Surah An-Nisa’ : Ayat 12-14

HAK PUSAKA BAGI SUAMI DAN ISTERI, PENERIMA AL-KALALAH & PEMBAHAGIAN TETAP DARI ALLAH JANGAN DERHAKA.

Full video : https://youtu.be/NicfcNExWdc?si=mhl1bg5Ko2RPoGqw

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 12 sehingga 14 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ keempat.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah sambungan dari ayat semalam tentang bahagian anak-anak & ibu bapa. 
    Dalam ayat ini pula tentang hak pusaka bagi suami dan isteri jika salah seorangnya mati dahulu.
  1. Kemudian diterangkan hukum penerima pusaka al-Kalalah (كَلَـٰلَةً) iaitu orang yang tiada anak keturunan (furu’- فروع) dan tiada Ibu bapa (usul- أصول).
    Iaitu orang meninggal yang tidak meninggalkan ahli waris dari golongan ibu bapa dan anak.
  1. Kemudian Allah tegaskan bahawa pembahagian ini adalah ketetapan dari Allah, maka jangan kamu ingkar & derhaka.
  1. Kita akan dapati empat kali Allah SWT ulang ayat sebegini {بَعْدِ وَصِيَّةٍۢ يُوصِينَ} iaitu {sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan}- betapa Allah ingatkan kepada para pewaris untuk tunaikannya.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    a- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang bahagian pusaka (usul) iaitu bapa ke atas & tentang bahagian (furu’) iaitu anak, cucu ke bawah. 
    Kemudian sebab boleh menerima pusaka iaitu:
    i- Pertama nasab : Keturunan kerabat. 

    ii- Yang kedua ialah kerana sebab : Iaitu hubungan suami isteri, jika dah bercerai tidak ada hak lagi saling menerima pusaka.

    iii- Yang ketiga ialah wala’ : Iaitu memerdekakan hamba. Tiada lagi zaman ini.

    b- Kemudian dalam ayat ini dinyatakan penerima pusaka melalui perkahwinan iaitu bahagian suami & isteri yang telah ditetapkan Allah
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 12- {DAN BAGI KAMU SATU PERDUA DARI HARTA YANG DITINGGALKAN OLEH ISTERI-ISTERI KAMU JIKA MEREKA TIDAK MEMPUNYAI ANAK. TETAPI JIKA MEREKA MEMPUNYAI ANAK MAKA KAMU BEROLEH SATU PEREMPAT DARI HARTA YANG MEREKA TINGGALKAN, SESUDAH DITUNAIKAN WASIAT YANG MEREKA WASIATKAN DAN SESUDAH DIBAYARKAN HUTANGNYA}.

  1. Ayat ini pula membawa hukum tentang bahagian seorang suami & isteri daripada harta yang ditinggalkan oleh pasangan yang meninggal.
  1. Bahagian suami bergantung kepada dua keadaan ini:
    i- Jika si isteri itu tiada anak lansung- maka dia akan dapat separuh atau 1/2 daripada hartanya.

    ii- Jika si isteri itu ada anak sama ada darinya atau dari suami lain sebelum itu: Maka dia akan dapat seperempat atau 1/4 daripada hartanya.

    Ingat! tetapi bukan anak angkat. 
    Satu dosa besar tukar nama! Binkan anak angkat kepada nama si bapa angkat. 
    Mereka tetap tak berhak untuk mendapat harta pusaka.
  1. Kemudian Allah tegaskan pembahagian itu adalah sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya.
    Jika selepas bayar hutang habis duitnya maka apa boleh buat. Jika ada lagi duit selepas dibayar hutangnya, tunaikan pula wasiatnya, barulah dibahagikan harta itu.

AYAT 12- {DAN BAGI MEREKA (ISTERI-ISTERI) PULA SATU PEREMPAT DARI HARTA YANG KAMU TINGGALKAN, JIKA KAMU TIDAK MEMPUNYAI ANAK. TETAPI KALAU KAMU MEMPUNYAI ANAK MAKA BAHAGIAN MEREKA (ISTERI-ISTERI KAMU) IALAH SATU PERLAPAN DARI HARTA YANG KAMU TINGGALKAN, SESUDAH DITUNAIKAN WASIAT YANG KAMU WASIATKAN, DAN SESUDAH DIBAYARKAN HUTANG KAMU.}

  1. Bahagian isteri juga bergantung kepada dua keadaan ini:
    i- Jika si suami itu tiada anak lansung, maka dia akan dapat seperempat atau 1/4 daripada harta yang ditinggalkan.

    ii- Jika si isteri itu ada anak sama ada darinya atau dari isteri lain sebelum itu: Maka dia akan dapat satu perlapan atau 1/8 daripada hartanya.
    Isteri, seorang atau lebih daripada seorang akan berkongsi daripada bahagian 1/8 itu. Tidak menjadi 1/8 bagi setiap seorang.
  1. Kemudian Allah tegaskan sekali lagi: Pembahagian itu adalah sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya.
    Kita sudah bincangkan dalam siri lepas kenapa Allah sebut wasiat dulu sebelum hutang walaupun hutang wajib didahulukan pembayarannya sebelum wasiat. Kerana wasiat tiada tuan yang akan menuntutnya manakala hutang pastilah tuannya akan tampil menuntunya sendiri!

AYAT 12- {DAN JIKA SI MATI YANG DIWARISI ITU, LELAKI ATAU PEREMPUAN, YANG TIDAK MENINGGALKAN ANAK ATAU BAPA, DAN ADA MENINGGALKAN SEORANG SAUDARA LELAKI (SEIBU) ATAU SAUDARA PEREMPUAN (SEIBU) MAKA BAGI TIAP-TIAP SEORANG DARI KEDUANYA IALAH SATU PERENAM. KALAU PULA MEREKA (SAUDARA-SAUDARA YANG SEIBU ITU) LEBIH DARI SEORANG, MAKA MEREKA BERSEKUTU PADA SATU PERTIGA (DENGAN MENDAPAT SAMA BANYAK LELAKI DENGAN PEREMPUAN), SESUDAH DITUNAIKAN WASIAT YANG DIWASIATKAN OLEH SI MATI, DAN SESUDAH DIBAYARKAN HUTANGNYA;}

  1. Ayat ini pula menerang hukum penerima pusaka al-Kalalah (كَلَـٰلَةً) iaitu orang yang mati (lelaki atau perempuan) tiada anak keturunan (furu’- فروع) dan tiada Ibu bapa (usul- أصول)- yakni telah mati sebelumnya lagi.
  1. Dari Al Bara’ RA, katanya: “Ayat Al-Qur’an yang terakhir sekali diturunkan, ialah ayat yang berbunyi: “Mereka minta fatwa kepada mu (tentang kalalah). Katakanlah! Allah memberi fatwa kepada mu tentang kalalah.” (An Nisa’, 4:176). [Sahih Muslim].
  1. Dalam keadaan ini, adik beradiknya (saudara) yang akan mendapat harta warisan jika pewaris meninggal dalam keadaan kalalah. 
  1. Caranya ada beberapa keadaan:
    i- Jika dia hanya mempunyai seorang saudara- sama ada seorang lelaki atau seorang saudara perempuan juga; maka mereka akan mendapat 1/6 daripada hartanya. 
    Perhatikan. Di sini bahagian lelaki & perempuan sama- tidak berganda.

    ii- Jika dia mempunyai saudara lebih dari seorang sama ada dua orang atau lebih, lelaki atau perempuan, maka semua saudara akan mendapat 1/3 daripada hartanya dan berkongsi sama banyak antara mereka.
  1. Para ulama menafsirkan yang dimaksud saudara di sini adalah saudara seibu sahaja, kerana dalam kes ini bahagian lelaki & perempuan sama banyak- tidak berganda seperti saudara kandung & sebapa.
  1. Semua pembahagian ini dengan syarat, adalah sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya.

AYAT 12- {WASIAT-WASIAT YANG TERSEBUT HENDAKNYA TIDAK MENDATANGKAN MUDARAT (KEPADA WARIS-WARIS). (TIAP-TIAP SATU HUKUM ITU) IALAH KETETAPAN DARI ALLAH. DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA PENYABAR.} (AN-NISA’ 4:12)

  1. Pastikan dulu wasiat itu adalah yang benar & telus untuk bersedekah pada jalan Allah.
    Bukan dengan niat untuk memudharatkan para pewaris yang ada.
    Iaitu kerana nak mengetepikan atau menghalang hak mereka!
  1. Ingatlah semua itu adalah ketetapan dari Allah Azza wa Jalla, jangan kamu berani nak ingkarinya! 
  1. kemudian Allah nyatakan sifat-Nya: 
    i- Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, yakni Allah tahu tentang apa undang-undang yang Dia buat untuk kita.

    ii- Lagi Maha Penyabar. Yakni jika ada orang berdosa kerana ingkar tak tunaikan perintah-Nya- maka Dia Maha Penyabar- bagi peluang untuk mereka sedar & bertaubat.
    Tunaikan wasiat, bayar hutang orang serta kembalikan segala amanah sebelum mati- jika dah mati tidak ada sabar lagi- terimalah akibatnya!
  1. Ar-Razi RHM mengatakan terdapat 6 ciri-ciri mudharat dalam wasiat itu:
    i- Wasiat lebih daripada satu pertiga tanpa persetujuan pewaris.

    ii- Tidak mengaku harta itu adalah miliknya.
    Kerana tidak mahu ia diwarisi oleh pewarisnya yang ada.

    iii- Mengaku ada hutang dengan seseorang. Lalu pewarisnya terpaksa membayarnya dan hilanglah harta itu.

    iv- Mengaku sudah bayar hutang dengan seseorang sedangkan dia belum bayarnya lagi.
    Maka akan menimbulkan masalah & akan beri mudharat kepada pewarisnya.

    v- Jual atau lelong hartanya dengan harga murah-murah, semata-mata tidak mahu para pewaris dapat harta itu!

    vi- Dia wasiatkan 1/3 hartanya tetapi bukan kerana Allah tapi kerana tak mahu pewaris dapat hartanya!
  1. Kita nak mati dah -sepatutnya kita redha dan biarkan harta itu ditinggalkan menjadi pusaka yang akan dibahagikan ikut ketetapan Allah dan kita akan dapat pahalanya. 
  1. Buat apa kita nak marah dan benci kepada orang- dia pun akan mati juga bukan lama pun atas dunia ini!
    Atau mungkin selepas dia terima harta kita, dia akan berubah menjadi orang yang paling berbakti kepada kita dengan doa & sedekahnya dengan harta kita itu! 
    Wallahu a’lam. Itulah hikmah hukum Allah.

AYAT 13- {SEGALA HUKUM YANG TERSEBUT ADALAH BATAS-BATAS (SYARIAT) ALLAH. DAN SESIAPA YANG TAAT KEPADA ALLAH DAN RASULNYA, AKAN DIMASUKKAN OLEH ALLAH KE DALAM SYURGA YANG MENGALIR DARI BAWAHNYA BEBERAPA SUNGAI, MEREKA KEKAL DI DALAMNYA; DAN ITULAH KEJAYAAN YANG AMAT BESAR.} (AN-NISA’ 4:13)

  1. Allah nyatakan lagi, semua hukum itu adalah Allah yang buat & perundangkannya! 
    Maka jangan sesekali kamu langar batas-batas Syariat Allah (حُدُودُ ٱللَّهِ).
  1. Dalam ayat ini Allah tegaskan dengan sesiapa yang ikut hukum & ketetapan Allah ini, taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya.
  1. Itulah kejayaan yang amat besar bagi seorang mukmin.
    Ya Allah jadikan kami orang yang mambaca al-Quran, yang membetulkan huruf & bacaannya serta yang melaksanakan hudud batasannya! 
  1. Munasabah ayat ini dengan hujung ayat sebelumnya:
    i- Allah nyatakan bahagian pewaris sekian-sekian. Serta orang jahiliyyah dulu dia tidak beri harta pusaka kepada perempuan & kanak-kanak.
    Kemudian di akhir ayat Allah kata Dia Maha Mengetahui & Maka Penyabar. 
    Maka dikhuatiri ada orang yang akan ambil kesempatan bahawa Allah itu lembut. Sabar, tidak beri hak harta pusaka seperti hukum Allah pun tidak mengapa; 

    ii- Maka Allah tegaskan dalam ayat ini bahawa semua itu adalah hukum ketetapan dari Allah!
    Allah tetapkan bahagian setiap pewarsi ½ ¼ dan seumpamanya- semua itu hudud Allah!
    Maka sesiapa yang ikutnya Allah janjikan syurga bagi. 
    Jika sebaliknya seperti ayat yang berikut ini:

AYAT 14- {DAN SESIAPA YANG DERHAKA KEPADA ALLAH DAN RASULNYA, DAN MELAMPAUI BATAS-BATAS SYARIATNYA, AKAN DIMASUKKAN OLEH ALLAH KE DALAM API NERAKA, KEKALLAH DIA DI DALAMNYA, DAN BAGINYA AZAB SEKSA YANG AMAT MENGHINA.} (AN-NISA’ 4:14)

  1. Manakala sesiapa yang derhaka kepada kepada Allah dan RasulNya:
    i- Langar peraturan dengan tidak menjalankan apa yang telah tetapkan.
    Bahagi tidak ikut bahagian, khianat buat wasiat karut dan lain-lain.

    ii- Dan melampaui batas-batas Syariat-Nya, sepatut dapat separuh diambilnya semua!
    Balasannya, mereka ini akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.
  1. Mereka akan kekal di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina. Wal-‘iyazu billah.
  1. Lebih-lebih lagi jika harta yang ditinggalkan itu ada hak anak yatim.
    Zalim kepada anak kecil yang tiada pembela & tidak mampu membela dirinya- adalah satu pengkhianatan yang amat dahsyat! 
    Satu dosa yang besar sebagaimana hadis Rasulullah SAW sebelum ini.
  1. Hidup atas dunia ini sekejap sahaja dan segala harta yang kita kejar itu hanyalah nikmat yang sementara. 
    Jangan sampai tergadai Akhirat kerana semua ini!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 12- {Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu..}-

    Ini adalah salah satu hukum sebab pembahagian harta pusaka bagi suami dan isteri yang dalam ikatan perkahwinan yang sah.
    Bahagian masing-masing dengan syaratnya jelas apabila kita baca ayat al-Quran ini. 
    Kedua pembahagian ini boleh rujuk perinciannya dalam tafsir ayat di atas.
    Dan pembahagian ini mestilah dengan syarat; sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya jika ada. 
  1. Ayat 11 & 12 ini Allah bawa dengan susunan yang cukup tertib & teliti. 

    Kerana nak terima pusaka kena ada jalur perhubungan yang khas dengan si mati. 
    Allah telah nyatakan penerima pusaka itu melalui tiga sebab:
    i- Hubungan pewaris dengan si mati tanpa perantaraan itu antara anak & bapa.
    Ini adalah hubungan direct kerana darah. 
    Hak mereka tidak akan gugur sama sesekali. Tidak ada siapa yang boleh sekatnya.

    ii- Hubungan pewaris dengan si mati tanpa perantaraan juga tetapi bukan melalui darah- iaitu hubungan suami isteri. 
    Hak mereka juga tidak akan gugur sesekali.

    iii- Hubungan pewaris dengan si mati dengan perantaraan, iaitu dalam kes al-Kalalah. Iaitu hubungan adik-beradik, ada hubungan dengan si mati melalui perut ibu dan melalui zuriat ayah yang sama. 
  1. Selepas Allah nyatakan tentang pembahagian harta pusaka seorang isteri yang mati- Allah SWT sebut { بَعْدِ وَصِيَّةٍۢ يُوصِينَ بِهَآ}–

    Selepas wasiat yang mereka (para isteri) itu buat- supaya orang tidak akan ada lagi fahaman & sangkaan yang tidak betul bahawa perempuan ini tidak boleh menerima pusaka & tidak boleh buat wasiat.
    Jadi semua orang : Lelaki atau perempuan, jika ada wasiatnya yang tidak bertentangan dengan batas Syari’ah, sah & wajib ditunaikan. 
    Islam telah memberi kepada wanita hak & darjat yang cukup mulia & tinggi. 
    Tidak dapat ditandingi oleh mana-mana perundangan atas dunia ini.
  1. Allah SWT mengulang ayat ini: Sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya- { بَعْدِ وَصِيَّةٍۢ يُوصِى بِهَآ أَوْ دَيْنٍ}- { بَعْدِ وَصِيَّةٍۢ يُوصِينَ بِهَآ}- { مِّنۢ بَعْدِ وَصِيَّةٍۢ تُوصُونَ بِهَآ}-

    Setiap kali selepas menjelaskan pembahagian bagi setiap kategori untuk mengingatkan para waris akannya.
    Lafaz atau sighah berlainan (dhamir- kata ganti nama) itu pula kerana mengikut jenis orangnya, lelaki atau perempuan, satu atau ramai. 
    Ini untuk kita tahu sikit tentang nahu bahasa Arab.
    Allah sebut wasiat dulu sebelum hutang walaupun bayar hutang wajib didahulukan sebelum tunai wasiat.
    Ini kerana wasiat ini seperti pusaka, kita menerima harta orang tanpa susah payah.
    Wasiat ini tidak ada orang yang akan menuntutnya jika tidak diberitahu. Ia berbeza dengan hutang- kerana hutang ada tuannya yang akan menuntutnya!
  1. Ayat ini juga menjelaskan tentang pembahagian harta al-Kalalah-

    Iaitu mereka yang mati tidak meninggalkan pewari dari kalangan anak cucu & bapa.
    Allah juga tegaskan bahawa segala hukum pusaka & wasiat ini adalah batas-batas Syariat yang Allah buat & tetapkan, ia adalah had Allah { تِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ}.
    Maka kamu jangan cuba main-main, seleweng, langgar atau tukar batasan Allah ini. 
    Ingatlah! Siapa yang langarnya Allah sediakan neraka, siapa yang patuh taat; Allah sediakan syurga baginya.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs