View Categories

Surah An-Nisa’ : Ayat 105-109

HUKUM DENGAN ADIL, JANGAN MEMIHAK KEPADA PENGKHIANAT & MEREKA LAKUKAN KEJAHATAN SECARA SEMBUNYI.

Full video : https://youtu.be/qibNiRexNDk?si=UUPmHZPmaCmQavD-

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 105 sehingga 109 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ kelima.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang perintah Allah untuk berhukum berdasarkan kepada Kitab yang diturunkan, berhukum dengan adil. 
    Sama ada orang buat baik dengan kita atau tidak baik dengan kita, wajib berhukum dengan adil semuanya.
  1. Allah SWT juga melarang agar jangan memihak kepada pengkhianat, jangan membela & menyokong mereka lagi jika sudah tahu mereka bersalah! 
  1. Allah juga nyatakan bahawa orang yang jahat ini, mereka lakukan kejahatan secara sembunyi. Iaitu mereka sembunyikan perbuatan jahat mereka daripada manusia tetapi Allah kata mereka tidak akan mampu sembunyi daripada Allah SWT! 
    Kerana Allah akan dedahkan perbuatan mereka lambat cepatnya, tidak di dunia di Akhirat pasti jelas.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan perintah untuk kita berlawan dengan kafir.
    Tetapi dalam masa yang sama kita jangan jadi pengkhianat, yang wajib dalam agama ini kita jatuhkan hukuman ke atas orang muslim atau kafir; ikut apa yang Allah telah ajarkan dalam al-Quran. 
    Yang benar kita pertahankan; yang salah tetap jatuhkan hukuman walaupun kawan!

    ii- Maka dalam ayat ini Allah beri amaran keras agar jangan jadi pembela bagi penghianat; jika tahu dia salah jatuhkan hukuman dengan adil!
    Allah juga perintahkan orang mukmin supaya sentiasa ambil langkah berhati-hati & buat persiapan yang rapi untuk hadapi mereka kerana musuh orang Islam ini amat licik & khianat! 
    Allah ajar orang beriman agar jangan kita digigit dua kali dari lubang yang sama yakni tertipu oleh orang atau oleh perkara yang sama.

    Hadis : Rasulullah SAW bersabda: ‌لَا ‌يُلْدَغُ ‌المُؤْمِنُ ‌مِنْ ‌جُحْرٍ ‌وَاحِدٍ ‌مَرَّتَيْنِ.
    “Tidak sepatutnya seorang yang beriman, disengat sebanyak dua kali daripada satu lubang (yang sama).” (HR al-Bukhari 6133 dan Muslim 63)
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa & membela keadilan, jauh dari sifat khianat & membela pengkhianatan.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 105- {SESUNGGUHNYA KAMI MENURUNKAN KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) KITAB (AL-QURAN) DENGAN MEMBAWA KEBENARAN, SUPAYA ENGKAU MENGHUKUM DI ANTARA MANUSIA MENURUT APA YANG ALLAH TELAH TUNJUKKAN KEPADAMU (MELALUI WAHYUNYA); DAN JANGANLAH ENGKAU MENJADI PEMBELA BAGI ORANG-ORANG YANG KHIANAT.} (AN-NISA’ 4:105)

  1. Allah nyatakan kepada Nabi Muhammad SAW bahawa Dia telah menurunkan al-Quran yang benar dari segala sudutnya. 
    Ianya turun dari Allah, benar dari sudut kesahihan & hukum-hakamnya.
    Cerita & khabarnya adalah benar, hukum-hakamnya adalah adil, ajaran dan panduannya adalah menyeluruh & sempurna!
  1. Al-Quran selain hidayah : Ia juga adalah sumber kekuatan bagi orang mukmin. 
    Kamu nak kuat ikut al-Quran. Jika tidak ikut al-Quran kamu lemah! 
    Allah juga perintahkan kita untuk berhukum dengan al-Quran yang adil lagi sempurna segala hukumannya. 
    Berhukum hendaklah ikut al-Quran bukan ikut nafsu.
  1. Undang-undang kita adalah berpaksikan al-Quran & Sunnah Nabi SAW yang sahih. 
    Jika hukum yang sudah ada alhamdulillah, jika yang perlukan kepada kajian & fatwa bagi isu & masalah baru, para ulama’ mesti sentiasa buat kajian ikut perkembangan semasa.
  1. Rujukan bagi Nabi SAW adalah wahyu, bagi ulama’ selepas kenabian ialah mereka perlu mengkaji mencari dalil untuk keluarkan ijtihad & hukum bagi isu semasa yang baru & sentiasa berubah ikut perkembangan zaman!
  1. Kemudian Allah beri ingatan agar jangan menjadi pembela orang yang khianat! 
    Jika seseorang mendakwa yang bukan haknya atau dia ingkar tanggungjawab atau amanahnya- kena siasat & cari buktinya lalu berhukum dengan adil. 
    Jangan sekali-kali kamu menzalimi orang kerana tidak adil atau cuai mencari keadilan.
  1. Jika kamu tahu dia tidak baik atau tidak benar (pengkhianat) jangan kamu sokong walaupun mereka ada orang yang rapat & dekat dengan kamu!
    Ini kerana segala bantuan & sokongan yang diberikan akan dikira di sisi Allah SWT nanti!

AYAT 106- {DAN HENDAKLAH ENGKAU MEMOHON AMPUN KEPADA ALLAH; KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH ADALAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AN-NISA’ 4:106)

  1. Kemudian Allah ajar agar kita sentiasa memohon keampunan dari Allah SWT kerana takut kita ada tersalah dalam hukum-hukum atau muamalat kita sesama manusia! 
    Contoh : Kita ingat nak buat keadilan tetapi tidak jadi adil, kita bela orang rupanya kita tersalah membela orang yang zalim atau seumpamanya!
  1. Ingatlah sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
    Jika kamu tersalah dan tidak sengaja dalam hukum atau percakapan atau apa saja; tidak mengapa, tetapi teruslah memohon keampunan Allah SWT.

AYAT 107- {DAN JANGANLAH ENGKAU BERBAHAS UNTUK MEMBELA ORANG-ORANG YANG MENGKHIANATI DIRI MEREKA SENDIRI. SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK SUKA KEPADA ORANG-ORANG YANG SELALU MELAKUKAN KHIANAT, LAGI SENTIASA BERDOSA.} (AN-NISA’ 4:107)

  1. Allah SWT juga melarang Rasulullah SAW daripada berbahas dan melayan orang yang khianat atau orang yang membela orang khianat. Walaupun orang yang kamu sayangi & dekat rapat.
  1. Allah juga larang daripada berbahas dengan mereka! 
    Bila kita sudah tahu mereka salah; jangan kita layan isu mereka, berbahas dengan mereka- kerana ada juga yang mencari glamour, sengaja mencari perhatian! 
    Makin kita layan, kita jawab, mereka makin dapat perhatian dan pendedahan yang mereka memang mahukan!
  1. Kamu juga jangan menjadi peguam, pembela kepada mereka kerana sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang yang bersifat khianat & yang sentiasa membuat dosa dan khianat! 
    Jangan bela mereka, jangan dok angkat darjat mereka!
  1. Ayat ini sekaligus mengajar kepada kita dalam bab guaman atau pembelaan, jangan sesekali kamu sanggup membela orang yang kamu tahu dengan pasti adalah salah, penipu & pengkhianat! 
    Jika mereka dilepaskan atas kesilapan teknikal sedangkan mereka bersalah maka kita telah bersubahat dalam kezaliman mereka!
  1. Kerana jika mereka yang jahat itu dijatuhkan hukum bebas atau tidak bersalah dengan hujjah yang kamu berikan, kerana penghakiman akan dijalankan mengikut apa yang dikemukakan kepada hakim/qadhi. 
    Maka kamu telah melakukan satu perbuatan yang amat bahaya dan kezaliman yang besar sekali!
  1. Hadis riwayat dari Ummu Salamah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
    عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ وَإِنَّكُمْ تَخْتَصِمُونَ إِلَيَّ، وَلَعَلَّ بَعْضَكُمْ أَنْ يَكُونَ أَلْحَنَ بِحُجَّتِهِ مِنْ بَعْضٍ فَأَقْضِي عَلَى نَحْوِ مَا أَسْمَعُ. فَمَنْ قَضَيْتُ لَهُ مِنْ حَقِّ أَخِيهِ شَيْئًا فَلاَ يَأْخُذْهُ، فَإِنَّمَا أَقْطَعُ لَهُ قِطْعَةً مِنْ النَّارِ.
    Maksudnya: “Saya hanyalah manusia biasa, dan kamu mengadukan sengketa kepadaku, boleh jadi sebahagian diantara kamu lebih pandai berbicara daripada yang lainnya, maka aku putuskan berdasarkan apa yang aku dengar. Maka barang siapa yang kuputuskan (menang) dengan mengambil hak saudaranya, janganlah ia mengambilnya, kerana itu seakan-akan aku memberikan sepotong api neraka untuknya. [HR Bukhari- 6634].

    Yakni walaupun Nabi SAW putuskan seseorang itu menang; tetapi jika dia tahu dia salah maka jangan ambil apa yang bukan haknya! Jika tidak dia seolah telah mengambil seoptong api neraka! Wal ‘iyazubillah!
    Kerana ini hukuman dunia tidak menghalalkan apa yang sebenar salah di Akhirat.

AYAT 108- {MEREKA MENYEMBUNYIKAN (KEJAHATAN MEREKA) DARIPADA MANUSIA, DALAM PADA ITU MEREKA TIDAK MENYEMBUNYIKAN (KEJAHATAN MEREKA) DARIPADA ALLAH. PADAHAL ALLAH ADA BERSAMA-SAMA MEREKA, KETIKA MEREKA MERANCANGKAN PADA MALAM HARI, KATA-KATA YANG TIDAK DIREDHAI OLEH ALLAH. DAN (INGATLAH) ALLAH SENTIASA MELIPUTI PENGETAHUANNYA AKAN APA YANG MEREKA LAKUKAN.} (AN-NISA’ 4:108)

  1. Sesiapa saja mungkin boleh menyembunyikan kejahatan & perbuatan buruknya daripada pandangan manusia lain! Dengan pelbagai helah dan rancangan jahat untuk menjalankan apa yang mereka ingini! 
  1. Mereka buat perancangna jahat itu kebiasaannya dalam gelap pada waktu malam, kerana tidak mahu manusia tahu!
    Tetapi mereka lupa tiada apa yang tersembunyi daripada ilmu, pengetahuan & kuasa Allah SWT! 
  1. Ingatlah ilmu Allah sentiasa Meliputi PengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.
    Nak kata orang jahat itu baik Allah tahu, tuduh & fitnah orang yang baik juga Allah tahu! 
  1. Maka kita baliklah kepada neraca timbangan yang Allah berikan iaitu:
    i- Kita ada wahyu al-Quran & Sunnah Nabi SAW di hadapan kita.

    ii- Kita ada akal untuk berfikir & menilai, bukan hanya ikut arus atau orang ramai buat & pilih. Kayu ukur kita bukan ramai atau sedikit pengikutnya tetapi apa yang bertepatan dengan wahyu & Sunnah!
    Kata budak-budak. Jika yang sedikit kena ikut yang ramai, maka pengembala kambing kena ikut kambing bukan sebaliknya; ini kerana kambing lebih banyak daripada pengembala yang hanya seorang!
    Atau satu lagi yang ramainya yang melompat terkinja dalam stadium konsert hiburan, yang sedikit pastilah yang hadir solat jemaah di masjid! 

AYAT 109- {SEDARLAH! KAMU INI ADALAH ORANG-ORANG (YANG TELAH MENYIMPANG DARI KEBENARAN), KAMU TELAH BERHUJAH MEMBELA MEREKA (YANG BERSALAH) DALAM KEHIDUPAN DUNIA INI, MAKA SIAPAKAH YANG AKAN BERHUJAH KEPADA ALLAH UNTUK MEMBELA MEREKA ITU PADA HARI KIAMAT KELAK? ATAU SIAPAKAH YANG AKAN MENJADI PELINDUNG MEREKA (DARI AZAB SEKSA YANG DISEDIAKAN OLEH ALLAH)?} (AN-NISA’ 4:109)

  1. Sekali lagi Allah beri amaran agar jangan membela orang yang khianat & bersalah! 
    Jika kamu melakukan sedemikian; kamu adalah orang-orang yang telah menyimpang dari kebenaran.
  1. Andaikata kamu berjaya membela mereka atas dunia ini dengan hujjah-hujjah kamu lalu mereka berjaya bebas; maka di Akhirat kelak siapa yang akan berhujjah dengan Allah bagi membela mereka yang sudah tentu bersalah itu! 
  1. Jawapannya tiada siapa yang boleh bela & selamatkan mereka di hadapan Allah SWT nanti! 
    Maka hati-hatilah agar jangan sampai kamu dibakar api neraka bersama mereka yang zalim & khianat itu!
    PENHATIAN :
    Rasulullah SAW juga larang daripada kita terlibat dengan perkara khurafat & bid’ah kerana ia akan membawa kepada mungkar & dosa!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 105- {Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran,}-

    Kitab ini iaitu al-Quran turun dari Allah SWT!
    Asalnya al-Quran berada di Lauh Mahfuz di langit ketujuh, kemudian diturunkan ke langit dunia, akhirnya diturunkan melalui wahyu oleh malaikat Jibril AS kepada Rasulullah SAW dalam tempoh 23 tahun secara beransur-ansur mengikut keperluan & keadaan.
    Al-Quran itu dipanggil juga al-Kitab; kerana itu ulama’ kata harus kita tulis ayat al-Quran di mashaf untuk kita baca, tadabbur & amal. 
    Sentiasalah membaca al-Quran dan mengamalkannya kerana Al-Quran akan datang memberi syafaat kepada kita di akhirat nanti

    FAKTA :
    Dalam al-Quran ada 114 surah, 6236 ayat dan 77437 perkataan serta 323671 huruf (menurut sebahagian ulama’). 
  1. Ayat 105- {supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya);}-

    Ini menunjukkan Nabi SAW boleh berijtihad dalam hukum tetapi di bawah kawalan wahyu Allah SWT. jika tidak betul, Allah akan perbetulkan.
    Tetapi para ulama’ selepas Nabi terpaksa berijtihad untuk hukum-hukum yang baru timbul :Tanpa kawalan wahyu lagi tetapi berdasarkan ilmu mereka dan dalil-dalil yang ada dari dua sumber Syari’ah ini. 
    Kerana itu jika mereka tersalah tidak mengapa & tidak berdosa cuma fatwa itu jangan diambil atau diikut.
    Berdasarkan ilmu wajib, jangan berdasarkan nafsu & nakkan habuan dunia.

    Hadis Nabi SAW: عَنْ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ – رضي الله عنه – أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ – صَلَّىاللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – يقول إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَفَلَهُ أَجْرٌ.
    Dari Amru bin al-Ash RA bahawa ia mendengar Rasulullah saw. bersabda, “Ketika seorang hakim hendak memutuskan hukum, lalu berijtihad, kemudian benar, ia mendapatkan dua pahala. Jika ia hendak memutuskan hukum, lalu berijtihad kemudian ternyata salah, ia dapat satu pahala.” (HR. Muslim).
  1. Ayat 105- {dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.}-

    Amaran kepada orang muslim agar jangan bela & tolong orang zalim.
    Walaupun ayat ini dituju kepada Nabi SAW tetapi ia juga membawa hukum & perintah kepada semua umatnya!
    Maksudnya (خَصِيمًۭا) ini ialah khianat atau zalim:
    i- Zalim kepada diri sendiri dengan buat dosa & maksiat.

    ii- Zalim kepada orang lain dengan buat zalim & khianat kepada mereka!
  1. Ayat 108- {Mereka menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada manusia, dalam pada itu mereka tidak menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada Allah.}-

    Kamu boleh sembunyikan dosa kamu daripada manusia lain tetapi tidak kepada Allah SWT!
    Ayat ini amaran keras kepada manusia yang melakukan dosa maksiat & kejahatan secara tersembunyi! 
    Pada zahirnya orang nampak & ingat dia baik, tetapi disebalik itu mereka buat pelbagai buatan jahat seperti bersembunyi disebalik fake akaun, sebar fitnah & tuduhan jahat ke atas orang, menonton filem lucah & yang tidak sepatutnya dan lain-lain perbuatan buruk!
    Maka kita orang beriman jangan bersembunyi disebalik apa saja nama atau penyamaran kerana malaikat akan jumpa semuanya, lagi pandai mengesannya! 
    Allah lagi tahu kerana ilmu Allah SWT meliputi segala sesuatu!
    Maka kita beriman jangan cuba bersembunyi disebalik apa saja kerana akhirnya Allah akan dedahkan semua itu!
  1. Ayat 106- {Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah; kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.}-

    Allah juga suruh kita banyak beristighfar.
    Allah ajar kepada kita untuk sentiasa beristighfar memohon keampunan kepada Allah- jika kita ada tersalah buat silap & dosa tanpa sengaja dan sedar.
    Kadang-kadang kita bercakap sudah rasa betul, setelah diingat kembali baru terasa silap dan tak kena. 
    Sebelum bercakap para ustaz, pendakwah & pengkuliah; semak dulu & kaji dulu sebelum berkata, jangan sibuk mudah letak label ke atas orang. 
    Jika semua tuduhan yang didengar kita ambil, maka mana ilmu kita, mana akal kita kenapa tak boleh fikir & berlaku adil!
    Terutama jika sebagai sebagai seorang hakim atau qadhi. Kena kaji & semak dulu, lapangkan dada, tenangkan hati, beristighfar sebelum menjatuhkan hukuman, agar kita memberi hukum yang telus, yang adil yang baik kepada orang ramai!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs