NABI SULAIMAN MINTA DIBAWAKAN SINGGAHSANA BALQIS, BALQIS BERANGKAT KE SYAM & BALQIS MASUK ISLAM.
Full video : https://youtu.be/6FSGuzmlgTI
MUQADDIMAH :
- Dalam siri yang lepas Ratu Balqis cuba menyelamatkan kerajaannya dengan menghantar hadiah yang berharga kepada Nabi Sulaiman a.s.
- Tetapi nabi Sulaiman a.s seorang nabi yang benar dan berprinsip, marah kerana agama, menolak hadiah itu dan menghantar balik rombongn serta memberi amaran terakhir. Ini kerana dia nabi dan rasul yang mahu mereka menerima Islam dan meninggalkan syirik.
- Selepas melihat hadiah-hadiahnya dihantar balik, yakinlah Ratu Balqis bahawa dia tidak akan menang jika melawan Sulaiman a.s.
- Maka dia mengambil keputusan untuk keluar menuju ke istana nabi Sulaiman a.s. maka bergeraklah rombongannya menuju ke Syam.
- Jarak antara Syam tempat nabi Sulaiman a.s ke Saba\’ di Yaman, adalah dalam dua bulan perjalanan darat pada masa itu.
- Maka dalam siri ini kita akan tengok tentang persiapan nabi Sulaiman a.s menunggu ketibaan Ratu Balqis dengan membawa singgahsannya dari Saba\’ ke Syam serta beberapa pengajaran yang besar, insya\’ Allah.
AYAT 38- {NABI SULAIMAN BERKATA PULA (KEPADA GOLONGAN BIJAK PANDAINYA): \”WAHAI PEGAWAI-PEGAWAIKU, SIAPAKAH DI ANTARA KAMU YANG DAPAT MEMBAWA KEPADAKU SINGGAHSANANYA SEBELUM MEREKA DATANG MENGADAPKU DALAM KEADAAN BERSERAH DIRI MEMELUK ISLAM?\”} (AN-NAML 27:38)
- Selepas menghantar balik hadiah dari Ratu Balqis, Nabi Sulaiman a.s bermesyuarat bertanya kepada para golongan penasihatnya yang bijak pandai, ada kata selepas Ratu Balqis keluar dari negerinya.
- Nabi Sulaiman a.s mahu membawa datang singgahsana Ratu Balqis sebelum mereka tiba di Syam untuk datang mengadapnya.
- Ini untuk membuktikan kekuasaan Allah s.w.t dan kebenaran agama Islam kepada Ratu Balqis dan rombongannya.
AYAT 39- {BERKATALAH IFRIT DARI GOLONGAN JIN: \”AKU AKAN MEMBAWAKANNYA KEPADAMU SEBELUM ENGKAU BANGUN DARI TEMPAT DUDUKMU, DAN SESUNGGUHNYA AKU AMATLAH KUAT GAGAH UNTUK MEMBAWANYA, LAGI AMANAH\”. (AN-NAML 27:39)
- Salah satu dari golongan jin yang bernama Ifrit berkata dia sanggup untuk membawakannya sebelum Nabi Sulaiman a.s selesai dari urusan pejabatnya hari itu.
- Dia juga menyatakan sesungguhnya dia amatlah kuat; yakni gagah mampu untuk membawanya, lagi amanah; iaitu tidak akan mengusik atau mengambil apa-apa yang berharga yang ada di singgahsana itu.
AYAT 40- {BERKATA PULA SEORANG YANG MEMPUNYAI ILMU PENGETAHUAN DARI KITAB ALLAH: \”AKU AKAN MEMBAWAKANNYA KEPADAMU DALAM SEKELIP MATA!\” SETELAH NABI SULAIMAN MELIHAT SINGGAHSANA ITU TERLETAK DI SISINYA, BERKATALAH IA: \”INI IALAH DARI LIMPAH KURNIA TUHANKU, UNTUK MENGUJIKU ADAKAH AKU BERSYUKUR ATAU AKU TIDAK MENGENANGKAN NIKMAT PEMBERIANNYA. DAN (SEBENARNYA) SESIAPA YANG BERSYUKUR MAKA FAEDAH SYUKURNYA ITU HANYALAH TERPULANG KEPADA DIRINYA SENDIRI, DAN SESIAPA YANG TIDAK BERSYUKUR (MAKA TIDAKLAH MENJADI HAL KEPADA ALLAH), KERANA SESUNGGUHNYA TUHANKU MAHA KAYA, LAGI MAHA PEMURAH\”.} (AN-NAML 27:40)
- Selepas itu seorang lelaki yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah, yang mengetahui nama-nama Allah, menawarkan untuk membawakannya dalam sekelip mata! Maksudnya kitab itu ada ulama\’ kata kitab Zabur atau Taurat.
- Ulama\’ tafsir berbeza pandangan tentang lelaki ini:
i- Ada kata seorang lelaki soleh dari kalangan bani Israil yang bernama Asif bin Barkhiya. Wallahu a\’lam, Allah s.w.t tidak menyebutnya.
ii- ada kata itu adalah malaikat yang membawanya.
Mungkin selepas Asif berdoa, Allah s.w.t makbulkan doanya dengan menjadikan malaikat membawa datang singgahsana itu. - Selepas dia berdoa kepada Allah s.w.t, singgahsana itu dapat dibawa ke hadapan nabi Sulaiman a.s dalam sekelip mata. Selepas melihatnya terus nabi Sulaiman a.s seorang hamba dan Nabi Allah yang warak dan tawadhuk, bersyukur dan berdoa dengan berkata kehebatan ini bukanlah kehebatannya tetapi kerana Allah s.w.t mahu mengujinya, antara doanya:
i- Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku,
ii- untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya ini. - Dia juga menyambung tazkirah memberi peringatan:
i- Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri,
ii- dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah. - Sebelum berkelip mata, ulama\’ menafsirkan maksudnya dengan beberapa pandangan:
i- sebelum datang apa yang kita nampak dari jauh dengan pandangan mata biasa.
ii- apa yang kamu nampak dari hujung pandangan mata.
ii- ada kata sekadar tutup mata dan celik mata balik dengan hakiki. Yakni paling lama seminit dari dua bulan perjalanan itu. - Apa yang penting betapa tawadhuknya nabi Sulaiman a.s serta amat menekan sifat syukur. Kita pun kena tunjukkan perasaan syukur atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita. Kata ulama\’; Syukur itu menarik nikmat yang baru dan menjaga nikmat yang sedia ada.
- Sebagaimana kata Nabi Sulaiman a.s- nikmat itu kadang-kala adalah satu ujian dari Allah s.w.t, untuk melihat samada kita bersyukur LALU membalasnya dengan ketaatan bukan dengan maksiat kepada Allah s.w.t.
- Manakala kufur dan maksiat akan menghancurkan segala nikmat yang telah diberi, jika tidak syukur dan sombong tunggulah saat kebinasaan yang akan datang.
AYAT 41- {NABI SULAIMAN BERKATA PULA (KEPADA ORANG-ORANGNYA): \”UBAHKANLAH KEADAAN SINGGAHSANANYA ITU, SUPAYA KITA MELIHAT ADAKAH IA DAPAT MENCAPAI PENGETAHUAN YANG SEBENAR (UNTUK MENGENAL SINGGAHSANANYA ITU) ATAU IA TERMASUK DALAM GOLONGAN YANG TIDAK DAPAT MENCAPAI PENGETAHUAN YANG DEMIKIAN\”.} (AN-NAML 27:41)
- Apabila singgahsana Ratu Balqis tiba, Nabi Sulaiman a.s meminta pekerjanya mengubah (modified) agar terdapat sedikit perbezaan; untuk menguji Ratu Balqis samada dia mengecam atau tidak takhtanya itu.
- Ini semua ujian dari Allah s.w.t, ingatlah semua kesenangan dan kemewahan yang dikurniakan bukan bererti Allah sayang dan redha, tetapi adakalanya ia adalah:
i- satu ujian untuk lihat hamba itu syukur atau tidak atas nikmat itu.
ii- atau semata-mata sebagai istidraj, bagi kesenangan agar lupa daratan, lupa tuhan, menjadi sombong dan angkuh, lalu kufur nikmat.
AYAT 42- {MAKA KETIKA IA DATANG MENGADAP, NABI SULAIMAN BERTANYA KEPADANYA: SERUPA INIKAH SINGAHSANAMU?\” IA MENJAWAB: \”BOLEH JADI INILAH DIA; DAN KAMI TELAH DIBERIKAN ILMU PENGETAHUAN SEBELUM BERLAKUNYA (MUKJIZAT) INI, DAN KAMI PULA ADALAH TETAP BERSERAH DIRI (MENJUNJUNG PERINTAH ALLAH)\”.} (AN-NAML 27:42)
- Akhirnya tibalah Ratu Balqis dan rombongannya di Palestin dan masuk mengadap Sulaiman a.s., di istananya. Terus nabi Sulaiman a.s bertanya kepadanya, adakah ini serupa singahsanamu?
- Ratu Balqis sebagai seorang yang bijaksana juga tidak memberi kata putus, hanya menjawab boleh jadi, macam inilah dia; ada rupanya seakan-akan dia punya. Tidak terus mengaku haknya tetapi tidak menafikannya terus.
- Inilah ilmu cara berinteraksi yang bijak, menarik dan beradab, sebagaimana contoh yang diberi oleh kisah Nabi Sulaiman a.s dan Ratu Balqis.
- Sekali lagi nabi Sulaiman a.s bersyukur atas ilmu pengetahuan dan mukjizat yang dikurniakan kepadanya serta atas nikmat iman dan tetap berserah diri menjunjung perintah Allah.
- Ada juga ulama\’ kata ini adalah kata-kata Ratu Balqis. Boleh dua-dua, wallahu a\’lam.
YAT 43- {DAN IA DIHALANGI (DARIPADA MEMELUK ISLAM PADA MASA YANG LALU): APA YANG IA PERNAH MENYEMBAHNYA (DARI BENDA-BENDA) YANG LAIN DARI ALLAH; SESUNGGUHNYA ADALAH IA (PADA MASA ITU) DARI PUAK YANG KAFIR.} (AN-NAML 27:43)
- Dalam ayat ini Allah s.w.t menyatakan bahawa Ratu Balqis terhalang daripada memeluk Islam pada masa yang lalu kerana dia dilahirkan dalam golongan penyembah matahari. Maka ia terikat dan terpengaruh dalam susasana kufur dan syirik itu.
- Kata ulama\’ kerana itulah pentingnya bi\’ah solehah (suasana/persekitaran yang baik) untuk perkembangan dan pembesaran anak-anak. Wajib atas para ibu bapa menyediakan asas ini pada peringkat awal umur mereka lagi.
AYAT 44- {(SETELAH ITU) DIKATAKAN KEPADANYA: \”DIPERSILAKAN MASUK KE DALAM ISTANA INI.\” MAKA KETIKA IA MELIHATNYA, DISANGKANYA HALAMAN ISTANA ITU SEBUAH KOLAM AIR, SERTA DIA PUN MENYINGSINGKAN PAKAIAN DARI DUA BETISNYA. NABI SULAIMAN BERKATA: \”SEBENARNYA INI ADALAH SEBUAH ISTANA YANG DIPERBUAT LICIN BERKILAT DARI KACA\”. (MENDENGAR YANG DEMIKIAN), BALQIS BERDOA: \”WAHAI TUHANKU, SESUNGGUHNYA AKU TELAH MENGANIAYA DIRI SENDIRI DAN (SEKARANG AKU MENEGASKAN BAHAWA) AKU BERSERAH DIRI MEMELUK ISLAM BERSAMA-SAMA NABI SULAIMAN, KEPADA ALLAH TUHAN SEKALIAN ALAM \”.} (AN-NAML 27:44)
- Selepas itu Ratu Balqis dipersilakan masuk ke dalam istana Nabi Sulaiman a.s. Salah satu lantainya diperbuat dari kaca yang jernih, seolah air indah yang mengalir. Lalu dia menyingsingkan kainnya sehingga ternampak dua betisnya.
- Nabi Sulaiman a.s menegurnya dan menjelaskan bahawa itu adalah sebuah istana yang diperbuat dari kaca lutsinar yang licin berkilat sehingga telus pandangan.
- Menyaksikan keajaiban ini membuatkan Ratu Balqis bertambah keyakinannya akan kebenaran nabi Sulaiman a.s dan kekuasan Allah s.w.t.
- Lalu dia terus insaf dan bertaubat, menyerahkan dirinya kepada Allah Tuhan sekalian alam, memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman. Alhamdulillah.
- Persoalan tentang samada mereka berkahwin atau tidak, ulama\’ kata tiada riwayat yang sahih satupun tentangnya. Tak perlu kita cari-cari atau reka-reka lagi.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Apabila jin Ifrit menawarkan dirinya, dia juga berkata: {Dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah\”.} Tidak salah untuk kita menawarkan diri jika benar-benar ada kemampuan. Serta boleh nyatakan kelebihan diri agar dipercayai untuk diberi tugas itu. Seperti masuk tenderlah.
- Dua sifat ini juga perlu bagi sesiapa yang mahu menjadi ketua atau menunaikkan sesuatu tugas atau tanggung-jawab. Kuat dan amanah, yakni kena kuat baru mampu untuk buat kerja, dalam masa sama kena ada sifat amanah, bukan khianat.
- Lelaki soleh itu itu adalah: {..seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah}. Menunjukkan bahawa orang yang hebat adalah orang yang berilmu.
- Kena bersyukur apabila mendapat nikmat dan kurniaan. Bukannya takabbur dan bangga diri menyangka ia adalah kerana kehebatan kita sendiri.
- Syukur itu menjaga nikmat yang sedia ada dan menarik nikmat baru. Allah juga berfirman: {Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih.} [Ibrahim, ayat 7].
- Allah s.w.t memberikan ilmu kepada nabi Sulaiman a.s, jadi kita boleh memberitahu atau menyatakan ilmu dan kepakaran yang kita ada. Masalahnya yang pakar tidak ramai, yang tak ppaka (tidak berguna) itu ramai!!
- Suasana dan persekitaran memberi kesan kepada seseorang itu. Maka untuk memberi asas agama kepada anak kita, pilihlah sekolah mereka yang dapat memberi kesan yang baik dan asas agama yang teguh untuk pembesaran mereka.
- Larangan untuk berkawan dengan orang yang jahat. Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya:
\”Seseorang itu bergantung kepada agama sahabatnya. Kerana itu, perhatikanlah setiap seorang di antara kalian dengan siapa dia bersahabat.\” (Hadis riwayat Abu Daud).
Hadis ini memberi petunjuk yang jelas bahawa sahabat memberi pengaruh yang besar atas nilaian peribadi seseorang. - Ratu Balqis berkata: {\”Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri} yakni boleh kita mengakui kesalahan diri sendiri lalu menyesal dan bertaubat.
- Betapa Ratu Balqis walaupun dia seorang Raja yang berkuasa, pemerintah negara yang besar dan kaya, tetapi apabila dia melihat kebenaran yang jelas di depan matanya, dia terus menerimanya, tidak angkuh dan sombong atau memberi alasan untuk menolaknya.
Begitulan manusia yang berakal sepatutnya menerima dengan hati yang terbuka apabila melihat kebenaran yang jelas walaupun berlainan dari fahaman atau apa yang diamalkan sebelum ini. Kita betulkan yang biasa dan biasakan yang sahih.
Wallahu a\’lam.