ANGIN DAN HUJAN TANDA KUASA ALLAH, TINDAKAN KE ATAS KAUM KAFIR & MENENANGKAN HATI NABI S.A.W YANG DIINGKARI OLEH KAUMNYA.
Full video : https://youtu.be/VYAmIkMzzF0
MUQADDIMAH :
- Dalam siri yang lepas Allah s.w.t telah menyatakan bahawa terjadinya kerosakan dan bala bencana atas muka bumi ini dengan sebab syirik dan maksiat yang dilakukan oleh manusia.
- Syirik dan maksiat yang terjadi berbeza mengikut suasana dan kebiasaan sesuatu kaum. Begitu juga azab yang diturunkan ke atas mereka berbeza mengikut dosa yang dilakukan.
- Allah s.w.t juga ceritakan tentang dakwah dan islah yang dibawa oleh para rasul dan nabi-nabi terdahulu juga menghadapi tentangan dan halangan seperti juga dakwah Rasulullah s.a.w.
- Apabila Allah s.w.t bawa nikmat dan rezeki, Allah tidak sebutkan sebabnya. Tetapi jika dibawa hukuman dan azab; akan dinyatakan sebabnya, supaya manusia nampak keadilan Allah s.w.t yang sekali-kali tidak menzalimi hamba-Nya.
- Sekali lagi Allah s.w.t bawa dalil tentang tanda-tanda kekuasaan-Nya yang dapat dilihat oleh manusia iaitu angin dan hujan.
AYAT 46- {DAN DI ANTARA TANDA-TANDA YANG MEMBUKTIKAN KEKUASAANNYA, BAHAWA IA MENGHANTARKAN ANGIN SEBAGAI PEMBAWA BERITA YANG MENGEMBIRAKAN; DAN UNTUK MERASAKAN KAMU SEDIKIT DARI RAHMATNYA, DAN SUPAYA KAPAL-KAPAL BELAYAR LAJU DENGAN PERINTAHNYA, DAN JUGA SUPAYA KAMU DAPAT MENCARI REZEKI DARI LIMPAH KURNIANYA; DAN SETERUSNYA SUPAYA KAMU BERSYUKUR.} (AR-RUUM 30:46)
- Allah s.w.t. berfirman menyebutkan tanda-tanda kekuasaan-Nya, melalui nikmat yang telah Dia limpahkan kepada makhluk-Nya:
i- menghantar angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan. Bahawa mungkin akan datang hujan.
ii- untuk merasakan kamu sedikit dari rahmat-Nya,
iii- dan supaya kapal-kapal belayar laju dengan perintah-Nya,
iv- dan juga supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya; - Antara nikmat itu ialah:
i- air hujan itu ialah sebagai sumber air yang bersih, rahmat dari Allah s.w.t. Kita kena syukur dengan nikmat Allah.
ii- pokok-pokok akan tumbuh subur. Bumi yang kering kontang kembali menghijau.
iii- sebagai sumber kuasa/tenaga perjalanan kapal-kapal besar atau kecil di lautan. - Tujuan semua limpah kurnia nikmat dan rezeki ini supaya kamu bersyukur dengannya.
AYAT 47- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA, KAMI TELAH MENGUTUSKAN SEBELUMMU (WAHAI MUHAMMAD) RASUL-RASUL KEPADA KAUM MASING-MASING, LALU MEREKA MEMBAWA KEPADA KAUMNYA KETERANGAN-KETERANGAN YANG JELAS NYATA; KEMUDIAN KAMI MENYEKSA ORANG-ORANG YANG BERLAKU SALAH (MENGINGKARINYA); DAN SEMEMANGNYA ADALAH MENJADI TANGGUNGJAWAB KAMI MENOLONG ORANG-ORANG YANG BERIMAN. DAN SETERUSNYA SUPAYA KAMU BERSYUKUR.} (AR-RUUM 30:47)
- Allah s.w.t mahu menenangkan hati Rasulullah s.a.w dalam ayat ini dengan menyatakan bahawa sebelum Baginda, telah ramai diutuskan rasul-rasul kepada kaum masing-masing.
- Mereka para rasul itu juga berdakwah membawa keterangan Allah yang jelas dan nyata. Lalu mendapat tentangan dari kaum mereka lalu Allah s.w.t musnahkan kaum mereka akibat pendustaan dan keingkaran terhadap para rasul.
- Ini untuk memberi semangat kepada Rasulullah supaya jangan sedih dan dukacita kerana begitulah sunnah para rasul yang terdahulu. Maka kita semua kena sabar menunggu janji dan pertolongan Allah s.w.t akan kemenangan orang-orang yang beriman.
AYAT 48- { ALLAH JUALAH YANG MENGHANTARKAN ANGIN, LALU ANGIN ITU MENGGERAKKAN AWAN; KEMUDIAN ALLAH MENYEBARKAN AWAN ITU DI LANGIT SEBAGAIMANA YANG DIKEHENDAKINYA, DAN MENJADIKANNYA BERKELOMPOK-KELOMPOK; LALU ENGKAU MELIHAT HUJAN KELUAR DARI CELAH-CELAHNYA. MAKA APABILA ALLAH MENURUNKAN HUJAN ITU MENGENAI SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA DARI HAMBA-HAMBANYA, MEREKA SERTA MERTA BERGEMBIRA;} (AR-RUUM 30:48)
- Allah s.w.t menceritakan pula tentang awan yang digerakkan oleh angin lalu tersebar dan bergerak ke tempat yang dikehendaki dan ditentukan Allah.
- Awan itu berkelompok di sana-sini, dan dari celah-celahnya turun hujan dari langit.
- Di mana saja hujan itu turun, tuan-tuan kebun akan bergembira dengannya kerana dapat menghidup dan menyuburkan pokok-pokok tanaman mereka.
- Semua contoh ini kerana Allah s.w.t hendak mengisbatkan kebangkitan semula dengan keadaan ini, manusia akan dihidupkan, bangkit semula.
- Semua ini juga untuk melihat adakah manusia itu bersyukur!
AYAT 49- {DAN SESUNGGUHNYA MEREKA DAHULU, SEBELUM DITURUNKAN HUJAN KEPADA MEREKA, ADALAH ORANG-ORANG YANG TELAH BERPUTUS ASA.} (AR-RUUM 30:49)
- Sedangkan mereka ini sudah berputus-asa, kerana sudah lama hujan tidak turun, kebun-kebun sudah kering, pokok-pokok layu dan hampir mati.
- Hadis kisah hujan di Hudaibiyah. Ketika berada Hudaibiyah umat Islam mendapat hujan yang sudah sekian lama dinantikan mereka. Lalu Baginda S.A.W bersabda maksudnya: \”Tahukah kamu apa yang diwasiatkan oleh Allah S.W.T kepadaku. Jawab sahabat, tidak. Lalu Baginda S.A.W bersabda maksudnya: Sesungguhnya dengan turunnya hujan, manusia boleh menjadi beriman dan mereka boleh menjadi kufur. Bagi yang beriman, mereka akan berkata, kami menerima hujan dengan rahmat dan kelebihan daripada-Nya. Manakala orang yang kufur akan menyandarkan kepada bulan dan bintang serta perkara lain terhadap fenomena ini.\” [HR Bukhari].
AYAT 50- {MAKA LIHATLAH OLEHMU KEPADA KESAN-KESAN RAHMAT ALLAH, BAGAIMANA IA MENGHIDUPKAN BUMI SESUDAH MATINYA (DENGAN TANAMAN-TANAMAN YANG MENGHIJAU SUBUR). SESUNGGUHNYA ALLAH YANG DEMIKIAN KEKUASAANNYA, SUDAH TENTU BERKUASA MENGHIDUPKAN ORANG-ORANG YANG TELAH MATI. DAN (INGATLAH) IA MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU.} (AR-RUUM 30:50)
- Allah s.w.t suruh kita perhatikanlah kesan-kesan rahmat Allah, bagaimana Dia menghidupkan bumi yang kering dengan hujan itu sehingga menjadi subur dengan tanaman-tanaman yang menghijau kembali.
- Demikianlah Allah s.w.t juga pasti akan berkuasa untuk menghidupkan orang-orang yang telah mati.
- Kena ingatlah bahawa Allah s.w.t maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
- Demikianlah ayat-ayat al-Quran; disetiap celah hikayat ada hukum, dalam hukum ada kisahnya pula. Begitu indah dan tidak jemu untuk dibaca dan ditadabbur.
AYAT 51- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA, JIKA KAMI HANTARKAN ANGIN (MENYERANG TANAMAN) LALU MEREKA MELIHAT TANAMAN ITU MENJADI KUNING KERING, NESCAYA MEREKA SESUDAH ITU, TERUS KEMBALI KUFUR (TIDAK MENGENANGKAN NIKMAT-NIKMAT ALLAH SERTA BERPUTUS ASA).} (AR-RUUM 30:51)
- Walaupun mereka telah mendapat nikmat yang banyak itu, sekiranya Allah s.w.t hantarkan angin besar yang kering yang boleh merosakkan tumbuh-tumbuhan mereka pula, nescaya mereka akan segera kufur, ingkar, lupa dan tidak mengenang lagi nikmat-nikmat yang telah dilimpahkan Allah kepada mereka sebelum itu. Mereka juga akan segera berputus asa.
- Begitulah manusia yang tidak beriman, apabila diberi nikmat mereka tidak bersyukur, apabila ditimpa ujian mereka terus hilang sabar dan berputus asa dari rahmat Allah s.w.t.
- Inilah ilmu yang kita belajar, ilmu syukur dan sabar, jika tidak kita kerugian dua-dua, dunia dan akhirat.
Sesungguhnya syukur itu menjaga nikmat yang sedia ada dan akan menarik nikmat yang baru juga!
AYAT 52- { (MAKA JANGANLAH ENGKAU BERDUKACITA – WAHAI MUHAMMAD – TERHADAP KEADAAN MEREKA YANG DEMIKIAN), KERANA SESUNGGUHNYA ENGKAU TIDAK DAPAT MENJADIKAN ORANG-ORANG YANG MATI (HATINYA) ITU MENERIMA AJARANMU, DAN TIDAK DAPAT MENJADIKAN ORANG-ORANG YANG PEKAK ITU MENDENGAR SERUANMU, APABILA MEREKA BERPALING UNDUR (DISEBABKAN KEINGKARANNYA). (AR-RUUM 30:52)
- Akhirnya Allah s.w.t menasihati Rasulullah s.a.w agar jangan berdukacita jika manusia itu ingkar dan tidak menerima dakwah seruannya.
- Allah s.w.t mengibaratkan orang kafir yang degil dalam kekufurannya adalah ibarat orang yang mati, yang buta mata dan pekak telinganya. Maka mereka tidak dapat mendengar dakwah Rasulullah, melihat kebenarannya, maka pastilah mereka tidak dapat menerima ajaran itu.
- Ini perumpamaan bagi orang yang mati hatinya, bukan mati yang hakiki, kerana jika sudah mati lain ceritanya, memang mereka tidak akan dapat mendengar dan menjawab.
AYAT 53- { DAN ENGKAU TIDAK AKAN DAPAT MEMBERI PETUNJUK KEPADA ORANG-ORANG YANG BUTA (MATAHATINYA) SUPAYA MENJAUHI KESESATAN MEREKA; ENGKAU TIDAK DAPAT MEMPERDENGARKAN (SERUANMU ITU) MELAINKAN KEPADA ORANG-ORANG YANG SEDIA BERIMAN AKAN AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI, KERANA MEREKA ORANG-ORANG YANG MENURUT PERINTAH. (AR-RUUM 30:53)
- Allah s.w.t menegaskan bahawa Rasulullah s.a.w tidak dapat memberi petunjuk supaya mereka menjauhi kesesatan. Ini kerana orang-orang yang buta mata hatinya tidak akan dapat menerima petunjuk.
- Pendengaran lebih berkuasa dan berguna daripada penglihatan, ini terbukti berapa ramai tokoh-tokoh ulama\’ dan huffaz yang buta matanya tetapi berjaya.
- Sesuatu yang dahsyat ialah apabila manusia itu mati rasanya, tidak peka lagi kepada hukum-hakam agama. Apabila melihat maksiat atau benda mungkar ia menjadi sesuatu yang normal dan tidak pelik!
- Kata Ustaz Mohamad Mustafa: Orang yang mati rasa dalam agama begini akan lebih bahaya daripada orang yang mati pucuk! Ini kerana orang mati pucuk tahu dia ada masalah dan cuba berubat, tetapi mati rasa dia tidak terasa bersalah dan cuba berubah.
- Hanya orang-orang yang sedia beriman kepada ayat-ayat keterangan Allah saja yang akan mendengar seruan Rasulullah s.a.w itu. Petunjuk Allah itu hanya bermanfaat kepada mereka, orang yang menurut perintah-Nya.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 46- {Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya, bahawa Ia menghantarkan angin-angin – الرِّيَاحَ – Allah s.w.t menyebut angin-angin (jamak) yang menunjukkan banyak. Isyarat kepada angin kecil, angin yang membawa rahmat dan manfaat. Jika disebut satu الريحَ bermakna angin yang besar dan membawa bencana.
- Ayat 46- { dan seterusnya supaya kamu bersyukur.}- inilah \’illah, sebabnya dibawa segala nikmat supaya kamu bersyukur.
- Ayat 47- {Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad)} – bukti dan dalil bahawa nabi Muhammad s.a.w adalah rasul terakhir dan penutup segala nabi-nabi.
- Ayat 47- Rasul-rasul kepada kaum masing-masing} – rasul dulu dihantar kepada kaumnya masing-masing sahaja, tetapi Rasulullah dakwahnya kepada semua manusia sehingga ke hari Kiamat. Sebagaimana hadis riwayat Abu Hurairah r.a. Nabi S.A.W bersabda: وَأَنَا خَاتِمُ النَّبِيِّينَ
Ertinya: \”Dan aku ialah yang terakhir dari sekalian para nabi.\” [HR Bukhari]. - Ayat 47- {Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) Rasul-rasul kepada kaum masing-masing} – hak/bertanggung-jawab Allah s.w.t ialah memberi pertolongan kepada orang yang beriman.
Antara kita dan Allah s.w.t ada hak masing-masing.
Hadis Rasulullah s.a.w tentang hak Allah dan hak hamba.
Dari Mu\’az bin Jabal r.a dia berkata:
قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : ( يا معاذ, أ تدرى ما حق الله على عباد ؟ قال : الله و رسوله أعلم, قال: أن يعبدوه ولا يشركو به شيأ, , أ تدرى ما حقهم عليه ؟) قال : الله و رسوله أعلم, قال : (أن لا يعذبهم) و فى لفظ لمسلم : ( و حق العباد على الله عز و خل أن لا يعذب من لا يشرك به شيأ )
Rasulullah s.a.w bersabda: \”Wahai Mu\’az, tahukah engkau apa hak Allah atas para hamba-Nya ?\” Mu\’az berkata: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui, Baginda bersabda: \”Iaitu hendaklah mereka beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun, dan tahukah engkau hak hamba terhadap Allah ?\” Mu\’az berkata : Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui, Baginda bersabda: \”Dia tidak akan mengazab mereka\”,
Dan dalam lafaz Imam Muslim: \”Bahawasanya Allah tidak akan mengazab orang yang tidak menyekutukan-Nya.\” [HR Bukhari & Muslim]. - Ayat 48- {Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan;} – Allah s.w.t menyatakan sebab, angin yang tolak awan, dengan kuasa Allah s.w.t. tidak menjadi masalah sebab dan musabbab.
- Ayat 48- {kemudian Allah menyebarkan awan itu di langit} – maksud langit di sini ialah benda yang di atas. Awan di atas kita, di bawah dari langit.
- Ayat 49- {Dan sesungguhnya mereka dahulu, sebelum diturunkan hujan kepada mereka, adalah orang-orang yang telah berputus asa.} – menunjukkan, menekankan (ta\’kid) keadaan mereka yang sudah berputu asa sebelum hujan, boleh mengunakan ayat ta\’kid dalam al-Quran.
- Ayat 50- {Maka lihatlah olehmu kepada kesan-kesan rahmat Allah} – selepas hujan kita berpakat jalan tengok kesannya selepas hujan. Bumi yang kering tandus hijau semula.
- Ayat 53- {Dan engkau tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang-orang yang buta (matahatinya)} – ayat ini menunjukkan orang yang mati jiwa, mati perasaannya, tidak akan mendengar apa nasihat lagi. Seolah orang mati yang mati hati, pekak telinga dan buta matanya.
Maka beringatlah, jangan kita jadi mayat hidup, orang yang hidup tetapi hatinya mati daripada melihat dalil kebenaran, tidak mahu mendengar nasihat dan peringatan; dan terus ingkar kufur kepada nikmat Allah s.w.t.
ALHAMDULILLAH SEKARANG PINTU MASJID TELAH DIBUKA, SEMOGA PINTU HATI KITA JUGA TERUS TERBUKA UNTUK BERAMAL IBADAT KEPADA ALLAH S.W.T SEBAIK MUNGKIN!