MAKANAN HALAL BAGI BANI ISRAIL, TURUN TAURAT MENGHARAMKAN SEBAHAGIANNYA & AMARAN MENIPU ATAS NAMA ALLAH.
Full video : https://youtu.be/XnmyD9C8gOE?si=yqLIeU-iy4l-1vGv
MUQADIMMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 93 sehingga 94, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.
- Dalam siri ini dikisahkan tentang makanan yang asalnya halal bagi bani Israil, kemudian apa yang diharamkan oleh Israil (Nabi Yaakub) sendiri & yang diharamkan oleh kitab Taurat.
- Diturunkan Taurat mengharamkan sebahagian makanan lagi kerana Allah nak ajar mereka, kerana bani Israil ini kaum yang keras kepala & degil, maka Allah haramkan sebahagian yang sebenarnya halal bagi mereka!
- Kemudian Allah beri amaran daripada menipu atas nama Allah.
Iaitu mengatakan “Tuhan kata” sedangkan sebenarnya Allah tidak kata begitu!
Apa yang Allah haramkan dihalakkan dan sebaliknya; ini adal satu perbuatan yang jijik dan zalim di sisi Allah SWT.
- Munasabah ayat dengan yang sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas (ayat 92) Allah telah nyatakan bahawa seseorang itu tidak mantap keimanan & tidak betul-betul melakukan kebajikan sehingga dia infaq sedekah kepada orang sebahagian harta miliknya yang disayangi.
Maka dalam Islam ini disyari’atkan untuk infaq fi-sabilillah barang yang kita sayang dengan ikhlas kerana Allah.
Allah telah gambarkan dalam Al-Quran betapa manusia amat sayangkan hartanya lalu galakkan untuk bersedekah kepada keluarga yang terdekat terlebih dahulu.
ii- Kemudian datang ayat ini- kisah nabi Yaakub AS yang telah mengharamkan ke atas dirinya sesuatu yang amat disukainya.
Kerana dalam Syari’ahnya adalah satu amalan yang mulia untuk meninggalkan sesuatu perkara yang disukai kerana Allah semata-mata nak mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Maka kesinambungan dua ayat ini; bersedekah sesuatu yang disayangi dengan kisah Israil yang telah meninggalkan sesuatu yang dia suka semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Kita akan lihat kisah penuhnya dalam tafsir ayat di bawah nanti insya’ Allah.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 93- {SEGALA JENIS MAKANAN DAHULU ADALAH HALAL BAGI BANI ISRAIL, KECUALI MAKANAN YANG DIHARAMKAN OLEH ISRAIL (NABI YAAKUB) KEPADA DIRINYA SENDIRI SEBELUM DITURUNKAN KITAB TAURAT. KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “(JIKA ADA MAKANAN YANG DIHARAMKAN KEPADA KAMU – WAHAI BANI ISRAIL – SEBELUM KITAB TAURAT DITURUNKAN) MAKA BAWALAH KAMU KITAB TAURAT ITU KEMUDIAN BACALAH AKAN DIA, KALAU BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BENAR.} (ALI-‘IMRAN 3:93)
- Asalnya semua jenis makanan itu halal bagi bani Israil kecuali apa yang diharamkan oleh Israil iaitu Nabi Yaakub AS ke atas dirinya sendiri sebelum kitab Taurat diturunkan.
Ada juga yang kata bani Israil tetapi majoriti ulama’ tafsir kata Israil dalam ayat ini ialah Nabi Yaakub AS.
- Apa yang diharamkan oleh Nabi Yaakub AS ke atas dirinya ialah susu unta & daging unta yang begitu sinonim dalam kehidupan mereka serta makanan rasmi mereka pada zaman itu!
Lalu kaum yahudi yang terkemudian lain pun mengharamkannya juga ke atas diri mereka.
- Kemudian apabila datang kitab Taurat, Allah mengharamkan banyak lagi perkara-perkara lain ke atas bani Israil mengikut hikmahnya.
- Hadis kisah sekumpulan yahudi yang datang berjumpa Rasulullah SAW meminta Baginda untuk menceritakan tentang kisah Nabi Yaakub AS:
i- Dari Ibnu Abbas RA bahawa sekumpulan yahudi datang bertanya kepada Rasulullah SAW dan berkata:
Wahai Abul Qasim, kami mahu bertanya beberapa soalan yang tidak diketahui jawapannya ialah seorang nabi! Antara soalannya ialah: Apakah makanan yang diharamkan oleh Nabi Yaakub (Israil) ke atas dirinya sebelum turunnya kitab Taurat? Rasulullah SAW bersabda: Aku jawab kepada kamu dengan kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa AS. Adalah Nabi Yaakub sakit lama yakni sakit sendi dari paha hingga ke betis, lalu beliau bernazar jika disembuhkan Allah sakitnya, dia akan mengharamkan makanan & minuman yang paling disukainya iaitu daging unta dan susunya. Takdir Allah sembuhlah penyakitnya lalu dia pun haramkan dua perkara ini ke atas dirinya. Yahudi mengatakan bahawa betul jawapan Nabi SAW itu. [HR Ahmad & at-Tobari- sahih].
ii- Dari Ibnu Abbas RA bahawa sekumpulan yahudi datang bertanya kepada Rasulullah SAW:
“Wahai Abu Qasim, ceritakan apa itu guruh (الرعد) yang berdentum di atas langit. Jawab Rasulullah SAW: Ia adalah bunyi malaikat penjaga awan yang tolak awan. Di tangannya ada alat untuk menolak awan lalu keluarlah bunyi kuat itu sehingga tiba awan itu ditempat ditetapkan untuk turun hujan. Yahudi lalu kata betul jawapannya sebagaimana yang ada dalam kitab mereka.
أَن اليَهُودَ قَالُوا لِلنَّبِيِّ : أَخْبِرْنَا، مَا حَرَّمَ إِسْرَائِيلُ عَلَى نَفْسِهِ؟ قَالَ: كَانَ يَسْكُنُ الْبَدْوَ، فَاشْتَكَى عِرْقَ النِّسَا، فَلَمْ يَجِدْ شَيْئًا يُلَائِمُهُ إِلَّا لُحُومَ الإِبل وَالْبَانَهَا، فَلذَلكَ حَرَّمَهَا. قَالُوا: صَدَقْتَ.
Lalu mereka berkata lagi kepada Baginda SAW: “Ceritakan kepada kami tentang apa yang diharamkan oleh Israil atas dirinya sendiri.” Lalu Baginda berkata, “Ia adalah orang yang tinggal di pedalaman, lalu ia terserang penyakit ‘irqun nasaa (sakit sendi). Lalu diapun pun bernazar untuk meninggalkan makanan & minuman yang paling disukainya jika dia sembuh! Tidak lama kemudian dia sembuh dan ia tidak menemukan makanan yang paling disukainya kecuali daging dan susu unta. Maka dia mengharamkannya ke atas dirinya.” Lalu mereka berkata: “Kamu benar.” [HR at-Tirmizi, Ahmad & an-Nasaei].
- Kemudian Allah perintahkan Rasulullah SAW untuk meminta mereka kaum yahudi supaya bawa datang kitab Taurat dan bacanya sendiri supaya Rasulullah SAW mendengarnya supaya mereka tidak boleh mengatakan Baginda menambah, menokok tambah atau mengurangkan apa yang ada di dalamnya!
- Ini adalah mukjizat Rasulullah SAW yang diberikan oleh Allah SWT yang dapat mendedahkan satu perkara dalaman dalam agama/kitab yahudi.
Allah SWT memberitahu kepada Rasulullah SAW akan pembohongan yahudi ini & dapat menceritakan apa sebenarnya yang ada dalam Taurat!
- Maka Nabi SAW sebagai seorang yang tidak tahu membaca & menulis, tidak mengembara ke luar, memiliki pengetahuan ini menjadi satu dalil & hujjah akan kebenaran Baginda Nabi SAW sebagai seorang rasul utusan Tuhan. Mereka tidak dapat kelentong lagi.
- Ayat ini mencabar yahudi lagi sekiranya mereka benar dalam dakwaan mereka bahawa:
i- Allah yang menurunkan pengharaman ini (susu & daging unta) dalam kitab Taurat, bukan nabi Yaakub; atau
ii- Tidak ada apa yang diharamkan oleh Allah ke atas mereka dalam kitab Taurat kecuali apa yang diharamkan oleh nabi Yaakub!
Semuanya terbukti dakwaan palsu; Allah perintah lain dia buat lain, nabi mereka suruh atau cakap lain, dia buat lain juga!
- Begitulah terserlah perangai buruk yahudi yang suka berdolak dalih, menyeleweng fakta & isi kitab, suka kelentong & berdusta kerana ikut nafsu dan kepentingan diri!
- Kerana itu kita perlu tahu fakta, kena belajar sejarah; supaya kita boleh sekat, lalu sejarah yang tidak baik itu tidak akan berulang lagi!
AYAT 94- {(JIKA TIDAK) MAKA SESIAPA YANG MEREKA-REKA KATA-KATA DUSTA TERHADAP ALLAH SESUDAH YANG DEMIKIAN ITU, MAKA MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG ZALIM.} (ALI-‘IMRAN 3:94)
- Siapa yang berdusta atas nama Allah; iaitu mereka-reka sesuatu hukum atas nama Allah- apa yang Allah tak dia kata Allah kata, Allah kata haram dia kata halal atau sebaliknya; maka mereka dikira sebagai orang yang zalim.
- Mereka telah menzalimi diri mereka sendiri; mereka telah berbuat perkara batil, tidak mahu ikut ajaran yang benar walaupun setelah ternyata di hadapan mata mereka benarnya apa yang dibawa oleh Nabi SAW!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 93- {Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi Bani Israil,}-
Yakni jelas dalam ayat ini semua perkara asalnya halal ke atas bani Israil.
Syari’at yang dibawa dalam Al-Quran adalah jelas & terang, tidak ada sebarang keraguan & kecelaruan dan ia bertemu (selaras) dengan usul Syari’ah terdahulu dalam bab halal & haram.
Syari’ah yang dibawa oleh Rasulullah SAW ini bertepatan dengan Syari’ah yang dibawa oleh Nabi Ibrahim AS bahawa segala perkara asalnya halal ke atas nabi Ibrahim umatnya dan nabi selepasnya seperti nabi Yaakub juga.
Dalam ayat ini ada dua perkara yang haram:
i- Apa yang diharamkan oleh Nabi Yaakub ke atas dirinya sendiri iaitu susu unta & daging unta, bukan Allah yang haramkan tetapi dia sendiri atas ijtihadnya!
Mana-mana nabi jika dia sudah berijtihad buat sesuatu hukum, maka ia akan menjadi Syari’ah ke atas pengikutnya.
ii- Kemudian apabila turun kitab Taurat; Allah haramkan lagi beberapa perkara ke atas bani Israil daripada jenis makanan seperti lemak dalam daging.
Ini kerana Allah nak hukum mereka kerana mereka zalim banyak berbuat dosa & menentang nabi mereka.
Sebagaimana firman Allah SWT:
i- {Maka disebabkan kezaliman yang amat besar dari perbuatan orang-orang Yahudi, Kami haramkan atas mereka makanan yang baik-baik yang pernah dihalalkan bagi mereka, dan disebabkan mereka banyak menghalang manusia dari jalan Allah.} (An-Nisaa’ 4:160)
ii- {Dan Kami haramkan atas orang-orang Yahudi segala binatang yang berkuku, dan dari lembu dan kambing pula Kami haramkan kepada mereka lemaknya, kecuali (lemak) yang ada pada belakangnya atau yang menyelaputi perkakas dalam perutnya, atau yang bercampur dengan tulang. Demikianlah Kami balas mereka dengan sebab kederhakaan mereka; dan sesungguhnya Kamilah yang benar.} (Al-An’aam 6:146)
Semua balasan atas keras kepala mereka tak ikut ajaran nabi mereka, banyak buat zalim & dosa.
Yakni asalnya tak haram tetapi setelah turun Taurat, Allah haramkan beberapa perkara ke atas bani Israil akibat perbuatan zalim mereka sendiri!
Setelah datang Al-Quran perkara ini dibatalkan pula, diringankan beberapa perkara yang berat asalnya seperti Syari’ah bani Israil.
Kita kata alhamdulillah kerana kita umat Nabi SAW yang membawa rahmat kepada seluruh alam.
- Ayat 93- {Katakanlah (wahai Muhammad): “maka bawalah kamu Kitab Taurat itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul kamu orang-orang yang benar.}-
Allah perintah Rasulullah SAW minta kepada mereka kaum yahudi: Bawa Taurat yang kamu berpegang itu kepadaku, bacalah ia di hadapanku!
Kata ulama’ : Ini adalah cara yang paling bijak & hujjah yang paling mantap untuk melawan hujjah orang yang menentang kita.
Minta buktinya dari kitab atau perundangan yang mereka pegang itu untuk mematahkan hujjah mereka sendiri!
Sebagaimana ketika Rasulullah SAW tanya tentang hukuman ke atas penzina dalam kitab Taurat; mereka bawa kitab itu tetapi cuba tutup tentang hukumnya dengan tangan mereka.
Nasib baik pendeta mereka yang telah Islam, Abdullah bin Salam RA hafaz Taurat dan tahu adanya hukuman itu!
Inilah yang dibuat oleh para pendebat Islam yang hebat di kalangan antarabangsa- mereka hafaz & tahu apa yang ada di dalam kitab orang kafir! Barulah boleh patahklan hujjah lawan.
- Ayat 93- {Katakanlah (wahai Muhammad): “maka bawalah kamu Kitab Taurat itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul kamu orang-orang yang benar.}-
Minta mereka bawa kitab mereka itu & membacanya sendiri jika mereka benar & berani!
Ini agar mereka tak boleh tohmah Rasulullah SAW tak baca habis (skip) atau menambah-nambahnya kitab mereka!
Kerana itu di akhir ayat Allah kta: Jika betul kamu adalah orang yang benar dalam dakwaan kamu itu!
Ini menunjukkan sempurnanya cabaran yang diberi & mantapnya hujjah balasan!
- Ayat 93- {Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi Bani Israil, kecuali makanan yang diharamkan oleh Israil (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat.}-
Ayat ini menolak hujjah puak yahudi yang ingkar akan adanya nasakh (pembatalan) hukum. Iaitu umat dulu boleh, umat sekarang tidak boleh atau sebaliknya!
Untuk menunjukkan kepada kaum yahudi bahawa adanya pembatalan (nasakh) dalam hukum & perundangan; bukan seperti dakwaan mereka ia adalah tetap begitu sejak dulu lagi; tidak akan berubah!
Sama seperti dalam Al-Quran juga ada hukum nasakh (pembatalan) ini seperti:
i- Pada awalnya ada ayat Al-Quran mengatakan jika ada 20 orang yang sabar dapat mengalahkan 200 orang musuh. Yakni 1 orang dapat tewaskan 10 musuh!!
Maka tentera Islam merasa berat dan sukar, lalu Allah meringankan beban mereka kerana berdepan dengan tugas getir satu kena lawan 10, maka ayat berikut menasakhkan bebanan ini, di mana 100 tentera Islam boleh mengalahkan 200 orang musuh. Yakni sekarang 1 orang tentera cuma kena lawan dua musuh. Alhamdulillah.
ii- Waktu berpuasa di awal pensyariatannya ialah antara maghrib dan isya’ sahaja boleh makan.
Kemudian berpuasa hanya bermula terbit fajar sehingga maghrib sahaja, malam sepenuhnya boleh makan.
- Ayat 94- {(Jika tidak) maka sesiapa yang mereka-reka kata-kata dusta terhadap Allah sesudah yang demikian itu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.}-
Siapa yang mereka-reka, buat-buat kata ke atas Allah SWT., apa yang Tuhan tak kata dia kata, apa yang Allah larang dia buat, apa yang Allah suruh dia tak buat!
Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini menggalakkan kita ikut yang benar apabila zahir ia adalah perkara yang benar ke atas kita!
Sesiapa yang lari daripada kebenaran, lari dari Al-Quran dari Sunnah Nabi SAW maka itu adalah orang yang zalim!
Siapakah yang lebih zalim daripada mereka yang apabila diajak berhukum dengan kitab Allah, tetapi dia lari tidak mahu berhukum dengan undang-undang & Syari’ah Allah SWT!
Seperti anak-anak orang Islam hari ini yang mengatakan riba tidak haram kerana ia adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, semua sistem sekarang ini ada riba!
Begitu juga RASUAH, tidak haram bagi mereka kerana ia keperluan.
Menutup aurat pula dianggap sebagai menyekat kebebasan individu.
Kita jangan berani-berani; apa yang Allah katakan halal maka ia adalah halal, apa yang Allah kata haram maka ia adalah haram!
Apa yang Allah turunkan dalam Al-Quran kita beriman dengannya.
Apa yang ditafsirkan oleh ulama’ salaf kita pegang & pakai, ditambah nilainya dengan tafsiran & pandangan ulama’ terkemudian untuk memahami ayat-ayat Allah SWT!
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.
Wallahu A’lam.