View Categories

SURAH ASY-SYU\’ARA\’ : AYAT 141-159

\"\"

KISAH NABI SOLEH DENGAN KAUM THAMUD, MEMBINA RUMAH DENGAN MEMAHAT BUKIT & MENYEMBELIH UNTA MUKJIZAT DAN KEBINASAAN THAMUD.

Full video : https://youtu.be/WdrXW6ljE_s

MUQADDIMAH :

1. Dalam siri ini Allah s.w.t kisah Nabi Soleh yang berhadapan dengan kaumnya, kaum Thamud. Satu kaum yang gagah perkasa seperti kaum Ad juga, yang membina dan memahat bukit menjadi rumah. Thamud datang selepas kaum Ad, sebelum nabi Ibrahim a.s.

2. Beza mereka, kaum Thamud ini minta tanda mukjizat lalu dihantar unta istimewa. Cara kemusnahan mereka, Ad dengan angin taufan manakala kaum Thamud dibinasakan dengan suara tempikan yang dahsyat yang memecahkan gegendang telinga sehingga mati.

3. Secar ringkas sahaja dalam surah ini kerana kisah Ad dan Thamud ini sudah diceritakan dalam banyak surah lain seperti surah Al-A’raf dan surah Hud dengan agak terperinci.

AYAT 141- {(DEMIKIAN JUGA) KAUM THAMUD TELAH MENDUSTAKAN RASUL-RASUL (YANG DIUTUS KEPADA MEREKA),} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:141)

1. Allah s.w.t menceritakan pula tentang kaum Thamud yang diutuskan Nabi Soleh kepada mereka.

2. Mereka juga telah ingar kepada rasulnya Nabi Soleh tetapi seperti kaum sebelum ini, sesiapa yang ingkar dan tidak beriman dengan seorang rasul akan dikira ingkar dan menolak semua rasul-rasul lain.

3. Inilah matematik iman, tolak satu rukun iman seolah tolak semuanya.

AYAT 142- {KETIKA SAUDARA MEREKA – NABI SOLEH, BERKATA KEPADA MEREKA: \”HENDAKNYA KAMU MEMATUHI PERINTAH ALLAH DAN MENJAUHI LARANGANNYA.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:142)

1. Kisahnya bermula apabila Nabi Soleh yang juga berasal dari nasab keturunan kaumnya sendiri iaitu Thamud, berdakwah kepada mereka dengan berkata: \”Hendaklah kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.”

AYAT 143- {\”SESUNGGUHNYA AKU INI RASUL YANG AMANAH, (YANG DIUTUS OLEH ALLAH) KEPADA KAMU.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:143)

1. Nabi Soleh memperkenalkan dirinya sebagai rasul yang amanah dan benar أَمِينٌ yang diutus oleh Allah s.w.t kepada mereka.

2. Kita pun dalam urusan seharian atas dunia ini kena perkenalkan diri dan jawatan supaya tidak timbul kekeliruan dan salah-sangka orang ramai.

AYAT 144- {\”OLEH ITU, TAKUTILAH KAMU AKAN (KEMURKAAN) ALLAH, DAN TAATLAH KEPADAKU.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:144)

1. Seruan pertama kepada kaumnya, untuk mengelakkan kemurkaan Allah s.w.t, takut dan bertaqwa kepada-Nya dengan taat kepada perintah dan tinggalkan apa yang dilarang.

2. Inilah dakwah para nabi, seruannya sama, kepada agama tauhid yang suci dan mencari keredhaan Allah s.w.t.

AYAT 145- {\”DAN AKU TIDAK MEMINTA KEPADA KAMU SEBARANG UPAH MENGENAI APA YANG AKU SAMPAIKAN (DARI TUHANKU), BALASANKU HANYALAH TERSERAH KEPADA ALLAH TUHAN SEKAMU ALAM.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:145)

1. Nabi Soleh juga menyatakan bahawa dia tidak meminta meminta upah daripada mereka kaumnya.

2. Begitulah semua para nabi, mereka ikhlas menjalankan tugas yang diperintahkan Allah s.w.t. Balasannya hanya diserahkan di sisi Allah s.w.t.

3. Maksudnya asas tapak dakwah itu tidak berbayar, kena ikhlas kepada Allah s.w.t. tetapi kena lihatlah keadaan semasa sekarang ini, jika perlu sumbangan untuk para ustaz dan pendakwah boleh diberi supaya tidak menganiayai kedua belah pihak.

AYAT 146- {\”ADAKAH (KAMU FIKIR), BAHAWA KAMU AKAN DIBIARKAN SENTIASA BERSENANG-SENANG DALAM NIKMAT-NIKMAT YANG ADA DI DUNIA INI?}- (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:146)

1. Penyakit yang melanda umat dan masyarakat hari ini adalah penyakit kaum terhadulu yang terkumpul, contoh; LGBT, zalim menindas orang, mengurangkan timbangan dan sukatan serta lain-lain penyakit umat.

2. Teguran pertama Nabi Soleh kepada kaumnya ialah adakah mereka fikir Allah s.w.t akan biarkan sahaja mereka bersenang-lenag menikmati kemewahan hidup yang ada di atas dunia ini?

3. Yakni mereka berasa selamat daripada mati atau selamat dari azab Allah s.w.t atau berasa aman/selamat dari keduanya sekali.

AYAT 147- {\”DI DALAM TAMAN-TAMAN (YANG INDAH PERMAI), DAN MATAIR-MATAIR (YANG MENGALIR),} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:147)

1. Negeri mereka amat subur dengan taman-taman yang indah permai, dan matair-matair (yang mengalir),}

AYAT 148- {\”DAN KEBUN-KEBUN TANAMAN SERTA POHON-POHON TAMAR (KURMA) YANG BUAH MAYANGNYA HALUS LEMBUT?} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:148)

1. Serta kebun pokok buah-buahan dan pokok tamar yang indah dan ajaib kejadiannya.

AYAT 149- {\”DAN KAMU MEMAHAT SEBAHAGIAN DARI GUNUNG-GANANG SEBAGAI TEMPAT TINGGAL – DENGAN BIJAK DAN BERSUNGGUH-SUNGGUH?} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:149)

1. Allah s.w.t gambarkan mereka sebagai kaum yang amat seni dan mahir فَارِهِينَ memahat sebahagian dari gunung-ganang sebagai tempat tinggal -dengan bijak dan bersungguh-sungguh.

2. Lalu mereka menjadi angkuh dan sombong dengan binaan yang megah dan hebat itu. Semuanya dibina tanpa keperluan.

3. Kesan mereka masih ada lagi sehingga ke hari ini, memang mengagumkan. Di Madain- Soleh, Al-Ula, Arab Saudi.

4. Firman Allah s.w.t: {Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Qura iaitu tempat tinggalnya)?} [al-Fajr: 9]

AYAT 150- {\”OLEH ITU, TAKUTILAH KAMU AKAN (KEMURKAAN) ALLAH, DAN TAATLAH KEPADAKU;} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:150)

1. Nabi Soleh memberi ingatan agar mereka takut akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepada ajarannya.

2. Firman Allah s.w.t: {Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: \”Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.”}. (Al-A\’raaf: 73)

3. Firman Allah s.w.t: {Dan demi sesungguhnya penduduk \”Al-Hijr\” telah mendustakan Rasul-rasul.} (Al-Hijr 15:80). Al-Hijr ini nama bagi negeri mereka itu juga.

AYAT 151- {\”DAN JANGANLAH KAMU TAATI PERINTAH ORANG-ORANG YANG MELAMPAUI BATAS,} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:151)

1. Nasihat Nabi Soleh seterusnya agar mereka jangan ikut perbuatan orang-orang yang melampaui batas agama.

AYAT 152- {\”IAITU ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN KEROSAKAN DI BUMI DAN TIDAK MEMBUAT KEBAIKAN\”.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:152)

1. Mereka yang melampaui batas itu adalah yang zalim dan jahat di kalangan mereka, yang membuat kerosakan dan maksiat di atas muka bumi ini.

2. Dikatakan ada 9 ketua penjahat utama, antaranya Qudar bin Salif yang membunuh unta Nabi Soleh.

3. Firman Allah s.w.t menggambarkan mereka ini: { Dan di bandar (tempat tinggal kaum Thamud) itu, ada sembilan orang yang semata-mata melakukan kerosakan di bumi (dengan berbagai-bagai maksiat) dan tidak melakukan kebaikan sedikitpun.} (An-Naml: 48)

AYAT 153- {MEREKA MENJAWAB: \”SESUNGGUHNYA ENGKAU INI HANYALAH SALAH SEORANG DARI GOLONGAN YANG KENA SIHIR! (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:153)

1. Dalam ayat ini kaumnya baru menjawab nasihat Nabi Soleh dengan membuat tuduhan jahat bahawa beliau hanyalah orang yang terkena sihir!

AYAT 154- {\”ENGKAU HANYALAH SEORANG MANUSIA SEPERTI KAMI; OLEH ITU, BAWAKANLAH SATU TANDA (MUKJIZAT) JIKA BETUL ENGKAU DARI ORANG-ORANG YANG BENAR\”. (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:154)

1. Sedangkan bagi pandangan mereka, Nabi Soleh hanya seorang manusia biasa seperti mereka.

2. Lalu mereka mencabar untuk dibawakan satu tanda mukjizat jika betul Nabi Soleh dari orang-orang yang benar.

3. Lalu Nabi Soleh pun berdoa agar Allah s.w.t bawa satu tanda yang boleh buat mereka ini percaya dan beriman. Begitulah para nabi itu sangat mengharapkan agar kaumnya percaya dan beriman.

AYAT 155- {NABI SOLEH BERKATA: \”INI ADALAH SEEKOR UNTA BETINA, (DI ANTARA CARA-CARA HIDUPNYA IALAH) AIR KAMU HENDAKLAH MENJADI BAHAGIAN MINUMNYA SEHARI, DAN BAHAGIAN KAMU SEHARI, MENURUT GILIRAN YANG TERTENTU. (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:155)

1. Lalu Allah s.w.t menggoncangkan bukit dan keluarlah seekor unta betina.

2. Nabi Soleh lalu memberitahu inilah unta sebagai tanda yang kamu minta. Tetapi mereka hendaklah menghormatinya dengan bergilir giliran sumber air mereka, bahagian minum unta sehari, dan bahagian kaumnya sehari, menurut giliran yang tertentu.

3. Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata (mukjizat) dari Tuhan kamu; ini adalah seekor unta betina (dari) Allah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku). Oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.} (Al-A\’raaf: 73)

AYAT 156- {\”DAN JANGANLAH KAMU MENYENTUHNYA DENGAN SESUATU YANG MENYAKITINYA; (JIKA KAMU MENYAKITINYA) MAKA AKIBATNYA KAMU AKAN DIBINASAKAN OLEH AZAB SEKSA HARI YANG BESAR (HURU-HARANYA)\”.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:156)

1. Nabi Soleh memberi amaran dan peringatan agar jangan menyakiti untanya.

2. Jika tidak akibat yang buruk akan menimpa mereka.

AYAT 157- {AKHIRNYA MEREKA MENIKAM MATI UNTA ITU, KEMUDIAN MEREKA MENYESAL (SETELAH MELIHAT KEDATANGAN BALA BENCANA).} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:157)

1. Mereka yang ingkar janji dan jahat itu akhirnya khianat dan membunuh unta itu.

2. Firman Allah s.w.t: {Dan Kami telah berikan kepada mereka tanda-tanda (yang membuktikan kebenaran agama dan Rasul Kami); dalam pada itu, mereka terus juga berpaling (mengingkarinya).} (Al-Hijr 15:81)

3. Selepas membunuhnya mereka menyesal itupun selepas melihat bala bencana yang datang.

4. Firman Allah s.w.t: {Orang-orang yang sombong takbur itu berkata: \”Sesungguhnya kami tetap ingkar akan orang yang kamu beriman kepadanya\”.

Maka mereka pun menyembelih unta itu, dan mereka menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka, sambil berkata: \”Hai Soleh! Datangkanlah azab yang engkau telah janjikan kepada kami, jika betul engkau dari Rasul-rasul yang diutus (oleh Allah).”

Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.} (Al-A\’raaf: 76-78)

AYAT 158- {LALU MEREKA DITIMPA AZAB YANG MEMBINASAKAN. SESUNGGUHNYA PERISTIWA YANG DEMIKIAN MENGANDUNGI SATU TANDA (YANG MEMBUKTIKAN KEKUASAAN ALLAH); DAN DALAM PADA ITU, KEBANYAKAN MEREKA TIDAK JUGA MAHU BERIMAN.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:158)

1. Lalu mereka ditimpa azab yang membinasakan. Ulama\’ kata ia adalah dalam bentuk gempa dan tempikan suara yang dahsyat. Yang boleh masuk ke dalam kediaman mereka di dalam bukit-bukit yang teguh dan kuat binaannya.

2. Allah s.w.t gambarkan kemusnahan kaum Thamud juga dalam firman-Nya:

{Meskipun demikian, mereka dibinasakan juga oleh letusan suara yang menggempakan pada bumi waktu pagi.} (Al-Hijr 15:83)

{Dan orang-orang yang zalim itu, dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.} (Hud 11:67) serta dalam ayat 78 surah al-A’raf di atas tadi.

3. Sesungguhnya peristiwa ini mengandungi satu tanda yang membuktikan kekuasaan Allah; siri-siri kebinasaan kaum yang zalim ini amat jelas dan nyata tanda dan dalil kekuasaan-Nya. {Akhirnya merekapun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit.} (Al-Hijr 15:73).

4. Satu lagi kaum yang dimusnahkan dengan suara yang menggemparkan begini juga ialah kaum nabi Lut a.s:

{Akhirnya merekapun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit.} (Al-Hijr 15:73) Cuma mereka ini ditambah dengan azab lain lagi:

Maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya), dan kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar.} (Al-Hijr 15:74)

5. Tetapi dalam pada itu, tidak ramai juga yang mahu beriman!!! Hatta kaum Quraisy yang bermusafir melalui kesan-kesan tempat azab ini pada musim sejuk dan panas (Rujuk surah Quraisy).

AYAT 159- {DAN SESUNGGUHNYA TUHANMU (WAHAI MUHAMMAD), DIA LAH SAHAJA YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:159)

1. Sekali lagi Allah s.w.t tutup kisah para nabi dengan ayat ini yang menunjukkan bahawa Allah s.w.t itu Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

1. Apabila Nabi Soleh menasihati kaumnya dengan berkata adakah kamu ingat kamu akan selamat dari azab dan kemurkaan Allah s.w.t? Ayat (147-149) ini menunjukkan betapa besar dan banyaknya nikmat yang Allah s.w.t. berikan. Tetapi jika kamu tidak bersyukur dan beriman maka semuanya akan hilang. Maka kita hendaklah bersyukur atas apa saja nikmat yang Allah s.w.t beri, dengan cara yang sepatut dan selayaknya.

Syukur menjaga nikmat yang ada, dan akan menarik nikmat yang belum ada.

2. Mereka menyesal selepas membunuh unta itu (ayat 157). Tetapi hanya sesal selepas melihat azab yang datang, maka ini penyesalan yang tidak berguna lagi.

3. Kaum Thamud seolah telah mendustakan semua rasul dengan mendustakan Nabi mereka Soleh a.s, ini kerana semua dakwah dan ajaran tauhid mereka adalah sama.

4. Nasihat Soleh lagi adakah kamu sangka Allah akan biarkan saja kamu menikmati kemewahan hidup itu tanpa di persolakan? (ayat 146).

5. Besarnya nikmat keamanan itu. Lihatlah betapa takut dan ngerinya bila tiada keamanan samada akibat bencana perang, wabak penyakit seperti Covid-19 ini, bencana alam dan lain-lain musibah. Maka kita wajib kembali kepada Allah s.w.t, perkasakan amar ma’ruf dan nahi munkar, jauhi maksiat dan dosa.

6. Mereka memahat bukit untuk dijadikan rumah (ayat**) menunjukkan kekuatan kaum Thamud ini.

7. Allah s.w.t menggambarkan mereka sebagai (فَارِهِينَ), iaitu pernuh dengan kesenian dan ketelitian, teknologi dan kemahiran yang hebat.

8. Mereka sudah menyesal selepas bunuh unta itu, tetapi kenapa tetap kena azab? Kata ulama\’ ini kerana:

i- mereka menyesal kerana takut kena azab, bukan sebab langar perintah Allah itu.

ii- mereka menyesal sudah terlewat, hanya apabila melihat azab telah datang.

9. Azab mereka adalah tempikan suara yang dahsyat. Bagaimana ini berlaku sedangkan mereka duduk dalam binaan bukit yang teguh dan tebal? Ini adalah cara binasa yang berbeza, ikut kesesuaian keadan mereka, kerana mereka di dalam bukit Allah hantar sesuatu yang tidak dapat disekat masuk iaitu gempa dan suara, Manakala kaum Ad sebelum ini, mereka bina bangunan tinggi, jadi Allah s.w.t hantar angin taufan untuk memusnahkannya, angin tidak sesuai dengan keadaan kaum Thamud.

10. Kenapa dua kaum ini sering disebut bersama dan banyak kali diulang dalam al-Quran? Kerana tempat mereka adalah dua laluan tahunan kafilah dagang kaum Quraisy yang bermusafir setiap musim panas dan sejuk, tetapi mereka tetap tidak mengambil pengajaran dan iktibar darinya, tetapi ingar dan kufur.

Kita ambillah pengajaran dan iktibar dalam semua perkara yang boleh mengembalikan kita kepada Allah s.w.t, insya\’ Allah.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs