BERI HAK ANAK YATIM, JANGAN TUKAR DENGAN YANG TAK BAIK & JANGAN MAKAN HARTANYA SECARA ZALIM.
Full video : https://youtu.be/q2drYkJ709k?si=Wy4hM1jqq0hIcwEp
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat ke-2 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ keempat.
- Dalam siri ini Allah perintahkan untuk beri hak anak yatim, jangan rampas haknya walaupun mereka sudah tidak ada ayah.
Keluarganya seperti bapa saudara & datuk kena beri kasih sayang dan penjagaan baik kepada mereka.
- Allah juga peringatkan agar jangan tukar barang-barang anak yatim yang ayahnya tingalkan itu, tukar yang elok dengan yang tak baik, ambil yang baik untuknya dan tinggalkan yang buruk untuknya!
- Juga amaran keras dari Allah agar jangan sesekali makan hartanya secara zalim kerana itu adalah satu dosa yang amat besar.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang…
Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 2- {DAN BERIKANLAH KEPADA ANAK-ANAK YATIM (YANG TELAH BALIGH) ITU HARTA MEREKA, DAN JANGANLAH KAMU TUKAR-GANTIKAN YANG BAIK DENGAN YANG BURUK; DAN JANGANLAH KAMU MAKAN HARTA MEREKA (DENGAN MENGHIMPUNKANNYA) DENGAN HARTA KAMU; KERANA SESUNGGUHNYA (YANG DEMIKIAN) ITU ADALAH DOSA YANG BESAR.} (AN-NISA’ 4:2)
- Ini adalah pesanan untuk mereka yang bertanggung-jawab menjaga anak yatim.
Jangan campurkan harta mereka dengan harta kamu yang lain sehingga tidak dapat diketahui batasnya.
- Yakni Allah beri amaran keras jangan sesekali ambil atau makan harta anak yatim secara zalim atau tanpa hak.
Sepatutnya kita yang bantu dan tolong mereka bukan mengkhianati mereka!
- Apa makna yatim (اليتيم -ٱلْيَتَـٰمَىٰٓ):
i- Dari sudut bahasa bermakna orang yang keseorangan.
ii- Dari sudut kemanusian- orang yang kematian bapanya dan dia masih kecil belum baligh (cukup umur). Lelaki atau perempuan itu adalah anak yatim yang kehilangan bapa.
iii- Manakala yatim dari kalangan haiwan ialah anak yang kehilangan ibunya. Ini kerana bapanya memang tidak dapat dipastikan yang mana satu.
Telah berkata Ibn al-Sikkit: “Al-Yatim pada manusia adalah mereka yang kehilangan bapa manakala pada binatang pula adalah kehilangan ibu. Tidak dipanggil seseorang yang kehilangan ibu dengan al-Yatim”. [Lihat Lisan al-‘Arab, 12/645]
- Apabila anak yatim ini sudah cukup umurnya maka serahkanlah harta mereka.
Dipanggil anak yatim dalam ayat ini walaupun sudah cukup umur, kerana dikira keadaannya yang telah lepas (اعتبار ما كان).
Sebagaimana istilah muallaf dalam masyarakat kita walaupun seseorang itu telah lama memeluk Islam- bahkan telah jadi pendakwah pula dia. Sedangkan maksud muallaf ialah orang yang baru jinak (dengan Islam).
- Dalil bukan lagi dikira anak yatim apabila cukup umur: Sabda Rasulullah SAW : لاَ يُتْمَ بَعْدَ احْتِلاَمٍ
Maksudnya: “Tidak ada keyatiman setelah baligh.” [HR Abu Daud(2873)].
- Mengikut ahli pendidikan:
i- Bukanlah anak yatim itu orang yang hanya kehilangan bapanya; Tetapi yatim itu juga apabila orang itu kehilangan ilmu & adab!
ii- Bukanlah anak yatim itu orang yang hanya kematian ibu bapanya; Tetapi yatim itu juga apabila orang itu ditinggalkan ibu & bapanya yang kesibukan!
- Munasabah ayat ini dengan yang sebelumnya:
i- Kenapa Allah perintahkan ayat ini dan mulakannya dengan perkataan Dan (و) serahkan: {Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka,}- sedangkan dia tentang anak yatim boleh saja jika tak ada dan.
Jawapan:
i- Ini kerana dalam ayat sebelum Allah perintahkan untuk bertaqwa, jaga hak silaturrahim.
ii- Maka orang yang paling utama kita jaga hak mereka dari sudut anak-anak saudara kita adalah anak yatim.
Mereka bukan setakat ada hubungan rahim tetapi adalah golongan yang lemah tiada bapa yang dapat melindungi mereka, betapa ramai orang yang sekelip mata menjadi anak yatim & piatu, maka kamu sebagai orang bertaqwalah yang kena ambil cakna ke atas mereka.
