View Categories

(47) Surah An-Nisa’ : Ayat 116-122

BAHAYA SYIRIK, KEJAHATAN DAN PERANGKAP SYAITAN & JANJI SYURGA UNTUK MUKMIN.

Full video : https://youtu.be/zGKyMkY91xk?si=opGzhp_JsP0eqRfI

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 116 sehingga 122 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ kelima.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang bahaya syirik, yang amat bahaya, satu dosa yang tidak akan diampunkan Allah SWT!
  1. Siapa yang mengajak manusia kepada syirik & kejahatan itulah syaitan maka kita berhati-hatilah dengan segala perangkap syaitan & tipu daya syaitan untuk memesongkan manusia dari jalan Allah.
  1. Di akhiri dengan ayat penguat semangat, peneguh iman iaitu janji syurga bagi mukmin yang beramal soleh.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan amaran bagi sesiapa yang menyalahi apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW & menyalahi jalan yang dibawa oleh ulama’ orang Islam, sedangkan mereka tahu kebenaran itu tetapi kerana angkuh & sombong dan sebab lain mereka tolak!

    ii- Kemudian Allah nyatakan sekali lagi dalam ayat ini sesiapa yang terlibat dengan dosa syirik yang tidak akan diampunkan. Selain daripada dosa syirik ada peluang untuk diampunkan bergantung kepada kuasa & kehendak Allah SWT!
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, murni tauhid dari sebarang jenis syirik, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 116- {SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK AKAN MENGAMPUNKAN DOSA ORANG YANG MEMPERSEKUTUKANNYA DENGAN SESUATU (APA JUA), DAN AKAN MENGAMPUNKAN YANG LAIN DARIPADA KESALAHAN (SYIRIK) ITU BAGI SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA (MENURUT PERATURAN HUKUM-HUKUMNYA); DAN SESIAPA YANG MEMPERSEKUTUKAN ALLAH DENGAN SESUATU (APA JUA), MAKA SESUNGGUHNYA IA TELAH SESAT DENGAN KESESATAN YANG AMAT JAUH.} (AN-NISA’ 4:116)

  1. Allah menegaskan sekali lagi bahawa dosa syirik tidak akan diampunkan dan pelakunya akan dihumbankan ke dalam neraka yang penuh azab jika mereka mati dalam keadaan syirik itu sebelum bertaubat darinya. 
    Jika dia sempat bertaubat alhamdulillah.
  1. Manakala dosa selain daripada syirik- bergantung kepada kuasa, kehendak dan rahmat Allah; jika Dia mahu ampunkan sama ada selepas disiksa di dalam neraka buat beberapa lama atau sebelum itu lagi.
  1. Sesiapa yang melakukan syirik itulah orang yang telah sesat jauh daripada kebenaran & jauh dari rahmat Allah SWT!

AYAT 117- {APA YANG MEREKA SEMBAH YANG LAIN DARI ALLAH ITU, HANYALAH BERHALA-BERHALA (MAKHLUK-MAKHLUK YANG LEMAH), DAN MEREKA (DENGAN YANG DEMIKIAN) TIDAK MENYEMBAH MELAINKAN SYAITAN YANG DERHAKA;} (AN-NISA’ 4:117)

  1. Apa saja sembahan selain daripada Allah adalah berhala-berhala yang lemah {إِنَـٰثًۭا} yang tidak memberi sebarang manfaat & darurat! 
    Ia diberi pelbagai nama perempuan {إِنَـٰثًۭا} seperti Lata, Uzza, Manat dan lain-lain- secara tidak lansung menjadikannya makhluk yang lemah!
    Ini menunjukkan bahawa lelaki tidak sama dengan perempuan tetapi puak musyrikin ini menamakan berhala mereka dengan nama perempuan!

    Ada juga berhala yang berasal dari nama-nama orang soleh yang dipuja seperti (Waddan, Suwa’, Yaghuts, Ya’uq, dan Nasra) iaitu nama-nama orang soleh pada masa Nabi Nuh AS.
    Selepas kematian mereka dibuat patung untuk dihormati lama-kelamaan dengan hasutan syaitan, bertambah taksub pengikutnya sehingga dijadikan berhala!
  1. Serta apa yang mereka sembah & seru itu sebenarnya adalah syaitan, yakni kerana mereka ikut hasutan syaitan yang menghiasi amalan itu, untuk syirik & menyembah selain daripada Allah, maka jadilah apa yang mereka sembah itu asalnya daripada syaitan! 

AYAT 118- {YANG TELAH DILAKNAT OLEH ALLAH, DAN YANG TELAH MENGATAKAN: “DEMI SESUNGGUHNYA, AKU AKAN MENGAMBIL DARI KALANGAN HAMBA-HAMBAMU, BAHAGIAN YANG TERTENTU (UNTUK MENJADI PENGIKUTKU);} (AN-NISA’ 4:118)

  1. Syaitan yang dilaknat Allah SWT ini telah bersumpah: “Demi sesungguhnya, aku akan mengambil dari kalangan hamba-hambaMu, bahagian yang tertentu untuk menjadi pengikutku.”
    Untuk menjadi pengikutnya, teman rapatnya untuk dijadikan teman mereka di dalam neraka!
  1. Sebagaimana kisahnya juga dalam firman Allah SWT ini:
    Maksudnya: {Allah berfirman: “Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau adalah makhluk yang diusir. (Saad 38:77) 
    Maksudnya: “Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknatku terus menerus hingga ke hari kiamat!”(Saad 38:78) 
    Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat) “.(Saad 38:79) 
    Allah berfirman: “Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (Saad 38:80) 
    “Hingga ke hari masa yang termaklum “.(Saad 38:81) 
    Iblis berkata: “Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, (Saad 38:82) 
    “Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan”.} (Saad 38:83)
  1. Yakni syaitan tahu akan ada manusia yang kuat imannya tidak akan terpeseong terpengaruh dengan hasutannya. 
    Tetapi pastilah yang terkecuali itu lebih sedikit daripada yang terpedaya!
    Maka kata ulama’ : Manusia yang terpesong pastilah lebih ramai daripada yang selamat & murni tauhidnya!
  1. Boleh lihat Kuliah DAAM tentang 5 sumpah syaitan Untuk menyesatkan anak Adam dalam
    Kitab Hakikat Syaitan : https://www.youtube.com/playlist…

AYAT 119- {“DAN DEMI SESUNGGUHNYA, AKU AKAN MENYESATKAN MEREKA (DARI KEBENARAN), DAN DEMI SESUNGGUHNYA AKU AKAN MEMPERDAYAKAN MEREKA DENGAN ANGAN-ANGAN KOSONG, DAN DEMI SESUNGGUHNYA AKU AKAN MENYURUH MEREKA (MENCACATKAN BINATANG-BINATANG TERNAK), LALU MEREKA MEMBELAH TELINGA BINATANG-BINATANG ITU; DAN AKU AKAN MENYURUH MEREKA MENGUBAH CIPTAAN ALLAH”. DAN (INGATLAH) SESIAPA YANG MENGAMBIL SYAITAN MENJADI PEMIMPIN YANG DITAATI SELAIN DARI ALLAH, MAKA SESUNGGUHNYA RUGILAH IA DENGAN KERUGIAN YANG TERANG NYATA.} (AN-NISA’ 4:119)

  1. Syaitan bersumpah untuk menyesatkan manusia agar:
    i- Terpesong lalu sesat daripada kebenaran {وَلَأُضِلَّنَّهُمْ }.

    ii- Terpedaya dengan angan-angan {وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ}, panjang & luas keinginan, tamak akan dunia, bila angan-angan besar akan lambatlah insaf &taubatnya.

    iii- Mencacatkan binatang-binatang ternak denganmembelah telinga binatang-binatang ternakan { وَلَـَٔامُرَنَّهُمْ}- yakni sebagai tanda binatang yang tidak lagi boleh dimakan, telah menjadi hadiah untuk sembahan & berhala mereka!

    iv- Menggubah ciptaan Allah { فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ ٱللَّهِ ۚ}- contohnya tukar jantina & membuang atau menambah kejadian asal tanpa keperluan.
    Tukar pakaian berlawanan jenis pun sudah haram apatah lagi tukar atau tambah dengan pembedahan, suntikan dan sebagainya!
    Ada kata tukar agama yang tauhid kepada syirik, dari iman kepada kufur.
  1. Kesesatan yang syaitan bawa itu pula:
    i- Sesat dari jalan kebenaran, tak ikut jalan yang Allah redha.

    ii- Sesat dari sudut ilmu tak jumpa yang benar, orang suruh ikut al-Quran & Hadis- dia tak ikut.

    iii- Sesat dalam amalan, tak jumpa amalan yang sahih, yang Nabi SAW ajar, tetapi buat apa yang diajar oleh orang lain yang didapati dari mimpi dan macam-macam.
  1. Antara contoh mengubah kejadian yang dilarang:
    Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda: لَعَنَ اللهُ الوَاشِمَاتِ وَالمُسْتَوْشِمَاتِ، وَالنَّامِصَاتِ وَالمُتَنَّمِصَاتِ، وَالمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ المُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللهِ.
    Maksudnya: “Allah SWT melaknat orang yang membuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu. Orang yang mencabut bulu mata dan orang yang diminta cabut bulu matanya. Orang yang menjarangkan giginya demi kecantikan sehingga merubah ciptaan Allah SWT”. [HR al-Bukhari].
  1. Pembedahan anggota badan jika ada keperluan atau kecacatan atas nasihat doktor yang pakar tidak mengapa, atas tujuan perubatan.
  1. INI ADALAH AMARAN KERAS PADA AKHIR AYAT :
    sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.

AYAT 120- {SYAITAN SENTIASA MENJANJIKAN MEREKA (DENGAN JANJI-JANJI INDAH) SERTA MEMPERDAYAKAN MEREKA DENGAN ANGAN-ANGAN KOSONG; DAN APA YANG DIJANJIKAN OLEH SYAITAN ITU TIDAK LAIN HANYALAH TIPU DAYA SEMATA-MATA.} (AN-NISA’ 4:120)

  1. Dalam ayat ini adalah sambungan tipu-daya syaitan yang kelima & keenam:
    i- Sentiasa menjanjikan mereka dengan janji-janji indah.

    ii- Serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong;
  1. Sebagaimana firman Allah SWT:
    {Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.} (Al-Baqarah 2:268) 

    Syaitan menakutkan dengan kefaqiran bagi orang yang nak bersedekah serta menyuruh manusia untuk berbuat keji & bakhil.
  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa semua yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.
    Tipu daya untuk menyesat & memesongkan manusia daripada kebenaran! 

AYA 121- {MEREKA ITU, TEMPAT AKHIRNYA IALAH NERAKA JAHANAM, DAN MEREKA PULA TIDAK AKAN DAPAT MELARIKAN DIRI DARIPADANYA.} (AN-NISA’ 4:121)

  1. Maka bagi mereka yang telah terpedaya & ikut tipu daya syaitan- sama ada kufur terus atau beriman tetapi terperangkap dengan tipu daya syaitan lalu terjebak dengan perbuatan maksiat & mungkar ini;
  1. Balasan bagi mereka : Tempat akhirnya ialah neraka jahanam, dan mereka pula tidak akan dapat melarikan diri daripadanya.

AYAT 122- {DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN SERTA BERAMAL SOLEH, KAMI AKAN MASUKKAN MEREKA KE DALAM SYURGA YANG MENGALIR DI BAWAHNYA BEBERAPA SUNGAI, MEREKA KEKAL DI DALAMNYA SELAMA-LAMANYA, SEBAGAI JANJI ALLAH YANG BENAR. DAN SIAPAKAH YANG LEBIH BENAR PERKATAANNYA DARIPADA ALLAH?} (AN-NISA’ 4:122)

  1. Dalam ayat ini Allah nyatakan tentang sebaliknya iaitu orang yang beriman & beramal soleh serta janji balasan pahala yang amat besar iaitu syurga.
  1. Munasabah ayat ini dengan yang sebelumnya:
    i- Setelah Allah nyatakan perancangan jahat syaitan & keburukannya serta amaran tentang syaitan.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan tentang orang yang beriman & beramal soleh. Iaitu janji Allah tentang balasan bagi orang yang baik.
  1. Bagi mereka ialah balasan Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Ini adalah sebagai janji Allah yang benar. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 116- {Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua),}-

    Allah sebut dalam ayat ini bahawa Allah tidak akan ampunkan orang yang melakuakn syirik!
    Allah SWT ulang dua kali ayat ini dalam Surah An-Nisa’ ini iaitu:
    i- Pertama kalinya dalam ayat 48: { إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِۦ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُ}
    {Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua),}.

    ii- Kemudian diulang lagi dalam ayat 116 ini: { إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِۦ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُ}
    Dua ayat yang menunjukkan bahawa siapa yang syirik dia sesat, sangat jauh dari Allah, mengajak orang untuk syirik & menduakan Allah!

    Antara dua ayat ini Allah ada sebut tentang orang yang membunuh diri. 
    Maka kata ulama’ : Dosa membunuh diri Allah akan ampunkan tetapi tidak dosa syirik!
    Orang sesat ialah orang yang mereka-reka tuduhan jahat terhadap Allah SWT seperti kata Tuhan ada anak, ada pasangan dan pelbagai tuduhan jahat seumpamanya.
    Kerana itu jangan sesekali kita ikut merayakan & bergembira seolah turut menyambut sama hari perayaan orang yang kata Tuhan itu anak, kerana langit pun bergetar marah kepada mereka!
  1. Ayat 117- {Apa yang mereka sembah yang lain dari Allah itu, hanyalah berhala-berhala (makhluk-makhluk yang lemah),}-

    Apa yang mereka sembah, apa yang doakan itu adalah berhala (patung) semata!
    Sesiapa yang sembah apa-apa bermakna dia telah meminta (berdoa) kepada benda itu.
    Kerana itu jangan sekali-kali berdoa meminta kepada selain daripada Allah! 
    Kerana doa itu adalah sebahagian daripada ibadat.

    Maka kerana itu jangan berdoa kepada apa-apa selain daripada Allah.
    Kerana itu taat itu dikira sebagai doa & ibadat; ibadat itu ialah hati kita bergantung kepadanya!
  1. Ayat 118- {Yang telah dilaknat oleh Allah, dan yang telah mengatakan: “Demi sesungguhnya,…} & Ayat 119- {“Dan demi sesungguhnya, aku..}-

    Ayat ini menunjukkan syaitan itu ada kata-katanya!
    Kata ulama’ : Ini menunjukkan bahawa syaitan itu berkata-kata, bercakap dan boleh melakukan perbuatan. 
    Yakni syaitan itu ada perkataan & perbuatannya.
    i- Nabi SAW bersabda: إذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ.
    Maksudnya: “Jika seseorang di antara kamu makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya. Jika minum maka hendaklah juga minum dengan tangan kanannya, kerana syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya pula”. [HR Muslim (2020)].

    ii- Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang lelaki masuk rumahnya lalu menyebut nama Allah ketika masuk rumah dan ketika hendak makan, syaitan berkata kepada kawan-kawannya: Tiada tempat bermalam untuk kamu dan tiada makanan. Apabila lelaki itu masuk rumah, tidak menyebut nama Allah ketika masuk rumah dan tidak menyebut nama Allah ketika makan, syaitan berkata: Kamu telah dapat tempat tinggal dan makanan.” [HR Muslim].
  1. Ayat 119- {“Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka….}-

    Ini adalah sumpah syaitan yang amat kuat!
    Syaitan telah bersumpah dengan sumpah yang kuat untuk menyesatkan anak Adam, menipu, menyeleweng & memperdayakan mereka dari jalan yang benar, dari kebenaran & dari Allah SWT & Rasulullah SAW.
    Kita telah sebut beberapa jenis sumpah syaitan di atas tadi.
    Boleh baca buku atau lihat kuliah Kitab Hakikat Syaitan!
  1. Ayat 121- {Mereka itu, tempat akhirnya ialah neraka jahanam, dan mereka pula tidak akan dapat melarikan diri daripadanya.}-

    Bagi syaitan & pengikutnya tempat duduk mereka & tempat kembali mereka ialah neraka Jahannam!
    Yang syirik & yang kafir tiada jalan pulang ke syurga, kekal di dalam neraka selamanya! 
    Manakala yang derhaka, buat dosa & maksiat tapi masih beriman; Allah akan beri kemaafan ikut kehendak Allah SWT selama mana akan disiksa atau akan dimaafkan.

    Yang penting bagi kita untuk beriman & beramal soleh agar kita selamat dunia & Akhirat. 
    Yang penting bagi kita. Semoga kita termasuk dalam golongan yang Allah sebut dalam ayat selepasnya iaitu balasan syurga bagi mereka yang beriman & beramal soleh! 

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs