HANYA ALLAH S.W.T YANG MENGETAHUI PERKARA GHAIB, GOLONGAN KAFIR INGKAR KIAMAT & PARA PENDAKWAH JANGAN SEDIH BILA DITENTANG.
Full video : https://youtu.be/QO5FqYtYwYE
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini bermula dari ayat 65, kita akan bincangkan tentang kesempurnaan ilmu Allah s.w.t Yang Mengetahui segala-galanya.
- Makhluk lain ada ilmu tetapi terhad setakat yang diizinkan oleh Allah s.w.t. Kerana itu berbeza-bezanya ilmu antara para malaikat, jin, rasul, nabi dan orang ramai. Semua ini limited dan amat terbatas.
- Dalam ayat-ayat yang lepas telah telah dikritik berhala-berhala dan dinafikan semua sembahan-sembahan kaum musyrikin itu, dengan dalil-dalil yang jelas, bahkan Allah s.w.t telah beberapa kali bertanya: Adakah Tuhan Yang lain Selain Allah s.w.t? Lalu dijawab dengan tegas oleh orang yang beriman bahawa TIADA. Maka terputuslah dan batallah hujjah kaum musyrikin dengan pembatalan yang bermula dari akar-umbi lagi.
- Juga dakwaan sebahagian dari tukang tilik, pawang dan bomoh yang mengetahui perkara yang ghaib melalui jin yang mengintai di langit, akan diterima oleh orang yang syirik. Tetapi orang beriman akan menolaknya kerana mereka tahu ada ilmu yang khas untuk Allah s.w.t sahaja, tiada orang lain yang boleh mengetahuinya, inilah ilmu yang terhad, bukan mutlak.
- Firman Allah s.w.t: {Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.} (Al-An\’aam 6:59)
- Ada setengah golongan mengangkat darjat Nabi s.a.w secara berlebihan; mereka mengatakan Baginda tahu perkara ghaib. Ini adalah tidak benar, UM Aisyah r.a telah menafikan pendapat ini. Katanya: Sesiapa yang menyangka:
i- Rasulullah s.a.w telah melihat Allah s.w.t pada malam Mi\’raj;
ii- Rasulullah s.a.w sembunyikan tidak sampaikan apa yang Allah s.w.t turunkan kepadanya;
ii- siapa yang menyangka bahawa Nabi tahu apa yang berlaku esok; maka orang itu telah membuat pembohongan ke atas Allah s.w.t. sedangkan Allah s.w.t telah berfirman tiada siapa yang tahu perkara ghaib kecuali Allah! [HR Muslim] - Tetapi apa yang Rasulullah samapaikan dalam hadis-hadisnya tentang beberapa perkara ghaib adalah melalui wahyu yang datang dari Allah s.w.t, iaitu setakat mana yang Allah beritahu.
AYAT 65- {KATAKANLAH LAGI: TIADA SESIAPAPUN DI LANGIT DAN DI BUMI YANG MENGETAHUI PERKARA YANG GHAIB MELAINKAN ALLAH!\” DAN TIADALAH MEREKA MENYEDARI BILAKAH MASING-MASING AKAN DIBANGKITKAN HIDUP SEMULA (SESUDAH MATI).} (AN-NAML 27:65)
- Allah s.w.t perintah kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk berkata bahawa tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah.
- Mereka juga tidak tahu bilakah mereka akan mati dan dibangkitkan semula sehinggalah tiba hari Kiamat kelak, tetapi ketika itu penyesalan yang tidak berguna lagi!
- Dalam satu hadis yang panjang tentang Islam, Iman dan Ihsan, Malaikat Jibril pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang waktu hari kiamat. Baginda s.a.w. menjawab, \”Tiadalah orang yang ditanya (seorang nabi) lebih mengetahui daripada orang yang bertanya (seorang malaikat).\” Keduanya sama-sama tidak mengetahuinya.
Yakni hanya Allah s.w.t saja yang mengetahuinya bilakah tarikhnya yang sebenar.
AYAT 66- {BAHKAN MEREKA (YANG KAFIR) TELAH BERKALI-KALI MENGETAHUI TENTANG HARI AKHIRAT (TETAPI MEREKA TIDAK MEYAKININYA), BAHKAN MEREKA BERADA DALAM SYAK MENGENAINYA; BAHKAN MATAHATI MEREKA BUTA LANGSUNG DARIPADA MEMIKIRKANNYA.} (AN-NAML 27:66)
- Orang kafir itu tahu tentang hari Akhirat tetapi mereka tidak percaya dan ragu-ragu tentangnya. Jika benar kenapa datuk nenek mereka dulu tidak kembali.
- Apabila telah berlaku di depan mata mereka baru mereka yakin dan percaya sepenuhnya, kepercayaan yang tidak bernilai lagi.
- Kata Imam al-Mawardi, ayat ini menunjukkan:
i- Sifat tercela orang kafir, ilmu dan maklumat mereka telah hilang walaupun telah ditunjuk pelbagai bukti dan tanda yang zahir, samada tersurat melalui ayat-ayat Allah atau tersirat.
ii- kepujian atas ilmu mereka, asal atas dunia dulu mereka ingkarnya akhirnya di akhirat mereka jumpa sunguh. - Mereka dalam keadaan syak di dunia dulu, bahkan mata hati mereka buta lansung daripada memikirkannya, yakni tutup minda terus daripada menimbangkannya.
- Kata Abu Ali al-Farisi; Buta daripada mengetahui tentang sesuatu perkara lebih jauh daripada syak. Syak atau ragu masih ada lagi kepercayaan cuma tidak yakin, tetapi jika buta, yakni tutup mata hati gelap-gelemat dan tidak percaya terus.
Bukan buta mata pancaindera penglihatan biasa, ini tidak menghalang mendapat ilmu dan hidayat Allah s.w.t. berapa ramai alim ulama\’ yang buta matanya tapi hatinya cerah. - Sufyan bin Uyainah rhm. berkata: Orang yang berakal itu bukan hanya tahu sekadar tahu tentang benda baik dan benda salah. Tetapi org yang berakal ialah:-
i- bila dia tahu benda baik dia akan ikut dan amal.
ii- bila tahu benda itu buruk maka dia tiggalkan tidak buat.
AYAT 67- {DAN ORANG-ORANG YANG KAFIR BERKATA: \”ADAKAH SESUDAH KAMI MENJADI TANAH, DAN JUGA DATUK NENEK KAMI, ADAKAH KAMI SEMUA AKAN DIKELUARKAN DARI KUBUR (HIDUP SEMULA)?} (AN-NAML 27:67)
- Orang kafir menimbulkan keraguan lagi tentang kebangkitan semula selepas mati.
- Menurut tanggapan mereka, adalah mustahil mereka dan datuk nenek mereka yang telah lama mati itu dapat dibangkitkan kembali dari kubur sesudah menjadi tulang belulang yang telah hancur lalu hidup semula.
AYAT 68- {\”DEMI SESUNGGUHNYA, KAMI TELAH DIJANJIKAN DENGAN PERKARA INI, KAMI DAN JUGA DATUK NENEK KAMI DAHULU; INI HANYALAH CERITA-CERITA DONGENG ORANG-ORANG DAHULU KALA\”.} (AN-NAML 27:68)
- Mereka mempertikaikannya dengan berkata sudah lama mereka mendengar peringatan dan ancaman yang mengatakan akan bangkit semula, dihidupkan kembali sesudah mati, tetapi mereka tidak pernah melihatnya, sejak datuk nenek dulu lagi tetapi tidak pernah pula terjadinya.
- Mereka memutusakn bahawa ia hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala.
AYAT 69- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”MENGEMBARALAH KAMU DI MUKA BUMI, KEMUDIAN PERHATIKANLAH BAGAIMANA BURUKNYA KESUDAHAN ORANG-ORANG YANG BERDOSA ITU\”.} (AN-NAML 27:69)
- Kemudian Allah perintahkan Rasulullah s.a.w agar menyuruh umatnya mengembara di muka bumi untuk mengambil pengajaran dan iktibar dengan melihat kesan-kesan kemusnaan kebinasaan umat terdahulu.
- Perhatikanlah فَانْظُرُوا bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan para rasul, kebangkitan, hari akhirat dan berita-berita lainnya. Perhatikanlah apa yang telah menimpa mereka dari azab Allah dan pembalasan-Nya yang amat buruk.
- Bukan mengembara saja tetapi {فَانْظُرُوا} perhatikan, tengok lalu ambil iktibar dan pengajaran, bukan sekadar bergambar dan berlibur tanpa faedah.
- Begitulah adab berdakwah bermacam, asam garam perjuangan, cabaran dan tentangan akan dihadapi, akan ada penyokong dan penentangnya. Begitulah sejak zaman para nabi dan rasul terdahulu lagi.
AYAT 70- {DAN JANGANLAH ENGKAU BERDUKACITA TERHADAP (KEINGKARAN) MEREKA (YANG KAFIR ITU,) DAN JANGANLAH ENGKAU RESAH-GELISAH DISEBABKAN TIPU DAYA YANG MEREKA LAKUKAN.} (AN-NAML 27:70)
- Perintah Allah kepada Rasulullah s.a.w dalam ayat ini agar ( La Tahzan)- jangan sedih, jangan dukacita atas keingkaran mereka yang berpaling tidak mahu ikut.
- juga kepada setiap umatnya yang berdakwah mengajak orang ke arah kebaikan.
i- jangan sedih.
ii- jangan sempit dada dan resah gelisah.
- Ayat ini mengajar kepada kita bahawa sudah sunnatullah, ketetapan yang Allah buat atas dunia ini; orang yang berdakwah bawa panji Allah akan ditentang oleh pelbagai pihak yang bertentangan. Ini kerana:
i. Orang kafir kerana bertentangan dengan aqidah pegangan tok nenek mereka.
ii. Orang yang sudah Islam, kerana berbeza dengan amalan kebiasaan mereka sebelum ini. Maka jangan sedih, la tahzan!
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 70 – Peringatan dan perintah-perintah kepada semua pendakwah, jika ada yang menentang mereka yang bercanggah amalan jangan sedih dan sempit dada.
- Larangan jangan dukacita dan bersedih dalam al-Quran. Allah perintahkan jangan sedih dalam hal menyampaikan urusan agama, sabar dan teruskan perjuangan.
Firman Allah s.w.t: {Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.} (Aali \’Imraan: 139)
Kerana tiada manfaat dan faedah, maka Allah larang. Kata pengkaji ulama\’ tafsir- semua perkataan sedih dalam Quran samada datang secara:
1- Larangan- dalam surah an-Namli: 70 & aal-Imran: 139.
2- Penafian- dalam surah al- Baqarah: 38.
Firman Allah s.w.t: {Maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita\”.} (Al-Baqarah 2:38)
Hikmahnya:- Kerana perasaan sedih dan dukacita boleh membuat terhenti kerja dakwah & hati tidak tenang, maka ini yang disukai oleh syaitan. - Ayat 69- {mengembara & tengok bagaimana akibat orang jahat}- Allah perintah untuk kita berjalan bukan sejadar berjalan tetapi dengan cara berfikir dan mengambil pengajaran dari orang dulu yang sudah binasa. Ayat ini fokus khas kepada orang yang ingkar kafir dari dulu dan zaman sekarang.
- Ayat 65- tidak ada siapa tahu benda ghaib kecuali Allah. Dalil bahawa hanya Allah saja yang tahu benda ghaib. Maka sesiapa saja yang mendakwa tahu benda ghaib atau ramalan masa depan maka ia adalah pembohong dan dalam ajaran yang salah, seperti ahli nujum, tukang tilik dan seumpamannya.
Hadis Nabi s.a.w tentang tanda-tanda Kiamat, jangan kita salah guna atau mudah-mudah buat analisa teori sndiri. Boleh membawa kekufuran kepada Allah s.w.t. - Perkara ghaib ada 2 kategori:-
i- ghaib secara mutlak- tiada siapa yang tahu- di bawah ilmu Allah s.w.t yang khas – seperti bilakah Kiamat. Allah simpan ilmu itu untuk Dia sahaja.
ii- ghaib nisbah atau ghaib muqayyad (terikat):- diketahui oleh sebahagian makhluk yang menyaksikannya seperti malaikat atau jin, yakni ghaib bagi sebahagian orang tetapi tidak bagi org lain. Maka jika kita tidak tahu tentang sesuatu hal, jangan kita nafikan sepenuhnya kerana mungkin ada orang lain yang tahu tentangnya. - Ayat 66 – puak kafir tahu tetapi tidak yakin:- kata ulama\’ bahawa manusia ini penentangannya tidak sama, ada yang kuat ada lemah. Sama seperti maksiat ada yang pergi kepada dosa kecil, ada yang besar sehingga boleh membawa kepada kekufuran. Sebagaimana kata ulama\’, maksiat itu jambatan kepada kekufuran.
Demikian juga manusia, mula-mula ingkar, kemudian akan naik lagi sehingga kafir lalu syirik. Syaitan juga sesatkan manusia ikut peringkat inilah.
Kita minta selamat dengan Allah dari kesemuanya. - Ayat 67- {mereka berkata bila dah mati dan jadi tanah adakah akan balik semula?}
Puak sesat ini mahu timbulkan keraguan dan syubhat tentang kebenaran dengan bermain persepsi dan analogi kebatilan mereka. Cuba memesongkan kebenaran dengan menggunakan hujjah mainan akal, jika betul kenapa tak terjadi lagi.
Sama seperti hujjah orang Islam tentang amalan-amalan mereka apabila ditegur, takkanlah tak betul, sudah lama tok nenek kita buat amalan ini, tiada yang tegurpun sebelum ini? Takkan awak seorang yang baru tahu? Walaupun dibacakan hadis sahih mereka tetap dalam keraguan mereka itu. - Sekali lagi Ayat 69- {mengembara dan tengok bagaimana akibat orang jahat}- Ulama kata kita kena tengok akibat dan kesan, bukan tengok awal dan permulaan. Awalnya mereka seperti biasa tetapi akhirnya mereka binasa dan musnah akibat ingkar dan kufur.
Akibat maksiat dan mungkar yang tidak ditegur dari awal, kesudahannya ia akan menjadi sesuatu yang biasa dan tidak asing lagi, seperti LGBT, pergaulan bebas dan seumpamanya. Maksiat akan dianggap biasa dan normal dalam masyarakat. - Ayat 69 – كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُجْرِمِينَ
Kenapa tak sama jenis antara كَانَ dan عَاقِبَةُ?
i- kerana ia adalah muannas majazi (pada nama saja) bukan hakiki.
ii – kenapa kata akibat mujrimin الْمُجْرِمِينَ (penderhaka) bukan kafir atau musyrikin?
Ulama kata untuk menakutkan semua penderhaka samada dari kalangan kafir, musyrikin atau muslimin sendiri yang derhaka akan hukum Allah swt. Seperti muslimin yang terlibat dengan riba, LGBT dan lain-lain maksiat. - Ayat – {jangan kamu menjadi sempit dada- وَلَا تَكُنْ فِي ضَيْقٍ}
Kata ulama, dalam ayat ini Allah swt mahu memberi satu penjagaan dan penenang kepada Rasulullah s.a.w. Maka ayat ini termasuk dalam inayah dan hikmah Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w dan para pendakwah semua.
maka jangan sedih, jangan sempit dada teruskan dakwah dan perjuangan kamu.
Ini juga motivasi kepada semua pendakwah, jalan terus jangan putus asa, jika mereka buat perancangan jahat, Allah s.w.t juga ada perancangan-Nya. Bila hilang malam insya\’ Allah munculnya siang. Orang tak terima dakwah kita hari ini mungkin esok kerana kuasa dakwah petunjuk itu di tangan Allah s.w.t.
Wallahu a\’lam.