nabi Isa, sedangkankan kejadian Adam adalah lebih ajaib! 

AYAT 60- {PERKARA YANG BENAR IALAH YANG DATANG DARI TUHANMU. MAKA JANGAN SEKALI-KALI ENGKAU MENJADI DARI ORANG-ORANG YANG RAGU-RAGU.} (ALI-‘IMRAN 3:60)

  1. Allah berfirman lagi- bahawa semua yang dinyatakan Allah dalam Al-Quran seperti tentang Nabi Isa AS adalah sartu kebenaran! Bukan seperti kaum yahudi yang mengatakan Nabi Isa adalah anak tak sah taraf atau dakwaan nasrani bahawa Isa adalah anak Tuhan!
    Keduanya adalah pegangan yang sesat & menyeleweng- satu melampau ke kiri, yang saru lagi terlalu melampaui ke kanan! 
  1. Maka janganlah kamu menjadi orang yang syak & ragu-ragu dengan apa yang Allah khabarkan ini! 
    Jika tidak ia bermakna kamu tidak beriman & tidak yakin dengan apa yang Allah bawa!

AYAT 61- {KEMUDIAN SESIAPA YANG MEMBANTAHMU (WAHAI MUHAMMAD) MENGENAINYA, SESUDAH ENGKAU BEROLEH PENGETAHUAN YANG BENAR, MAKA KATAKANLAH KEPADA MEREKA: “MARILAH KITA MENYERU ANAK-ANAK KAMI SERTA ANAK-ANAK KAMU, DAN PEREMPUAN-PEREMPUAN KAMI SERTA PEREMPUAN-PEREMPUAN KAMU, DAN DIRI KAMI SERTA DIRI KAMU, KEMUDIAN KITA MEMOHON KEPADA ALLAH DENGAN BERSUNGGUH-SUNGGUH, SERTA KITA MEMINTA SUPAYA LAKNAT ALLAH DITIMPAKAN KEPADA ORANG-ORANG YANG BERDUSTA”.} (ALI-‘IMRAN 3:61)

  1. Ayat ini bermulalah episod mubahalah- iaitu Mubahalah dilakukan ketika terjadi perbezaan dan perbalahan di antara dua orang atau lebih; masing-masing menolak dalil dan hujah yang dikemukakan oleh pihak lain. 
    Untuk memperoleh kejelasan dalam perbalahan itu, maka kedua-dua pihak berdoa (bermubahalah) kepada Allah SWT agar pihak yang batil (salah) di antara keduanya menarik diri sehingga kebenaran dizahirkan atau berdoa yang dilakukan dengan sungguh-sungguh untuk memohon jatuhnya laknat Allah SWT ke atas siapa yang berdusta.
  1. Allah nyatakan sesiapa yang sudah dapat ilmu & pengetahuan yang jelas bahawa Nabi Isa AS adalah hamba Allah & Rasul-Nya, tetapi masih mahu nak berlawan nak berbalah nak menegakkan kepercayaan & pegangan batil mereka itu; maka katakan kepada mereka si nasrani dari Najran yang mahu berdebat itu: Bawa semua kaum keluarga kamu- anak isteri dan semuanya kita bawa berkumpul lalu kita bersumpah dan berdoa kepada Allah agar melaknat sesiapa yang berbohong & tidak betul!
  1. Kisah dalam hadis:
    i- Riwayat dari Said bin Abi Waqas r.a; Apabila ayat ini diturunkan Rasulullah SAW memanggil Ali, Fatimah dan dua anak mereka Hasan & Husin dan bawa dalam pertemuan bersama rombongan Najran. Baginda pun berkata: Wallahi ini adalah keluarga aku! Jika aku berdoa (yakni doa mubahalah itu), maka kamua aminkannya.”[HR Muslim]. 

    ii- Huzaifah meriwayatkan ada dua orang pembesar nasrani dari Najran iaitu Al-Aqib & Sayyid datang untuk bermubahalah, nak mencabar Rasulullah SAW dan sanggup bersumpah laknat bahawa Isa itu adalah anak Tuhan! Maka Rasulullah SAW sanggup nak sahut cabaran.
    Namun, salah seorang dari keduanya takut & bimbang untuk melakukan mubahalah kerana mereka tahu & sedar jika Muhammad itu benar adalah seorang Nabi, sedangkan mereka bermubahalah dengannya, mereka dan anak cucunya nanti akan dilaknat Tuhan & tidak akan bahagia selamanya. Mereka berbincang antara keduanya. Akhir sekali mereka ambil keputusan tidak mahu mubahalah, dan sanggup duduk bawah pemerintahan Islam dan bayar jizyah (ufti). Mereka minta Rasulullah SAW hantarkan seorang yang jujur (amin) untuk mengutip jizyah (cukai). 
    Lalu Rasulullah saw. berkata kepada mereka, “Aku akan mengutus bersama kamu seseorang yang benar-benar jujur & sangat amanah.”
    Pada saat itu setiap sahabat sangat ingin dirinyalah yang akan ditunjuk & dipilih oleh Baginda. Bukan kerana mereka inginkan jawatan tetapi mahu tazkiyah & perakuan besar yang diberikan oleh Nabi SAW itu! Kemudian Rasulullah SAW berkata kepada Abu Ubaidah, Amir bin Al-Jarrah r.a: “Wahai Abu Ubaidah, berdirilah kamu untuk pergi bersama mereka.” Ketika Abu Ubaidah berdiri, maka Rasulullah SAW. berkata, “Ia adalah amin umat ini.”
     [HR Bukhari &Muslim].
  1. Rasulullah SAW telah memilih Abu Ubaidah Al-Jarrah sebagai seorang yang jujur, amanah & yang berintergiti. 
    Ini adalah satu tazkiyah (perakuan) yang besar dari Nabi SAW. bukan bermakna sahabat lain tidak amanah tetapi Abu Ubadidah dipilih untuk ke Najran bersama nasrani itu!
  1. Kisah dari Kitab Sirah; Pada Tuhan ke-9 Hijrah terdapat sekumpulan kaum Nasrani Najran seramai 60 orang datang ke Madinah.
    Najran, sebuah kota yang dulunya berada di barat daya Arab Saudi, dekat dengan sempadan negara Yaman. Sekarang sudah masuk ke dalam negara Arab Saudi.
    Daripada 60 orang itu terdapat 14 orang pembesar yang bakal mewarisi pemerintahan Najran.  
    Kabilah itu dipimpin oleh tiga orang pembesar mereka iaitu Al-Aqib sebagai ketua rombongan yang amat dihormati, As-Sayyid yang bertanggung-jawab dalam urusan keagamaan dan Abdul Harith sebagai sebagai pengatur perjalanan.
    Mereka sampai di Madinah, masuk dalam masjid dan solat menghadap ke pihak timur.
    Kedatangan mereka disambut baik oleh Nabi Muhammad SAW dan umat Islam lainnya.
    Rasulullah SAW telah menyatakan kebenaran Islam & berdakwah di hadapan mereka dan mengajak kaum tersebut untuk memeluk Islam.
    Baginda juga menyatakan bahawa Nabi Isa AS adalah makhluk dan hamba Allah SWT dan sesungguhnya Nabi Isa AS telah menyampaikan berita gembira tentang kenabian Baginda SAW.
    Tetapi mereka menolak kebenaran & ajaran dakwah Rasulullah. 
    Kemudian, Nasrani Najran terlibat dalam perdebatan dengan kelompok muslim dalam pelbagai isu. 
    Mereka berani sebarkan dakyah mereka walaupun datang ke rumah orang- menyatakan kepercayaan mereka bahawa Isa adalah Tuhan atau anak tuhan! 
    Lalu turunlah ayat Al-Quran ini Allah perintahkan Rasulullah SAW untuk bermubahalah dengan mereka! 
    Bahkan Rasulullah SAW sudah bersedia memulakannya dengan bawa keluarganya iaitu Ini menunjukkan keyakinan Rasulullah SAW bahawa apa yang dipegangnya itu benar!
    Manakala nasrani itu teraga-agak & bimbang kerana jauh di sudut harti mereka, mereka tahu akan kebenaran Rasulullah SAW! 
    Akhirnya mereka tarik diri tak jadi bermubahalah kerana tidak yakin pun akan kebenaran pegangan mereka! 
    Akhirnya mereka sanggup untuk membayar jizyah dan kisah seterusnya sama seperti di dalam hadis di atas.

