KELEBIHAN MUJAHIDIN ATAS ORANG TIDAK BERJIHAD & JANJI PAHALA UNTUK MEREKA.
Full video : https://youtu.be/QJXjZNmAN1M?si=y3OpmCw60wCDAPRV
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 95 sehingga 96 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ kelima.
- Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang kelebihan mujahidin yang berjihad atas orang Islam yang tidak keluar berjihad kerana keuzurannya.
- Kemudian Allah janjikan pahala untuk kedua-dua mereka, tetapi pastilah kelebihan bagi yang keluar berjihad dengan harta & badannya.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT tegur & cela beberapa orang sahabat yang telah tersalah membunuh orang yang telah mengucap kalimah syahadah dalam peperangan. Ini menyebabkan sahabat yang lain menjadi fobia (perit) untuk keluar dalam peperangan selepas itu takut tersalah membunuh musuh yang memberi salam atau syahadah lagi!
ii- Lalu dalam ayat ini Allah bawa kelebihan orang berjihad fi-sabilillah, ini untuk menolak rasa kecewa, putus harap & turun semangat jihad bagi tentera muslimin terutama yang telah tersalah dalam beberapa insiden itu.
- Munasabah kedua:
i- Setelah tegur mereka tentang perbuatan yang salah itu : Membunuh orang yang telah mengucap.
ii- Allah bawa kelebihan berjihad : Kamu jangan takut! teruskan berjihad & berjuang cuma berhati-hati agar tidak mengulangi lagi kesilapan & perbuatan yang tidak betul itu!
Jangan merajuk & tinggalkan terus perbuatan itu, (Kelate=mmecok) teruskan perjuangan.
Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 95- {TIDAKLAH SAMA KEADAAN ORANG-ORANG YANG DUDUK (TIDAK TURUT BERPERANG) DARI KALANGAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN – SELAIN DARIPADA ORANG-ORANG YANG ADA KEUZURAN – DENGAN ORANG-ORANG YANG BERJIHAD (BERJUANG) PADA JALAN ALLAH (UNTUK MEMBELA ISLAM) DENGAN HARTA DAN JIWANYA.} (AN-NISA’ 4:95)
- Allah SWT menegaskan bahawa sesekali tidak sama keadaan (kelebihan & pahala) bagi orang yang keluar berjihad dengan mereka yang duduk di rumah tidak keluar berperang KECUALI dengan sebab ada halangan & keuzuran yang tidak dapat dielakkan!
- Sabab nuzul ayat:
Dari Zaid bin Thabit RA : Bahawa ketika turun ayat: “لا يَستَوِي القاعِدونَ مِنَ المُؤمِنينَ” (An-Nisa ayat 95) bersabdalah Nabi SAW: “Panggillah si anu”. Maka datanglah ia membawa tinta dengan alat tulisnya. Bersabdalah Rasulullah SAW: “Tulislah: “لا يَستَوِي القاعِدونَ مِنَ المُؤمِنينَ”. Di belakang Rasulullah SAW ada Ibnu Ummi Maktum, dia berkata: “Ya Rasulullah, saya buta”, Maka turun firman Allah melengkapi ayat di atas,: “غَيرُ أُولِي الضَّرَرِ” sampai akhir ayat (An-Nisa ayat 95) sebagai pengecualian bagi orang yang berhalangan (darurat). [HR Bukhari].
- Dari Humaid ibnu Anas, bahawa Rasulullah SAW. telah bersabda ketika dalam perjalanan pulang dari Perang Tabuk (700km dari Madinah),
” إِنَّ بِالْمَدِينَةِ أَقْوَامًا مَا سِرْتُم مِنْ مَسِير، وَلَا قَطَعْتُمْ مِنْ وَادٍ إِلَّا وَهُمْ مَعَكُمْ فِيهِ ” قَالُوا: وَهُمْ بِالْمَدِينَةِ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: ” نَعَمْ حَبَسَهُمُ الْعُذْرُ “
Sesungguhnya di Madinah terdapat orang-orang yang tidak sekali-kali kalian berjalan, dan tidak pula menempuh suatu lembah, melainkan mereka selalu bersama kalian padanya. Ketika mereka bertanya, “Apakah mereka tetap tinggal di Madinah, wahai Rasulullah?” Nabi SAW. menjawab: Ya, mereka terhalang oleh uzur (hingga tidak ikut bersama kamu). [HR Bukhari].
- Orang yang uzur tetapi tidak boleh pergi berjihad kerana halangannya tetapi dia berniat nak pergi juga atau ketika tiada halangan selalunya dia akan pergi, maka dia akan mendapat pahala yang sama seperti orang yang pergi keluar jihad juga!
Kerana itu betapa pentingnya kita kena sentiasa perbetulkan & ikhlaskan niat kita, barulah kita tidak akan kerugian.
- Sama seperti kita yang tidak dapat turun ke medan dakwah secara fizikal tetapi kita hanya mampu kirimkan infaq, derma, doa dan seumpamanya insya’ Allah ada juga saham pahalanya untuk kita!
- Begitu juga bagi orang sentiasa mengerjakan solat jemaah di masjid atau berpuasa sunat selalu, maka ketika dia uzur tidak dapat melakukan semua ibadat itu, tetap akan mendapat pahala yang kita gelar sebagai “pahala pencen”, insya’ Allah.
AYAT 95- {ALLAH MELEBIHKAN ORANG-ORANG YANG BERJUANG DENGAN HARTA BENDA DAN JIWA MEREKA ATAS ORANG-ORANG YANG TINGGAL DUDUK (TIDAK TURUT BERPERANG KERANA UZUR) DENGAN KELEBIHAN SATU DARJAT. DAN TIAP-TIAP SATU (DARI DUA GOLONGAN ITU) ALLAH MENJANJIKAN DENGAN BALASAN YANG BAIK (SYURGA), DAN ALLAH MELEBIHKAN ORANG-ORANG YANG BERJUANG ATAS ORANG-ORANG YANG TINGGAL DUDUK (TIDAK TURUT BERPERANG DAN TIDAK ADA SESUATU UZUR) DENGAN PAHALA YANG AMAT BESAR;} (AN-NISA’ 4:95)
- Allah lebihkan para mujahidin yang telah menyerahkan harta & jiwanya untuk berperang berbanding dengan orang yang duduk saja dengan kelebihan yang amat tinggi. Iaitu orang tidak pergi kerana uzur, dapat juga pahala tetapi pastilah tidak sama darjatnya dengan mereka keluar secara fizikal!
- Orang yang tidak pergi perang kerana tiada keuzuran memang tidak masuk senarai! Kecuali orang yang diberi tugas oleh Rasulullah SAW untuk tunggu Madinah dan lain-lain tugas!
- Hadis riwayat dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah bersabda:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَصَامَ رَمَضَانَ كَانَ حَقًّا عَلَى اللَّهِ أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ هَاجَرَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوْ جَلَسَ فِي أَرْضِهِ الَّتِي وُلِدَ فِيهَا. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا نُنَبِّئُ النَّاسَ بِذَلِكَ؟ قَالَ: إِنَّ فِي الْجَنَّةِ مِائَةَ دَرَجَةٍ أَعَدَّهَا اللَّهُ لِلْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِهِ كُلُّ دَرَجَتَيْنِ مَا بَيْنَهُمَا كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَسَلُوهُ الْفِرْدَوْسَ فَإِنَّهُ أَوْسَطُ الْجَنَّةِ وَأَعْلَى الْجَنَّةِ وَفَوْقَهُ عَرْشُ الرَّحْمَنِ وَمِنْهُ تَفَجَّرُ أَنْهَارُ الْجَنَّةِ.
“Barangsiapa beriman kepada Allah dan rasul-Nya, mendirikan solat, dan berpuasa pada bulan Ramadhan, maka Allah berkewajipan memasukkannya ke dalam syurga, baik dia berhijrah fi sabilillah atau duduk di tempat tinggalnya tempat dia dilahirkannya.” Para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, tidakkah sebaiknya kami mengkhabarkan orang-orang tentang hal ini?” Nabi malahan menjawab: “Dalam syurga terdapat seratus darjat yang Allah persiapkan bagi para mujahidin di jalan-Nya, yang jarak antara setiap dua tingkatan bagaikan antara langit dan bumi. Maka jika kalian meminta Allah, mintalah syurga firdaus, sebab firdaus adalah syurga yang paling tengah dan paling tinggi, di atasnya ada Arasy Ar-Rahman dan daripadanya sungai syurga memancar.” (HR. Bukhari no. 6873).
- Keduanya Allah janjikan kebaikan bagi mereka yang:
i- Keluar berjihad fi-sabilillah dengan harta & jiwa-raganya.
ii- Tidak dapat keluar berjuang kerana uzur walaupun mereka sebenarnya amat menginginkannya.
Bukan kerana lari tidak mahu pergi!
AYAT 96- {IAITU BEBERAPA DARJAT KELEBIHAN DARIPADANYA, DAN KEAMPUNAN SERTA RAHMAT BELAS KASIHAN. DAN (INGATLAH) ADALAH ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AN-NISA’ 4:96)
- Pahala yang besar ini termasuklah Allah angkat darjat, duduk dalam syurga Firdaus yang tinggi atau Allah sembunyikan & ampunkan dosa-dosanya, Allah limpahkan rahmat & keberkatan-Nya: semua ini adalah dengan ihsan & limpah kurnia Allah SWT!
- Kerana kita taat Allah beri rahmat, kita buat ibadat Allah beri pahala, kerana kita patuh Allah curahkan limpah kurnia-Nya.
- Firman Allah SWT:
{Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? (As-Saff 61:10)
Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).} (As-Saff 61:11)
(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ” And.” Itulah kemenangan yang besar.} (As-Saff 61:12)
- Allah SWT itu juga adalah :
i- Maha Pengampun : Iaitu setelah kita insaf & bertaubat, bersimpuh penuh penyesalan di hadapannya, Allah SWT akan ampunkan dosa itu, hapuskan & sembunyikannya dan tidak akan ambil tindakan ke atas kita lagi!
ii- Lagi Maha Mengasihani : Iaitu Allah limpahkan rahmatnya kepada kita dengan diberi nikmat yang tidak terhingga & tidak terhitung.
- Sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud:
“Allah SWT berfirman: {“Aku telah menyediakan bagi hamba-hamba-Ku yang soleh kenikmatan yang belum pernah mata melihatnya, belum pernah telinga mendengarnya, dan belum pernah pula terdetik dalam kalbu manusia.”} [HR Bukhari].
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 95- {Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman -}-
Ayat ini adalah galakan untuk berjihad dan menggesanya dengan bersungguh-sungguh.
Dalam ayat ini Allah nyatakan orang yang pergi berjihad dengan badan & harta itu lebih tinggi darjatnya daripada orang yang tidak pergi walaupun uzur!
Walaupun mereka dapat pahalanya juga (tidak dapat pergi kerana ada halangan & keuzuran) tetapi pastilah tidak sama darjat & kelebihannya dengan mereka yang benar-benar keluar berjihad dengan nyawa & harta mereka!
Sama seperti orang yang dapat pahala seumpama haji & umrah bagi beberapa ibadat tertentu; pastilah tidak sama darjatnya dengan orang benar-benar mengerjakan haji atau umrah secara fizikal!
- Ayat 95- {Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman …. dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya.}-
Allah nafikan. Bahawa tidak sama keadaannya antara dua keadaan ini- orang yang keluar berperang dengan orang yang duduk di rumah!
Allah banyak nafikan bahawa tidak semua benda sama, orang buta & orang yang celik, orang kafir & orang mukmin dan lain-lain.
Golongan liberal yang mengatakan semua agama ini atas dunia termasuk Islam adalah sama: adalah tidak benar sama-sekali!
Islam yang tertinggi daripada semua agama & tidak sama dengan agama lain!
Islam ajak kepada tauhid & buang syirik kepada Allah SWT- inilah punca dan asasnya- manakala berbuat baik dan lain-lain itu adalah cabang di bawahnya!
Bahkan para ulama’ telah memutuskan bahawa sesiapa yang mengatakan Islam adalah sama dengan agama lain; dia akan dikira tidak beriman!
Islam adalah agama keadilan & ihsan, bukan persamaan. Ia memberi setiap manusia ikut keperluan yang dikehendakinya!
Kerana itu dalam al-Quran Allah SWT banyak gunakan perkataan ini, tidak sama atau dengan pertanyaan apakah sama?
Ingat Islam adalah bukan agama tentang persamaan semata-mata tetapi Islam adalah agama yang menekankan keadilan!
Tidak boleh kita bezakan antara dua yang sama, Syari’ah kita tidak ada yang berlawan yang kontra hukumnya, yang adanya kita boleh jamakkan supaya lebih kukuh & kuat.
Jangan ada orang yang berfikir tak perlu keluar berperang hanya cukup dengan niat; kerana sama-sekali tidak sama darjatnya!
- Ayat 95- { – selain daripada orang-orang yang ada keuzuran-}-
Maka sesiapa yang tidak keluar berjihad kerana uzur, pahalanya sama dengan orang keluar berjihad.
Orang yang uzur tidak dapat pergi ke masjid kerana uzur; maka pahalanya akan dapat seolah dia ke masjid juga.
Begitu juga keadaannya wanita haidh- itulah cuti yang diberi Allah kepadanya.
Maka ketika sihat, ketika tidak uzur, ketika tidak haidh lakukanlah ibadat sedaya mungkin, kemudian baru boleh terima pahala pencennya!
Orang yang uzur ditulis pahala yang sama juga dengan syarat dia memang ada niat untuk pergi & ikut serta, cuma terhalang dengan sebab keuzuran dan halangan yang dihadapinya!
{Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga),}-
Allah janjikan pahala yang besar bagi kedua-dua golongan ini. Kedua-duanya Allah janjikan kebaikan bagi orang yang keluar berperang & tidak dapat pergi kerana uzur!
- Ayat 95- {dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka..}-
Allah sebut kelebihan besar bagi orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka.
Manakala Allah SWT juga telah berfirman dalam ayat lain:
{Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh.} (At-Taubah 9:111)
Persoalan:
i- Kenapa dalam Surah At-Taubah, Allah mulakan dengan sebut jiwa dulu baru harta? Sedangkan dalam ayat 95 ini Allah sebut harta dulu?
Kenapa berbeza?
Jawapan:
i- Dalam Surah At-Taubah : Allah mulakan jiwa dulu kerana jiwa manusia pastilah lebih mahal daripada harta, jika hilang jiwa iaitu nyawa maka matilah! Allah juga kata dalam ayat ini Allah nak beli jiwa mereka & harta mereka. Maka Allah sebut dulu yang paling mahal sekali iaitu jiwa atau nyawa manusia! Ia tiada bandingan dengan harta!
ii- Manakala dalam ayat ini : Allah sebut harta dulu kerana mereka telah pergi berjihad yakni dengan badan & jiwa mereka serta dalam masa yang sama mereka bawa juga harta mereka!
Begitulah indahnya susunan & hikmah ayat-ayat al-Quran.
Ini juga menunjukkan bahawa jihad itu adalah satu fardhu kifayah, kerana orang yang uzur tidak dapat pergi pun diberi pahala juga!
Jika fardhu ain pastilah semuanya wajib pergi berperang & siapa yang tidak pergi tidak akan dapat pahala!
- Ayat 96- {Iaitu beberapa darjat kelebihan daripadaNya, dan keampunan serta rahmat belas kasihan…}-
Allah sebut beberapa darjat, keampunan & rahmat Allah SWT!
Ini menunjukkan darjat itu banyak tahap & tidak sama.
Di antara para mujahidin itu ada yang lebih ikhlas, yang lebih berani, gagah berjuang di barisan hadapan, ada yang telah mengorbankan banyak harta & wangnya.
Berbanding dengan yang hanya ikut-ikut dari belakang, tidak bawa banyak harta pastilah tidak sama!
Tak sama orang yang duduk di saf depan dengan di saf belakang.
Kata ulama’ : Allah sebut angkat darjat dalam al-Quran ini pada 4 tempat melalui firman-Nya ini:
{Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.} (Al-Mujaadalah 58:11)
i- Orang yang beriman, lagi kuat iman lagi tinggi darjat.
ii- Orang yang ada ilmu yang bermanfaat.
iii- Orang yang beramal, dia ada ilmu dia amalkannya.
iv- Para mujahid yang keluar berjihad!
Semoga Allah angkatkan darjat kita, hidup atas dunia dalam kemuliaan & hidup dalam perjuangan, mati dalam husnul khatimah, di Akhirat layak mendapat Syafaat Nabi SAW, dibangkitkan dengan keredhaan Allah & syurga menjadi tempat kembali kita!
Pilihlah kami sebagai orang-orang yang ikhlas berjihad pada jalan-Mu dengan harta & jiwanya!
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.