- Munasabah kedua:
i- Allah sebut dalam ayat yang lepas juga bahawa orang yang bertaqwa ialah orang yang tunduk akur kepada perintah Allah.
ii- Maka antara ketaatan yang besar yang dapat diambil dalam ayat ini ialah berkait dengan jaga hak anak yatim & dan jangan makan harta mereka secara batil!
- Firman Allah lagi dalam ayat ini- Wahai para pemegang wasiat, Apabila anak-anak yatim sampai umur baligh & cerdik akal fikirannya, boleh menguruskan harta mereka sendiri maka serahkanlah harta mereka yang dijaga dulu kembali kepada mereka.
Tetapi kena pastikan dulu kematangan dan kecerdikan mereka ini dengan menguji dulu mereka- jangan terus beri tanpa pastikan kemampuan mereka dulu untuk mengurus sendiri harta itu.
Firman Allah SWT tentang ini:
{Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya;} (An-Nisa’ 4:6)
- Sekali lagi Allah pesan & beri amaran lagi:
i- Agar jangan menukar harta mereka yang baik kepada yang buruk- yang baik ambil kepada dia yang tidak baik beri kepada anak yatim!
Maka inilah orang yang celaka, menukar syurga kepada neraka!
Ini kerana orang yang jaga anak yatim & pemegang amanahnya; jika jujur & baik- amat besar pahalanya serta syurgalah balasannya.
ii- Janganlah makan harta mereka dengan mencampurkannya dengan harta kamu sehingga tidak dapat dikenal-pasti mana yang kamu mana yang anak yatim!
Contoh geran tanah, jika hanya sebagai pemegang amanah pastikan anak-anak & pewaris kita tahu serta apabila samapai masanya segeralah tukar kembali namanya!
Tulis surat wasiat menerangkan tentang hal ini, kita kena telus & amanah.
Boleh ambil secara baik & sekadar upah yang memadai dengan kerja & tugas yang dilakukan, seperti menjaga kebun, menguruskan perusahaannya dan lain-lain.
- Pada akhir ayat Allah beri amaran yang keras larangan ini adalah kerana sesungguhnya perbuatan memakan harta anak yatim dengan zalim itu adalah dosa yang besar.
- Sebagaimana firman Allah dalam ayat yang akan datang:
{Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.} (An-Nisa’ 4:10)
- Maka berhati-hatilah para penjaga & pemegang amanah harta anak yatim- jangan sampai tugas kamu yang asalnya mulia dan membawa banyak pahala sehingga ke syurga, bertukar membawa kecelakaan dengan mendapat azab neraka akibat ketamakan & kecuaian kamu.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 2- {Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka,}-
Berikanlah kembali harta mereka kepada anak yatim yang telah cukup umur.
Persoalan:
Kenapa masih dipanggil anak yatim sedangkan mereka sudah cukup umur & baligh- yakni sudah boleh diserahkan harta.
Jawapan:
Allah namakan mereka itu yatim walaupun sudah baligh kerana mengambil sempena keadaan mereka sebelum ini.
Iaitu dengan kaedah mengambil kira keadaan mereka yang lalu (اعتبارما كان).
Sebagaimana uruf (adat) dalam masyarakat kita- panggilan muallaf (orang yang baru jinak hatinya) kepada saudara kita yang masuk Islam walaupun sebenarnya telah lama mereka menjadi muslim.
Ayat ini Allah nak nyatakan ciri-ciri orang yang bertaqwa- iaitu yang menjakankan tanggungjawab Syara’, ikut perintah & jauhi larangan Allah.
Maka dalam ayat ini Allah mulakan dengan perintah pertama untuk kita lakukan iaitu berkait dengan harta & hak anak yatim untuk menzahirkan betapa Allah SWT mengambil berat akan kedudukan mereka.
Para wali & wasi mesti bertanggung-jawab dengan diri & harta anak yatim itu!
Jangan main-main, bermudah dengan mereka walaupun mereka tidak ada ibu bapa- mereka masih ada penjaganya iaitu Allah Azza wa Jalla.
Ini adalah satu masalah yang besar & perlu diberi perhatian.
- Allah SWT mulakan surah ini dengan arahan agar bertaqwa dan jaga hubungan silaturrahim-
Kemudian terus datang ayat untuk jaga anak yatim, berbuat baik kepada keluarga & wanita dan bantu orang lemah.
Kata ulama’ tadabbur: Apabila Allah SWT mulakan dengan muqaddimah menyuruh kita bertaqwa, sebut tentang asal kejadian kita daripada tok Adam, kemudian datang arahan untuk menjaga anak cucu, maka lebih insof (terbuka) untuk kita menerima tanggungjawab ini untuk menjaga anak-anak yatim yang ditinggalkan oleh ayah dan ibu mereka.
Anak yatim yang hilang tempat pergantunggannya ini, tiada kasih sayang & orang yang peduli akan mereka.
Para wali mereka seperti bapa saudaralah yang sepatut kena ambil tugas, jika bapa saudara itu tidak peduli juga, maka masyarakat setempat, jiran tetangga & waris yang jauh kena ambil cakna & bertanggung-jawab terhadap mereka.
Inilah uslub al-Quran, dia sebut tentang tanggungjawab jawab kemudian diberinya tugasasn agar kita terasa betapa besarnya tugas itu.
Allah bawa ayat psikologi yang dapat mencuit hati agar mudah terbuka minda & perasaan kita untuk menjaga anak yatim.
- Ayat 2- {Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka,}-
Allah sebut disini, berikan kepada mereka harta mereka- { أَمْوَٰلَهُمْ}.
Ayat ini menjadi dalil bahawa anak yatim itu tidak mengira usia, baby atau kanak-kanak lagi, lelaki atau perempuan- harta pusaka peninggalan ibu bapanya akan menjadi miliknya sepenuhnya (mengikut bahagian faraidh masing-masing).
Mereka boleh memiliki harta & pemilikan itu adalah sempurna.
Kesannya mereka juga kena zakat atas harta itu. Ini kerana sebagaimana firman Allah SWT ini:
{Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat).} (At-Taubah 9:103)
Apabila sabit hakmilik maka sabitlah juga zakat ke atasnya!
Kerana itu bukan semua anak yatiam layak menerima zakat- bahkan mereka yang kena bayar zakat kerana mereka ada harta!
Sama juga dengan orang gila yang ada harta banyak- kena ada pemegang amanahnya- hartanya juga kena zakat.
Anak yatim ini kita beri nafkahnya daripada harta miliknya bagi mereka yang ada harta.
Alangkah luasnya ilmu Islam itu, Allah jaga supaya kita tidak tersasar terbabas, ambil harta anak yatim tanpa hak tanpa jalan yang benar kerana ia cukup bahaya!
- Ayat 2- {dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu;..}-
Allah kata jangan makan (juga ambil-guna) dan jangan campur harta anak yatim dengan harta kamu!
Ayat ini larangan daripada kita campur harta anak yatim untuk kita makan dan gunanya untuk kegunaan kita sendiri.
Tetapi jika bercampur untuk makan didapur tidak mengapa- tidak perlu kita asingkan dapur & periuk- ambillah dengan kadar & nilaian yang betul!
Ambil sekadar nilai yang diperlukan & berpatutan secara baik apatah lagi jika penjaga itu juga seorang yang miskin.
Mesti telus dalam penggunaan & cara ambil harta itu, boleh makan bersama di dapur tetapi kena telus dan amanah.
Allah tidak menyusahkan dalam hal ini- cuma Allah pesan agar jangan makan yakni jangan guna & ambil tanpa hak- salah guna untuk kegunaan peribadi.
Makan dengan makna penggunaan!
- Ayat 2- {kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar.}-
Jangan kamu buat begitu (ambnil harta anak yatim) kerana ia termausk dalam dosa yang besar!
Allah sebut dosa { حُوبًۭا} yang besar {كَبِيرًۭا}- untuk menunjukkan betapa besarnya dosa makan harta anak yatim- ia termasuk dalam dosa besar yang amat bahaya.
Dalilnya sabda Rasulullah SAW:
اجتنبوا السبعَ الموبقاتِ . قالوا : يا رسولَ اللهِ ، وما هن ؟ قال : الشركُ باللهِ ، والسحرُ ، وقتلُ النفسِ التي حرّم اللهُ إلا بالحقِّ ، وأكلُ الربا ، وأكلُ مالِ اليتيمِ ، والتولي يومَ الزحفِ ، وقذفُ المحصناتِ المؤمناتِ الغافلاتِ.
Maksudnya: “Jauhilah tujuh dosa yang membinasakan. Para sahabat bertanya: wahai Rasulullah, apakah ia? Rasulullah menjawab, ‘Syirik terhadap Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari ketika peperangan, menuduh wanita baik-baik berzina.” [HR al-Bukhari (2766) dan Muslim (89)].
Jaga anak yatim jika jujur & amanah besar sekali pahalanya sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
كَافِلُ الْيَتِيمِ لَهُ أَوْ لِغَيْرِهِ أَنَا وَهُوَ كَهَاتَيْنِ فِي الْجَنَّةِ.
Maksudnya: “Orang yang menanggung anak yatim miliknya atau milik orang lain, aku dan dia seperti dua ini (Nabi ﷺ mengisyaratkan dengan dua jari baginda ﷺ) di syurga”. [HR Muslim, 2983].
Para penjaga anak yatim, pengendali rumah-rumah anak yatim- berhati-hatilah, takutilah Allah: Jangan ambil kesempatan & salah guna terhadap derma-derma & infaq yang orang ramai berikan kepada anak yatim!
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.