AYAT 62- {SESUNGGUHNYA INI IALAH KISAH-KISAH YANG BENAR; DAN TIADALAH TUHAN (YANG BERHAK DISEMBAH) MELAINKAN ALLAH; DAN (INGATLAH), SESUNGGUHNYA ALLAH, DIA LAH JUA YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (ALI-‘IMRAN 3:62)

  1. Allah nyatakan bahawa apa yang diceritakan kepada Rasulullah SAW tentang nabi Isa AS bahawa dia adalah seorang Rasul & hamba Allah adalah satu cerita benar! 
  1. Semua cerita menyalahi kisah yang Allah nyatakan dalam Al-Quran ini adalah karut semuanya tidak kira sama ada ia dari Bible, Injil, Taurat atau kitab apa sekalipun!
  1. Allah beri peringatan lagi: {Ingatlah sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} Maka tiada siapa boleh komen, kritik & menyalahinya kerana ia datang dari Allah Azza wa Jalla!

AYAT 63- {KEMUDIAN KALAU MEREKA BERPALING (ENGGAN MENURUT), MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH SENTIASA MENGETAHUI AKAN ORANG-ORANG YANG BERBUAT KEROSAKAN.} (ALI-‘IMRAN 3:63)

  1. Allah beri amaran keras jika mereka masih berdegil, berkeras kepala, enggan menerima kebenaran Islam terus menjadi makhluk perosak di atas muka bumi ini!
  1. Maka Allah akan ambil tindakan ke atas mereka, membalasnya jika mereka Syirik;’ mereka akan kekallah di dalam neraka selamanya!
  1. Ini semua adalah ayat mubahalah : Doa laknat terhadap sesiap yang tidak percaya bahawa Nabi Isa adalah hamba Allah bahkan mendakwanya sebagai Tuhan atau anak Tuhan!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 59- {Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam… }-

    Di sini Allah SWT ajar jika sesiapa yang ada hujjah dalam isu yang sama, jika ada maklumat & hujjah yang lebih mantap maka kita kemukakan hujjah yang sama dengannya.
    Sebagaimana dalam kes ini nasrani mendakwa Isa adalah anak Tuhan atau Tuhan sendiri kerana kejadian/kelahirannya yang pelik. 
    Maka kita bawa kejadian nabi Adam yang lebih pelik & ajain daripadanya! 
    Timbul beberapa isu pula di sini:
    i- Bagaimana kita nak bandingkan antara Nabi Adam & Nabi Isa sedangkan Adam tiada ibu & ayah manakala Isa hanya tidak ada ayah saja?

    Jawapan: 
    ii- Jika kita kata sesuatu atau seseorang itu ada persamaan tidak bermakna persamaan atau bandingan itu 100%. Cuma ada mesh- loghat Kelantan yang bermaksud (match), yang dapat kita kenal & cam walaupun tidak sama 100%.

    Adam & Isa tidak sama 100%, tetapi ada benda pelik yang sama antara kedua-duanya iaitu tiada bapa & Allah jadikan mereka dengan berfirman: Jadilah maka jadilah! {قَالَ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ}

    iii- Jika kamu kata Isa pelik kerana tiada bapa; maka Adam lebih pelik & lebih mencarik adab daripada Nabi Isa! 
    Isa ada juga satu ibu, membesar sebagai janin dalam rahim ibunya untuk beberapa lama sebelum dilahirkan seperti manusia lain juga!
    Sedangkan Adam tidak ada terus ibu atau bapa!

    Sama seperti beberapa persoalan tentang tauhid yang kita terlepas pandangannya iaitu apabila ada orang yang berdebat dalam ayat sifat:
    i- Kenapa kita boleh terima bahawa sifat Allah Maha Mendengar & Maha Melihat, Maha berkata- kata. 
    Kenapa tidak pelik Allah mendengar serta apabila ditanya bagaimana & dengan apa kerana terus boleh jawab bahawa: {لَيْسَ كَمِثْلِهِ} – Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya, dan pentadbiran-Nya).

    ii- Tetapi kenapa ada orang yang tidak dapat menerima apabila baca & dengar hadis Nabi SAW yang sahih ini:
    ” يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ , يَقُولُ “
    Tuhan kami turun ke langit dunia setiap malam pada sepertiga akhir malam. [HR Bukhari & Muslim].

    Bahkan mengatakan orang yang berpegang & menerima (isbat) dengan ayat sebagai mereka yang mujassimah iaitu mengatakan Allah berjisim, menyamakannya dengan makhluk! 
    Ini adalah satu tuduhan yang mengatakan orang itu kafir walaupun tidak secara jelas!
    Kenapa tidak digunakan sekatan ini bagi sifat ini juga???? Iaitu: {لَيْسَ كَمِثْلِهِ}- Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya, dan pentadbiran-Nya).
    Kenapa jika boleh terima sifat yang di atas tetapi tidak boleh diterima yang dibawah? Sedangkan Rasulullah SAW sendiri yang menyatakannya! 
    Bahkan pandai-pandai menanyakan Allah turun dengan apa, apakah dengan tangga dan seumpamanya???? 
    Begitulah apabila guna otak saja dalam benda ghaib, benda yang Allah & Rasulullah telah sebut, tetapi kita masih nak lawan, maka ia akan menjadi susahlah!
    Marilah kita belajar, buka minda lapangkan dada, cuba kita fikir, kenapa kita terima sifat ini tetapi tolak tolak sifat yang lain????
  1. Ayat 59- {Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka menjadilah ia.}-

    Allah nyatakan kejadian Nabi Adam yang amat ajaib- Allah ciptanya daripada tanah liat, buat dulu bentuknya kemudian Allah berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka menjadilah ia.
    Ayat ini menunjukkan bahawa penciptaan Nabi Adam AS adalah dengan kuasa Allah SWT!
    Allah cipta Nabi Adam kemudian ajar nama-nama semua benda kepada Nabi Adam AS.
    Yakni Allah arahkan malaikat buat dulu bentukkan dulu Adam kemudian barulah Allah berfirman: {كُن فَيَكُونُ} Jadilah engkau!” maka menjadilah ia.
    Sama seperti penciptaan Nabi Isa AS; Allah juga berfirman: “Jadilah engkau!” maka menjadilah ia. Tanpa perlu kepada air mani seorang bapa, semuanya itu adalah dengan kuasa Allah SWT!
  1. Ayat 60- {Perkara yang benar ialah yang datang dari Tuhanmu. Maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari orang-orang yang ragu-ragu}-

    kita jangan syak, ragu & waswas lagi. Kerana apabila sesuatu itu datang dari Allah & sahih dari Rasulullah SAW; maka kita menerima & beriman dengannya!
    Para sahabat apabila mereka tidak faham mereka terus bertanya kepada Rasulullah SAW, bukan kerana mereka tidak yakin tetapi kerana mahu memperkukuhkan keyakinan mereka! 
    Kita ini tak faham pun tak tanya, apatah lagi jika sudah rasa faham! 
    Akhirnya buat kesimpulan sendiri itu lagi dahsyat!
    Apabila kita yakin dengan sesuatu perkara; kita kena jazam (iaitu tetap teguh) jangan ragu-ragu lagi! Jangan biarkan kecelaruan minda sehingga terjebak kepada fahaman seperti muktazilah & seumpamanya!
    Sebagaimana kita yakin dengan hukum hudud yang Allah bawa seperti dalam Al-Quran seperti rejam, potong tangan dan lain-lain! 
    Perkara yang Allah & Rasul-Nya bawa kita yakin bukan lebih percaya kepada buatan oleh orang lain sesama manusia!
    Syariah yang Allah turunkan bukan undang-undang yang direka sebagaimana undang-undang orang putih! 
    Jika kita orang Islam sendiri pun tidak yakin dengan hukum Allah bagaimana kita nak meyakinkan orang lain???!!

    Sebuah kitab yang menarik untuk dibaca:
    الشريعة الإلهية لا القوانين الوضعية – (Syari’ah Dari Allah : Bukan undang-undang Ciptaan Manusia) Susunan : عمر بن سليمان الأشقر  

    Sejarah : Pandangan bapa kepada Abu Anas, almarhum TG Hj Abdul Rahman yang berbeza sikap dengan orang lain. Dia berpesan kepada anak-anaknya agar tidak berkerja dengan mahkamah Syari’ah atau yang seumpamanya selagi undang-undang Syari’ah yang sepenuhnya seperti hudud tidak dilaksanakan dengan sepenuhnya dalam Perlembagaan Malaysia!

    Alhamdulillah sehingga ke hari ini pesanannya masih lagi tidak langgar oleh seorang pun anak cucunya. Jangan kecam; ini pandangan beliau rahimahullah!
    Perjuangan kita nak menegakkan undang-undang Syari’ah yang asli yang ori sebagaimana dalam Al-Quran & hadis!
  1. Ayat 61- {Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar,}-

    Setelah datang kepada kamu maklumat yang jelas & dalil yang mantap barulah boleh pergi berhujjah dengan orang lain! 
    Allah pesan khas : {مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَكَ مِنَ ٱلْعِلْمِ – sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar,}.
    Yakni kena ada ilmu yang mantap dulu baru boleh berdebat, jika tidak Islam akan kalah & dipersalahkan! 
    Yakni setelah ada ilmu yang mantap & hujjah yang kemas barulah boleh nak berlawan hujjah dengan orang kafir!
    Jika tidak kita yang akan tewas & terpengaruh pula dengan hujjah & pegangan mereka- seperti Syi’ah apatah dengan lagi agama lain seperti Kristian.
    Jangan biarkan anak-anak kita yang tiada ilmu yang mantap untuk berlawan berdebat dengan bukan Islam; sedangkan mereka ada skuad khas yang telah dilantik untuk berbahas dan menyebarkan dakyah agama mereka! 
    Jangan sampai anak-anak kita pula yang kecundang- Wal-‘iyazu billah!
    Ayat ini juga mengajar bahawa harus kita minta mubahalah jika kita yakin 100% dengan ilmu & hujjah kita & pihak lawan itu pula amat degil dan keras kepala dengan hujjah mereka yang kita yakin & tahu juga batil & sesat. 

    Syarat mubahalah:
    i- Kita kena yakin dengan kebenaran ilmu & pegangan kita.

    ii- Kita yakin dengan kesalahan & kebatilan hujjah & pegangan mereka.
  1. Ayat 61- {maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”.}-

    Apabila nak mubahalah Allah perintahkan untuk setiap pihak bawa keluarga masing-masing seperti isteri & anak-anak sekali! 
    Kenapa begitu? Apakah hikmahnya arahan ini?

    Jawapan:
    Ini kerana biasanya pihak yang bertegas tidak mahu terima Islam & kebenaran ini adalah kerana hubbu ad-dunia- cintakan dunia. 
    Dunia itu pula bermula dari sayangkan keluarga seperti anak isteri!
    Sumpah laknat ini akan kena kepada semua kaum keluarga maka ia dapat menjadikan mereka tak berani & berfikir panjang dulu untuk bersumpah laknat ini! Jika kita binasa habis anak cucu zuriatnya jug akan kena!
    Syarat untuk sumpah laknat mubahalah (المباهلة) ini hanyalah dalam isu yang besar sahaja seperti isu Aqidah.

    Manakala satu lagi sumpah laknat yang khas ialah antara suami & isteri dan dipanggil mula’anah (ملاعنة):
    i- Bagi suami yang tidak mahu mengaku bahawa anak dalam kandungan isterinya adalah anaknya! 

    ii- Bagi isteri untuk bersumpah bahawa anak yang dikandungnya itu adalah anak suaminya!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.
Wallahu A’lam

Powered by BetterDocs