LELAKI MENJADI PENJAGA BAGI WANITA, HUKUMAN KE ATAS WANITA NUSYUZ & MELANTIK PENDAMAI BILA KHILAF.
Full video : https://youtu.be/g3sxmfpN2-I?si=hY632bD5cjf4A7RR
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 34 sehingga 35 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ kelima.
- Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang lelaki yang dipilih Allah untuk menjadi penjaga, pengawal & ketua bagi wanita. Iaitu sebagai ketua rumah tangga sama ada seorang bapa atau suami, yang bertanggungjawab menjaga kebajikan & kemaslahatan ahli keluarga.
- Sekiranya berlaku nusyuz iaitu isteri tak dengar kata, derhaka kepada suami dalam kebaikan atau tak mahu layan suaminya tanpa sebab; Allah nyatakan cara menanganinya serta dibawa hukum bagi nusyuz ini.
- Apabila berlaku perbalahan antara dua suami isteri, Allah ajar untuk melantik pendamai apabila khilaf. Pendamai yang dinamakan hakam ini ialah mereka yang mahukan kebaikan bagi keduanya, sama ada dari pihak suami atau isteri. Bukan menjadi batu api pula untuk memisahkan mereka, ini adalah agenda besar syaitan menceraikan antara suami isteri.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan agar jangan ada hasad dengki terhadap rezeki yang Allah kurniakan kepada orang lain.
Allah juga nyatakan bahawa setiap orang ada bahagiannya masing-masing.
Cuma kelebihan lelaki atas wanita dalam beberapa perkara, seperti dalam bab pusaka, jihad, dalam bab perkahwinan sebagai wali, menerima ijab qabul serta memegang kuasa talaq dan lain-lain.
Jadi ia menimbulkan tanda tanya & persoalan kenapa begitu?
ii- Maka jawapan untuk persolan tersebut dibawa dalam ayat ini sebabnya iaitu kerana lelaki lebih kuat daripada wanita & merekalah yang dipilih Allah untuk menjaga wanita, menjadi pemimpin & pemutus kepada wanita agar mereka sentiasa melakukan kebaikan & taat kepada Allah SWT, menghalang para isteri & wanita daripada melakukan perbuatan mungkar, keji & maksiat.
Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 34- {KAUM LELAKI ITU ADALAH PEMIMPIN DAN PENGAWAL YANG BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KAUM PEREMPUAN, OLEH KERANA ALLAH TELAH MELEBIHKAN ORANG-ORANG LELAKI (DENGAN BEBERAPA KEISTIMEWAAN) ATAS ORANG-ORANG PEREMPUAN, DAN JUGA KERANA ORANG-ORANG LELAKI TELAH MEMBELANJAKAN (MEMBERI NAFKAH) SEBAHAGIAN DARI HARTA MEREKA. MAKA PEREMPUAN-PEREMPUAN YANG SOLEH ITU IALAH YANG TAAT (KEPADA ALLAH DAN SUAMINYA), DAN YANG MEMELIHARA (KEHORMATAN DIRINYA DAN APA JUA YANG WAJIB DIPELIHARA) KETIKA SUAMI TIDAK HADIR BERSAMA, DENGAN PEMULIHARAAN ALLAH DAN PERTOLONGANNYA.} (AN-NISA’ 4:34)
- Kaum lelaki adalah pemimpin atau pengawal yang bertanggungjawab atas kaum perempuan.
Mereka adalah ketua bagi keluarga sama ada seorang bapa, suami atau adik beradik lelaki.
- Allah SWT bawa arahan lalu dinyatakan sebab-sebab yang melayakkan seorang lelaki itu menjadi ketua kerana:
i- Allah melebihkan lelaki dengan beberapa kelebihan & keistimewaan atas seseorang perempuan. Seperti kekuatan fizikal di mana lelaki lebih lasak daripada wanita dan lain-lain.
ii- Kerana lelaki telah membelanjakan hartanya untuk wanita bermula dari awal lagi iaitu dengan wajib membayar mahar kepada isteri apabila mahu kahwin.
Kemudian wajib pula memberi nafkah makan minum pakaian & tempat tinggal untuk anak isterinya ikut kemampuan.
- Allah juga nyatakan sifat wanita yang solehah itu ialah:
i- Yang taat kepada Allah dalam ibadat & agamanya.
ii- Dan taat kepada suaminya dalam perkara yang maaruf.
iii- Dan yang memelihara kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara seperti maruah pergaulan & penampilan sama ada ketika suami ada bersama atau tidak hadir bersamanya.
Yakni ketika suami tiada dia pandai jaga dirinya sendiri.
Maka apabila mereka jaga diri mereka, Allah akan jaga & pelihara dirinya juga dan dengan pertolongan Allah mereka dapat lakukan semua itu.
AYAT 34- { DAN PEREMPUAN-PEREMPUAN YANG KAMU BIMBANG MELAKUKAN PERBUATAN DERHAKA (NUSYUZ) HENDAKLAH KAMU MENASIHATI MEREKA, DAN (JIKA MEREKA BERDEGIL) PULAUKANLAH MEREKA DI TEMPAT TIDUR, DAN (KALAU JUGA MEREKA MASIH DEGIL) PUKULAH MEREKA (DENGAN PUKULAN RINGAN YANG BERTUJUAN MENGAJARNYA). KEMUDIAN JIKA MEREKA TAAT KEPADA KAMU, MAKA JANGANLAH KAMU MENCARI-CARI JALAN UNTUK MENYUSAHKAN MEREKA. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA TINGGI, LAGI MAHA BESAR.} (AN-NISA’ 4:34)
- Kemudian apabila terdapat tanda-tanda yang perempuan itu akan melakukan perbuatan derhaka kepada suami (nusyuz), suruh tak dengar, larang tak buat juga serta melakukan perbuatan yang bertentangan dengan hukum agama.
- Dalam kes ini seorang suami itu mestilah:
i- Menasihati mereka dengan baik, ingatkan mereka kepada Allah & janji-Nya, ingatkan mereka akan ikatan perkahwinan antara mereka yang telah dibuat kerana Allah.
Jika suami tidak dapat menasihati. carilah ustazah atau orang yang dia hormat & dengar untuk menasihatinya.
ii- Langkah kedua: Jika mereka berdegil, nasihat tak dengar bahkan melawan & menjawab pula; maka pulaukanlah mereka di tempat tidur.
Iaitu tinggalkan mereka, jangan tidur bersama mereka, jangan sentuh dan usik lansung sepanjang tempoh nasihat itu.
Dalam langkah kedua ini suami kena banyak bersabar & kuat semangat.
iii- Dan kalau juga mereka masih degil pukullah mereka dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya.
Pukulan di sini wajib berbentuk pukulan yang ringan (dharban khafifan), iaitu pukulan yang tidak menimbulkan bekas (dharban ghaira mubarrih).
Ini sebagaimana penafsiran Rasulullah SAW terhadap ayat tersebut ketika Baginda berkhutbah pada Haji Wada’.
Hadis riwayat Jabir RA tentang wasiat Nabi SAW tentang wanita dalam khutbah Arafah, Rasulullah SAW bersabda: “Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina,”. [HR Bukhari].
Rasulullah SAW bersabda: “Jika mereka (isteri-isteri) melakukan perbuatan itu (nusyuz), maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak menimbulkan bekas (dharban ghaira mubarrih).” [HR Muslim, dari Jabir bin Abdullah RA].
INGAT! Walaupun Islam membolehkan suami memukul isterinya. Islam menetapkan pukulan itu bukan pukulan yang keras, melainkan pukulan yang ringan.
- Sekiranya seorang isteri itu telah baik & insaf janganlah pula kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka.
Isteri baik, suami pula naik tocang salah guna kuasa & kedudukan ke atas isteri.
- Maka Allah mengingatkan bahawa sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar; maka jangan kamu para suami berasa diri kamu besar & tinggi kedudukan sehingga menyalahgunakan kuasanya dengan menyakiti & menyusahkan seorang isteri yang baik tanpa hak & kebenaran.
- Tetapi jika persengketaan antara suami isteri tidak dapat diselesaikan sesama mereka sendiri lagi- segala langkah yang diajar dalam ayat ini telah diambil tetapi masih tidak dapat dibaiki; maka dalam ayat seterusnya Allah ajar lagi caranya!
AYAT 35- {DAN JIKA KAMU BIMBANGKAN PERPECAHAN DI ANTARA MEREKA BERDUA (SUAMI ISTERI) MAKA LANTIKLAH “ORANG TENGAH” (UNTUK MENDAMAIKAN MEREKA, IAITU), SEORANG DARI KELUARGA LELAKI DAN SEORANG DARI KELUARGA PEREMPUAN. JIKA KEDUA-DUA “ORANG TENGAH” ITU (DENGAN IKHLAS) BERTUJUAN HENDAK MENDAMAIKAN, NESCAYA ALLAH AKAN MENJADIKAN KEDUA (SUAMI ISTERI ITU) BERPAKAT BAIK. SESUNGGUHNYA ALLAH SENTIASA MENGETAHUI, LAGI AMAT MENDALAM PENGETAHUANNYA.} (AN-NISA’ 4:35)
- Untuk mengelakkan perpisahan antara suami isteri- Allah suruh lantik seorang hakam iaitu penasihat daripada kedua belah pihak suami & isteri. Iaitu orang lain, orang tengah untuk mendamaikan, bukan ibu bapa atau orang yang dekat dengan mereka, dikhuatiri akan bias (berat sebela) pula.
- Hakam itu pula mestilah orang yang mahukan kebaikan & perdamaian antara mereka berdua, yang tidak mahu mereka terus bersengketa lalu akhirnya berpisah & bercerai.
Bukan sebaliknya! Iaitu batu api yang memang mahukan mereka berpisah & bercerai!
- Yakni jika mereka betul-betul mahu berdamai dan hakam itu pula seorang yang mahukan kebaikan untuk mereka berdua, insya’ Allah, Allah akan beri jalan menjadikan kedua suami isteri itu berpakat & kembali baik.
- Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuan-Nya- yakni jika kesemua pihak. Suami isteri, para hakam itu ikhlas mahukan kebaikan; maka pastilah Allah yang dapat menolong mereka untuk kembali ke pangkal jalan & berbaik semula!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 34- {Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan,}-
Allah nyatakan bahawa kaum lelaki itu adalah pemimpin, pengawal, wali & ketua keluarga yang bertanggung-jawab terhadapa kaum perempuan.
Ayat ini menjawab persoalan kenapa lelaki mendapat hak yang lebih seperti dalam harta pusaka (2 bahagian daripada lelaki), kenapa ditangan suami hak nikan & kahwin, kenapa lelaki yang jadi wali bukan ibu?
Kenapa lelaki punya keistimewaan dan banyak kelebihan dalam Islam?
Maka Allah nyatakan dalam ayat al-Quran ini kelebihan lelaki ke atas perempuan yang Allah telah tetapkan sebagai hak semulajadi dan mutlak dari Allah.
Ketetapan yang penuh hikmah dari Allah dan tidak patut dipertikaikan lagi, kita kena percaya & yajin.
- Ayat 34- {dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.}-
Di sini dinyatakan bahawa kelebihan yang ada pada lelaki adalah kerana mereka yang akan memberi nafkah, memberi belanja dari bahagian harta mereka kepada kaum perempuan yang di bawah tanggungjawab mereka.
Lelaki wajib ada harta bermula dari nak kahwin, wajib beri mahar kemudian nafkah hidup untuk orang yang di bawah tanggungjawabnya seperti memberi tempat tinggal/rumah, makan minum, pakaian, belanja perubatan, pendidikan dan sebagainya yang patut.
Maka pastilah orang yang memberi iaitu tangan di atas mempunyai kelebihan yang lebih banyak & tinggi daripada tangan di bawah iaitu penerima.
Kerana itu jangan kita menghina & merendahkan diri kita dengan meminta-minta kepada orang.
Terutamanya pemberian yang dapat diungkit kembali!
- Ayat 34- {Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya}-
Perempuan yang solehah ialah mereka yang taat kepada Allah & suaminya.
Mereka jaga hak Allah, hak suami serta menjaga kehormatan diri seperti maruah & harta suami.
Allah akan menjaga hak wanita tersebut.
Allah suruh wanita itu jaga diri mereka dengan jaga hak Allah dengan tutup aurat, jaga ibadat & solat, jaga hak suami jangan derhaka; maka Allah akan jaga hak mereka!
Dengan menjaga hak Allah, Allah akan memimpin, Allah akan jaga diri kamu & beri pertolongan-Nya.
Hadis daripada Saidina Ibnu Abbas RA, beliau berkata: Aku pernah membonceng di belakang Nabi SAW pada suatu hari. Baginda bersabda:
يَا غُلَامُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّه
Maksudnya: “Wahai anak, aku akan mengajar kamu beberapa kalimah: Jagalah hak Allah, nescaya Allah akan menjaga kamu. Jagalah hak Allah, nescaya kamu mendapati Allah bersama kamu. Jika kamu ingin meminta, mintalah daripada Allah. Jika kamu mahukan pertolongan, maka mohonlah pertolongan daripada Allah.” [HR at-Tirmizi, no. 2516, Hasan Sahih]
- Ayat 34- {Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).}-
Dalam ayat ini Allah bawa hukuman bagi wanita yang nusyuz atau derhaka kepada suami sebagaimana dalam ajaran Islam.
Tiga langkah yang Allah bawa untuk suami lakukan apabila isteri tak dengar kata, iaitu:
i- Nasihat secara baik & mesra, ambil hatinya dulu kemudian berilah nasihat dengan sabar & baik.
ii- Jika tak dengar lagi, pisahkan tempat tidur daripada mereka.
iii- Kemudian jika tak berjaya juga ambillah tindakan dengan memukul mereka. Pukulan ini hanyalah untuk mengajar- bukan yang mencederakan dan meninggalkan bekas terutamanya di wajah!
Kerana itu ada kaedah dalam Islam:
Allah SWT sekat sesuatu perkara dengan kuasa lebih kuat daripada kuasa al-Quran.
Ini kerana apabila ada kuasa kita boleh tutup & sekat maksiat, seperti judi, rasuah & riba yang al-Quran haramkan tetapi manusia masih tak takut & tak dengar.
Kerana al-Quran itu datang dalam hati, manakala hukuman dari kuasa; sesuatu yang nampak secara zahir dan boleh menyekat dengan ketakutan terhadapnya.
Maka jika pemerintah yang berkuasa menjalankannya- mereka dapat menutup pusat-pusat judi, tangkap mereka yang melakukan riba & rasuah, judi secara haram dan seumpamanya.
Kemudian di akhir Ayat 34- {Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.}-
Allah mengingatkan bahawa Allah Maha Tinggi lagi berkuasa.
Yakni wahai para suami jangan meninggi diri, jangan kamu salah guna kuasa yang Allah berikan untuk menghukum para isteri tanpa hak dan dengan zalim.
Maksudnyanya:
i- Allah peringatkan para suami, Aku benarkan kamu pukul isteri untuk mendidik.
ii- Apabila mereka dengar & taat jangan zalimi mereka.
iii- Allah SWT Maha tinggi lagi Maha besar tetapi Dia tidak menyusahkan hamba-Nya, maka kamu buat setakat mampu.
iv- Walaupun Allah bersifat Maha Tinggi & Maha kuasa, tetapi apabila hamba-Nya bertaubat Allah terima taubat itu. Alhamdulillah.
v- Kita hanya ambil tindakan berdasar apa yang zahir, melalui tanda-tanda yang dapat dilihat. Yang selebihnya, yang batin kita serahkan kepada Allah SWT.
- Ayat 35- {Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan,}-
Jika ada tanda-tanda pertelingkahan atau bibit perpecahan maka segeralah cuba ikhtiar untuk baiki dan pulihkannya!
Carilah orang tengah atau pendamai yang adil, jujur dan bertujuan untuk mendamaikan.
Ini pentingnya kita pilih orang yang jujur & ikhlas untuk menjadi hakam si pendamai, bukan orang yang ada dalam hatinya hasad dan memang mahu memisahkan pasangan suami isteri itu!
Jika hari ini ada kaunselor khas untuk perkahwinan atau cari ustaz/ustazah yang disegani & dapat dipecayai!
Tetapi ingat! Jangan sesekali si isteri mengadu kepada lelaki ajnabi lain begitu juga di sebaliknya si suami.
Untuk mengelakkan fitnah & terjerumus kepada maksiat lain pula; orang tengah yang menjadi tempat minta nasihat & curahan perasaan itu mestilah sama-sama jantina.
Jangan salah cari jalan keluar yang boleh membawa kepada jalan sesat, yang makin jauh daripada kebenaran.
Di akhir ayat Allah kata Dia maha Mengetahui apa niat kamu, serta Allah tahu jalan penyelesaian seperti dalam hukum nusyuz inilah letak tiga langkah untuk menasihati isteri.
Maka jika kesemua pihak ikhlas, ada niat & tujuan yang baik serta mahukan perdamaian insya’ Allah, Allah akan tolong mereka & buka jalan yang sesuai untuk perdamaian!
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.