Surah An-Nisa’ : Ayat 44-46

KARENAH AHLI KITAB, SELEWENGKAN FAKTA & DERHAKA KEPADA NABI SAW.

Full video : https://youtu.be/axk5kwV9CHo?si=-ByKeQK5087ljiHQ

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 44 sehingga 46 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ kelima.
  1. Dalam siri ini Allah nyatakan tentang karenah ahli kitab yang campakkan kebenaran ambil kesesatan, tolak yang betul ambil yang salah.
    Allah perkenalkan kepada kita golongan musuh Islam iaitu para ahli kitab yang menolak kebenaran.
  1. Mereka juga menyelewengkan fakta seperti menukar maklumat yang ada atau menokok tambah yang Allah tak kata!
  1. Sikap mereka juga derhaka kepada Nabi SAW, maka selayaknyalah mereka dilaknat oleh Allah SWT dengan sikap buruk & keji yang mereka tunjukkan ini!
  1. a) Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan di awal surah sehingga ayat sebelum ini tentang pelbagai jenis taklif tanggungjawab Syara’ dan hukum-hakam Syari’ah.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah SWT sebut tentang musuh-musuh agama dan orang terdahulu yang menyeleweng supaya kita sedar. 
    Bahawa di saat kita nak beribadat & menegakkan agama, di sana terdapat sekumpulan manusia yang sentiasa berjuang, aktif bergerak untuk menggelap & mengaburi kefahaman Islam yang ada di hadapan orang Islam atau orang yang mahu berjinak dengan agama Islam. 

    b) Munasabah kedua:
    i- Ayat ini menjelaskan apa yang disebut dalam ayat-ayat yang lepas; iaitu sembah Allah & jangan syirikkan-Nya dengan sesuatu. 
    Ayat ini memberi amaran bahawa perjuangan & keimanan kita ini kena serentak iaitu mengabdikan diri, sembah Allah semata-mata dan jangan melakukan syirik. 

    ii- Maka dalam ayat ini Allah menyatakan tentang sekumpulan ahli kitab yang ada maklumat tetapi diselwengkan, ada maklumat disembunyikan!
    Maka ini adalah contoh yang Allah bawa, sembah Allah jangan syirik- syirik sebagaimana puak ahli kitab; sebagaimana puak ini yang buat pelbagai tuduhan jahat terhadap Allah seperti dakwa Allah SWT faqir, Uzair adalah anak Tuhan dan lain-lain tuduhan keji!
    Perbuatan jahat mereka ini adalah kerana berpaksikan hasad dengki kepada Rasulullah SAW lalu cuba nak selewengkan fakta kepada orang Islam.

    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 44- {TIDAKKAH ENGKAU MEMERHATIKAN (WAHAI MUHAMMAD) ORANG-ORANG YANG TELAH DIBERIKAN SEBAHAGIAN DARI KITAB, MEREKA MEMILIH KESESATAN (DENGAN MENINGGALKAN PERTUNJUK TUHAN), DAN MEREKA PULA BERKEHENDAK SUPAYA KAMU JUGA SESAT JALAN.} (AN-NISA’ 4:44)

  1. Allah SWT mengingatkan Rasulullah SAW akan ahli kitab yang telah diberi kitab tetapi mereka tidak mengikut petunjuk yang dibawa kitab itu bahkan memilih untuk mengikut kesesatan!
  1. Yakni ketua-ketua agama yahudi para pendeta yang ada di tangan mereka kitab, telah mengetahui akan kebenaran Nabi Muhammad SAW & agama Islam yang dibawanya sebagaimana yang telah tersebut di dalam kitab Taurat; tetapi mereka memusingkannya, menyembunyikan fakta & menyeleweng kebenaran sehingga orang tidak beriman kepada Nabi SAW.
  1. Antara kejahatan mereka yang paling besar ialah mendustakan akan kebenaran Nabi SAW, tidak beriman dengan Rasulullah SAW, jual kebenaran ambil keburukan semata-mata kerana takut hilang habuan dunia yang sedikit.
  1. Ayat ini walaupun amaran kepada yahudi tetap kena juga kepada kita orang Islam. 
    Kita ada al-Quran, kita ada hadis Nabi SAW tetapi kita tidak mengambilnya sebagai pedoman hidup, peraturan seharian dalam hidup kita?  
    Masih ikut hasutan syaitan yang merupakan musuh yang nyata!
  1. Mereka ini juga sangat berharap agat kita orang Islam menyeleweng daripada ajaran Nabi SAW, meninggalkannya lalu ikut sesat bersama mereka & terpelanting daripada siratul-mustaqim yang kita berada di atasnya sekarang ini.

AYAT 45- {DAN ALLAH LEBIH MENGETAHUI BERKENAAN DENGAN MUSUH-MUSUH KAMU, (OLEH ITU AWASILAH ANGKARA MUSUH KAMU ITU). DAN CUKUPLAH ALLAH SEBAGAI PENGAWAL YANG MELINDUNGI, DAN CUKUPLAH ALLAH SEBAGAI PENOLONG (YANG MENYELAMATKAN KAMU DARI ANGKARA MEREKA).} (AN-NISA’ 4:45)

  1. Kamu jangan percaya sangat kepada golongan ini; sesungguhnya Allah SWT lebih mengetahui akan mereka musuh-musuh kamu itu! 
    Siapakah mereka & apa yang ada dalam hati mereka, apa perancangan jahat mereka & apakah provokasi yang dibuat oleh ketua-ketua mereka terhadap Islam!
  1. Apabila Allah telah maklumkan dan beritahu kepada kita akan musuh kita ini iaitu syaitan, orang yahudi & nasrani serta segala munafiqin maka kita kena berhati-hatilah! 
    Mereka ini tidak akan redha & puas hati dengan kedudukan kita sekarang sehinggalah orang Islam mengikut ajaran & agama mereka!
  1. Apabila orang bukan Islam diberi kekuasaan, apabila mereka ada kekuatan; mereka akan gunakan kesempatan itu sama ada secara halus atau terang-terangan untuk menyelewengkan orang Islam. 
  1. Yakni Allah SWT beri amaran & peringatan kepada kita umat Islam bahawa kamu ada musuh yang sentiasa mengganggu & mengacau kamu; tetapi kamu jangan lupa kamu ada Allah yang menjaga kamu, yang menjadi wali kepada kamu!
  1. Maka cukuplah Allah SWT sebagai Penjaga & Pelindung kita serta Allah SWT mudahkan jalan untuk kita mendapat kebahagiaan!
  1. Hadis- 
    i- Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah SAW apabila mengetahui bahawa Allah SWT telah menentukan tempat setiap manusia itu di akhirat kelak. Kata lelaki tersebut, sekiranya semua itu telah ditentukan oleh Allah SWT, maka adakah kita perlu berpada (mengikut sahaja) apa yang terkandung di dalam kitab kita (iaitu ketentuan kita) serta tidak perlu lagi untuk beramal (kerana semuanya telah ditentukan). Baginda SAW menjawab pertanyaan tersebut dengan bersabda:
    مَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ السَّعَادَةِ، فَسَيَصِيرُ إِلَى عَمَلِ أَهْلِ السَّعَادَةِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ، فَسَيَصِيرُ إِلَى عَمَلِ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ، فَقَالَ: اعْمَلُوا فَكُلٌّ مُيَسَّرٌ، أَمَّا أَهْلُ السَّعَادَةِ فَيُيَسَّرُونَ لِعَمَلِ أَهْلِ السَّعَادَةِ، وَأَمَّا أَهْلُ الشَّقَاوَةِ فَيُيَسَّرُونَ لِعَمَلِ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ
    Maksudnya: “Barangsiapa daripada kalangan orang yang bahagia, maka dia akan beramal dengan amalan orang yang bahagia. Adapun, sekiranya dia daripada kalangan orang yang derita, maka dia akan beramal dengan amalan orang yang celaka. Sabda Nabi SAW lagi: “Beramallah dan setiap orang itu akan dipermudahkan (oleh Allah SWT). Adapun orang yang bahagia akan dipermudahkan dalam beramal dengan amalan orang yang bahagia. Manakala orang yang celaka akan dipermudahkan dalam beramal dengan amalan orang yang tidak baik.” [HR Muslim (2647)]

    ii- Dari ‘Imran, ia berkata, aku berkata: يَا رَسُولَ اللَّهِ، فِيمَا يَعْمَلُ الْعَامِلُونَ؟، قَالَ: كُلٌّ مُيَسَّرٌ لِمَا خُلِقَ لَهُ
    “Wahai Rasulullah, lantas untuk apa orang-orang yang beramal melakukan amalan mereka?” Baginda SAW bersabda, “(Kamu kena buat kerja) Setiap orang akan dimudahkan (menuju jalan) penciptaannya.” (HR. Bukhari, no. 7551)

    Tuhan nak jadikan kita ahli syurga- Dia akan permudahkan jalan ke syurga, rajin buat amal ibadat, bincang bab Islam tenang hati, buka al-Quran tenang dada, amalkan Sunnah hidup bahagia! 
    Tetapi orang yang sebaliknya, yang Allah tak bagi kebaikan, sebaliknya jugalah keadaan & perbuatannya!
  1. Maka cukuplah Allah sebagai Penolong yang akan membantu, membela & menolong kita untuk mengalahkan musuh dengan menjelaskan kepada kita, dengan memberitahu apakah jalan yang patut kita ikut & buat!
  1. Maka sebagai langkah keselamatan bacalah kitab ini untuk kenal musuh kita, tahu strateginya; maka kita akan tahu juga cara & strategi untuk melawannya dengan bantuan Allah, insya’ Allah!
    Mengenali Hakikat Syaitan : https://dartaibah.com/…/Kitab-Hakikat-Syaitan-Edisi…

AYAT 46- {DI ANTARA ORANG-ORANG YAHUDI ADA YANG MENGUBAH (ATAU MENUKAR GANTI) KALAMULLAH (ISI KITAB TAURAT), DARI TEMPAT DAN MAKSUDNYA YANG SEBENAR, DAN BERKATA (KEPADA NABI MUHAMMAD): “KAMI DENGAR”, (SEDANG MEREKA BERKATA DALAM HATI): “KAMI TIDAK AKAN MENURUT”. (MEREKA JUGA BERKATA): “TOLONGLAH DENGAR, TUAN TIDAK DIPERDENGARKAN SESUATU YANG BURUK”, SERTA (MEREKA MENGATAKAN): “RAAEINA”; (TUJUAN KATA-KATA MEREKA YANG TERSEBUT) HANYA MEMUTAR BELITKAN PERKATAAN MEREKA DAN MENCELA AGAMA ISLAM. DAN KALAULAH MEREKA BERKATA: “KAMI DENGAR DAN KAMI TAAT, DAN DENGARLAH SERTA BERILAH PERHATIAN KEPADA KAMI”, TENTULAH YANG DEMIKIAN ITU LEBIH BAIK BAGI MEREKA DAN LEBIH BETUL. AKAN TETAPI ALLAH MELAKNAT MEREKA DENGAN SEBAB KEKUFURAN MEREKA. OLEH ITU, MEREKA TIDAK BERIMAN KECUALI SEDIKIT SAHAJA (DI ANTARA MEREKA).} (AN-NISA’ 4:46)

  1. Allah nyatakan lagi, bahawa ada antara perangai jahat yahudi itu ialah takwil & tafsirkan kitab Allah ikut nafsu & ikut ajaran yang diajar oleh syaitan! 
    Inilah bahayanya apabila tahu tetapi tidak buat- lebih parah daripada yang tidak tahu!
    Tetapi jika tak tahu atau jahil kena belajar, salah juga jika terus dalam kejahilan tanpa ada usaha nak tahu dengan belajar!
  1. Yakni orang yang tahu lebih dahsyat daripada orang yang asal jahil kerana dia tahu benda itu salah atau perkara itu tidak benar tetapi dia buat juga! 
    Bahkan apabila orang tegur mereka juga sombong & tidak mahu menerima teguran & pandangan orang lain kerana mereka rasa mereka sudah tahu & alim! 
    Orang yang baik apabila tahu salah atau ditegur; akur & cuba ubah. Orang yang tidak baik walaupun tahu salah tetap nak pertahankannya juga!
  1. Seorang imam salaf, Syeikh asy-Syukbah RHM ketika ditanya siapakah orang yang mesti ditinggalkan (yakni tidak boleh diterima) hadis (cerita) yang dibawanya, menyebut bahawa:
    Orang yang telah dijelaskan kesalahannya namun tetap tidak mahu menarik balik perbuatannya walaupun telah dinasihat secara baik & sembunyi! 
    Mereka ini tidak boleh didengar lagi ceramah & kuliahnya!
  1. Beberapa perkataan para ulama’ :
    i- Malu dalam membetulkan kesilapan adalah lebih baik daripada dihumban ke neraka kerana meneruskan pembohongan.

    ii- Masyhur sebagai kata-kata dari Sayyidina Umar RA: الرجوع إلى الحق خير من التمادي في الباطل Kembali kepada kebenaran lebih baik daripada terus sesat dalam kebatilan!

    iii- Perangai yahudi ini bukan tak tahu, tahu tetapi tetap ingkar & seleweng!
  1. Perangai buruk puak yahudi ini juga:
    i- Apabila Nabi SAW memberitahu apa-apa hukum & berita, mereka berkata:
    “Kami dengar”, sedang mereka berkata dalam hati: Kami tidak akan ikut menurut kamu.

    ii- Mereka juga berkata apabila pergi berjumpa Nabi SAW: “Tolonglah dengar, tuan tidak diperdengarkan sesuatu yang buruk”, yakni jika kamu tak dengar apa yang kami katakan ini, Tuhan akan tulikan telinga kamu!

    iii- Serta mereka mengatakan: “Raaeina” (وَرَٰعِنَا)- perkataan ini bererti raikan kami. Beri perhatian kepada kami.
    Sedangkan tujuan kata-kata mereka yang tersebut hanya memutar belitkan perkataan mereka, mencaci Nabi SAW dan mencela agama Islam dalam bahasa mereka.
    Iaitu mereka guna perkataan yang pada asalnya elok maknanya tetapi mereka ambil gunakan makna perkataan yang buruk kerana mereka memang berniat buruk, nak hinakan Nabi SAW! 
  1. Allah kata lagi: Jikalau mereka bercakap dengan perkataan yang baik & hormat kepada Rasulullah SAW pastilah itu yang lebih baik bagi mereka!
    Tetapi apa boleh buat Allah SWT telah jauhkan mereka daripada rahmat Allah SWT dengan sebab kekufuran mereka.
  1. Hanya sedikit sahaja dari kalangan mereka yahudi ini yang beriman & menurut Islam.
    Beginilah fakta sejarah, yahudi masuk Islam tak ramai, perangai mereka amat buruk & jahat, bukan setakat kepada orang biasa tetapi jahat kepada Rasulullah SAW!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 44- {Tidakkah engkau memerhatikan (wahai Muhammad) orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab, mereka memilih kesesatan..}-

    Allah kata kamu lihatlah kepada orang yang ada ilmu, yang ada kitab & maklumat… tetapi tetap memilh kesesatan!
    Ayat ini adalah ayat pukul anak sindir menantu!
    Walaupun asalnya ditujukan kepada ahli kitab yahudi ia juga boleh ditujukan kepada orang Islam jika berperangai sama!
    Ada manusia yang diberikan ilmu, ada kitab sama ada Taurat atau al-Quran, tetapi tidak memberi manfaat kepada mereka!
    Allah kata haram dia buat juga, yang halal dia tinggal, Allah larang dia langgar! 
    Dia ambil yang sesat & tinggalkan petunjuk!

    Maka sesiapa yang belajar kitab tidak beramal maka dia telah ikut jejak langkah dua kumpulan ini iaitu:
    Orang-orang yang Allah telah murkai- (ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ) dan orang-orang yang sesat- (ٱلضَّآلِّينَ).

    Kata seorang ulama’ salaf Sufyan bin Uyainah RHM :
    i- Mana-mana ulama’ Islam yang rosak, baca al-Quran tetapi tidak mahu ikut ajaran & hukumnya, seleweng fakta, baca hadis tetapi kona sana kona sini kerana tidak mahu ikut amalan sunnah maka dia adalah sama dengan para ulama’ yahudi yang tahu Taurat tetapi seleweng fakta & sembunyi fakta!

    ii- Sesiapa yang telah menyeleweng dari kalangan ahli ibadat pula. Buat ibadat tetapi tak ikut Sunnah seperti yang diajar oleh Nabi SAW; maka orang ini telah ikut gaya nasrani!

    Ayat al-Quran ini adalah amaran & peringatan kepada kita agar jangan ikut puak yahudi & nasrani yang menyeleweng, kerana tahu tetapi tidak mahu ikut kebenaran; maka jangan ikutlah mereka.
    Kita minta berlindung dengan Allah SWT daripada segala sifat buruk & jahat dua golongan ini yang tahu tetapi tak ikut! 
    Tetapkan kami di atas jalan yang Engkau redhai!
  1. Ayat 45- {Dan Allah lebih mengetahui berkenaan dengan musuh-musuh kamu, (oleh itu awasilah angkara musuh kamu itu)}–

    Allah SWT kata Dia tahu siapa musuh kita! 
    Kemudian Allah SWT bagi jaminan untuk jadi Wali, Penjaga & Penolong kita!
    Maka cukuplah Allah SWT jadi Wali, Penjaga & Penolong kita!

    Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini mengajar kita bahawa Allah tahu siapa musuh kita & memberi ketenangan kepada orang mukmin & menguatkan keazaman mereka kerana Allah SWT memberi jaminan untuk menjadi wali yang menjaga & menolong kita. Maka apa lagi kita nak peduli akan mereka!

    Tetapi kita masih kena hati-hati kerana syaitan itu tidak ada kerja lain, bahkan kerja & target mereka hanyalah untuk menyesatkan orang beriman, memisahkan kasih sayang antara suami isteri dan menyelewengkan manusia daripada jalan kebenaran! 
    Maka kita sebagai orang muslim kena tahu siapa musuh kita, siapa wali (penolong) kita, kena peka dengan siapa kita patut berkasih sayang, siapa yang patut jauhi dan seumpamanya!
  1. Ayat 46- {Di antara orang-orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar, dan berkata (kepada Nabi Muhammad): “Kami dengar”, (sedang mereka berkata dalam hati): “Kami tidak akan menurut”..}-

    Ini adalah antara perangai buruk yahudi ini, mereka mengaku sudah dengar tetapi saja tidak mahu ikut! 
    Bukan kerana tidak tahu atau tidak faham, mulut kata dengar tetapi hati tidak mahu ikut!
    Yahudi ini sangat teruk hasad-dengkinya kepada Nabi SAW kerana itu bermain dengan kata-kata buruk & menyakiti terhadap Baginda SAW!
    Kita sebagai orang Islam kena berhati-hati jangan mudah koyak, jangan mudah masuk perangkap orang yang pandai bermain dengan kata-kata; mulut kata lain sedangkan hati mereka penuh dengan dengki & kebencian terhadap orang Islam!
  1. Ayat 46- {Dan berkata (kepada Nabi Muhammad): “Kami dengar”, (sedang mereka berkata dalam hati): “Kami tidak akan menurut”. (Mereka juga berkata): “Tolonglah dengar, tuan tidak diperdengarkan sesuatu yang buruk”, serta (mereka mengatakan): “Raaeina”; (Tujuan kata-kata mereka yang tersebut) hanya memutar belitkan perkataan mereka dan mencela agama Islam…}-

    Ini adalah perkataan buruk yang diucapkan oleh yahudi kepada Nabi Muhammad SAW. 
    Mereka bermain & memutar-belit perkataan dengan niat jahat kepada Baginda SAW. 
    Dalam Islam apabila kita bawa sesuatu larangan atau ingkar terhadap perkara mungkar; kita kena bawa pengganti atau tukarannya.
    Jadi apabila Allah mengatakan bahawa perkataan mereka itu buruk & mungkar; Allah ajar perkataan yang sepatutnya yang mereka ucap, yang boleh membawa kebaikan kepada mereka, iaitu:
    Ayat 46- {Dan kalaulah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat, dan dengarlah serta berilah perhatian kepada kami”, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih betul.}

    Yakni Allah memberi alternatif kata-kata yang tidak memberi makna yang buruk & salah faham.
    Kita pun sama juga jangan buat perkara yang boleh mengundang kemungkaran Allah SWT & kebencian manusia atau yang boleh mengundang salah faham orang terhadap kita.
    Kita guna perkataan yang baik & jangan buat perangai buruk!

    Siapa yang buat perangai buruk, akan kena laknat Allah SWT & jauh dari rahmat-Nya, maka orang itu telah bertukar dari berada di atas jalan yang benar kepada ikut kebatilan yang cukup bahaya!
    Allah SWT beri & ajar kata-kata yang tidak menimbulkan masalah & kekeliruan. 
    Sama sebagaimana sebahagian ahli ibadat yang guna perkataan yang tidak sepatutnya & tidak sesuai untuk Allah SWT seperti berkata bahawa Allah berada dalam poket bajunya, berada dalam kemabukan cinta kepada Allah dan seumpamanya yang pelik-pelik! 
  1. Ayat 46- {Tujuan kata-kata mereka yang tersebut) hanya memutar belitkan perkataan mereka dan mencela agama Islam}-

    Mereka juga {وَطَعْنًۭا فِى ٱلدِّينِ} nak menghina agama.
    Menghina agama ini dengan dua dimensi: 
    i- Sama ada dia menghina secara direct dengan kata-kata yang jelas. Nabi ini tidak betul, Islam ini zalim, nak makan sup tangan boleh pergi ke negeri yang amal hukum hudud dan seumpamanya!

    ii- Secara tidak jelas, tidak direct, dengan kata sindiran seperti; 
    Geng pak lebai itu bukan tahu apa pun. 
    Golongan ustaz ni tiada kerja lain ke- nak ajak orang kepada al-Quran & Sunnah aje, bincang syurga & neraka saja, kita nak membangun negara dia nak mundur kembali!

    Keduanya ini berdosa belaka dan boleh membawa kepada kekufuran jika memang dia berniat begitu. 
    Siapa yang hina agama itulah perangai yahudi, siapa reka ibadat itulah perangai nasrani!

    Maka Allah kata Dia akan laknat mereka- iaitu:
    i- Jika orang kafir pastilah kena laknat!

    ii- Orang Islam pula jika para pelaku dosa besar akan dilaknat Allah; kerana ulama’ kata antara ciri-ciri dosa besar itu ialah :
    Allah laknat Allah ke atas pelakunya, juga laknat dari para rasul, malaikat & manusia kesemuanya! 
    Mereka juga akan ditimpa azab neraka dan jauh dari rahmat Allah! 
    Semoga Allah SWT selamatkan kita semua dari segala sifat & perbuatan yang boleh membawa kesemua laknat & kemurkaan Allah SWT ini! 

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs