View Categories

Surah An-Nisa’ : Ayat 148-152

LARANGAN MENGELUARKAN PERKATAAN YANG KEJI, BERIMAN SEPARUH & PAHALA IMAN PENUH.

Full video : https://youtu.be/_ciz0dBr5Lo?si=O650oAH5jIp6i5WS

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 148 sehingga 152 bagi Surah An-Nisa’ kita sudah masuk juzu’ keenam.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang larangan Allah daripada mengeluarkan perkataan yang keji, yang tidak baik yang memburukkan orang lain. 
    KECUALI bagi orang yang dizalimi untuk buat laporan & dakwaan kepada pihak yang berkuasa tentang kejahatan orang yang menzaliminya, ini saja yang boleh.
  1. Allah nyatakan sifat & ilmu-Nya iaitu bahawa Allah tahu kesemuanya apa yang kamu nyatakan & apa yang kamu sembunyikan serta Allah SWT maafkan sekiranya kamu bertaubat!
  1. Kemudian Allah nyatakan sifat orang kafir yang beriman separuh, beriman dengan Allah tidak mahu beriman dengan rasul, beriman dengan sebahagian rasul tetapi menolak rasul yang lain. 
  1. Allah perintahkan untuk ambil agama ini seluruhnya wajib beriman dengan sepenuhnya tiada tolak-tolak. 
    Kemudian Allah nyatakan pahala yang besar bagi orang yang beriman penuh dan mereka akan dimasukkan ke dalam syurga.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT dedahkan tentang perangai buruk munafiqin, Allah buka tembelang mereka dengan beberapa ayat yang jelas di hadapan mereka. 
    Antara perangai buruk mereka ialah mempersendakan al-Quran, hina Nabi SAW & hina al-Quran serta bermacam keburukan yang dikatakan kepada agama ini! 

    ii- Lalu datang ayat ini Allah nyatakan bahawa Allah tidak suka perkataan buruk sebagaimana yang dikeluarkan oleh puak munafiqin. 
    Maka apatah lagi sebagai seorang mukmin; tidak layak & tidak sepatutnya untuk bersifat begini sesama Islam pula!

    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 148- {ALLAH TIDAK SUKA KEPADA PERKATAAN-PERKATAAN BURUK YANG DIKATAKAN DENGAN BERTERUS-TERANG (UNTUK MENDEDAHKAN KEJAHATAN ORANG); KECUALI OLEH ORANG YANG DIANIAYAKAN. DAN (INGATLAH) ALLAH SENTIASA MENDENGAR, LAGI MAHA MENGETAHUI.} (AN-NISA’ 4:148)

  1. Dengan tegas & jelas Allah nyatakan bahawa Allah murka, marah, benci, tidak suka perkataan buruk yang digunakan secara terangan untuk mendedahkan keburukan orang lain.
    Pada hari ini betapa ramai manusia yang kerjanya menghentam, mengkritik, memburukkan, membuat tuduhan jahat & mengutuk orang lain.
  1. Yakni Allah SWT tidak suka akan perkataan buruk:
    i- Perkataan buruk yang digunakan oleh orang munafiqin untuk mengata dan menghina orang Islam; 

    ii- Serta Allah juga tidak suka perkataan buruk itu diguna oleh orang Islam untuk mengata sesama Islam pula!
  1. Kata ulama’ : سلاح اللئيم قبيح الكلام
    Perkataan buruk adalah senjata orang jahat!
    Orang baik tidak akan bercakap buruk mengeluarkan perkataan yang menyakitkan serta perli-memerli. 
  1. Kecuali orang yang dizalimi, tidak menjadi kesalahannya untuk melaporkan kezaliman yang berlaku ke atasnya kepada pihak berkuasa. 
    Boleh juga dia mendoakan ke atas orang yang menzaliminya: “Ya Allah ya Tuhanku orang ini telah menzalimi aku”, atau dia berkata kepada orang itu: “Kamu zalim” atau memberitahu kepada pihak lain bahawa: “Dia itu seorang zalim”, untuk menyekat & menghentikan kezaliman itu! 
    Ini kerana Islam sesekali tidak akan berkompromi dengan orang yang buat zalim.

    Tetapi dia mesti bertanggungjawab atas dakwaannya itu jangan sampai jadi fitnah & memburukkan nama orang lain tanpa hak pula!
  1. Tetapi ingatlah Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui apa saja yang kamu buat, kezaliman atau kejahatan, khianat & menyakiti orang lain serta Allah amat berkuasa untuk membalasnya!
  1. Tetapi jika kita tidak ambil tindakan ke arah orang zalim tidak mengapa, Allah tahu segalanya, kita serah kepada Allah Yang Maha Kuasa untuk membalasnya di dunia atau Akhirat kelak!

AYAT 149- {JIKA KAMU MELAHIRKAN SESUATU KEBAIKAN, ATAU MENYEMBUNYIKANNYA, ATAU KAMU MEMAAFKAN KESALAHAN (YANG DILAKUKAN TERHADAP KAMU), MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH ADALAH MAHA PEMAAF LAGI MAHA KUASA.} (AN-NISA’ 4:149)

  1. Allah kata Dia Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa, maka jika:
    i- Kita zahirkan kebaikan yang kita buat seperti sedekah atau apa saja, 

    ii- Atau kita sembunyikannya 

    iii- Kita maafkan orang yang buat salah kepada kita-:
    Semuanya dalam pengetahuan & ilmu Allah.
  1. Kita maafkanlah orang yang buat kesalahan kepada kita. Mudah-mudah Allah akan maafkan kesalahan kita. 
    Kita nak Allah maafkan kita atau orang maafkan kita; tetapi kita tidak mahu maafkan orang bila mereka bersalah, ini neraca yang tidak seimbang! 
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat sebelumnya Allah melarang mengeluarkan perkataan buruk atau menzahirkan keburukan orang lain kecuali orgyg dizalimi dibolehkan untuk melaporkan kezaliman itu bagi menghentikannya!

    ii- Maka dalam ayat ini Allah SWT menggalakkan orang yang dizalimi & dianiayai untuk memaafkan orang yang menzaliminya itu.
    Tetapi jika dia nak ambil tindakan & pembalasan tidak salah juga, cuma sebagai galakan untuk menjadi pemaaf.
  1. Dalam ayat ini Allah mengajar tiga cara sifat yang baik, iaitu:
    i- Apabila kamu buat sesuatu kebaikan, kamu zahirkannya seperti sedekah dengan syarat tidak riya’ & takabbur.

    ii- Atau menyembunyikan kebaikan yang kamu buat itu, lebih baik bagi kita kerana orang tidak akan dengki & iri hati.

    iii- Atau kamu memaafkan kesalahan yang dilakukan terhadap kamu. Ingatlah Allah pun memaafkan hamba-hamba-Nya sedangkan Dia berkuasa untuk membalasnya!
  1. Jika kamu dianiayai ada dua keadaan:
    i- Jika kamu tidak mampu melawan, sama ada kamu sabar lalu memaafkannya.


    ii- Atau jika kamu mampu ambil tindakan tetapi kamu memaafkannya maka itu adalah yang terbaik & lagi tinggi darjatnya!
  1. Jika kamu memaafkan sesama manusia, peratus kemungkinan untuk Allah memaafkan kamu lebih tinggi! 

AYAT 150- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG KUFUR INGKAR KEPADA ALLAH DAN RASUL-RASULNYA, DAN (ORANG-ORANG YANG) HENDAK MEMBEZA-BEZAKAN IMAN MEREKA DI ANTARA ALLAH DAN RASUL-RASULNYA, DAN (ORANG-ORANG YANG) BERKATA: “KAMI BERIMAN KEPADA SETENGAH RASUL-RASUL ITU DAN KUFUR INGKAR KEPADA SETENGAHNYA YANG LAIN”, SERTA BERTUJUAN HENDAK MENGAMBIL JALAN LAIN ANTARA IMAN DAN KUFUR ITU:} (AN-NISA’ 4:150)

  1. Ada setengah manusia yang hanya mahu beriman kepada Allah tetapi tidak mahu beriman kepada rasul-rasul kerana manusia biasa juga! 
    Sedangkan para rasul itu Allah yang lantik mereka; maka seolah dia kufur dengan Allah juga.
  1. Ada juga yang hanya mahu beriman dengan sebahagian rasul saja tetapi tidak mahu beriman dengan rasul yang lain:
    i- Ini adalah perbuatan sebahagian ahli kitab yahudi & nasrani yang tidak mahu beriman dengan Nabi Muhammad SAW, tetapi hanya mahu beriman dengan nabi Musa atau dengan Nabi Isa AS sahaja- semua ini akan dikira kafir semuanya! 

    ii- Begitu juga kita umat Nabi Muhammad SAW yang beriman dengan Rasulullah SAW tetapi tidak mahu beriman dengan Nabi Lut atau lain-lain nabi- juga tidak dikira beriman!
  1. Sebagaimana orang yang kata dia hanya beriman dengan ayat solat tetapi tidak beriman dengan ayat hudud, dikatanya zalim dan sebagainya- maka itu juga dikira sudah kafir.
  1. Yakni tidak dikira beriman dengan sempurna jika tidak mahu beriman dengan kesemua rukun iman itu, kerana matematik iman adalah 6-1 atau berapa saja jawapannya adalah kosong- seolah tidak beriman! 

    Contoh:
    i- Beriman dengan Allah tetapi tidak dengan Rasulullah. Atau;

    ii- Beriman dengan sebahagian nabi-nabi sahaja bukan kesemuanya!

AYAT 151- {MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG KAFIR DENGAN SEBENAR-BENARNYA. DAN KAMI TELAH MENYEDIAKAN BAGI ORANG-ORANG KAFIR ITU AZAB SEKSA YANG MENGHINA.} (AN-NISA’ 4:151)

  1. Allah kata kesemua mereka itu adalah kafir yang sebenarnya!
  1. Munasabah ayat:
    i- Datang ayat ini setelah Allah ceritakan kategori kafir tadi. Kafir separuh, kafir percaya setengah, kafir tolak hukum separuh! 

    ii- Maka ayat ini menegaskan mereka semua itu adalah kafir dengan sebenar-benarnya, tiada separuh-separuh dalam beriman. Matematik iman 6-1 atau 2 atau 3 jawapannya kosong. Yakni tidak beriman semuanya!
  1. Mereka ini akan dihukum sebagai kafir- dan berhak menerima azab Allah. Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang menghina.
    Kerana mereka dulu atas dunia menghina Islam, cuba mengkhianati & menghina orang Islam, hina undang-undang Islam, lalu Allah hinakannya pula.
  1. Puak kafir ini terbahagi kepada tiga golongan:
    i- Tidak beriman kepada Allah & rasul-rasul AS seluruhnya, kafir total seperti komunism, atheis dan lain-lain yang tidak beragama. Ini adalah kafir tulen!

    ii- Puak yang beriman kepada Allah saja tetapi tidak beriman kepada para rasul. Percaya kepada tuhan tetapi tidak kepada rasul yang dikira manusia.

    iii- Beriman kepada sebahagian rasul & kufur kepada rasul yang lain. 
    Ini seperti yahudi yang beriman kepada Nabi Musa & tidak ingkar kepada nabi Muhammad SAW. Atau nasrani yang beriman kepada Nabi Musa & nabi Isa tetapi tidak kepada nabi Muhammad SAW.
  1. Kesemua ini adalah kafir semuanya & akan diazab di dalam neraka, ini kerana orang Islam wajib beriman kepada Allah & semua rasul yang Allah sebut bermula dari Nabi Adama AS sehingga kepada nabi terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW! 

AYAT 152- {DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN KEPADA ALLAH DAN RASUL-RASULNYA DAN MEREKA PULA TIDAK MEMBEZA-BEZAKAN (IMANNYA TERHADAP) SESEORANG PUN DI ANTARA RASUL-RASUL ITU, (MAKA) MEREKA YANG DEMIKIAN, ALLAH AKAN MEMBERI MEREKA PAHALA MEREKA. DAN (INGATLAH) ADALAH ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AN-NISA’ 4:152)

  1. Orang yang beriman akan beriman kepada Allah & dengan keseluruhan rasul sebagaimana yang diajar oleh al-Quran & hadis Nabi SAW.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat sebelumnya Allah sebut tiga keadaan kafir tadi.

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan bahawa orang yang benar-benar beriman akan beriman dengan kesemua rasul tanpa membezakannya!

    Adapun berbeza darjat rasul seperti ulul-azmi itu tidak mengapa.
  1. Mereka ini beriman dengan sepenuhnya kepada Allah & dengan kesemua rasul AS; maka Allah akan berikan kepada mereka pahala yang besar atas keimanan mereka kepada Allah & semua rukun iman yang lain!
  1. Allah tutup ayat dengan menyatakan bahawa:
    i- Adalah Allah Maha Pengampun : Iaitu Allah akan ampunkan dosa orang yang beriman kepada Allah dengan kesemua rasul-rasul-Nya.

    ii-Lagi Maha Pengasihani : Iaitu rahmat ke atas hamba-Nya dengan memberi hidayah & taufiq ke jalan yang benar, beri rahmat keampunan & petunjuk untuk masuk syurga!

    Ya Allah jadikan kami dan kesemua orang yang kami sayangi termasuk mereka yang diberi rahmat, keampunan & layak ke syurga-Mu!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 148- {Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk..}-

    Ayat ini adalah larangan Allah yang jelas daripada menggunakan perkataan yang buruk & keji termasuklah tulisan dalam media cetak atau elektronik.
    Ini kerana tersebarnya perkataan buruk & jahat ini:
    i- Dapat menimbulkan huru-hara & kebencian dalam masyarakat. 
    Terutamanya tohmahan tuduhan terhadap diri seseorang individu untuk mejauhkan orang ramai darinya dengan melabel dengan label tertentu atau tuduhan buat jahat (qazaf).

    ii- Ia juga akan menimbulkan permusuhan & kebencian terhadap orang lain dalam masyarakat maka tercalarlah maruahnya.
    Bahkan paling ditakuti boleh membawa kepada pertumpahan darah- masyarakat akan kucar-kucir, tata kelola akan menjadi tata kelaut! 
    Kita lihat saja sekeliling, orang yang sudah terbiasa hidup dalam suasana buruk begitu akan begitulah kebiasaannya, kerana itu kita kena jauhkan sifat, perkataan, perbuatan & kebiasaan buruk ini. 
    Kerana itu Islam menjaga kedudukan manusia- kita jaga dia tetapi jika dia zalim boleh kita mendedahkannya setakat perbuatannya itu!
    Jangan orang buat sejengkal kita lapor sehasta- yakni jangan berlebih sehingga menjadi fitnah pula!
    Kerana itu kata ulama’ : Boleh dedah keburukan orang lain bagi orang yang dizalimi untuk menghentikan perbuatan zalim ke atasnya itu!
  1. Ayat 149- {Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya,}-

    Orang yang sempurna Iman & berakhlak mulia sama saja baginya sama ada dia nak menzahirkan kebaikan atau menyembunyikannya daripada orang ramai.
    Yang penting tujuan & niat itu kena jelas & ikhlas kerana Allah:
    i- Jika kita sedekah & buat secara terang-terangan; tujuannya adalah untuk menjadi contoh tauladan yang baik kepada orang ramai- supaya orang ramai buat atau sedekah juga. 
    Kita dengan Allah kena jelas, kita dedahkannya untuk buat umpan, menarik keinginan orang lain untuk buat juga kebaikan itu! 

    ii- Atau jika kita sembunyikan hanya kita dengan Allah saja, lagi baik! Terutamanya apabila kita sedekah kepada faqir miskin tak perlulah tayang-tayanglah. 
  1. Ayat 149- {atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu),}-

    Kita buat baik, ihsan kepada orang ini sama ada: 
    i- Kita berikan apa yang dia nak, secara sembunyi atau zahir.

    ii- Atau kita menolak/menghalang keburukan/kemudharatan darinya.

    iii- Kita maafkan kesalahannya!
    Jika ada kesalahan kita maaf & lupakan kisah lama walaupun luka masih berparut, tidak mengapa jika kita maafkan adalah sangat baik jangan dibongkar lagi!

    Kerana itu Allah sebut Dia bersifat Pemaaf serta Maha Berkuasa- {فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَفُوًّۭا قَدِيرًا}.
    Kata ulama’ : Pemaaf yang paling besar kelebihannya ialah apabila dia memaafkan orang yang bersalah ketika dia mampu membalas atau mengambil tindakan ke atas orang itu!
    Darjat kemaafan & keampunan yang paling tinggi ialah Allah SWT kerana Dia Maha Berkuasa & mampu untuk ambil tindakan ke atas hamba-Nya.
    Maka kita hamba-Nya ini pun belajar untuk memaafkan orang dengan baik kerana kita mahu Allah SWT memaafkan kita juga apabila kita bersalah.
  1. Ayat 149- {maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa.}-

    Allah sebut dua nama & sifat-Nya iaitu Pemaaf & Berkuasa.
    Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini membimbing kita untuk memahami & mendalami makna; nama-nama & sifat Allah SWT. 

    Apabila kita faham bahawa Allah SWT adalah:
    i- Bersifat pemaaf maka kita apabila kita tersalah, kita akan insaf & bertaubat kerana kita ada Allah Yang Maha Pemaaf, yang akan memaafkan kita.

    ii- Allah juga Maha Berkuasa untuk ambil tindakan maka kita jangan berani-berani buat dosa maksiat!
    Begitu juga firman Allah SWT: {Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.}- Allah bawa dua lagi sifat-Nya: sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
    Jadi bagaimana kamu nak cakap buruk, mengata orang, kerana Allah Maha Mendengar. Bagaimana kamu nak buat jahat, nak tuduh tohmah orang kerana Allah itu Maha Mengetahui!
    Inilah pentingnya kita mempelajari ilmu Asmaul-Husna & as-Sifatul-Ula.
  1. Ayat 150- {Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan (orang-orang yang) hendak membeza-bezakan iman mereka di antara Allah dan Rasul-rasulNya, dan (orang-orang yang) berkata: “Kami beriman kepada setengah Rasul-rasul itu dan kufur ingkar kepada setengahnya yang lain”,}-

    Ini adalah pegangan orang kafir.. 
    Manakala orang beriman pula:
    Ayat 152- {Dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya dan mereka pula tidak membeza-bezakan (imannya terhadap) seseorang pun di antara Rasul-rasul itu,}-
    Kita dapat beza jauh antara:
    i- Orang kafir yang memilih-milih untuk beriman,

    ii- Tetapi orang mukmin menerima & beriman dengan kesemuanya, dengan apa yang ada dalam al-Quran kita beriman dengan sepenuhnya seperti sifat Allah yang disebut. Kita beriman dengan undang-undang hudud dan lain-lain. 
    Maka pentingnya untuk kita memahami Rukun Iman untuk jaga iman kita, aqidah kita, kepercayaan kita jangan juzu’-juzu’, jangan separuh-separuh! 
    Wajib beriman dengan semua sekali, kalau tak boleh nak buat, tak mampu nak laksana itu cerita lain, yang penting keimanan kita kukuh dalam hati! 

    Jangan lari dari awal lagi! Nanti apa yang nak kita jawab di hadapan Allah SWT nanti!
    Boleh baca buku ini untuk lebih memahami tentang Rukun Iman : https://dartaibah.com/…/NEW-Buku-RUKUN-IMAN-terjemahan…

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs