View Categories

Surah An-Nisa’ : Ayat 123-126

KEJAYAAN BUKAN DENGAN ANGAN-ANGAN, BALASAN AMALAN SETIAP ORANG & KELEBIHAN IKHLAS IKUT SYARIAT.

Full video : https://youtu.be/p5arsFKQtw8?si=YbF6ZF0mPgqSKsAf

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 123 sehingga 126 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ kelima.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah Allah SWT nyatakan bahawa syurga & kejayaan itu bukan dicapai dengan angan-angan semata.
  1. Kemudian Allah nyatakan balasan bagi setiap orang, lelaki atau perempuan, baik atau buruk; ikut amalan masing-masing.
  1. Orang yang baik & beramal soleh itu ialah orang yang ikhlas ikut Syariah, perintah Allah & ajaran Rasulullah SAW.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang peranan syaitan yang memasang angan-angan palsu dalam diri manusia. Jika kamu percaya kepadanya, tak cerdiklah kamu. Mainan syaitan ini memberi kesan kepada jiwa ahli kitab & sebahagian orang Islam yang lemah imannnya. 

    ii- Maka datang ayat ini- Allah nyatakan kesan buruk daripada angan-angan itu & kelebihan beramal soleh & balasan untuknya! 
    Menegur manusia agar jangan dok berangan saja, cakap tapi tak buat!

    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, beriman & ikhlas beramal soleh kepada-Mu, yang melayakkan kami mendapat balasan baik & Syurga!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 123- {(BALASAN YANG BAIK YANG DIJANJIKAN OLEH ALLAH ITU) TIDAK AKAN DIDAPATI HANYA DENGAN ANGAN-ANGAN KAMU SEMATA-MATA, DAN TIDAK PULA DENGAN ANGAN-ANGAN AHLI KITAB (YAHUDI DAN NASRANI). SESIAPA YANG MELAKUKAN KEJAHATAN, IA AKAN DIBALAS DENGAN KEJAHATAN ITU, DAN IA PULA TIDAK AKAN MENDAPAT – SELAIN DARI ALLAH – SEORANG PUN YANG AKAN MELINDUNGINYA, DAN TIDAK ADA JUGA YANG DAPAT MENOLONGNYA.} (AN-NISA’ 4:123)

  1. Allah memberi ingatan & teguran bahawa tidak akan membuahkan hasil, tidak akan tercapai kebaikan & kejayaan dengan angan-angan semata-mata! 
    Terguran untuk semua ahli kitab yahudi & nasrani serta orang Islam yang tinggi angan-angannya!
    Angan-angan kita sendirilah bukan angan-angan mat Jenin! 
  1. Antara contoh angan-angan ahli kitab ialah sebagaimana firman Allah SWT: 
    {Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.} (Al-Baqarah 2:111)
    Inilah angan-angan palsu mereka!
  1. Sama juga ahlul-Quran. Orang beriman yang berangan-angan, bercita-cita nak ke syurga tetapi tak buat amalan yang membolehkan dan melayakkan untuk ke syurga! 
    Bila ditanya kata nak masuk syurga sekeluarga, tapi tak beri didikan agama yang sewajarnya, tak pernah ajak atau bawa anak isteri atau keluarga bersama ke masjid atau majlis ilmu.
  1. Ini adalah satu kerugian besar yang menimpa umat ini kerana dia tahu tetapi dia tidak buat. Jika yang kafir serta melawan & menentang itu bukan setakat rugi tetapi celaka terus! 
  1. Siapa yang buat keburukan & perkara jahat, sedikit atau banyak Allah akan membalasnya juga sama ada di dunia atau Akhirat!
  1. Firman Allah WT juga tentang ini:
    {Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!} (Az-Zalzalah 99:7) 
    Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!} (Az-Zalzalah 99:8)
  1. Telah diriwayatkan bahawa ketika ayat ini diturunkan, hal ini terasa berat di kalangan kebanyakan sahabat. 
    Hadis Nabi SAW: 
    قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ نُمَيْر، حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ، عَنْ أَبِي بَكْرِ بْنِ أَبِي زُهَيْرٍ قَالَ: أخْبرْتُ أَنَّ أَبَا بَكْرٍ قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، كَيْفَ الصَّلَاحُ بَعْدَ هذه الآية: {لَيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ وَلا أَمَانِيِّ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِهِ} فَكُل سُوءٍ عَمِلْنَاهُ جُزِينَا بِهِ؟ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “غَفَر اللَّهُ لكَ يَا أَبَا بَكْرٍ، ألستَ تَمْرض؟ ألستَ تَنْصَب؟ أَلَسْتَ تَحْزَن؟ أَلَسْتَ تُصيبك اللَّأْوَاءُ؟ ” قَالَ: بَلَى. قَالَ: “فهو ما تُجْزَوْنَ به”.
    Abu Bakar ibnu Abu Zuhair menceritakan: “Aku mendapat berita bahawa Abu Bakar رضي الله عنه pernah bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bagaimanakah keberuntungan itu sesudah ayat ini,’ iaitu: (Pahala dari Allah) itu bukanlah menurut angan-angan kalian yang kosong, dan tidak (pula) menurut angan-angan Ahli Kitab. Barang siapa yang mengerjakan kejahatan, nescaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu. (An-Nisa: 123) Sedangkan semua perbuatan buruk (jahat) yang kami lakukan, maka kami mendapat balasannya?” Maka Nabi ﷺ bersabda: “Wahai Abu Bakar, semoga Allah memberikan keampunan kepadamu, bukankah kamu pernah sakit, bukankah kamu pernah mengalami kepayahan, bukankah kamu pernah mengalami kesedihan, bukankah kamu pernah tertimpa musibah?” Abu Bakar menjawab, “Memang benar.” Nabi ﷺ. bersabda, “Itu termasuk balasan yang ditimpakan kepadamu.” [HR Ahmad].

    Yakni semua akan menjadi penghapus dosa (kaffarah).
  1. Kerana itu kata ulama’ : Manusia ini tidak sama darjatnya! 
    Ada yang suka lakukan ibadat, ada yang malas, ada yang buat maksiat, ada yang benci tak buat maksiat lansung, ada yang kufur, ada yang Islam.

AYAT 124- {DAN SESIAPA YANG MENGERJAKAN AMAL SOLEH, DARI LELAKI ATAU PEREMPUAN, SEDANG IA BERIMAN, MAKA MEREKA ITU AKAN MASUK SYURGA, DAN MEREKA PULA TIDAK AKAN DIANIAYA (ATAU DIKURANGKAN BALASANNYA) SEDIKITPUN.} (AN-NISA’ 4:124)

  1. Kita semua tidak akan dianiayai atau dizalimi sedikitpun, setiap amalan akan dibalas dengan apa kebaikan yang kita buat, Allah akan balas semuanya!
  1. Amalan kita dikira dengan timbangan zarrah (atom), bukan dengan kilo atau kati, maka sekecil manapun kebaikan kita akan dikira begitu juga sekecil mana kejahatan pun akan dikira!
  1. Maka perbesarkanlah kebaikan, kecilkan kejahatan atau semampu mungkin tinggalkan terus kejahatan & keburukan.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat sebelumnya Allah nyatakan akan balasan buruk, azab bagi pelaku dosa & keburukan! 
    Sama ada di dunia lagi atau di Akhirat. 
    Itu atas kuasa Allah WT. 

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan galakan, kempen untuk melakukan kebaikan dan amal soleh.
  1. Amalan soleh itu sama ada:
    i- Yang bersifat amalan hati atau perbuatan fizikal- seperti ibadat solat, tolong orang dan seumpamanya.

    ii- Sama ada orang lelaki atau perempuan, semuanya akan dapat balasan. Allah sebut khas dua sekali supaya tidak ada pertikaian. Tetapi dengan syarat, mereka adalah orang yang beriman! 
  1. Maka orang yang beriman & beramal soleh itu Allah akan beri rahmat & membalasnya dengan melayakkannya masuk syurga yang penuh nikmat!
  1. Mengikut perbuatan hamba itu; segala pahala & balasan dosa itu tidak akan dikurangkan walaupun sedikit atau senipis selaput tamar! 
    Apatah lagi yang sebesar bukit!

    Ya Allah jadikan kami & semua orang yang kami sayangi sebagai hamba yang medapat rahmat-Mu & balasan syurga-Mu.

AYAT 125- {DAN TIDAK ADA YANG LEBIH BAIK AGAMANYA DARIPADA ORANG YANG MENYERAHKAN DIRINYA KEPADA ALLAH (DENGAN IKHLAS), SEDANG IA BERUSAHA MENGERJAKAN KEBAIKAN, DAN IA PULA MENGIKUT AGAMA NABI IBRAHIM YANG LURUS (YANG TETAP DI ATAS DASAR TAUHID); DAN (KERANA ITULAH) ALLAH MENJADIKAN NABI IBRAHIM KESAYANGANNYA.} (AN-NISA’ 4:125)

  1. Jika kita beriman, tauhid murni aqidahnya ikhlas semata-mata sembah Allah tidak ada sekutu dengan-Nya, maka itulah orang yang telah menyerahkan dirinya kepada Allah.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan keselamatan, kejayaan, kebertuahan seseorang itu bergantung dengan iman & amalnya! 
    Jika iman mantap & amal soleh, murni aqidah; maka merekalah yang layak ke syurga!

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan contoh qudwah yang terbaik iaitu Nabi Ibrahim AS, yang begitu tinggi perjuangannya, dia seorang melawan kaumnya sekampung! 
    Tiada pengikut yang ramai sehingga Allah panggilnya sebagai ummah! 
    Kemudian disambung oleh zuriatnya Nabi Muhammad SAW.
  1. Beberapa ayat yang menunjukkan kehebatan perjuangan Nabi Ibrahim AS:
    i- {Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya – umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman.} (A-li’Imraan 3:68)

    ii- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang betul lurus, (kepada) agama yang tetap teguh, iaitu agama Nabi Ibrahim yang ikhlas, dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik”.} (Al-An’aam 6:161)

    iii- {Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik.} (Al-Nahl 16:123)
  1. Kemudian Allah nyatakan darjat & kedudukan Nabi Ibrahim AS yang dilantik menjadi khullah (ﺧُﻠَّﺔ ), iaitu darjat kekasih, maqam yang tertinggi yang telah mencapai kemuncak dalam perjuangannya.
  1. Ulama’ buat analisa :
    i- Kenapa Allah pilih Ibrahim sebagai kekasih- خَلِيلًۭا (Khalil-Nya). 
    Allah tidak sayangkah kepada nabi-nabi lain?

    ii- Jawapannya : Kerana dia melaksanakan semua tugas yang Allah beri kepadanya. 
    Allah telah ujinya dengan beberapa ujian dan dia telah melepasi kesemuanya dengan ikhlas. 
  1. Lalu Allah lantik nabi Ibrahim sebagai imam kepada manusia, sehinggakan kita umat Muhammad SAW walaupun jaraknya beberapa ribu tahun- tetap kita ucapkan salam & selawat ke atasnya dalam setiap solat kita bersama dengan Rasulullah SAW. 
  1. Begitulah tingginya darjat & mulianya keadaan Nabi Ibrahim AS. Lalu kerana ketulusan & kemurnian perjuangannya dia telah dijadikan contoh kepada para nabi lain & umat manusia seluruhnya!

AYAT 126- {DAN BAGI ALLAH JUALAH SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN YANG ADA DI BUMI; DAN ALLAH SENTIASA MELIPUTI (PENGETAHUANNYA DAN KEKUASAANNYA) AKAN TIAP-TIAP SESUATU.} (AN-NISA’ 4:126)

  1. Munasabah ayat dengan yang sebelumnya:
    i- Apabila Allah letakkan sifat khullah (ﺧُﻠَّﺔ ) darjat kekasih & kesayangn kepada nabi Ibrahim AS, tetapi Allah nyatakan dia Ibrahim tetap hamba Allah! 
    Allah ambil dia sebagai kekasih bukan kerana Allah sunyi dan perlukan kepada pembantu; tetapi untuk mengangkat darjatnya & menunjukkan kelebihannya, menyatakan kedudukannya yang tinggi kerana perjuangannya yang tinggi!
    Maka kita pun untuk menggapai mahabbah & rahmat Allah; murnikan aqidah kita, ikhlaskan amal ibadat & ketaatan kita kepada Allah!

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan semua yang ada di langit dan di bumi adalah milik Allah & di bawah kuasa Allah, tiada siapa yang boleh kacau! 
    Serta ilmu pengetahuan Allah meliputi setiap sesuatu!  
  1. Maka apa lagi yang kita mahu? Beranikah kita nak buat maksiat lagi? Kerana yang Allah tahu semuanya & yang akan membalas segala perbuatan, perkataan kita adalah Allah bukan manusia lain!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 123- {(Balasan yang baik yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata, dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani).}-

    Dalam ayat ini Allah nyatakan angan-angan tidak dapat membawa kepada balasan baik yang Allah janjikan!
    Kata ahli tadabbur : Allah WT batalkan angan-angan tetapi Allah nyatakan apa yang betul-betul memberi manfaat ialah iman & amal soleh!
    Kerana itu putuskan ngan-angan, teruskan langkah perjuangan menuju kepada Allah SWT!
    Angan-angan itu tidak memberi apa-apa faedah kepada kita kecuali Impian semata-mata.

    Walaupun ayat ini Allah nak tujukan khas kepada ahli kitab yahudi & Nasrani {angan-angan ahli Kitab}, tetapi Allah sebut orang beriman {angan-angan kamu}.

    Ini kerana Allah nak nyatakan umum segala perkara itu. Allah sebut juga peringatan ini kepada orang Islam & beriman juga, agar beringat dan ambil perhatian!
    Dalam hidup ini jangan kita rasa selesa (sedap duduk) rasa diri sudah cukup beriman, amal soleh kita sudah cukup, berkelahi sesama pendakwah mencari Tuhan di mana; sedangkan segalanya sudah jelas dalam al-Quran & dalam ajaran Nabi SAW.
  1. Ayat 124- {Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman,}-

    Allah kata sesiapa yang mengerjakan amal soleh baik lelaki ataupun perempuan serta dia beriman!
    Kata ulama’ : Ayat ini menunjukkan bahawa jika buat amal saja tanpa beriman maka seolah dahan tanpa pokok, seolah bangunan di atas ombak! Iman itu asas manakala amalan itu adalah dahan atau cabanngnya!
    Ini adalah satu mau’izah nasihat yang besar dari Allah WT untuk kita semua- amalan itu yang kena besar bukan angan-angan yang tinggi & besar!
  1. Ayat 123- {Sesiapa yang melakukan kejahatan, ia akan dibalas dengan kejahatan itu, dan ia pula tidak akan mendapat – selain dari Allah – seorang pun yang akan melindunginya, dan tidak ada juga yang dapat menolongnya.})-

    Dalam ayat ini Allah sebut siapa yang buat keburukan & dosa maksiat dia juga akan dibalas buruk!
    Ayat ini adalah amaran daripada berbuat keburukan kerana balasan adalah mengikut perbuatan amalan! 
    Dia buat buruk, maka buruklah balasannya, setiap perbuatan dosa itu akan dikira, besar atau kecil!
    Setiap orang yang zalim terhadap dirinya sendiri akan diazab di dunia & juga di Akhirat! 
    Jangan kita mudah terperngaruh dengan kehebatan & kesenangan orang yang tidak beriman atau ahli maksiat: ingatlah ia tiada nilai di sisi Allah Azza wa Jalla kecuali orang yang beriman!!
    Allah juga nyatakan apa saja musibah yang menimpa orang mukmin atas dan ini adalah kaffarah iaitu penghapus dosa. 
    Dukacita, sedih, sakit semuanya ada pahala jika kita redha dan sabar.
  1. Ayat 124- {Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh…}-

    Ini menunjukan syarat qabul amal itu ialah soleh : Iaitu amalan baik yang dianjurkan Syara’ serta ikhlas kerana Allah SWT serta ikut ajaran Sunnah Nabi SAW yang sahih!
    Kerana itu Allah kata orang yang benar-benar beriman ialah buat semua yang Allah suruh & tinggal serta jauhi apa yang Allah larang! 
    Ayat ini mengajar kepada kita tentang makna ikhlas!
    Allah juga akan pilih dan angkat darjat dari kalangan hamba-hamba-Nya yang terpilih. Antara nama yang disebut selain daripada Rasulullah SAW ialah nabi Ibrahim AS. 
  1. Ayat 126- {Dan Allah sentiasa Meliputi (pengetahuanNya dan kekuasaanNya) akan tiap-tiap sesuatu.}-

    Di akhir ayat Allah kata ilmu-Nya meliputi segala sesuatu.
    Maka jangan pandai-pandai reka amal ibadat dalam agama, jangan berani-berani buat maksiat & derhaka, kerana semua apa yang kita lakukan, apa yang kita kata & kita buat- semuanya dalam ilmu & pengetahuan Allah SWT!

    Yakni kita ambillah pengajaran bahawa Allah nak nyatakan:
    i- Kuasa & ilmu Allah SWT meliputi segala sesuatu.

    ii- Bahawa yang berhak dipuja, dipuji & disembah hanyalah Allah SWT!

    iii- Untuk menafikan bahawa Allah SWT berhajat kepada makhluk dengan ambil Ibrahim sebagai kekasih! 
    TIDAK sekali-kali, bahkan itu kerana Allah nak angkat darjatnya kerana perjuangannya yang begitu murni & ikhlas kepada Allah!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs