BERLAKU ADIL DALAM PENGHAKIMAN, PERSAKSIAN, BERIMAN KEPADA RUKUN IMAN & BAHAYA MURTAD.
Full video : https://youtu.be/OaH3Sijv62o?si=ADr1tkZgEk9sR7qk
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 135 sehingga 137 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ kelima.
- Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang perintah untuk berlaku adil dalam penghakiman dan persaksian.
Jika kamu jadi hakim, berhukumlah dengan adil, jika kamu jadi saksi, bersaksilah dengan adil.
Nyatakan fakta yang kamu tahu jangan sembunyikan atau buat saksi palsu!
- Kemudian Allah perintahkan untuk beriman kepada rukun iman yang mejadi kewajipan kepada kita sebagai orang yang beriman!
- Dalam ayat berikutnya Allah nyatakan tentang bahaya murtad.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang hukum berkait wanita, anak yatim serta tentang isteri yang nusyuz, juga suami yang nusyuz, tidak menunaikan nafkah & tanggungjawab serta seumpamanya.
Kemudian Allah anjurkan perdamaian antara suami isteri.
ii- Maka datang ayat ini perintah untuk menunaikan hak Allah pula iaitu menjadi saksi yang benar untuk menegakkan kebenaran yang telah ditetapkan Allah SWT!
- Munasabah kedua:
i- Allah sebut dalam ayat yang lepas orang yang hanya menuntut mencari dunia saja, Akhirat tidak ingat!
Maka Allah sebut terdapat di sana pahala untuk dunia & Akhirat, orang yang cerdik akan ambil kedua-duanya!
ii- Maka dalam ayat ini Allah kata antara cara untuk dapat kebaikan dunia & Akhirat ialah berlaku adil dalam penghakiman & persaksian.
Berlaku adillah walaupun terhadap orang yang dekat dengan kita, berlaku adillah dalam semua perkara yang ada di hadapan kita. Termasuklah dalam bab wanita, anak yatim & orang yang lemah!
Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 135- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! HENDAKLAH KAMU MENJADI ORANG-ORANG YANG SENTIASA MENEGAKKAN KEADILAN, LAGI MENJADI SAKSI (YANG MENERANGKAN KEBENARAN) KERANA ALLAH, SEKALIPUN TERHADAP DIRI KAMU SENDIRI, ATAU IBU BAPA DAN KAUM KERABAT KAMU. KALAULAH ORANG (YANG DIDAKWA) ITU KAYA ATAU MISKIN (MAKA JANGANLAH KAMU TERHALANG DARIPADA MENJADI SAKSI YANG MEMPERKATAKAN KEBENARAN DISEBABKAN KAMU BERTIMBANG RASA), KERANA ALLAH LEBIH BERTIMBANG RASA KEPADA KEDUANYA.} (AN-NISA’ 4:135)
- Allah perintahkan orang Islam untuk berlaku adil dalam penghakiman atau persaksian!
Jika kita berhukum kepada Allah; maka kita akan menjadi telus & adil, kita tidak akan seleweng maklumat atau sembunyikan fakta atau berlaku zalim!
Arahan Allah ini jelas; jangan sembunyikan keadilan semata-mata nak ambil bahagian dunia.
- Iaitu jadikan ia sebagai satu akhlak & sifat yang sebati dalam diri kita sebagai orang yang beriman dalam nenunaikan hak terhadap Allah SWT & sesama makhluk juga.
Yakni hak Allah seperti amal ibadat & hukum-hakamnya kita tunaikan; manakala hak manusia jangan ambil haknya & tunaikan tanggungjawab terhadapnya jika ada!
- Kemudian jadilah saksi yang adil, tunaikannya semata-mata kerana Allah dengan niat nak menengakkan kebenaran & menjalankan tugas yang diberilan Allah kepada kita!
Jangan jadi saksi dengan niat nak suruh orang puji, cari glamour & kemasyhuran!
- Sekiranya persaksian itu kena atas kepala kita sendiri atau atas orang yang dekat dengan kita seperti dua ibu bapa atau kaum kerabat: kamu kena berlaku adil juga, bercakaplah dengan benar, apa yang bukan hak kita jangan mengaku!
- Berhati-hati & ingatlah, dunia ini hanya sementara & hanya tempat ujian untuk Allah pilih kita, siapa yang lebih baik amalannya!
- Tak kiralah walaupun orang yang kamu kena saksikkan itu kaya atau miskin jangan kamu buat persaksian palsu:
i- Jika dia fakir atau miskin yang salah; kamu nak bela dia kerana rasa simpati atau timbang-rasa, jangan nak beri kemenangan kepada mereka walaupun tahu mereka salah!
ii- Atau jika dia kaya, kerana nak berbaik dengannya, nakkan penerimaannya, jika ada kepentingan atau keperluan suatu hari nantu.
Ingatlah Allah lebih sayang kepada mereka daripada kita, kerana itu Allah turunkan undang-undang untuk berlaku adil dalam semua perkara! Kamu kena berlaku adil dalam setiap keadaan.
AYAT 135- {OLEH ITU, JANGANLAH KAMU TURUTKAN HAWA NAFSU SUPAYA KAMU TIDAK MENYELEWENG DARI KEADILAN. DAN JIKA KAMU MEMUTAR-BALIKKAN KETERANGAN ATAUPUN ENGGAN (DARIPADA MENJADI SAKSI), MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH SENTIASA MENGETAHUI DENGAN MENDALAM AKAN APA YANG KAMU LAKUKAN.} (AN-NISA’ 4:135)
- Janganlah kamu ikut hawa nafsu sehingga kamu menyeleweng daripada kebenaran & keadilan, sehingga terjadi kezaliman & terjebak dengan kejahatan!
- Perkataan {تَعْدِلُوا۟ ۚ} ini kata ulama’ diambil daripada perkataan:
i- Keadilan (العدل) atau yang benar (القسط) jangan kamu ikut nafsu sehingga kamu tidak berlaku adil.
ii- Atau kena supaya kamu tidak buat jahat/khianat kepada orang.
- Kemudian Allah beri amaran agar jangan kamu:
i- Jika kamu memutar-balikkan keterangan
ii- Ataupun enggan daripada menjadi saksi, lari tidak mahu memberi keterangan & persaksian.
- Munasabah ayat:
i- Allah larang kamu daripada perbuatan tersebut iaitu pesong & tukar persaksian.
ii- Maka wajib kamu betulkan maklumat dan sahihkan fakta!
- Allah tutup akhir ayat ini dengan amaran bahawa : Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
- Yakni Allah tahu apa yang zahir & yang batin, tahu apa yang tersembunyi jika kamu jadi saksi benar atau saksi palsu, telus beri maklumat atau sembunyikan fakta!
Maka nak selamat jadilah saksi yang benar, atas dunia mungkin kamu boleh sembunyi fakta atau selewengkannya; tetapi di Akhirat kelak tiada tempat perlindungan, daripada siapa kamu nak sembunyikannya!
AYAT 136- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! TETAPKANLAH IMAN KAMU KEPADA ALLAH DAN RASULNYA, DAN KEPADA KITAB AL-QURAN YANG TELAH DITURUNKAN KEPADA RASULNYA (MUHAMMAD SAW), DAN JUGA KEPADA KITAB-KITAB SUCI YANG TELAH DITURUNKAN DAHULU DARIPADA ITU. DAN SESIAPA YANG KUFUR INGKAR KEPADA ALLAH, DAN MALAIKAT-MALAIKATNYA, DAN KITAB-KITABNYA, DAN RASUL-RASULNYA DAN JUGA HARI AKHIRAT, MAKA SESUNGGUHNYA IA TELAH SESAT DENGAN KESESATAN YANG AMAT JAUH.} (AN-NISA’ 4:136)
- Dalam ayat ini Allah SWT menyeru orang yang beriman untuk beriman kepada rukun iman, Allah sebut di sini 3 daripadanya:
i- Kepada Allah.
ii- Dan Rasul-Nya.
iii- Dan kepada Kitab Al-Quran.
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah perintahkan untuk berlaku adil ketika menjatuhkan hukum & berlaku adil ketika menjadi saksi!
ii- Maka dalam ayat ini Allah nak nyatakan bahawa orang yang betul-betul berlaku adil maksudnya dia hakim, qadhi atau saksi ialah orang yang beriman kepada Allah SWT!
Iman akan menjadikan seseorang itu adil, telus & tidak zalim.
Sesiapa yang tidak beriman akan lari daripada landasan yang benar!
- Maka datang ayat ini : Wahai orang beriman benarkan iman kamu kepada Allah, kepada Rasulullah SAW dan sempurnakan apa yang tidak lengkap dalam keimanan kamu serta tetap & istiqomah atas keimanan!
- Ayat ini ditafsirkan juga dengan firman Allah ini:
{Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya (Muhammad),} (Al-Hadid 57:28).
- Yakni iman sudah beriman tetapi Allah sebut lagi supaya kita beriman dengan perkara berikut yakni 3 daripada rukun iman disebut:
i- Kepada Allah dan Rasul-Nya,
ii- Dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada Rasul-Nya (Muhammad, SAW), iaitu al-Quran.
iii- Dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu seperti Taurat, Zabur, Injil, Suhuf Nabi Ibrahim dan lain-lain.
Allah sebut hanya tiga dalam arahan untuk beriman, malaikat tidak disebut kerana apabila beriman dengan Kitab pastilah dengan malaikat yang telah menurunkannya juga!
- Manakala Allah sebut 5 daripada rukun dalam larangan daripada kufur kepada Allah:
i- Sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah,
ii- Dan Malaikat-malaikat-Nya,
iii- Dan Kitab-kitab-Nya,
iv- Dan Rasul-rasul-Nya
v- Dan juga Hari Akhirat.
- Sesiapa yang kufur maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh, lari daripada landasan yang benar, menyeleweng dari jalan petunjuk, jauh dari petunjuk yang Allah sediakan dan dari rahmat-Nya.
- Kata ulama’ tafsir : Maksudnya firman Allah SWT {ضَلَـٰلًۢا بَعِيدًا}- kesesatan yang jauh ialah orang yang kufur dengan rukun iman, kesemuanya sekali ataupun salah satu daripadanya.
Ini kerana matematik aqidah & rukun iman adalah 6-1 = 0, 6-2 = 0, yakni kosong iman jika menolak salah satunya & tidak beriman dengan kesemuanya.
- Boleh baca buku yang diusahakan oleh DDAAM berkenaan dengan Rukun Iman : https://dartaibah.com/…/NEW-Buku-RUKUN-IMAN-terjemahan…
AYAT 137- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG BERIMAN, KEMUDIAN MEREKA KAFIR, KEMUDIAN MEREKA BERIMAN SEMULA, KEMUDIAN MEREKA KAFIR SEKALI LAGI, KEMUDIAN MEREKA BERTAMBAH-TAMBAH LAGI DENGAN KEKUFURAN, ALLAH TIDAK SEKALI-KALI AKAN MEMBERI AMPUN KEPADA MEREKA, DAN TIDAK AKAN MEMBERI PERTUNJUK HIDAYAH KEPADA MEREKA KE JALAN YANG BENAR.} (AN-NISA’ 4:137)
- Ini adalah undang-undang murtad- sesudah beriman kafir, kemudian beriman pula serta kafir pula sekali lagi!
- Munasabah ayat:
i- Allah SWT telah memberi arahan untuk semua hamba-Nya beriman serta menggalakkan kita untuk beriman!
ii- Maka Allah nyatakan bahayanya orang-orang yang kufur, atau setelah beriman kembali kufur iaitu murtad. Inilah dosa yang besar & bahaya iaitu syirik & kufur kepada Allah!
- Orang yang syirik kufur kepada Allah, akibatnya:
i- Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka, jika mereka mati dalam syirik & kekufuran.
ii- Dan tidak akan memberi pertunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar.
- Tuhan tutup mata hatinya, tertutup pemikirannya maka dia berjalan atas kekufuran & kesesatan!
Ya Allah selamatkan kami daripada kesesatan ini!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 135- {Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah,}-
Kata ulama’ tadabbur : Menegakkan kebenaran itu ialah perkara asas dalam agama.
Lihat kepada seseorang itu jika dia adil bermakna orang baik, jika dia zalim pastilah orang yang tidak baik!
Nasihat kepada diri sendiri, kena ingatkan dalam diri kita; Aku mesti berlaku adil, mesti telus walaupun kena atas batang hidung sendiri atau kaum keluarga terdekat kena cakap juga yang betul!
Itu bukan ajaran Islam yang diajar kepada kita, Islam itu tertegak atas keadilan termasuklah ke atas diri sendiri!
Beberapa bahasa pelik di mahkamah dunia hari ini: mengaku tidak bersalah, dilepaskan tanpa dibebaskan.
- Ayat 135- {Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah}-
Ayat ini menjadi isyarat bahawa sesiapa yang menjadi saksi dia kena telus & ikhlas.
Ini kerana menjadi saksi ini adalah arahan daripada Allah SWT, siapa yang tahu yang sebenarnya wajib jadi saksi & saksi yang telus akan diberi pahala!
Menjadi saksi adalah wajib untuk membela keadilan & melahirkan kebenaran, sesiapa yang tahu wajib tampil & bangkit untuk menyatakan kebenaran!
Masalahnya sekarang ini orang ramai takut & malas nak naik turun mahkamah!
Lecehla, menghabiskan masa & tenaga dan pelbagai alasan untuk mengelakkannya.
Antara besarnya persaksian ini ialah apabila kita dengar & tengok apa yang sebenarnya terjadi, supaya hak orang terbela & tidak ada orang yang akan dizalimi.
- Ayat 135- {Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah.}-
Kenapa Allah sebut keadilan, perintahkan untuk berlaku adil dulu baru sebut persaksian
(كُونُوا۟ قَوَّٰمِينَ بِٱلْقِسْطِ (شُهَدَآءَ لِلَّهِ)?
Jawapannya:
Allah mendahulukan keadilan (ٱلْقِسْطِ) dulu baru persaksian kerana:
i- Ramai manusia ini suka suruh orang lain buat kebaikan.
Tetapi apabila sampai gilirannya, dia sendiri tidak buat!
Antara keadilan kepada mangsa ialah kita menjadi saksi!
ii- Ini kerana menegakkan keadilan ibarat menolak kemudharatan ke atas diri.
Maka menolak kemudharatan diri adalah lebih penting daripada hal lain seperti menyelamatkan orang lain!
iii- Menegakkan keadilan itu adalah perbuatan yang kena kita buat, manakala persaksian adalah dengan perkataan.
Maka perbuatan seperti bangkit adalah lebih kuat dan susah daripada percakapan.
- Ayat 135- {Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan.}-
Maksudnya haram kita mengikut hawa nafsu yang menyalahi keadilan.
Ini kerana hawa nafsu akan ikut apa yang dia nak, maka dia akan melakukan perkara yang tidak baik & bahaya!
Maka semua akan terjadi & boleh buat kerana nafsu akan buat apa yang dia nak!
- Ayat 136- {Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya,.}-
Kenapa Allah ulang yakni suruh orang sudah beriman agar beriman lagi?
Ini kerana iman itu turun naik, bertambah & bekurangan dengan sebab keadaan & amalan seseorang hamba.
Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya iman boleh menjadi lusuh di dalam jiwa sebahagian daripada kamu sebagaimana lusuhnya pakaian. Maka mohonlah kepada ALLAH agar diperbaharui iman di dalam hati kamu.” (HR al-Hakim dan at-Tabarani)
Rasulullah SAW juga bersabda: “Hendaklah kamu memperbaharui iman kamu. Lalu sahabat bertanya kepada Rasulullah: “Bagaimana kami boleh memperbaharui iman kami?” Rasulullah lantas menjelaskan: “Dengan memperbanyakkan menyebut (zikir) Lailaha illallah.” (HR Ahmad)
Ayat ini juga melarang kita daripada tidak menjaga keimanan kepada Allah!
Kerana itulah kita kena sentiasa belajar, ulangkaji & murajaah agar iman kita makin mantap!
Allah SWT sebut tentang martabat iman dalam ayat ini dalam dua cara:
i- Apabila sebut perintah untuk beriman Allah hanya sebut 3 rukun iman iaitu: Beriman kepada Allah, kepada Rasul-Nya, dan kepada Kitab Al-Quran.
ii- Tetapi apabila sebut larangan daripada kufur Allah sebut lima rukun iman iaitu: Kepada Allah, dan Malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya dan juga Hari Akhirat.
Jawapan:
i- Ini kerana apabila kita beriman dengan 3 yang disebut itu kita akan beriman dengan semua yang lain.
Kerana malaikat yang menurunkan al-Quran kepada Nabi SAW. Maka sesiapa yang beriman dengan al-Quran pastilah juga beriman dengan malaikat.
Sesiapa yang beriman kepada rasul pasti akan percaya juga kepada malaikat!
Ini kerana siapa yang beriman dengan semuanya dia telah beriman dengan sempurna & sesiapa yang menolak walaupun dengan salah satunya dia telah kufur, sebagaimana matematik iman tadi!
- Ayat 137- {Sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka kafir, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir sekali lagi,}-
Wajib bagi seseorang yang beriman untuk menjaga imannya daripada rosak!
Ini menunjukkan wajib kita menjaga iman kita agar mantap & stabil bukan terumbang-ambing dan tidak stabil.
Allah sebut dua perkara dalam al-Quran, sesiapa yang beriman kepada Allah & kufur kepada taghut, yakni selepas kita beriman, kita wajib juga kenal apa itu taghut untuk menjaga daripada terjebak dengannya!
Wajib kita ajar dan kenalkan anak-anak kita apa itu taghut yang merosakkan aqidah!
Ini perbuatan yang cukup bahaya kerana itu Nabi SAW ajar kepada kita doa ini: اللهُمَّ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِى عَلَى دِينِكَ وَعَلى طَاعَتِكَ
Wahai Tuhan yang membolak balikkan hati, tetapkanlah hatiku dalam agama-Mu dan dalam ketaatan kepada-Mu.
Nabi SAW juga bersabda: بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا أَوْ يُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنْ الدُّنْيَا..
“Bersegeralah beramal sebelum munculnya fitnah yang datang bagaikan potongan-potongan malam yang gelap, seseorang pada pagi harinya beriman dan pada petangnya telah menjadi kafir, atau petangnya masih beriman dan pagi harinya telah menjadi kafir, menjual agamanya dengan kepentingan dunia.” (HR Muslim)
Mereka jual agama dengan mata benda yang sedikit; nak jaga hati kawan, hati boss sanggup rendahkan Islam, nak jaga kedudukan sanggup hina Islam.
Ini semua perbuatan yang mengundang bala yang besar!
Baca perkara yang boleh merosakkah iman : https://abuanasmadani.blogspot.com/…/perkara-yang…
Marilah kita jaga agama kita, jaga iman kita agar kita selamat di dunia & bahagia di Akhirat.
Sentiasa berdoa dengan doa-doa yang diajar oleh Rasulullah SAW ini:
i- “اللَّهُمَّ طَهِّرْ قَلْبِي مِنَ النِّفَاقِ ، وَعَمَلِي مِنَ الرِّيَاءِ ، وَلِسَانِي مِنَ الْكَذِبِ ، وَعَيْنِي مِنَ الْخِيَانَةِ ، فَإِنَّكَ تَعْلَمُ خَائِنَةَ الأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ ”.
“Ya Allah bersihkanlah hatiku dari nifaq, (bersihkanlah) amalku dari riya’, (bersihkanlah) lisanku dari dusta, (bersihkanlah) mataku dari pengkhianatan. Sesungguhnya Engkau mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan didalam dada.”
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْحَوْرِ بَعْدَ الْكَوْرِ
“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari terpeleset dari landasan yang benar setelah mendapat hidayah.”
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.