View Categories

Surah An-Nisa’ : Ayat 77-79

REAKSI MANUSIA KETIKA DIFARDHUKAN JIHAD, MATI TETAP DATANG & TIDAK ADA KESIALAN DALAM ISLAM.

Full video : https://youtu.be/8bZWShuuR9E?si=6cdtxMckxPotM0zm

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 77 sehingga 79 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ kelima.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang reaksi manusia ketika difardhukan jihad; ada yang tenang menerimanya, ada yang sebelum itu semangat tetapi apabila tiba waktunya pengecut dan lari.
  1. Kemudian Allah nyatakan di mana saja kamu berada, pergi berperang atau tidak; duduk dalam kubu kota pertahanan ke, mati tetap datang. Malaikat maut tidak akan pernah salah alamat. 
  1. Allah juga tegaskan bahawa hidup kita ini di bawah ketentuan Allah SWT, cuma usaha & ikhtiar datang dari kita- nak yang baik atau yang buruk. Serta tidak ada kesialan dalam Islam. 
    Puak kafir Quraisy dulu mengatakan hidup mereka susah dan sial kerana Nabi Muhammad SAW! 
    Zaman ini ada juga yang kata hidupnya susah kerana ikut Islam! 
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT perintahkan buat persiapan untuk berperang tetapi hati-hati jangan gopoh, ambil langkah berjaga-jaga.
    Kemudian Allah sebut tentang peranan puak munafiq yang mahu melemahkan semangat juang orang Islam serta golongan yang mahu menangguhkan jihad. 
    Allah juga perintahkan untuk berjihad dan menolong orang-orang yang lemah {ٱلْمُسْتَضْعَفِينَ}.

    ii- Kemudian dalam ayat ini diceritakan tentang sekumpulan manusia:
    Yang ketika masih lemah & tidak diwajibkan berperang, gopoh pula sudah semangat meminta untuk keluar berjihad. Lalu Allah meminta mereka bersabar serta buat ibadat lain seperti solat & zakat.

    Kemudian apabila tiba waktunya, Allah SWT perintahkan untuk berperang, mereka menjadi gerun & penakut; menolaknya pula dan buat alasan bahawa mereka masih belum bersedia, minta tempoh & tangguh!
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 77- {TIDAKKAH ENGKAU (HAIRAN) MELIHAT (WAHAI MUHAMMAD), AKAN ORANG-ORANG YANG (PERNAH) DIKATAKAN KEPADA MEREKA: “TAHANLAH TANGAN KAMU (DARIPADA BERTINDAK MELANCARKAN PERANG YANG BELUM DIIZINKAN), DAN DIRIKANLAH SEMBAHYANG SERTA BERIKANLAH ZAKAT”. (MEREKA MEMINTA JUGA HENDAK BERPERANG), KEMUDIAN APABILA MEREKA DIPERINTAHKAN BERPERANG, TIBA-TIBA SEPUAK DI ANTARA MEREKA MERASA GERUN KEPADA MANUSIA SAMA SEPERTI MEREKA MERASA GERUN KEPADA (AZAB) ALLAH ATAU LEBIH GERUN LAGI. LALU MEREKA (MERAYU KEPADA ALLAH DENGAN) BERKATA: “WAHAI TUHAN KAMI, MENGAPA ENGKAU WAJIBKAN KAMI BERPERANG (PADA SAAT INI)? MENGAPA ENGKAU TIDAK BIARKAN KAMI HINGGA KE TEMPOH YANG SINGKAT (IAITU AKHIR HAYAT KAMI)?” KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “HARTA BENDA YANG MENJADI KESENANGAN DI DUNIA INI ADALAH SEDIKIT SAHAJA, (DAN AKHIRNYA AKAN LENYAP), DAN (BALASAN) HARI AKHIRAT ITU LEBIH BAIK LAGI BAGI ORANG-ORANG YANG BERTAQWA (KERANA IA LEBIH MEWAH DAN KEKAL SELAMA-LAMANYA), DAN KAMU PULA TIDAK AKAN DIANIAYA SEDIKIT PUN”.} (AN-NISA’ 4:77)

  1. Allah meyatakan kepada Rasulullah SAW akan peliknya perangai sebahagian manusia yang ketika mereka masih lemah, ketika kafir tengah kuat, lalu tidak diwajibkan berperang atau jihad, mereka begitu bersemangat, meminta juga hendak berperang. Ini adalah suasan ketika umat Islam masih lemah di Makkah atau awal Islam di Madinah.
  1. Allah tidak mewajibkan ke atas mereka untuk keluar berjihad tetapi Allah suruh bersabar dan dirikan solat dengan sempurna serta keluarkan zakat. 
    Solat sudah difardhukan ketika di Makkah.
  1. Kemudian apabila tiba waktunya yang sudah munasabah; Allah fardhukan ke atas mereka perang; mereka menjadi takut kepada manusia lalu minta tempoh dengan alasan masih tidak bersedia, banyak lagi urusan dunia yang perlu disiapkan. Mereka juga takut mati dan meninggalkan harta & keluarga yang disayangi.
    Allah cela golongan ini yang tiada pendirian- dulu minta sekarang tak mahu!
  1. Lalu Allah suruh Rasulullah SAW beri motivasi kepada mereka bahawa:
    i- Kehidupan atas dunia ini sementara & sedikit saja, ia akan habis & hilang- tidak kekal.

    ii- Pahala balasan yang akan diberikan di Akhirat kelak lebih besar nikmatnya dan akan kekal selamanya!

    iii- Ingatlah kamu tidak akan dizalimi walaupun sedikit, Allah akan membalas setiap perbuatan kamu yang baik atau buruk semuanya akan ditimbang walaupun sebesar zarrah (atom).
  1. Sabab nuzul ayat:
    An-Nasa’i dan al-Hakim meriwayatkan dari Ibnu Abbas RA bahawa Abdul Rahman bin Auf RA dan beberapa sahabatnya mendatangi Nabi SAW, lalu mereka berkata : “Wahai Nabi Allah, ketika kami masih musyrik, kami adalah orang-orang yang mulia. Namun ketika kami beriman kami menjadi orang-orang yang hina.” Rasulullah SAW pun bersabda, Sesungguhnya aku diperintahkan untuk bersabar & memaafkan. Maka jangan kalian perangi lagi orang-orang musyrik itu. Setelah Baginda berhijrah ke Madinah, Baginda diperintahkan untuk memerangi musuh, namun orang-orang tadi (dikatakan Abdur Rahman bin Auf dan lain-lain) enggan melakukannya (dengan alasan nak stabilkan ekonomi- jaga rumah tangga dan lain-lain). Maka turunlah firman Allah “Tidakkah engkau memperhatikan orang-orang yang dikatakan kepada mereka, ‘Tahanlah tanganmu (dan berperang) “ hingga akhir ayat.
  1. Tetapi menurut pengkaji Sheikh Dr Wahbah az-Zuhaili dalam tafsir al-Munir:
    i- Cerita itu boleh jadi betul dan sanadnya baik. Cuma bab Abdur Rahman bin Auf untuk dikaitkan dengan sebab nuzul ayat ini. Seorang sahabat yang besar, yang dijamin sebagai salah seorang sahabat yang dijamin ahli syurga oleh Rasulullah SAW: sebagai seorang yang penakut, menolak dan tidak mahu berperang adalah tidak sesuai sama sekali- kita minta berlindung dengan Allah.

    ii- Mengikut pandangan rajih yang dikaji dalam kitab tafsir ini:
    Ayat ini turun kepada sekumpulan yahudi, orang munafiqin dan di kalangan orang yang lemah! Tidak ada seorangpun di kalangan sahabat Rasulullah SAW yang mulia yang mengingkari akan perintah jihad ini! Wallahu a’lam.
  1. Apabila ada kisah-kisah yang seolah memburuk atau meremehkan para sahabat Rasulullah SAW kita kena kaji dan tengok pendapat-pendapat yang rajih (terpilih) terlebih dahulu, jangan terus ambil dan sebarnya.
    Inilah ilmu tadabbur al-Quran & kajian kepada riwayat-riwayat tafsir.

AYAT 78- {DI MANA JUA KAMU BERADA, MAUT AKAN MENDAPATKAN KAMU (BILA SAMPAI AJAL), SEKALIPUN KAMU BERADA DALAM BENTENG-BENTENG YANG TINGGI LAGI KUKUH. DAN KALAU MEREKA BEROLEH KEBAIKAN (KEMEWAHAN HIDUP), MEREKA BERKATA: “INI ADALAH DARI SISI ALLAH”, DAN KALAU PULA MEREKA DITIMPA BENCANA, MEREKA BERKATA:” INI ADALAH DARI (SESUATU NAHAS) YANG ADA PADAMU”. KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “SEMUANYA ITU (KEBAIKAN DAN BENCANA) ADALAH (BERPUNCA) DARI SISI ALLAH”. MAKA APAKAH YANG MENYEBABKAN KAUM ITU HAMPIR-HAMPIR TIDAK MEMAHAMI PERKATAAN (NASIHAT DAN PENGAJARAN)?} (AN-NISA’ 4:78)

  1. Kemudian Allah nyatakan mati itu adalah sesuatu yang pasti, yang akan datang kepada kamu di mana saja kamu berada apabila tiba masanya! 
    Malaikat maut tidak pernah salah alamat- yang sering salah alamat adalah posmen penghantar barang orang!
  1. Walaupun kamu bersembunyi di dalam tembok atau benteng yang tinggi kukuh, lari ke pulau di tengah lautan, di dalam gunung hutan belantara; maut tetap akan tiba apabila tiba ajalnya! 
    Tidak akan ada yang selamat dari kematian, tidak ada yang dapat menjadi penghalang malaikat maut untuk menjalankan tugasnya. 
  1. Allah SWT berfirman:
    i- {Setiap yang bernyawa akan merasakan mati.} (Aali ‘Imraan: 185)

    ii- {Semua yang ada di bumi itu akan binasa.} (Ar-Rahmaan: 26)
  1. Munasabah ayat ini: 
    i- Apabila Allah perintahkan untuk berperang, ada orang yang mula goyah tidak mahu keluar berjihad kerana takut mati. Takut kepada orang lebih kepada takut kepada Tuhan.

    ii- Maka datang ayat ini Allah SWT nyatakan bahawa semua makhluk pasti mati walaupun di mana saja kamu berada, sama ada kamu pergi berjihad atau tidak! 

    Maka tidak patut mereka takut kepada jihad, kamu pergi berperang atau tidak berperang. Kamu akan tetap mati, ajalnya tetap telah ditentukan, malaikat maut tidak akan salah ambil nyawa orang lain!
    Tidak ada tempat tersembunyi yang malaikat maut tidak boleh pergi & tembusi!
  1. Berapa ramai manusia yang tidak mati dalam peperangan, atau orang yang sering pergi berperang tetapi tidak mati di medan perang!
    Betapa banyak pejuang yang selamat dan betapa banyak orang yang mati sambil tidur di atas tilamnya.

    Contoh : Sayyidina Khalid bin al-Walid. Terkenal dengan gelaran Pedang Allah, pedangnya sentiasa terhunus, peluh tidak pernah kering di medan perang, tetapi tidak mati di medang perang.

    Ya Allah permudahkan urusan kami, berikan kami husnul-khatimah, mati dalam iman & keredhaan-Mu.
  1. Mereka ini juga sombong apabila diberi kebaikan dan kemewahan hidup, mereka mengatakan ini adalah dari nikmat Allah ke atas mereka. Menyangka Allah sayang mereka & mereka benar!
    Lalu mereka makin angkuh sombong & takabbur!
    Sifat malu untuk buat maksiat adalah tanda orang beriman!
    Sedangkan itu adalah ISTIDRAJ! diberi kebaikan agar terus sesat & lagha-lalu makin jauh dari Allah, bukan sebab Allah sayang!
  1. Kemudian apabila ditimpa musibah atau keburukan- mereka akan katakan semua itu kerana kesialan Rasulullah SAW, kerana ajaran & dakwah yang dibuatnya! 
  1. Episod ini juga telah berlaku kepada kaum yang telah lalu, firman Allah SWT juga tentang perbuatan mereka itu: 
    i- Tentang kaum Firaun yang menyalahkan Nabi Musa AS apabila ditimpa bala:
    {Kemudian apabila datang kepada mereka kesenangan mereka berkata: “Ini ialah hasil usaha kami”, dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan nahas dan malang itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. (Tuhan berfirman): Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.} (Al-A’raaf 7:131)

    ii- Kaum Thamud yang menyalahkan Nabi Soleh AS apabila ada musibah:
    {Mereka menjawab: “Kami merasa nahas dan malang dengan sebabmu, dan juga dengan sebab pengikut-pengikutmu!” Nabi Soleh berkata: Perkara yang menyebabkan baik dan malang kamu adalah di sisi Allah (dan Dia lah yang menentukannya, bukannya aku), sebenarnya kamu adalah kaum yang disesatkan (oleh hawa nafsu)”.} (An-Naml 27:47) 
  1. Inilah kisah tentang umat yang terdahulu, telah berkata kaum Firaun, kaum Thamud, kaum Quraisy kepada Nabi SAW; tetapi ia berlaku dan berulang juga pada zaman kita ini. 
    Mereka mengatakan orang yang mengikut dan membawa ajaran Sunnah Nabi SAW sebagai pemecah belah masyarakat. 
    Ajak orang kembali kepada ajaran Sunnah Nabi SAW yang asli dikatakan memporak-perandakan masyarakat!
    Buka cermin tengok siapa sebenar yang merosakkan masyarakat!
  1. Allah ajar kepada kita bahawa semua yang baik atau buruk datang dari Allah SWT, berpunca dari taqdir Allah SWT. 
    Cuma sebab & penyebabnya adalah atas usaha dan ikhtiar kita.
  1. kemudian Allah suruh Rasulullah SAW katakan bahawa semua yang berlaku kebaikan atau keburukan adalah kerana taqdir dan ketentuan Allah SWT!
    Maka apa yang menyebabkan kamu tidak faham lagi akan nasihat???
  1. Sebab turun ayat ini ialah :
    Untuk mendedahkan buruk sangka kaum yahudi & kaum munafiq di Madinah. 
    Mereka mengatakan apa saja musibah yang menimpa mereka seperti kekalahan, kekurangan hasil tanaman, mahalnya harga barang, kematian anak atau lainnya adalah kerana {هَـٰذِهِۦ مِنْ عِندِكَ}: “Ini adalah sebab kamu wahai Muhammad, dan juga sebab kami mengikutimu berhijrah dan menjalankan agamamu.”

    Sama seperti sesetengah manusia hari ini yang melemparkan tuduhan buruk terhadap para pendakwah!

AYAT 79- {APA JUA KEBAIKAN (NIKMAT KESENANGAN) YANG ENGKAU DAPATI MAKA IA ADALAH DARI ALLAH; DAN APA JUA BENCANA YANG MENIMPAMU MAKA IA ADALAH DARI (KESALAHAN) DIRIMU SENDIRI. DAN KAMI TELAH MENGUTUS ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) KEPADA SELURUH UMAT MANUSIA SEBAGAI SEORANG RASUL (YANG MEMBAWA RAHMAT). DAN CUKUPLAH ALLAH MENJADI SAKSI (YANG MEMBUKTIKAN KEBENARAN HAKIKAT INI).} (AN-NISA’ 4:79)

  1. Dalam ayat ini Allah SWT ajar bahasa atau cara berinteraksi dengan Allah SWT! yang baik kita sandarkan kepada Allah, yang tidak baik kita sandarkan kepada kelemahan diri kita.
    Sedangkan dari sudut aqidah semuanya dari Allah- baik atau buruk tetapi dari segi adab beginilah.
  1. Lalu apabila ditimpa ujian; kita muhasabah diri kita, kita tuduh dan cari di mana yang tak kena, di mana salah & silap dalam diri kita sendiri. 
    Jika kita dapati tidak ada kesilapan atau kekurangan; kita semak pula dari sudut keikhlasan hati kepada kepada Allah SWT.
    Setiap kali ujian setiap kali itulah ada muhasabah.
  1. Semoga Allah beri kepada kita jalan keluar & petunjuk! 
    Kerana itu Allah SWT katakan bahawa:
    i- Kami telah mengutus engkau wahai Muhammad kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul yang membawa rahmat.

    ii- Dan cukuplah Allah menjadi saksi yang membuktikan kebenaran hakikat ini.
    Kita ikhlas Allah tahu, jika tidak ikhlas Allah juga yang tahu!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 77- {Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang-orang yang (pernah) dikatakan kepada mereka:…}-

    Allah nyatakan kepada Rasulullah SAW akan sikap segolongan manusia munafiq yang cakap tak serupa bikin! 
    Ulama’ kata : Ada manusia ini gopoh, belorat nakkan sesuatu yang belum sampai waktunya, kemudian apabila tiba waktunya tak sanggup terima atau hadapi pula! 
    Seperti mereka yang lemah, nak berperang sebelum ini; tetapi apabila Allah perintahkan untuk berperang mereka berasa takut pula & tidak mahu berperang lagi, minta tangguh dulu! 

    Hadis- Rasulullah SAW larang tentang ini:
    كَتَبَ إِلَيْهِ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي أَوْفَى، حِينَ خَرَجَ إِلَى الحَرُورِيَّةِ، فَقَرَأْتُهُ، فَإِذَا فِيهِ: إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَعْضِ أَيَّامِهِ الَّتِي لَقِيَ فِيهَا العَدُوَّ، انْتَظَرَ حَتَّى مَالَتِ الشَّمْسُ، ثُمَّ قَامَ فِي النَّاسِ فَقَالَ: أَيُّهَا النَّاسُ، لاَ تَمَنَّوْا لِقَاءَ العَدُوِّ، وَسَلُوا اللَّهَ العَافِيَةَ، فَإِذَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاصْبِرُوا، وَاعْلَمُوا أَنَّ الجَنَّةَ تَحْتَ ظِلاَلِ السُّيُوفِ ثُمَّ قَالَ: اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ.
    Maksudnya: “Abdullah bin Abu Aufa menulis (surat) kepada Umar bin ‘Ubaidullah ketika keluar menuju ke (medan peperangan) al-Haruriyah, aku pun membacanya dan ternyata di dalam surat itu: ‘Sesungguhnya Rasulullah SAW pada suatu peperangan, ketika memimpin tentera Muslimin menghadapi musuh, Baginda menunggu sehinggalah matahari condong (ke barat). Kemudian Baginda berdiri di hadapan manusia dan bersabda: Wahai manusia, janganlah kalian berharap bertemu musuh dan mintalah keselamatan kepada Allah. Sekiranya kalian bertemu mereka maka bersabarlah. Ketahuilah sesungguhnya syurga (terletak) di bawah bayangan (hayunan) pedang.’ Setelah itu Baginda berdoa: “اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ” Maksudnya: Ya Allah, Tuhan yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, dan yang mengalahkan pasukan ahzab (tentera bersekutu), hancurkanlah mereka dan bantulah kami menentang mereka).” [HR al-Bukhari (3024)].

    Kerana itu jangan gopoh atau lebih semangat, masuk dalam sesuatu keadaan atau isu dengan berani tetapi tidak ada kekuatan dan sandaran yang kuat, tidak ada hujjah yang mantap & fakta yang tepat, maka kamu akan terpelanting, patah sayap di tengah jalan.
    Inilah kaedah yang besar, jika kita rasa kita ada kekuatan & kemampuan untuk tangani sesuatu isu boleh lawan tetapi perlu kepada ilmu, perlu ada strategi, perancangan yang rapi & kepimpinan yang mantap.
    Jangan rempuh masuk dengan semborono. Jika tiada kekuatan & kelayakan, jangan terlampau bersemangat, jangan terburu-buru, jika kita tidak mampu boleh beri sokongan kepada mereka yang layak saja!
  1. Ayat 77- {dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat”.}-

    Jika kamu tak mampu nak pergi berjihad- lakuakan solat & zakat dulu!
    Ayat ini menunjukkan bahawa kewajipan solat & zakat mendahului jihad. Solat adalah hubungan kita dengan Allah inilah yang lebih utama; manakala zakat pula hubungan kita dengan sesama makhluk yang dekat. 
    Maka barulah datang peperangan yang lebih maju.

    Susunan tertibnya:
    i- Aqidah : Kukuhkan aqidah dulu sebagai tapak.

    ii- Solat dan zakat : Sempurnakan ibadatmu kepada Allah & hubunganmu sesama manusia. Kukuhkan tapak dengan solat dan zakat baru naik tiang!

    iii- Barulah jihad dan seumpamanya : Yakni barulah kita pergi berperang setelah Allah arahkan.
  1. Ayat 77- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi..}-

    Allah kata jangan takut pergi berperang kerana apa yang kamu dok sayang itu hanya sedikit!
    Memang tidak ada manusia yang tidak sayang kepada anak-isteri, tidak ada manusia yang tidak sayang kepada harta bendanya!
    Tetapi kita kena ingat semua itu adalah benda kecil!

    Kemudian Allah buat bandingan bahawa nikmat Akhirat itu lebih baik daripada nikmat dunia kerana:
    i) Nikmat dunia sedikit berbanding dengan akhirat yang banyak.

    ii) Nikmat dunia putus/nikmat akhirat tidak putus- kekal selamanya.

    iii) Nikmat dunia seperti harta walaupun nampak seperti nikmat tetapi ia sebenar akan menyusahkan & menyerabutkan pemiliknya! 
    Nikmat dunia tidak tenang kita perlu jaganya sedangkan nikmat Akhirat kita guna semata-mata tanpa perlu jaganya.

    Kata ulama’ : Beza antara ilmu dan harta:
    i- Harta kita kena jaga dan selianya.

    ii- Manakala ilmu dia yang kawal & jaga kita! Ilmu dia yang beritahu kita & jaga kita tentang halal-haram, apa yang baik apa yang buruk.

    iv) nikmat dunia ini seperti bayang-bayang sahaja. Nikmat dunia seolah bayang-bayang saja, kadang ada kadang tiada. Manakala nikmat Akhirat pasti (confirm) ada & kekal selamanya.
  1. Ayat 78- {Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal),}-

    Ayat ini menjadi peringatan kepada kita agar jangan takut untuk berjuang kerana maut akan datang di mana saja!
    Kata ulama’ : Orang yang bijak ialah orang yang pandai pilih cara untuk mati atau merancang kematiannya. 
    Mati syahid, mati dalam husnul-khatimah, dengan mulut mengucap dua kalimah syahadah, atau mati para pendakwah yang amal jariahnya mengalir.
    Contoh : Orang mati syahid pahalanya dikira bermula dari titisan darah yang pertama lagi.

    Kata ulama’ : Mati itu hanya satu, tercabut nyawa. Tetapi sebab-sebab kematian itu banyak; kanser, kemalangan, terbunuh, lemas, terbakar dan lain-lain. Yang paling indahnya mati syahid kerana jihad!
    Maka jika nak mati dalam husnul-khatimah, mengucap dua kalimah syahadah; maka kita kena banyak buat amal soleh & kebajikan! 
    Sewaktu hidup sentiasa basahkan lidah & mulut kita dengan kalimah baik dan mulia!
  1. Ayat 79- {Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah;..}-

    Sesungguhnya semua perkara itu, yang baik atau buruk datang dari Allah SWT. 
    Dalam ayat ini kita belajar tentang qadha’ & qadar iaitu taqdir Allah. 
    Semua yang berlaku sama ada baik atau buruk adalah dengan taqdir Allah.
    Tetapi dari segi cara beradab dengan Allah, kita tidak nisbahkan perkara yang buruk kepada Allah SWT. Kita kata yang baik itu anugerah dari Allah manakala yang buruk itulah dari kelemahan diri kita sendiri!

    Contoh : Kerana lari laju sangat, jatuh dari bukit, pandu laju, eksiden. 
    Kita nisbahkan yang buruk itu kepada diri kita sendiri. 
    Manusia ini ada akal, ada otak untuk memilih & berusaha berikhtiar!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs