View Categories

Surah An-Nazi’at : Ayat 1-14

Surah An-Nazi’at – سورة النازعات
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْم
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, MUNASABAH & ALLAH BERSUMPAH DENGAN MALAIKAT DAN SIKAP PENDUSTA PADA HARI KIAMAT.

Full video : https://youtu.be/-kpSGTZNCFI?si=Mr3NJuNuXbSbhscK

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Ahad 9 Syawwal 1444H bersamaan 30hb April 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah An-Nazi’at سورة النازعات.
  1. Syukur kepada Allah SWT kerana kita dapat meneruskan pengajian dalam tafsir al-Quran & tadabburnya. Semoga Allah SWT kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  1. Surah An-Nazi’at سورة النازعات adalah surah ke-79 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang kedua dalam juz ke 30, iaitu selepas Surah An-Naba’ – سورة النبأ. Mengandungi 46 ayat yang pendek-pendek.
  1. Ulama’ tafsir ijma’ mengatakan : Surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah SAW ke Madinah. 

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah An-Nazi’at- {سورة النازعات} yang bermakna {Pencabut} kerana pada awal surah Allah SWT bersumpah dengan makhluk-makhluk-Nya sama ada malaikat dan lain-lain bahawa manusia akan dibangkit-hidupkan semula pada hari Kiamat untuk menerima balasan.
  1. Surah ini juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti:
    ii- As-Sahirah {ٱلسَّاهِرَةِ}- muka bumi yang putih rata. Kerana terdapat perkataan ini dalam surah ini dan tidak ada ada dalam surah lain.

    iii- At-Tomah { ٱلطَّآمَّةُ}- hari yang bencananya amat besar. Kerana terdapat perkataan ini dalam surah ini dan tidak ada ada dalam surah lain.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Menegaskan tentang kebenaran hari Kiamat yang tidak sepatutnya diragui oleh sesiapapun. Kemudian ditegaskan bahawa kedatangan Kiamat itu bermula dengan tiupan sangkakala pertama, yang menggoncangkan alam ini lalu mematikan semua makhluk yang bernyawa, punah ranah segalala alam kecuali yang dikehendaki Allah SWT. 
    Kemudian diikuti oleh tiupan sangkakala kedua yang menyebabkan orang yang mati hidup semula serta keluar dari kubur masing-masing. 
  1. Semua ini adalah benar dengan tidak syak lagi, maka diberi amaran sesiapa yang masih mengingkarinya serta berdegil dalam kekufuran, mereka akan menerima akibat yang seburuk-buruknya sebagaimana Firaun & kaumnya yang kufur ingkar!

    Setelah itu diceritakan peristiwa yang akan berlaku di akhirat serta balasan bagi orang yang taat & orang yang derhaka.
  1. Kemudian Allah SWT menceritakan kepada Rasulullah SAW tentang perihal orang kafir yang datang berjumpa Baginda SAW bertanya tentang bilakah hari Kiamat secara mengejek. Bukan nak belajar datau nak ilmu, hanya untuk perli dan main-main!
    Lalu ditegaskan kepada mereka ianya bukan dibawah bidang tugas Rasulullah SAW, sebaliknya kepada Allah jua terserah ilmu mengenai bilakah akan berlakunya hari Kiamat. Tiada siapa yang tahu hanya Allah saja yang tahu.
  1. Tugas Rasulullah SAW hanya memberi amaran kepada orang yang takut kepada hari Kiamat itu, tentang hari Kiamat yang dahsyat itu sehingga orang yang bersalah merasa seolah mereka tidak hidup di dunia melainkan sekadar pada waktu pagi atau petang saja, terasa pendek & sebentar!

MAQASID/OBJEKTIF SURAH:

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah untuk menetapkan bahawa kebangkitan semula itu benar & menyebut satu sudut daripada huru-hara hari Kiamat. Serta untuk menolak kefahaman orang yang mendustakan tentang Kebangkitan semula & memberi amaran dan ancaman kepada mereka. 

ISU PENTING DALAM SURAH:

  1. Allah SWT mahu nyatakan tentang pastinya kebangkitan semula & balasan amalan.
  1. Menolak hujjah puak musyrikin yang mengingkari akan terjadinya Kiamat.
  1. Allah SWT sebut satu cebis kisah nabi Musa AS iaitu dia diutuskan kepada Firaun.
  1. Menegakkan dalil bahawa Kiamat itu benar serta Allah SWT sebut beberapa tanda kekuasaan-Nya.
  1. Allah SWT sebut sebahagian daripada peristiwa pada hari Kiamat dan huru-haranya.
  1. Allah nyatakan betapa eloknya pengakhiran hidup orang yang bertaqwa dan betapa buruknya bagi orang yang sebaliknya.
  1. Untuk menjawab beberapa soalan provokasi puak kafir tentang Kiamat. Bahawa ilmu tentang Kiamat ini hanya Allah SWT saja yang tahu. Tugasan para rasul hanya memperingatkan manusia untuk sentiasa membuat persiapan kerana kamu akan mati bila-bila masa saja. 
    Kemudian akan melalui perjalanan yang sangat jauh & dahsyat untuk bertemu dengan Allah SWT. Sama ada pengakhirannya syurga atau neraka. 
  1. Orang kafir merasakan mereka hanya hidup sekejap sahaja atas dunia ini. Ini kerana apabila mereka kena azab tidak terasa atau sudah lupa akan segala nikmat sebelumnya.

MUNASABAH SURAH AN-NAZI’AT – سورة النازعات DENGAN سورة النبأ – SURAH AN-NABA’ SEBELUMNYA :
Hubung-kait surah ini dengan سورة النبأ – Surah An-Naba’:

  1. Tajuknya hampir sama. Kedua surah ini menceritakan tentang hari Kiamat & keadaannya. Serta tentang pengakhiran baik bagi orang yang bertaqwa & tempat kembali bagi golongan pendosa (mujrimin).
  1. Persamaan dalam permulaan surah:
    i- Pada permulaan kedua surah, tentang bangkit semula & Kiamat. 
    Surah An-Naba’ menguatkan tentang adanya hari Kiamat dan Kebangkitan semula dan apa yang berlaku dari Hisab Pengadilan & Pembalasan (الحساب والجزاء).  

    ii- Dalam Surah An-Nazi’at Allah SWT mulakan dengan bersumpah beberapa sumpah bahawa Kiamat itu pasti akan terjadi untuk menta’kidkan apa yang telah diceritakan dalam surah sebelumnya.
  1. Persamaan pada akhir surah:
    i- Surah An-Naba’ Allah akhiri dengan amaran keras, sesiapa yang tidak mahu ikut akan diazab! Tentang azab hari Kiamat yang dekat.

    ii- Dalam Surah An-Nazi’at سورة النازعات ini Allah akhiri dengan beberapa firman-Nya, tentang kebangkitan semula, perhimpunan Mahsyar serta dikuatkan pada akhirnya bahawa Kiamat itu pasti akan berlaku!
    Ini menunjukkan bahawa al-Quran itu dari sumber & dalil yang sama iaitu dari Allah Azza wa Jalla. 
    Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan {المتقين}, orang yang layak menerima nikmat-Mu pada hari Kiamat nanti.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {DEMI (MAKHLUK-MAKHLUK) YANG MENCABUT (APA YANG DITUGASKAN MENCABUTNYA) DENGAN CARA YANG SEKASAR-KASARNYA;} (AN-NAZI’AT 79:1)

  1. Allah SWT bersumpah dengan makhluk-makhluk-Nya bermula dari ayat 1-5 bahawa Kiamat itu pasti akan berlaku!
  1. Kerana tidak diterangkan apakah jenis makhluk {yang mencabut- وَٱلنَّـٰزِعَـٰتِ} maka ulama’ bawa beberapa pandangan:
    i- Ada yang mengatakan malaikat pencabut nyawa orang-orang kafir.

    Sebagaimana firman Allah SWT:
    {Dan (amatlah ngerinya) kalau engkau melihat (wahai orang yang memandang), ketika malaikat mengambil nyawa orang-orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka (sambil berkata): “Rasalah kamu azab seksa neraka yang membakar”.} (Al-Anfaal 8:50)
    Hadis riwayat al-Bara’ bin Azib RA yang panjang sebelum ini tentang malaikat maut yang datang untuk mencabut nyawa manusia.

    ii- Ada yang kata bintang-bintang yang dicabut daripada ufuk. Serta beberapa perkara lain.
    Tetapi yang masyhurnya ialah malaikat!

AYAT 2- {DAN YANG MENARIK (APA YANG DITUGASKAN MENARIKNYA) DENGAN CARA YANG SELEMBUT-LEMBUTNYA;} (AN-NAZI’AT 79:2)

  1. Serta yang menarik dengan cara yang amat lembut {وَٱلنَّـٰشِطَـٰتِ}.
  1. Iaitu Allah SWT bersumpah demi malaikat yang mencabut nyawa orang mukmin dengan selembut-lembutnya. 

AYAT 3- {DAN DEMI (MAKHLUK-MAKHLUK) YANG CERGAS BERGERAK (MENERIMA PERINTAH) DENGAN GERAK YANG SECERGAS-CERGASNYA;} (AN-NAZI’AT 79:3)

  1. Demi makhluk yang cergas bergerak {وَٱلسَّـٰبِحَـٰتِ} apabila menerima perintah Allah SWT, yakni terus menjalankannya tanpa bertangguh dan berlengah-lengah. Ketaatan yang mutlak.
  1. Iaitu malaikat yang berterbangan di langit menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah SWT.
  1. Kata Ibnu Jarir RHM : Ulama’ berbeza pendapat tentang apakah pula makhluk yang cergas bergerak {وَٱلسَّـٰبِحَـٰتِ} ini: 
    i- Malaikat yang cergas berterbangan menjalankan tugas mereka. 

    ii- Kematian yang berlegar dalam tubuh manusia.

    iii- Ada kata bintang-bintang yang berjalan pada paksinya. 
    Wallahu a’lam yang mana satu tetapi yang masyhurnya ialah malaikat!

AYAT 4- {LALU MASING-MASING BERLUMBA-LUMBA DAHULU-MENDAHULUI (MENJALANKAN TUGASNYA) DENGAN CARA YANG SESUNGGUH-SUNGGUHNYA;} (AN-NAZI’AT 79:4)

  1. Allah juga bersumpah dengan malaikat yang segera menjalankan semua tugas yang Allah SWT perintahkan kepada mereka, tanpa cuai & tanngguh!

AYAT 5- {SERTA MENYEMPURNAKAN TADBIR URUSAN ALAM YANG DIPERINTAHKAN KEPADANYA; (SUMPAH DEMI SUMPAH, SESUNGGUHNYA KAMU AKAN DIBANGKITKAN HIDUP SEMULA PADA HARI KIAMAT)!} (AN-NAZI’AT 79:5)

  1. Serta malaikat yang telah menjalankan semua tugas yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada mereka!  
  1. Ada malaikat yang jaga manusia, jaga bukit, jaga awan & hujan dan lain-lain.
  1. Antara ajaran yang karut ialah mengajar manusia apabila masuk hutan untuk memberi salam kepada pokok, hutan, sungai dan lain-lain. Sedangkan Allah SWT telah tugaskan para malaikat untuk menjaga semua itu! 

AYAT 6- {PADA MASA BERLAKUNYA “TIUPAN SANGKAKALA YANG PERTAMA” YANG MENGGONCANGKAN ALAM, (SEHINGGA MATI SEGALA YANG BERNYAWA DAN PUNAH-RANAH SEKALIAN MAKHLUK SELAIN DARI YANG DIKECUALIKAN),} (AN-NAZI’AT 79:6)

  1. Pada hari Kiamat; bumi bergoncang seolah gempa bumi yang paling besar & dahsyat!

AYAT 7- {TIUPAN YANG PERTAMA ITU DIIKUTI OLEH TIUPAN YANG KEDUA, (YANG MENYEBABKAN ORANG-ORANG YANG MATI SEMUANYA HIDUP SEMULA SERTA KELUAR DARI KUBUR MASING-MASING);} (AN-NAZI’AT 79:7)

  1. Tiupan pertama yang mematikan akan dikuti oleh tiupan yang keduanya yang menghidupkan kembali mereka yang mati lalu keluar semuanya dari kubur masing-masing.
  1. Hadis dari Ubai bin Ka’ab RA bahawa Rasulullah SAW apabila telah berlalu dua pertiga malam bangun mengingati manusia supaya bangun mengingati Allah. 
    Baginda berdiri, lalu bersabda: Wahai manusia, ingatlah kepada Allah, tiupan pertama yang mengguncangkan {يَوْمَ تَرْجُفُ ٱلرَّاجِفَةُ } dan (akan) datang yang diiringi dengan tiupan yang kedua {تَتْبَعُهَا ٱلرَّادِفَةُ }, maka datanglah maut berikut segala sesuatunya. [HR at-Tirmizi, Ahmad dan lain-lain]. 

AYAT 8- {HATI (MANUSIA) PADA HARI ITU BERDEBAR-DEBAR TAKUT,} (AN-NAZI’AT 79:8)

  1. Hati manusia kafir yang tidak percaya dulu; pada hari itu takut berdebar-debar apabila melihat telah berlakunya Kiamat yang mereka tidak percaya & perli dulu!
  1. Kita orang yang beriman dan percaya kena buatlah persediaan yang mantap.

AYAT 9- {PEMANDANGANNYA TUNDUK GERUN.} (AN-NAZI’AT 79:9)

  1. Pandangan mereka tunduk kerana gerun & takut!

AYAT 10- {MEREKA (YANG INGKAR) BERKATA: “SUNGGUHKAH KITA AKAN DIKEMBALIKAN HIDUP SEPERTI KEADAAN DI DUNIA DAHULU?} (AN-NAZI’AT 79:10)

  1. Barulah mereka tahu bahawa mereka akan kembali hidup seperti dulu!
  1. Sedangkan dulu mereka tidak percaya dan berkata dengan perli: Sungguhkah kita akan dikembalikan hidup seperti keadaan di dunia dahulu selepas mati ini?

AYAT 11- {“BOLEHKAH (DIHIDUPKAN SEMULA) SESUDAH KITA MENJADI TULANG YANG REPUT?”} (AN-NAZI’AT 79:11)

  1. Mereka bertanya lagi: Apakah kita boleh hidup semula setelah menjadi tulang yang reput & hancur????

AYAT 12- {MEREKA BERKATA LAGI (SECARA MENGEJEK: “KALAULAH BERLAKU) YANG DEMIKIAN, SUDAH TENTU KEMBALINYA KITA (HIDUP SEMULA) ITU SATU PERKARA YANG MERUGIKAN!”} (AN-NAZI’AT 79:12)

  1. Mereka berkata lagi dengan mengejek; jika benar kami akan hidup kembali; maka ia adalah satu kerugian! 
    Yakni kehidupan semula itu tidak ada faedah & keuntungan bagi pendapat mereka!!

AYAT 13- {(MENGHIDUPKAN SEMULA TIDAKLAH SUKAR), KERANA BERLAKUNYA PERKARA ITU HANYALAH DENGAN SATU JERITAN (YANG TERBIT DARI TIUPAN SANGKAKALA YANG KEDUA),} (AN-NAZI’AT 79:13)

  1. Sesungguhnya untuk menghidupkan semula manusia adalah sesuatu yang amat mudah bagi Allah SWT!
  1. Dengan sekali tiupan sangkakala dari malaikat sahaja; semua manusia yang telah mati & hancur itu akan hidup & bangkit semula!  
    Yakni setiap tiupan hanya sekali tiup sahaja, bukan berulang seperti penjual aiskrim itu.
  1. Firman Allah SWT:
    {(Kebangkitan ini mudah) kerana sesungguhnya ia boleh berlaku hanyalah dengan suara sahaja, maka dengan serta mereka semuanya (bangkit) melihat (apa yang akan jadi).} (As-Saffat 37:19)
  1. Hadis Rasulullah SAW:
    Allah turunkan hujan yang menumbuhkan semula manusia yang ada tulang sulbinya hidup semula seperti pokok. [HR Muslim].

AYAT 14- {YANG MENYEBABKAN MEREKA DENGAN SERTA-MERTA BERADA DI MUKA BUMI YANG PUTIH RATA.} (AN-NAZI’AT 79:14)

  1. Mereka lalu dikumpulkan semuanya di bumi yang putih rata (padang Mahsyar) iaitu tempat berkumpul seluruh manusia yang terdahulu & yang terkemudian.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Demi (makhluk-makhluk) yang mencabut (apa yang ditugaskan mencabutnya) dengan cara yang sekasar-kasarnya;}-

    Iaitu para malaikat yang mencabut nyawa orang kafir dengan kasar, mengikut pendapat kebanyakan ulama’.
    Persoalan:
    Kenapa digunakan perkataan untuk perempuan (مؤنث) iaitu { وَٱلنَّـٰزِعَـٰتِ} bagi malaikat sedang malaikat itu bukan lelaki atau perempuan? 
    Jawapan:
    Ini kerana Allah SWT bersumpah secara kumpulan, maka sekumpulan malaikat digunakan lafaz muannas, iaitu sekumpulan malaikat yang kerjanya ialah mencabut nyawa { وَٱلنَّـٰزِعَـٰتِ}.

    Sama seperti doa kita dalam solat Jenazah boleh guna kedua lafaz:
    i- (اللهم اغفرله) untuk lelaki dengan makna (mayat) atau

    ii- (اللهم اغفر لها) untuk perempuan; dengan makna (jenazah).
  1. Ayat 5- {Serta menyempurnakan tadbir urusan alam yang diperintahkan kepadanya;}-

    Malaikat yang menjalankan segala tugas yang Allah SWT perintahkan kepada mereka.
    Kata para ulama’ : Semua gerakan yang terjadi di langit & di bumi termasuk falak, bintang-bintang, matahari, bulan, tumbuhan & haiwan adalah terjadi daripada hasil kerja malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT! 
    Ramainya bilangan malaikat itu hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya.
    Allah SWT telah melantik malaikat sebagai wakil untuk menjaga alam atas (langit) dan alam bawah (bumi). Mereka menjalankan tugas dengan izin Allah SWT, bukan pandai-pandai sendiri & tugasnya amat besar.
  1. Ayat 6- {Pada masa berlakunya “tiupan sangkakala yang pertama” yang menggoncangkan alam,} & Ayat 7- {Tiupan yang pertama itu diikuti oleh tiupan yang kedua,}-

    Ulama’ mengatakan berlaku dua tiupan : Iaitu pada hari tiupan serunai yang pertama mati semua, tiupan kedua hidup semula semuanya.
    Ulama’ berbeza pendapat tentang berapa kali serunai ini ditiup:
    i- Ada kata hanya dua kali; tiupan yang pertama mati semua, tiupan kedua hidup semula semuanya.

    ii- Ada juga yang kata tiga kali tiup; tiupan pertama sebagai tiupan amaran & kejutan. Tiupan kedua mati semua, tiupan yang ketiga hidup bangkit semula.
    Yang berbeza ialah pada tiupan amaran & kejutan itu.
  1. Ayat 8- {Hati (manusia) pada hari itu berdebar-debar takut,}-

    Hati orang kafir pada hari itu sangat-sangat takut gementar!
    Ini kerana mereka telah sedar bahawa apa yang mereka dustakan dan ingkari dulu telah benar-benar berlaku!
    Berbeza dengan hati orang yang beriman sebagaimana firman Allah SWT:
    {Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.} (Fussilat 41:30)

    Orang yang beriman dan istiqomah, pada saat kematiannya; malaikat turun memujuk agar jangan takut & sedih. Mereka juga akan bangkit di akhirat dalam keadaan aman & tenang, berada di bawah bayangan Arasy Allah SWT, menunggu arahan Allah SWT untuk ke syurga.
    Ya Allah jadikan kami, keluarga kami & orang-orang yang kami sayangi dari kalangan orang yang beriman di dunia & akan aman di akhirat kelak!
  1. Ayat 13- {(Menghidupkan semula tidaklah sukar), kerana berlakunya perkara itu hanyalah dengan satu jeritan (yang terbit dari tiupan sangkakala yang kedua),}-

    Allah SWT Yang Maha Berkuasa Maha Agung, mempunyai kekuatan & kekuasaan yang cukup besar, tidak ada siapa boleh lawan dan sekat apa yang dikehendaki-Nya.
    Dengan satu tiupan sahaja semua manusia akan mati; kemudian dengan satu tempikan lagi semuanya akan hidup kembali pula. Berkumpul di satu tempat yang Allah SWT tentukan iaitu di padang Mahsyar!

Ya Allah berikanlah kami agar dapat berkumpul dalam keadaan aman, dengan keredhaan Allah layak ke syurga!
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs