KEADAAN MANUSIA KETIKA SUSAH, MANUSIA JUGA MUDAH PUTUS HARAP & JAMINAN REZEKI BAGI SETIAP MAKHLUK.
Full video : https://youtu.be/dozgRGkSeL0
MUQADDIMAH :
- Dalam siri yang lepas Allah s.w.t telah peringatkan kepada kita tentang kedudukan manusia.
Diberi dalil-dalil tentang tauhid keEsaan Allah s.w.t dengan dibawa beberapa contoh- misal perbandingan. - Dalam ayat siri ini pula diceritakan akan keadaan seorang manusia ketika susah dan senang – ketika senang dia akan kufur, samada kufur nikmat itu atau memang kufur imannya.
- Berlainan dengan orang mukmin yang apabila mendapat kesenangan kita wajib bersyukur dan apabila ditimpa ujian kita kena bersabar, untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t.
- Hadis tentang ajaib atau peliknya sifat seorang mukmin:
Rasulullah s.a.w bersabda:
عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
Ertinya: \”Sungguh menakjubkan urusan seorang Mukmin. Sungguh semua urusannya adalah baik, dan yang demikian itu tidak dimiliki oleh siapa pun kecuali oleh orang Mukmin, iaitu jika dia mendapatkan kegembiraan dia bersyukur dan itu suatu kebaikan baginya. Dan jika dia mendapat kesusahan, dia bersabar dan itu pun suatu kebaikan baginya.\” [HR Muslim] - Isu semasa:
Kenapa Abu Anas suka baca Kitab-Kitab Jawi yang ada banyak persoalan & kontroversinya? Jawapan kerana dua sebab:
i- Kitab itu memang sudah tersebar luas dalam masyarakat kita samada Kuliah harian di masjid seperti Munyatul Musolli, Hidayatus Salikin dan lain-lain, atau kitab-kitab yang biasa dijadikan silibus usrah haraki, seperti Bahtera Penyelamat, Maza Ya\’ni dan lain-lain; terlalu banyak hadis-hadis yang tidak ditahqiq semak di dalamnya.
ii- Jadi dengan memberi Kuliah, sebelumnya AAM akan cuba setakat mampu, untuk tahqiq memeriksa status hadis, meneliti kedudukannya dan lain-lain kajian dan telitian tentang fakta dan hadis yang ada dalam kitab itu – diharapkan dapat memberi maklumat kepada masyarakat dan para ustaz yang yang akan mengajarnya pula.
AYAT 33- {DAN APABILA MANUSIA DISENTUH OLEH SESUATU BAHAYA, MEREKA SEGERA BERDOA KEPADA TUHAN MEREKA DENGAN KEADAAN RUJUK KEMBALI BERTAUBAT KEPADANYA; KEMUDIAN APABILA ALLAH MEMBERI MEREKA MERASAI SESUATU RAHMAT DARIPADANYA, TIBA-TIBA SEBAHAGIAN DARI MEREKA MEMPERSEKUTUKAN SESUATU YANG LAIN DENGAN TUHANNYA;} (AR-RUUM 30:33)
- Dalam ayat Allah s.w.t berfirman menyebutkan sifat-sifat manusia yang tercela.
- Apabila manusia berada dalam darurat atau bahaya seperti sakit, ditimpa bencana bencana atau takut akan binasa, mereka mendesak dan menyeru Allah s.w.t. semata dengan kembali bertaubat kepada-Nya.
- Firman Allah s.w.t: {Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepadaNya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepadaNya.} [Al-\’Ankabuut 29:65].
- Dalam keadaan terdesak itu mereka berdoa ikhlas kepada Allah, kembali kepada Allah, مُنِيبِينَ إِلَيْهِ mengaku hanya Allah yang Esa dan tidak akan syirik kepada-Nya.
- Tetapi apabila Allah s.w.t. menyelamatkan mereka dari kesusahan, hilang bahaya atau sakit, atau diberikan nikmat kepada mereka, tiba-tiba sebahagian dari mereka yang kembali mempersekutukan Allah dan menyembah Dia bersama yang lain, yang tidak dapat menghilangkan bahaya dan memberikan manfaat. Ini adalah seperti sifat kaum yahudi dan Nasrani dan seumpamanya.
- Firman Allah s.w.t: {Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila ia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar.} (Fussilat 41:51)
- Sifat ini tetap ada di kalangan kita hari ini, orang muslim yang tidak pernah kenal masjid ketika senang atau tiada keperluannya. Tetapi apabila ditimpa kesusahan, berlaku kematian atau kesakitan baru ke masjid mencari imam untuk didoakan!
- Waktu sihat tidak pernah ke masjid, tetapi apabila sakit minta didoakan agar sihat, agar dapat ke masjid. Begitulah keadaannya sihat lupa tuhan bila susah cari tuhan!
AYAT 34- {DENGAN SEBAB ITU, MEREKA MENGINGKARI NIKMAT-NIKMAT YANG TELAH KAMI BERIKAN KEPADANYA. MAKA (DIKATAKAN KEPADA MEREKA): \”BERSENANG-SENANGLAH KAMU (BAGI SEMENTARA), KEMUDIAN KAMU AKAN MENGETAHUI (BALASAN KEDERHAKAAN KAMU)\”.} (AR-RUUM 30:34)
- Allah memberi amaran; Maka jika begitulah sifat kamu, terus mengingkari dan kufur akan nikmat Allah, maka teruskanlah bersenang-senang atas dunia yang sementara ini.
- Tetapi nantikanlah pengakhiranya, kemudian kamu akan mengetahui balasan akibat dari kederhakaan kamu itu!
AYAT 35- {PERNAHKAH KAMI MENURUNKAN KEPADA MEREKA (YANG MUSYRIK ITU) SEBARANG BUKTI KETERANGAN, LALU IA MENERANGKAN JALAN YANG MEMBOLEHKAN MEREKA LAKUKAN PERBUATAN SYIRIK ITU?} (AR-RUUM 30:35)
- Allah s.w.t bertanya adakah Dia pernah menurunkan hujjah atau dalil kepada mereka untuk membenarkan perbuatan syirik mereka itu?
- Yakni mereka beribadat tanpa hujjah dan dalil kebenaran.
AYAT 36- {DAN APABILA KAMI BERI MANUSIA MERASAI SESUATU RAHMAT, MEREKA BERGEMBIRA DENGANNYA (SEHINGGA LUPA DARATAN); DAN JIKA MEREKA DITIMPA SESUATU BENCANA DISEBABKAN APA YANG TELAH DILAKUKAN OLEH TANGAN MEREKA SENDIRI, TIBA-TIBA MEREKA BERPUTUS ASA.} (AR-RUUM 30:36)
- Allah s.w.t mengingatkan bahawa sifat manusia itu apabila diberi merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya sehingga lupa daratan.
- Iaitu gembira sehingga membawa kesombongan, takabbur dan tidak syukur seperti Qarun atau Firaun itu. Yakni gembira tanpa bersyukur dan ingat kepada Allah!
- Kemudian jika mereka ditimpa sesuatu bencana pula; disebabkan apa yang berlaku, tiba-tiba mereka berputus asa daripada rahmat Allah. Sekali Allah uji sedikit terus kecewa yang melampau dan putus asa!
AYAT 37- {(MENGAPA MEREKA BERSIKAP DEMIKIAN?) DAN MENGAPA MEREKA TIDAK MELIHAT (DENGAN HATI MEREKA) BAHAWA ALLAH MEMEWAHKAN REZEKI BAGI SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA (SEBAGAI CUBAAN ADAKAH ORANG ITU BERSYUKUR ATAU SEBALIKNYA), DAN IA JUGA YANG MENYEMPITKANNYA (SEBAGAI UJIAN SAMA ADA DITERIMA DENGAN SABAR ATAU TIDAK)? SESUNGGUHNYA HAL YANG DEMIKIAN ITU MENGANDUNGI KETERANGAN-KETERANGAN (YANG MEMBUKTIKAN KEKUASAAN ALLAH) BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (AR-RUUM 30:37)
- Kenapakah mereka bersifat begitu? Tidak syukur dalam nikmat dan terus putus asa apabila diberi ujian?
- Sedangkan harta itu adalah ujian dari Allah s.w.t yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendakinya untuk:
i- Allah buka rezeki yang luas bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya.
ii- Allah juga yang menyempitkan rezeki bagi seseorang sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak. - Sesungguhnya semua ini mengandungi dalil-dalil keterangan yang membuktikan kekuasaan Allah bagi orang-orang yang beriman. Allah selalu katakan bahawa hanya mereka yang beriman, berakal dan berfikir akan mendapat faedahnya.
- Kita kena pegang dan sentiasa ingat bahawa semua yang berlaku dan rezeki yang datang adalah dari Allah samada sebagai ujian atau nikmat dari-Nya.
- Manusia hanya mampu merancang dan berusaha, kita boleh guna kepakaran dan keilmuan manusia yang ada, tetapi kena ingat PERANCANGAN ALLAH mengatasi segala kepakaran manusia.
- Tiada memberi mudharat sekelumitpun walaupun manusia benci kepada kita jika Allah sayang kepada kita. Begitu juga tidak akan memberi manfaat sedikitpun walaupun seluruh manusia sayang dan puja kita jika Allah benci kepada kita!!
Pedulikan manusia asal kita mendapat redha Allah s.w.t. - Semoga kita termasuk dalam golongan orang yang beriman, berilmu dan berfikir akan kekuasan Allah s.w.t dengan tadabbur ayat-ayat al-Quran ini, insya\’ Allah.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 33- {Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, mereka segera berdoa kepada Tuhan mereka} – Dalam ayat ini Allah s.w.t mengajar kita agar sentiasa ingat kepada Allah s.w.t dalam susah atau senang. Jangan juga sembah Allah kerana dunia, nak mati baru ingat kepada Tuhan.
- Ayat 37- {Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Ia juga yang menyempitkannya} – ayat ini mengajar kita agar jangan putus harap. Kita kena usaha dan ikhtiar dulu baru tawakkal, usaha kemudian terima takdir berserah kepada Allah s.w.t.
Kata ulama\’: Pandangan kita jangan tengok kepada apa yang kita ada, tetapi tengok kepada siapa yang mengadakannya, yakni kepada Allah s.w.t. - Ayat 33- {Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, mereka segera berdoa kepada Tuhan mereka} – dalil bahawa fitrah insan itu secara tabiatnya mengakui akan kewujudan Tuhan. Bila susah secara automatik akan ingat kepada tuhan.
- Ayat 34- {Maka (dikatakan kepada mereka): \”Bersenang-senanglah kamu (bagi sementara), kemudian kamu akan mengetahui (balasan kederhakaan kamu)\”.} – ayat ini amaran keras kepada puak kafir yang kufur dan ingkar kepada Allah – juga kepada orang Islam yang derhaka kepada Allah s.w.t, buat maksiat dan langgar hukum-hakam.
- Ayat 35- {Pernahkah Kami menurunkan kepada mereka (yang musyrik itu) sebarang bukti keterangan, lalu ia menerangkan jalan yang membolehkan mereka lakukan perbuatan syirik itu?} – ayat ini menunjukkan bahawa jika kita telah belajar hujjah al-Quran, hadis, kata-kata ulama\’ yang telah menafsirakan dengan jelas, lalu kita membuat sesuatu dengan satu dalil yang jelas tetapi masih diingkari dan dimarah manusia, pedulikan manusia yang penting Allah sayang dan redha kepada kita!
Boleh baca buku susunan DDAAM: Musafir Menuju Allah- ada diberi 10 sebab untuk meraih cinta dan redha Allah. - Jika seseorang itu telah mendapat dalil yang sahih, hujjah yang mantap kemudian dia berijtihad maka:
i- Jika tak betul dapat 1 pahala. Tetapi jika tahu tidak betul, jangan beramal dengannya lagi.
ii- jika betul dapat dua pahala.
Tetapi kelayakan ini hanya bagi para ulama\’ yang mencapai darjat mujtahid atau memiliki ahliyyah (kemampuan) untuk itu.
Hadis: Sabda Rasulullah s.a.w:
\”Apabila seorang hakim menghukumi suatu masalah lalu dia berijtihad kemudian dia benar, maka dia mendapat dua pahala. Apabilia dia menghukumi suatu masalah lalu berijtihad dan dia salah, maka dia mendapatkan satu pahala.\”[HR. Muslim] - Ayat 35- {Pernahkah Kami menurunkan kepada mereka (yang musyrik itu) sebarang bukti keterangan} – siapa yang bercakap tanpa dalil seolah dia tidak bercakap, kerana percakapan itu tiada guna dan tidak berfaedah, maka kita kena bercakap berpandukan dalil daripada al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w yang sahih.
- Ayat 35- {Pernahkah Kami menurunkan kepada mereka (yang musyrik itu) sebarang bukti keterangan} – ayat ini mengajar bahawa dalil yang kita nak pegang itu mesti dalil yang jelas dan betul, bukan yang kabur atau tiada sumber yang kukuh. Seperti dalil pemutus dari al-Quran atau hadis yang sahih.
- Ayat 36- {Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa.} – Manusia itu apabila mendapat nikmat gembira dan apabila susah sedih – Allah s.w.t itu biasanya apabila beri nikmat tidak akan beritahu sebabnya tetapi apabila dibalas azab akan diberitahu sebabnya.
Ulama\’ kata kerana nikmat itu ihsan dari Allah tetapi apabila diazab diberitahu sebab. menunjukkan keadilan Allah s.w.t. bukan menzalimi manusia, ada sebabnya kenapa mereka dihukujm dan diazab. - Ayat 36- {dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa.}- kadang-kala musibah yang menimpa itu adalah akibat dari perbuatan dan dosa kita sendiri. Allah timpakan ujian dan musibah itu supaya kita insaf dan kembali bertaubat kepada-Nya. Maka sepatutnya semakin kita diuji atau musibah semakin dekat kita dengan Tuhan.
Antara tempat yang paling banyak orang ambil kesempatan tinggal solat ialah di hospital.
Sakit bukan alasan untuk tidak solat, wajib ditunaikan selagi mampu dan sedar, ada rukhsah dan keringanan dalam cara menunaikannya.
Sepatutnya semasa sakit itulah kita semakin ingat dan dekat kepada Allah, insaf dan memperbanyakkan solat, zikir dan lain-lain ibadat yang mampu.