Surah An-Nisa’ : Ayat 43

LARANGAN SOLAT KETIKA MABUK, DUDUK DALAM MASJID KETIKA BERJUNUB & HUKUM TAYAMMUM.

Full video : https://youtu.be/csUDajqwJLc?si=JpJ9JD_7AKjN1aXv

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 43 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ kelima.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang larangan solat ketika mabuk, iaitu pada peringkat awal Islam di mana pengharaman arak berlaku selama 3 peringkat.
    Ini adalah peringkat kedua, sehinggalah turun ayat haram terus.
    Sekarang solat atau tidak solat, arak tetap haram.
  1. Tentang larangan duduk dalam masjid ketika berjunub, sama ada untuk beriktikaf atau sebagainya. 
    Jika dia hanya lalu melintas saja tidak mengapa. 
  1. Juga hukum tayammum iaitu ketika tiada air atau ada sebab-sebab yang membolehkannya untuk bertayammum.
  1. a) Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT perintahkan kita untuk sembah Allah, jangan syirik, berbuat baik kepada dua ibu bapa, kaum kerabat, bersifat dengan akhlak mulia & jauhkan akhlak buruk, juga tentang penyesalan orang kafir pada hari Kiamat yang tidak berguna lagi.

    ii- Kemudian dalam ayat ini dinyatakan bahawa sesiapa yang solat dalam keadaan mabuk tidak diterima, kerana nak solat kita kena khusyuk hati dan tahu apa yang dibca dan seumpamanya. 
    Allah nak murnikan solat itu daripada bercampur gaul dengan benda lain!

    b) Munasabah kedua:
    i- Allah sebut kita akan bertemu dengan Allah di Akhirat kelak di mana orang yang selamat ialah mereka yang bersih jiwanya, hatinya & anggotanya beriman kepada Allah SWT & taat kepada Allah & Rasulullah SAW. 

    ii- Maka sebelum berdiri di hadapan Allah di Akhirat kelak, Allah nak tengok bagaimana kamu berdiri menghadapnya di dunia ini, iaitu dalam keadaan suci, bersih, tenang jiwa, lapang dada, sedar & waras akal.

    c) Munasabah ketiga:
    i- Dalam ayat-ayat yang lepas Allah sebut arahan beirbadat, meninggalkan syirik & berbuat baik kepada kedua ibu bapa.

    ii- Munasabahlah bila nak buat benda baik perkara pertama yang kita kena jaga ialah solat dan sabar. Solat ialah tiang agama yang memisahkan antara orang Islam & kafir. 
  1. Dalam perundangan Islam hukumnya ada yang dibatalkan (mansukh – منسوخ) dan ada hukum baru yang menjadi pembatalnya (nasikh – ناسخ)
    i- Hukum jangan solat ketika mabuk ini telah dibatalkan hukumnya.

    ii- Pembatalnya ialah ayat ini yang menjadi kata putus bahawa arak itu haram:
    {Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.} [Al-Maidah: 5:90].
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta jauh dari segala maksiat & kemungkaran. 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 43- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, JANGANLAH KAMU HAMPIRI SEMBAHYANG (MENGERJAKANNYA) SEDANG KAMU DALAM KEADAAN MABUK, HINGGA KAMU SEDAR DAN MENGETAHUI AKAN APA YANG KAMU KATAKAN.} (AN-NISA’ 4:43)

  1. Allah SWT melarang daripada melakukan solat ketika seseorang itu dalam keadaan mabuk (akibat minum arak) sehinggalah dia sedar dan tahu apa yang dia buat & baca.
    Ini adalah pada peringkat awal Islam di mana arak belum diharakan sepenuhnya. 
    Ia dilakukan secara 3 peringkat! 
  1. Kronologi sejarah pengharaman arak:
    i- Peringkat pertama pengharaman arak dilakukan melalui penjelasan tentang kebaikan dan keburukan arak sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud: 
    {“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: Dermakanlah (apa-apa) yang berlebih daripada keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir.”} [Al-Baqarah: 219].

    Ayat berkenaan memberikan kesedaran dan keinsafan kepada golongan yang beriman agar menjauhi arak dan judi.
    Apabila Sayyidina Umar al-Khattab RA mendengar ayat ini beliau berdoa kepada Allah agar menurunkan hukum yang lebih jelas tentang arak. Lalu Allah SWT menurunkan ayat kedua ini.

    ii- Peringkat kedua pengharaman arak adalah ditegah pengambilannya ketika hampir waktu solat sebagaimana firman Allah SWT bermaksud:
    {“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) kecuali kamu hendak melintas sahaja, hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah, debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.”}

    Perintah tegahan minum arak dalam ayat itu diturunkan sewaktu peristiwa seorang sahabat menunaikan solat dalam keadaan mabuk dan melakukan kesilapan ketika membaca ayat suci al-Quran.

    Sayyidina Umar al-Khattab RA apabila mendengar ayat ini sekali lagi beliau berdoa kepada Allah agar menurunkan hukum & kata pemutus yang jelas tentang arak. Lalu Allah SWT menurunkan ayat kedua ini.

    iii- Peringkat ketiga adalah pengharaman arak yang dilakukan secara mutlak.
    Firman Allah SWT yang bermaksud:
    {“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”}

    Apabila turun ayat ini para sahabat semuanya berjanji untuk berhenti dan terus balik ke rumah masing-masing membuang arak yang ada dalam simpanan mereka, sehingga dikatakan bandar Madinah ketika itu basah dengan aliran arak yang dicurahkan oleh para muslimin. [HR Abu Daud].
  1. Sebab nuzul ayat ini: 
    Diriwayatkan bahawa Ali bin abu Talib RA berkata: ‘”Pada suatu hari Abdurrahman bin Auf RA membuat makanan untuk kami. Lalu dia menjemput kami untuk makan dan menyediakan khamar (arak) sebagai minumannya. Lalu aku meminum khamar itu. Kemudian apabila tiba waktu solat dan orang-orang menyuruhku untuk menjadi imam. Lalu aku membaca ayat, (al-Kaafiruun: 1-2) dengan terbalik: {..dan kami menyembah apa yang kamu sembah.}. Lalu Allah menurunkan firman-Nya: {“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan,…’}. [HR Abu Daud & at-Tirmizi].
    Ayat ini dimansukhkan hukumnya dengan ayat 90 dari Surah Al-Maidah, tetapi bacaannya tetapi dikekalkan.

    Berbeza dengan ayat rejam untuk penzina : Hukum kekal tetapi bacaannya dimansukhkan.
  1. Maka Allah SWT turunkan ayat ini sebagai pemutus kepada pengharaman arak:
    يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
    {“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”} [Al-Maidah: 90].

AYAT 43- DAN JANGANLAH PULA (HAMPIRI MASJID) SEDANG KAMU DALAM KEADAAN JUNUB (BERHADAS BESAR) – KECUALI KAMU HENDAK MELINTAS SAHAJA – HINGGA KAMU MANDI BERSUCI.} (AN-NISA’ 4:43)

  1. Hukum kedua : Kemudian Allah nyatakan bagi sesiapa yang berjunub dia tidak boleh lagi duduk-duduk dalam masjid.
  1. Kecuali untuk melintas masuk jika ada keperluan seperti:
    i- Nak ambil barang yang tertinggal 

    ii- Atau nak lalu keluar mandi bersihkan diri jika ia berlaku dalam masjid.

AYAT 43- {DAN JIKA KAMU SAKIT, ATAU SEDANG DALAM MUSAFIR, ATAU SALAH SEORANG DI ANTARA KAMU DATANG DARI TEMPAT BUANG AIR, ATAU KAMU BERSENTUH DENGAN PEREMPUAN, KEMUDIAN KAMU TIDAK MENDAPAT AIR (UNTUK MANDI ATAU BERWUDUK).} (AN-NISA’ 4:43)

  1. Ini adalah hukum ketiga; tentang tayammum iaitu bertaharah (ganti wudhu’) menggunakan debu suci bagi menggantikan air. 
  1. Yakni Allah nyatakan jika kamu dalam keadaan:
    i- Kamu sakit,

    ii- Atau sedang dalam musafir,

    iii- Atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air,

    iv- Atau kamu bersentuh dengan perempuan.
    Sama ada bersentuh kulit bagi mazhab yang batal wudhu’ sentuh perempuan (Mazhab Syafei) atau berjima’ bagi mazhab yang lain.
  1. Kemudian kamu tidak dapati air untuk berwhudu’ atau mandi wajib, maka hendaklah kamu bertayammum dengan debu yang suci.
    Cara tayammum ini ialah dengan mengambil debu tanah yang bersih lalu sapu ke muka kemudian sapu tangan. 
  1. Hadis tentang cara tayammum:
    i- Hadis pertama:
    وَعَنْ عَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ بَعَثَنِي اَلنَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فِي حَاجَةٍ, فَأَجْنَبْتُ, فَلَمْ أَجِدِ اَلْمَاءَ, فَتَمَرَّغْتُ فِي اَلصَّعِيدِ كَمَا تَمَرَّغُ اَلدَّابَّةُ, ثُمَّ أَتَيْتُ اَلنَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لَهُ, فَقَالَ: “إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ أَنْ تَقُولَ بِيَدَيْكَ هَكَذَا” ثُمَّ ضَرَبَ بِيَدَيْهِ اَلْأَرْضَ ضَرْبَةً وَاحِدَةً, ثُمَّ مَسَحَ اَلشِّمَالَ عَلَى اَلْيَمِينِ, وَظَاهِرَ كَفَّيْهِ وَوَجْهَهُ – مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ, وَاللَّفْظُ لِمُسْلِم ٍ 
    Daripada ‘Ammar bin Yasir RAnhuma katanya: Rasulullah SAW menghantar saya untuk satu urusan, tiba-tiba saya berjunub dan tidak mendapati air. Lalu saya bergelumang di atas tanah seperti yang dilakukan oleh haiwan kemudian saya menemui Rasulullah SAW dan menceritakan perkara tersebut kepadanya. Baginda bersabda: “Sebenarnya memadai untuk kamu untuk berbuat begini”. Lalu Rasulullah SAW menepuk tanah dengan kedua-dua tapak tangannya kemudian menyapu yang kanan dengan yang kiri, belakang tapak tangan dan wajahnya. (Mutaffaq ‘Alaih; Ini adalah lafaz Muslim).

    ii- Hadis sama lafaz lain: وَفِي رِوَايَةٍ لِلْبُخَارِيِّ: وَضَرَبَ بِكَفَّيْهِ اَلْأَرْضَ, وَنَفَخَ فِيهِمَا, ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ وَكَفَّيْه
    Dalam riwayat al-Bukhari: “Kemudian Baginda menepuk tanah dengan kedua-dua tapak tangannya dan meniup debu yang ada pada kedua-duanya kemudian menyapu dengan kedua-dua tapak tangannya itu akan mukanya dan tangan hingga ke pergelangan”. [Lafaz Bukhari].
  1. Riwayat dari UM Aisyah isteri Nabi SAW, dia berkata:
    “Kami keluar bersama Rasulullah SAW dalam salah satu perjalanan yang dilakukannya. Hingga ketika kami sampai di Baida’, atau tempat peristirahatan pasukan, aku kehilangan kalungku. Maka Nabi SAW berhenti untuk mencarinya. Orang-orang lain juga berhenti untuk mencarinya. Mereka berhenti di tempat yang tiada air. Sahabat-sahabat lalu bertemu dengan Abu Bakar As-Siddiq seraya berkata, ‘Nah lihat apa yang telah diperbuat oleh ‘Aisyah? Dia telah membuatkan Rasulullah SAW dan orang ramai berhenti di tempat yang tiada air dan mereka juga tidak memiliki bekalan air! Lalu Abu Bakar datang kepadaku sedang ketika itu Rasulullah SAW sedang tidur dengan meletakkan kepalanya di pahaku. Kata Abu Bakar: “Engkau telah membuatkan Rasulullah tertahan di sini dengan orang-orang lain. Mereka berhenti di tempat yang tiada air. Mereka juga tidak mempunyai air. Kata Aisyah: Abu Bakar mengatakan macam-macam sungutan terhadapku. Dia juga telah menusuk pinggangku dengan tangannya, dan tidak ada yang menghalangku untuk bergerak (kerana rasa sakit) kecuali kerana adanya kepala Rasulullah yang di pahaku.” Kemudian Rasulullah SAW bangun di waktu subuh dalam keadaan tidak ada air. Allah Ta’ala menurunkan ayat tayamum, maka orang-orang pun bertayamum.” Seorang sahabat Usaid bin Al-Hudhair bangun lalu berkata, “Ini bukan keberkatanmu yang pertama wahai keluarga Abu Bakar!” (yakni sudah banyak sebelum ini). Aisyah RA berkata, “Kemudian unta yang aku tunggangi berdiri yang ternyata kami temukan kalungku berada di bawahnya.” [HR Bukhari & Muslim].

    Perjalanan itu adalah untuk memerangi Bani al-Mustaliq. Kejadian itu berlaku dalam Tahun 6H. Ada juga pendapat yang mengatakan ia berlaku dalam Tahun 4H.

AYAT 43- {MAKA HENDAKLAH KAMU BERTAYAMUM DENGAN TANAH – DEBU, YANG SUCI, IAITU SAPUKANLAH KE MUKA KAMU DAN KEDUA TANGAN KAMU. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA PEMAAF, LAGI MAHA PENGAMPUN.} (AN-NISA’ 4:43)

  1. Dalam ayat ini Allah SWT mengajar cara bertayammum menggunakan tanah atau debu, yang suci, iaitu tepuk tangan ke tanah & sapukanlah ke muka kamu, kemudian tepuk sekali lagi dan sapulah kedua tangan kamu.
  1. Penjelasan melalui hadis:
    i- Hadis riwayat Ammar bin Yasir RA yang bermimpi menyebabkan junub dalam satu musafir yang tiada air lalu dia berguling di atas tanah. 
    Manakala seorang sahabat lagi tidak berguling (dikatakan Umar). sekembalinya ke Madinah Ammar menceritakan perlakuannya kepada Rasulullah SAW. Lalu Rasulullah SAW bersabda: يَكْفِيكَ الْوَجْهَ وَالْكَفَّيْنِ Menyapu muka dan kedua tapak tangan sudah cukup untukmu.
     [HR Bukhari & Muslim].
    Yakni untuk wudhu’ & ganti mandi junub sekali.

    ii- Ada juga pendapat yang mengatakan sapu tangan itu sehingga ke siku berdasarkan anggota wudhu’ dan hadis yang kurang sahih.
    Boleh baca sebab kisah Ammar ini tentang khilaf dalam tayammum ini dalam buku ini: Islam Adalah Cara Hidup.
  1. Di akhir ayat Allah nyatakan sifat-Nya: Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun. Yakni jika tersilap dan tersalah Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya, maafkan kelemahan dan kecuaian mereka!
  1. Allah syari’atkan tayammum di sini, membenarkan kita untuk solat & tawaf ketika tiada air, alhamdulillah.
    Ini adalah satu keluasan dalam Syara’ yang kita kena syukur banyak-banyak kepada Allah SWT! 
    Sifat Allah Maha Pengampun, kita sebagai seorang hamba jika tersalah minta ampun & maaf, jangan sombong kepada Allah & ketetapan-Nya!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 43- {Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan,,}-

    Solat adalah satu perkara yang besar & penting bagi orang beriman, kerana itu Allah memulakan seruan kepada mereka.
    Nak solat kita kena sedar & waras, tahu apa yang dikatakan, tidak mahu lalai & lagha tentang hal dunia kerana kita nak tumpukan fikiran kita kepada Allah SWT. 
    Jika hati lalai maka tak tahu apa yang dibaca!
    Ayat ini isyarat bahawa sesiapa nak solat kena kosongkan dulu mindanya daripada fikirkan hal dunia kerana kita nak tumpukan kepada bacaan & ibadat kita kepada Allah Azza wa Jalla. 
    Kata ulama’ : Kerana itu dilarang juga solat ketika mengantuk yang amat sangat- tidur dulu sekejap sehingga hilang mengantuk itu!
  1. Ayat 43- {Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan..}-

    Jangan solat sehingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan.
    Ayat ini menunjukkan bahawa orang mabuk tidak sedar dan tidak tahu apa. 
    Percakapan & perbuatannya tidak boleh diambil kira.
    Maka ulama’ ambil satu lagi hukum: tentang orang yang dalam keadaan terlalu marah, apakah percakapannya boleh diambil kira dan menjadi hukum?
    Kerana orang yang marah juga akan hilang pertimbangan & kewarasannya sama seperti orang yang mabuk juga.

    Seperti orang yang menceraikan isterinya dalam keadaan terlalu marah, sebahagian ulama’ kata : Tidak jatuh talaknya. 
    Tetapi orang mabuk cerai isteri ulama’ kata : Jatuh kerana dia sendiri yang minum arak dalam keadaan waras awalnya.
    Wallahu a’lam. Banyak lagi perbincangannya dalam bab ini, bukan pemutus hukum lagi.
    Banyak lagi isu berkaiatan dengan perlaksanaan hukum tersebut.
  1. Ayat 43- {Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.}–

    Orang berjunub tidak boleh duduk dalam masjid, kena mandi hilangkan dulu.
    Tidak boleh duduk tetapi boleh lalu melintasi dalam masjid. Lalu tidak sama dengan duduk. 
    Kata ulama’ : Ini kerana ia adalah dua perbuatan yang berbeza. Nak masuk masjid bagi yang tidak uzur mesti melakukan solat sunat tahiyyatul-masjid sekurannya dua raakat.
    Ulama’ juga buat kaedah : Tahiyyatul masjid tidak sunat dilakukan untuk orang melintas masjid kecuali hendak duduk dlm masjid.
    Ayat ini juga menunjukkan bahawa orang berjunub cukup dengan mandi sahaja- tidak wajib lagi berwhudu’ tetapi sunat. 
    Mandi junub tidak perlu ambil wudhu’ lagi, auto masuk bersama.

    Kata ulama’ : Tayammum ini membawa kaedah feqah yang disepati ulama’: المشقة تجلب التيسير
    Masyaqqah (kesusahan) dalam agama yang membawa kepada keringanan.
    Apabila tiada air Allah suruh tayammum saja dengan debu tanah.

    Debu tanah (صَعِيدًۭا طَيِّبًۭا) untuk tayammum ini:
    i- Bagi mazhab Syafei- mestilah debu tanah yang suci, tidak bercampur najis & kekotoran.

    ii- Ulama’ & mazhab lain boleh debu apa saja, pasir ke tanah asalkan debu atas muka bumi ini boleh saja.
    Kisah seorang tokoh ulama’ Syeikh Qardawi RHM : Semasa berada di dalam penjara di Mesir, nak solat tiada air untuk berwudhu’ maka dia hanya menyapu debu yang boleh diambil daripada dinding untuk bertayammum.
    Begitulah sedihnya realiti hari ini. Ramai ulama’ dalam negara Islam dipenjara oleh pemerintah Islam sendiri. 
  1. Ayat 43- {.. atau kamu bersentuh dengan perempuan,}-

    Ayat ini menimbulkan beberapa perbahasan pula.
    i- Tafsir Ibnu Abbas mengatakan : Ia bermaksud jima’.

    ii- Ulama’ Syafei kata : Sentuh itu ialah antara kulit dengan kulit.
    Sedangkan ulama’ mazhab lain kata : Tidak batal sentuh kulit dengan kulit sahaja sehinggalah kamu menyentuhnya dengan perasaan (ada nafsu) atau juga jimak.
    Jangan tertalu taksub & fanatik dengan sesuatu mazhab. Kita raikanlah perbezaan pendapat.
    Hikmah dalam perundangan, Allah bawa perbezaan dua alat bersuci iaitu air & debu tanah:
    a- Dengan air:
    i- Bersuci dengan air dalam mandi junub wajib seluruh badan, dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki tiada yang boleh tertinggal.

    ii- Bersuci untuk wudhu’ wajib 4 anggota kena ratakan air; muka, dua tangan hingga ke siku, sapu kepala dan dua kaki.

    b- Dengan debu tayammum:
    i- Manakala bersuci dalam bab tayammum sama ada hadas besar bersuci dari junub atau hadas kecil untuk ganti wudhu’ bagi solat, sama sahaja iaitu dua anggota saja iaitu muka & dua tapak tangan.

    Hikmahnya:
    i- Kita bersuci dengan air kita bersuci secara fizikal- basuh sungguh tangan muka kaki kita. Mandi pula seluruh badan apabila berjunub kerana seluruh badan mengalaminya.

    ii- Manakala toharah bersuci dengan debu ini lebih kepada isu maknawi (batin) bukan hanya secara fizikal sahaja secara tetapi semata-mata kita buat ibadat & menghinakan diri kita kepada Allah SWT dengan menyapu muka & tangan kita dengan debu. Sedangkan muka ini adalah tempat mulia, orang tak sapu tanah atau debu biasanya, inilah betapa kita menghinakan diri kita di hadapan Allah Azza wa Jalla.

    Isu cara ambil tayammum : Muka & tangan sehingga pergelangan tangan atau siku, perbahasan yang panjang boleh dibaca dalam kitab feqah.
    Alhamdulillah tamatlah perbincangan untuk tafsir ringkas hari ini

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs