View Categories

Surah An-Nisa’ : Ayat 36

13 PERKARA AKHLAK DAN ADAB, TUNAIKAN HAK ALLAH DAN KAUM KERABAT & LARANGAN SIKAP SOMBONG.

Full video : https://youtu.be/fG1upNGuwC0?si=zRXEe0GnqzRQaKRV

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 36 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ kelima.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang 13 perkara arahan & larangan tentang akhlak dan adab, iaitu adab kita dengan Allah, tunaikan hak Allah dan adab dengan kaum kerabat.
  1. Kaum kerabat adalah sebagai orang yang wajib kita ihsan kepada mereka seperti orang yang paling berhak kita berihsan kepada mereka iaitu ibu bapa. 
    Kemudian kaum keluarga kerabat terdekat, anak yatim, jiran-jiran dan lain-lain. 
  1. Kemudian Allah bawa dua larangan bersikap sombong sama ada dengan perbuatan atau berbangga dengan perkataan.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas, bermula dari awal surah sehingga kepada ayat ini; adalah tentang menyusun hubungan kekeluargaan.
    Iaitu seperti menjaga anak yatim & hartanya dengan amanah, interaksi antara suami & isteri, dengan kawalan dari Allah kena ihsan kepada isteri & beri nafkah kepada keluarga.

    ii- Maka datang ayat ini perintah untuk berbuat baik kepada kaum kerabat, keluarga tedekat iaitu ibu bapa dan mereka yang dekat kepada kita seperti jiran 
    Ini kerana kita berjalan atas agama ini dengan berpaksi kepada akhlak yang mulia. 
    Bahkan Rasulullah SAW telah menyatakan bahawa Baginda diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia.
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 36- {DAN HENDAKLAH KAMU BERIBADAT KEPADA ALLAH DAN JANGANLAH KAMU SEKUTUKAN DIA DENGAN SESUATU APA JUA; DAN HENDAKLAH KAMU BERBUAT BAIK KEPADA KEDUA IBU BAPA, DAN KAUM KERABAT, DAN ANAK-ANAK YATIM, DAN ORANG-ORANG MISKIN, DAN JIRAN TETANGGA YANG DEKAT, DAN JIRAN TETANGGA YANG JAUH, DAN RAKAN SEJAWAT, DAN ORANG MUSAFIR YANG TERLANTAR, DAN JUGA HAMBA YANG KAMU MILIKI. SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK SUKA KEPADA ORANG-ORANG YANG SOMBONG TAKBUR DAN MEMBANGGA-BANGGAKAN DIRI;} (AN-NISA’ 4:36)

  1. Sebagaimana kita sebut tadi ada 13 isu yang akan kita lihat dalam ayat ini. 
    Pertama sekali Allah bawa hak-Nya iaitu:
    i- Perintah untuk taat beribadat kepada Allah {وَٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ}, menghinakan diri kamu dengan sembah Allah, tunduk, akur kepada perintah & larangan Allah serta ikhlaskan ibadat semata-mata kerana Allah & jangan sekutukan Allah dengan apa saja.

    ii- Juga larangan agar jangan syirik kepada Allah SWT { وَلَا تُشْرِكُوا۟ بِهِۦ}, inilah ajaran yang seimbang & adil. 
    Dibawa perintah dan larangan agar manusia tidak kecundang dan salah langkah dalam mencari keredhaan Allah SWT. 

    Hak Allah dan Hak Makhluk :
    Hadis dari Muaz bin Jabal RA bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya: 
    عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ ، قَالَ : قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” يَا مُعَاذُ أَتَدْرِي مَا حَقُّ اللَّهِ عَلَى الْعِبَادِ ؟ ، قَالَ : اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ ، قَالَ : أَنْ يَعْبُدُوهُ وَلَا يُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا.
    Daripada Muaz bin Jabal RA, beliau berkata: Nabi SAW bersabda: Wahai Muaz, adakah engkau tahu apakah hak Allah ke atas hamba-hambaNya? Muaz menjawab: Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui. Baginda pun berkata: Iaitu mereka hendaklah menyembahNya dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu apa pun. أَتَدْرِي مَا حَقُّهُمْ عَلَيْهِ؟ ، قَالَ : اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ ، قَالَ : أَنْ لَا يُعَذِّبَهُمْ Baginda bertanya lagi: Adakah engkau tahu apakah hak hamba-hamba kepada Allah? Muaz menjawab: Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui. Baginda pun menerangkan: Iaitu untuk tidak mengazab mereka. [Sahih al-Bukhari, Kitab at-Tauhid, hadis no: 7373]
  1. Kemudian Allah perintahkan untuk kita tunaikan pula hak manusia dengan dimulai perintah untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa {وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًۭ}. 
    Layan & bergaullah dengan mereka secara baik & hormat, gunakanlah perkataan yang mulia secara lembut & baik. 
  1. Taatilah mereka selagi tidak menyalahi perintah Allah. 
    Banyak amal kebaikan yang boleh kita buat kepada ibu bapa semasa mereka hidup ini. Juga selepas mereka meninggal seorang anak itu masih boleh berkhidmat kepada kedua ibu bapanya dengan berdoa & bersedekah untuk mereka.
  1. Perintah keempat ialah untuk berbuat baik kepada kaum kerabat {وَبِذِى ٱلْقُرْبَىٰ}
    seperti ibu bapa saudara sebelah bapa & ibu, anak-anak mereka iaitu sepupu dan seterusnya.
  1. Perintah kelima ialah untuk berbuat baik kepada anak yatim {وَٱلْيَتَـٰمَىٰ}, mereka yang kematian bapa sedangkan mereka belum baligh. 
    Mereka ini mungkin dari keluarga sendiri seperti anak saudara atau anak yatim orang lain.
  1. Perintah keenam ialah untuk berbuat baik kepada orang miskin {وَٱلْمَسَـٰكِينِ}. 
    Orang miskin ialah mereka berhajat tetapi tidak mampu nak penuhinya. 
    Iaitu yang ada duit atau gaji tetapi ianya tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan & belanja hidup mereka. 
    Orang faqir lebih teruk & dahsyat daripada orang miskin, keperluan mereka amat mendesak- ini lagi wajib kita tolong. 
  1. Perintah ketujuh ialah untuk berbuat baik kepada jiran tetangga yang dekat {وَٱلْجَارِ ذِى ٱلْقُرْبَىٰ}. 
    Sama ada dekat sebelah rumah betul (dengan tempat) atau dekat dengan keturunan atau agama. 
    Hatta jiran yang kafir juga ada hak yang mesti kita jaga seperti jangan buat bising yang boleh mengangunya, halang laluannya dan yang seumpamanya.
  1. Perintah kelapan ialah untuk berbuat baik kepada jiran tetangga yang jauh {وَٱلْجَارِ ٱلْجُنُبِ}. Iaitu jiran yang bukan kaum kerabat, tetapi berdekatan rumahnya dengan kita, berjiran.

    Persoalan siapakah jiran kita? 
    Ada ulama’ kata : Mereka yang sekitar 40 buah rumah daripada sekeliling rumah kita.
  1. Perintah kesembilan ialah untuk berbuat baik kepada orang yang dekat dengan kita {وَٱلصَّاحِبِ بِٱلْجَنۢبِ}
    seperti teman sejawat atau teman yang bersama dalam musafir (haji atau umrah).
    Ada ulama’ kata : Teman dekat ini maksudnya ialah pasangan suami atau isteri.
  1. Perintah kesepuluh ialah untuk berbuat baik kepada pengembara yang terputus bekalan atau belanjanya di tengah jalan {وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ}. 
    Kita boleh beri apa saja bantuan yang dapat menolongnya untuk sampai ke dsetinasi yang dituju.
  1. Perintah kesebelas ialah untuk berbuat baik kepada hamba yang kamu miliki {وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ}. 
    Dalam konteks hari ini ialah bibik (pembantu) di dalam rumah kamu atau pekerja yang di bawah jagaan kamu.
    Seperti beri makan minum yang cukup untuknya, gaji atau upah yang sepadan dengan kerja & tugasnya.

    Hadis- Riwayat Abu Zar RA, Rasulullah SAW bersabda kepadanya:
    إِخْوَانُكُمْ خَوَلُكُمْ، جَعَلَهُمُ اللهُ تَحْتَ أَيْدِيكُمْ، فَمَنْ كَانَ أَخُوهُ تَحْتَ يَدِهِ فَـلْيُطْعِمْهُ مِمَّا يَأْكُلُ، وَلْيُلْبِسْهُ مِمَّا يَلْبَسُ، وَلاَ تُكَلِّفُوهُمْ مَا يَغْلِبُهُمْ، فَإِنْ كَلَّفْتُمُوهُمْ فَأَعِينُوهُمْ.
    Maksudnya: “Hamba-hamba kamu merupakan saudara-saudara kamu, dan Allah SWT telah meletakkan mereka di bawah tanggungan kamu. Maka barangsiapa yang mempunyai seorang hamba di bawah tanggungannya, hendaklah dia memberinya makan sama dengan apa yang dia makan, dan memberinya pakaian yang sama dengan pakaiannya. Jangan bebankan mereka dengan tugas yang tidak mampu mereka laksanakan, dan jika kamu bebankan juga hendaklah kamu menolong mereka.” [HR al-Bukhari (31) dan Muslim (1661)].
    Jangan beri sisa-sisa makanan baki dari yang kita tak habis.
  1. Perintah yang kedua belas ialah larangan agar jangan sombong, angkuh & takabbur.
    Buat baik kepada orang kemudian mengungkit & menyakiti orang yang diberi bantuan. 
    Allah larang & tidak suka manusia yang sombong sedemikian dengan perbuatan {مُخْتَالًۭا} atau perkataannya {فَخُورًا}- suka mengangkat diri dan menonjolkan kerjanya.
  1. Serta manusia yang bangga dengan dirinya sendiri, memuji & mengangkat dirinya sendiri serta merendahkan orang lain!
  1. Dalil daripada hadis-

    i- Siapa sombong di dunia Allah tidak akan lihat kepadanya di Akhirat:
    عَنِ ابْنِ عُمَرَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ” لاَ يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَى مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلاَءَ.
    Daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: Allah tidak akan melihat kepada sesiapa yang melabuhkan pakaiannya dengan sombong. [Sahih Bukhari & Muslim].

    ii- Rasulullah SAW bersabda: “Seorang lelaki daripada umat terdahulu keluar dengan pakaian yang cantik, dia berjalan dengan sombong. lalu Allah memerintahkan kepada bumi untuk memegangnya, lalu ia menelannya hingga hari kiamat.” [HR at-Tirmizi]

    iii- لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ
    Maksudnya: Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong. [HR Muslim (51)].
  1. Tetapi bukanlah satu kesombongan bagi orang yang suka menjaga penampilan dan suka berhias dengan elok & cantik. 
    Ini kerana itu semua berbalik kepada hati.

    Hadis- 
    i- Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud RA dari Nabi SAW Baginda bersabda,
    لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ.
    “Tidak akan masuk surga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.” Ada seseorang yang bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan sandal yang bagus?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.“ (HR Muslim no. 91)

    ii- Sabda Rasulullah SAW: “Makanlah serta minumlah, dan bersedekahlah, dan juga pakailah (pakaian yang baik-baik serta berhiaslah), asalkan jangan untuk bermegah-megah dan menyombong, dan jangan pula melampau, kerana Allah SWT suka melihat kesan nikmat-Nya ke atas hamba-Nya.” (HR Ibnu Majah)

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 36- {Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua..}-

    Wajib sembah Allah semata-mata & haram syirik menyekutukan Allah dengan apa saja.
    Tidak cukup syarat & tidak murni tauhid jika sembah Allah tetapi masih tidak tinggalkan amalan syirik seperti minta kepada kubur, tukang sihir, bomoh-bomoh, minta dengan kubur-kubur dan seumpamanya.

    Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT:
    {Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”.} (Al-Nahl 16:36)
    Wajib sembah Allah serta dalam masa yang sama tinggalkan segala syirik kepada Allah- baru sempurna & lengkap iman!
  1. Ayat 36- {dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa,}-

    Allah perintahkan untuk kita sendiri berbuat baik kepada ibu bapa,
    Wajib kita ihsan iaitu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, anak itu sendiri yang berkhidmat, buat baik kepada ibu bapa sama ada semasa mereka masih hidup atau telah mati.
    Jelas Allah kata { وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ} kamu sendiri yang buat baik kepada mereka, bukan buat baik kepada ibu bapa saja. Yakni bukan asal buat baik saja tak kira sapa buat seperti suruh atau upah orang lain untuk jaga, buat baik, berdoa dan buat kebajikan untuk mereka! 
    Apa saja kamu buat ingatilah ibu bapa kamu, dalam setiap doa dan perbuatan baik kamu!

    Pepatah Arab : Seorang lelaki itu tetap anggap dianggap masih kanak-kanak selagi ibunya masih ada!
  1. Ayat 36- {dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin,}-

    Wajib juga buat baik kepada anak yatim & orang miskin.
    Anak yatim ialah mereka yang tiada bapa, tiada orang yang dapat memberi perlindungan, kasih sayang & menanggung nafkah mereka.
    Apatah lagi jika anak yatim itu adalah mereka yang miskin; maka makin perlu untuk kita jaga & tolong mereka. 
    Tanggungjawab menjaga anak yatim ini jatuh ke atas kaum kerabatnya yang terdekat seperti datuk atau bapa saudara sebelah bapa.
    Maka jangan sesekali kamu ambil kesempatan atas anak yatim ini, seperti menindas mereka, memakan harta mereka tanpa hak, guna anak yatim untuk cari rezeki yang tidak halal dengan diperdagangkan & ditunggang untuk cari harta percuma! Ini adalah rezeki haram & amat buruk perbuatannya.
  1. Ayat 36- {dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki.}-

    Allah senaraikan beberapa golongan yang mesti kita buat baik ihsan kepada mereka!
    Orang yang baik ialah mereka yang ihsan, suka berbuat baik kepada semua orang yang memerlukan. 
    Jika tidak mampu dengan duit atau harta, buatlah baik dengan perbuatan.
    Semua orang dapat merasakan kebaikan darinya!
  1. Ayat 36- {.Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;}–

    Allah tidak suka kepada orang yang mempunyai dua sifat yang buruk ini; sombong dengan perkataan & perbuatan.
    Ada orang yang sombong dengan perbuatannya {مُخْتَالًۭا}, nampak dan dapat dilihat dengan jelas keangkuhannya melalui kelakuannya.
    Ada orang yang sombong dengan perkataannya {فَخُورًا}- yang sinis dan menyakiti orang lain, suka perli & jatuhkan orang, merendah menghina orang dengan merasakan dirinya hebat & sempurna.
    Kita nak kenal orang- masuk dalam grup; lihat apa yang dia share & kata kepada orang. Sekarang ada juga suka troll orang lain.
    Dua sifat ini adalah sifat yang buruk, sifat tidak baik dan akan mencelakakan pemiliknya di Akhirat kelak!
    Ya Allah jauhkan kami semua daripada semua sifat yang buruk yang membawa kepada kemurkaan Allah SWT!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs