View Categories

Surah Ali-‘Imran : Ayat 79-80

AHLI KITAB MENIPU PARA NABI, ARAHAN JADI RABBANIYYIN & JANGAN KUFUR SETELAH BERIMAN.

Full video : https://youtu.be/I8cprO0xbq4?si=MwOGaG-S69RfG4jg

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 79 sehingga 80, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang ketiga.
  1. Dalam ayat ini Allah SWT menceritakan tentang kejahatan ahli kitab menipu para nabi.
  1. Dalam ayat ini arahan dari Allah SWT kepada para ulama’ Islam agar menjadi rabbaniyyin, apakah ulama’ rabbaniyyun ini kita lihat dalam tafsir nanti. 
  1. Serta larangan agar jangan kufur setelah beriman. Setelah beriman kita mantapkan aqidah kuatkan kefahaman kita serta jangan lakukan perkara yang tidak diredhai Allah SWT!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 79- {TIDAKLAH PATUT BAGI SESEORANG MANUSIA YANG ALLAH BERIKAN KEPADANYA KITAB AGAMA DAN HIKMAT SERTA PANGKAT NABI, KEMUDIAN IA TERGAMAK MENGATAKAN KEPADA ORANG RAMAI: “HENDAKLAH KAMU MENJADI ORANG-ORANG YANG MENYEMBAHKU DENGAN MENINGGALKAN PERBUATAN MENYEMBAH ALLAH”. TETAPI (SEPATUTNYA IA BERKATA): “HENDAKLAH KAMU MENJADI ORANG-ORANG RABBANIYIN (YANG HANYA MENYEMBAH ALLAH TAALA – DENGAN ILMU DAN AMAL YANG SEMPURNA), KERANA KAMU SENTIASA MENGAJARKAN ISI KITAB ALLAH ITU, DAN KERANA KAMU SELALU MEMPELAJARINYA.} (ALI-‘IMRAN 3:79)

  1. Tidaklah patut, tidak layak bagi mana-mana manusia yang diberi kitab & hikmah, sama ada dia seorang rasul, nabi atau wali untuk mengajak manusia supaya menyembah dirinya sendiri!
    Ini adalah satu penyelewengan dari puak taghut yang tidak betul perjalanannya.
  1. Maksudnya {seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi,}- iaitu orang yang ada ilmu & maklumat yang baik, ilmu tentang Allah SWT atau seorang yang diturunkan kitab & dilantik sebagai nabi.
  1. Maksud perkataan-perkataan ini:
    i- Kitab agama { يُؤْتِيَهُ ٱللَّهُ ٱلْكِتَـٰبَ}- iaitu kitab yang Allah turunkan yang mengandungi segala hukum-hakam dan peraturan Syari’ah.

    ii- Hikmah {ٱلْحُكْمَ}- memahami agama & tahu rahsia objektif Syara’. Bukan hanya tahu hukum sahaja seperti wajib solat atau puasa kerana Allah suruh; tetapi tahu kenapa hikmah objektif disebalik perintah Allah SWT ini.
    Boleh baca buku ini mengetahui tentang hikmah disebalik rahsia Syara’:
    KEINDAHAN ISLAM https://dartaibah.com/…/Keindahan-Islam-Cetakan-Baru…

    iii- Serta dia juga telah dilantik menjadi seorang nabi & rasul {ٱلنُّبُوَّةَ} untuk menyampaikan dakwah ajaran kebenaran kepada manusia lain pula.
  1. Maka apabila Allah beri ilmu maklumat & hikmah- dia kenalah beramal seiring dengan ilmunya. 
    Ada ilmu saja tanpa amal adalah satu kepincangan!
  1. Dalam masa yang sama dia juga hendaklah menjadi seorang ulama’ yang rabbaniyyin.
    Apakah pula makna { رَبَّـٰنِيِّـۧنَ} rabbaniyyin atau ulama’ yang sebenar ini: 
    i- Ulama’ : Orang alim, 

    ii- Hukama’ : Orang yang bijak mengetahui rahsia Syara’, hulama’- orang yang berlemah lembut dalam dakwah, tidak gopoh dan kasar (tidak belorat).

    iii- Mukhlisin : Ikhlas segala amalannya untuk Allah SWT.

    iv- Muta’abbidin : Dia beribadat untuk dirinya sendiri serta dalam masa yang sama mengajak orang lain beramal juga.

    v- Mu’allimin : Ajar orang perkara yang baik, mendidik manusia dengan ilmu & pengetahuan.
    Semua ini adalah tugas ulama’ yang sebenar iaitu sebagai pendidik, pengasuh, pembaik-pulih manusia yang rosak dan menyembah Allah dengan ilmu dan amal yang sempurna.
  1. Kata ulasan seorang ulama’ tafsir yang masyhur iaitu Imam Ibnu Jarir at-Tobari RHM :
    Selepas menyebut tentang khilaf makna rabbaniyyin ini, yang betul pada kajiannya ialah:
    i- Rabbaniyyin ialah kata jamak kepada rabbaniy- dinisbahkan kepada pendidik atau pengasuh yang mendidik manusia supaya jadi baik, membaik-pulih manusia dari yang tidak betul & rosak kepada kebaikan. 
    Berdakwah & ajak manusia kepada perkara yang membawa kebaikan kepada mereka. 
    Dia juga seorang yang alim dengan hukum feqah & dalam bab hikmah. 
    Dia sendiri pula beramal dengan ajarannya serta bertaqwa kepada Allah SWT, memegang jawatan wali, memimpin manusia ke arah kebaikan dunia & Akhirat. 
    Dia juga memegang jawatan dunia dalam membimbing manusia iaitu menjalankan tugas-tugas keduniaan & keagamaan dengan seiring. Supaya ekonomi dan masyarakatnya baik.
    Jika pemimpin ada kuasa & jawtaan saja tetapi tidak ada iman kepada Allah atau ada ilmu agama saja tetapi tidak ada ilmu pentadbiran maka akan rosak negara– teori kena selari dengan praktikal & amalan. 
    Kena tahu dan sedar bahawa riba, rasuah & segala maksiat itu haram & berdosa!
    Maka semua orang yang bertugas sama ada dia murabbi, alim, faqir, ahli polotik atau ahli jawatan agama, yang mahu membaik pulih manusia supaya beriman kepada Allah, supaya kembali kepada Allah maka dia termasuk dalam kumpulan rabbaniyyin.
  1. Maka orang yang yang alim Feqah ialah yang sentiasa mengajar kitab itu! 
    Dan oleh kerana kita ada asas ilmu tentang kitab Al-Quran, ilmu tentang Sunnah nabi SAW; maka wajib kita kena ajar & didik manusia supaya mereka tahu tugas & tanggungjawab mereka!
  1. Para ulama’ juga tidak boleh berpada dengan ilmu yang sedia ada semata-mata; tetapi mereka kena sentiasa berterusan dalam membaca, belajar & mengkaji dan mencari ilmu barulah dia boleh naik & termasuk dalam kumpulan ulama’ rabbaniyyin.
  1. Serta kena berlapang dada dalam menerima teguran & rajin muhasabah diri, ambil kebaikan daripada teguran itu untuk muraja’ah & perbaiki diri jika tak kena. 
    Jika betul dan dia salah kita boleh betulkan balik orang yang menegur itu. 
    Inilah ilmu muzakarah yang amat penting!
  1. Ayat ini disimpulkan dengan ilmu yang kamu sedia ada { بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ ٱلْكِتَـٰبَ} & dengan ilmu yang kamu akan belajar { وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ} maka jangan berhenti belajar & mengkaji hukum hakam!

AYAT 80- {DAN IA TIDAK PULA PATUT MENYURUH KAMU MENJADIKAN MALAIKAT DAN NABI-NABI SEBAGAI TUHAN-TUHAN. PATUTKAH IA MENYURUH KAMU DENGAN KEKUFURAN SESUDAH KAMU MENJADI ORANG ISLAM?} (ALI-‘IMRAN 3:80)

  1. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah telah menafikan bahawa tidak akan ada para nabi, rasul & pendakwah rabbaniyyin yang ajak manusia lain untuk menyembahnya! 
    Bahkan semuanya ajak menyembah Allah SWT tanpa syirik kepada-Nya. 
    Tetapi ada juga orang yang bukan suruh sembah tetapi ajar taksub kepadanya, ini bukan ulama’ rabbaniyyin. 
    Kita tidak boleh taksub mensucikan guru tetapi kita wajib menghormati mereka!
    Mempertahankan agama bukan membela tok syeikh atau guru masing-masing.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa ulama’ rabbaniyyin ajak sembah Allah bukan ajak sembah kepada dirinya sendiri, mereka juga tidak ajak manusia untuk jadikan malaikat atau nabi sebagai Tuhan! 
  1. Jika kamu buat juga, Allah nyatakan apakah logik & apakah mungkin kamu akan kufur kembali selepas kamu beriman kepada Allah?
    Kembali menghinakan diri menjadi penyembah kepada sesama makhluk? 
    Ajak orang supaya kembali kufur, supaya taksub kepada kita bukan kepada Allah.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 79- {Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”.}-

    Tidak mungkin, tidak patut bagi orang yang ada ilmu, ada kitab ada hikmah atau seorang nabi untuk ajak manusia sembah dirinya!
    Para ulama’ kata : Sesiapa yang ajak, didik atau suruh orang untuk sembah dia maka dia telah menjadikan manusia itu sebagai hambanya- kerana jika ketaatan itu kepada selain kepada Allah maka seolah mengabdikan diri kepada sesama makhluk! 
    Manusia tidak diajar untuk taksub kepada sesama manusia secara melampaut tetapi wajib hormat guru dengan sewajarnya!
    Para rasul & nabi adalah orang yang mulia & sempurna akhlaknya, apa yang mereka dakwah dan ajak manusia adalah mengajak kepada kedudukan yang baik, akhlak yang mulia dan mendidik manusia supaya meninggalkan segala perkara yang keji & tidak baik yang dimurkai Allah! Bukan cari glamer atau cari pengikut.
  1. Ayat 79- {“Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna)}-

    Allah ajar kepada kita untuk menjadi ulama’ rabbaniyyin.
    Siapakah mereka ini?
    Ulama’ yang beramal dengan ilmunya, yang warak & yang bertaqwa serta meninggalkan segala perkara tidak baik yang menyalahi ilmunya.
    Sesiapa yang ajak & dakwah manusia untuk buat kebaikan tetapi dia sendiri tidak buat- maka dia adalah seorang pendakwah yang lemah.
    Ini kerana faedah ilmu adalah amal, faedah amal adalah untuk mendapat pahala & keredhaan Allah SWT- maka jika dia tidak beramal dengan ilmu sendiri maka itu adalah satu kepincangan yang amat buruk & merugikan.
    Kesan daripada ilmu pula adalah adab & akhlak yang mulia, sama ada akhlak dan adab kita dengan Allah atau sesama manusia.
    Kerja muallim bukan hanya memenuhkan kepala anak murid dengan maklumat semata tetapi kita kena penuhkan dada pelajar kita dengan akhlak yang mulia, adab yang tinggi serta ilmu & maklumat yang berguna.
  1. Ayat 79- {Tetapi (sepatutnya ia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.}-

    Tiga perkara wajib ada dalam kehidupan seorang manusia apatah lagi pendakwah:
    i- Ilmu & amal : Wajib ada ilmu serta beramal dengannya. Bukan teori saja- in kerana ilmu tanpa amal adalah satu kerugian! 
    (علم بلا عمل كشجرة بلا ثمر)- ilmu tanpa amal seperti pokok tanpa buah.

    ii- Ta’lim : Mengajar dan menyampaikan ilmunya kepada orang ramai & masyarakat yang memerlukannya.

    iii- Kajian : Kena ada ilmu & maklumat yang baru yang sentiasa mengikut perkembangan semasa.
    Sesiapa yang kuat mengkaji akan kurang mengeji!
    Jika mengaji saja tetapi tidak tahu apa- tidak akan jadi rabbaniyyin; jika mengajar saja tetapi tidak beramal, tidak rabbaniyyin; ada maklumat tetapi tidak ada kajian yang baru maka tidak rabbaniyyin. 
    Maka sesiapa yang sibuk mengajar semata-mata tetapi tidak ada sifat rabbaniyyin- dia akan hilang begitu saja, amalannya sia-sia seperti orang yang siram pokok tetapi tidak mengeluarkan hasil! 
    Ini kerana ilmu tanpa amal seperti pokok tanpa buah; {علم بلا عمل كشجرة بلا ثمر}.
  1. Ayat 79- {dan kerana kamu selalu mempelajarinya.}-

    Apa yang kamu belajar, apa yang kamu kaji & apa yang kamu selidik!
    Kerana itu di universiti sekarang ada bahagian khas untuk study & research.
    Ini kerana kita nak dua-dua sekali- ilmu & maklumat serta kajian yang kukuh & mantap.
    Ilmu muzakarah adalah satu ilmu yang amat berguna- untuk berbincang dan bertukar pandangan yang berbeza. 
    Para pendakwah ini kena banyak mengkaji & bermuzakarah; maka akan kuranglah sikit pertembungannya.

    Kata ahli ilmu : Siapa yang banyak mengkaji akan kurang mengeji! 
    Orang yang banyak mengeji orang itu ialah kerana dia tak kaji- hanya dengar kata orang.
    Hanya mengaku ahli Sunnah sedangkan ajaran yang diikutinya mungkin batiniyyah yang batil!
  1. Ayat 80- {Dan ia tidak pula patut menyuruh kamu menjadikan malaikat dan Nabi-nabi sebagai tuhan-tuhan.}-

    Kamu jangan ambil malaikat & nabi sebagai tuhan!
    Kenapa Allah sebut khas malaikat & nabi di sini:
    Jawapan: 
    Allah sebut ini dalam Al-Quran kerana orang yang rosak aqidah sebelum Islam ini kebanyakannya sembah malaikat & atau manusia yang dianggap suci seperti:.
    i- Seperti puak yahudi yang sembah Uzair, 

    ii- Orang nasrani yang sembah nabi Isa 

    iii- Atau musyrikin Quraisy yang sembah malaikat & kata malaikat adalah anak Tuhan.
    Firman Allah SWT: 
    {Dan orang-orang Yahudi berkata: “Uzair ialah anak Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al-Masih ialah anak Allah”. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?} (At-Taubah 9:30)

    Kita orang Islam mengatakan Allah itu Esa, Dia tidak ada anak & diperanakkan, atau pasangan serta tidak peranakan, Dia juga tidak menyerupai sesuatu apapun dari kalangan makhluk-Nya.
    Sumber aqidah duduk di Al-Quran. Kerana itu orang Arab Badwi dia tidak belajar banyak; cukup dengan memahami surah al-Ikhlas mereka kenal Allah lalu beriman dengan mantap & yakin!

    Firman Allah SWT: 
    {Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.} (Al-Ikhlas 112: 1-4).

    Kita sekarang ini belajar di situ di sini, tetapi tetap tidak faham. Bahkan ada satu kumpulan orang kafir yang dipanggil golongan orientalis. Mengkaji & menulis tentang Islam tetapi mereka tetap kafir & tidak beriman. Ini kerana mereka hanya jadikan agama Islam ini sebagai satu subjek & kajian.

    Kesimpulan ulama’ rabbaniyyin mengikut perbincangan para ulama’ yang muktabar ialah:
    Ulama’ yang ikhlas dalam beramal, berpegang dengan Al-Quran & Sunnah, serta ulama’ fuqaha’ yang beramal dengan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT. 
    Kita wajib taat kepada Allah kerana ilmu yang benar ialah ilmu yang datang dari Allah, ilmu yang akan mendekatkan kita kepada Allah & diambil dari ajaran Sunnah Rasulullah SAW!
    Jangan kita terpengaruh dengan undang-undang kafir atau undang-undang taghut! 
    Walaupun kebanyakan kita umat Islam atas dunia sekarang ini terikat dengan undang-undang kafirr- inilah masalah kita sekarang. 
    Jadi macamana kita nak melahirkan ulama’ rabbiniyyin & masyarakat Madani? 
    Inilah tugas & kewajipan kita semua menghadapi cabaran & halangan ini!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran. 
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs