View Categories

Surah An-Nisa’ : Ayat 171-172

AHLI KITAB GHULUW KEPADA NABI ISA AS, TUHAN HANYA SATU & NABI ISA SENTIASA MENYEMBAH ALLAH SWT.

Full video : https://youtu.be/vfYWmV03s4U?si=1MzROkHUrTLTKCiQ

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 171 sehingga 172 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ yang keenam.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang ahli kitab yang bersikap ghuluw (melampaui) kepada Nabi Isa AS iaitu:
    i- Kaum yahudi yang terlampau mengeji- kata Isa anak zina!

    ii- Kaum nasrani pula terlampau puja- kata Isa anak Tuhan. 
    Maka Allah larang daripada perbuatan melampau ini!
  1. Allah larang mengeluarkan perkataan buruk; kata buruk kepada orang pun tidak boleh apatah lagi perkataan terburuk terhadap Tuhan! Allah hanya satu, Tuhan hanya satu bukan dua atau tiga!.
  1. Serta Nabi Isa sentiasa menyembah Allah SWT, dia tidak menyembah benda lain & tidak ajakpun orang untuk sembah benda lain selain Allah! 
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah batalkan keraguan yang ditimbulkan oleh puak yahudi & Allah tegakkan hujjah ke atas mereka.
    Tetapi mereka tetap keras kepala, tidak mahu menerima Nabi Isa AS bahkan melemparkan tuduhan jahat terhadapnya!

    ii- Lalu datang ayat ini Allah SWT melarang kepada kedua-dua puak daripada melampau terhada Nabi isa sama ada ke kanan atau ke kiri iaitu golongan yahudi yang menolak & mengejinya atau golongan nasrani yang terlampau memujuanya sehingga diangkat sebagai Tuhan atau anak Tuhan! 
    Lalu ayat ini datang untuk membatalkan fahaman puak nasrani terhadap Nabi Isa AS.

    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

AYAT 171- {WAHAI AHLI KITAB (YAHUDI DAN NASRANI)! JANGANLAH KAMU MELAMPAUI BATAS DALAM PERKARA AGAMA KAMU, DAN JANGANLAH KAMU MENGATAKAN SESUATU TERHADAP ALLAH MELAINKAN YANG BENAR; SESUNGGUHNYA AL MASIH ISA IBNI MARYAM ITU HANYA SEORANG PESURUH ALLAH DAN KALIMAH ALLAH YANG TELAH DISAMPAIKANNYA KEPADA MARYAM, DAN (IA JUGA TIUPAN) ROH DARIPADANYA. (AN-NISA’ 4:171)

  1. Allah SWT menegur ahli kitab (yahudi & nasrani) supaya jangan melampaui batas dalam perkara agama- dan jangan mengatakan sesuatu kepada Allah SWT kecuali yang benar! 
  1. Dalam ayat ini Allah menegur & memberi amaran khas kepada golongan nasrani yang terlalu memuja Nabi Isa AS dengan mengangkat darjat Isa dari kenabian dengan mengatakan bahawa dia anak Tuhan, atau salah satu daripada Tuhan yang tiga! 
  1. Maka perbuatan itu sangat jahat, tidak layak untuk dinisbahkan kepada Allah ada anak atau pasangan!
    Jangan kamu katakan kepada Allah SWT kecuali yang benar.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
    {Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.} (At-Taubah 9:31)
  1. Wahai puak nasrani yang melampau! Bukanlah Isa itu anak Tuhan sebagaimana dakwaan kamu, tetapi dia anak kepada Maryam, kerana dia tidak ada bapa maka dibinkan kepada ibunya Isa bin Maryam AS.
    Ingat orang yang ada bapa dibinkan kepada bapanya, itu kemuliaan yang diberikan kepada seorang bapa. Tetapi orang Melayu yang suka berbomoh ini suka nak binkannya kepada ibu.
  1. Kenapa Nabi Isa AS digelar al-Masih {ٱلْمَسِيحُ}?
    Apa beza dengan Dajjal yang digelar al-Masih juga {ٱلْمَسِيحُ}?
    i- Ini kerana Nabi Isa ini mukjizatnya ada di tangannya. 
    Apabila disapu dengan tangannya yang sakit kulit sembuh, yang buta boleh celik balik hatta yang mati pun ada yang hidup balik dengan izin Allah SWT!

    Inilah fitnah terhadap pengikutnya yang mendakwa Isa anak Tuhan, dia diberi mukjizat yang sangat ajaib! 
    Maka mereka bertambah taksub & percaya dengan dakwaannya!

    ii- Al-masih dajjal pula kerana tertutup sebelah matanya serta kerana dia seolah menyapu (masih potong/lalui) dunia dengan laju, pagi ini di barat petangnya di timur. 
    Bagaimana- wallahu a’lam- apakah lebih laju daripada jet-jet yang ada pada hari ini. Teknologi pada zaman dajjal nanti tidak dapat kita bayangkan!

    Dajjal & Nabi Isa ini muncul pada satu zaman sebelum Kiamat nanti, di mana Isa akan membunuh Dajjal setelah dia membuat banyak kerosakan & kekufuran atas dunia ini!
  1. Firman Allah SWT yang menafsirkan ayat ini- Allah mahu kita berfikir:
    {Tiadalah Al-Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul, dan ibunya seorang perempuan yang amat benar, mereka berdua adalah memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana kami jelaskan kepada mereka (ahli kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas yang menunjukkan kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka dari menerima kebenaran yang jelas nyata itu).} (Al-Maaidah 5:75)
  1. Hadis- Rasulullah SAW melarang para sahabat dari melampaui dalam memuja-mujinya:
    i- Umar RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: لَا تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ
    Mafhumnya: “Jangan kamu semua berlebih-lebihan memujiku, seperti yang dilakukan oleh orang-orang Nasara (Kristian) terhadap Ibn Maryam (Nabi ‘Isa AS), sebaliknya aku hanyalah hamba-Nya. Maka kamu sebutlah (kepadaku) Hamba Allah dan Rasul-Nya.” [HR Bukhari].

    Hati-hati! Kebanyakan nasyid dan syair-syair yang melampau memuji Rasulullah SAW jangan kita juga ikut terjebak dengannya! Periksa dulu jangan sampai termasuk dalam teguran Rasulullah SAW.

    ii- Apabila orang memuji-muji Baginda dengan ayat-ayat yang agak melampaui Baginda SAW menegurnya: Anas bin Malik RA berkata : “Sebahagian orang berkata kepada Baginda: ‘Wahai Rasulullah, wahai orang yang terbaik di antara kami dan putera orang yang terbaik di antara kami! Wahai sayyid kami dan putera sayyid kami!’ Maka seketika itu juga Nabi SAW bersabda: يَا أَيُّهَا النَّاسُ قُوْلُوْا بِقَوْلِكُمْ وَلاَ يَسْتَهْوِيَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ، أَنَا مُحَمَّدٌ، عَبْدُ اللهِ وَرَسُوْلُهُ، مَا أُحِبُّ أَنْ تَرْفَعُوْنِيْ فَوْقَ مَنْزِلَتِي الَّتِيْ أَنْزَلَنِيَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ. “Wahai manusia, ucapkanlah dengan yang biasa (wajar) kamu ucapkan! Jangan kamu terbujuk oleh permainan syaitan, aku (tidak lebih) adalah Muhammad, hamba Allah dan Rasul-Nya. Aku tidak suka kamu mengangkat (menyanjung)ku di atas (melebihi) kedudukan yang telah Allah berikan kepadaku.” [HR Ahmad]. 

    Yakni kita sayang & hormatkan Nabi SAW; tetapi jangan melampau sehingga naik darjat Tuhan, tidak sesekali!
  1. Sesungguhnya Nabi Isa itu adalah hamba Allah yang Allah ciptakan dengan kalimah-Nya {وَكَلِمَتُهُۥٓ} iaitu kalimah- kun {كُن}- jadilah, maka jadilah ia! 
    Iaitu Nabi Isa AS dikandung oleh ibunya Sayyidah Maryam yang masih gadis, hanya dengan tiupan roh yang suci, malaikat Jibril yang datang dengan perintah Allah SWT lalu meniup roh ke dalam kandungannya!
    Iaitu roh yang dicipta Allah bukan roh Allah!

    Firman Allah SWT lagi:
    i- {Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka menjadilah ia.} (A-li’Imraan 3:59)

    ii- {Dan (sebutkanlah peristiwa) perempuan yang telah menjaga kehormatan dan kesuciannya; lalu Kami tiupkan padanya dari Roh (ciptaan) Kami, dan Kami jadikan dia dan anaknya sebagai satu tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi umat manusia.} (Al-Anbiyaa’ 21:91)

    iii- {Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa seorang perempuan) yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) Kami; dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) ia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitabNya; dan ia menjadi dari orang-orang yang tetap taat.} (At-Tahriim 66:12)
  1. Atas dunia ini manusia yang ajaib penciptaannya hanya ada 3:
    i- Tidak ada ibu & bapa : Nabi Adam AS 

    ii- Ada bapa tiada ibu : Hawa

    iii- Ada ibu tiada bapa : Isa AS.
    Manusia lain wajib ada ibu & bapa, sama ada bapa rasmi atau tidak!
  1. Hadis Rasulullah SAW:
    Dari Ubaidah Bin Somit RA bahawa Nabi (SAW) bersabda: “Sesiapa naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah SWT., tiada sekutu bagi-Nya dan bahawa Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Nya dan Isa AS. adalah hamba, utusan dan kalimat-Nya serta roh yang diletakkan Allah ke dalam diri Maryam. Dan sesungguhnya syurga itu benar adanya haq, neraka haq, maka Allah akan memasukkan ke dalam syurga mengikut tingkatan amalan yang telah dibuatnya.” [HR Al-Bukhari & Muslim]

    Yakni amalan banyak tingkatnya tinggi, amalan kurang rendahlah tingkatnya! 
    Riwayat dari Junadah RA menambah: “Dia boleh pilih dari kelapan-lapan pintu syurga yang mana satu yang dia kehendaki.” [HR Al-Bukhari & Muslim]

AYAT 171- {MAKA BERIMANLAH KAMU KEPADA ALLAH DAN RASUL-RASULNYA, DAN JANGANLAH KAMU MENGATAKAN: “(TUHAN ITU) TIGA”. BERHENTILAH (DARIPADA MENGATAKAN YANG DEMIKIAN), SUPAYA MENJADI KEBAIKAN BAGI KAMU. HANYASANYA ALLAH IALAH TUHAN YANG MAHA ESA, MAHA SUCI ALLAH DARIPADA MEMPUNYAI ANAK. BAGI ALLAH JUALAH SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN YANG ADA DI BUMI. DAN CUKUPLAH MENJADI PENGAWAL (YANG MENTADBIRKAN SEKALIAN MAKHLUKNYA).} (AN-NISA’ 4:171)

  1. Hendaklah kamu beriman kepada Allah & semua rasul-Nya- jangan kamu pisah-pisahkan. Allah itu Esa jangan kamu kata Tuhan itu tiga atau satu daripada tiga! 
  1. Firman Allah SWT lagi:
    i- {Demi sesungguhnya, kafirlah {لَّقَدْ كَفَرَ} orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam).} (Al-Maaidah 5:17)

    ii- Demi sesungguhnya telah kafirlah {لَّقَدْ كَفَرَ} orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan”. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa.} (Al-Maaidah 5:73)

    Ayat-ayat ini menunjukkan Allah SWT berkata secara jelas bahawa telah kafirlah {لَّقَدْ كَفَرَ} sesiapa yang mengatakan- Isa itu Tuhan, telah kafir mereka yang kata Tuhan itu ada anak, ada isteri atau Tuhan itu tiga!
  1. Berhentilah dari mengata mendakwa sedemikian supaya kamu beroleh kebaikan iaitu menjadi Islam & beriman kepada Allah yang Esa!
  1. Sesungguhnya Allah SWT itu Esa, Tuhan yang satu tidak ada dua atau tiga, sesiapa yang kata Allah ada anak maka dia telah menghina Tuhan! 
    Ini kerana Allah adalah Pemilik langit & bumi! Dia tidak perlu kepada pasangan, kawan atau anak isteri!
    Orang yang perlu kepada pasangan ini ialah kita manusia yang lemah, yang perlu kepada teman & pembantu!
  1. Maka jangan sesekali kita seolah menyokong & bersetuju dengan golongan yang mendakwa Tuhan ada anak ini, jangan sesekali bersekongkol, ikut sama bergembira dengan perayaan mereka apatah lagi orang Islam yang turut menyambut & meraikannya! 
  1. Jangan suka-suka pakai juga topi loceng merah, hias pokok krismas juga di rumah kita, jangan sesekali kita bersekongkol bergembira merai bersama agama orang yang dakwa Tuhan ada anak! 
    Kita orang Islam kena tegas dengan aqidah & pegangan kita, tidak perlu ucapan bagi keprcayaan itu yang jelas bertentangan dengan aqidah kita!
  1. Betapa Allah gambarkan keadaan bumi apabila didakwa Tuhan ada anak:
    {Dan mereka yang kafir berkata: “(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak.” (Maryam 19:88) 
    Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya! (Maryam 19:89) 
    Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, (Maryam 19:90) 
    Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak. (Maryam 19:91) 
    Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, bahawa Ia mempunyai anak. (Maryam 19:92) 
    Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba.} (Maryam 19:93) 
  1. Tidak perlu lagi kita cari yang lain, kerana cukuplah Allah menjadi Pengawal Yang Mentadbirkan sekalian makhluk-Nya.

AYAT 172 {(NABI ISA) AL-MASIH TIDAK SEKALI-KALI ENGGAN DAN ANGKUH DARIPADA MENJADI HAMBA BAGI ALLAH, DEMIKIAN JUGA (SIKAP) MALAIKAT YANG SENTIASA BERDAMPING (DENGAN ALLAH). DAN SESIAPA YANG ENGGAN DAN ANGKUH DARIPADA BERIBADAT (MENYEMBAH DAN MEMPERHAMBAKAN DIRI) KEPADA ALLAH, SERTA IA BERLAKU SOMBONG TAKBUR, MAKA ALLAH AKAN MENGHIMPUNKAN MEREKA SEMUA KEPADANYA.} (AN-NISA’ 4:172)

  1. Nabi Isa tidak sesekali engan & angkuh daripada menjadi hamba Allah (yakni dia tidak pernah mendakwa) dia Tuhan atau anak Tuhan, yakni bukan hamba Allah! 
  1. Munasabah dengan ayat yang sebelumnya:
    i- Dalam ayat ini Allah SWT melarang puak nasrani yang melampau terhadap nabi Isa AS. mengangkat mendakwanya sebagai Tuhan.

    ii- Dalam ayat ini Allah tegaskan bahawa Nabi Isa tidak sesekali enggan untuk jadi hamba Allah, kamu yang pandai-pandai mendakwa & mengangkatnya kepada kedudukan yang tidak sepatutnya!
  1. Begitu juga para malaikat yang tinggi kedudukan mereka di sisi Allah SWT, juga tidak pernah enggan mengaku sebagai hamba Allah. Hanya manusia sesat yang menyembah mereka mendakwa mereka anak Tuhan! 
  1. Sesiapa yang sombong, angkuh, takabbur tidak mahu sembah Allah seperti orang kafir sekarang; atau ahli maksiat yang melampaui- kelak semua mereka akan dikembalikan kepada Allah & akan dibalas dengan seadilnya! 
  1. Ya Allah jadikanlah kami orang yang beriman, yang mengatakan Isa adalah rasul & hamba Allah, yang tidak akan bersekongkol, bergembira bersama mereka yang mendakwa Isa anak Tuhan, merayakan perayaan mereka & berhias dengan perhiasan mereka!
  1. Maka kita jagalah aqidah, jaga iman kita, jaga segalanya jangan tercabut iman kita kerana ikut normalisasi manusia hari ini! 
    Jangan diri kita terjebak dalam kebiasaan yang tidak benar ini!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 171- {Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu}-

    Allah SWT melarang sikap melampau dalam agama- dari apa sudut sekalipun!
    Ayat ini menjadi amaran dari melampau dalam agama, tak kira sama ada:
    i- Nasrani yang melampau terhadap Nabi Isa, angkat sebagai Tuhan atau anak Tuhan.

    ii- Orang Islam yang melampau meletakkan pangkat kepada Rasulullah SAW sebagai pemegang pemilik kuasa dunia & Akhirat.
    Kita sayang kepada Rasulullah SAW, kepada nabi mengikut apa yang diperintah oleh Allah Azza wa Jalla. 
    Iaitu wajib kita cinta kepada Nabi SAW, wajib beramal dengan apa yang dibawa oleh Nabi SAW, wajib ikut Sunnahnya tetapi jangan melampaui batas!

    Apabila Allah melarang satu benda umat dahulu & ceritakan tentangnya kepada kita, maka dia wajib menjadi ibrah pengajaran kepada kita! 
    Iaitu wahai umat Muhammad SAW; jangan kamu jadi seperti puak yahudi yang hina nabi Isa atau seperti puak nasrani yang melampauan angkat darjat nabi Isa AS.
  1. Ayat 171- {sesungguhnya Al Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam,}–

    Allah nyatakan kedudukan, jawatan & tugas Nabi Isa adalah untuk isbatkan Isa sebagai rasul pesuruh Allah, rasul yang diturunkan kepadanya kitab Injil!
    Walaupun Nabi Isa ada mukjizat yang pelik-pelik, dengan sapuan tangannya dapat hidupkan orang mati, celikkan orang buta, sembuhkan sakit kulit dan lain-lain, semua itu adalah sebagai ujian untuk kaumnya, sehingga menambahkan keyakinan kaumnya yang mendakwa dia anak Tuhan!
    Sebagaimana Nabi Musa yang kaumnya masyhur dengan ahli sihir pada masa itu diberi mukjizat tongkatnya menjadi ular & tangannya keluar cahaya!
    Nabi Muhammad SAW yang kaum Quraisy terkenal dengan syair & sastera, maka Allah turunkan al-Quran!
    Semua itu menjadikan orang yang tidak beriman bertambah pening & kebingungannya- orang beriman tidak pening & tak bingung lagi!

    Kalimah yang Allah campakkan iaitu kun (jadilah)- sedangkan jika Allah nak buat Dia tak kata (jadilah) pun akan terjadi! 
    i- Tetapi untuk menjadi sebab untuk kita semua belajar bahawa bagi setiap sesuatu yang terjadi ada sebabnya. {مِن كُلِّ شَىْءٍۢ سَبَبًۭا}- 

    ii- Sebagai satu kemuliaan bagi Nabi Isa AS iaitu wahai Isa! Aku jadikan kamu dari kalimah yang Aku sebut & Aku hantar malaikat untuk tiup roh bagi kejadian kamu!
    Ini juga untuk menjadi hujjah bagi golongan yahudi yang hina Nabi Isa AS.
  1. Ayat 171- {Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan: “(Tuhan itu) tiga”}-

    Kita orang Islam wajib beriman dengan semua rasul, bukan pilih-pilih rasul tertentu saja seperti puak yahudi & nasrani! 
    Matematik aqidah siapa tolak satu adalah kosong:
    i- Seperti rukun iman, jika tidak beriman dengan salah satunya maka ia dikira tidak beriman- 6-1 = 0. 

    ii- Begitu juga sesiapa yang tolak & tidak beriman dengan salah seorang daripada 25 orang rasul yang Allah sebutkan maka seolah dia tidak beriman dengan kesemuanya- 25-1 = 0!

    Jadi Allah larang jangan kamu kata Tuhan itu tiga, tidak sesekali. Tuhan itu adalah satu saja iaitu Allah yang Esa! 
    Jangan sesekali kita terjebak dengan perbuatan syirik kepada Allah SWT! 
    Di akhir ayat Allah kata: {Dan cukuplah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhluk-Nya).}
    Yakni ingatlah apabila kita yakin kepada Allah SWT sebagai Pengawal kita, sebagai Pentadbir segala makhluk; maka jangan sesekali ada syirik dalam Aqidah & kehidupan kita. 
    Ini kerana sesiapa yang tasyrikkan Allah SWT dengan kuasa lain ia akan di kira syirik tidak kira sama ada syirik dalam perundangan, syirik dalam perbuatan, perkataan dan semuanya!
  1. Ayat 171- {Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan: “(Tuhan itu) tiga”}-

    Jangan kamu kata Tuhan itu ada tiga!
    Islam sangat menjaga dan mengambil berat tentang tauhid terhadap Allah SWT.
    Menjadi kewajipan kepada para pendakwah untuk memberi kefahaman kepada masyarakat untuk menjaga batas antara iman & kufur.
    Bukan kita menkafirkan orang tetapi wajib ada kefahaman tentang tauhid al-uluhiyyah (الألوهية) yang amat penting kepada manusia! 
    Jika tidak ada batasan sempadan yang jelas ini- orang akan buat yang pelik-pelik- puja pantai, puja pokok kayu sungai hutan dan sebagainya!
  1. Ayat 172 {(Nabi Isa) Al-Masih tidak sekali-kali enggan dan angkuh daripada menjadi hamba bagi Allah,}-

    Tidaklah Nabi Isa itu tidak sesekali enggan & angkuh. 
    Iaitu Isa tidak menolak atau bukan tidak mahu mengaku bahawa dia adalah hamba Allah! 
    Kata ulama’ : kenapa Allah sebut {enggan dan angkuh}- seolah berulang dua perkataan ini:
    i- Enggan {يَسْتَنكِفْ} ialah ingkar tolak dengan hati, walaupun mungkin dia buat tetapi dalam hatinya tidak mahu akui! 
    Buat juga walaupun hatinya memberontak, muka berkerut. Sombong dengan hati, istinkar.

    ii- Manakala angkuh {وَيَسْتَكْبِرْ}- ialah ingkar & tolak dengan hati serta tolak dengan perbuatan juga, lansung tidak buat dengan sombongnya tolak. 
    Sombong dengan perbuatan : Istikbar!
    Kerana itu Allah nyatakan tidak ada dalam hati Nabi Isa perasaan tidak mahu beriman, tidak mahu sembah Allah! Allah nafikan terus sama ada dalam hati nabi Isa ataupun perbuatannya!
    Tetapi ingat; kita manusia tidak boleh nafi apa yang ada dalam hati orang lain kerana kita tidak nampak, kita sesama manusia hanya boleh berhukum berdasarkan apa yang zahir sahaja! 

    Allah sebut Malaikat pun sama juga. 
    Disebut malaikat juga di sini kerana ada di kalangan manusia ini yang sembah malaikat yang didakwa anak perempuan Tuhan! 
    Maka untuk membatal & mematikan hujjah puak kafir ini, bahawa Isa tidak enggan, malaikat pun tidak enggan bahkan semuanya adalah hamba Tuhan & makhluk Allah yang beriman & taat setia! 
  • Kempen kita untuk sedeqah minggu & bulan ini ialah wakaf besar-besaran bagi Pembangunan masjid, maahad (sekolah agama) & pusat dakwah yang kita pilih di Selatan Thailand.

    Bagi sesiapa yang nak menambah saham pahala, boleh menyumbang ke akaun ini:
    Nama akaun: Dakwah Unlimited
    CIMB: 8603-6011-68
    Ref: Projek Selatan

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs