Surah An-Nisa’ : Ayat 60-63

SIKAP MUNAFIQIN TERHADAP QURAN, MENYEKAT DAKWAH ISLAM & ALLAH SWT DEDAHKAN RAHSIA MEREKA.

Full video : https://youtu.be/RACsbv_AR6g?si=Nd625qvVWI08NcOA

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 60 sehingga 63 bagi Surah An-Nisa’. 
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah Allah dedahkan tembelang munafiq yang jahat, berpura beriman tetapi dalam hatinnya penuh kekufuran, hasad & segala pengkhianatan.
    Mereka telah digoda oleh syaitan, mereka ikut hawa nafsu lalu berlakulah huru-hara yang berpandangan.
  1. Peringatan ini supaya kita orang beriman orang sentiasa berhati-hati, beringat & mengambil langkah berjaga-jaga agar kita tidak terjebak dengan perangkap syaitan & juga munafiqin.
  1. Sikap mereka amat buruk terhadap al-Quran & mereka juga menyekat dakwah Islam lalu Allah SWT dedahkan rahsia mereka.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT memperwajibkan ke atas setiap orang yang mukallaf agar taat kepada Allah & taat kepada rasul.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah dedahkan ada sekumpulan manusia munafiqin yang zahirkan seolah mereka Islam tetapi batinnya mereka kufur kepada Allah. 
    Ini kerana orang Islam akan bergembira apabila undang-undang Islam mahu dilaksanakan tetapi mereka keluh kesah & stress akan ini dan turut bangkit menentang bersama kafir tulen, memperjuangkan hak untuk melawan hukum Tuhan.

    Munasabah kedua:
    i- Allah sebut dalam ayat yang lepas bahawa puak musyrikin juga ikut syaitan & taghut (الطاغوت). Maka Allah arahkan orang Islam, orang mukmin yang beriman agar taat kepada Allah & Rasul, tunaikan amanah dan jalankan keadilan, jangan menipu, tunaikan janji dan seumpamanya.

    ii- Maka Allah nyatakan satu kumpulan lagi iaitu golongan munafiqin yang sifat mereka ialah apabila berkata-kata, dia berdusta. 
    Kedua, apabila berjanji, dia ingkari dan apabila diberikan amanah (kepercayaan), dia khianati.

    Yakni Allah dedahkan dalam dunia ini manusia ada tiga golongan iaitu:
    i- Orang mukmin yang beriman

    ii- Orang kafir yang jelas kufur & jahat

    iii- Golongan ketiga yang amat bahaya itu munafiqin, musang berbulu ayam.
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيم

AYAT 60- {TIDAKKAH ENGKAU (HAIRAN) MELIHAT (WAHAI MUHAMMAD) ORANG-ORANG (MUNAFIK) YANG MENDAKWA BAHAWA MEREKA TELAH BERIMAN KEPADA AL-QURAN YANG TELAH DITURUNKAN KEPADAMU DAN KEPADA (KITAB-KITAB) YANG TELAH DITURUNKAN DAHULU DARIPADAMU? MEREKA SUKA HENDAK BERHAKIM KEPADA TAGHUT, PADAHAL MEREKA TELAH DIPERINTAHKAN SUPAYA KUFUR INGKAR KEPADA TAGHUT ITU. DAN SYAITAN PULA SENTIASA HENDAK MENYESATKAN MEREKA DENGAN KESESATAN YANG AMAT JAUH.} (AN-NISA’ 4:60)

  1. Ayat ini adalah larangan mendatangi kahin, dukun atau bomoh. 
    Ia turun sebagai teguran kepada orang yang menyatakan telah beriman kepada Allah & Rasul tetapi masih melakukan kebiasaan orang-orang musyrik, seperti mendatangi dukun untuk berhukum dalam berbagai persoalan yang terjadi di antara mereka.
  1. Sebab nuzul ayat ini:
    Riwayat dari Ibnu Abbas RA : Bahawa dulu ada seorang yang bernama Abu Barzah al-Aslami, seorang dukun, yang memutuskan perselisihan dan masalah antara orang-orang Yahudi. Lalu kemudian terdapat beberapa orang muslim datang kepadanya untuk keperluan tersebut. Maka Allah menurunkan ayat ini dan dua ayat berikutnya.
  1. Allah SWT bertanya kepada Rasulullah SAW apakah Baginda tidak berasa pelik dengan sekumpulan manusia yang mengaku beriman serta percaya kepada kitab-kitab terdahulu seperti Taurat & Injil; tetapi apabila mahu melaksanakan undang-undang, tidak mahu ikut perintah al-Quran. 
  1. Bahkan mahu berhukum dan melaksanakan undang-undang bukan dengan al-Quran & Sunnah tetapi mahu perundangan yang bersumberkan yang lain. 
    Sedangkan mereka telah diberi perintah untuk melaksanakannya!
  1. Rumusannya kata AAM : Perkara ajaib yang kelapan dalam dunia ini adalah anak-anak orang Islam yang tidak mahu undang-undang Islam dari al-Quran & Sunnah.
  1. Sedangkan mereka telah diberi perintah untuk mengingkari dan kufur kepada taghut & syaitan!! 
    Syaitan & taghut telah benar-benar menyesatkan mereka untuk menyeleweng dari perintah Allah dan apa yang dibawa nabi SAW.

AYAT 61- {DAN APABILA DIKATAKAN KEPADA MEREKA: “MARILAH BERHAKIM KEPADA HUKUM AL-QURAN YANG TELAH DITURUNKAN OLEH ALLAH DAN KEPADA HUKUM RASULULLAH,” NESCAYA ENGKAU MELIHAT ORANG-ORANG MUNAFIK ITU BERPALING SERTA MENGHALANG (MANUSIA) DENGAN BERSUNGGUH-SUNGGUH DARIPADA MENGHAMPIRIMU.} (AN-NISA’ 4:61)

  1. Apabila diperintahkan kepada puak munafiq untuk berhukum dengan undang-undang yang diturunkan Allah dan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW; kamu akan lihat mereka berpaling ingkar tidak mahu serta menghalang manusia juga daripadanya!
    Sama juga dalam masyarakat Islam pun apabila kita ajak & dakwah untuk beramal dengan Sunnah Nabi SAW, mereka kata tidak boleh, akan menimbulkan kekacauan dalam masyarakat, berbeza dengan amalan-amalan yang telah lama diamalkan dan pelbagai alasan yang karut. 
    Membiasakan yang betul dan memperbetulkan yang salah adalah tugas kita semua. 
    Bukan terus tengngelam dalam amalan dan adat yang bukan dari sumber yang sahih.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT sebut: Bahawa mereka puak kafir { يُرِيدُونَ} bersemangat, nak, ada cita-cita untuk berhakim dengan undang-undang taghut, serta tidak mahu melaksanakan hukum Islam. 
    Sedang merancang & atur strategi dengan bersungguhnya.

    ii- Dalam ayat ini mereka sudah buat, laksanakan apa yang dirancang itu. 
    Mereka tidak melaksanakan hukum Allah, ikut undang-undang syaitan & taghut bahkan menyekat orang lain daripada beramal & melaksanakan hukum Allah!
  1. Sama seperti dalam kalangan orang Islam sendiri yang apabila diajak untuk beramal dengan amalan Sunnah yang sahih, yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW; mereka juga menolak. 
    Dengan alasan boleh mencelarukan masyarakat, bertentangan dengan amalan kebiasan & adat masyarakat, berat untuk diamalkan serta pelbagai alasan yang remeh.
  1. Sedangkan apa yang diajar oleh Rasulullah SAW itu mudah ringan dan amat sesuai untuk dilaksanakan oleh umatnya! 
    Jangan ada di kalangan kita orang yang beriman apabila diajak untuk beramal dengan Sunnah berasa susah hati & berat!
  1. Munafiqin ini juga menyekat orang lain daripada mengikut & beramal dengan ajaran Islam yang sebenar & amalan Nabi yang sahih.
    Semua orang yang dakwah kepada kitab & Sunnah akan dihalang oleh orang kafir, munafiq & pengikut hawa nafsu. 
    Ia juga untuk menutup kebatilan yang dibawa oleh mereka.
  1. Firman Allah SWT juga tentang sifat munafiq ini:
    {Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): “Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab:” (Tidak), bahkan Kami hanya menurut apa yang Kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah mereka (menurut datuk neneknya) sekalipun Syaitan mengajak mereka itu (melakukan perbuatan yang menjerumuskan mereka) ke dalam azab api neraka yang marak menjulang?} (Luqman 31:21)

    Ayat ini memberi pengajaran kepada kita bahawa :
    Tidak boleh ikut amalan datuk nenek jika bertentangan dengan Syari’ah Allah SWT. Kita patut betulkan ajaran itu bukan ajaran al-Quran atau Sunnah pula yang kena ikutnya!

AYAT 62- {MAKA BAGAIMANA HALNYA APABILA MEREKA DITIMPA SESUATU KEMALANGAN DISEBABKAN (KESALAHAN) YANG TELAH DIBUAT OLEH TANGAN MEREKA SENDIRI, KEMUDIAN MEREKA DATANG KEPADAMU SAMBIL BERSUMPAH: “DEMI ALLAH, KAMI TIDAK SEKALI-KALI MENGHENDAKI MELAINKAN KEBAIKAN DAN PERDAMAIAN (BAGI KEDUA PIHAK YANG BERBALAH)”.} (AN-NISA’ 4:62)

  1. Allah dedahkan lagi sifat munafiq ini, apabila terjadi peristiwa buruk atau perancangan jahat yang mereka buat terdedah. Mereka akan datang berjumpa Rasulullah SAW lalu bersumpah untuk menafikannya & membela diri mereka! 
  1. Inilah sifat buruk mereka lagi. Suka bersumpah dengan menjual nama Allah dengan sumpah palsu untuk menutup tembelang mereka dan menunjukkan kebaikan mereka! 
    Perkara yang jelas & terangan salah cuba ditutup dengan sumpah palsu! 
  1. Inilah mulut manis yang penuh beracun! 
    Kita jangan mudah percaya kepada orang yang suka bersumpah ini kerana mereka adalah orang yang bermuka-muka & mudah berubah pendiriannya.
  1. Allah SWT dedahkan tembelang busuk mereka. Allah SWT juga berfirman tentang ini:
    {فَتَرَى الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ يُسَارِعُونَ فِيهِمْ يَقُولُونَ نَخْشَىٰ أَنْ تُصِيبَنَا دَائِرَةٌ ۚ فَعَسَى اللَّهُ أَنْ يَأْتِيَ بِالْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍ مِنْ عِنْدِهِ فَيُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا أَسَرُّوا فِي أَنْفُسِهِمْ نَادِمِينَ}
    {Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafik) yang ada penyakit dalam hatinya segera berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata: “Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana (yang memaksa kami meminta pertolongan mereka)”. Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada RasulNya dan umat Islam) atau mendatangkan sesuatu hukuman dari sisiNya (terhadap golongan yang munafik itu); maka sebab itu mereka akan menyesal mengenai apa yang telah mereka sembunyikan dalam hatinya.} (Al-Maaidah 5:52)

AYAT 63- {MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG DIKETAHUI OLEH ALLAH AKAN APA YANG ADA DALAM HATI MEREKA, OLEH ITU BERPALINGLAH ENGKAU DARIPADA MEREKA, DAN NASIHATILAH MEREKA, SERTA KATAKANLAH KEPADA MEREKA KATA-KATA YANG BOLEH MEMBERI KESAN PADA HATI MEREKA.} (AN-NISA’ 4:63)

  1. Allah mengetahui hakikat perasaan orang-orang munafik.
    Allah tahu apa yang terkandung dalam hati puak munafiqin yang niat jahat mereka nak menolak undang-undang Islam serta menghidupkan budaya & perundangan kafir.
    Tidak ada perkara yang tersembunyi daripada Allah, Dia mengetahui apa yang zahir & batin. 
  1. Maka Allah SWT ajar kepada kita jika kita berjumpa dengan puak yang bersifat dan berperangi begini- tiga perkara yang kita kena buat:
    i- Tinggalkan dan jangan ambil kira tentang mereka. Jangan layan video, tulisan, content mereka, kerana semakin kita layan semakin mereka suka dan berjaya! Jangan memberi mereka peluang yang seolah memberi sokongan. 

    ii- Jika berpeluang untuk menasihati mereka, peluang berdakwah kepada mereka buatlah.Melalui apa cara sahaja sama ada melalui panggilan talifon, hantar wassap, hantar video dan artikel berkaitan, semua ini adalah wasilah untuk berdakwah & menyampaikan kepada masyarakat!

    iii- Jika boleh berjumpa dan berdepan dengan mereka untuk memberi nasihat secara sembunyi dengan perkataan dan ayat yang boleh menyentuh jiwa mereka. 
    Ungkitkan tentang ilmu & keimanan. Jika kita beriman kepada Allah, dah tahu sifat Allah Yang Maha Bijaksana & Mengetahui segala perkara kenapa tidak mahu haramkan yang Allah haramkan.. dan seumpamanya. 
    Jika cintakan Nabi dengan cinta yang hakiki, janganlah kita buat perkara yang tidak diajar dan disuruh oleh Baginda SAW.  
  1. Apabila kita sampaikan nasihat, sudah sampai nasihat ke telinga mereka; maka jika mereka dengar alhamdulillah, jika mereka tolaknya, jika mereka tak dengar tak apa, kita telah sampaikannya, telah lepas tanggungjawab kita. 
    Jangan hanya diam dan buat tak tahu saja seolah-olah membenarkan perbuatan mereka. 
  1. Kita sudah berusaha, bukan sekadar jadi syaitan bisu sebagaimana kata ulama’: الساكت عن الحق شيطان أخرس
    Orang yang diam melihat perkara yang tidak baik itu adalah syaitan bisu!

    Orang yang ada ilmu tetapi diam tidak menyampaikan kebenaran mereka takut & nak jaga kedudukan atau tidak mahu dimarah orang itu juga syaitan bisu!
  1. Allah sudah ajar dalam menghadapi sesuatu perkara mungkar & tidak benar: Jika tidak mampu tinggalkan- jika mampu nasihat, jika ada peluang sentapkan hati mereka dengan kata-kata nasihat yang baik, yang dapat menjentik hati mereka insya’ Allah!
    Mudah-mudahan ada telinga yang mendengar, ada mata yang celik, ada hati yang tersentuh lalu terbuka untuk berubah!
  1. Kita berdoa banyak-banyak dengan doa untuk membersihkan hati kita:
    اللَّهُمَّ طَهِّرْ قَلْبِي مِنَ النِّفَاقِ وَعَمَلِي مِنَ الرِّيَاءِ وَ لِسَانِي مِنَ الْكَذِبِ وَعَيْنِي مِنَ الْخِيَانَةِ إِنَّكَ تَعْلَمُ خَائِنَةَ الأَعْيُنِ وَمَا تُخْفى الصُّدُوْرِ
    “Ya Allah, sucikanlah hatiku dari kemunafikan, amal perbuatanku dari riya’ lidah dan ucapanku dari pembohongan, dan sucikan mataku dari khianat. Sesungguhnya, Engkau mengetahui pandangan mata yang khianat dan mengetahui apa saja yang tersembunyi dalam hati.”

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 60- {Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran..}-

    Allah suruh Rasulullah SAW melihat keadaan orang munafiq dengan penuh rasa kepelikan dan ajaib, bersifat kontra dengan dakwaan.
    Sempurnanya iman orang yang benar-benar beriman ialah mereka yang beriman & menerima undang-undang yang Allah SWT perintahkan! 
    Sebagaimana dalam ayat 65 nanti. Iaitu kamu tidak akan betul-betul beriman sehingga kamu akur menerima dengan semua perintah Allah.

    Kata ulama’ tadabbur ayat ini mengajar kepada kita:
    i- Untuk beriman dengan zahir dan batin. 

    ii- Beramal dengan tenang dengan apa yang diperintahkan Allah & dengan menjauhi apa yang dilarang.

    iii- Berpegang dengan sesungguhnya dengan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW sepenuhnya juga dari sudut amalan, ibadat dan akhlaknya serta perkara yang dilarang oleh Baginda SAW.

    Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيينَ، عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ
    Maksudnya: “Maka ke atas kalian sunnahku dan sunnah para khulafa al-rasyidin yang mendapat petunjuk, dan gigitlah ia dengan gigi geraham.” [HR Imam Ahmad dll].

    Jika kamu beriman dengan al-Quran, ambil & amalkan keseluruhan ajarannya. Bukan hanya setakat baca saja, tetapi beramal dengan undang-undang yang dibawa.
  1. Ayat 60- {Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu.}-

    Maka sesiapa yang mengambil undang-undang selain daripada Islam, selain al-Quran & Sunnah makai a telah mengambil undang-undang taghut!

    Apakah itu taghut?
    Antara maksudnya ialah: syaitan, pemimpin yang tidak mahu melaksanakan undang-undang Islam, apa yang penting ialah mereka yang ingkar kepada hukum Allah. 

    Jika benci & menentang undang-undang Allah SWT jika mampu untuk melaksanakannya, ia boleh membawa kepada kekufuran. 
    Tetapi jika kita lemah dan tak mampu untuk menjalakankan, tetap kena ada usaha dan keinginan untuk melaksanakannya, jangan tiada usaha.

    Jika sesuatu yang jelas haram dalam al-Quran seperti riba, rasuah dan lain-lain; kena ada usaha untuk menghapuskanya; jika boleh sekat terus, sekatlah, jika boleh kecilkan ruang kecilkan. 
    Jika boleh sediakan pilihan & peluang untuk orang tinggalkan semuanya.

    Antara kepincangan hari ini, undang-undang yang tidak diambil berat dan tiada hukuman dalam perlembagaan kita hari ini ialah bab aurat! 
    Sedangkan pemerintah boleh saja memaksa rakyatnya supaya menutup aurat, turun padang di mana saja tempat perhimpunan manusia untuk memberi kesedaran kepada masyarakat akan kewajipan menutup aurat. 

    Tetapi malangnya dedah aurat tidak menjadi satu kesalahan bagi masyarakat sekular, bahkan wanita muslim bebas mendedahkan aurat atas nama kebebasan dan hak asasi manusia (human right) yang berkiblatkan barat! Ini amat bahaya bagi agama dan generasi kita.

    PENJELASAN HUKUM DAN BATASAN AURAT. 
    Kempen Kesedaran Menutup Aurat: “Auratku Maruahku”.
    Lihat: https://www.dropbox.com/…/22-%20Auratmu%20Maruahmu%20…

    Baca Penjelasan di: BATAS-BATAS AURAT & MAHRAM DALAM ISLAM
    Baca di: http://www.abuanasmadani.com/batas-batas-aurat-dalam-islam/
  1. Ayat 60- {Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu..}-

    Mereka merancang nak berhukum dengan hukum taghut.
    Kata ulama’ : Manusia akan diberi pahala & ada tindakan jika ada niat di hati, ini satu isu besar!

    Manusia akan diberi pahala atas niat baiknya walaupun tak buat. 
    Begitu juga jika berniat tidak baik, sebagaimana ayat ini, berdosalah juga walau tidak buat jika ada plan dan perancangan, melainkan dia bertaubat.

    Sesiapa yang memang berazam nak buat maksiat dan ada perancangan jahat untuk membuatnya- seperti buat strategi nak menentang perundangan Allah maka dia akan mendapat dosa juga walaupun tidak buat lagi.

    Ini kerana, terdapat hadis di mana Nabi SAW telah bersabda:
    إِذَا تَوَاجَهَ الْمُسْلِمَانِ بِسَيْفَيْهِمَا، فَالْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ قَالَ فَقُلْتُ: أَوْ قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ هَذَا الْقَاتِلُ، فَمَا بَالُ الْمَقْتُولِ؟ قَالَ: إِنَّهُ قَدْ أَرَادَ قَتْلَ صَاحِبِهِ
    Maksudnya: “Bila dua orang Muslim bertemu dengan pedang mereka, maka yang membunuh dan yang dibunuh berada di dalam neraka. Aku (Abu Bakrah) pun bertanya, “Wahai Rasulullah, orang yang membunuh (memang patut dimasukkan ke dalam neraka), bagaimana pula dengan orang yang dibunuh? Nabi SAW. menjawab: ‘Sesungguhnya dia mahu membunuh temannya”. [HR al-Bukhari, no. 14].

    Di sini dapat difahami bahawa niat seseorang untuk melakukan kejahatan juga dikira mendatangkan dosa sekiranya niat itu disertai dengan keazaman, kesungguhan dan kemahuan yang tinggi, tinggal sahaja terhalang untuk melakukannya maka ia tidak terjadi.

    PERHATIAN: 
    Ini tidak bertentangan sebuah hadis Riwayat daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي مَا حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَتَكَلَّمْ
    Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memaafkan umatku ke atas apa yang terlintas di dalam dirinya selama dia tidak melakukannya atau bercakap tentangnya.” [HR al-Bukhari, no. 5269].

    Kerana niat buruk yang dimaksudkan di sini ialah sekadar lintasan hati lalu dia segera menarik baliknya. Dia pun tidak membuat apa-apa perancangan untuk melakukan kejahatan itu.
  1. Ayat 60- {padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.}-

    Allah telah memerintahkan manusia agar ingkar kepada tahgut tetapi telah menjadi pekerjaan syaitan untuk sentiasa menyesatkan manusia dan menjauhkan kita daripada Allah SWT.  
    Syaitan membuat perancangan & stretegi untuk menghalang manusia daripada berbuat kebaikan, untuk menghalang manusia daripada mengikut al-Quran & Sunnah Nabi SAW.
    Maka mana-mana manusia yang menghalang orang yang beriman daripada mengikut al-Quran & Sunnah. Maka ia adalah dikira pengikut syaitan- wal-‘iyazu billah.
  1. Ayat 63- {Mereka itulah orang-orang yang diketahui oleh Allah akan apa yang ada dalam hati mereka, oleh itu berpalinglah engkau daripada mereka……..}-

    Dalam ayat ini Allah memberi tiga jalan kepada orang beriman dan para pendakwah apabila berdepan dengan masalah yang berlaku dalam masyarakat. 
    Sebagai seorang pendakwah Allah SWT ajar tiga cara untuk menghadapi masalah ini, khususnya perkara tidak baik yang dibuat oleh golongan munafiq atau pengamal medsos yang suka menghina Islam:
    i- Jika tidak mampu tinggalkan- berpaling dari mereka. Jangan terjatuh dalam provokasi mereka untuk buat kita marah melenting- jangan dok layan video-video sampah dan tuduhan-tuduhan jahat yang disebarkan.

    ii- Jika mampu nasihat, nasihatlah mereka secara umum. Ini bukan soal jaga tepi kain orang tetapi soal maruah agama, wajib nasihat jika mampu.

    iii- Jika kita rapat dengan mereka, jika ada peluang sentapkan hati mereka dengan kata-kata nasihat yang baik, yang dapat menjentik hati mereka, dengan menjanjikan berita gembira akan pahala balasan baik serta menakutkan mereka dengan ancaman azab bagi perbuatan dosa.
    Mudah-mudahan ada telinga yang mendengar, ada hati yang tersentuh!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs