View Categories

Surah An-Nisa’ : Ayat 74-76

ARAHAN DAN GALAKAN BERPERANG PADA JALAN ALLAH SWT & MATLAMAT PEPERANGAN.

Full video : https://youtu.be/s9mXz6wYfRE?si=cvBSTb4QPVK8_62l

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 74 sehingga 76 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ yang kelima.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang arahan untuk berperang serta galakan berperang pada jalan Allah SWT.
  1. Islam mempunyai beberapa strategi serta jalan dakwah. 
    Peperangan adalah salah satu daripada beberapa jalan dakwahnya, ia bukanlah satu-satunya jalan untuk dakwah Islamiyah.
  1. Kemudian dinyatakan matlamat peperangan, kenapa Allah suruh kaum muslimin berperang. 
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang sikap segolongan manusia munafiq yang bukan saja tidak mahu keluar berjihad tetapi juga melemahkan semangat orang lain agar tidak mahu berjihad juga! Bermacam karenah mereka untuk mengganggu perjalanan jihad.

    ii- Maka ayat ini datang membawa galakan & balasan yang mulia bagi jihad fi-sabilillah. Banyak hadis-hadis yang menyebut tentang fadhilat jihad & syahid iaitu terkorban dalam jihad fi-sabilillah.

    Hadis dari Abdullah bin Amru bin al-Ash RA bahawa sabda Rasulullah SAW: يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إِلَّا الدَّيْنَ
    Ertinya: “Orang mati syahid itu diampuni segala dosanya kecuali hutang.” (HR Muslim)
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu serta diampuni segala dosanya! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 74- {OLEH ITU, ORANG-ORANG (YANG BERIMAN) YANG MENGUTAMAKAN KEBAHAGIAAN AKHIRAT DARIPADA (KESENANGAN) KEHIDUPAN DUNIA, HENDAKLAH MEREKA BERPERANG PADA JALAN ALLAH (UNTUK MEMBELA ISLAM). DAN SESIAPA YANG BERPERANG PADA JALAN ALLAH LALU IA MATI (GUGUR SYAHID) ATAU BEROLEH KEMENANGAN, MAKA KAMI AKAN MEMBERI KEPADANYA PAHALA YANG BESAR.} (AN-NISA’ 4:74)

  1. Allah menyeru orang-orang yang benar-benar beriman, yang mahu membersihkan jiwanya sama ada dari dosa tidak mahu pergi berperang atau dosa-dosa lain; agar keluar berjihad.
  1. Kita ambillah apa yang ada di sisi Allah SWT. akhirat yang kekal abadi, bukan di sisi manusia yang sementara yang ada atas dunia ini.  
    Orang yang betul-betul beriman akan menjual kepentingan dunianya dan membeli untuk Akhirat! 
    Bukan seperti munafiq yang guna nama agama untuk kepentingan dunia atau ada juga orang Islam yang guna agama untuk kaut habuan dunia. 

    Pelbagai istilah timbul hari ini : Penunggang agama, scammer agama dan lain-lain yang buruk!
  1. Allah bawa seruan untuk berjihad dengan apa senjata yang ada sesuai dengan zaman dan keadaan. 
    Dengan pedang atau pena ikut medannya.

    Manakala dalam ayat ini khas untuk jihad yang menggunakan fizikal- 
    Jika terkorban dalam perang, pahala syahid, jika terselamat pahala dan ganjaran besar dari Allah.
  1. Allah nyatakan bawa dia akan tetap beri pahala kepada mereka yang berjihad fi-sabilillah sama ada kemenangan dan mendapat harta rampasan di dunia atau mati syahid lalu mendapat pahala yang besar di Akhirat.
  1. Dalam peperangan ada tiga keadaan:
    Sama ada kita menang, mati syahid atau menjadi tawanan. 
    Manakala tidak disebut keadaan ketiga dalam ayat ini iaitu menjadi tawanan, kerana ayat ini adalah ayat galakan untuk berjihad serta pahala besar untuknya. Sama ada kamu lawan sehingga mati syahid atau menang ke atas musuh! 
    Menjadi tawanan dapat pahala juga tetapi adalah satu kehinaan & kesiksaan yang tidak digalakkan dan jika boleh dielakkan sama sekali.

AYAT 75- {DAN APAKAH YANG MENGHALANG KAMU (MAKA KAMU) TIDAK MAHU BERPERANG PADA JALAN ALLAH (UNTUK MENEGAKKAN AGAMA ISLAM) DAN (UNTUK MENYELAMATKAN) ORANG-ORANG YANG TERTINDAS DARI KAUM LELAKI, PEREMPUAN DAN KANAK-KANAK, IAITU MEREKA YANG SELALU (BERDOA DENGAN) BERKATA: “WAHAI TUHAN KAMI! KELUARKANLAH KAMI DARI NEGERI (MAKKAH) INI, YANG PENDUDUKNYA (KAUM KAFIR MUSYRIK) YANG ZALIM, DAN JADIKANLAH BAGI KAMI DARI PIHAKMU SEORANG PEMIMPIN YANG MENGAWAL (KESELAMATAN AGAMA KAMI), DAN JADIKANLAH BAGI KAMI DARI PIHAKMU SEORANG PEMIMPIN YANG MEMBELA KAMI (DARI ANCAMAN MUSUH)”.} (AN-NISA’ 4:75)

  1. Allah SWT mencela mereka yang tidak bersemangat atau tidak mahu keluar berjihad untuk menegakkan agama Islam dan untuk menyelamatkan orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak (المستضعفين) yang tertahan di Makkah.
  1. Sebelum Pembukaan Kota Makkah ada golongan yang lemah (المستضعفين) yang tidak mampu berhijrah keluar dari Makkah (atau tertahan di mana-mana negara bulan Islam). Ada lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, mereka tidak mampu melawan atau menyelamatkan diri mereka!
  1. Kata Ibnu Abbas RA : Aku dan ibuku adalah antara golongan mustad’afin. Aku dari kalangan kanak-kanak manakala ibuku dari kalangan wanita. Mereka tertahan dari berhijrah manakala bapanya, Sayyidina Abbas RA menjaga telaga zam-zam dan tidak berhijrah sehingga Pembukaan Kota Makkah. Mereka kumpulan akhir berhijrah ke Madinah iaitu selepas pembukaan Kota Makkah.
  1. Ekoran perjanjian damai (Sulh Hudaibiyah) dengan kaum Quraisy di Makkah pada tahun ke-6H- gencatan senjata selama 10 tahun, membolehkan Rasulullah SAW menjalankan dakwah dengan lebih luas di Semenanjung Tanah Arab hatta ke keluar negara seperti Kahibar & Rom dan lain-lain. 
    Dari sinilah bermulanya kemenangan bagi umat Islam & membawa kepada Pembukaan Kota Makkah secara total pada bulan Ramadhan Tahun ke-8H.
  1. Golongan yang lemah & tertahan (المستضعفين) ini sentiasa berdoa:
    i- “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim.

    ii- Dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal keselamatan agama kami (وَلِيًّۭا).

    iii- Dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami dari ancaman musuh (نَصِيرًا).
    Yakni kita minta Allah yang lantik pemimpin atau ketua bagi kita, Allah yang pilih bukan kita saja pilih, dengan minta petunjuk & penilaian berdasarkan agama!
  1. Golongan (المستضعفين) berdoa agar diberikan pemimpin yang sanggup memimpin dan menolong mereka.
    Allah kabulkan doa mereka dengan diberikan sebaik-baik pemimpin, Rasulullah SAW yang membebaskan kota Makkah selepas perjanjian Hudaibiah.
  1. Jihad adalah satu keperluan yang wajib dalam Islam. Betapa pihak kafir dan golongan sekular cuba menghapuskannya dari hidup hakiki muslim & dari silibus pengajian anak-anak orang Islam. 

    FAKTA SEJARAH :
    Selepas peristiwa tragis ‘911’ iaitu letupan bangunan WTC- World Trade Center (Pusat Dagangan Dunia) di New York, AS pada 11 Sept 2001, yang dikatakan didalangi oleh pengganas muslim; dunia kafir terus menghukum umat Islam & agama Islam sebagai terrorist atau pengganas.
    Negara-negara Islam seluruh dunia mendapat tekanan serta terpaksa menghapuskan Bab atau tajuk tentang jihad dari silibus pelajaran di sekolah-sekolah. 
  1. Islam tanpa pengajian jihad seolah seorang pakcik tanpa gigi. 
    Ini kerana Islam membenarkan peperangan untuk membela kesucian agama, menyebarkan dakwah dan membela kaum muslimin daripada dianiaya kaum musyrikin.
  1. Jihad akan berlaku lagi di akhir zaman insya’ Allah, tetapi kita jangan terlalu gaduh atau gopoh membuat persediaan untuknya dengan masuk bertapa, berlatih senjata ke dalam hutan bukit meninggalkan keluarga & kehidupan bermasyarakat tidak bercampur dengan orang ramai!
  1. Ini kerana kita masih ada ruang lagi untuk berkerja, solat jemaah, menghadiri majlis ilmu & kuliah, hidup tolong menolong, menyebarkan dakwah dan ilmu dalam masyarakat.

AYAT 76- {ORANG-ORANG YANG BERIMAN, BERPERANG PADA JALAN ALLAH; DAN ORANG-ORANG YANG KAFIR PULA BERPERANG PADA JALAN TAGHUT (SYAITAN). OLEH SEBAB ITU, PERANGILAH KAMU AKAN PENGIKUT-PENGIKUT SYAITAN ITU, KERANA SESUNGGUHNYA TIPU DAYA SYAITAN ITU ADALAH LEMAH.} (AN-NISA’ 4:76)

  1. Orang yang beriman dia berperang fi-sabilillah iaitu kerana Allah! 
    Kalah atau menang tidak mengapa kerana mereka ikhlas lillah.
    Manakala orang kafir berperang pada jalan taghut iaitu jalan syaitan.
  1. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah nyatakan kewajipan berperang, berperang ikut mana?
    a) Kata ulama’ usul : Semua kerja buat kita kena ada matlamat, ada objektif. الأمور بمقاصدها
    Orang mukmin jika berperang objektifnya kerana nak membela agama, nak meninggikan kalimah Allah, menegakkan kebenaran. 

    b) Manakala orang kafir berperang kerana nak kedudukan, nak nama, nak kebendaan & kemasyhuran. 
    Betapa berbezanya sedangkan kedua pihak yang berperang akan mati belaka.

    c) Kerana itu dalam perang Uhud Allah SWT tak bagi ilham kepada Abu Sufyan (yang menjadi panglima perang Quraisy pada waktu itu) untuk bangkit melanyak kaum muslimin & serang Madinah habis-habisan setelah ramai tentera Islam gugur syahid, jika tidak ramai lagi yang akan mati!
    Kerana pada masa itu sudah ramai tentera Islam yang mati syahid dan yang ada sakit & cedera. 
    Mereka dalam keadaan lemah fizikal & mental. Tetapi Allah tutup mata hati mereka untuk terus menyerang. 

    d) Tetapi Abu Sufyan hanya naik ke atas bukit sambil bertempik melaung memprovokasi tentera muslimim dengan kata-kata saja!
    Apabila mereka melaung memanggil Rasulullah SAW, Abu Bakar & Umar, Nabi SAW tak beri jawab, biarkan saja mereka meroyan sendiri.
    Tetapi apabila mereka menyentuh tentang tauhid, menghina kalimah Allah Nabi SAW arahkan sahabat untuk menyahut bahawa Allah SWT Yang Maha Tinggi & mulia.

    Yakni bila ada penghinaan terhadap agama, Rasulullah SAW tidak berdiam diri. 
    Apabila mereka berkata peperangan itu silih berganti, di Badar kamu menang, hari ini kami menang! Kita sama sekarang!

    Sayyidina Umar RA menjawab: Tidak!! Ia tidak sama; pejuang kami yang terbunuh adalah syahid dan di syurga manakala tentera kamu yang terbunuh akan masuk neraka! 

    e) Jelas amat berbeza walaupun sama mati; orang Islam berjuang kerana Allah SWT manakala mereka kerana taghut. 
    Maka orang yang berjuang dalam apa jua perjuangan yang bukan Islam seperti nasionalis, kapitalis atau iblis. Maka dia akan mati sia-sia!
  1. Maka kita kena betulkan niat kita bila nak berjihad, wajib ikhlas untuk menegakkan agama Islam baru kita tidak akan kerugian segalanya! 
    Untuk menengakkan kebenaran kita kena ada hujjah & fakta bukan menyekat dengan akta & auta.
    Insya’ Allah dakwah ini akan berjalan selagi ada pendakwah yang ikhlas berjuang & berdakwah untuk menegakkan al-Quran & Sunnah.
  1. Allah kata puak kafir berperang untuk taghut; taghut ini sama ada syaitan atau pemimpin yang tak mahu & menolak undang-undang Islam, dia sokong juga walaupun terserlah & jelas mereka menolaknya! 
  1. Kata ulama’ Ibnu Asyur RHM : Jika seseorang itu kita kemukakan undang-undang al-Quran dia tidak mahu & menolak; maka jika dia mati nanti kamu jangan baca al-Quran atas kuburnya tetapi bacalah dustur perlembagaan undang-undang tersebut! 
  1. Allah kata lagi maka kamu perangilah pengikut syaitan! 
    Lawanlah, kamu jangan takut sesungguhnya tipu daya syaitan itu lemah! 
  1. Yakni tipu daya Syaitan itu adalah lemah, tidak akan dapat mengalahkan kekuatan iman orang-orang yang beriman, yang sentiasa mendapat perlindungan dan pertolongan Allah Yang Maha Kuasa.
  1. Kata seorang ahli tafsir terdapat perbezaan antara dua tipu-daya {كَيْدَ} yang Allah sebut dalam al-Quran:
    i- Allah kata sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah {إِنَّ كَيْدَ ٱلشَّيْطَـٰنِ كَانَ ضَعِيفًا}.

    ii- Tetapi apabila diceritakan tentang tipu-daya wanita Allah katakan ia amat berat! {كَيْدِكُنَّ ۖ إِنَّ كَيْدَكُنَّ عَظِيمٌۭ}- 
    {“Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya.}. [Yusuf 12: 28]. 
  1. Untuk mengetahui hakikat syaitan boleh ikuti kuliah Abu Anas tentangnya melalui buku ini: 
    Mengenali Hakikat Syaitan : https://dartaibah.com/…/Kitab-Hakikat-Syaitan-Edisi…
    Lihat Koleksi Kuliah Syarah Buku Hakikat Syaitan : www.youtube.com

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 74- {Oleh itu, orang-orang (yang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam).}-

    Dalam ayat ini Allah galakkan pergi perang. 
    Orang beriman yang berperang ikhlas kerana Allah jika mati, syahid dapat syurga, bila menang dapat harta rampasan (ghanimah).
    Islam meletakkan target jihad dalam Islam adalah berperang pada jalan Allah, untuk membela Islam, barulah beroleh kejayaan dunia & Akhirat.
    Kita berperang kerana Allah, untuk membela Islam, menegakkan kalimah Allah dan mengelakkan penganiyaan bukan kerana memburu harta atau kemasyhuran, kejayaan & kemenangan sahaja.
    Sesiapa yang keluar berperang atau berjuang, berjihad bukan ikhlas kerana Allah SWT, maka Allah tidak akan terimanya!
    Sesiapa yang betul-betul ikhlas pada jalan Allah insya’ Allah Allah akan tolongnya.
    Alhamdulillah negara kita hari ini banyak agensi & NGO yang ikhlas berjuang untuk menolong orang ramai kerana Allah. 
    Walaupun ada juga sebahagiannya yang mengambil kesempatan & mencemarkan nama baik orang lain menyebabkan keraguan & hilang kepercayaan orang ramai. 

    Janganlah jadi penunggang agama, mengambil kesempatan atas keikhlasan dan kesusahan orang ramai.
    Iklan kutipan sana waqaf dan infaq tapi ambil peratus yang tinggi atau caj harga yang melampau.
  1. Ayat 74- {Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu ia mati (gugur Syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar.}-

    Jika kamu keluar berperang pada jalan Allah sama ada kamu beroleh kemenangan atau mati syahid fi-sabilillah.
    Manakala ada juga keadaan ketiga iaitu menjadi tawanan, tetapi Allah tidak sebutkan.
    Islam tidak menggalakkan sama sekali kerana ia boleh membawa kerosakan pada masa depan & satu penghinaan dan menjatuhkan maruah Islam.
    Maka jangan kamu bercita untuk memilihnya walaupun jika terjadi tetap dapat pahala atas ujian itu!
  1. Ayat 75- {Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam)}-

    Apa yang menyebabkan kamu lambat bertindak untuk bangun berjuang!?
    Ayat ini mencela orang yang suka menangguh-nangguhkan jihad & kerja dakwah!
    Jika orang mahu berdakwah, ia tidak tunggu pencen, tidak tunggu ada masa kosong!
    Kita kena ingat orang susah dan miskin sedang meminta dari Allah, menunggu bantuan dan pertolongan segera dari kita. maka jangan menganiaya dan mengecewakan mereka yang memerlukan bantuan dan ilmu bila melambat-lambatkan usaha dakwah. 
    Satu lagi kita kena tahan diri daripada mengungkit selepas melakuakn kebaikan & beri pertolongan.
  1. Ayat 75- {iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh)”.}-

    Mereka berdoa minta Allah hantar kepada mereka penjaga & pengawal.
    Yakni Allah sebut mereka minta dua perkara:
    i- Seorang pemimpin yang mengawal (وَلِيًّۭا) keselamatan agama kami,

    ii- Dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (نَصِيرًا) dari ancaman musuh,
    Ulama’ kata beza antara dua ini :
    i- Wali ialah penjaga kita, yang menjaga dan mengawal kita, orang yang dekat dan ada hubungan. Wali atau penjaga yang dapat memberi jagaan, kawalan & bantuan pertolongan.

    ii- Manakala pembantu ialah orang yang menolong kita, boleh jadi dia orang yang jauh yang tiada apa-apa kaitan atau pertalian dengan kita, tetapi dia juga boleh membantu & menolong kita. 
    Apabila Allah sebut secara berbeza pastilah ada perbezaannya. 
    Dalam al-Quran Allah tidak akan bawa setiap sesuatu perkataan atau ayat itu tanpa maksudnya atau makna yang tersendiri & khas, tidak mungkin saja-saja diulang.
  1. Ayat 76- {Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan Taghut (Syaitan).}-

    Dalam ayat ini Allah SWT letakkan tiga perkara.
    i- Orang mukmin kena ikhlas dalam segenap perkara kerana itu Allah kata orang-orang yang beriman mereka berperang pada jalan Allah. 

    ii- Lawannya orang-orang kafir yang tidak ikhlas, yang berperang pada jalan Taghut dan ikut syaitan.
    Maka jika kita nak ikut jalan yang betul, nak dapat pahala, kena ikut jalan Allah & kena ikhlas taat perintah Allah dan Rasulullah SAW.

    iii- Allah juga nyatakan tipu daya syaitan itu lemah & tidak besar! 
    Oleh itu, perangi & lawanlah akan syaitan & pengikut-pengikutnya.
    Ayat ini menjadi dalil bahawa sesiapa yang buat kerja bukan niat kerana Allah, tidak ikut jalan Allah, maka bererti dia telah ikut jalan taghut, iaitu ikut syaitan! 
    Ikut jalan Allah dipimpin oleh Allah SWT, ikut jalan taghut akan dipimpin oleh syaitan!
    Maka pilihlah kita nak jadi wali Allah atau wali syaitan! 

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs