View Categories

Surah An-Nisa’ : Ayat 47-48

ARAHAN AHLI KITAB BERIMAN DENGAN QURAN, AMARAN TUKAR WAJAH MEREKA & SYIRIK DOSA TIDAK DIAMPUNKAN.

Full video : https://youtu.be/Ot5knbocTjA?si=Js79lWO565ZP_vNm

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 47 sehingga 48 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ kelima. 
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang arahan Allah SWT kepada ahli kitab supaya beriman kepada al-Quran yang diturunkan.
  1. Jika mereka degil, keras kepala; tidak beriman Allah SWT akan tukar wajah mereka mungkin menjadi kosong atau menjadi monyet atau beruk seperti kaum yahudi (ashabus-Sabt) sebelum ini.
  1. Serta amaran keras agar jangan terjebak dengan perbuatan syirik kepada Allah Azza wa Jalla.  
    Dosa lain Allah SWT akan ampunkan tetapi tidak syirik kepada-Nya!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang sebelum ini Allah SWT nyatakan tentang beberapa tipu-daya (مَكَرَ) perancangan jahat yahudi bagaimana mereka menyakiti orang yang beriman. 
    Kemudian Allah SWT berikan jalan kepada mereka; jikalah mereka berkata: Kami dengar; itu adalah baik bagi mereka. 
    Tetapi malangnya mereka tidak mahu dengar & tidak beriman.

    ii- Lalu datanglah ayat ini Allah memberi arahan untuk mereka beriman kepada al-Quran, serta amaran kepada mereka jika mereka tidak beriman lagi, mereka akan ditimpa azab dengan ditukar wajah mereka menjadi kosong atau dilaknat menjadi monyet. 
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 47- {WAHAI ORANG-ORANG YANG TELAH DIBERIKAN KITAB, BERIMANLAH KAMU DENGAN APA YANG TELAH KAMI TURUNKAN (AL-QURAN), YANG MENGESAHKAN KITAB-KITAB YANG ADA PADA KAMU, SEBELUM KAMI MENYEKSA DENGAN MENGHAPUSKAN BENTUK MUKA KAMU (SEHINGGA BERUBAH MENJADI RATA – TIDAK BERMULUT, BERHIDUNG DAN BERMATA), LALU KAMI MENJADIKANNYA SAMA SEPERTI RUPA SEBELAH BELAKANGNYA, ATAU KAMI MELAKNATKAN MEREKA SEBAGAIMANA KAMI TELAH MELAKNATKAN ORANG-ORANG (DARI KAUM MEREKA – YAHUDI) YANG MELANGGAR LARANGAN BEKERJA PADA HARI SABTU. DAN (INGATLAH) PERINTAH ALLAH ITU TETAP BERLAKU.} (AN-NISA’ 4:47)

  1. Allah SWT memerintahkan ahli kitab iaitu golongan yahudi & nasrani untuk beriman dengan al-Quran yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ini. 
  1. Kamu adalah golongan yang telah diberi kitab sebelum ini iaitu kitab Taurat & Injil, yang telah ada ilmu & maklumat- lalu mengapa kamu masih enggan beriman & dengar arahan Allah SWT!
  1. Al-Quran ini fungsinya ialah:
    i- Membenarkan dan mengesahkan (مُصَدِّقًۭا) apa yang ada dalam Kitab-Kitab yang terdahulu.
    Manjadi kayu ukur akan kebenaran maklumat & ajarannya- jika bercanggah dari sudut tauhid & aqidah maka itu adalah batil!

    ii- Serta mengawasi (مُهَيْمِنًا) apa saja maklumat yang ada dalam kitab terdahulu. Jika maklumat yang tidak betul dimasukkan ke dalamnya al-Quran akan menapis & membatalkannya!
  1. Kemudian Allah beri amaran jika kamu tidak beriman Allah akan:
    i- Turunkan hukuman dan siksaan dengan menghapuskan bentuk muka kamu sehingga berubah menjadi rata & kosong, tidak bermulut, berhidung dan bermata, sama seperti rupa sebelah belakangnya,

    ii- Atau Allah akan melaknat mereka (menjauhkan dari rahmat Allah) sebagaimana Allah telah melaknatkan orang-orang dari kaum mereka, Yahudi yang melanggar larangan bekerja (menangkap ikan) pada hari Sabtu.
    Allah sebut secara umum kerana akan datang kisah mereka secara terperinci nanti.
  1. Firman Allah SWT perincikan tentang kisah Ashabus-Sabti ini:
    i- {Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.} (Al-Baqarah 2:65) 
    Iaitu kisah mereka yahudi buat helah apabila dilarang daripada menangkap ikan pada hari Sabtu. Helah yang diajar oleh syaitan untuk melanggar perintah Allah SWT!

    ii- Firman Allah: {Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik). (Al-A’raaf 7:163)

    Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?” Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: “(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa”. (Al-A’raaf 7:164) 

    Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka). (Al-A’raaf 7:165) 

    Maka setelah mereka berlaku sombong takbur (tidak mengambil indah) kepada apa yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.} (Al-A’raaf 7:166)
    Ulama’ tafsir kata : Mereka jadi monyet selama tiga hari kemudian mati musnah semuanya.
  1. AMARAN INI KERAS! jangan cari pasal, jangan berani lawan Allah SWT, kita hidup di bawah diperhatian Allah SWT, siapa berani lawan tunggulah hukum yang akan dijatuhkan atas kepalanya!
  1. Di akhir ayat Allah SWT memberi peringatan sekali lagi agar kita sentiasa ingat bahawa perintah Allah itu tetap berlaku. Berani cabar, berani lawan silakan, jika turun bala Allah tanggunglah!
  1. Kita minta bantuan Allah agar menjaga & memberi taufik kepada kita, teguhkan pendirian kita di atas kebenaran, jalan yang lurus & benar, atas jalan yang Kamu redhai, di atas Sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Inilah perjuangan ahli Sunnah- bukan mengaku saja ahli Sunnah tetapi tidak mengamal & memperjuangkan Sunnah Rasulullah SAW.

AYAT 48- {SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK AKAN MENGAMPUNKAN DOSA SYIRIK MEMPERSEKUTUKANNYA (DENGAN SESUATU APAJUA), DAN AKAN MENGAMPUNKAN DOSA YANG LAIN DARI ITU BAGI SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA (MENURUT ATURAN SYARIATNYA). DAN SESIAPA YANG MEMPERSEKUTUKAN ALLAH (DENGAN SESUATU YANG LAIN), MAKA SESUNGGUHNYA IA TELAH MELAKUKAN DOSA YANG BESAR.} (AN-NISA’ 4:48)

  1. Semua dosa lain akan diampunkan oleh SWT kecuali dosa syirik! Jika seseorang itu mati dalam keadaan syirik, maka tidak akan ada jalan lagi untuk selamat daripada kemurkaan & azab Allah SWT!
  1. Munasabah dengan ayat sebelum ini:
    i- Dalam ayat sebelum ini Allah beri maran untuk hapuskan muka mereka jika tidak beriman;

    ii- Kemudian datanglah kata putus dalam ayat ini: Jika kamu tidak beriman juga kepada Allah, kamu mati & tetap dalam syirik kepada Allah; maka sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun.
    Sama ada syirik dalam ibadat, ketuhanan atau apa saja perkara maka dia tidak berhak untuk menerima keampunan Allah SWT!
  1. Doa minta selamat daripada dosa Syirik, tidak terjebak sama ada secara sedar atau tidak, yang zahir atau batin: 
    اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أُشْرِكَ بِكَ وَأَنَا أَعْلَمُ، وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لاَ أَعْلَمُ
    Ya Allah, Sesungguhnya Aku berlindung dengan bantuanMu daripada menyekutukan sesuatu denganMu dalam keadaan aku mengetahui. Dan Aku memohon keampunanMu terhadap apa yang aku tidak ketahui. 
  1. Hadis: Sabda Rasulullah SAW: “Dosa besar yang paling besar, adalah menyekutukan (sesuatu) kepada Allah.” (HR al-Bukhari, no. 6919)
  1. Allah SWT akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, menurut aturan Syariat-Nya (تحت مشيئة الله).
    Yakni di bawah kehendak Allah SWT; Allah nak ampunkan Dia akan ampunkan atau jika nak azab dulu setara dosanya; ia akan diazab dulu- tetapi yang pasti akhirnya ia akan dikeluarkan daripada neraka selepas selesai hukumannya.

    Sebagaimana dalam hadis Nabi SAW mereka ini dipanggil Jahannamiyyun (bekas ahli neraka Jahannam) wal-iyazu billah.
    Maka jangan main-main bergurau supaya carinya dalam neraka- kita minta jauh & selamat dari neraka walaupun sekejap.
  1. Dalam hadis qudsi dari Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda, Allah SWT berfirman:
    يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِى بِقُرَابِ الأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتَنِى لاَ تُشْرِكُ بِى شَيْئًا لأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً.
    “Wahai anak Adam, jika engkau mendatangi-Ku dengan dosa sepenuh bumi kemudian engkau tidak berbuat syirik pada-Ku dengan sesuatu apa pun, maka Aku akan mendatangimu dengan keampunan sepenuh bumi itu pula.” [HR Tirmizi no. 3540.]
  1. Di akhir ayat Allah menyatakan dengan jelas bahawa sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.
    Kata ulama’ : Ini bererti dosa besar yang paling besar & dahsyat ialah syirik kepada Allah Azza wa Jalla!

    Sebagaimana firman Allah SWT:
    {Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.} (Luqman 31:13)
    Kezaliman paling besar dari sudut aqidah ialah syirik kepada Allah SWT.
  1. Hadis dari Ibnu Mas’ud RA:
    وَعَنِ ابْنِ مَسْعُوْدٍ رضي الله عنه قَالَ: سَأَلْتُ رَسُوْلَ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم : أَيُّ الذَّنْبِ أَعْظَمُ؟ قَالَ: “أَنْ تَجْعَلَ لِلّهِ نِدًّا وَهُوَ خَلَقَكَ” قُلْتُ: ثُمَّ أَيُّ؟ قَالَ: “أَنْ تَقْتُلَ وَلَدَكَ خَشْيَةَ أَنْ يَأْكُلَ مَعَكَ” قُلْتُ: ثُمَّ أَيُّ؟ قَالَ: “أَنْ تُزَانِيَ حَلِيْلَةَ جَارِكَ”.” مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ
    Dari Ibnu Mas’ud RA: Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah dosa yang paling besar?” Rasulullah SAW bersabda: “Jika kamu menjadikan sekutu bagi Allah Ta’ala sedangkan Dia yang menciptakanmu.” “Kemudian apa?” Rasulullah bersabda: “Jika engkau membunuh anakmu kerana takut ia makan bersamamu.” “Kemudian apa?” Rasulullah bersabda: “Jika kamu berzina dengan isteri jiran tetanggamu.” (Muttafaqun ‘alaih).
  1. PERINGATAN: Pentingnnya untuk takhrij hadis, iaitu nyatakan sumbernya dari mana- untuk memastikan kesahihannya. 
    Wajib berhati-hati dalam menyebarkan hadis-hadis Nabi SAW, kerana kita mempunyai pelbagai kemudahan dan cara pada hari ini.
    Demi kecintaan kepada Nabi SAW & menjaga haknya, kita jangan takut kehilangan tempat atau jawatan di kalangan manusia! 
    Kita tidak mahu kehilang syafaat dari Nabi SAW!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 47- {Wahai orang-orang yang telah diberikan Kitab, berimanlah kamu dengan apa yang telah Kami turunkan (Al-Quran),}-

    Wahai ahli kitab berimanlah dengan al-Quran yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.  
    Perintah ini adalah wajib, mandatori kepada semua ahli kitab & manusia yang ada pada zaman itu dan sekarang untuk ikut al-Quran!
    Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini Allah SWT tujukan kepada ahli kitab; menunjukkan di mana ada peluang untuk mencuit hati & menasihati manusia; Allah SWT melakukannnya!
    Maka demikian juga bagi orang yang cerdik di kalangan pendakwah, penceramah, imam & khatib; kena ambil perhatian akan keadaan, tempat & suasana yang sedang dilalui oleh mad’u (orang yang didakwah dan pendengar) kita untuk menyampaikan kuliah & nasihat. 
    Orang sedang sedih kita nasihatkan supaya sabar & ingatkan akan janji pahala dari Allah, orang yang sedang galak dengan maksiat kita ceritakan tentang amaran & janji azab Allah. 
    Manakala ketika jemaah berada di Arafah, ketika sedangkan menjadi tetamu Allah; Kita ambil peluang untuk menjentik hati manusia ketika mereka mahu menjadi baik, insaf dan menyesal. 
    Peluang adakalanya tidak akan berulang, maka dalam isu apa sajapun, bila ada peluang untuk berdakwah & berceramah maka teruskanlah usaha kamu!
    Kata Ibnu Asyur RHM : Para pendakwah mesti ambil peluang untuk menyampaikan kebenaran di mana saja mereka berada, sebagaimana Rasulullah SAW melakukannya pada hari Haji, Baginda SAW pergi ke khemah-khemah dan pasar-pasar yang ada di Mina untuk berdakwah.
  1. Ayat 47- {berimanlah kamu dengan apa yang telah Kami turunkan (Al-Quran), yang mengesahkan Kitab-Kitab yang ada pada kamu}-
    Berimanlah dengan al-Quran yang menjadi saksi, mengesahkan apa yang ada dalam kitab kamu sebelum ini, menjadi pengawal akan kebenaran maklumat yang ada di dalamnya.

    Firman Allah SWT:
    {Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya (مُصَدِّقًۭا) Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya (مُهَيْمِنًا).} (Al-Maaidah 5:48)
    Dari segi asas ajaran agama iaitu tauhid & dari sudut aqidah, dalam al-Quran dan kitab yang terdahulu adalah sama tetapi berbeza dari segi Syari’ah & perundangannya,

    Firman Allah SWT:
    {Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing).} (Al-Maaidah 5:48)
  1. Ayat 47- {sebelum Kami menyeksa dengan menghapuskan bentuk muka kamu (sehingga berubah menjadi rata – tidak bermulut, berhidung dan bermata), lalu Kami menjadikannya sama seperti rupa sebelah belakangnya, atau Kami melaknatkan mereka sebagaimana Kami telah melaknatkan orang-orang (dari kaum mereka – Yahudi) yang melanggar larangan bekerja pada hari Sabtu.}-

    Allah SWT bawa dua amaran di sini jika mereka tidak beriman.
    Iaitu sama ada:
    i- Menukar rupa mereka jadi kosong tanpa pancaindera seperti mata hidung mulut dan lain-lain.

    ii- Atau akan dilaknat seperti golongan yahudi Ashabus-Sabti yang melanggar larangan bekerja (menangkap ikan) pada hari Sabtu.
    Allah SWT tidak sebut kisah mereka ini cuma sebut nama mereka saja secara umum kerana kisah ini adalah masyhur dan telah dimaklumi.
    Telah banyak ayat-ayat al-Quran lain menyebut kisahnya dengan terperinci.

    Sebagaimana kisah Abrahah nak serang Ka’bah, hanya disebut secara ringkas dengan beberapa ayat saja dalam Surah Al-Fil.
  1. Ayat 48- {Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua),}-

    Ayat ini memberi amaran keras bahawa syirik adalah dosa besar yang tidak akan diampunkan.
    Ini menunjukkan bahawa tauhid itu adalah asal (أصل) atau kepala kepada agama. 
    Allah SWT tidak akan menerima mana-aman amalan selagi tidak tauhid kepada Allah SWT!
    Orang yang tauhid Allah akab beri kemapunan kepada mereka walaupun banyak mana dosa mereka!
    Maka adalah kewajipan bagi kita semua untuk jaga tauhid & jaga aqidah, jangan sekali-kali kita terjebak dengan perkara-perkara syirik!
  1. Ayat 48- {dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya).}-

    Allah kata Dia akan ampunk segala dosa lain selain daripada syirik.
    Tetapi jangan sesekali kita berani & bermudah-mudah buat dosa pula; ingat kena bakar dulu baru habis & diampunkan dosanya, jika Allah tak ampunkan maka di dalam nerakakah kamu wal-‘iyazu billah. 

    Kata ulama’ tadabbur : Ini adalah dua nikmat yang besar daripada dua sudut iaitu:
    i- Ayat ini menunjukkan bahawa sesiapa yang mati dalam tauhid, tidak syirik kepada Allah; walaupun dia ada dosa banyak, Allah SWT akan ampunkan dosanya insya’ Allah.
    Manakala sesiapa yang mati dalam syirik walaupun banyak amal kebaikannya; tidak akan diampunkan oleh Allah SWT!

    ii- Apabila Allah sebut: {bagi sesiapa yang dikehendakiNya }-
    Maka di sinilah kita kena belajar ilmu takut (الخوف) kepada Allah SWT, serta berharap (الرجاء) kepada pengampunan-Nya kerana Allah kata akan beri keampunan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, bukan kepada semua. 

    Maka jika Allah tak ampun akan kekal di dalam nerakalah jawapnya! 
    Ini bukan benda yang mudah & senang, bukan boleh dibuat main-main!
    Maka kita sebagai orang beriman, wajib jauhkan diri daripada maksiat, daripada perkara mungkar, mudah-mudahan kita akan termasuk dalam golongan yang diampunkan Allah dosanya, untuk dibawa ke dalam syurga-Nya, amin ya Rabbal-alamin!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs