SERUAN TAUHID KEPADA AHLI KITAB, DAKWAAN MEREKA TENTANG IBRAHIM & HAKIKAT AGAMA IBRAHIM AS.
Full video : https://youtu.be/3f6dvPArBwI?si=tl7SmiFVmsBI1GPQ
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 64 sehingga 68, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang ketiga.
- Dalam ayat ini Allah nyatakan tentang seruan tauhid tepada ahli Kitab, iaitu ajak mereka masuk Islam, agar mereka akan selamat!
- Ayat ini juga menolak dakwaan mereka tentang Ibrahim yang dikatakan beragama yahudi atau nasrani seperti mereka.
Sedangkan jika ikut fakta sejarah pun jelas ia satu dakwaan yang batil.
- Allah juga nyatakan dengan tegas bahawa hakikat agama Nabi Ibrahim AS. ialah Islam. Semua para nabi & rasul agama mereka adalah satu iaitu Islam!
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah membawa ayat-ayat Al-Quran sebagai hujjah yang menolak dakwaan nasrani yang mengatakan Nabi Isa sebagai Tuhan.
ii- Dalam ayat ini Allah panggil ahli kitab yahudi & nasrani kepada asas agama yang disepakati oleh semua nabi & rasul-rasul AS iaitu tauhid kepada Allah, menolak segala bentuk syirik dan mengikut agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim; kerana agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim ialah Islam bukan yahudi atau nasrani.
Maka jika kamu betul-betul ikhlas & mahu maka marilah kita berada di atas landasan yang satu!
iii- Ayat yang lepas juga menolak hujjah ahli kitab tetapi malangnya walaupun kalah & hujjah mereka tidak ada, akhirnya nasrani dari Najran telah memilih kehinaan, tidak mahu menerima Islam & tetap berada dalam kekufuran dengan membayar jizyah kepada pemerintah Islam.
iv- Tetapi Rasulullah SAW tetap mahu mereka beriman & terus berdakwah agar mereka menganut agama Islam- sedangkan jika dikira keuntungan atau nak duit; kaum muslimin telah mendapat keuntungan dari jizyah ufti yang mereka bayar!
Tetapi bukan itu matlamatnya- pertama masuk Islam, jika tak mahu bayar jizyah, jika mereka tidak menerima & menolak semuanya, maka perang solusinya.
Tiada paksaan untuk masuk agama Islam jika masih kafir; tetapi jika sudah memeluk Islam tidak boleh lari dari mengikuti ajaran Islam & mengikut segala perintah Allah.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 64- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “WAHAI AHLI KITAB, MARILAH KEPADA SATU KALIMAH YANG BERSAMAAN ANTARA KAMI DENGAN KAMU, IAITU KITA SEMUA TIDAK MENYEMBAH MELAINKAN ALLAH, DAN KITA TIDAK SEKUTUKAN DENGANNYA SESUATU JUA PUN; DAN JANGAN PULA SEBAHAGIAN DARI KITA MENGAMBIL AKAN SEBAHAGIAN YANG LAIN UNTUK DIJADIKAN ORANG-ORANG YANG DIPUJA DAN DIDEWA-DEWAKAN SELAIN DARI ALLAH”. KEMUDIAN JIKA MEREKA (AHLI KITAB ITU) BERPALING (ENGGAN MENERIMANYA) MAKA KATAKANLAH KEPADA MEREKA: “SAKSIKANLAH KAMU BAHAWA SESUNGGUHNYA KAMI ADALAH ORANG-ORANG ISLAM”.} (ALI-‘IMRAN 3:64)
- Allah perintahkan kepada Rasulullah SAW untuk berdakwah kepada ahli kitab yahudi & nasrani untuk bersatu bersama atas satu kalimah tauhid.
Tauhid inilah ajaran yang Allah turunkan kepada semua para rasul & nabi-nabi.
- Firman Allah SWT:
i- {Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.} (Al-Nahl 16:36)
ii- {Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: “Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu”} (Al-Anbiyaa’ 21:25)
- Kemudian ditafsir & dihuraikan kalimah {سَوَآءٍۭ} dengan tiga penjelasan:
i- Wajib murnikan tauhid kita kepada Allah SWT. ibadat kita hanya menyembah kepada Allah sahaja bukan kepada yang selain-Nya.
ii- Jangan syirik, sekutukan Allah SWT kepada sesuatu apapun dalam semua perkara. Sama ada kepada malaikat, rasul, nabi, wali-wali, patung berhala dan apa saja makhluk!
iii- Jangan taat kepada manusia dalam menggubal hukum tentang halal-haram!
Kita kembalikan hukum ini kepada Allah dengan merujuk Al-Quran dan hadis serta huraiannya mengikut tafsiran para sahabat, Salafus-Soleh, imam-imam & ulama’ yang muktabar.
- Bukan kita suruh ambil Al-Quran & hadis lalu tafsirkan dengan kepala otaknya sendiri!
Inilah yang boleh menimbulkan kecelaruan & kesesatan, seperti wanita boleh jadi imam solat untuk lelaki.
Serta mereka didakwa kononnya punca mereka jadi begitu kerana berpegang dengan Al-Quran & Hadis.
Inilah analisis yang karut & tidak betul!
Allahu al-Musta’an.
- Allah jelaskan ayat ini dengan firman-Nya:
{Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.} (At-Taubah 9:31)
- Maksud أَرْبَابًا dalam ayat ini adalah ulama’ dan ahli ibadat.
Lalu apabila mendengar ayat ini, ahli kitab berhujah bahawa mereka tak sujud pun kepada ulama’-ulama’ mereka itu.
Mereka sangka maksudnya ‘sembah’ itu hanya dengan sujud/ibadat sahaja.
- Hadis: Inilah hujah yang diberikan oleh Adi bin Hatim, seorang sahabat yang asalnya adalah Kristian.
Beliau kata, dalam agama Nasara, mereka tidak menjadikan rahib dan pendeta mereka sebagai tuhan.
Tapi Rasulullah SAW menjelaskan bahawa maksudnya mereka ikut fatwa dan hukum-hakam yang dikeluarkan oleh para pendeta mereka, sedangkan hukum & fatwa itu tidak sama dengan kitab suci mereka.
Mereka halalkan apa yang Allah haramkan serta sebaliknya lalu kamu ikut! Itulah maksudnyanya kamu sembah (ikut) mereka.
Barulah Adi bin Hatim r.a faham lalu terbuka hatinya untuk masuk agama Islam. [HR at-Tirmizi dan lain-lain; sanadnya baik]
- Kita hari ini pun hati-hatilah jangan sedap sangat rasa yakin itu tidak ada, ini kami tidak buat sedangkan ia adalah sesuatu yang boleh membawa syubhah!
- Kemudian Allah nyatakan jika orang kafir tetap tidak mahu menerima; kita orang Islam mesti tegas menyatakan pendirian kita, maklumkan pegangan kita, buat pengakuan bahawa kita sesungguhnya orang Islam yang akan berpegang teguh dengan agama tauhid ini!
Mesti bertegas bahawa hanya agama Islam yang benar & semua agama lain tertolak!
AYAT 65- {WAHAI AHLI KITAB! MENGAPA KAMU BERANI MEMPERDEBATKAN TENTANG (AGAMA) NABI IBRAHIM, PADAHAL TAURAT DAN INJIL TIDAK DITURUNKAN MELAINKAN KEMUDIAN DARIPADA (ZAMAN) IBRAHIM; PATUTKAH (KAMU BERDEGIL SEHINGGA) KAMU TIDAK MAHU MENGGUNAKAN AKAL?} (ALI-‘IMRAN 3:65)
- Katakan kepada ahli kitab itu bahawa dakwaan yang mereka berani katakan itu; bahawa nabi Ibrahim adalah seorang yahudi atau seorang nasrani!
Ia adalah sesuatu yang batil, tidak benar & tidak logik mengikut fakta sejarah & pemikiran akal yang waras!
- Ini kerana nabi Ibrahim diutuskan sebelum bangkitnya Nabi Musa & Nabi Isa AS, serta kedua kitab ini diturunkan selepas wafatnya nabi Ibrahim dengan jarak masa yang jauh!
Mereka itu adalah anak cucu Nabi Ibrahim, yang lahir dari keturunannya.
i- Bahkan bani Israil adalah berasal dari nabi Ya’kub bin Ishaq, seorang cucu Nabi Ibrahim, yang digelar Israil- dialah Israil dan anak cucu keturunannya digelar Bani (anak-anak) Israil!
ii- Agama nasrani boleh tercetus selepas turunnya Injil.
Injil pula turun kepada Nabi Isa selepas Taurat!
Bagaimana seorang datuk boleh ikut agama cucu cicitnya, yang tidak ada pada zaman hidupnya?
Sesuatu yang amat tidak logik akal!
- Kita cerdikkan masyarakat kita dengan fakta bukan dengan auta!
Jangan jadi seperti orang yang bertanya : Apakah Nabi kita Muhammad SAW juga bermazhab Syafei RHM??? Sedangkan Imam Syafei dilahirkan pada tahun 150H, iaitu selepas 140 Tuhan Nabi kita wafat!
- Atas dunia ini hanya dua; sama ada berfakta atau auta! Jadi kita berusaha untuk memandaikan umat kita dengan fakta.
Contoh : Ibadat kita, di mana sandarannya?
Ini hadis, ini kata imam Syafei dan seumpamanya.
Barulah kita yakin & ada dalil. Jangan asal nabi tak larang apa salahnya!
Dalam ibadat jangan buat benda pelik.
- Allah tutup ayat ini dengan bertanya apakah kamu mahu terus berdegil sehingga kamu tidak mahu menggunakan akal????
Apakah kamu tidak berfikir bahawa perkataan kamu itu tidak betul???
Jika kamu gunakkan akal kamu tidak akan kata seperti apa yang kamu katakan ini!
Inilah akibtanya jika bercakap tak tengok kiri kanan!
AYAT 66- {INGATLAH! KAMU INI ORANG-ORANG (BODOH), KAMU TELAH MEMAJUKAN BANTAHAN TENTANG PERKARA YANG KAMU ADA PENGETAHUAN MENGENAINYA (YANG DITERANGKAN PERIHALNYA DALAM KITAB TAURAT), MAKA MENGAPA KAMU MEMBUAT BANTAHAN TENTANG PERKARA YANG TIDAK ADA PADA KAMU SEDIKIT PENGETAHUAN PUN BERSABIT DENGANNYA? DAN (INGATLAH), ALLAH MENGETAHUI (HAKIKAT YANG SEBENARNYA) SEDANG KAMU TIDAK MENGETAHUINYA.} (ALI-‘IMRAN 3:66)
- Ini menunjukkan orang yang bodoh tidak menggunakan akal- degil & keras kepala- lawan tetap lawan walaupun mereka tahu apa yang mereka ingkarkan itu adalah kebenaran yang nyata serta mereka tiada hujjah & pengetahuan tentangnya!
- Apa yang{kamu tidak mengetahuinya} : Iaitu tentang agama nabi Ibrahim, mereka tidak ada ilmu & hujjahpun tentangnya hanya mendakwa & mengaku tanpa dalil!
- Manakala {perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya} adalah apa yang mereka sudah tahu; ada ilmu pengetahuan & maklumat tentang kebenaran agama Islam & Rasulullah SAW yang disebut secara jelas dalam kitab Taurat yang mereka baca!
- Yakni manusia yang keras kepala kerjanya; ada ilmu atau tidak, ada fakta atau tidak mereka tetap mahu berhujjah & berdebat!
Apa yang dia tahu dia lawan, apa yang dia tidak tahupun dia tetap lawan! Inilah orang yang degil & keras kepala!
- Kerana itu jangan layan orang yang suka berdebat & buat provokasi- jika tidak mereka akan bertambah besar kepala dan naik tocang!
Biarkan sehingga mereka kebosanan dan akan senyap sendiri.
- Allah beri peringatan & penegasan sekali lagi bahawa Allah mengetahui hakikat yang sebenarnya, sedang kamu tidak mengetahuinya.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT: {أَمْ تَقُولُونَ إِنَّ إِبْرَٰهِـۧمَ وَإِسْمَـٰعِيلَ وَإِسْحَـٰقَ وَيَعْقُوبَ وَٱلْأَسْبَاطَ كَانُوا۟ هُودًا أَوْ نَصَـٰرَىٰ}
{“Atau patutkah kamu mengatakan, bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub beserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani, (padahal agama mereka telahpun ada sebelum adanya agama Yahudi atau agama Kristian itu)?”} (Al-Baqarah 2:140)
AYAT 67- {BUKANLAH NABI IBRAHIM ITU SEORANG PEMELUK AGAMA YAHUDI, DAN BUKANLAH IA SEORANG PEMELUK AGAMA KRISTIAN, TETAPI IA SEORANG YANG TETAP DI ATAS DASAR TAUHID SEBAGAI SEORANG MUSLIM (YANG TAAT DAN BERSERAH BULAT-BULAT KEPADA ALLAH), DAN IA PULA BUKANLAH DARI ORANG-ORANG MUSYRIK.} (ALI-‘IMRAN 3:67)
- Dengan tegas Allah mengatakan dalam ayat suci ini bahawa; Nabi Ibrahim adalah seorang Muslim, yang tetap di atas dasar Tauhid serta {حَنِيفًۭا مُّسْلِمًۭا} taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah!
- Allah juga menafikan bahawa : Nabi Ibrahim bukan seorang musyrik seperti yahudi yang mendakwa Uzair adalah anak Tuhan atau seperti kaum nasrani yang mengatakan Isa anak Tuhan pula!
- Nabi Ibrahim adalah Abul-Hunafa’ yang mendokong gerakan memurnikan tauhid kepada Allah SWT semata-mata! Maka sesiapa yang dakwa Ibrahim adalah yahudi atau nasrani semua itu mengarut tidak berpegang kepada fakta & dalil!
- Ibrahim sekarang sudah menjadi rebutan antara yahudi & nasrani.
Maka siapakah yang sebenarnya yang paling layak mengaku & mewarisi agama nabi Ibrahim ini?
AYAT 68- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG HAMPIR SEKALI KEPADA NABI IBRAHIM (DAN BERHAK MEWARISI AGAMANYA) IALAH ORANG-ORANG YANG MENGIKUTINYA DAN JUGA NABI (MUHAMMAD) INI SERTA ORANG-ORANG YANG BERIMAN (UMATNYA – UMAT ISLAM). DAN (INGATLAH), ALLAH IALAH PELINDUNG DAN PENOLONG SEKALIAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (ALI-‘IMRAN 3:68)
- Allah nyatakan orang yang paling layak bercakap tentang Ibrahim & paling berhak membela Nabi Ibrahim ialah orang mengikut agamanya.
Iaitu Rasulullah- nabi Muhammad SAW, serta orang yang beriman dengannya iaitu kita semua para pengikut Baginda SAW kaum muslimin semuanya!
- Di akhir ayat Allah beri jaminan bahawa Allah ialah Pelindung dan Penolong bagi sekalian orang-orang yang beriman.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 64- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu,}-
Allah perintahkan kepada Rasulullah SAW untuk berdakwah menyeru puak ahli kitab itu kepada kalimah tauhid yang satu iaitu iaitu bersatu atas dasar tauhid.
Apabila Allah SWT mulakan ayat dengan {قُلْ}- katakan; maka ia satu perintah, maka Rasulullah SAW ambil perhatian yang berat maka kita ummatnya juga mestilah ambil perhatian juga!
Kalimah (كَلِمَةٍۢ) dalam bahasa Arab ialah satu ayat yang lengkap seperti:
i- Kalimah syahadah ialah: اشهد ان لا اله الا الله واشهد ان محمد رسول الله
ii- Manakala {كَلِمَةٍۢ سَوَآءٍۭ}- Kalimah yang bersamaan ialah; kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengan-Nya sesuatu jua pun.
Sebenarnya kalimah yang betul ialah kalimah Islam sahaja- tetapi kerana kita nak ajak yahudi, nak ajak nasrani kita katakan kepada mereka seolah kita ada satu kalimah (point) yang sama iaitu point tauhid kepada Allah SWT!
Apabila mereka sudah bersetuju berbincang bersama maka kita perbetulkan fahaman mereka yang salah itu!
Jangan gopoh, dari awal terus bangkang & tuduh mereka salah, kita berlembut dulu kerana kita nak pegang kepala, nak pegang isu & menjinakkan mereka untuk mendengar dakwah kita.
- Ayat 64- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah”}-
Asas kalimah {كَلِمَةٍۢ سَوَآءٍۭ} itu ialah terletak pada tiga isu ini:
i- Kita semua tidak menyembah melainkan Allah,
ii- Dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun;
iii- Dan jangan mengambil akan sebahagian sesama manusia untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah.
Iaitu jangan jadikan para pendeta & rahib sebagai mereka yang layak membuat hukum di antara kamu, bahkan hukum yang bertentangan dengan hukum Allah!
Persoalan : Kenapa Allah SWT sebut tiga perkara ini dalam pertembungan kita dengan nasrani?
Jawapan : Ini kerana kaum nasrani mengumpulkan ketiga-tiga sifat ini lalu ayat ini terpakai kepada mereka itu:
i- Mereka dakwa mereka ikut Nabi Isa tetapi mereka syirik kepada Allah.
ii- Mereka menyekutukan ibadat kepada Allah dengan anggap Isa anak Tuhan atau Tuhan sendiri pula!
iii- Mereka pula ikut pendeta mereka yang menghalalkan apa yang haram & mengharamkan apa yang halal!
Maka ayat ini terpakai kepada nasrani yang terkumpul 3 sifat ini ke atas mereka.
Rasulullah SAW melarang mengambil pandangan pendeta-pendeta tanpa ada dalil Syar’i.
Sebagaimana mazhab puak Syi’ah Rafidhah: Apa saja yang imam-imam 12 mereka katakan; maka ia akan menjadi sebahagian daripada agama!
Tidak begitu : Kita ahli Sunnah tidak begitu!
i- Jika seorang imam atau tok guru besar sekalipun, jika mengatakan sesuatu amalan itu baik untuk dibuat; kita wajib tanya dari mana sumber diambil perkara itu, di mana sandarannya?
ii- Jika dari Al-Quran atau Sunnah Nabi SAW yang sahih, yang jelas kita akan terimanya.
iii- jika mereka katakan benda baik apa salahnya nak buat, walaupun Nabi SAW tak buat tetapi Baginda tidak melarangnya! Inilah yang kita nak perincikan.
Masyhur dikatakan bahawa Imam Syafei telah berkata : Sesiapa yang buat satu benda dalam agama kemudian berkata: kerana benda itu baik maka apa salahnya kita buat; maka seseorang itu telah dikira sebagai telah membuat satu Syari’ah dalam agama!
Betul benda baik dalam bab adat-istiadat boleh kita buat; tetapi dalam isu ibadat wajib ada sandaran Syari’ah!
- Ayat 64- {Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”.}-
Jika mereka berpaling menolak ajakan & dakwah ini maka kita kena bertegas & isytiharkan akan keislaman kita!
Orang Islam mesti berbangga dengan agamanya!
Orang yang sembunyikan kepala hanya nampak ekor, maka itu adalah orang lemah jiwa, lemah pendiriannya!
Depan orang kafir lain cakapnya penuh kelembutan & toleransi tetapi di depan orang Islam pula dengan tegas laung bahawa kita ini orang beriman!
Kita isytiharkan pengakuan bahawa kita beragama Islam, istihar bahawa kita tetap akan beriman serta hanya agama Islam yang benar & diterima Allah SWT!
- Ayat 65- {padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada (zaman) Ibrahim; patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal?}
Ulama’ kata ayat ini menggalakkan kita untuk belajar fakta & ilmu sejarah!
Kerana ia dapat menolak dakwaan yang batil dan tidak bertepatan dengan fakta atau hakikat yang sebenar.
Banyak isu-isu yang kita boleh tolak dengan sebab sejarah!
i- Bagaimana Ibrahim boleh jadi pengikut mereka yahudi & nasrani sedangkankan Ibrahim telah lama wafat sebelum diutuskan nabi Musa yang diturunkan kitab Taurat kepadanya.
ii- Serta Nabi Isa yang masih belum lahir juga!
Contoh juga dari satu kenyataan yang popular satu masa dulu :
i- Wanita mempunyai 9 nafsu & satu akal manakala lelaki sebaliknya! Dikatakan kata-kata ini diambil daripada hasil perdebatan antara Imam al-Hasan al-Basri dengan seorang ahli ibadat wanita iaitu Rabiatun Adawiyah!
ii- Setelah dilihat dalam kitab sejarah terbukti bahawa: al-Hasan al-Basri basri meninggal pada tahun 110 manakala Rabiah lahir pada tahun 100H.
Maka tidak logik seorang kanak-kanak perempuan yang baru beumur 9 tahun, sudah menjadi janda & berdebat dengan seorang imam yang besar!
Maka kepercayaan wanita punya 9 nafsu manakala lelaki hanya ada satu itu adalah karut semuanya.
Maka ia hanya dua; sama ada sejarah kita berfakta atau sejarah kita telah kena auta!
- Ayat 66- {maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya?}-
Allah tegur puak yahudi & nasrani kenapa kamu berani mari berdebat & berhujjah dalam perkara yang kamu tidak tahu & tidak ada ilmu!
Ayat ini melarang kita daripada berdebat & berbahas tanpa ilmu & hujjah yang mantap!
Jika nak juga kita kena buat kajian dulu, cari ilmu mantapkan maklumat; barulah kamu boleh pergi berdebat- inilah yang dipegang oleh para ulama’.
Di akhir ayat Allah kata hanya Nabi Muhammad SAW & orang mukmin yang ada hak untuk membela & bercakap tentang Nabi Ibrahim AS kerana agama kita berasal dari sumber yang satu iaitu dari Allah SWT!
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.
Wallahu A’lam