ARAHAN SENTIASA BERJAGA-JAGA, MUNAFIQIN SENTIASA MENCARI PELUANG & MELEMAHKAN SEMANGAT JUANG.
Full video : https://youtu.be/Hs_TqmCTR6c?si=EUthEd2rWOykc_KE
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada pagi yang ceria ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 71 sehingga 73 bagi Surah An-Nisa’.
- Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang arahan sentiasa berjaga-jaga, kena aktif, bergerak cergas tapi kena hati-hati.
- Ini kerana jalan kita ini penuh berliku, banyak rintangan daripada musuh yang terang iaitu kafir musyrikin & musuh yang tersembunyi iaitu munafiqian.
- Kerja munafiqin ialah sentiasa mencari peluang untuk melemahkan semangat juang, memporak-perandakan kesatuan umat Islam, mengkucar-kacirkan kedudukan maayarakat Islam & mencari peluang untuk mendapat habuan!
Dia tidak mahu rugi & nak dapat keuntungan daripada dua-dua pihak!
- Maka Allah ajar kepada kita untuk meletakkan semangat juang yang tinggi, supaya jangan lemah, jangan lalai serta jangan terlampau semangat (tak tentu hala); kita kena ada plan & strategi.
Berhati-hati itu juga dengan taqdir Allah; maka kita kena usaha & ikhtiar, bukan tak buat kerja & hanya berserah.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang perintah untuk taat kepada Allah & Rasulullah SAW dalam perkara akhlak, ibadat & semuanya.
Serta orang yang taat akan dibangkitkan di syurga kelak bersama para nabi, solihin, orang yang benar & orang yang mati syahid.
ii- Manakala ayat ini Allah nyatakan tentang satu isu & golongan yang dimuliakan tersebut iaitu galakan untuk berjihad & mati syahid.
Galakan berjihad dibawa bersama dengan kelebihan mati syahid.
Salah satu cara untuk taat adalah menghidupkan agama ini, selain berdakwah ialah berjihad melawan musuh yang menentang Islam.
Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 71- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, BERSEDIALAH DAN BERJAGA-JAGALAH (SEBELUM KAMU MENGHADAPI MUSUH), KEMUDIAN (BILA DIKEHENDAKI) MARALAH (KE MEDAN PERANG) SEPUAK DEMI SEPUAK, ATAU (JIKA PERLU) MARALAH SERENTAK BERAMAI-RAMAI.} (AN-NISA’ 4:71)
- Ayat ini galakan untuk berdakwah dan gerakan jihad menentang musuh-musuh yang menghalang perjalanan dakwah agama Islam.
Tetapi ingat; jangan terpengaruh dengan momokan orang kafir bahawa Islam ini tertegak dengan peperangan & senjata.
Islam adalah agama dakwah tetapi dakwah tidak akan dapat berjalan tanpa jihad & perjuangan.
- Dalam masa yang sama Allah menyeru & perintahkan orang yang beriman agar ambil langkah berjaga-jaga.
Kena ada persediaan yang kukuh, benteng untuk melawan semua jenis serangan & senjata musuh!
Jika bertahan saja (defense) tidak selamat lagi maka ada waktunya kita terpaksa menyerang juga (attack)!
- Jihad ini adalah satu ketaatan yang sukar kerana ia terlibat dengan kehilangan nyawa & maut. Lalu untuk menggalakkannya Allah janjikan kehidupan yang penuh nikmat di alam barzakh bagi mereka yang mati syahid fi-sabilillah!
- Senjata untuk melawan kena pelbagai, hendaklah sesuai bagi menangkis senjata yang musuh gunakan!
Contohnya:
i- Senjata akhlak. Kesedaran akan kepentingan akhlak yang mulia dan jati-diri yang mantap dalam menjaga diri & maruah!
Bahayanya akhlah yang keji & gejala sosial yang memusnahkan.
Akhlak & pendidikan sivik untuk orang tua, anak-anak semuanya perlu & kena ada.
ii- Senjata untuk melawan dari sudut serangan pemikiran. Kita kena serlahkan apakan aqidah & pegangan yang benar- iaitu yang berdasarkan al-Quran & Sunnah Nabi SAW. Supaya tidak diasak dalam kepala anak-anak kita fahaman dan dakyah mereka, agar jangan diracuni oleh pemikiran mereka.
iii- Apa yang senjata mereka guna kita guna sedemikian juga seperti dari sudut ketenteraan, medsos, bahan cetak, kebudayaan dan seumpamanya.
Walaupun mereka lebih cangih atau maju- kita kena berusaha melawannya, apa alat yang mereka gunakan kita cuba adakan & lawan seumpamanya.
iv- Setiap orang yang ada ilmu dan kemahiran dalam bidang pengajiannya mesti diberi & dibahagi tugas untuk menyampaikan kebenaran.
Kena ada research dan kajian pula untuk menyampaikannya agar tidak menjadi tong kosong!
- Yakni hendaklah ada kerjasama daripada sebahagian masyarakat atau semuanya sekali dalam jihad melawan musuh Islam, tengok keadaan.
Masing-masing kena ada tugas, peranan dan ilmu untuk digunakan ikut kepakaran atau bidang masing-masing.
- Kata ulama’ : Jika orang bercakap di luar bidang pengajiannya, ia akan bawa perkara yang pelik dan ganjil.
Lagi tak sedap dengar jika orang kata merapunya ustaz, apatah lagi jika merapu di meja kuliah- ini yang kita tak mahu!
AYAT 72- {DAN SESUNGGUHNYA ADA DI ANTARA KAMU: ORANG-ORANG YANG SENGAJA MEMBERAT-BERATKAN DIRINYA (JUGA ORANG LAIN, DARIPADA TURUT MARA KE MEDAN PERANG). KEMUDIAN KALAU KAMU DITIMPA KEMALANGAN (TERCEDERA ATAU TERBUNUH) IA BERKATA: “SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH MENGURNIAKAN NIKMAT KEPADAKU, KERANA AKU TIDAK TURUT BERPERANG BERSAMA-SAMA MEREKA”.} (AN-NISA’ 4:72)
- Allah juga nyatakan ada orang yang duduk dalam masyarakat Islam yang zahirnya nampak dia muslim tetapi sebenarnya dia munafiq!
Luarnya beriman sedangkan dalam hatinya penuh kebencian, percakapannya pula asyik hina al-Quran & para ulama’ dan perli orang Islam.
- Dia memberatkan jihad ke atas dirinya, iaitu tidak mahu ikut berjihad, lalu di cari jalan atau hujjah untuk membenarkan perbuatannya.
Serta dalam masa yang sama dia berusaha untuk menghalangi orang lain agar tidak pergi juga dengan menjatuhkan semangat untuk berjihad.
- Dia buat kempen & di’ayah (kecek) orang lain agar jangan pergi juga!
Dengan cara mengatakan kamu akan mati, akan tinggalkan harta & anak-isteri dan seumpamanya.
Seorang Mukmin tidak boleh takut mati dalam peperangan kerana ajal manusia sudah ditentukan oleh qadha’ & taqdir Allah.
- Sifat jahat mereka juga; Kemudian kalau kamu ditimpa kemalangan (tercedera atau terbunuh), apabila kamu mendapatkan musibah kematian atau kekalahan perang, atau kalah dalam perdebatan secara alam maya seperti zaman kita ini; mereka akan bergembira dan bersyukur kerana mereka selamat, berkata nasib baik mereka tidak termasuk salah seorang tentera yang ikut ke medan perang. Dalam hati mereka sungguh gembira bila pihak mukmin tewas.
- Dalam medan dakwah pula, seorang pendakwah dikira ditimpa musibah apabila dikenakan tindakan yang dipanggil istilah bilik beku / pool; iaitu diberi satu meja/tempat tanpa jawatan. Tiada kerja khas hanya masuk keluar pejabat, punch kad ikut waktu saja.
Ada yang ditukar tempat kerja atau turun jawatan dalam masa 24 jam!
Kenapa?
Dosanya kerana mengajak dakwah, ajak orang berbuat baik, kembali kepada al-Quran & Sunnah; bukan menganjur majlis mengehentam dan maki orang atau kerajaan!
Semoga sahabat kita yang terkena musibah ini bersabar, ingatlah hari ini bersilih ganti, sekali di atas sekali di bawah, tanduk lembu itu menghala ke depan.
- Ingatlah orang yang munafiq & bersifat munafiq, yang hasad dengki, pencetus fitnah & batu api itu, akan berjumpa balasannya; siapa yang gali lubang untuk menjatuhkan orang, akhirnya dia sendiri yang akan jatuh!
Keadilan & pembalasan Allah menanti untuk semua.
Mereka mengira bahawa keselamatan mereka adalah suatu nikmat dari Allah dan mereka sama sekali tidak faham pahala kesabaran dalam perang dan juga pahala mati syahid dalam pertempuran adalah amat besar sekali di sisi Allah.
AYAT 73- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA KALAU KAMU BEROLEH LIMPAH KURNIA (KEMENANGAN) DARI ALLAH, SUDAH TENTU IA MENGATAKAN (DENGAN SESALNYA), SEOLAH-OLAH TIDAK ADA HUBUNGAN KASIH MESRA ANTARA KAMU DENGANNYA: “ALANGKAH BAIKNYA KALAU AKU TURUT SERTA BERSAMA-SAMA MEREKA, SUPAYA AKU JUGA BEROLEH KEMENANGAN YANG AMAT BESAR?”} (AN-NISA’ 4:73)
- Tetapi sebaliknya apabila Allah beri kemenangan kepada kaum mukmin, mendapat harta rampasan perang (ghanimah) yang banyak, barulah mereka terhegeh-hegeh mengaku menyesal kerana tak ikut serta!
- Mereka dengan tak malu berkata: Alangkah ruginya kami tak ikut serta, jika tidak akan mendapat kemenangan yang besar & keuntungan yang banyak.
Seolah orang mukmin pula yang menghalang mereka dari turut serta dalam berjihad!!!
Atau mahu mengaku mereka ada juga sumbangan & share dalam kemenangan yang dicapai!
- Ayat-ayat yang kita baca hari ini adalah ayat tentang Siyasah al-Harbiyyah atau politik ketenteraan.
Ketenteraan ini kena ada perancangan, strategi; kerana itu Allah kata tadi kita kena bangun ambil langkah tetapi kena hati-hati.
- Kata ulama’ : Arahan untuk berusaha & bertawakkal ini tidak bercanggah dengan kata-kata ini: (إن الحذر لا يغني من القدر).
Sesungguhnya segala langkah persediaaan, lari setara mana pun tidak akan dapat melepaskan kita daripada taqdir.
- Tetapi ini tidak bermakna kita tidak perlu berhati-hati, tidak payah buat persiapan atau usaha ikhtiar, yang penting selepas usaha kita tawakkal serahkan kepada qadha’ qadar Allah, baru kita tidak akan kecewa.
- Hatta Rasulullah SAW ambil langkah persediaan dengan merancang strategi & memakai baju besi untuk pergi berperang!
Baginda juga menyuruh tuan unta ikat dulu untanya baru bertawakkal kepada Allah, bukan lepas bebas kemudian harap ia tidak hilang!
- Sama seperti orang yang lari dari pergi berjihad kerana taku mati, dia tetap akan mati.
Jadi baiklah kita mati dalam medan perang, dalam keadaan jihad fi sabilillah, yang mendapat pahala & kelebihan yang besar daripada mati akibat lari dari medan perjuangan!
- Antara siyasah peperangan & pemerintahan yang bijak ialah yang ditunjukkan Khalifah pertama Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq RA. Meskipun timbul juga pada awalnya protes tentang pemilihannya, namun sejarah terpaksa mengakui hakikat bahawa kalau tidaklah Abu Bakar yang menjadi Khalifah, nescaya umat Islam akan berantakan jadinya & Islam tidak akan berkembang seperti hari ini. Dia sanggup berdiri sendiri dalam menghadapi serba kemungkinan dan hasilnya dia beroleh kemenangan yang gemilang.
- Antara tindakan tepatnya ialah:
Sebaik sahaja dilantik, Abu Bakar terus menggerakkan tentera pimpinan Usamah bin Zaid ke Ghassan yang terbantut akibat kewafatan Rasulullah. Dalam peperangan Muktah dulu, tiga orang pahlawan besar Islam tewas di tangan pasukan bersekutu Ghassan, termasuk Zaid bin Harithah, ayah Usamah. Sedang dalam peperangan Tabuk, tentera Rom dan Ghassan mengundu diri. Sebab itu Rasulullah membentuk pasukan lain pimpinan Usamah untuk menghadapi mereka, tetapi terbengkalai dengan kewafatannya. Baru setelah Abu Bakar terpilih, pasukan Usamah itu digerakkan semula. Meskipun tindakannya ini dibantah oleh sahabat-sahabatnya, namun diteruskan juga.
Dan hasilnya Usamah membawa kemenangan besar, setelah berperang selama 40 hari.
Kebetulan semalam kuliah tentang Khalifah ar-Rasyidin Abu Bakar RA:
AAM 2024 Tarikh Khulafa’ (05) Siyasah Saidina Abu Bakar, Meneruskan Tentera Usamah, Menghadapi Golongan Murtad.
Untuk cerita panjang boleh lihat di: https://youtu.be/DJ6L_0dM0SI?si=nIsAAvawp5OxRHIX
- Begitulah kehebatan Abu Bakar dan para sahabat yang wajib kita kenal agar kita sedar & tahu kejahatan golongan Syi’ah yang mulut busuk mencaci mencela puak sahabat.
Jangan cuba nak bertoleransi dengan mereka!
- Ketika menghantar Khalid bin al-Walid RA ke Yamamah untuk memerangi golongan murtad, Khalifah Abu Bakar berkata kepadanya: حَارِبْهُمْ بِمِثْلِ مَا يُحَارِبُونَكَ بِهِ ، السَّيْفُ بِالسَّيْفِ……..
Perangilah mereka dengan apa yang mereka perangi kamu! Pedang dengan pedang, senjata dengan senjata, tombak dengan tombak dan seumpamanya….
- Pada zaman kita ini gunalah segala yang ada tentera darat, laut & udara.
Serta zaman globalisasi, peperangan canggih masa kini, peperangan sosial media, yang menggunakan tentera netizen atau keyboard warrior atau apa saja medan alat medsos; kita lawan dengan fakta bukan dengan auta, lawan dengan hujjah bukan dengan akta semata.
Umat Islam juga kena setanding dengan orang bukan Islam.
Betapa ramai anak-anak muda kita yang pakar dalam bidang IT dapat digunakan kemahiran mereka untuk menyebarkan dakwah.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 71- {Wahai orang-orang yang beriman, bersedialah dan berjaga-jagalah (sebelum kamu menghadapi musuh), kemudian (bila dikehendaki) maralah (ke medan perang) sepuak demi sepuak, atau (jika perlu) maralah serentak beramai-ramai.}-
Arahan untuk pergi berperang tetapi dalam masa yang sama kena ada senjata, persediaan dan strategi yang mantap untuk menghadapi musuh!
Dalam negara Islam kena ada dua siyasah pentadbiran iaitu:
i- Siyasah dalaman negara. Iaitu menangani musuh yang berselindung di dalam negara kita.
Musuh dalam selimut, terutamanya yang berselindung disebalik nama acara keagamaan.
Seperti bergendang & berjoget dan hiasan kubur yang bercanggah dengan sunnah yang diajar oleh Rasulullah SAW.
Imam Ibnu Kathir sudah bawa kisah punca penyembahan atas dunia ini ialah al-ghuluw (taksub) yang melampau kepada orang soleh!
ii- Siyasah luar negara. Iaitu strategi untuk menghadapi musuh yang menyerang dari luar pula.
Kena ambil semua langkah yang ada serta dalam masa yang sama berhati-hati ambil usaha & ikhtiar.
Langkah berhati-hati dan berstrategi perlu diambil untuk menghadapi musuh Islam.
- Ayat 71- {Wahai orang-orang yang beriman, bersedialah dan berjaga-jagalah (sebelum kamu menghadapi musuh),}-
Wajib kita ambil langkah berjaga-jaga & berhati-hati untuk menghadapi musuh kita.
Serta mesti kita balas & guna senjata seperti yang mereka gunakan- senjata dengan senjata, wasilah atau alat lain dengan alat yang seumpamanya juga!
Setiap musuh kita ambil langkah berjaga dengan apa yang dia bawa!
Jika dia serang dengan senjata kita lawan dengan sejata, jika dengan dakyah & propaganda, kita lawan juga dengan serangan pemikiran & propa!
Jika masuk dengan akhlak kita lawan dengan akhlak juga!
Senjata yang kita nak gunakan kena sesuai & munasabah dengan apa yang mereka guna untuk serang kita!
Umat Islam jangan lemah, kita juga ada kepakaran dalam semua bidang yang musuh guna- umat Islam kena buat kerja & bila ada peluang dan ruang kita tangani & serang isu yang dibawa dan tersebar dalam masyarakat.
Kita kena ambil perhatian dan langkah berjaga-jaga dalam semua isu dan masalah kehidupan!
Antara langkah berhati-hari yang kita ambil sebagai ibu bapa ialah kena cek dan perhatikan alat gajet peranti anak-anak kita sama ada komputer, laptop atau hp anak-anak!
Apa yang mereka tengok, apa yang mereka bermain, dengan siapa mereka chat berkawan dan semuanya!
Helah puak yahudi untuk hancurkan anak-anak orang Islam.
Peperangan kita melalui medsos ini bukan kecil dan amat bahaya sekali, walaupun ada media sosial yang nampak positif tetapi tidak, maka ibubapa perlu lebih beri perhatian.
Buah itu tidak akan terus keluar dari pokok, pasti ada bibit & bunganya dulu!
Langkah kita untuk jaga akhlak, pendidikan & pergaulan anak-anak adalah amat penting!
Wajib tanamkan keimanan, kefahaman tentang maruah, akhlak mulia & jati diri yang mantap dalam diri anak-anak orang Islam!
- Ayat 72- {Dan sesungguhnya ada di antara kamu: orang-orang yang sengaja memberat-beratkan dirinya (juga orang lain, daripada turut mara ke medan perang).}-
Dalam ayat ini Allah nyatakan ada orang yang berat untuk menyahut seruan berjuang serta dalam masa yang sama dia akan melemahkan orang lain juga daripada berjuang!
Kerja utama mereka ialah melemahkan umat Islam.
Dia tengok orang mengaji, dia tengok orang aktif berjuang, dia mula lemah semangat & akan masuk menjatuhkan semangat orang itu.
Apabila dia tengok satu kuliah ustaz yang tidak sealiran dengan mereka- sama ada kuliah tafsir atau apa saja, yang mendapat sambutan dan dikongsi linknya, mereka akan cuba menyekatnya sama ada dengan mainkan isu gelaran & fitnah, atau menjadi batu api, menyebar berita buruk & fitnah.
Kita jangan mudah terpedaya dan terpengaruh dengan dakyah mereka ini yang cuba menyekat, melarang & melemahkan orang lain daripada mencari ilmu, berkhidmat, berjuang & berjihad pada jalan Allah!
Mereka ini memang wujud sejak dari zaman Nabi SAW lagi, kerjanya untuk menyekat dakwah, mereka akan cuba menghasut agar orang tidak menyertai dan akan gembira bila program tidak berjaya atau gagal.
- Ayat 72- {Kemudian kalau kamu ditimpa kemalangan (tercedera atau terbunuh) ia berkata…}-
Jika ditimpa musibah mereka akan bertempik meraung menyesal kenapa ikut kenapa ikut!
Tetapi jika mendapat kemenangan mereka akan bertempik, meraung; menyesal pula kenapa tak ikut!
Inilah bahayanya manusia yang bersifat sesumpah (pokko) yang kerjanya sentiasa rakus ingin mengaut keuntungan bila berpeluang dan tawaran.
Kita orang beriman kena kembali kepada aqidah banyak bertawakkal kepada Allah SWT.
Kerana kita tahu apabila Allah nak angkat darjat seseorang dalam jihad; sama ada dengan diberi kemenangan atau gugur syahid.
Keduanya adalah kemenangan, alhamdulillah.
Semoga Allah SWT anugerahkan yang terbaik untuk kita.
- Ayat 72- {Kemudian kalau kamu ditimpa kemalangan (tercedera atau terbunuh) ia berkata…}-
Allah kata jika kamu ditimpa musibah atau kamu diberi kebaikan.
Dalam ayat ini kita kena belajar ilmu tawakkal kepada Allah SWT berdasarkan hadis yang diajar oleh Rasulullah SAW.
Daripada Abdullah bin ‘Abbas RA, dia berkata: Pada suatu hari aku pernah berada di belakang Nabi SAW (membonceng tunggangan), Baginda bersabda: “Wahai anak muda, aku akan ajarkan kepadamu beberapa kalimat: Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya kamu akan mendapati Dia di hadapanmu. Jika kamu minta, mintalah kepada Allah. Jika kamu minta tolong, mintalah tolong juga kepada Allah. Ketahuilah, sekiranya seluruh manusia berkumpul untuk memberi kepadamu sesuatu keuntungan, maka hal itu tidak akan kamu peroleh selain daripada apa yang sudah Allah tetapkan untuk dirimu. Sekiranya mereka berkumpul untuk melakukan sesuatu yang membahayakan kamu, nescaya tidak akan membahayakan kamu kecuali apa yang telah Allah tetapkan untuk dirimu.” (HR at-Tirmizi)
Maka kita sedar jika kita dapat kesenangan & kemenangan; kita bersyukur kepada Allah!
Jika kita ditimpa ujian atau musibah, kita bersabarlah kerana tiada orang yang berjuang untuk menegakkan kebenaran tanpa ujian.
Sebagaimana firman Allah SWT: {اَحَسِبَ النَّا سُ اَنْ يُّتْرَكُوْۤا اَنْ يَّقُوْلُوْۤا اٰمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَـنُوْن}
{“Apakah manusia mengira bahwa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman” dan mereka tidak diuji?”} [Al-‘Ankabut 29: 2].
{Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.} (Al-‘Ankabuut 29:3)
Berusaha, berdoa dan bertawakkal kepada Allah, jagalah hak Allah, Allah akan jaga hak kita.
Tidak akan berlaku mudharat atau manfaat tanpa izin Allah, juga ingatlah rezeki kita dengan rahmat Allah.
Ya Allah jadikan kami orang yang benar dalam dakwah, benar dalam beriman, jadikan kami orang yang cintakan Allah & cintakan Rasulullah SAW.
Jika ada orang yang nak menghalang dakwah kami, jadikan kesibukan mereka untuk membuat kacau kembali ke atas kepala mereka sendiri.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.