View Categories

Surah An-Nisa’ : Muqaddimah

Surah An-Nisa’ – سورة النساء

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْم

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 

Kenali Nama Surah, Fadhilat Dan Keistimewaan, Isi Kandungannya & Munasabah Susunan.

Full video : https://youtu.be/z_x8Px_U9o8?si=OMbcczbpmW_nKBCA

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini Selasa 21 Syawal 1445H bersamaan 30/04/2024 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah An-Nisaa’ – سورة النساء.
  1. Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita ke syurga-Nya.
  1. Surah An-Nisaa’ – سورة النساء- adalah surah yang keempat dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah Aali Imran – سورة آل عمران, Surah yang ketiga dalam juz yang ketiga& keempat.
  1. Ia adalah antara tujuh surah yang panjang dalam al-Quran kerana mengandungi 176 ayat, meliputi juz yang keempat, kelima & juzuk yang keenam.
  1. Ulama’ tafsir ijma’ mengatakan surah ini Madaniyyah, yakni turun di Madinah selepas hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.  
    Ramai dari kalangan ulama’ tafsir menukilkan ijma’ dalam masalah ini. Ini kerana surah ini banyak mengandungi hukum-hukum. 
  1. Dalilnya hadis UM Aisyah r.a: 
    “Tidaklah turun surah al Baqarah dan An-Nisa’ kecuali aku telah bersama dengan Rasulullah s.a.w.” [HR Muslim]. 
    Ini kerana kehidupan sebagai suami isteri Sayyidah Aisyah r.a. bersama Nabi s.a.w dimulai pada bulan Syawal, tahun pertama Hijrah.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini Surah An-Nisaa’ – سورة النساء: yang bererti wanita, perempuan kerana:
    i- An-Nisaa’ kerana ia menceritakan tentang perihal wanita, kerana banyak sekali hukum-hukum mengenai wanita disebut di dalamnya.

    ii- dinamakan surah an-Nisa’ kerana Allah mulakan surah ini dengan ayat untuk menghubung silaturrahim.

    iii- kerana banyak menyebut tentang hukum-hakam wanita- dan ia dinamakan surah an-Nisa’ al-Kubra (yang besar). Manakala surah an-Nisa’ Suhgra (yang kecil), al-Qusra (yang pendek) ialah surah at-Tolaq.

    iv- disebut tentang hukum-hukum yang berkait dengan hubungan suami-isteri, tentang anak perempuan dan diulang lagi di akhir surah.
    Serta banyak kali disebut nama perempuan & wanita di dalamnya.
  1. Yang penting ia dinamakan surah an-Nisa’ kerana warid ia disebut oleh Nabi s.a.w dan para sahabat. 
    Dalil- Hadis: Dari Ma’dan Bin Abu Talhah Al Ya’muri bahawa Umar Bin Al-Khattab berdiri di atas mimbar pada hari Jumaat, kemudian memuji dan mengagungkan Allah lalu menyebutkan Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar, kemudian berkata:… Kemudian Umar al-Khattab berkhutbah tentang hukum al-Kalalah. (Hukum tentang orang mati tanpa meninggalkan anak & ibu bapa- ada dalam akhir surah ini hukumnya.)

    Katanya: Dan demi Allah, tidak pernah Nabi s.a.w menegaskan sesuatu kepadaku tentang sesuatu sejak aku menemani beliau melebihi ketegasannya kepadaku dalam masalah Al- Kalalah sampai Baginda menusukkan jarinya ke dadaku dan berkata: “Cukuplah bagimu tentang ayat yang ada di akhir surah An-Nisa’. Sesungguhnya jika aku hidup maka aku akan putuskan masalah itu dengan keputusan yang dapat diketahui oleh orang yang membaca dan orang yang tidak membaca al-Quran, dan aku bersaksi kepada Allah atas pemimpin-pemimpin negeri, bahawasanya aku mengutus mereka supaya mereka mengajarkan kepada manusia perihal urusan agama mereka dan agar supaya mereka menjelaskan tentang sunnah Nabi mereka shallallahu ‘alaihi wasallam dan mengadukan kepadaku apa yang tidak mereka ketahui…. sehingga akhir hadis. [HR Muslim].

KELEBIHAN (FADHILAT) SURAH :

  1. Hadis – 
    i- Ibnu Mas’ud menceritakan, Rasulullah S.A.W pernah memintanya membaca al-Quran. “Bacakan untuk saya wahai Ibnu Mas’ud.”
    Ibnu Mas’ud menjawab, “Bagaimana mungkin saya membacanya untuk tuan sedangkan al-Quran diturunkan kepada tuan?” Rasulullah S.A.W berkata: “Saya suka mendengar orang lain membaca al-Quran.” Ibnu Mas’ud kemudian membaca Surah an-Nisaa’ dan ketika sampai pada ayat 41 yang bermaksud, “Maka bagaimanakah apabila Kami datangkan daripada tiap-tiap umat seorang saksi dan Kami datangkan engkau sebagai saksi terhadap umatmu ini?” Baginda s.a.w berkata “Hasbukal aan” dengan berlinangan air matanya: “Sudah, cukup.” [HR Bukhari dan Muslim].

    ii- hadis riwayat UM Aisyah ra.: Sesiapa ambil (hafaz & amal) tujuh surah yang panjang maka dia dianggap sebagai ulama’. [HR Ahmad].
    Yakni surah-surah yang melebihi 100 ayat iaitu: Surah Al-Baqarah, Aali Imran, An-Nisa’, Al-Maidah, Al-An’am, Al-A’raf, Al-Anfal, dan Bara’ah (Surah At-Taubah). 

    iii- Dari Abdullah Ibnu Mas’ud r.a: Dalam surah an-Nisa’ ini ada 5 ayat, mengembirakan aku lebih dari aku memiliki dunia dan isi kandungannya. Jika seorang itu alim; apabila dia baca ayat ini dia akan tahunya!
    5 ayat tersebut ialah:
    i. An-Nisa’ 4:31: إِن تَجْتَنِبُوا۟ كَبَآئِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّـَٔاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُم مُّدْخَلًا كَرِيمًا
    {Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).}

    ii. ayat 40: {Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisi=Nya, pahala yang amat besar.} (An-Nisaa’ 4:40)

    iii. ayat 48-: {Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.} (An-Nisaa’ 4:48)  

    iv. ayat 64-: {Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah. Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.} (An-Nisaa’ 4:64)

    Kita sekarang ini Nabi s.a.w sudah wafat; maka kita sendiri terus beristighafar minta keampunan kepada Allah. Jangan salah guna ayat ini pergi minta di kubur Nabi S.a.w. ini tidak kena- kita pergi ziarah & beri salam kepada Baginda!

    v. ayat 110-: {Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (An-Nisaa’ 4:110)
    Yakni sesiapa yang tersalah tersilap berbuat salah, lalu dia meminta ampun, Allah beri jaminan akan diberi keampunan! Allahu Akbar bagaimana kita tidak gembira mendengarnya!
  1. Ini adalah sebahagian kelebihan & ciri keistimewaan surah an-Nisa’ yang mulia.

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Surah ini mengambi berat tentang isu aqidah, tauhid dan yang berkaitan dengan keimanan kepada Allah s.w.t & menolak fahaman yang batil. 
    Serta menegakkan hujjah akan benarnya jawatan & tugasan Nabi Muhammad s.a.w sebagai seorang rasul. 
    Serta amaran keras daripada terpedaya & terpengaruh dengan dakyah yang dimainkan oleh kafir & munafiqin.
  1. Mengambil berat tentang keluarga dan menyusun hubungan antara dua suami isteri, hak-hak silaturrahim, menyatakan undang-undang pusaka & cara membahagikan harta pusaka.
  1. Mengambil berat tentang asas pembinaan sebuah negara Islam, ciri-cirinya & tentang jihad fi-sabilillah untuk menjaga negara daripada dikacau orang.
  1. Mengambil berat tentang penjagaan darah (nyawa), harta & menjaga hak anak yatim. 
    Ini adalah antara maqasid Syari’ah termasuk jaga akal & keturunan.

INTISARI KANDUNGAN (Pimpinan ar-Rahman) :

  1. Menerangkan hukum berkahwin lebih dari satu (poligami), tentang maskahwin, perintah bergaul dengan isteri secara baik, jangan terburu-buru menceraikannya apabila tidak suka lebih-lebih lagi jika kerana perasaan cemburu!
    Inilah antara punca huru-hara atas dunia ini iaitu cemburu yang melampaui! 
    Kena ada persasaan cemburu tetapi biar bertempat dan rasional.
  1. Larangan dari mengambil balik harta yang telah diberikan kepada isteri setelah menceraikannya.
  1. Kaum perempuan juga seperti kaum lelaki ada hak & bahagian dari apa harta yang dikerja atau usahakannya.
  1. Kaum lelaki sebagai pengawal atau wali kepada kaum wanita.
  1. Sifat seorang isteri yang solehah- kita akan cuba korek kajinya untuk dibuat panduan.
  1. Cara melayan isteri yang nusyuz- yakni apabila isteri derhaka apakah tindakan yang perlu diambil oleh suami!
  1. Pentingnya orang tengah (hakam) semasa berlaku perselisihan untuk mendamaikan persengketaan antara suami isteri. 
    Jika hakam itu berniat baik insya’ Allah mereka akan berbaik semula. 
  1. Ditegaskana bahawa orang yang memakan harta anak yatim dengan cara yang salah seolah menelan bara api serta diazab di Akhirat kelak! 
    Jangan main-main penjaga anak yatim kena jujur dan amanah dalam bab penjagaan & harta anak yatim.
  1. Tentang pembahagian harta pusaka- Allah s.w.t sebutnya dengan panjang lebar, jelas & terperinci tentang penerimanya & bahagian yang akan diterima oleh setiap seorang menurut apa yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t! 
    Orang yang memesongkan atau tidak ikut hukum Allah ini diberi amaran akan azab yang pedih di Akhirat kelak!
    Hati-hatilah- peringatan kepada para penjual insuran atau takaful: nak meniaga boleh tetapi jangan sehingga kita rempuh tembok Syari’ah.
  1. Diingatkan juga apa jua kebaikan yang kamu dapat ia adalah dari Allah. 
    Apa jua bencana yang menimpamu pula ia adalah dari kesilapan diri kamu sendiri!

    Menurut penjelasan ahli tafsir : Ayat ini jelas menyatakan bahawa peraturan & undang-undang alam sentiasa menuju ke arah kebaikan maka oleh kerana manusia telah diberi akal fikiran & tenaga untuk berusaha & ikhtiar. Maka nyatalah jika ia ditimpa sesuatu perkara yang buruk, hal itu kerana tidak sempurna usaha & ikhtiarnya! Tetapi dalam masa yang sama kita tidak boleh tolak taqdir Allah!
  1. Surah ini penuh dengan hukum-hukum yang diwajibkan ke atas orang Islam untuk meneruskan soal hidup dan untuk menegakkan taraf mereka sebagai satu ummah dalam negara yang Merdeka dan berdaulat. 
    Juga supaya mereka sentiasa bersiap siaga pada bila-bila untuk menghadapi sebarang pengkhianatan atau serangan bersenjata dari pihak musuh. 
    Jika orang nak mari kacau kita; kita kena lawan- jangan biarkan saja! 

ISU PENTING DALAM SURAH INI (TAFSIR MUHARRAR) :

Antara isu yang terpenting ialah: 

  1. Allah s.w.t sebut tentang wanita & diperincikan beberapa perkara yang berkait dengan hak wanita- banyak sekali ayat-ayatnya yang membincangkan tentang wanita.
  1. Allah s.w.t susun hubungan antara suami-isteri dari sudut yang berkuasa dan siapa penguasa. 
    Suami jadi ketua dalam rumah.
    Suami yang ada kekuatan & kemampuan Allah benarkannya berkahwin lebih daripada satu.
    Bila nak kahwin kena mahar. 
    Jika sudah sekufu wali jangan halang!
    Juga Tentang penyusuan.
  1. Tentang harta & penjagaan anak yatim, kena amanah & jujur.
  1. Hak penjagaan harta, jangan ambil hak orang, jangan boros & terlalu bakhil.
  1. Dalam surah ini juga banyak hukum fekah yang berkait perundangan Islam, Allah ringankan ibadat. 
    Juga meraikan orang lemah para dhuafa’.
    Hukum minum perkara yang memabukkan, wajib mandi junub, wuduk, tayammum dan lain-lain semua ada.
  1. Ia membincangn tentang ahli kitab- betapa mereka dilaknat Allah s.w.t kerana mereka sesat; maka kita nak ajak mereka kembali kepada al-Quran.
  1. Dalam negara Islam kena jalankan undang-undang Islam dalam negara, serta tentang hubungan pemerintah dan rakyat serta pelaksaan hudud dalam negara.
  1. Allah dedahkan tembelang puak munafiq yang banyak buat huru-hara dalam negara.
  1. Ayat-ayat tentang peperangan walaupun dalam surah wanita. 
  1. Galakan melakukan keadilan, jalankan amanah.
  1. Menyatakan permusuhan besar antara syaitan & bani Adam; bagaimana syaitan telah bersumpah untuk menyesatkan kita!
    Kuliah Kitab Hakikat Syaitan Ar-Rajim” pada malam Jumaat oleh AAM. Buku boleh didapati edisi Rumi di:
    https://dartaibah.com/…/Kitab-Hakikat-Syaitan-Edisi…
  1. Galakan untuk beriman kepada Allah & semua rukun iman. 
    Bahaya syirik & larangan orang mukmin berteman rapat dengan orang bukan Islam.
  1. Ada sedikit tentang cerita nabi seperti khabar Nabi Musa dan Nabi Isa a.s.

Munasabah Kaitan Surah An-Nisa’ Dengan Surah Ali-‘Imran Sebelumnya.

Antara beberapa persamaan susunan antara dua surah ini:

  1. Pada akhir surah Aal-Imran Allah perintahkan orang mukmin supaya bertaqwa. 
    Manakala dalam surah an-Nisa’ ini Allah mulakan arahan ini kepada semua manusia.
  1. Dalam surah an-Nisa’ ayat 88- terdapat larangan daripada berpecah kerana munafiqin- ayat ini sempena kepada perang Uhud. 
    Manakala dalam surah aali-Imran terdapat 60 ayat Allah telah sebut tentang perang Uhud dan kaitannya dengan munafiqin. (ayat 121-180)
  1. Ayat 104 dalam surah an-Nisa’ Allah kata: {Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu}. 
    Ayat ini turun sempena peperangan Hamra’ul Asad iaitu apabila Rasulullah s.a.w & para sahabat cuba mengejar tentera Abu Sufyan selepas peperangan Uhud.
    Allah juga telah menyebut tentang mereka ini dalam ayat 172-175 dalam surah Aal-Imran.
    Iaitu para sahabat yang terus bangkit menyahut seruan Rasulullah s.a.w untuk berkejar mengikut musuh walaupun masih penat & cedera selepas peperangan Uhud. 

Semoga Bermanfaat buat pencinta Al-Quran dan As-Sunnah.

Powered by BetterDocs