Surah An-Nisa’ : Ayat 22-23

LARANGAN KAHWIN IBU TIRI, KENALI 6 KATEGORI WANITA YANG TIDAK BOLEH DINIKAHI & MEMBATALKAN ADAT NIKAH JAHILIYAH.

Full video : https://youtu.be/04ToBqHEHMQ?si=dHt8N7AV0GGfxTIW

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 22 sehingga 23 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ keempat.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang wanita yang haram dikahwini, pertamanya larangan kahwin ibu tiri iaitu wanita yang pernah jadi isteri kepada bapa. 
  1. Kemudian dalam ayat ke-23, Allah senaraikan 6 kategori wanita yang tidak boleh dinikahi.
  1. Sekaligus ayat ini untuk membatalkan adat nikah buruk yang diamalkan oleh jahiliyah dulu. Ayat ini membatalkannya sehingga ke hari Kiamat.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang hukum berkahwin dengan anak yatim. Jangan ambil kesempatan atas kelemahannya.
    Allah juga telah berwasiat agar bergaul dengan isteri dengan baik, kena beri mas kahwin, jangan ambil balik mas kahwin mereka, jangan zalim dengan gantung mereka tidak bertali dan seumpamanya.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah bawa hukum haram untuk berkahwin dengan ibu tiri dan beberapa golongan wanita lagi! Allah tutup pintu terus.
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

AYAT 22- {DAN JANGANLAH KAMU BERKAHWIN (DENGAN PEREMPUAN-PEREMPUAN) YANG TELAH DIPERISTERIKAN OLEH BAPA KAMU KECUALI APA YANG TELAH BERLAKU PADA MASA YANG LALU. SESUNGGUHNYA PERBUATAN ITU ADALAH SATU PERKARA YANG KEJI, DAN DIBENCI (OLEH ALLAH), SERTA MENJADI SEBURUK-BURUK JALAN (YANG DILALUI DALAM PERKAHWINAN).} (AN-NISA’ 4:22)

  1. Wahai kaum lelaki yang beriman, Allah mengharamkan ke atas kamu untuk berkahwin dengan ibu-ibu tiri kamu iaitu bekas isteri ayah kamu.
  1. Sebab nuzul ayat: 
    i- Adat jahiliyyah dulu mengharamkan juga perkahwinan dengan keluarga yang terdekat seperti adik beradik, ibu saudara dan lain-lain kecuali dengan isteri bapa (ibu tiri) serta boleh mengumpulkan dua adik beradik dalam satu waktu yang sama. 

    ii- Maka Allah SWT turunkan ayat ini iaitu ayat ke-22 sehingga ayat ke-23. [HR Ibnu Jarir & Ibnu Munzir dengan sanad yang sahih].
  1. Kata ar-Razi RHM dalam tafsirnya bahawa ulama’ tafsir telah ijmak : Sabab nuzul ayat ini untuk melarang orang Islam daripada berkahwin dengan ibu tiri. 
    Kerana menghormati ibu itu besar kedudukannya.
  1. Kata Ibnu as-Su’ud: Bukan ibu tiri saja tetapi nenek tiri dan ke atasnya.
  1. Kata ulama’ antara hikmah pengharaman ini ada tiga dimensi:
    i- Ibu tiri itu adalah seumpama ibu sendiri juga (walaupun dia lebih muda) kerana ia adalah isteri kepada bapa kita sendiri. Kita kena hormatnya sebagai seorang ibu.

    ii- Janganlah anak menjadi pengganti bapanya. Tidak mungkin kerana ia penghormatan kepada wanita itu sebagai seorang ibu & pernah menjadi isteri kepada bapa kita.

    iii- Kerana tidak mahu jadi seperti jahiliyyah yang mewarisi isteri-isteri bapa mereka sebagai bahan pusaka.
  1. Allah sebut di sini siapa buat juga; ia adalah satu perbuatan yang dikeji oleh Allah SWT, buruk & dimurkai Allah. 
    Satu langkah yang buruk yang dibuat dalam sistem perkahwinan ini.

AYAT 1- AYAT 23- {DIHARAMKAN KEPADA KAMU BERKAHWIN DENGAN (PEREMPUAN-PEREMPUAN YANG BERIKUT): IBU-IBU KAMU, DAN ANAK-ANAK KAMU, DAN SAUDARA-SAUDARA KAMU, DAN SAUDARA-SAUDARA BAPA KAMU, DAN SAUDARA-SAUDARA IBU KAMU DAN ANAK-ANAK SAUDARA KAMU YANG LELAKI, DAN ANAK-ANAK SAUDARA KAMU YANG PEREMPUAN, DAN IBU-IBU KAMU YANG TELAH MENYUSUKAN KAMU, DAN SAUDARA-SAUDARA SUSUAN KAMU, DAN IBU-IBU ISTERI KAMU, DAN ANAK-ANAK TIRI YANG DALAM PEMULIHARAAN KAMU DARI ISTERI-ISTERI YANG KAMU TELAH CAMPURI; TETAPI KALAU KAMU BELUM CAMPURI MEREKA (ISTERI KAMU) ITU (DAN KAMU TELAHPUN MENCERAIKAN MEREKA), MAKA TIADALAH SALAH KAMU (BERKAHWIN DENGANNYA). DAN (HARAM JUGA KAMU BERKAHWIN DENGAN) BEKAS ISTERI ANAK-ANAK KAMU SENDIRI YANG BERASAL DARI BENIH KAMU. DAN DIHARAMKAN KAMU MENGHIMPUNKAN DUA BERADIK SEKALI (UNTUK MENJADI ISTERI-ISTERI KAMU), KECUALI YANG TELAH BERLAKU PADA MASA YANG LALU. SESUNGGUHNYA ALLAH ADALAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AN-NISA’ 4:23)

  1. Ayat ini pula menyatakan beberapa kategori wanita yang haram dinikahi sebagaimana dibahagikan oleh ulama’ iaitu kerana: 
    i- Keturunan.

    ii- Besan : Mertua/menantu. 

    iii- Penyusuan.
  1. Kategori pertama kerana kerabat:
    i- Asal (usul) seperti ibu, nenek, moyang ke atas. 
    Penghormatan kepada ibu ke atas. {أُمَّهَـٰتُكُمْ}

    ii- Cabang (keturunan) seperti anak-anak perempuan, cucu-cicit ke bawah yang datang dari sulbi kamu. {وَبَنَاتُكُمْ}

    iii- Adik beradik kandung, seibu & sebapa. {وَأَخَوَٰتُكُمْ}

    iv- Ibu saudara sama ada sebelah ibu (وَخَـٰلَـٰتُكُمْ) atau sebelah bapa (وَعَمَّـٰتُكُمْ). Termasuk nenek saudara ke atas.

    v- Kemudian anak-anak saudara kamu sama ada dari adik-beradik lelaki { وَبَنَاتُ ٱلْأَخِ } atau adik beradik perempuan. { وَبَنَاتُ ٱلْأُخْتِ}
  1. Kategori kedua kerana sebab penyusuan (الرضاعة)- bayi dua tahun ke bawah menyusu dengan perempuan lain tidak kurang daripada lima kali kenyang-:
    i- Ibu susuan kamu itu sendiri. {وَأُمَّهَـٰتُكُمُ ٱلَّـٰتِىٓ أَرْضَعْنَكُمْ}

    ii- Adik-beradik susuan iaitu anak ibu susuan itu. {أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَٰتُكُم مِّنَ ٱلرَّضَـٰعَةِ}
    Dalil- hadis Nabi SAW : يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ.
    Maksudnya: “Diharamkan dengan sebab susuan itu perkara yang haram dengan sebab nasab (kekeluargaan).” [HR al-Bukhari].
    Tetapi tidak dalam bab pusaka, hanya sama dari segi aurat & haram kahwin.
  1. Kategori ketiga dengan sebab perkahwinan (in-laws) – (مصاهرة):
    i- Ibu kepada isteri kamu- juga nenek ke atas.
    Apabila selesai akad nikah saja : Mertua terus menjadi haram selamanya, boleh bersalam seperti mahram lain.
    Haram untuk menikahi mereka selepas itu (cerai atau mati), tidak kira sama ada telah bersama dengan si isteri atau tidak.

    ii- Anak tiri : Iaitu anak kepada isteri kamu yang telah digauli. Sama ada anak tiri yang kamu jaga atau tidak- asalkan anak isteri kamu itu.
    Tetapi jika bercerai sebelum bersetubuh dengan ibunya- boleh kahwini anaknya selepas itu.

    iii- Bekas isteri kepada anak kandung kamu sendiri, sama ada telah digauli atau tidak. Yakni menantu perempuan- terus haram kerana aqad nikah selamanya sebagaimana ibu mertua.

    Fakta:
    i- Hubungan mertua : Menantu kandung, terus haram selamanya selepas aqad nikah sama ada telah bersetubuh atau tidak, bercerai atau mati.

    ii- Tetapi hubungan dengan ibu tiri atau anak tiri berbeza- jika telah bersama haram selamanya juga. 
    TETAPI jika masih belum digauli isteri itu lalu bercerai- boleh dikahwini pula anak atau ibunya!
  1. Haram dengan sebab sementara: 
    i- Jangan kamu himpunkan dua beradik sekaligus dalam satu perkahwinan dalam satu masa. Kecuali yang telah lepas- iaitu telah bercerai dengan kakaknya kemudian kahwini adiknya.

    ii- Begitu juga antara anak saudara & ibu saudaranya. Kecuali yang telah lepas juga.
  1. Dalil dari hadis dalam isu ini:
    i- Hadis tentang UM Ummu Habibah RA suruh Nabi SAW kahwin dengan saudaranya:
    Dari Ummu Habibah RA, isteri Nabi SAW, katanya dia berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah! Nikahilah saudara ku ‘Azzah.” Jawab Rasulullah SAW, “Betulkah begitu keinginanmu?” Jawab Ummu Habibah, “Benar, ya, Rasulullah! Kerana aku tidak sanggup tuan beristeri kepada yang lain. Tetapi aku ingin yang menjadi sekutuku dalam kebajikan (maduku) saudara ku sendiri.” Jawab Rasulullah SAW, “Dia (‘Azzah) tidak halal bagi ku (kerana ia saudaramu. Kerana firman Allah: {Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu.}.” Kata Ummu Habibah, “Aku mendengar berita bahawa tuan hendak kahwin dengan Durrah binti Abu Salamah (yakni anak tiri Nabi SAW dengan isterinya Ummu Salamah RA). Tanya Rasulullah SAW (dengan terkejut), “Dengan anak gadis Ummu Salamah?” Jawab Ummu Habibah, “Ya.” Sabda Rasulullah SAW, “Seandainya dia bukan anak tiriku yang ku besarkan di rumahku (yakni halal) tetapi dia tetap tidak halal bagiku; kerana dia anak saudara susuanku. Ini kerana aku dan Abu Salamah sama-sama menyusu kepada Thuwaibah. Kerana itu janganlah engkau tawar-tawarkan lagi kepada ku anak-anakmu dan saudara-saudaramu.” [HR Muslim].

    ii- Dalil: نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَنْ تُنْكَحَ الْمَرْأَةُ عَلَى قَرَابَتِهَا مَخَافَةَ الْقَطِيعَةِ
    Maksudnya: Rasulullah SAW melarang perempuan dikahwinkan sekali (dimadukan) dengan saudara-maranya kerana dibimbangi akan memutuskan silaturrahim. [HR Abu Daud]

    iii- Hadis riwayat dari Fairuz ad-Dailami RA bahawa: Dia masuk Islam dan ketika itu ia memiliki dua isteri yang keduanya adalah bersaudara, lalu Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Ceraikanlah salah satunya.” [HR Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah].
  1. Allah SWT tutup ayat ini dengan mengatakan Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani- yakni jika ia terjadi sebelum kamu mengetahui hukum-hakamnya maka tidak mengapa.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 22- {Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. }-

    Larangan keras dari Allah SWT, agar jangan kamu kahwin dengan isteri bapa kamu kerana ia adalah perbuatan keji. 
    Allah bawa tiga hukuman yang keras di sini iaitu: 
    i- Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji,

    ii- Dan dibenci oleh Allah,

    iii- Serta menjadi seburuk-buruk jalan yang dilalui dalam sistem perkahwinan.
    Kerana itu kata ulama’ : Berkahwin dengan mahram lebih dahsyat daripada berzina! Wal ‘iyazu billah.

    Dalam ayat zina Allah berfirman:
    {Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).} (Al-Israa’ 17:32)

    Tetapi dalam bab ini Allah kumpulkan tiga hukum & kemurkaan yang dahsyat: {Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan).}}
    Kerana itu orang yang berzina dengan mahram direjam sehingga mati walaupun dia belum pernah berkahwin.
  1. Ayat 23- {Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu,}-

    Haram berkahwin dengan:
    i- Usul : Iaitu ibu ke atas seperti nenek.

    ii- Furu’ (cabang keturunan) anak perempuan ke bawah cucu cicit. Dalam keturunan kita asal nama perempuan adalah haram (بنتا).
    Berbeza dengan bab pusaka, kena lalu melalui anak lelaki saja, cucu melalui anak perempuan tidak termasuk dalam penerima pusaka.
    Tetapi dalam bab perkahwinan, asal melalui keturunan kamu cucu cicit perempuan (بنتا) sama ada melalui anak perempuan atau lelaki- semuanya haram.
  1. Ayat 23- {Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu.}-

    Yakni menatu, isteri kepada anak kandung kamu. Jika isteri anak tiri atau isteri anak angkat boleh & diharuskan apabila berpisah dari suami mereka itu.
    Jika ada orang yang mengambil anak angkat lalu dibinkan kepadanya adalah haram. 
    Bahkan bekas isteri anak angkat itu adalah halal kepada mereka.
  1. Ayat 23- {dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu,}-

    Ibu yang menyusukan kamu kamu juga haram untuk dikahwini serta anak-anak perempuan mereka juga haram ke atas kamu.
    Allah sebut khas ibu yang menyusukan {وَأُمَّهَـٰتُكُمُ ٱلَّـٰتِىٓ أَرْضَعْنَكُمْ} ini untuk membezakannya:
    i- Dengan ibu kandung- kerana jika ibu kandung disebut ibu (أُمَّ) saja.  

    ii- Juga berbeza dengan ibu mertua {dan ibu-ibu isteri kamu}- ibu kandung kepada isteri kamu & ke atas- ibu mertua & nenek moyangnya juga.
    Mertua ini selepas aqad, akan jadi haram kepada menantu tanpa syarat sehingga hari Kiamat, penghormatan sebagai seorang ibu.
    Tetapi jika ibu tiri atau ibu susuan isteri- hanya haram sementara. Jika telah berpisah dengan si isterinya, lelaki itu boleh berkahwin dengan dengan mereka- ibu tiri atau ibu susuan isterinya dulu.
    Perhatian akan dua perbezaan ini:
    i- Jika antara lelaki & perempuan itu masuk dalam kategori haram selamanya seperti menantu & mertua- boleh bersalam, buka tudung seperti mahram yang lain. 
    Selepas berpisah dengan isteri (mati atau cerai) tetap haram untuk kahwin dengan mereka.

    ii- Jika haram sementara seperti ipar, mertua atau menantu tiri, ibu saudara isteri- tidak boleh bersalam & buka aurat- tetap seperti hukum dengan ajnabi lain. 
    TETAPI selepas berpisah dengan isteri itu (penyebab haram sementara) halal untuk kahwin dengan mereka pula.
  1. Ayat 23- {Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu.}-

    Haram bagi lelaki untuk kahwin dengan bekas isteri anak kandungnya iaitu menantunya. 
    Sama seperti ibu mertua juga, menantu perempuan ini akan jadi haram kepada mertua lelaki tanpa syarat sehingga hari Kiamat sama ada sempat digauli oleh anaknya atau tidak.
    {Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. }-
    Serta juga hukum tidak boleh kumpulkan (dimadukan) dua beradik & anak dan ibu saudara dalam satu masa perkahwinan.

Alhamdulillah selesailah perbincangan kita untuk siri ini, semoga menambahkan ilmu pengetahuan & maklumat agar kita tidak terbabas melanggar hukum yang dilarang Allah SWT.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs