View Categories

Surah An-Nisa’ : Ayat 176

HUKUM PUSAKA AL-KALALAH, BAHAGIAN ADIK BERADIK SEIBU-SEBAPA & ADIK BERADIK SEBAPA SAJA.

Full video : https://youtu.be/xMAYm87RvIU?si=oSPcUr4LF7cTOT3g

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir Surah An-Nisa’ dalam juzu’ keenam bagi ayat terakhir surah iaitu ayat 176.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah Allah menyatakan sendiri fatwa & hukum tentang pusaka al-kalalah.
    Al-kalalah, seorang mati yang tidak ada bapa atau anak sebagai penerima pusaka.
  1. Allah juga nyatakan dalam ayat ini khas bagi bahagian pusaka:
    i- Adik beradik seibu-sebapa 

    ii- Adik beradik sebapa saja.
  1. Manakala tentang bahagian adik beradik seibu saja, telah dinyatakan pada awal surah!
    Betapa ini menunjukkan al-Quran ini satu mukjizat & dari sumber yang satu kerana tiada kecelaraun, pertembungan atau pertindanan.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Pada awal surah bermula dari ayat 11, Allah SWT bawa perbincangan tentang harta, sama ada harta anak yatim, harta yang di bawah jagaan seorang wali atau juga tentang harta kita sendiri.

    ii- Maka di akhir ayat pula Allah menceritakan tentang harta peninggalan. 
    Ini supaya awal & akhir ayat dalam surah ini selari.
    Manakala di tengah-tengah surah pula adalah perbincangan tentang perdebatan & perbalahan dengan golongan yang menentang Islam sama ada yahudi nasrani, munafiqin, musyrikin dan lain-lain.

    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

AYAT 176- {MEREKA (ORANG-ORANG ISLAM UMATMU) MEMINTA FATWA KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD MENGENAI MASALAH KALAALAH). KATAKANLAH: “ALLAH MEMBERI FATWA KEPADA KAMU DI DALAM PERKARA KALAALAH ITU, IAITU JIKA SESEORANG MATI YANG TIDAK MEMPUNYAI ANAK DAN IA MEMPUNYAI SEORANG SAUDARA PEREMPUAN, MAKA BAGI SAUDARA PEREMPUAN ITU SATU PERDUA DARI HARTA YANG DITINGGALKAN OLEH SI MATI; DAN IA PULA (SAUDARA LELAKI ITU) MEWARISI (SEMUA HARTA) SAUDARA PEREMPUANNYA, JIKA SAUDARA PEREMPUANNYA TIDAK MEMPUNYAI ANAK. KALAU PULA SAUDARA PEREMPUANNYA ITU DUA ORANG, MAKA KEDUANYA MENDAPAT DUA PERTIGA DARI HARTA YANG DI TINGGALKAN OLEH SI MATI.} (AN-NISA’ 4:176)

  1. Para sahabat meminta fatwa dari Nabi ﷺ tentang hukum harta pusaka tentang al-kalalah iaitu apabila mereka tiada penerima pusaka.
  1. Kemudian Allah suruh Nabi SAW jawab kepada mereka bahawa Allah SWT sendiri yang akan berhukum tentang al-kalalah ini.
  1. Apakah al-Kalalah (ٱلْكَلَـٰلَةِ)? 
    Iaitu seseorang yang mati tidak meninggalkan
    i- Anak (furu’- الفروع) iaitu keturunan sebelum bawah : Anak, cucu, cicit ke bawah. 

    ii- Atau ibu bapa (asal- الأصول) keturunan sebelah atas : Bapa, datuk, moyang dan ke atas. 
    Yang ada hanya adik beradik- iaitu keturunan sebelah kiri atau kanan.
  1. Ayat ini adalah tentang kalalah. Kalalah maksudnya orang yang tiada waris yang dapat menerima harta pusaka peninggalannya kerana dia tidak mempunyai anak dan ibubapa.
    Para sahabat pada waktu itu masih keliru lagi tentang pembahagian Harta Pusaka. Pembahagian harta pusaka telah disebut di awal surah ini, jadi ini adalah penjelasan tambahan.
  1. Sabab nuzul ayat: 
    عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ يَقُولُ: مَرِضْتُ فَجَاءَنِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَعُودُنِي وَأَبُو بَكْرٍ، وَهُمَا مَاشِيَانِ فَأَتَيَانِي وَقَدْ أُغْمِيَ عَلَىَّ فَتَوَضَّأَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ صَبَّ وَضُوءَهُ عَلَىَّ فَأَفَقْتُ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، – وَرُبَّمَا قَالَ سُفْيَانُ: فَقُلْتُ أَىْ رَسُولَ اللَّهِ – كَيْفَ أَقْضِي فِي مَالِي؟ كَيْفَ أَصْنَعُ فِي مَالِي؟ قَالَ فَمَا أَجَابَنِي بِشَىْءٍ حَتَّى نَزَلَتْ آيَةُ الْمِيرَاثِ. 
    Maksudnya: Dari Jabir bin ‘Abdullah RA, katanya: “Pada suatu ketika, aku jatuh sakit. Lalu Rasulullah saw. datang menjenguk ku bersama-sama dengan Abu Bakar, dengan berjalan kaki. Ketika itu aku sedang pengsan. Rasulullah SAW. mengambil air wuduk, kemudian dipercikkannya kepada ku sisa air wuduknya sehingga aku sedar. Aku bertanya kepada Baginda, “Ya, Rasulullah! Bagaimana caranya aku harus mengatur hartaku?” Baginda tidak menjawab sedikit jua pun kepada ku, sehingga turun ayat warisan yang berbunyi: {Mereka minta fatwa kepada mu tentang kalalah. Katakanlah! Allah memberi fatwa kepada mu tentang kalah..} (An-Nisa’, 4: 176). [HR Bukhari].
  1. Hadis Umar al-Khattab RA tentang al-Kalalah.
  1. Beberapa pendapat tentang ayat ini:
    i- Dari al-Bara’ : Ayat ini adalah ayat yang terakhir yang turun tentang undang-undang hukum pusaka. [Riwayat Bukari & Muslim].

    ii- Kata al-Khattabi seorang ulama’ tafsir : Allah turunkan ayat tentang harta pusaka al-Kalalah ini dua ayat dalam al-Quran:
    i- Turun pada musim sejuk di awal surah iaitu pada ayat 12. 
    Iaitu tentang hukum al-kalalah yang diwarisi oleh adik beradik seibu saja (jika tidak terhalang)! 
    Di mana mereka semua mendapat 1/6 daripada harta & dibahagikan samarata antara mereka tidak kira jantina.

    ii- Kemudian ayat ini, ayat terakhir dalam Surah An-Nisa’ yang turun pada musim panas pula.
    Ayat ini tentang adik beradik kandung pula iaitu sama ada seibu sebapa atau sebapa saja! Jauh jaraknya antara dua jenis hukum ini.
  1. Sekarang kita tengok beberapa hukum cara membahagikan harta pusaka ini bagi adik beradik seibu sebapa atau sebapa sahaja:
    i- Seorang mati & meninggalkan hanya seorang adik beradik perempuan sahaja maka saudara perempuan yang seorang ini mewarisi separuh daripada harta saudara lelakinya itu.

    ii- Tetapi jika yang meninggal saudara perempuan & hanya meninggalkan seorang saudara lelaki saja, maka saudara lelaki ini akan mewarisi semua keseluruhan hartanya! 
  1. Tetapi jika si mati perempuan itu ada suami, ada adik beradik seibu pula- maka berikan dulu bahagian mereka ini ikut faraidhnya kemudian apa yang baki berikan kepada saudara lelakinya itu. 
    Ini secara asabah- عصبة iaitu kerabat atau waris terdekat kepada si mati iaitu anak lelaki atau kaum kerabat sebelah lelaki sahaja.
    Mereka berhak mendapat kesemua baki harta.
  1. Dalil- Sabda Nabi SAW: 
    “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”  [HR Bukhari].
    Nabi SAW sebut dalam hadis ini (رجل ذكر) kerabat lelaki yang lelaki yakni untuk ta’kid tidak kira umur, lelaki dewasa atau masih bayi, sama sahaja- berhak menerima pusaka.
  1. Hukum berikutnya Allah nyatakan:
    Jika seorang saudara lelaki mati; meninggalkan beberapa orang adik beradik perempuan yakni lebih daripada seorang – maka mereka mewarisi dua pertiga- 2/3 daripada harta saudara lelakinya itu untuk dibahagikan antara mereka.  

AYAT 176- {DAN SEKIRANYA MEREKA (SAUDARA-SAUDARANYA ITU) RAMAI, LELAKI DAN PEREMPUAN, MAKA BAHAGIAN SEORANG LELAKI MENYAMAI BAHAGIAN DUA ORANG PEREMPUAN”. ALLAH MENERANGKAN (HUKUM INI) KEPADA KAMU SUPAYA KAMU TIDAK SESAT. DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA MENGETAHUI AKAN TIAP-TIAP SESUATU.} (AN-NISA’ 4:176)

  1. Hukum berikutnya: Jika mati seorang saudara lelaki dan:  
    i- Meninggalkan beberapa orang adik beradik ada lelaki & perempuan yakni lebih daripada seorang & bercampur jantinanya.

    ii- Maka mereka mewarisi harta saudara lelakinya itu untuk dibahagikan antara mereka dengan cara.

    iii- Saudara lelaki mendapat dua bahagian seorang perempuan atau perempuan dapat separuh daripada bahagian saudara lelaki.
  1. Allah tutup ayat ini dengan menegaskan bahawa Allah menerangkan hukum ini kepada kamu supaya kamu tidak sesat.
    Wahai perempuan jangan kamu rasa susah hati & dengki akan lelaki kerana Allah yang mengajar semua itu berasaskan keadilan tidak semesti sama rata semua.

    Boleh baca buku ini menambahkan kefahaman tentang hikmah bahagian harta pusaka : Link Keindahan Islam
  1. Alhamdulillah atas nikmat ini. kerana dalam Islam jika seseorang mati mengejut dan tidak sempat membuat wasiat atau membahagikan hartanya, kita tidak perlu runsing kerana harta itu tidak akan pergi ke lain dan pewaris terdekat kita seperti anak isteri & ibu bapa telah terjamin bahagiannya, ditetapkan oleh Allah Azza wa Jalla sendiri!  
  1. Allah tutup surah ini dengan mengingatkan bahawa Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu termasuklah hukum faraidh.
    Kita percayalah kepada hukum faraidh yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. 
    Jangan masuk dalam perangkap syaitan, jangan ada langsung terdetik di dalam hati kita perasaan bahawa Allah SWT tidak adil.
  1. Untuk kepastian bahagian harta pusaka & siapa pewaris yang layak jika tidak faham, wajib rujuk kepada Qadhi & pejabat agama atau ustaz, ustaz yang pakar bab faraidh sebelum membahagikannya.
  1. Kerana itu Allah kata agar tidak sesat; ini kerana kalau tersalah perkiraan, kemungkinan orang yang menerima harta pusaka itu dengan cara yang salah akan termakan benda yang haram dan tidak layak untuk masuk syurga.
    Ini adalah kerugian yang amat besar di Akhirat kelak.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 176- {Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (Wahai Muhammad mengenai masalah Kalaalah).}-

    Para sahabat RA datang bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hukum harta pusaka.
    Ini menunjukkan kepada kita tentang sikap para sahabat. 
    Mereka amat loba, prihatin dan amat mengambil berat tentang hukum dan agama.
    Mereka akan mendapatkan keputusan dari Rasulullah SAW dan wahyu di dalam setiap sudut kehidupan mereka. 
    Kalau terdapat perkara yang mereka musykil, mereka akan terus bertanya dan mendapatkan maklumat yang tepat.
    Kemudian Rasulullah SAW jika tidak tahu lagi hukumnya, Baginda SAW tidak akan menjawabnya sehinggalah turun hukumnya wahyu dari Allah SWT! 

    Rasulullah SAW tidak membuat keputusan sendiri dalam berhukum.
    Kalau baginda ditanya dan baginda tidak mempunyai jawapannya, maka baginda akan menunggu wahyu dari Allah ‎SAW untuk menjawab persoalan itu.
    Persoalan: Kenapa ayat tentang faraidh ini jauh duduknya antara satu sama lain? 
    Yang tadi dalam ayat 12 tentang adik beradik seibu kemudian datang ayat 176, jauh bezanya, kenapa???

    Jawapan : Sesungguhnya susunan ayat itu adalah dari Allah SWT (taufiqi) bukan suka-suka, ijtihad manusia.
    Atau Rasulullah SAW sendiri yang susunnya, maka setiap tertib itu ada hikmah & sebabnya.
    Kita tidak perlu pertikaikan apa yang telah ditetapkan oleh Allah & Rasul-Nya, jangan cuba nak hurai dengan otak kita.
  1. Ayat 176- {Katakanlah: “Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalaalah itu, iaitu jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan ia mempunyai seorang saudara perempuan,}-

    Seseorang mati dan dia tidak ada anak hanya ada adik beradik/saudara perempuan.
    Maksud saudara perempuan di sini ialah adik beradik seibu sebapa atau sebapa sahaja. 
    Ini kerana bahagian tentang adik beradik seibu sahaja telah disebut dalam ayat 12 sebelumnya.
    Ini kerana hukum & bahagiannya berlainan:
    i- Untuk adik beradik seibu mereka hanya mendapat 1/6 daripada harta si mati (jika tiada halangan) & berkongsi dengan membahagikannya sama rata antara saudara yang ada, tidak kira lelaki atau perempuan.

    ii- Manakala hukum bagi bahagian saudara seibu sebapa atau sebapa saja adalah sebagaimana dalam ayat ini yang telah kita jelaskan di atas.
    Apakah hikmah bahagian lelaki adalah dua kali ganda bahagian perempuan?
    Jawapan: Lebihnya bahagian lelaki daripada perempuan kerana dalam Islam yang sebenarnya & wajibnya tuntutan kewangan & nafkah itu atas kepala lelaki.  

    Bermula dari sebagai seorang bapa, adik berafik lelaki & suami kemudian anak kepada ibunya pula! 
    Kemudian jika nak kahwin kena bagi mahar untuk isteri, nafkah pula untuk anak isteri dan begitulah seterusnya.
    Jika suami atau lelaki yang tak bertanggungjawab itu bukan salah hukum tetapi mereka yang tidak jalankan tanggungjawab sebagaimana Islam ajar & perintah!
  1. Ayat 176- {Katakanlah: “Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalaalah itu, iaitu jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak..}-

    Jika seorang mati tidak ada anak. 
    Kenapa Allah hanya sebut anak saja, tidak sebut bapa dalam ayat ini??
    Jawapan:
    i- Kerana bapanya sudah masuk dalam al-kalalah;

    ii- Kebiasaannya bapa mati dulu daripada seorang anak. 
    Kebiasaannya tak kiralah yang terjadi pengecualian itu. 
    Jadi Allah sebut anak sajalah.

    iii- Kerana jika ada bapa, pastilah adik-beradik tidak dapat harta saudara mereka kerana telah tersekat dengan kewujudan bapa itu!
    Ini antara hikmahnya, yang panjang lagi wallahu a’lam.
  1. Ayat 176- {Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat.}-

    Allah siapkan & tetapkan hukum ini supaya kamu tidak perlu berfikir lagi atau jika pandai-pandai nanti akan sesat tersasar dalam menentukan bahagian harta pusakan ini.
    Ayat ini menggalakkan supaya kita belajar & mengaji baik-baik, Allah sendiri yang tetapkan hukum & bahagian harta pusaka ini; Rasulullah SAW telah jelaskan dan para ulamak telah perincikan.
    Tiba-tiba kita datang nak lawan & pertikaikan!
    Jika tak faham & tak jelas, rujuklah kepada pihak berkuasa yang berkenaan.
    Ini kerana kita tidak tahu siapakah antara pewaris, penerima pusaka yang akan memberi lebih manfaat kepada kita! 
    Berhati-hatilah jangan nak lawan & pertikai hukum Allah! 

    Kepincangan besar sekarang ini dalam kes beri harta melalui wasiat kepada anak angkat, mereka sebenarnya tiada hak dalam harta pusaka- jika nak beri jangan semua, berpadalah. 
    Kerana kadang-kadang penerima pusaka atau pewaris yang sebenar seperti adik-beradik dan lain-lain masih ada sebagaimana yang Allah sebut dalam al-Quran.
  1. Ayat 176- {Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.}-

    Allah tegaskan bahawa Dia tahu semua perkara maka jangan kamu berani ingkar atau pertikaikan hukum ketetapan Allah.
    Ayat ini menjadi penutup kepada Surah An-Nisa’ dan menjadi pelengkap kepada masalah & hukum harta pusaka yang telah disebut sebelum ini.
    Kata ulama’ : Dalam surah ini ada perbincangan yang cukup halus:
    i- Pada awal surah Allah nyatakan kekuasaan Allah SWT yang mencipta manusia. 
    Maka wahai manusia, kamu kena patuh & takut kepada Allah.

    ii- Kemudian di akhir ayat Allah nyatakan Dia Maha Mengetahui semuanya. 
    Maka kamu jangan pertikaikan undang-undang yang Allah bawa.

    Maka Allah sebut dua sifat-Nya yg mantap:
    i- Yang sempurna dalam Kekuasaan 

    ii- Yang sempurna dalam ilmu-Nya juga. 

    Ini kerana manusia ada kadang-kadang yang:
    i- Ada kekuasaan, gagah perkasa tetapi tidak ada ilmu; maka lemah & tidak sempurna kekuasaannya. 

    ii- Ada juga yang ada ilmu, tetapi tidak ada kekuasaan; maka dia tidak dapat buat apa-apa! 
    Maka tidak sempurna ilmu & kuasanya.

    Maka sempurnalah keagungan & keEsaan Allah SWT! 
    Dua sifat inilah yang mengisbatkan Ketuanan (الربوبية) Allah & Ketuhan-Nya (الألوهية) yang berhak disembah & dipuja-puji. 
    Hanya Allah yang Esa.
  • Alhamdulillah tamatlah kita Surah An-Nisa ini dengan 176 ayat dalam 63 siri kuliah.
    Semua siri kuliah dari awalnya serta surah-surah lain juga boleh didapati dalam channel youtube Abu Anas Madani di: https://www.youtube.com/@halaqahabuanasmadani.2046/videos

    Ya Allah kami pohon dengan nama-nama-Mu yang Indah & sifat-sifat-Mu yang mulia, pada hari ini kami telah khatam Surah An-Nisa’; maka berikanlah kepada kami kefahaman & keupayaan untuk mengamalkan hukum-hakam dalam agama ini terutamanya agar redha dalam bab pusaka ini.
    Jadikan kami sentiasa istiqomah dalam menuntut ilmu & mencari keredhaan-Mu yang membawa kami ke jalan syurga-Mu. 

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs