AZAB ORANG KAFIR, KULITNYA SENTIASA TUMBUH KEMBALI & NIKMAT BAGI AHLI SYURGA.
Full video : https://youtu.be/-5WCLTIPRgI?si=rPtIU0jfd6y8RtkZ
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 56 sehingga 57 bagi Surah An-Nisa’.
- Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang azab orang kafir, yang akan dibakar dalam api neraka yang menyala-nyala!
- Antara azabnya juga ialah kulitnya sentiasa tumbuh kembali setelah hangus terbakar.
- Dalam ayat seterusnya Allah ceritakan pula tentang nikmat bagi ahli Syurga.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang ancaman khas kepada ahli kitab yang dengki hasad kepada Nabi SAW yang Allah beri jawatan nabi & rasul terakhir.
Mereka dengki kerana mendakwa jawatan itu sepatutnya diberikan kepada bani Israil.
ii- Maka datang ayat ini menegaskan tidak kira siapa pun sekiranya kufur dan syirik pada Allah, ahli kitab atau tidak, jika mereka lawan hukum Allah maka neraka balasannya.
Ayat ini menjadi amaran keras, peringatan dan ancaman besar kepada sesiapa yang derhaka kepada Allah apatah lagi yang kufur & syirik kepada Allah.
Siapa yang berani berbuat demikian adalah cari pasal, cari bala bencana!
Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 56- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG KUFUR INGKAR KEPADA AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI, KAMI AKAN MEMBAKAR MEREKA DALAM API NERAKA. TIAP-TIAP KALI KULIT MEREKA MASAK HANGUS, KAMI GANTIKAN UNTUK MEREKA KULIT YANG LAIN SUPAYA MEREKA DAPAT MERASA AZAB SENGSARA ITU. DAN (INGATLAH) SESUNGGUHNYA ALLAH ADALAH MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AN-NISA’ 4:56)
- Allah beri amaran & ancaman kepada sesiapa yang kufur, tidak beriman & menafikan dengan ayat-ayat al-Quran yang Allah turunkan dan ayat-ayat tanda keagungan Allah SWT!
- Ayat-ayat Allah (آيات الله) ini ada dua dimensi:
i- Ayat-ayat Syar’iyyah iaitu ayat Qura’aniyyah yang dibaca (آيات مقروءة)- inilah ayat al-Quran yang Allah turunkan ini.
ii- Ayat kauniyyah (آيات كونية)- ayat-ayat, tanda-tanda akan kebesaran, keagungan Allah SWT yang amat nyata.
Setiap kali kita mengembara atas muka bumi ini, di udara, langit atau lautan, apabila melihat pemandangan, keajaiban & keindahan alam, kita wajib ambil iktibar akannya.
Tanda- tanda keagungan Allah untuk dihayati dan diinsafi, untuk diambil iktibar & pengajaran bukan hanya sekadar untuk diselfie.
Hadis- Turun hujan boleh menjadikan seseorang beriman atau kufur : Rasulullah SAW selesai mengimami solat subuh di Hudaibiyah setelah malamnya turun hujan. Lalu Baginda SAW bersabda: “Tahukah kamu apa yang diwasiatkan oleh Allah SWT kepadaku? Jawab para sahabat: “Hanya Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Lalu Baginda SAW bersabda: “(Allah berfirman) Pada pagi hari, di antara hamba-Ku ada yang beriman kepada-Ku dan ada yang kafir. (Yakni sesungguhnya dengan turunnya hujan, manusia boleh menjadi beriman dan mereka boleh menjadi kufur). Bagi yang beriman, mereka akan berkata: Kami menerima hujan dengan rahmat dan kelebihan daripada-Nya. Manakala orang yang kufur akan menyandarkan kepada bulan dan bintang serta perkara lain terhadap fenomena ini. Maka dia kufur kepada-Ku dan beriman pada bintang-bintang.” [HR Bukhari dan Muslim].
- Dalam ayat ini Allah kata mereka yang kufur kepada ayat-ayat Allah; sama ada ayat Syar’iyyah atau kauniyah keduanya, Allah akan kenakan azab ke atas mereka dengan dicampakkan ke dalam api neraka!
Orang mukmin mesti menghayati dan mengimani ayat-ayat Allah ini.
- Di dalam neraka itu mereka akan dibakar dengan api yang menyala marak dan setiap kali kulit mereka terbakar hangus rentung sehingga hancur lebur, akan ditumbuhkan kembali kulit yang baru untuk diazab, dibakar kembali.
- Begitulah berulang proses azab itu, hancur terbakar tumbuh kembali, azab lagi, tumbuh lagi!
Semua itu supaya mereka dapat merasa kepedihan, kesiksaan, kesakitan azab sengsara yang dahsyat itu berterusan tanpa henti. Wal-‘iyazubillah.
- Apabila mendengar ancaman azab ini hati kita mesti terasa insaf & takut akannya.
Seorang ulama’ diceritakan setiap kali dia berasa lalai dan nak buat maksiat, dia akan meletakkan jarinya atas api lilin untuk mengingatkannya akan api neraka!
Allahu Akbar- manusia hari ini tidak takut apa lagi; bahkan menyalakan api dan berani meletakkanya di mulut!
- Mereka yang yang diazab ini tidak akan mendapat pertolongan & perlindungan dari sesiapakan untuk menyelamatkannnya dari azab & hukuman Allah SWT!
- Sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana- semua yang Allah buat dan taqdirkan adalah di bawah hikmah & kebijaksanaan-Nya.
Jangan sesiapa mempertikai dan mempersoalkan perbuatan Allah SWT, Dia buat apa yang Dia mahu!
Bahkan kita sebagai hamba & manusia yang akan dipersoal & dipertanggungjawabkan atas segala perbuatan & amalan kita.
Semoga Allah selamatkan kita semua dari terlibat dan terjebak dengan perkara mungkar & maksiat, selamat dari azab & api neraka!
AYAT 57- {DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN SERTA BERAMAL SOLEH, KAMI AKAN MASUKKAN MEREKA KE DALAM SYURGA YANG MENGALIR DI BAWAHNYA BEBERAPA SUNGAI, MEREKA KEKAL DI DALAMNYA SELAMA-LAMANYA. MEREKA BEROLEH DALAM SYURGA ITU PASANGAN-PASANGAN, ISTERI-ISTERI YANG SUCI BERSIH, SERTA KAMI MASUKKAN MEREKA KE TEMPAT YANG TEDUH YANG SENTIASA DINAUNGI.} (AN-NISA’ 4:57)
- Ya Allah jadikanlah kami dari kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
Kita beriman & beramal soleh dengan taufiq dari Allah SWT!
- Munasabah ayat:
i- Apabila Allah SWT menyebut akan ancaman kepada puak kafir dalam ayat 56, Allah juga bawa ayat akan janji baik & mesra penuh kasih-sayang kepada orang beriman!
ii- Telah menjadi uslub al-Quran untuk membawa bersama janji buruk (وعيد) dan janji baik (وعد).
Pasti serentak ancaman & galakan, ketakutan & harapan. Ancaman buat yang derhaka, rahmat buat yang beriman, neraka lawan syurga.
Tertib atau susunannya bergantung kepada kisah ayat yang dibincangkan- sama ada janji baik atau buruk dulu!
Betapa indahnya tertib & uslub al-Quran yang datang dari Allah SWT!
- Dalam ayat ini Allah menegaskan bahawa mereka yang beriman & beramal soleh, menunaikan segala yang Allah perintahkan sama ada yang wajib atau sunat, menjauhkan diri dari segala larangan Allah SWT, ikhlas beribadat kepada Allah SWT & ikut ajaran dan sunnah Nabi SAW yang sahih;
- Amalan untuk menjadi yang soleh adalah wajib dengan dua syarat:
i- Dilakukan dengan ikhlas kerana Allah SWT
ii- Dan mengikut ajaran Nabi SAW. Mereka ini akan mendapat seperti janji rahmat Allah.
- Allah akan masukkan mereka ke dalam syurga yang penuh dengan nikmat & anugerah yang tidak terhitung & terbayang, tidak tergambar dek akal. Antara sifat syurga itu ialah yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.
- Serta mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya.
Iaitu nikmatnya tidak terhenti & tidak terputus, penghuninya kekal di dalamnya selamanya.
- Mereka beroleh dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang suci bersih (أَزْوَٰجٌۭ مُّطَهَّرَةٌۭ).
Ahli syurga dianugerahi pasangan yang bersih, suci dari:
i- Suci dari sudut fizikal seperti tiada darah haid, peluh kotoran, buang air, hamil, bau busuk dan lain-lain perkara fizikal yang lemah atas dunia ini!
ii- Mereka juga suci dari segi rohani seperti akhlak yang mulia, tiada lagi cemburu & hasad dengki.
- Serta Kami masukkan mereka ke tempat yang teduh yang sentiasa dinaungi.
Yakni dibawah bayangan teduh yang berpanjangan, yang Allah sediakan untuk hamba-Nya yang diredhai!
Firman Allah SWT: {وَظِلٍّ مَمْدُودٍ} {Dan naungan yang terbentang luas.} [Al-Waqi’ah: 30]
Ya Allah layakkan kami untuk berada di bawah bayangan Arasy-Mu pada hari yang tiada bayangan kecuali bayangan-Mu!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 56- {Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka.}-
Allah juga gambarkan satu perkara yang tidak digambarkan sebelum ini iaitu setiap kali kulit mereka hangus terbakar ia akan tumbuh hidup kembali untuk diazab dibakar lagi, satu proses yang berterusan dan menyiksakan.
Allah sebut kulit di sini (جُلُودُهُم) sebagai menunjukkan pada zahirnya kulitlah yang kena terbakar walaupun sebenarnya seluruh jasad yang akan terbakar diazab!
Kulit merupakan pusat rasa oleh kerana itu, Allah menggantikan lagi dengan kulit yang lain agar mereka terus merasakan azab.
Kita minta berlindung dengan Allah dan minta dijauhkan daripada api neraka walaupun sekelip mata!
- Ayat 56- {Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu.}-
Sebab Allah ganti atau tumbuhkan kembali kulit mereka itu untuk merasa azab yang berulang & berterusan!
Ulama’ tafsir kata : Ayat ini untuk menetapkan (mensabitkan) bahawa semua yang Allah SWT buat itu ada sebab & hikmah!
Huruf lam adalah untuk menunjukkan sebab- kulit baru tumbuh untuk mereka merasakan lagi azab! (لِيَذُوقُوا۟ ٱلْعَذَابَ )
Tidak ada apa yang Allah buat itu tanpa sebab, faedah & hikmah yang amat besar, ada yang kita manusia tahu atau nampak; ada yang tidak!
Manakala tentang pertukaran kulit yang hangus kepada yang baru: Ada ulama’ kata : 7 kali & ada kata 70 kali sehari, wal-‘iyazubillah!
- Mari kita lihat dua perkara yang membezakan antara keadaan ahli syurga & neraka-
Orang kafir akan diazab di neraka, manakala orang mukmin terus masuk syurga dengan amalan soleh dan mendapat rahmat Allah.
Melalui ayat ini dapat dilihat Allah bezakan antara:
i- Ayat 56- {Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka.}-
Allah kata dia akan masukkan (saufa- سَوْفَ – akan) orang kafir ke dalam neraka {سَوْفَ نُصْلِيهِمْ}
Yang layak ke neraka tunggu dulu, akan diteliti, diperhati dulu kalau-kalau ada syafaat dari Nabi SAW, dapat pengampunan atau pertambahan amalan baik dan sebagainya.
Ini menunjukkan betapa rahmat Allah mendahului & sangat besar.
ii- Ayat 57- {Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam syurga}- manakala untuk orang mukmin Allah tidak kata akan dimasukkan (سَوْفَ) ke dalam syurga tetapi akan terus dimasukkan ke dalam syurga {سَنُدْخِلُهُمْ}:. Untuk yang layak ke syurga masuk segera, pahalanya cepat, asal layak terus masuk.
Ini untuk kita orang mukmin dapat menjiwai bahawa betapa rahmat Allah SWT itu amat luas dan besar untuk hamba-Nya, rahmat Allah sentiasa mendahului kemurkaan-Nya barulah kita ada keyakinan!
Dalam hadis Nabi SAW bersabda bahawa wajib kita orang mukmin dekat nak mati untuk bersangka baik dengan Allah SWT, yakin akan rahmat & keampunan-Nya, jangan lemah jiwa dalam mengharapkan rahmat & keampunan Allah SWT!
Riwayat dari Jabir RA, beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda tiga hari sebelum Baginda wafat:
لاَ يَمُوتَنَّ أَحَدُكُمْ إِلاَّ وَهُوَ يُحْسِنُ بِاللَّهِ الظَّنَّ
Maksudnya: Ketahuilah bahawa seseorang dari kamu tidak akan menemui maut melainkan dia telah bersangka baik kepada Allah. [HR Muslim (2877)].
- Ayat 57- {Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam syurga..}-
Allah akan masukkan mereka terus dalam syurga!
Huruf sin (س) yang dekat dalam perkataan ini menunjukkan dekat, akan dimasukkan ini (سَنُدْخِلُهُمْ).
Menunjukkan bahawa balasan syurga itu segera dan cepat.
Allah berikan kebaikan di dunia dan akhirat bagi orang mukmin. Di dunia pun hidup penuh ketenangan, penuh bahagia dan mendapat kerehatan.
Orang mukmin yang berjuang (mujahid) mengatakan syurga itu ada dalam hati mereka; jika mereka dapat bebas berjuang berdakwah alhamdulillah itulah nikmat tetapi jika mereka ditangkap dan dikurung mereka juga suka kerana dapat berkhalwat, beribadat mendekatkan diri kepada Allah pula!
- Allah SWT memulakan dalam ayat ini dengan sebut orang kafir & neraka dulu kerana ia membincangkan tentang orang kafir & ahli kitab yang zalim dan jahat.
Fokus kepada isu mereka maka dimulakan dengan azab baru didatangkan rahmat.
Kemudian baru dibawa kisah orang mukmin sebagai pengimbangnya, inilah uslub al-Quran yang sentiasa ada menyebut baik-buruk, positif-negatifnya, syurga neraka sebagai amaran & galakan untuk umatnya!
- Alhamdulillah & tahniah kepada semua yang mampu berpuasa hari ini, untuk hari ke-9 Zulhijjah ini & semoga kita dapat teruskan untuk hari ke-10 esok juga, insya’ Allah.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.