MUAMALAT AHLI KITAB, ADA YANG JUJUR, ADA PENGKHIANAT & SEBAB MENGHALALKAN KHIANAT.
Full video : https://youtu.be/Grx3tou9DDM?si=ilpLOW70Vyb-1cAm
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 75 sehingga 76, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang ketiga.
- Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang muamalat dengan ahli kitab, ada yang baik & jujur, ada pengkhianat yang tidak jujur.
- Lalu Allah nyatakan sebab mereka menghalalkan perbuatan khianat mereka. Mereka berhujjah seolah tindakan yang mereka buat itu betul & benar serta mendapat keizinan Allah!
- Munasabah ayat dengan yang sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang khianatnya kaum yahudi di Madinah dengan melakukan pelbagai angkara terhadap orang Islam dengan tujuan memesongkan iman mereka! Seperti beriman pada waktu pagi kemudian keluar murtad semula pada waktu petangnya.
ii- Maka dalam ayat ini pula Allah terangkan sifat segolongan lagi yahudi yang menipu & memakan hak orang Islam semasa berjual-beli atau mengguruskan amanah & hutang piutang!
- Inilah dua kezaliman yang dilakukan oleh yahudi iaitu:
i- Yahudi ini khianat dari sudut dunia, iaitu dari sudut muamalat dengan menghalalkan penipuan & khianat mengambil harta orang.
ii- Dari sudut agama mereka juga jahat dengan menyembunyikan kebenaran, putar belit ayat-ayat Allah & sembunyikan fakta yang nyata dalam kitab terdahulu!
iii- Mereka rasa mereka betul jadi boleh buat sewenang-wenangnya terhadap orang yang beriman.
Sikap sombong dan takabbur mereka ini kerana merasakan diri mengatasi seluruh kaum lain.
Inilah satu kezaliman yang amat besar
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 75- {DAN DI ANTARA AHLI KITAB, ADA ORANG YANG KALAU ENGKAU AMANAHKAN DIA MENYIMPAN SEJUMLAH BESAR HARTA SEKALIPUN, IA AKAN MENGEMBALIKANNYA (DENGAN SEMPURNA) KEPADAMU, DAN ADA PULA DI ANTARA MEREKA YANG KALAU ENGKAU AMANAHKAN MENYIMPAN SEDINAR PUN, IA TIDAK AKAN MENGEMBALIKANNYA KEPADAMU KECUALI KALAU ENGKAU SELALU MENUNTUTNYA. YANG DEMIKIAN ITU IALAH KERANA MEREKA MENGATAKAN: “TIDAK ADA JALANNYA KAMI MENANGGUNG DOSA MENGENAI ORANG-ORANG YANG UMMI DAN, MEREKA PULA SELALU BERKATA DUSTA TERHADAP ALLAH SEDANG MEREKA MENGETAHUI (BAHAWA MEREKA ADALAH BERDUSTA).} (ALI-‘IMRAN 3:75)
- Allah nyatakan bahawa ada antara ahli kitab (yahudi & nasrani) itu yang jujur & amanah apabila diberi amanah yang besar.
Terdapat sebuah kisah tentang seorang lelaki dari kalangan bani israil (ahli kitab) yang sangat amanah & bertawakkal kepada Allah.
- Allah nyatakan di sini- Qintor {قِنطَارٍۢ}- yang bermaksud harta dalam jumlah yang besar.
Sebagaimana kisah dalam ayat seribu dinar, yang mengajak manusia untuk bertakwa & bertawakkal kepada Allah.
- Hadis- daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW:
أَنَّهُ ذَكَرَ رَجُلاً مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ سَأَلَ بَعْضَ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنْ يُسْلِفَهُ أَلْفَ دِينَارٍ فَقَالَ ائْتِنِي بِالشُّهَدَاءِ أُشْهِدُهُمْ فَقَالَ كَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا قَالَ فَأْتِنِي بِالْكَفِيلِ قَالَ كَفَى بِاللَّهِ كَفِيلاً قَالَ صَدَقْتَ فَدَفَعَهَا إِلَيْهِ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى.
Baginda menceritakan bahawa terdapat seorang lelaki dari kalangan Bani Israil yang meminta sebahagian Bani Israil meminjamkannya wang 1000 Dinar. Pemberi hutang telah berkata kepadanya: “Bawakanlah padaku beberapa orang saksi, supaya aku dapat memegang kesaksiannya”. Lelaki itu menjawab: “Cukuplah Allah sebagai saksiku”. Pemberi hutang berkata lagi: “Bawakanlah kepadaku seorang penjamin”. Lelaki itu menjawab lagi: “Cukuplah Allah sebagai penjaminku”. Pemberi hutang pun berkata: “Benarlah apa yang kamu katakan”. Lalu pemberi hutangpun memberikan wang pinjaman itu dengan syarat masa yang telah disepakati.
فَخَرَجَ فِي الْبَحْرِ فَقَضَى حَاجَتَهُ ثُمَّ الْتَمَسَ مَرْكَبًا يَرْكَبُهَا يَقْدَمُ عَلَيْهِ لِلأَجَلِ الَّذِي أَجَّلَهُ فَلَمْ يَجِدْ مَرْكَبًا فَأَخَذَ خَشَبَةً فَنَقَرَهَا فَأَدْخَلَ فِيهَا أَلْفَ دِينَارٍ وَصَحِيفَةً مِنْهُ إِلَى صَاحِبِهِ ثُمَّ زَجَّجَ مَوْضِعَهَا ثُمَّ أَتَى بِهَا إِلَى الْبَحْرِ.
Lelaki yang berhutang pun memulakan perjalanan merentasi lautan. Setelah dia menyelesaikan urusannya, dia mencari kenderaan untuk dinaiki bagi bertemu pemberi hutang kerana masanya telah suntuk. Namun, dia tidak menemui sebarang kenderaan. Lantas dia mengambil sebatang kayu lalu melubangkannya. Dia masukkan ke dalam kayu tersebut wang sebanyak 1000 Dinar dan sepucuk surat kepada pemberi hutang. Kemudian dia menutup lubang tersebut dan pergi ke lautan.
، فَقَالَ : اللَّهُمَّ إِنَّكَ تَعْلَمُ أَنِّي كُنْتُ تَسَلَّفْتُ فُلاَنًا أَلْفَ دِينَارٍ فَسَأَلَنِي كَفِيلاً فَقُلْتُ كَفَى بِاللَّهِ كَفِيلاً فَرَضِيَ بِكَ وَسَأَلَنِي شَهِيدًا فَقُلْتُ كَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا فَرَضِيَ بِكَ وَأَنِّي جَهَدْتُ أَنْ أَجِدَ مَرْكَبًا أَبْعَثُ إِلَيْهِ الَّذِي لَهُ فَلَمْ أَقْدِرْ وَإِنِّي أَسْتَوْدِعُكَهَا فَرَمَى بِهَا فِي الْبَحْرِ حَتَّى وَلَجَتْ فِيهِ ثُمَّ انْصَرَفَ وَهْوَ فِي ذَلِكَ يَلْتَمِسُ مَرْكَبًا يَخْرُجُ إِلَى بَلَدِهِ.
Dia berdoa: “Ya Tuhanku! Sesungguhnya engkau mengetahui bahawa aku telah meminjam wang 1000 Dinar dari seseorang. Dia meminta penjamin dariku, lalu aku katakan: ‘Cukuplah Allah sebagai penjaminku’. Dia merestui jaminanmu. Dia meminta pula seorang saksi, lalu aku katakan: ‘Cukuplah Allah sebagai saksiku.’Dia merestui penyaksianmu. Aku telah bersungguh-sungguh mencari kenderaan supaya aku dapat melunasi hutangnya, namun aku tidak mampu menemui sebarang kenderaan. Oleh itu, aku titipkan wang ini kepadamu”. Lalu dia melontar kayu tersebut ke laut sehingga ia menjauh. Kemudian lelaki itu beredar dari situ. Sementara itu, dia mencari kenderaan untuk kembali ke negerinya.
فَخَرَجَ الرَّجُلُ الَّذِي كَانَ أَسْلَفَهَ يَنْظُرُ لَعَلَّ مَرْكَبًا قَدْ جَاءَ بِمَالِهِ فَإِذَا بِالْخَشَبَةِ الَّتِي فِيهَا الْمَالُ فَأَخَذَهَا لأَهْلِهِ حَطَبًا فَلَمَّا نَشَرَهَا وَجَدَ الْمَالَ وَالصَّحِيفَةَ
Suatu hari, lelaki yang memberi hutang keluar melihat kalau-kalau ada kenderaan yang membawa hartanya. Tiba-tiba dia melihat kayu yang berisi wang tersebut. Dia pun mengambilnya untuk diberikan kepada keluarganya sebagai kayu bakar. Apabila dia membelah kayu tersebut, dia pun berjumpa duit dan sepucuk surat.
ثُمَّ قَدِمَ الَّذِي كَانَ أَسْلَفَهُ فَأَتَى بِالأَلْفِ دِينَارٍ فَقَالَ وَاللَّهِ مَا زِلْتُ جَاهِدًا فِي طَلَبِ مَرْكَبٍ لآتِيَكَ بِمَالِكَ فَمَا وَجَدْتُ مَرْكَبًا قَبْلَ الَّذِي أَتَيْتُ فِيهِ قَالَ هَلْ كُنْتَ بَعَثْتَ إِلَيَّ بِشَيْءٍ قَالَ أُخْبِرُكَ أَنِّي لَمْ أَجِدْ مَرْكَبًا قَبْلَ الَّذِي جِئْتُ فِيهِ قَالَ فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ أَدَّى عَنْكَ الَّذِي بَعَثْتَ فِي الْخَشَبَةِ فَانْصَرِفْ بِالأَلْفِ الدِّينَارِ رَاشِدًا
Setelah itu, orang yang berhutang telah kembali lalu memberi 1000 Dinar. Lantas berkata: “Demi Allah! Aku sentiasa bersungguh-sungguh mencari kenderaan, dengan harapan semoga wangmu sampai kepadamu. Namun aku tidak dapat menjumpai sebarang kenderaan sebelum aku dapat sampai ke sini”. Pemberi hutang bertanya: “Adakah kamu mengutuskan sesuatu kepadaku?” Peminjam berkata: “Aku telah memberitahumu bahawa aku tidak dapat menjumpai sebarang kenderaan sebelum ini, sehinggalah aku dapat sampai kepadamu sekarang”. Pemberi hutang berkata: “Sesungguhnya Allah telah menyampaikan apa yang engkau utuskan dalam sebatang kayu. Maka kembalilah bersama 1000 Dinar kamu dengan sebaik-baiknya”. (HR Al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, bilangan: 2291)
- Ada juga dari kalangan mereka ahli kitab yang walaupun hanya sedikit harta yang diamanahkan kepada mereka, walaupun hanya sedinar; susah sangat untuk mengembalikannya!
Sehingga si tuan punya harta terpaksa meminta-minta semula haknya!
- Allah nyatakan kenapa mereka jadi jahat begitu.
Ini kerana:
i- Mereka menyangka mereka adalah bangsa yang terpilih & disayangi Allah manakala kaum Arab ini adalah bangsa yang yang bodoh tidak diberi ilmu pengetahuan, tidak membaca & tidak tahu menulis juga (orang-orang yang Ummi).
ii- Maka adalah halal untuk mereka mengambil harta orang lain yang tiada ilmu tanpa hak, perbuatan mereka tidak berdosa, tidak salah, Allah halalkan bagi mereka.
iii- Hujjah yang sama beginilah yang digunakan oleh mereka ketua-ketua yang mengamalkan ajaran sesat. Mereka boleh buat semua yang diharamkan.
- Mereka juga membuat pendustaan, pembohongan & dakwaan palsu ke atas Allah SWT! Yakni mereka kata Allah halalkan untuk mereka tipu & khianat orang Arab!
Bohong dengan manusia adalah satu dosa; bohong dengan Allah lagilah satu dosa yang amat dahsyat!
- Dari ayat ini Allah SWT ajar kepada kita untuk insof & adil.
Atas dunia ini, dalam mana-mana kumpulan manusia pasti ada yang amanah & telus dan ada yang tidak jujur khianat, tidak amanah, tidak “jjuruh” kata orang Kelantan.
Kerana itu kita kena insof (adil) dalam menilai sesuatu isu atau seseorang. Jangan mudah menjatuhkan hukuman dengan pukul rata atau berdasarkan apa yang kamu dengar saja- kena siasat & kaji (tabayyun) dulu.
AYAT 76- {BAHKAN (MEREKA BERDOSA MEMAKAN HAK ORANG, KERANA), SESIAPA YANG MENYEMPURNAKAN JANJINYA (MENGENAI HAK ORANG LAIN) DAN BERTAQWA, MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH MENGASIHI ORANG-ORANG YANG BERTAQWA.} (ALI-‘IMRAN 3:76)
- Dalam ayat ini Allah menolak balik hujjah mereka itu!
Bukanlah keadaan ini sebagaimana dakwaan mereka yang mendustakan Allah SWT itu! Orang yang memakan hak orang tetap berdosa walaupun siapa mereka!
- Apa yang dikatakan oleh yahudi dan nasara adalah dusta semata-mata.
Sudah tertulis dalam kitab Taurat, Injil & Al-Quran tentang perjanjian dengan Allah.
- Perjanjian kita dengan Allah adalah:
i- Tauhid beriman semata kepada Allah.
ii- Ibadat mengikut apa yang disyariatkan Allah SWT.
iii- Melakukan ibadat ikut oleh Sunnah Nabi SAW.
iv- Integriti dengan sesama manusia; amanah, tidak khianat & tipu serta telus dalam kerja & tanggung-jawab.
- Sesungguhnya Allah sayang & mengasihi orang yang bertaqwa iaitu:
i- Yang takut kepada Allah, melakukan segala ketaatan kepada Allah & meninggalkan maksiat dan segala perkara yang dilarang oleh Allah SWT!
ii- Beramal dengan apa yang diajar oleh Rasulullah SAW & tinggalkan apa yang dilarang oleh Baginda SAW!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 75- {Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu,}-
Ini adalah kategori pertama dari kalangan ahli kitab, mereka adalah orang yang amanah & jujur.
Maka orang bukan Islam atau ahli kitab yang kita kenal pasti berintegriti- jujur & amanah maka kita boleh berinteraksi, bermuamalah dengan mereka dalam perkara & urusan dunia (من أمور الدنيا)!
Tetapi jika kita tahu & sudah terbukti dia adalah orang yang tidak jujur & suka penipu- maka jauhi & tinggalkan muamalat dengan mereka, janganlah terus berinteraksi dengan mereka.
Kita akan kenal dan tahu sifat seseorang melihat cara dia menjalankan kerja & tugasnya, iaitu apabila diberi peluang.
Akan terserlah sifat sebenarnya apabila mendapat kuasa & pangkat!
Allah menguji seseorang itu dengan diberi peluang & tugas untuk menjalankan amanah yang diberikan.
Apakah dia benar-benar akan menjalankan tugasnya atau tidak!
- Ayat 75- {dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya.}-
Ini adalah golongan kedua- yang tidak jujur & tidak amanah.
Mereka ini tidak akan amanah & akan cuai dalam membayar hutang, sehingga tuan hutang kena berusaha dan bersusah-payah untuk menuntut haknya.
Allah suruh kamu tuntut betul-betul hutang kamu itu- Ulama’ tafsir mengambil instinbat dari ayat ini bahawa Kerajaan boleh menghukum & penjarakan orang yang tidak mahu bayar hutang orang!
Sita atau rampas hartanya untuk dibayar kepada si penghutang!
Sekatnya daripada lari keluar negara dan lain-lain cara yang dapat mengembalikan haq tuan hutang!
- Ayat 75- {mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).}-
Mereka telahmereka-mereka menggunakan nama Allah untuk menghalalkan perbuatan jahat mereka yang batil.
Ini adalah satu perbuatan yang cukup dahsyat!
Jangan juga senang-senang & bermudah menggunakan nama Allah untuk menghalalkan perbuatan yang jelas terseleweng dari jalan Al-Quran, dan tidak mengikut Sunnah.
Begitu juga penunggang mazhab, bahaya juga- jangan kita bermudah dengan menghalalkan sesuatu atas nama pandangan mazhab- jika telah jelas nas & dalil sesuatu hukum itu haram dalam Al-Quran & Sunnah.
Janganlah bermudah dalam bab hukum-hakam.
Jangan berani & mudah-mudah mencari pandangan yang menghalalkan perbuatan sebahagian manusia.
Sedangkan dalil & nas adalah jelas sebaliknya!
Berhati-hati dengan penunggang agama atau menuduh orang penunggang agama- agar kamu sendiri tidak menjadi penunggang agama.
- Ayat 76- {Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.}-
Allah nyatakan sesiapa yang tunaikan janjinya dengan Allah; maka dia juga akan menunaikan janjinya dengan manusia.
Ini kerana apabila dia nak menipu orang; dia tahu Allah ajar kepadanya agar jangan menipu maka dia akan jadi telus & baik.
Maka marilah kita buat perjanjian kita kepada Allah dengan beriman, ikrar untuk melakukan ibadat & meninggalkan maksiat yang dilarang!
Janji untuk menjadi manusia yang telus dan amanah, yang menunaikan janjinya pada Allah, serta dengan manusia juga.
Perjanjian ini samada :
i- Dari sudut bertulis : Maka jangan kita langgarnya.
ii- Atau perjanjian dari sudut agama tidak bertulis : Seperti kita orang Islam kena solat, puasa, zakat haji dan lain-lain. Janji kita beriman kepada Allah & meninggalkan segala larangan-Nya.
Janji dengan Allah ini dipanggil ilmu akhlak- orang yang berakhlak dia tidak akan khianat, tidak akan menipu, tidak akan batalkan perjanjiannya & akan lakukan apa yang dijanjikannya!
Jika tidak dia akan dipanggil orang yang tidak berakhlak!
- Ayat 76- {maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.}-
Maka jika nak jadi orang yang disayangi Allah; kita kena menjadi orang yang bertaqwa!
Allah sayang pada yang bertaqwa dengan melakukan segala ketaatan yang diperintahkan Allah dan meninggalkan segala maksiat yang dilarang Allah SWT.
Dalam menunaikan ibadat kita kena ikut Sunnah Nabi SAW, Sunnah yang baik, yang dtinggalkan oleh Baginda SAW dalam segala amalan, zikir, solat, muamalat, pakaian dan semua Sunnah Nabi SAW.
Ada setengah manusia yang bercakap sedap; dia adalah pejuang yang mahu menegakkan agama; tetapi pakaian & aurat anak isteri pun tidak terjaga dengan sempurna.
Agama ini ada yang zahir, ada yang tersembunyi.
Yang zahir seperti : Solat & penampilan kita di hadapan Allah SWT. mestilah kita jaga dan sempurnakannya.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.
Wallahu A’lam