View Categories

Surah An-Nazi’at : Ayat 15-26

KISAH NABI MUSA DI WADI MUQADDAS, ARAHAN BERTEMU FIRAUN & PENGAJARAN BAGI YANG TAKUT.

Full video : https://youtu.be/EkXDMiLI0wQ?si=gaFu2soma80pzjUd

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang kisah Nabi Musa yang berada di Wadi Muqaddas, Tuwa.
  1. Kemudian Allah SWT memberi perintah kepada Nabi Musa untuk pergi bertemu Firaun dan berdakwah kepadanya. Firaun yang sombong & angkuh menjadi Tuhan lalu Allah binasakannya!
  1. Allah nyatakan semua cerita yang dikisahkan ini adalah untuk menjadi ibrah pengajaran bagi orang yang takut kepada Allah SWT!
  1. Munasabah ayat:
    i- Setelah Allah SWT menerangkan perihal kaum musyrik Makkah yang tidak percaya kepada kebangkitan semula & hari Akhirat, lalu mereka enggan beriman.

    Maka mulai ayat ini Allah SWT memberi semangat kepada Rasulullah SAW supaya Baginda meneruskan perjuangannya menegakkan Islam dengan menceritakan kepadanya tentang nabi Musa yang juga mendapat tentangan keras dari Firaun dan kaumnya, tetapi akhirnya Allah SWT binasakan Firaun dan menangkan Nabi Musa.

    ii- Firaun lebih kuat daripada kaum Quraisy, pengikut & bala tenteranya lebih ramai daripada kaum Quraisy, tetapi apabila dia melawan Nabi Musa AS, Allah SWT mengambil tindakan tegas dengan menenggelamkannya dalam Laut Qalzum atau Laut Merah sekarang ini namanya! Mati semua tentera yang bersamanya tiada yang terlepas!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 15- {SUDAHKAH SAMPAI KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) PERIHAL NABI MUSA?} (AN-NAZI’AT 79:15)

  1. Allah SWT tanya kepada Rasulullah SAW: Apakah sudah sampai kepada kamu wahai Muhammad SAW tentang kisah Nabi Musa AS?
  1. Ini adalah soalan berbentuk maklumat. Untuk memberi semangat & galakan kepada Rasulullah SAW untuk meneruskan dakwahnya walaupun mendapat tentangan kaumnya, Quraisy Makkah.
  1. Supaya Baginda bertenang & sabar, jika dimarahi dan ditentang oleh kaumnya, ingatlah kepada kisah nabi Musa AS dulu!

AYAT 16- {KETIKA IA DISERU OLEH TUHANNYA DI “WADI TUWA” YANG SUCI;} (AN-NAZI’AT 79:16)

  1. Kisahnya ketika Nabi Musa AS diseru oleh Allah di “Wadi Tuwa” yang suci.
  1. Apakah maksudnya Tuwa ini? 
    Kata Ibnu Jarir at-Tabari RHM : Ulama’ berbeza pendapat tentangnya:
    i- Ada kata : Sebuah wadi di Bukit Tursina, Mesir yang bernama Tuwa.

    ii- Ada ulama’ kata : Kerana Nabi Musa kena buka seliparnya di situ. 

    iii- Ada yang kata : Kerana dua kali tempat itu disucikan maka ia dipnggi Tuwa..
  1. Nabi Musa AS melalui tempat ini dalam perjalanannya dari Madyan bersama keluarganya untuk pulang ke Mesir, dia dipanggil seru oleh Allah SWT.
  1. Firman Allah SWT:
    i- {Dan Kami telah menyerunya dari arah sebelah kanan Gunung Tursina, dan Kami dampingkan dia dengan diberi penghormatan berkata dengan Kami.} (Maryam 19:52)

    ii- {Maka apabila ia sampai ke tempat api itu (kedengaran) ia diseru: “Wahai Musa! “”Sesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi Tuwa yang suci.} (Taha 20:12) 

    Perbezaan kita dengan yahudi, jika nak beribadat atau bermunajat mereka kena buka kasut, tetapi orang muslim tidak perlu (jika di luar rumah atau masjid) dan jika alas kaki itu pasti bersih dari najis.

AYAT 17- { (LALU DIPERINTAHKAN KEPADANYA): “PERGILAH KEPADA FIRAUN, SESUNGGUHNYA IA TELAH MELAMPAUI BATAS (DALAM KEKUFURAN DAN KEZALIMANNYA);} (AN-NAZI’AT 79:17)

  1. Allah SWT lalu memerintahkan Nabi Musa AS untuk pergi berdakwah kepada Firaun.
  1. Ini kerana Firaun telah melampaui batas kerana kekufurannya kepada Tuhan (mengaku tuhan) serta kezalimannya (menindas & membunuh kaum bani Israil).
  1. Inilah permainan media jahat sama seperti zaman Firaun:
    i- Walaupun Musa hanya tersalah membunuh seorang kaum Qibti Firaun pada zaman mudanya, tetapi itulah yang dicanang & dibesarkan; wahai Musa telah membuat jenayah yang besar!  

    ii- Sedangkan Firaun sendiri telah membunuh beribu bani Israil tetapi tidak disebut & tidak diungkit!

AYAT 18- {“SERTA KATAKANLAH KEPADANYA: `ADAKAH ENGKAU SUKA HENDAK MENSUCIKAN DIRIMU (DARI KEKUFURAN)?} (AN-NAZI’AT 79:18)

  1. Allah SWT perintah Nabi Musa AS untuk berdakwah & berkata dengan lembut kepada Firaun: Apakah engkau suka hendak mensucikan dirimu dari kekufuran & syirik ini?
  1. Ini adalah uslub dakwah yang diajar kepada Nabi Musa walaupun kepada Firaun yang amat zalim dan jahat itu! Bahasa kasar & bahasa lembut lain kesannya ke atas jiwa manusia.

AYAT 19- {`DAN MAHUKAH, AKU TUNJUK KEPADAMU JALAN MENGENAL TUHANMU, SUPAYA ENGKAU MERASA TAKUT (MELANGGAR PERINTAHNYA)?} (AN-NAZI’AT 79:19)

  1. Suci dari syirik & aku tunjukkanmu jalan untuk menjadi baik & mengenal Allah Tuhan yang sebenar, jalan supaya kamu berasa takut untuk melanggar perintah-Nya. 

AYAT 20- { (SETELAH NABI MUSA MENYEMPURNAKAN PERINTAH TUHANNYA, DAN FIRAUN PUN MEMINTA BUKTI KEBENARANNYA); MAKA NABI MUSA MEMPERLIHATKAN KEPADA FIRAUN: MUKJIZAT YANG BESAR.} (AN-NAZI’AT 79:20)

  1. Setelah Nabi Musa menjalankan dakwah sebagaimana yang diperintahkan Allah, Firaun meminta bukti akan kebenaran dakwahnya.
  1. Lalu Nabi Musa memperlihatkan kepada Firaun mukjizat yang besar:
    i- Tongkat yang dicampakkan menjadi ular yang besar.

    ii- Tangan yang dikeluarkan cerah bersinar.
  1. Sebagaimana firman Allah SWT:
    {Firaun menjawab: “Kalau betul engkau datang dengan membawa sesuatu mukjizat maka bawalah dia (supaya aku melihatnya), jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.} (Al-A’raf 7:106)

AYAT 21- {LALU FIRAUN MENDUSTAKAN (NABI MUSA) DAN MENDERHAKA (KEPADA ALLAH);} (AN-NAZI’AT 79:21)

  1. Bukan saja tidak beriman menerima dakwah nabi Musa, tetapi Firaun mendustakan Nabi Musa dengan mengatakannya berbohong dan dia menderhaka kepada Allah.
  1. Bagi Firaun itu hanya satu permainan sihir, kerana pada zaman itu fenemona ahli sihir amat besar di Mesir. Terdapat beribu-ribu ahli sihir yang hebat pada ketika itu! 

AYAT 22- {KEMUDIAN IA BERPALING INGKAR SAMBIL MENJALANKAN USAHANYA (MENENTANG NABI MUSA).} (AN-NAZI’AT 79:22)

  1. Firaun bukan saja ingkar tetapi berusaha menentang dakwah Nabi Musa AS. Menyekat & menghalang dakwahnya.

AYAT 23- {LALU IA MENGHIMPUNKAN ORANG-ORANGNYA DAN MENYERU,} (AN-NAZI’AT 79:23)

  1. Lalu Firaun menyeru rakyatnya untuk berhimpun secara besar-besaran, untuk menunjukkan kebesarannya kepada nabi Musa AS. 

AYAT 24- {DENGAN BERKATA: “AKULAH TUHAN KAMU, YANG TERTINGGI”.} (AN-NAZI’AT 79:24)

  1. Firaun mengaku jadi tuhan pula kepada kaumnya yang mengikutnya! Mereka semua mengiakan dan sujud kepadanya! Mereka ini amat taksub & takut kepada Firaun yang zalim itu.
  1. Terdapat banyak cerita Israiliyyat (rekaan dari bani Israil) tentang kaum bani Israil & Firaun ini: Jangan percaya, boleh dengar & baca saja. 
  1. Cerita yang betul ialah apa yang Allah SWT ceritakan dalam al-Quran ini dan apa yang Rasulullah SAW ceritakan dalam hadisnya yang sahih.

AYAT 25- {MAKA ALLAH MENYEKSA FIRAUN DI AKHIRAT DAN DI DUNIA INI, DENGAN AZAB YANG MENAKUTKAN SESIAPA YANG MENGETAHUINYA.} (AN-NAZI’AT 79:25)

  1. Setelah Nabi Musa berlawan dengan Firaun buat beberapa lama, dia lalu berdoa kepada Allah agar membinasakan Firaun, maka tibalah tempoh masanya!
    Ada ulama’ kata : Selepas 40 Tuhan Nabi Musa berdoa baru terjadi kebinasaan Firaun ini.
  1. Maka dengan sebab kesombongan & kezalimannya; Allah SWT menyiksa Firaun dengan dengan dua azab yang amat menakutkan bagi sesiapa yang mahu ambil iktibar:
    i- Pertamanya azab di dunia dengan mati tenggelam dalam laut Qalzum.

    ii- Azab di akhirat pastilah akan disiksa dalam neraka, wal-iyazubillah!
  1. Tetapi mayat Firaun ini Allah simpan dan hantar balik ke tepi pantai untuk menjadi bukti kepada orang ramai bahawa Firaun sudah mati & dia bukan tuhan seperti yang didakwanya!
  1. Kemudian Allah SWT tutup kisah ini dengan ayat 26 ini:

AYAT 26- {SESUNGGUHNYA YANG DEMIKIAN ITU MENGANDUNGI PELAJARAN YANG MENDATANGKAN IKTIBAR BAGI ORANG-ORANG YANG TAKUT (MELANGGAR PERINTAH TUHANNYA).} (AN-NAZI’AT 79:26)

  1. Semua cerita yang Allah SWT bawa kepada kita dalam al-Quran ini untuk dijadikan iktibar & pengajaran.
  1. Bahasa al-Quran ini amat mudah, Allah beri kepada kita untuk diambil ilmu yang boleh kita pelajari & amalkan!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 15- {Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa?} & Ayat 16- {Ketika ia diseru oleh Tuhannya di “Wadi Tuwa” yang suci;}-

    Sesungguhnya Allah SWT berkata-kata dengan Nabi Musa AS, Musa dapat mendengar kata-kata Allah SWT yang menyerunya di Wadi Tuwa yang suci. Seruan itu pasti ada suara.
    Sama juga seperti Allah SWT berkata-kata dengan al-Quran. Jika kita nak dengar percakapan Allah SWT, bacalah al-Quran selalu! 
    Ahli Sunnah wal Jamaah berpegang dengan pendapat bahawa al-Quran ini kata-kata Allah yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW, bukan makhluk! Bukan seperti beberapa mazhab (Ibadhiyah) yang mengatakan al-Quran ini makhluk juga. 
    Sebagaimana Allah wahyukan al-Quran juga kitab lain kepada rasul-rasul-Nya iaitu Zabur, Taurat, Injil dan lain-lain.
  1. Ayat 17- {(Lalu diperintahkan kepadanya): “Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas (dalam kekufuran dan kezalimannya);}-

    Dalam ayat ini Allah SWT perintahkan Nabi Musa seorang sahaja {ٱذْهَبْ}.
    Persoalan: Tetapi kenapa dalam ayat lain Allah SWT sebut pergilah kamu berdua {ٱذْهَبَآ} yakni perintah untuk dua orang, Nabi Musa & Harun AS?
    Firman Allah SWT:
    {“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya.} (Taha 20:43)
    Jawapan:
    i- Tidak ada percanggahan kerana dalam ayat pertama Allah seru Nabi Musa semasa dia seorang diri berada di bukit Tursina, tiada nabi Harun ketika itu. 
    Manakala dalam ayat kedua adalah seruan untuk keduanya, iaitu selepas Nabi Harun juga dilantik sebagai nabi & rasul Allah atas permintaan nabi Musa AS. Untuk membantu & menguatkan hujjahnya kerana Harun seorang yang fasih lidahnya dalam berkata, tidak gugup.
    Juga sebagai penguat semangat untuk Musa berlawan dengan Firaun yang berkuasa & zalim!
    Permintaan nabi Musa itu diterima Allah dan kali ini Allah SWT memberi perintah kepada keduanya untuk pergi berjumpa Firaun {ٱذْهَبَآ} dan katakan kepadanya {فَقُولَا لَهُۥ}.

    Kerana itu ulama’ kata : 
    i- Antara adik beradik yang paling memberi kebaikan atas dunia ini ialah Nabi Musa AS yang apabila dilantik menjadi rasul, minta supaya Allah SWT lantik juga saudaranya Harun sebagai rasul! 
    Yakni sesuai dengan kelayakan dan bakatnya.
    Timbul pula persoalan tentang isu nepotisme atau kroni, Nabi Musa minta Allah SWT lantik juga saudaranya Harun sebagai rasul.
    Ini adalah soal kelayakan & kesesuaian, kerana Nabi Harun seorang yang fasih bercakap serta sebagai pembantunya kerana belum ada orang lain yang gagah beriman untuk membantunya dalam dakwah itu.

    ii- Manakala adik-beradik yang memberi keburukan ialah adik-beradik nabi Yusuf AS pada awalnya.
  1. Ayat 18- {“Serta katakanlah kepadanya: `Adakah engkau suka hendak mensucikan dirimu (dari kekufuran)?}-

    Nabi Musa menyeru Firaun untuk menyucikan diri dari maksiat, dengan perkataan yang baik & lembut.
    Kata ulama’ : Inilah uslub dan cara dakwah yang baik untuk kita menegur pemimpin dan orang besar sebagaimana yang diajar oleh al-Quran & Syara’.
    Dalam Islam ada kaedahnya yang tersendiri, peringkat dakwah dan cara teguran. Bukan terus berkasar menggunakan bahasa yang dapat menimbulkan kemarahan dan sakit hati mereka!

    Ulama’ tadabbur kata : Cara tahap atau uslub dakwah ada 5 cara: 
    i- Sebaiknya kita guna uslub bahasa memberi peluang atau tawaran bukan arahan dan perintah!

    ii- Ajak kepada sesuatu yang baik dan normal, kita nak bersihkan diri kita, semua orang atas dunia mesti mahu membersihkan dirinya.

    iii- Kita juga nak bersihkan diri. Yakni sama-sama buat, bukan kita nak datang nak bersihkan diri dia sahaja, sedangkan seolah kita sudah bersih! Itu sombong namanya.

    iv- Jika nak ajar orang, kita kena bersedia untuk memberi bimbingan dan tunjuk-ajar. 

    v- Dakwah kita ini bukan untuk kepentingan diri kita, bukan untuk dapat kuasa & orang taksub kepada kita, tetapi untuk kembali kepada Allah SWT!

    Kita kena sediakan ganti, buang yang buruk ambil yang baik, jika yang ini tidak baik, apa yang baiknya??
    Seperti Allah haramkan zina, dihalalkan perkahwinan, diharamkan riba tetapi dihalalkan jual beli yang saling meredhai dan lain-lain hukum-hakam yang penuh hikmah!
  1. Ayat 19- {`Dan mahukah, aku tunjuk kepadamu jalan mengenal Tuhanmu, supaya engkau merasa takut (melanggar perintahNya)?}-

    Kata ulama’ : Jika kita nak beramal kita kena ada ilmu & maklumat dulu! 
    Bukan hanya ikut-ikut dan semangat nak buat apabila dengar, suka nak ikut Sunnah tetapi kadang-kadang cara perlaksanaannya tidak betul!
    Imam al-Bukhari bawa dalam kitabnya: kita kena ada ilmu sebelum beramal!
    Kerana itu Allah kata: Aku akan tunjukkan kamu jalan untuk mengenal Tuhanmu! Kena ada hidayah & ilmu dulu baru kenal Allah & beribadat kepadanya.
    Kena belajar dulu supaya ada ilmu baru beramal! Ayat ini juga menunjukkan bahawa kita tidak akan takut kepada Allah SWT jika kita tidak ada ilmu & maklumat! 

    Firman Allah SWT:
    {Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.} (Faatir 35:28)
    Kerana itu dikatakan orang yang paling takut Jika kita belajar, kita takut kepada Allah kita akan amal & laksanakan apa yang Allah perintahkan!

    Dalam ayat ini Allah SWT kumpulkan tiga asas untuk kita mengenal Allah & beribadat dengan sahih:
    i- Bersihkan diri dengan tinggalkan maksiat! 

    ii- Kena ada petunjuk, ikut al-Quran & hadis berpandukan apa yang yang dihuraikan oleh ulama’ yang muktabar! 

    iii- Barulah akan datang sifat takut kepada Allah Azza wa Jalla.
    Kata Ibnu Mas’ud RA : berapa ramai orang yang mahu benda baik tetapi tidak jumpa jalan kepadanya!
  1. Ayat 26- {Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang takut (melanggar perintah Tuhannya).}-

    Kamu baca al-Quran, baca hadis, dengar tentang cerita kaum Quraisy, tentang Nabi Musa lawan Firaun, Tentang kaum Ad & Thamud dan lain-lain; tetapi jika kamu tidak ambil pengajaran tidak ada gunanya!
    Semua ayat yang kita baca & ilmu yang kita belajar ini akan memberi pengajaran kepada orang yang takut kepada Allah!

    Kata ulama’ : 
    i- Manusia yang bahagia ialah yang mengambil pengajaran dari kesilapan/perbuatan orang lain! Kita tengok orang binasa sebab maksiat; maka kita jangan buatnya. 
    Hatta kita dengan guru kita, kita ambil ilmunya yang sahih, ikut perbuatannya yang benar, tetapi jangan ikut sifat atau tabiatnya yang tidak baik!  

    ii- Manakala manusia yang celaka ialah yang dijadikan orang sebagai pengajaran iktibar oleh orang lain akibat perbuatan buruknya! 
    Orang yang menjadi contoh buruk dalam masyarakat, wal-‘iyazu billah.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs