KAFIR TANYA BILA KIAMAT, HANYA ALLAH SWT YANG TAHU & NABI SEBAGAI NAZIR.
Full video : https://youtu.be/rlMTy3cCW_A?si=AoqoTYGkN5FAWx2I
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah ceritakan kepada kita betapa keras kepala, degil & tak reti bahasanya puak kafir yang datang bertanya kepada Rasulullah SAW secara perli dan mengejek bilakah kiamat?
- Lalu Allah SWT jawabnya bahawa tiada siapa yang tahu bilakah akan berlaku Kiamat, hanya Allah SWT yang tahu.
Hatta malaikat & Rasulullah SAW tidak tahu. Jika ada orang yang mengaku tahu itu adalah orang tak betul & pembohong!
- Allah juga nyatakan bahawa tugas Nabi SAW adalah sebagai naziir (pemberi amaran) juga sebagai pemberi berita gembira (basyir).
Para pendakwah juga mesti berdakwah dengan dua sifat ini, beri khabar gembira bagi yang beramal soleh juga beri amaran peringatan kepada yang sebaliknya. Baru sempurna dakwah & ajarannya.
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat-ayat yang lepas, Allah SWT telah nyatakan & bawa dalil-dalil aqli (orang yang ada akal & boleh berfikir) bahawa Kiamat itu boleh terjadi.
Allah juga ceritakan akan berlakunya Kiamat. Juga disebut tentang suasanan hari Kiamat di mana manusia terbahagi kepada dua sama ada dia bahagia atau celaka!
ii- Maka dalam ayat ini Allah SWT sebut tentang perangai & karenah manusia tentang isu Kiamat semasa di atas dunia ini.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 42- {MEREKA (YANG INGKAR) SELALU BERTANYA KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) TENTANG HARI KIAMAT: “BILAKAH MASA DATANGNYA?”} (AN-NAZI’AT 79:42)
- Puak kafir itu sering datang bertanya kepada Rasulullah SAW tentang bilakah akan datang & berlaku Kiamat.
- Terdapat dua kategori manusia yang bertanya tentang Kiamat ini:
i- Mereka yang bimbang, benar-benar takut & nak tahu kerana merasakan mereka belum membuat persediaan yang cukup untuknya.
Sebagaimana dalam sebuah hadis seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW bilakah akan berlaku Kiamat. Baginda tidak menjawabnya kerana Baginda tidak tahu bilakah ia akan berlaku dengan tepat. Tetapi Baginda bertanya balik apakah persediaan kamu untuk menghadapinya?
ii- Golongan kedua ialah yang tidak percaya, memandang lekeh & mengingkarinya. Mereka bertanya untuk memerli dan mempermainkan Rasulullah SAW, bukan untuk belajar & dapat ilmu.
Inilah yang dimaksudkan Allah SWT dalam al-Quran tentang soalan-soalan yang ditanya oleh orang kafir tentang Kiamat.
- Tiada siapa tahu bilakah Kiamat, tetapi setiap orang sudah ada waktu untuk Kiamat peribadi atau Kiamat kecilnya; iaitu saat kematian masing-masing. Kita semua pasti akan menghadapinya & tidak akan terlepas. Ia juga hanya Allah SWT yang tahu, tiada orang yang tahu bilakah saat kematiannya sendiri atau saat kematian orang lain juga!
- Firman Allah SWT:
{Manusia bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang kedatangan hari kiamat; katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Allah. ” Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? boleh jadi masa datangnya tidak lama lagi.} (Al-Ahzaab 33:63)
Puak kafir datang bertanya kepada Rasulullah SAW tentang Kiamat & Allah ajar cara untuk menjawabnya!
- Ya Allah matikanlan kami dalam husnul-khatimah, dalam keadaan beribadat, cukup persediaan untuk menghadapi kematian & hari Kiamat yang dahsyat! Mati dalam keadaan baik tidak menyusahkan orang lain.
AYAT 43- {APA HUBUNGANNYA TUGASMU DENGAN (SOAL) MENERANGKAN MASA KEDATANGAN HARI KIAMAT ITU?} (AN-NAZI’AT 79:43)
- Allah juga tegaskan bahawa bukan tugas Rasulullah SAW untuk menyebut atau menyatakan tentang tarikh Kiamat.
- Tarikh Kiamat ialah salah satu ilmu ghaib yang hanya Allah SWT sahaja mengetahuinya! Tiada satu makhluk pun yang mengetahuinya!
- Ini adalah uslub (فِيمَ أَنتَ مِن ذِكْرَىٰهَآ) untuk mengingkari soalan orang kafir itu!
Kenapa kamu bertanya tentang soalan yang tidak ada jawapannya???
AYAT 44- {KEPADA TUHANMU LAH TERSERAH KESUDAHAN ILMU MENGENAINYA.} (AN-NAZI’AT 79:44)
- Allah nyatakan bahawa Dia utuskan Rasulullah SAW sebagai rasul & utusan yang terakhir, Baginda hanya boleh menyebut tentang tanda-tanda Kiamat sama ada yang besar atau kecil! Bukan tugas Baginda untuk mengetahui dan memberitahu tentang tarikh bilakah Kiamat!
- Ilmu itu hanya terserah kesudahannya kepada Allah SWT!
- Tanda Kiamat kecil sudah banyak terjadi sekarang, anak-anak derhaka kepada ibu bapa, orang azan buat lembu kenyang walaupun duduk tepi masjid, tidak ambil tahu tentang halal-haram dan lain-lain.
- Tanda Kiamat besar bermula dengan kemunculan Imam Mahdi, diikuti dengan dajjal & Nabi Isa AS dan seterusnya, ia berangkai dan berturut seperti biji tasbih!
- Firman Allah SWT juga:
i- {Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut”. Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.} (Al-A’raaf 7:187)
ii- {Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat.} (Luqman 31:34)
iii- {Kepada (ilmu pengetahuan) Allah jua lah kembalinya soal mengetahui masa datangnya hari kiamat; dan (demikianlah tiap-tiap apa yang akan berlaku,} [Fussilat 41:47].
- Jangan kita percaya kepada teori-teori & konspirasi tentang Kiamat yang dibuat oleh puak yang yang tidak berimanpun.
Jangan kita banyak teori tetapi biarlah kita banyak amalan!
Jangan kita rempuh masuk dalam isu atau ilmu yang Allah SWT tidak ceritakan kepada manusia.
- Begitulah manusia; suka cari atau tanya yang tiada. Kita jangan sibuk bertanya soalan yang tiada jawapan, cari benda yang tidak ada!
- Boleh dengar kuliah AAM Syarah kepada Kitab Nihayatul-Alam (Berakhirnya Dunia ini) untuk mendengar tentang tanda-tanda Kiamat yang ada disebut:
AYAT 45- {TUGASMU HANYALAH MEMBERI AMARAN KEPADA ORANG YANG TAKUT AKAN HURU-HARA HARI KIAMAT ITU.} (AN-NAZI’AT 79:45)
- Allah SWT melarang; wahai manusia jangan kamu bertanya kepada Rasulullah SAW tentang sesuatu yang Baginda tiada ilmu tentangnya.
- Rasulullah SAW hanya diberi tugas untuk:
i- Memberi amaran & peringatan kepada orang yang beriman, percaya, yakin & takut kepada Allah SWT & takut akan hari Kiamat.
ii- Jika memberi peringatan kepada mereka yang tidak percaya, mereka akan mengingkari, memerli & memperolok-olokkannya!
- Tugas kita yang beriman ialah membuat persiapan sebelum kita dihantar ke kubur!
Kata Rasulullah SAW 3 kumpulan yang akan ikut satu jenazah itu ke ke kubur:
i- Keluarganya,
ii- Hartanya
iii- Dan amalannya.
Dua yang pertama akan balik meninggalkannya, hanya amalan yang akan menemaninya di dalam kubur!
- Maka jika kita takut untuk bersendirian di dalam kubur perbanyakkan amalan soleh sama ada solat, baca al-Quran, bersedekah, berbuat baik sesama manusia, tunaikan segala kewajipan & tanggungjawab!
- Firman Allah SWT:
{Dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya.} (Yunus 10:101)
Yakni kita kena dakwah biar dia percaya dulu baru diberi peringatan.
- Semoga kita menjadai manusia yang dapat mengambil manfaat daripada al-Quran & sentiasa membuat persiapan untuk hari akhirat yang begitu huru-hara.
AYAT 46- {(SANGATLAH DAHSYATNYA HURU-HARA HARI ITU, SEHINGGA ORANG-ORANG YANG BERSALAH MERASA) PADA MASA MELIHATNYA: SEOLAH-OLAH MEREKA TIDAK TINGGAL DI DUNIA MELAINKAN SEKADAR SATU PETANG ATAU PAGINYA SAHAJA.} (AN-NAZI’AT 79:46)
- Allah nyatakan bahawa sangat dahsyat huru-hara pada hari Kiamat itu!
- Maka apabila orang yang berdosa bersalah melihat Kiamat yang berlaku di depan mata mereka, mereka merasakan seolah mereka hanya hidup debentar di dunia ini, tidak lebih dari sepagi atau sepetang sahaja!
- Firman Allah SWT:
{Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari.} (Yunus 10:45)
- Hadis Rasulullah SAW:
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم
يُؤْتَى بِأَنْعَمِ أَهْلِ الدُّنْيَا مِنْ أَهْلِ النَّارِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُصْبَغُ فِي النَّارِ صَبْغَةً ثُمَّ يُقَالُ يَا ابْنَ آدَمَ هَلْ رَأَيْتَ خَيْرًا قَطُّ هَلْ مَرَّ بِكَ نَعِيمٌ قَطُّ فَيَقُولُ لاَ وَاللَّهِ يَا رَبِّ وَيُؤْتَى بِأَشَدِّ النَّاسِ بُؤْسًا فِي الدُّنْيَا مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيُصْبَغُ صَبْغَةً فِي الْجَنَّةِ فَيُقَالُ لَهُ يَا ابْنَ آدَمَ هَلْ رَأَيْتَ بُؤْسًا قَطُّ هَلْ مَرَّ بِكَ شِدَّةٌ قَطُّ فَيَقُولُ لاَ وَاللَّهِ يَا رَبِّ مَا مَرَّ بِي بُؤُسٌ قَطُّ وَلاَ رَأَيْتُ شِدَّةً قَطُّ ”.
Daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: Seseorang yang paling senang hidupnya di dunia daripada ahli neraka dibawa pada hari Kiamat lalu dicelup ke dalam neraka. Kemudian dikatakan kepadanya: Wahai anak Adam. Adakah engkau pernah melihat sebarang kesenangan? Adakah kenikmatan pernah muncul dalam hidup engkau? Orang itu menjawab: Tidak, demi Allah, wahai tuhanku. Dibawakan pula seseorang yang paling susah hidupnya di dunia daripada ahli syurga, lalu dicelup ke dalam syurga. Lalu ditanya kepada beliau: Wahai anak Adam. Adakah engkau pernah melihat sebarang kesusahan? Adakah kesusahan pernah muncul dalam hidup engkau? Dia menjawab: Tidak, demi Allah, wahai tuhan ku. Tidak pernah kesusahan muncul dalam hidup ku dan tidak pernah aku melihat sebarang kesusahan. [Sahih Muslim, Kitab Sifat al-Qiyamah wa al-Jannah wa an-Nar, no: 2807].
- Tamatlah kita dengan ayat terakhir dari surah ini!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 42- {Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?”}-
Puak kafir bertanya kepada Rasulullah SAW bilakah Kiamat.
Persoalan:
Apakah kepentingan ilmu manusia tentang Kiamat? Serta kenapa Allah SWT rahsiakan tarikh Kiamat?
Jawapan:
Supaya manusia sentiasa bersiap sedia setiap masa, berada dalam keadaan cemas, beringat dan takut untuk buat dosa maksiat, melanggar perintah Allah SWT!
Kiamat pertama kematian & Kiamat besar.
Kerana kita tidak tahu bilakah kita akan mati, maka kita sentiasa cemas & takut berada dalam keadaan berharap agar kita mati dalam husnul-khatimah.
Kerana kita tidak tahu bila kita akan mati maka kita kena buat persediaan serapi & sesempurna mungkin!
Jika manusia tahu tentang tarikh matinya:
i- Yang dekat nak mati dah, pasti akan akan takut dan cemas, banyak kerja akan tertangguh dan akan huru-hara kitaran kehidupan manusia! Yang nak kahwin pun tak jadi.
ii- Yang jauh lagi tarikhnya, manusia akan menjadi terlalu relax dan cuai kerana tahu lambat lagi dia nak mati! Tidak buat amal terus bermain-main lagha & bertaubat bila dekat nak mati.
Allah SWT simpan tarikh kematian seseorang & tarikh Kiamat agar manusia tidak menjadi lagha dan berasa selamat kerana jauh lagi tarikh mati & Kiamat.
- Ayat 42- {Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?”}-
Ulama’ kata : Makna (ارْسَىٰ) ini ialah sauh yang menjadi seperti penetap atau brake.
Persoalan:
Kenapa Allah SWT sifatkan tarikh Kiamat seperti sauh, bilakah akan berlaku Kiamat yang tetap?? { أَيَّانَ مُرْسَىٰهَا}?
Jawapan:
Ini kerana dunia dan kehidupan manusia ini bergerak seperti bahtera, maka apabila tiba hari Kiamat seolah seperti sauhnya (brake) telah dilabuhkan! Ia pasti akan berhenti & musnah.
Tetapnya berlaku itu berlakunyna Kiamat, berdiri {قيام} itu maknanya tetap akan berlaku dan terjadi Kiamat.
Tiada siapa yang tahu atau dapat menghalangnya!
- Ayat 44- {Kepada Tuhanmu lah terserah kesudahan ilmu mengenainya.}-
Ilmu tentang Kiamat hanya ada pada Allah SWT, hak Allah semata.
Kata ulama’ : ilmu tentang Kiamat hanya khas untuk Allah. Hatta malaikat yang dekat dengan Allah pun tidak tahu, para rasul utusan Allah SWT pun tidak tahu!
Jika ada manusia yang mengaku tahu tentangnya, membuat teori tentangnya, pastilah ia satu pendustaan!
Sama juga seperti hikmah dirahsiakan bilakah berlakunya Lailatul-Qadr.
- Ayat 45- {Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huru-hara hari kiamat itu.}-
Allah perintahkan Rasulullah SAW untuk memberi amaran kepada mereka yang takut kepada Allah & percaya akan hari Kiamat.
Yakni, keahlian atau kelayakan manusia untuk menerima nasihat & peringatan ini ialah orang yang beriman kepada Allah SWT!
Hanya mereka ini yang akan mendapat manfaat & faedah.
Kita patut beri bimbingan dan nasihat kepada orang yang beriman!
Tahap dakwah pula ialah mula-mula kita minta mereka beriman, iaitu dakwah kepada tauhid. Apabila mereka telah beriman barulah kita beritahu tanggungjawab & tugas mereka seperti solat, puasa, tutup aurat dan lain-lain.
Kemudian baru peringatkan mereka kepada kematian, hisab & balasan.
- Ayat 46- {(Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja.}-
Allah sebut di sini sekadar satu petang { عَشِيَّة} atau paginya { ضُحَىٰهَا} sahaja.
Maksudnya: ini kerana orang yang duduk dalam kesusahan & huru-hara, semua benda baik & nikmat yang ada terasa pendek & sekejap, manakala benda buruk & tidak baik terasa panjang & lama!
Orang kafir yang jutawan dan mewah atas dunia ini dulu, apabila melihat azabnya di akhirat, akan hilang & tidak terasa segala nikmatnya dulu.
Dunia terasa kecil & pendek, seolah tidak pernah menikmati segala kesenangan atas dunia itu!
Kita orang yang beriman kena rasa dunia ini pendek & sekejap juga jika tidak membuat persiapan yang secukupnya!
Jiwa kita kena sentiasa terikat dengan Allah Azza wa Jalla.
Sepatutnya lagi panjang umur lagi banyak persiapan yang telah dibuat!
Alhamdulillah tamatlah surah kita ini semoga kita mendapat ilmu & kefahaman yang bermanfaat.
Ya Allah jadikanlah kami orang yang mengambil peringatan dari al-Quran, orang yang takut apabila mmbaca ayat-ayat yang mengingatkan kepada kematian & Kiamat.
Serta jadikanlah kami orang yang sentiasa membuat persediaan dan beramal untuk menghadapi hari akhirat yang amat dahsyat huru-haranya.
Wallahu A’lam.