View Categories

Surah An-Nisa’ : Ayat 104

GALAKAN TERUS BERJUANG, SEMUA PUAK TERASA SAKIT & KAMU MENGHARAPKAN ALLAH SWT.

Full video : https://youtu.be/LOS7uEw56P4?si=ZyULA15g45AIxfjy

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 104 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ kelima.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang Allah beri galakan kepada orang beriman agar terus berjuang. 
  1. Ini kerana semua puak terasa sakit. Jika kamu sakit & cedera, mereka pihak musuh juga begitu juga akan terasa susah & sakit! 
    Tetapi yang membezakan orang mukmin & orang kafir :
    Kita ada Allah & mengharapkan keampunan-Nya; mereka tiada Allah, kita mencari pahala mereka cari bala!
  1. Allah perintahkan agar kamu mengharapkan pertolongan & bantuan Allah SWT. 
    Segala pergantungan & permintaan hanya kepada Allah!
    Kata para pemimpin tentera Islam :
    Kami datang untuk mencari syahid (maut) sebagaimana puak kafir takut akan maut!
  1. Kerana itu perjuangan Islam mesti diteruskan, jangan kita mudah koyak & lemah semangat dengan di’ayah-di’ayah yang dimainkan oleh puak kafir! 
    Atau jangan mudah terpedaya dengan kemenangan di depan mata. 
  1. Letakkan hati kita bergantung, bertawakkal kepada Allah dan cukuplah Allah sebagai tempat kita berpegang!
  1. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
    a) Dalam ayat yang lepas Allah SWT bawa beberapa isu & hukum:
    i- Allah nyatakan tentang rukhsah untuk qasar solat dalam musafir apabila mengembara atas muka bumi. 
    Sama ada kita dalam keadaan takut iaitu peperangan atau dalam keadaan aman seperti musafir untuk tujuan perniagaan, atau pengembaraan untuk melihat keagungan ciptaan Allah SWT atas muka bumi ini, semua harus untuk qasar! 
    Tetapi ingat musafir kerana maksiat tidak boleh ambil rukhsah ini!

    ii- Kemudian dalam ayat seterusnya Allah nyatakan cara atau kaifiyyat bagi solat ketika dalam peperangan iaitu solat khauf. Juga solat ketika bersangatan takut. 
    Ini menunjukkan solat tidak gugur dalam apa jua keadaan sekalipun. 
    Bahkan solat jemaah lagi diajar untuk solat khauf ini!

    iii- Allah juga nyatakan bahawa orang kafir adalah musuh bagi orang Islam. Betapa mereka sentiasa mengintai menunggu masa mencari peluang untuk memukul kita!
    Sebagaimana orang kafir tunggu masa orang Islam solat asar untuk serang hendap kerana dia tahu akan kelebihan solat asar dalam Islam. 
    Sabda Rasulullah SAW : “Orang yang luput solat Asarnya samalah seperti dia telah kehilangan keluarga dan harta kekayaannya.” [HR Bukhari].
    Kafir tahu tetapi orang Islam pula buat tak tahu dengan kewajipan solat!

    iv- Kemudian di akhir ayat Allah perintahkan untuk berzikir dalam semua keadaan, setiap masa dan di mana saja, kecuali di beberapa tempat yang dilarang!
    Ini kerana kelebihan zikir amat besar bagi hati & jiwa manusia.

    Sebagaimana kata hikmah : Zikir dengan hati, ibarat ikan dengan air.
    Ikan tidak boleh hidup tanpa air- hati tidak boleh hidup tanpa zikir.
    Hati yang tidak ada zikir seolah rumah usang yang tidak berpenghuni.

    b) Kemudian datang ayat 104 ini Allah berfirman: Wahai orang beriman jangan kamu lemah semangat dalam peperangan, kerana dalam peperangan semua pihak akan sakit & berasa susah!
    Cuma orang mukmin mempunyai banyak ciri-ciri keistimewaan, kerana kita orang beriman hanya mengharapkan dua kebaikan iaitu sama ada:
    i- Dapat kemenangan ke atas musuh (النصر). Serta dapat pula dalam harta rampasan (ghanimah) yang diizinkan oleh Allah WT untuk digunakan oleh ummat Nabi Muhammad SAW. 
    Umat dahulu tidak boleh gunanya, rampas lalu dilupuskan!

    ii) Dapat mati syahid (الشهادة) iaitu kurniaan pahala dan kelebihan yang besar, berjaya ke syurga rahmat dari Allah.
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang berjuang menegakkan agama-Mu, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 104- {DAN JANGANLAH KAMU LEMAH (HILANG SEMANGAT) DALAM MEMBURU MUSUH (YANG MENCEROBOH) ITU; KERANA KALAU KAMU MENDERITA SAKIT (LUKA ATAU MATI) MAKA SESUNGGUHNYA MEREKA PUN MENDERITA SAKITNYA SEPERTI PENDERITAAN KAMU; SEDANG KAMU MENGHARAPKAN DARI ALLAH APA YANG MEREKA TIDAK HARAPKAN (IAITU BALASAN YANG BAIK PADA HARI AKHIRAT KELAK). DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AN-NISA’ 4:104)

  1. Allah perintahkan tentera Islam agar jangan lemah, hilang semangat untuk menentang pihak musuh!
    Sekiranya kamu sakit, lemah & susah; mereka juga begitu, semua kesusahan adalah sama!
  1. Ayat inilah yang menggerakkan semangat jihad orang yang beriman supaya bangkit daripada kelalaian, kealpaan & kecuaian!
  1. Ada ulama’ kata : Ayat ini berkait dengan peristiwa yang berlaku dalam peperangan Uhud. 
    Iaitu apabila Allah perintah agar Rasulullah SAW & tentera muslim mengejar Abu Sufyan & tentera musyrikin sehingga ke Hamra’ul Asad.
  1. Tetapi ulama’ lain pula kata : Ayat ini adalah umum untuk membangkitkan semangat tentera Islam dalam semua keadaan kerana ayat khusus tentang peristiwa pengejaran tentera Quraisy sehingga ke ini sudah dijelaskan dalam ayat yang lepas dalam awal Surah Ali-‘Imran.
  1. Firman Allah SWT dalam ayat lain: 
    { وَأَعِدُّوا۟ لَهُم مَّا ٱسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍۢ وَمِن}
    {Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan..} (Al-Anfaal 8:60)
  1. Tentang perkataan kekuatan (قُوَّةٍۢ) ulama’ menafsirkannya:
    i- Ada ulama’ kata : Lontar (رمي) iaitu dengan tombak atau panah!

    ii- Ada ulama’ kata : Ia bermaksud semua senjata ikut kegunaan & kemajuan pada setiap masa & zaman! 
  1. Kemudian Allah sebut ayat yang mantap untuk menguatkan hati orang yang beriman.
    Kamu jangan lemah jangan mudah koyak untuk berlawan dengan musuh!
    Ini adalah satu motivasi yang amat besar, membangkitkan iman & menguatkan semangat!!
  1. Ini kerana : Allah kata jika kamu rasa sedih, sakit & berat, cedera atau mati sekalipun dengan apa yang menimpa kamu akibat daripada serangan musuh, ingat mereka pun sama juga. Mereka cedera, sakit bahkan mati juga! 
    Yakni kamu & kafir sama dari sudut luka & cedera! 
    Tetapi dari sudut lain tidak!
  1. Ayat ini ditafsir dengan firman Allah SWT ini:
    {Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar).} (Ali-‘Imran 3:140)
  1. Tetapi bezanya antara kamu orang beriman & orang kafir:
    i- Kamu buat semua itu dengan niat menegakkan agama Allah, mencari pahala & keredhaan Allah SWT!

    ii- Mereka tiada dalam kepala mereka untuk Allah. Bahkan mereka fanatik & taksub kepada negara, perjuangan asobiyah (perkauman) dan lain-lain sebab yang bukan kerana Allah! 
  1. Maka kamu jangan lemah! Kena sentiasa buat persiapan & sabar kerana kamu mempunyai matlamat yang jelas iaitu sama ada kemenangan atau mati syahid! 
    Menang untuk menegakkan kalimah Allah atas dunia ini! 
    Syahid pula akan mendapat kelebihan & pahala besar di sisi Allah!
    Maka orang Islam jangan penakut, lemah, hilang semangat & cuai dalam membuat persiapan.
  1. Di akhir ayat Allah peringatkan sekali lagi bahawa:
    i- Allah Maha Mengetahui : Yakni Allah sempurna ilmu-Nya tiada apa yang tersembunyi daripada pengetahuan Allah. 
    Antaranya Allah tahu apa yang sesuai untuk hamba-Nya. 
    Kerana itu Allah suruh berzikir, berjuang, berjihad- kerana Sunnah pertembungan akan berterusan sehingga ke hari Kiamat.

    ii- Lagi Maha Bijaksana : Sempurnanya juga hukum yang Allah bawa dengan kebijaksanaan-Nya penuh dengan hikmah sama ada yang kita tahu atau tidak tahu! 
    Maka kita sebagai orang beriman letakkan perjuangan kita untuk menegakkan agama sebagai salah satu agenda besar dalam hidup kita untuk mencapai keredhaan Allah SWT lalu menggapai rahmat & Syurga-Nya kelak! 

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 104- {Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu;}-

    Allah kata kamu jangan lemah, jangan lemah semangat!
    Ini kerana orang beriman dalam semua kerja buatnya kena ikhlas & sabar: sama ada dalam berdakwah, menuntut ilmu, berjihad, berjuang- kena letak kita buat semua ini kerana untuk mencari keredhaan Allah Azza wa Jalla. 
    Tidak mungkin tanpa sifat sabar kita dapat menjalankan tugas untuk dunia atau Akhirat. Begitu juga dalam kerja seharian mencari rezeki atas dunia ini, semua manusia kena sabar; apatah lagi mencari syurga di Akhirat kelak!
    Beza dengan orang kafir- sabar mereka dikatakan hanya seperti haiwan- sabar & megalami kesusahan tetapi tidak ada pahala!
  1. Ayat 104- {kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu;}-

    Jika kamu sakit, mereka juga akan sakit.
    Allah suka buat analogi perbandingan begini. Ini kerana:
    Apabila kita buat perbandingan kita akan rasa ringan; jika kamu sakit orang lain sakit juga, jika kamu kena puasa orang kena puasa juga! 
    Maka sabarlah untuk meraih pahala yang besar di sisi Allah.

    Hadis riwayat daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, beliau berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa sehari di jalanAllah SWT, maka Allah SWT akan menjauhkannya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun jarak perjalanan.” [Muttafaqun ‘Alaih].
    Jadi kita sabarlah untuk mendapat pahala seperti yang dijanjikan Allah ini.
  1. Ayat 104- {sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak).}-

    Allah ajar kepada kita untuk mengharapkan rahmat & semuanya dari Allah Azza wa Jalla.
    Kita orang beriman apabila buat amalan yang baik; kita mesti ada pengharapan: Raja’ : Pengampunan dari Allah SWT!
    Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan atas dasar iman dan mengharap pahala daripada Allah, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (HR al-Bukhari No 38 dan Muslim No 760).

    Kerana itu apabila diberi taufiq, dibuka pintu untuk kita beribadat kepada Allah kita kena syukur- kerana itu bererti Allah buka pintu rahmat-Nya untuk kita! 
    Kata ulama’ salaf : Apabila Allah buka pintu doa, jangan runsing lagi sama ada Allah qabul atau tidak doa aku; ini kerana aku yakin, pasti ada pintu mustajab yang Allah telah sediakan untuk segala doa-doa itu!
    Manusia hari ini apabila ada hajat minta atau upah orang solat hajat & berdoa sedangkan dia sendiri tidak berdoa! 
    Allah ajar kepada kita untuk mengharapakan rahmat dari Allah dalam semua perkara.
  1. Ayat 104- {kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu;}-

    Jika kamu orang Islam sakit- mereka juga skait & susah.
    Ini menunjukkan manusia ini dari sudut sifat kemanusiaan (أمور البشرية) semua manusia sama, orang Islam sakit, orang kafir sakit juga, orang kafir susah, orang Islam pun susah!
    Orang Islam pergi hospital orang kafir pun pergi hospital.
    Hatta para nabi & rasul sebagai manusia mengalami yang sama. 
    Nabi Ayyub AS ditimpa ujian penyakit selama beberapa tahun, Bahkan Rasulullah juga pernah sakit, lapar, sedih seperti sifat manusia biasa.
    Dekat dengan kewafatannya Baginda SAW mengalami kesakitan yang amat sangat sehingga pengsan.
    Ada orang yang tulis bahawa Nabi SAW tidak pernah sakit; ini tidak benar! 
    Bahkan kesakitan yang dialami oleh Baginda SAW tidak sesekali mencalar nubuwwah (kenabiannya). 
    Tetapi apa yang membezakan antara dua keadaan atau kesakitan itu ialah kita bersabar, redha serta mengharapakan pahala & keredhaan Allah SWT! 
    Manusia tetap sama kehidupan manusiawinya, tetapi yang membezakan adalah iman, taqwa, sabar & redha seorang mukmin!
    Tetapi yang membezakan kita dengan Nabi ialah jawatan kenabiannya. Baginda SAW adalah manusia biasa tetapi manusia yang diberi wahyu oleh Allah SWT!
  1. Ayat 104- {Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.}-

    Allah perkenalkan diri-Nya yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijak!
    Bila Allah nyatakan dua sifat-Nya ini maka kita yakinlah dengan ketentuan Allah Azza wa Jalla! Kita mengisbatkan bahawa Allah SWT itu maha sempurna kebijaksanaan-Nya.
    Allah letakkan ilmu & bijak, maka bukanlah satu benda yang biasa- tetapi Allah meletakkan dua sifat yang menguatkan keyakinan kita untuk bertuhankan kepada Allah Azza wa Jalla!
    Maka tidak boleh sama sekali untuk kita mengatakan agama kita sama dengan agama mereka atau semua agama sama- Islam tidak sesekali sama dengan mana-mana agama ciptaan manusia atas dunia ini!

    Firman Allah SWT: {لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِىَ دِينِ} {“Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.} (Al-Kaafiruun 109:6) 
    Untuk menjalankan toleransi boleh saja tetapi dalam bab aqidah & tauhid kita mesti tegas! 
    Untuk pergi ke tempat ibadat mereka jika nak berdakwah tidak salah tetapi untuk mengatakan agama mereka sama seperti agama Islam tidak sama sekali! 

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran. 
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs