View Categories

Surah An-Nisa’ : Ayat 160-162

KEZALIMAN YAHUDI, AMBIL RIBA, MAKAN CARA BATIL & BALASAN YAHUDI YANG BAIK.

Full video : https://youtu.be/AVDZ4bKd0kA?si=Kxzbm13eFeh7hXgv

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 160 sehingga 162, Surah An-Nisa’ dalam juzu’ keenam.
  1. Dalam siri ini Allah nyatakan tentang kezaliman yahudi, telah kita dengar sebahagian besarnya dalam siri-siri yang lepas. 
    Lalu Allah haramkan ke atas mereka beberapa perkara yang asalnya halal. 
    Ini adalah hukuman segera di aats dunia.
  1. Antara kejahatan mereka ialah menyekat manusia daripada jalan Allah, memakan & ambil riba, serta makan harta orang secara batil. 
  1. Tetapi al-Quranul Hakim yang adil & seimbang menyatakan ada juga yahudi yang baik & beriman betul-betul kepada Allah SWT & Rasulullah SAW. 
    Lalu Allah nyatakan balasan baik bagi yahudi yang baik ini.

    Contoh : Abdullah bin Salam RA, seorang pendeta yahudi yang telah masuk Islam dengan ikhlas & amat mantap keimanannya. 
    Dia juga telah berjuang menegakkan Islam mengikut Syari’ah & ajaran al-Quran.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Ayat ini masih lagi bercakap tentang yahudi. Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah nyatakan tentang beberapa kekejian & buruk perangai yahudi yang mengundang kemurkaan Allah SWT.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah bawa beberapa jenis akibat hukuman yang Allah jatuhkan ke atas mereka sama ada atas dunia lagi & di Akhirat kelak akan mendapat neraka pula! 

    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

AYAT 160- {MAKA DISEBABKAN KEZALIMAN YANG AMAT BESAR DARI PERBUATAN ORANG-ORANG YAHUDI, KAMI HARAMKAN ATAS MEREKA MAKANAN YANG BAIK-BAIK YANG PERNAH DIHALALKAN BAGI MEREKA, DAN DISEBABKAN MEREKA BANYAK MENGHALANG MANUSIA DARI JALAN ALLAH.} (AN-NISA’ 4:160)

  1. Allah nyatakan akibat sebab dosa kezaliman yang yahudi buat; Allah timpakan ke atas mereka hukuman di dunia lagi seperti haramkan beberapa perkara baik, yang asalnya halal ke atas mereka! 
    Di Akhirat kelak mereka juga akan mendapat azab yang pedih!
  1. Benda-benda baik yang diharamkan itu sebagaimana firman Allah SWT ini:
    Maksudnya: {Dan Kami haramkan atas orang-orang Yahudi segala binatang yang berkuku, dan dari lembu dan kambing pula Kami haramkan kepada mereka lemaknya, kecuali (lemak) yang ada pada belakangnya atau yang menyelaputi perkakas dalam perutnya, atau yang bercampur dengan tulang. Demikianlah Kami balas mereka dengan sebab kederhakaan mereka; dan sesungguhnya Kamilah yang benar.} (Al-An’aam 6:146)
  1. Kata Imam Ibnu Kathir RHM maksud ayat {Kami haramkan atas mereka} telah dihuraikan oleh ulama’ tafsir kepada dua cara:
    i- Pengharaman secara qadari : Iaitu dari taqdir Allah SWT secara awal lagi, Allah telah tetapkan bahawa puak yahudi ini akan khianat kepada Taurat- kerana mereka sendiri tukar putar beli fakta yang ada dalam Taurat, yang asal halal jadi haram. kerana nak menyempitkan hidup & melampaui!

    ii- Pengharaman secara Syar’i : Perkara baik yang asalnya halal untuk mereka tetapi Allah SWT haramkan ke atas mereka akibat kezaliman & kejahatam mereka.

    Keduanya adalah haram ke atas yahudi perkara yang baik tadi!
  1. Antara kejahatan mereka ialah, setelah mereka sendiri ingkar & tidak beriman:
    i- Mereka menghalang orang lain daripada menerima kebenaran, menyekat manusia daripada jalan Allah! 
    Seperti mengelurakan perkataan batil- Allah ada anak, Allah itu miskin dan sebagainya.

    ii- Menukar yang haq kepada yang batil, tukar fakta hukum-hakam yang ada dalam Taurat, yang haram mereka kata halal dan sebaliknya. 
  1. Contohnya tukar yang haq kepada yang batil seperti: 
    i- Menyembunyikan fakta tentang kebenaran Nabi Muhammad SAW sebagai rasul & nabi terakhir.

    ii- Mereka membunuh beberapa orang nabi.

    iii- Mereka mendustakan Nabi Isa AS & Nabi Muhammad SAW.

AYAT 161- {DAN JUGA (DISEBABKAN) MEREKA MENGAMBIL RIBA PADAHAL MEREKA TELAH DILARANG MELAKUKANNYA, DAN (DISEBABKAN) MEREKA MEMAKAN HARTA ORANG DENGAN JALAN YANG SALAH (TIPU, JUDI DAN SEBAGAINYA). DAN (INGATLAH) KAMI TELAH MENYEDIAKAN BAGI ORANG-ORANG YANG KAFIR DI ANTARA MEREKA, AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (AN-NISA’ 4:161)

  1. Kezaliman mereka (yang ketiga) juga ialah mengamalkan riba sedangkan mereka telah dilarang daripada riba!
  1. Mereka juga ambil harta orang secara batil (tidak betul); ianya banyak lorong seperti menipu, rasuah, riba, judi dan sebagainya!
  1. Di akhir ayat Allah kata dengan sebab mereka melakukan segala perbuatan keji ini maka: Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang kafir di antara mereka, azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
  1. Ini semua dosa-dosa yang dibuat oleh ahli kitab yang mengundang bala dan yang mengundang kemurkaan Allah SWT.
  1. Maka kita orang beriman yang mengaku benar-benar beriman kepada Allah & Rasulullah SAW: jika ambil riba, makan rasuah, ambil harta orang dengan batil iaitu menipu dan seumpamanya; maka tetap akan dikira makan harta batil & akan dizab oleh Allah SWT!

    Cuma yang bezanya : Orang kafir kekal di dalam neraka selama-lamannya manakala orang beriman akan dikeluarkan dari neraka setelah habis tempoh azabnya!
  1. Tetapi jangan dok fikir pemikiran karut yang diajar oleh syaitan ini seperti:
    i- Tidak mengapa masuk neraka sekejap aje, asal dapat hidup mewah atas dunia, 

    ii- Atau curi barang orang siap-siap kemudian masuk penjara sekejap- keluar nanti boleh enjoy & sudah kaya-raya!

AYAT 162- {TETAPI ORANG-ORANG YANG TEGUH SERTA MENDALAM ILMU PENGETAHUANNYA DI ANTARA MEREKA DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN, SEKALIANNYA BERIMAN DENGAN APA YANG TELAH DITURUNKAN KEPADAMU (AL-QURAN), DAN KEPADA APA YANG TELAH DITURUNKAN DAHULU DARIPADAMU, – KHASNYA ORANG-ORANG YANG MENDIRIKAN SEMBAHYANG, DAN ORANG-ORANG YANG MENUNAIKAN ZAKAT, SERTA YANG BERIMAN KEPADA ALLAH DAN HARI AKHIRAT; MEREKA ITULAH YANG KAMI AKAN BERIKAN KEPADANYA PAHALA (BALASAN) YANG AMAT BESAR.} (AN-NISA’ 4:162)

  1. Sudah menjadi uslub al-Quran yang penuh mukjizat, jika ada pengharaman Allah bawa gantinya yang halal, jika ada larangan akan dibawa pintu atau jalan keluar yang halal baginya, disebut azab bagi orang jahat akan dibawa balasan baik & pahala bagi orang yang baik, disebut azab neraka akan diceritakan juga nikmat syurga & seterusnya!
  1. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
    i- Setelah Allah sebut keburukan ahli kitab yang dicela & yang dihina;

    ii- Allah bawa & sebut pula kebaikan orang yang dipuji di kalangan mereka. 
  1. Yakni Allah nyatakan dalam ayat ini bahawa bukan semua ini yahudi itu jahat & tidak beriman. 
    Bahkan ada yang yang berilmu yang bermnafaat, yang terpasak keimanan yang mantap kepada Allah & Rasulullah SAW. { ٱلرَّٰسِخُونَ فِى ٱلْعِلْمِ مِنْهُمْ وَٱلْمُؤْمِنُونَ }.
  1. Mereka, yahudi yang baik ini beriman dengan keseluruhan apa yang diturunkan kepada Nabi SAW iaitu al-Quran & juga kitab-kitab yang diturunkan kepada nabi-nabi yang terdahulu seperti Taurat, Injil dan lain-lain.
  1. Kata Ibnu Asyur RHM kenapa Allah ulang dua kali: orang beriman yang beriman- 
    {وَٱلْمُؤْمِنُونَ يُؤْمِنُون}
    Jawapan: Allah gabungkan orang yang mantap berilmu {ٱلْعِلْمِ ٱلرَّٰسِخُونَ فِى} & beriman {وَٱلْمُؤْمِنُونَ} kepada ahli kitab kerana:
    i- Sebagai pujian ke atas mereka yang tidak minta kepada Rasulullah SAW permintaan yang karut & pelik seperti yahudi lain. 
    Mereka dengar & terus beriman tanpa menuntut yang pelik & mencarik adat seperti yahudi lain! 
    Tidak ada karenah kepada Nabi Musa AS & kepada Rasulullah SAW.

    ii- Mereka juga beriman secara total kepada Taurat & al-Quran. Tidak pilih-pilih kitab iaitu hukum yang ada di dalamnya!

    iii- Mereka mendirikan solat dengan cara yang sempurna & lengkap. Yang cukup rukun & syaratnya, yang wajib mereka sempurnakan juga tidak tinggal perkara yang sunat, ab’adh atau hai’ah.

    Kerana itu perlu sangat ketika masih kecil & pelajar ini untuk diajar beramal dengan Sunnah sejak sekarang lagi. Jika tidak sampai ke tua begitulah tidak akan meningkat taraf ibadatnya!

    iv- Dan orang-orang yang menunaikan zakat. Hanya 1/40 saja dari harta yang kena dikeluarkan zakat!

    v- Serta yang beriman kepada Allah dan hari akhirat;
  1. Di akhir ayat Allah nyatakan bahawa mereka yang memiliki sifat tadi, itulah orang yang Kami akan berikan kepadanya pahala balasan yang amat besar iaitu syurga!

    Ya Allah jadikan kami & keluarga kami dari kalangan ahli syurga-Mu!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 160- {Maka disebabkan kezaliman yang amat besar dari perbuatan orang-orang Yahudi,}-

    Disebabkan kezaliman ahli kitab yang ada kitab & ilmu, tahu tetapi tetap zalim!
    Maka dalam ayat ini Allah nyatakan kejinya perbuatan zalim & Allah celanya, serta beri amaran tentangnya! 
    Kata ulama’ tafsir : Balasan itu ikut kategori amal. 
    Lalu disebabkan kezaliman mereka, Allah halang mereka daripada menikmati kelazatan makanan yang halal & baik oleh kerana mereka telah menyekat diri & jiwa mereka daripada merasai kelazatan beriman kepada Allah SWT!
  1. Ayat 160- {dan disebabkan mereka banyak menghalang manusia dari jalan Allah.}-

    Ayat ini amaran kepada semua orang yang menyekat dari jalan Allah SWT!
    Perbuatan menghalang manusia dari jalan Allah ini banyak cara & lorongnya. 
    Semua perkara yang menyekat dari jalan Allah dikira sekat.
    Contoh: tengok orang beriman- boikot dikira sekat. 
    Orang ni beriman pakat serang- tengok orang beriman bagi amaran & tekanan.

    BAHKAN KITA HARI INI : Kita dok mengaji al-Quran ni! Nak memahami makna Kalamullah, ada orang sekat, marah & panas. Hatta jika ada orang yang share link dalam grup yang mereka ada marah berapi, hatta kena buang grup orang yang share walaupun keluarga.
    Ini adalah antara mainanan syaitan, yang tidak mahu orang mendekati al-Quran apatah lagi mengamalkannya.
    Maka kita jangan takut marilah kita terus istiqomah, selagi hayat dikandung badan, kita belajar al-Quran kita bongkar makna al-Quran berdasarkan Sunnah Nabi AW & huraian ulama’ yang muktabar bukan tafsir ikut nafsu.

    Jika tafsir ikut nafsu tinggalkan jangan sampai terjebak dengan ajaran sesat pula!
    Sekatan itu dengan pelbagai cara sekatan; 
    i- Sama ada secara fizikal dengan dilarang secara rasmi dengan tidak diberi lesen atau tauliah kebenaran.

    ii- Atau secara maknawi iaitu perang saraf.
    Ambil gambar seseorang itu buat poster buat tuduhan yang dapat melarikan & menjauhkan orang ramai darinya. 

    Mereka tidak berani nak tuduh kata secara berdepan, mereka sebarkan secara alam maya- dalam grup dan media sosial yang ada!
    Allah kata dengan sebab mereka menyekat dari jalan Allah dengan banyak maka banyaklah balasannya. 
    Tetapi jika sedikitpun tetap salah. 
    Bilangan tidak menunjukkan kepentingan, sedikit atau banyak dosa itu tetap dosa! 
    Tetapi jika banyak pasti besarlah dosanya!
  1. Ayat 161- {Dan juga (disebabkan) mereka mengambil riba padahal mereka telah dilarang melakukannya,}-

    Ayat riba ini tidak perlu dihurai lagi, kita semua tahu RIBA itu haram dan seolah berperang dengan Allah!
    Kata ulama’ : Mana-mana umat Nabi Muhammad SAW yang ambil riba, maka dia telah mengikut perangai yahudi yang dilaknat!
    Bagaimana caranya sekalipun ambil riba itu tetap dikira berdosa- makan, pakai, tolong jadi saksi, jadi penjamin kerja tempat riba dan seumpamanya!

    Kena usahalah tinggalkan & ubah jika pekerjaan atau muamalat kita terlibat dengan riba bukan biarkan begitu saja! 
    Tidak boleh mennyerah kepada taqdir semata-mata.

    Ayat ini dalil bahawa maksudnya larangan di sini adalah pengharaman. 
    Allah sudah beritahu takkan kamu tak tahu lagi- kamu sudah dengar al-Quran, kuliah, khutbah dan seumpamanya- jangan buat alasan tak tahu lagi. 
  1. Ayat 162- {Tetapi orang-orang yang teguh serta mendalam ilmu pengetahuannya di antara mereka dan orang-orang yang beriman,}–

    Orang yang mantap ilmunya, dia beriman & ilmunya mantap! 
    Dia mengaji, dia amalkannya, dia ada ilmu dia ikut apa ilmunya yang ada!
    Iman yang mantap & ilmu yang benar akan memandu tuannya kepada Allah SWT & keredhaan-Nya & dia akan layak ke syurga.
    Ayat ini menjadi dalil akan kelebihan ilmu & fadhilat orang yang berilmu beramal dengannya! 
    Jika ada ilmu tak beramal seperti yahudi- manakala tiada ilmu tapi reka amalan ibadat itu seperti nasrani!
    Ilmu itu menjadi sebab seseorang itu beriman, menjadi sebab bertambahnya iman atau kurangnya iman!

    Sebagaimana hadis sebelum ini:
    Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya iman boleh menjadi lusuh di dalam jiwa sebahagian daripada kamu sebagaimana lusuhnya pakaian. Maka mohonlah kepada ALLAH agar diperbaharui iman di dalam hati kamu.” (HR al-Hakim dan at-Tabarani) 

    Maka kita hendaklah sentiasa minta berdoa kepada Allah agar sentiasa memperbaharui iman kita agar sentiasa bersinar menyala, mantap & teguh selalu kepada Allah SWT!
    Kita sentiasa ulang topik ini agar lekat dalam hati lalu mantaplah iman.
  1. Ayat 162- {Tetapi orang-orang yang teguh serta mendalam ilmu pengetahuannya di antara mereka dan orang-orang yang beriman, sekaliannya beriman dengan apa yang telah diturunkan kepadamu (Al-Quran)}-

    Ini menunjukkan bahawa semua orang wajib beriman dengan al-Quran!
    Sesiapa yang beriman dengan semua kitab Allah sebelum ini seperti Taurat, Zabur atau Injil tetapi menolak al-Quran, maka dia tidak kira beriman dan adalah kafir!
    Semua orang wajib beriman dengan al-Quran & beramal dengannya! 

    Hatta Nabi Isa AS apabila dia turun di akhir zaman nanti, dia dia tidak bawa lagi Injil tetapi akan bawa & beriman dengan Syari’ah al-Quran!
    Sabda Rasulullah SAW juga : Andainya Nabi Musa AS masih hidup, dia juga kena beriman dengan al-Quran.
    Manusia hari ini ini belum turun Nabi Isa lagi sudah cari undang-undang lain selain dari Syari’ah Allah.
    Sesiapa yang ada kemampuan, bertanggungjawablah & jawablah di hadapan Allah SWT kenapa tidak mahu amalkan Syari’ah Allah SWT!

    Allah juga sebut sifat orang mukmin; selain daripada beriman wajib juga ada ibadat amali seperti solat, zakat dan lain-lain.
    Kenapa Allah sentiasa kembarkan solat & zakat dalam nas-nas al-Quran? Sering disebut bersama?
    Jawapan: Kerana keduanya adalah pembersih jiwa:
    i- Solat bersihkan jiwa dari sudut badan, ibadat amali.

    ii- Zakat bersih jiwa dari sudut harta.

    Sesiapa yang ingkari zakat atau solat, maka dia telah kafir! 
    Jika tak buat saja tetapi tak ingkarinya- semi-kafir!

    Ya Allah jadikan kami dari golongan ahli syurga, yang sentiasa menjaga ibadat solat, zakat, amalan kita tepat dengan Sunnah Nabi SAW bukan reka-rekaan.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs