HARAM AMBIL HARTA CARA BATIL, MELANGGAR HUDUD ALLAH & KELEBIHAN JAUHI DOSA BESAR.
Full video : https://youtu.be/DT242XDxHPA?si=28QZbZC5LwmZQzNF
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 29 sehingga 31 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ kelima.
- Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang haram ambil harta cara batil. Sama ada curi, rompak, riba, rasuah, khianat dan lain-lain.
Serta dibuka satu pintu yang halal iaitu melalui perniagaan: Jual-beli sama ada bayar dengan wang atau tukar barang dengan barang.
Kita juga dapat terima barang orang dengan pusaka, hadiah & sedekah.
- Allah juga berpesan agar jangan melanggar hudud Allah iaitu batasan yang telah Allah tetapkan.
- Kemudian Allah nyatakan kelebihan jauhi dosa besar iaitu Allah akan ampunkan dosa-dosa kecilnya yang lain.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang bagaimana cara kita untuk menguruskan diri kita dengan perkahwinan, cari harta dulu sebelum berkahwin untuk memberi mas kahwin kepada isteri.
ii- Maka Allah bawa ayat ini, sekali lagi dipesan kamu jangan buat perkara ygharam dan dibuka pintu untuk mendapatkan harta iaitu melalui perniagaan atau jual-beli.
Allah sekat pintu keburukan kepada kita & dibukanya pintu kebaikan untuk kita.
Tetapi jiwa yang jahat, nafsu yang buruk tetap mencari yang haram, bahkan yang halal ini tidak menarik lansung baginya.
- Munasabah kedua:
i- Dari awal Surah An-Nisa’ sehingga ke ayat ini Allah suruh kita jaga hubungan dengan anak yatim, beri setiap orang ada haknya, nak kahwin beri mas kahwin, lepas kahwin beri nafkah, dapat anak pun kena beri nafkah dan sebagainya.
ii- Maka dalam ayat ini Allah SWT suruh tunaikan tanggungjawab serta jangan makan (ambil) harta orang lain secara batil.
Bab harta selalu disebut makan sedangkan harta itu diguna juga untuk pelbagai kegunaan lain- seperti beli pakaian, kenderaan, rumah dan sebagainya.
Ini kerana penggunaan yang paling banyak orang tak boleh sabar ialah makan- berapa kali sehari kita habiskan duit & masa untuk makan.
Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 29- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, JANGANLAH KAMU MAKAN (GUNAKAN) HARTA-HARTA KAMU SESAMA KAMU DENGAN JALAN YANG SALAH (TIPU, JUDI DAN SEBAGAINYA), KECUALI DENGAN JALAN PERNIAGAAN YANG DILAKUKAN SECARA SUKA SAMA SUKA DI ANTARA KAMU, DAN JANGANLAH KAMU BERBUNUH-BUNUHAN SESAMA SENDIRI. SESUNGGUHNYA ALLAH SENTIASA MENGASIHANI KAMU.} (AN-NISA’ 4:29)
- Allah SWT bawa peringatan & amaran agar jangan makan, ambil & guna harta orang lain dengan jalan yang salah & haram seperti tipu, judi, curi, rompak, riba, rasuah, khianat dan sebagainya.
- Apabila tutup pintu yang haram; Allah buka pintu, ajar cara yang halal iaitu boleh bertukar harta melalui jalan perniagaan, jual-beli dengan syarat yang dilakukan secara suka sama suka (redha) di antara kamu.
Ini supaya tidak berlaku kezaliman antara kamu dalam bab harta!
- Kemudian dari sudut penjagaan jiwa & nyawa Allah SWT melarang agar janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri.
- Munasabah antara harta & nyawa: Kerana ia serentak- Allah larang kamu makan harta secara batil juga jangan membinasakan diri kamu!
i- Ini kerana tak ada nyawa macamana nak makan, tak ada harta juga macamana tak hidup.
ii- Kerana harta juga orang akan saling berbunuh- berbalah kerana berebut harta. Atau perompak yang kejam kerana nak ambil harta bunuh pula pemiliknya!
- Maksud larangan Allah janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri sama ada:
i- Jangan mencampakkan diri kamu dalam kebinasaan dengan perbuatan yang seolah membunuh diri dengan sukan yang extreme, challenge cabaran berbahaya yang tidak berfaedah tetapi membahayakan dan lain-lain.
ii- Apatah lagi membunuh orang lain tanpa hak. Besar sekali dosanya!
- Firman Allah SWT tentang larangan membunuh orang ini:
{Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).} (Al-Israa’ 17:33)
- Banyak hadis Nabi SAW tentang bahayanya bunuh diri:
i- Sabda Rasulullah SAW: Dan barang siapa membunuh diri dengan meminum racun, maka di neraka jahanam nanti ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barang siapa membunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di neraka jahanam nanti, ia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya. – [HR Muslim 109].
ii- Sabda Baginda Rasulullah: Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka di neraka jahanam nanti besi itu selalu di tangannya, ia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barang siapa membunuh diri dengan meminum racun, maka di neraka jahanam nanti ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barang siapa membunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di neraka jahanam nanti, ia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya. – [HR Muslim 109].
- Allah SWT tutup ayat ini dengan menegaskan bahawa Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.
Antara tanda rahmat & kasih sayang Allah ialah larangan daripada membunuh diri atau orang lain, ambil harta orang lain tanpa hak dan lain-lain kezaliman.
- Ini kerana jika tiada larangan ini nescaya kita akan hidup dalam huru-hara dan kebinasaan!
Orang akan saling bunuh membunuh tanpa batas, ambil & rampas harta orang tanpa hak, maka dunia akan binasa & tidak aman lansung!
AYAT 30- {DAN SESIAPA BERBUAT DEMIKIAN DENGAN MENCEROBOH DAN ANIAYA, MAKA KAMI AKAN MASUKKAN DIA KE DALAM API NERAKA, DAN BALASAN YANG SEDEMIKIAN ITU ADALAH MUDAH BAGI ALLAH, (TIDAK ADA SESIAPAPUN YANG DAPAT MENGHALANGNYA).} (AN-NISA’ 4:30)
- Sesiapa yang menceroboh dan buat aniaya- buat perbuatan yang Allah larang tadi seperti makan harta secara batil, bunuh orang tanpa hak, khianat atau tipu dalam perniagaan, langgar halal-haram, sedangkan dia tahu semua ini haram & Allah larang serta dia tidak bertaubat; maka Allah jatuhkan hukumannya!
- Balasan kepada mereka yang melanggar batasan hukum Allah ini ialah: {maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka}.
Wal ‘iyazu billah!
Yakni Allah memberi amaran keras pada sesiapa yang langgar undang-undang Allah dan mereka tidak bertaubat; iaitu akan dicampakkan ke dalam api neraka.
- Allah juga nyatakan amat mudah bagi Allah melaksanakan segala pembalasan kepada yang melakukan kemungkaran ini & tiada siapa yang dapat menghalangnya.
- Jalan terbuka dihadapan kamu, pilihlah jalan mana yang kamu nak. Kanan atau kiri, jalan yang membawa redha Allah atau kemurkaan Allah!
Yang Allah redha, syurga balasannya, yang Allah murka, neraka balasannya.
AYAT 31- {JIKA KAMU MENJAUHKAN DOSA-DOSA BESAR YANG DILARANG KAMU MELAKUKANNYA, KAMI AKAN AMPUNKAN KESALAHAN-KESALAHAN (DOSA KECIL) KAMU, DAN KAMI AKAN MASUKKAN KAMU KE TEMPAT YANG MULIA (SYURGA)} (AN-NISA’ 4:31)
- Allah bagi tawaran istimewa, satu bonus : sesiapa yang tinggalkan dosa besar- Allah akan ampun & hapuskan dosa-dosa kecilnya yang ada!
- Balasannya yang Allah janjikan kepada mereka ini ialah : Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).
Ya Allah jadikanlah kami orang yang layak ke syurga-Mu!
- Munasabah ayat:
i- Allah telah nyatakan amaran serta janji keras terhadap orang yang melakukan dosa besar.
Tetapi bagaimana kita nak tahu apakah dosa besar ini?
Ramai para ulama’ telah menulis kitab tentang apakah dosa besar ini!
Lihat kuliah syarah Kitab Al-Kabair, Dosa-dosa Besar : https://youtube.com/playlist…
ii- Kemudian dalam ayat ini dibawa pula balasan atau janji baik untuk orang yang menjauhkannya.
- Antara ciri-ciri dosa besar ialah:
i- Apabila Allah sebut balasan untuk perbuatan itu adalah neraka!
ii- Allah sebut akan dilaknat oleh Allah, dilaknat oleh Nabi SAW & malaikat.
iii- Perkara itu akan dimurkai Allah dan Nabi SAW maka ia adalah dosa besar!
iv- Rasulullah SAW menyebutnya sebagai perkara yang membinasakan (الْمُوبِقَاتِ).
- Antara dosa kecil adalah seperti:
i- Melihat kepada bukan mahram dengan nafsu. Kepada keluarga kita yang mahram lihatlah dengan kasih sayang.
ii- Mata, mulut & telinga- melihat, bercakap & mendengar perkara yang tidak baik.
Serta banyak lagi yang tidak dapat dielakkan jika kita tidak betul-betul menjaga diri!
- Kerana itu diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Telah ditulis ke atas anak adam itu nasibnya dari zina melalui pancainderanya, tidak boleh diubah; iaitu dua mata zinanya pada penglihatan, dua telinga zinanya pada pendengaran, lidah zinanya pada percakapan, dua tangan zinanya pada sentuhan, dua kaki zinanya pada langkah, hati yang berimaginasi dan bercita-cita, kemudian faraj (kelamin) pula akan membenarkan dan menidakkannya.” [HR Muslim]
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 29- {Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah..}-
Allah larang makan harta kamu & sesama kamu dengan batil tanpa hak.
Allah kata : {harta kamu- أَمْوَٰلَكُم}- sedangkan larangan jangan makan harta orang lain tanpa hak:
Ini supaya kita terasa tanggungjawab atas harta orang sebagaimana kita sayang & jaga harta kita!
Kita tak mahu orang ambil harta kita tanpa hak- maka jangan buat begitu!
Kita tak mahu orang tipu kita, maka jangan tipu orang.
Jika kita tak mahu orang khianat kepada kita, jangan khianat kepada orang!
Juga supaya kita tidak bakhil untuk keluarkan pula hak harta itu seperti zakat, nafkah, sedekah & infaq fi-sabilillah!
Ingat; nak syurga kita kena buang sifat bakhil!
- Ayat 29- {Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah}-
Larangan makan/ambil harta orang secara salah atau batil.
Makan harta secara batil ialah : makan harta secara semua jalan yang dilarang oleh Allah SWT seperti riba & rasuah walaupun mereka yang melakukannya saling redha!
Contoh zina, walaupun suka sama suka tetap haram!
Benda yang haram tetap haram! Tidak boleh dihalalkan dengan suka sama suka atau saling redha-meredhai!
Kenapa disebut makan harta, sedangkan larangan itu menyeluruh untuk ambil, guna dan lain-lain bukan makan saja?
Jawapan: Kerana kebiasaan harta ini banyak digunakan dalam kehidupan manusia untuk makan minum, lebih daripada untuk kegunaan lain. Dalam sehari saja sudah berapa kali kita makan.
- Ayat 29- {kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu,}-
Jalan halal untuk bertukar harta ialah dengan cara perniagaan yang saling suka & redha-meredhai.
Maka dari ayat ini kaedahnya:
Asal dalam jual-beli ialah wajib kena saling redha-meredhai bukan secara paksaan atau terpaksa.
Apa saja cara aqad yang menunjukan keredhaan di terima sama ada secara lisan atau perkataan, dengan perbuatan seperti tanda tangan perjanjian dan seumpamanya.
Antara hadis tentang perniagaan yang biasa didengar dari penceramah dan masyhur di kalangan masyarakat ketika menceritakan perihal rezeki: عَلَيْكُمْ بِالتِّجَارَةِ فَإِنَّ فِيْهَا تِسْعَةَ أَعْشَارِ الرِّزْقِ
Maksudnya: “Hendaklah kamu berniaga kerana padanya 9 daripada 10 rezeki.”تِسْعَةُ أَعْشَارِ الرِّزْقِ فِي التِّجَارَةِ Maksudnya: “9 daripada 10 rezeki berada pada perniagaan.”
Namun para ulama’ hadis mengatakan ia hadis dhaif, bukan datang daripada Rasulullah SAW dengan sanad yang sahih.
Dan memang tidak dinafikan dengan berniagalah seseorang itu akan lebih cepat kaya berbanding dengan pekerjaan lain.
- Ayat 29- {,dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri.}.-
Allah larang agar jangan kamu bunuh diri kamu sendiri!
Kenapa Allah larang bunuh diri sendiri sedangkan nyawa itu ialah nyawa kamu sendiri yang ada dalam badan kamu?
Jawapan:
Kerana Allah SWT sangat rahmat & kasihan belas kepada hamba-Nya.
Maka dilarangnya daripada membunuh diri sendiri atau orang lain.
Atau melakukan perbuatan menjurus kepada membinasakan diri seperti merokok dan seumpamanya.
Rokok adalah punca besar kebanyakan segala jenis penyakit, ini kajian perubatan yang membuktikannya!
Dosa besar ialah apabila Allah janjikan neraka, laknat & kemurkaan.
PERBINCANGAN :
Kenapa dalam ayat ini Allah kata: {janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah}-
Kemudian baru datang larangan ini: {dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri.}.
Kenapa datang larangan makan harta orang dulu baru datang larangan bunuh orang, sedangkan membunuh itu lebih dahsyat & bahaya?
Jawapan:
Ini kerana pembunuhan itu berlaku dengan sebab nak makan, puncanya datang dari harta- sanggup bunuh orang kerana nak rompak rampas hartanya.
Maka punca kerosakan itu datang dari nak makan, nak harta- maka ia disebut dulu daripada pembunuhan yang datang kerananya.
- Ayat 31- {Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya,}-
Ayat ini menunjukkan berbeza tingkat iman dalam diri manusia:
i- Ada orang yang jauhkan dirinya dari segala dosa besar atau kecil.
ii- Ada yang tak buat dosa besar tetapi dosa kecil jadi makanan hariannya!
iii- Bahkan ada orang tidak segan silu buat dosa besar- na’uzubillah.
Kata ulama’ : Sesiapa yang buat dosa orang itu dikira jahil; iaitu jahil tentang natijah akibat dari berbuat dosa itu!
Tidak kiralah dia alim dalam bidang ilmunya, dia maulana ke, ustaz atau pendakwah, orang awam atau biasa!
Kata ulama’ lagi : Jangan kamu kira dosa itu besar atau kecil, tetapi lihatlah kepada siapa yang kamu derhaka, kepada siapa kamu berdosa & langgar hukumnya itu!
- Ayat 31- {Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)}-
Kemudian Allah janjikan balasan yang amat besar bagi orang yang menjauhkan dirinya, menjaga diri dari dosa-dosa besar.
Iaitu Allah akan hapus & ampunkan dosa-dosa kecilnya dan masukkannya ke dalam syurga.
Ya Allah jadikan kami daripada orang yang menjaga diri daripada dosa-dosa besar & selamat daripada dosa-dosa kecil, orang yang Kamu ampunkan dan beri kaffarah serta layak ke syurga-Mu.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.