HUJJAH BALAS KEPADA PENGINGKAR KIAMAT, MEREKA KUAT ATAU LANGIT & BUMI YANG TEGUH TIDAK GOYANG.
Full video : https://youtu.be/mcmySFJdcQU?si=85YuEPFTb-CBvd9O
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah SWT membawa hujjah balas kepada pengingkar kiamat, mereka yang tidak percaya kepada kebangkitan semula.
- Kemudian Allah SWT tanya kepada manusia yang sombong, yang kafir itu, apakah mereka kuat atau langit & bukit lebih kuat daripada mereka?
- Allah juga ceritakan tentang bumi yang teguh tidak goyang sebagai antara tanda kekuasaan Allah SWT.
- Jika sesekali ia bergoncang akan berlaku kemusnahan & ramai manusia yang akan mati. Apatah lagi pada hari Kiamat kelak!
- Munasabah ayat:
i- Allah SWT mahu kita mengambil iktibar pengajaran daripada kebinasaan umat-umat terdahulu.
Allah SWT juga telah membatalkan keraguan syubhat oleh golongan yang mengatakan tidak ada kebangkitan semula (ayat 10) dulu.
ii- Kemudian Allah SWT nyatakan ayat ini serta dinyatakan kekuasaan Allah SWT supaya manusia yang sombong & takabbur itu berfikir dan menerima & beriman kepada Allah Azza wa Jalla.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 27- {(WAHAI GOLONGAN YANG INGKARKAN KEBANGKITAN HIDUP SEMULA!) KAMUKAH YANG SUKAR DICIPTAKAN ATAU LANGIT? TUHAN TELAH MEMBINANYA (DENGAN KUKUH)!}(AN-NAZI’AT 79:27)
- Allah menyeru kepada golongan yang mengingkari kebangkitan semula dengan bertanya kepada mereka:
Kamukah wahai pendusta hari Kiamat yang lebih sukar diciptakan atau langit? Allah telah membina keduanya dengan begitu kukuh & mantap.
- Yakni jika Allah yang berkuasa mencipta langit yang lebih besar & hebat daripada manusia, pastilah Allah SWT juga berkuasa dan lebih senang untuk mengulang balik, mencipta kejadian manusia!
- Kata ulama’ tafsir asy-Syaukani RHM : Yakni Allah SWT tanya apakah menghidupkan semula kamu selepas mati adalah lebih payah bagi Allah SWT daripada mencipta langit yang begitu besar & kukuh itu?
- Ayat ini pada peringkat awalnya ditujukan kepada golongan kafir Quraisy yang mengingkari kebangkitan semula, untuk mencela dan mengeji mereka.
Ini kerana Allah SWT yang berkuasa mencipta langit yang penuh keajaiban itu, pasti lebih mudah bagi-Nya menghidupkan kembali manusia dan kebangkitan.
- Firman Allah SWT juga:
{Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya), berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui. Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: “Jadilah engkau! “. Maka ia terus menjadi.} (Yaa Siin 36: 81-82)
Ini adalah tentang penciptaan makhluk-Nya.
- Kemudian Allah SWT sebut sepatah sahaja: { بَنَىٰهَا}- yakni Allah telah membinanya dengan Kukuh.
Yakni Allah SWT bina langit & jadikannya sebagai atap bagi bumi.
Bumi di bawah langit di atasnya; kerana itu benda di atas dipanggil atap.
- Kata ulama’ tafsir : Kalimah { بَنَىٰهَا}- ini satu perkataan baru, ia tidak berkait dengan ayat sebelumnya. Kerana itu elok jika kita baca al-Quran kita berhenti pada perkataan sebelumnya iaitu {أَمِ ٱلسَّمَآءُ ۚ}.
Ia { بَنَىٰهَا}- adalah satu jumlah atau kata-kata permulaan sebenar untuk menyatakan betapa besarnya langit itu.
- Syeikh Abu Bakar juga berkata : Jika kita berhenti {أَمِ ٱلسَّمَآءُ ۚ} pada ia adalah satu waqaf yang sempurna.
AYAT 28- {IA TELAH MENINGGIKAN BANGUNAN LANGIT ITU LALU MENYEMPURNAKANNYA,} (AN-NAZI’AT 79:28)
- Allah nyatakan cara bagaimana pembinaan langit. Langit itu Allah bina & jadikan penciptaanya tinggi daripada bumi lalu menyempurnakannya.
- Langit ini satu binaan yang kukuh & rata, tidak pecah-pecah atau terbelah. Ia mempunyai pintu yang dikawal setiap satunya oleh malaikat pengawal. Jin & syaitan yang jahat tidak dapat menembusinya, roh yang jahat juga akan ditendang turun.
- Pada hari Kiamat nanti langit akan pecah terbelah, menjadi seolah pintu-pintu yang berlubang!
- Firman Allah SWT:
{Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy;} (Ar-Ra’d 13:2)
- Langit satu binaan yang tinggi & teguh, tidak bertiang & tidak berkaki.
Manusia tidak dapat kesan di mana hujung & permulaannya, betapa jauh ia dari bumi juga tidak dapat diukur.
Bukan seperti bintang-bintang atau planet lain yang dapat diteka jaraknya!
AYAT 29- {DAN IA MENJADIKAN MALAMNYA GELAP-GELITA, SERTA MENJADIKAN SIANGNYA TERANG-BENDERANG.} (AN-NAZI’AT 79:29)
- Allah juga menjadikan pada waktu malam itu gelap. Langit juga akan diliputi kegelapan apabila lampu utamanya matahari tiada.
- Tetapi Allah jadikan pula bulan dan bintang-bintang menerangi lagit sebagai pedoman, penunjuk jalan bagi manusia & haiwan.
- Firman Allah SWT:
{Dan malam apabila ia menyelubunginya (dengan gelap- gelita),} (Asy-Syams 91:4)
- Kemudian Allah jadikan pula siang itu terang-benderang, dicerahkan langit dengan terbitnya matahari sebagai lampu utamanya.
- Firman Allah SWT:
{Dan siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata;} (Asy-Syams 91:3)
Ini semua adalah dalil-dalil ayat Allah yang di atas kita, atas langit.
AYAT 30- {DAN BUMI SESUDAH ITU DIHAMPARKANNYA (UNTUK KEMUDAHAN PENDUDUKNYA),} (AN-NAZI’AT 79:30)
- Sekarang Allah SWT bawa kita lihat tanda-tanda kekuasaan-Nya di bumi pula supaya kita tidak perlu jauh mencari.
- Allah nyatakan bahawa Dia mencipta bumi terbentang luas seperti stau hamparan untuk kemudahan penghuni bumi ini. Kita duduk atasnya, bina kediaman & bangunan, berjalan mengembara di atasnya dan lain-lain.
- Sekarang timbul pula persoalan; langit atau bumi dulu yang dicipta? Terdapat beberapa pandangan ulama’ tentangnya.
- Kata al-Azhariyyu RHM : Tidak berbeza pandangan ulama’ tafsir bahawa Allah mencipta bumi sebelum langit.
Awalnya bumi dicipta setongkol begitu kemudian Allah SWT tarik hamparnya meluas untuk memudahkan didiami manusia. Kemudian baru dicipta langit selepas bumi.
- Dalam buku Makkah: Kelebihan & Sejarah, ada disebut tentang penciptaan awal bumi. Bumi pertama yang Allah cipta ialah Makkah, kemudian dari Makkah ia ditarik dan disebarkan ke seluruh pelusuk benua, dunia ini. Kerana itu Makkah dipanggil Ummul-Qura, ibu segala kampung. https://dartaibah.com/?page_id=179…
AYAT 31- {IA MENGELUARKAN DARI BUMI ITU: AIRNYA DAN TUMBUH-TUMBUHANNYA;} (AN-NAZI’AT 79:31)
- Yakni Allah keluarkan dari perut bumi itu mata air yang terpancar, air sungai yang mengalir, air telaga yang membuak, air laut dan seumpamanya!
- Munasabah ayat:
i- Setelah Allah nyatakan bumi ini dihampar terbentang luas untuk kemudahan manusia, lalu Allah keluarkan darinya sumber minuman iaitu mata air yang terpancar & sumber makanan iaitu pokok tumbuh-tumbuhannya.
ii- Jika bumi ini kering dari air & kosong tanpa tumbuhan, maka pastilah ia tidak memberi faedah & rezeki kepada manusia.
Tanpa makanan & minuman manusia pasti tidak akan dapat manfaat darinya.
AYAT 32- {DAN GUNUNG-GANANG PULA DIKUKUHKAN LETAKNYA (DI BUMI, SEBAGAI PANCANG PASAK YANG MENETAPNYA);} (AN-NAZI’AT 79:32)
- Untuk mencantikkan & mengukuhkan bumi ini, Allah SWT jadikan pula baginya gunung-ganang sebagai pancang pasak yang menetapnya.
- Sekarang ini manusia mula mengorek dan meruntuhkan bukit-bukau & gunung-ganang untuk mengaut hasilnya.
- Maka terjadilah apa yang Rasulullah SAW telah sebutkan iaitu apabila dekat dengan Kiamat akan terjadi banyaknya gempa bumi, banyaknya kematian yang mengejut!
Sekarang ini jika nak bertaubat jangan bertangguh lagi kerana kematian itu akan datang mengejut tanpa mengira usia & keadaan.
AYAT 33- {(SEMUANYA ITU) UNTUK KEGUNAAN KAMU DAN BINATANG-BINATANG TERNAK KAMU.} (AN-NAZI’AT 79:33)
- Allah tutup bab ini dengan mengatakan bahawa semuanya itu (yang Allah ciptakan itu) adalah untuk kegunaan manusia dan binatang-binatang ternakan mereka.
- Allah sebut { مَتَـٰعًۭا لَّكُمْ}- yakni apa yang Allah beri itu sebagai kegunaan & keseronokan untuk kamu manfaatkan.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 27- {(Wahai golongan yang ingkarkan kebangkitan hidup semula!) Kamukah yang sukar diciptakan atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan Kukuh)!}-
Allah buat soalan ini untuk membatalkan hujjah puak kafir yang mengingkari kebangkitan semula!
i- Allah tanya wahai manusia yang tidak beriman, yang ingkar dan mendustakan Kebangkitan semula, apakah kamu yang lebih kuat atau langit yang begitu ajaib & kukuh binaannya?????
Ini supaya mereka sentap dan berfikir bahawa mereka itu sebenarnya lemah dan tidak kuat, maka usahlah kamu sombong & takabbur.
ii- Allah juga nyatakan bahawa langit itu Allah binanya { بَنَىٰهَا}. Yakni ia satu binaan yang tetap dan teguh, bukan seperti awan yang bergerak, kadang ada, kadang hilang!
Langit itu sentiasa ada dengan kukuh di atas bumi, ia hanya akan rosak terbelah & pecah apabila tiba hari Kiamat nanti
- Ayat 29- {Dan Ia menjadikan malamnya gelap-gelita, serta menjadikan siangnya terang-benderang.}-
Allah SWT kata dalam ayat ini, Allah yang menjadikan malam & mengeluarkan cahayanya siang!
Yakni fenomena ini tidak terjadi dengan sendiri, Allah yang berkkuasa mengkehendakinya!
Terjadinya malam dan siang dengan sebab Allah yang keluarkan mereka!
Kerana itu Allah cabar manusia, jika Allah jadikan malam itu berterusan maka siapa yang boleh membawa datang siang yang cerah?
Begitu juga sebaliknya, jika Allah jadikan siang yang cerah yang berterusan, siapakah yang berkuasa membawa malam pula????? Jawabnya TIADA.
Kerana cahaya itu baru & malam itu gelap maka dikatakan dikeluarkan { وَأَخْرَجَ}.
Cahaya itu datang dari sesuatu sebab yang mengeluarkan cahaya iaitu mataharilah sumbernya atas dunia ini sekarang.
Kita orang beriman yakin bahawa keluarnya cahaya dengan izin Allah & begitu juga hilangnya cahaya.
- Ayat 27- {(Wahai golongan yang ingkarkan kebangkitan hidup semula!) Kamukah yang sukar diciptakan atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan Kukuh)!} & Ayat 30- {Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya),}-
Ayat ini menunjukkan bahawa bumi itu sudah ada, kemudian dicipta langit kemudian baru dihampar bumi itu!
Firman Allah SWT:
i- {Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.} (Al-Baqarah 2:29)
Jelas menunjukkan bahawa Allah cipta bumi dahulu sebelum langit kerana ada perkataan { ثُمَّ} kemudian.
ii- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya tidak patut kamu kufur kepada Tuhan yang menciptakan bumi dalam dua masa, dan kamu adakan sekutu-sekutu bagi-Nya! Yang demikian (sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan sekalian alam,} (Fussilat 41:9)
iii- {Kemudian Ia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap;} (Fussilat 41:11)
Yakni langit ketika itu masih seperti asap atau awan.
Persoalan:
Langit atau bumi dulu yang dicipta??
Jawapan:
Ditanya kepada Sayyidina Abdullah bin Abbas RAnhuma tentang persoalan ini, bagaimana nak dikumpulkan antara dua ayat ini?
Jawab Ibnu Abbas:
i- Mula-mula Allah cipta dulu bumi secara setongkol belum terhampar.
ii- Kemudian Allah SWT buat langit pula dalam dua masa.
iii- Selepas itu barulah Allah SWT buka dan hamparkan bumi terbentang luas. Dicipta bukit-bakau sebagai pengimbang, tumbuhan, mata air padanya.
Yakni asal ciptaannya adalah bumi dulu, kemudian langit kemudian dihamparkan bumi.
Kemudian Allah tafsirkan penciptaan bumi selepas dihamparkan, Allah SWT keluaran tumbuhan & mata air.
Inilah sebagaimana tafsir Sayyidina Abdullah bin Abbas RAnhuma!
- Ayat 31- {Ia mengeluarkan dari bumi itu: airnya dan tumbuh-tumbuhannya;}-
Allah SWT mengeluarkan air & tumbuhan daripada bumi.
Ini menjadi dalil bahawa manusia itu memerlukan kepada makan & minum; maka Allah SWT keluarkan air & pokok daripada bumi ini! Begitu juga api, yang nyala dari kayu, hatta garam pun! Semuanya bersumber daripada bumi!
Begitulah kita manusia tidak dapat lari daripada sumber asal kita iaitu tanah/bumi serta kepadanya juga kita akan dikembalikan nanti!
Manusia ini berkongsi pada air & rumput (tumbuhan) dari tanah/bumi yang tiada pemiliknya. Jika kawasan itu sudah dimiliki oleh orang lain. Kita mesti minta izin dari tuannya, tiada hak lagi untuk kita berkongsinya!
Begitu juga jika kawasan yang telah kerajaan isytiharkan sebagai kawasan rizab, kita boleh terokainya tanpa izin dan kebenaran.
- Ayat 32- {Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi, sebagai pancang pasak yang menetapnya);}-
Bumi ini tidak bergoncang dan amanlah penghuni di atasnya.
Allah jadikan gunung-ganang sebagai pasak atau paku yang menetap & meneguhkan bumi, tidak bergerak dan bergocang sewenang-wenangnya.
Bumi akan tenang selagi manusia tidak buat maksiat kepada Allah SWT.
Jika manusia buat maksiat yang melampau, sekali bumi bergoncang akan menyebabkan bencana alam seperti gempa bumi atau tsunami yang akan mengorbankan banyak nyawa.
Bukit ini Allah cipta untuk kegunaan, kemudahan, keindahan dan rekreasi kita. Tetapi ingat jangan sekali-kali buat maksiat atas bukit atau di mana saja atas muka bumi Allah ini. Akan hilang rahmat & kasih sayang Allah lalu dihantar bencana yang kita tidak akan mampu menghadapinya!
Ya Allah selamatkan kami dari kemurkaan dan hukuman-Mu yang tiada siapa dapat menghalangnya!
Wallahu A’lam.