HUJJAH BATIL PUAK KAFIR, AL-QURAN MENYERU KEPADA HAQ & ORANG MUKMIN GERUN DENGAN KIAMAT.
Full video : https://youtu.be/oyfs7Lqbvoo
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan kebatilan hujjah puak kafir yang ikut hawa nafsu dan tidak mantap.
- Allah s.w.t turunkan al-Quran sebagai garis panduan dan neraca timbangan yang benar
- Allah juga nyatakan sifat orang mukmin itu sentiasa rasa cemas, takut dan gerun kepada Allah s.w.t. Takut untuk mati dan bertemu hari Kiamat. Bukan takut kerana akan duduk seorang diri dalam kubur, dunia kubur, alam barzakh bukan seperti atas bumi, tiada harga duduk ramaipun. Untuk selamat kena pastikan kita masuk kubur, bertemu dengan Allah, dengan hati yang sejahtera. Jika tidak, kita akan kecundang.
- Munasabah ayat: Apabila kaum kafir melihat agama Islam berkembang luas di kalangan umat Islam mereka pun tampil melemparkan tuduhan palsu kepada Islam. Tetapi perbuatan itu sia-sia sebagai dalam ayat 16. Maka dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa puak kafir itu berhujjah dengan hujjah yang batil dan palsu serta tidak terpakai.
AYAT 16- {DAN ORANG-ORANG YANG BERHUJAH MENYANGKAL DAN MEMBANTAH TENTANG KEBENARAN AGAMA ALLAH SESUDAH DISAMBUT DAN DITERIMA AGAMANYA ITU – BANTAHAN (DAN TUDUHAN PALSU) MEREKA ITU SIA-SIA BELAKA DI SISI TUHAN MEREKA. DAN MEREKA PULA DITIMPA KEMURKAAN (DARI ALLAH) SERTA MEREKA BEROLEH AZAB SEKSA YANG SEBERAT-BERATNYA.} (ASY-SYURA 42:16)
- Kaum kafir cuba melemparkan tuduhan dan fitnah yang batil terhadap Islam dengan hujjah yang dangkal, cuba menggoyahkan lagi pandangan orang ramai terhadap Islam lalu menolaknya.
- Ada ulama\’ tafsir kata mereka yang dimaksudkan ini ialah kaum yahudi di Madinah yang memberi nasihat jahat kepada kaum musyrikin di Makkah tentang agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Mereka cuba menyerang dengan menimbulkan keraguan kepada orang Islam supaya mereka murtad dan kembali kepada agama asal menyembah berhala mereka itu. Mereka cuba menyekat orang Arab daripada menjadi Islam walaupun mereka tahu agama ini benar.
- Ulama\’ juga kata ayat ini untuk seluruh golongan kafir bukan yahudi saja, yang cuba menyerang menimbulkan keraguan dan fobia terhadap Islam, supaya kembali kufur selepas beriman. Seperti golongan orientalis (مستشرقين) pada zaman ini, iaitu orang barat (kafir) yang mengkaji Islam dengan niat buruk, mencari kelemahan Islam untuk diserang! Juga atas nama sekular, batiniyyah dan lain-lain.
- Mereka tidak akan berjaya, cuma orang yang berjiwa lemah, yang imannnya belum mantap akan terpedaya dan terpengaruh dengan hujjah batil mereka ini; contoh, kononnya tiada arahan pakai tudung bagi wanita dalam al-Quran.
- Tetapi semua itu tidak berjaya bagi mukmin yang mantap imannya, kerana hujjah mereka adalah lemah, batil, sesat dan dangkal! Berbanding dengan hujjah yang diturunkan dan diajar oleh Allah Azza wa Jalla dalam al-Quran yang mantap dan tidak dapat disangkal lagi.
- Sebagai akibat balasannya mereka akan ditimpa kemurkaan dari Allah serta mereka beroleh azab seksa yang seberat-beratnya. Tunggulah di akhirat kelak, walaupun di atas dunia ini seolah-olah tiada apa bahkan mereka nampak senang lenang dan tiada apa masalah.
- Perbuatan buruk dan dosa manusia tidak semestinya dibalas terus atas dunia ini dengan kejadian yang pelik-pelik, itu bukan cara Islam. Kita berhujjah dan menyampaikannya, jika mereka ingkarinya juga biarkan mereka, bagi mereka kerja mereka, kita teruskan kerja kita. Serahkannya kepada Allah s.w.t di Akhirat kelak.
AYAT 17- {ALLAH YANG MENURUNKAN KITAB SUCI DENGAN MEMBAWA KEBENARAN, DAN MENURUNKAN KETERANGAN YANG MENJADI NERACA KEADILAN. DAN APA JALANNYA ENGKAU DAPAT MENGETAHUI? BOLEH JADI HARI KIAMAT ITU SUDAH HAMPIR (MASA DATANGNYA).} (ASY-SYURA 42:17)
- Maklumat, fakta dan hujjah dalam al-Quran semuanya benar dan terbukti kebenarannya, ia turun dari sisi Allah Azza wa Jalla yang pasti tiada cacat cela atau kesalahan.
- Al-Quran juga sebagai satu keterangan yang menjadi neraca keadilan untuk memutuskan di antara manusia. Sebagaimana dalam ayat yang lepas di mana kita wajib mengembalikan semua urusan kepada Allah s.w.t.
- Ayat ini mengajar kita agar wajib membantah, melawan hujjah batil puak kafir yang tidak betul itu. Yakni dalilnya dapat kita korek dan cari, ambil hujjahnya dari:
i- al-Quran al-Karim.
ii- Sunnah Nabi s.a.w. - Yakni hujjah batil puak kafir akan dipatahkan oleh al-Quran dengan fakta, hukum dan ilmunya yang hak, jelas, benar dan mantap, yang turun dari Allah s.w.t.
- Hari Kiamat itu sudah tetap waktu akan datangnya dan boleh jadi sudah dekat dengan kita. Kiamat itu sudah dekat dengan Rasulullah s.a.w sejak 1400 tahun dulu lagi, kerana Baginda sebagai nabi dan rasul yang terakhir, selepasnya tiada nabi lain lagi sehingga datangnya Kiamat.
- Firman Allah s.w.t: 2132
i- {dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan.} (Al-Baqarah 2: 213)
ii- {Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan.} (Al-Hadiid 57:25)
- Untuk mendapatkan hujjah dan neraca timbangan ini, kita wajib baca, amal dan hayati al-Quran itu bukan sekadar beli dan simpan saja!
- Manakala hari Kiamat itu tetap akan datang dan boleh jadi sudah dekat masanya. Maka beringatlah jangan lalai mengerjakan apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang sebagaimana yang diajar dalam al-Quran dan bertindaklah dengan neraca keadilan.
- Allah s.w.t juga beri peringatan, amaran dan dalil bahawa Kiamat itu sudah dekat dengan kita!
Firman Allah s.w.t: {Manusia bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang kedatangan hari kiamat; katakanlah: \”Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Allah. \”Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? – boleh jadi masa datangnya tidak lama lagi.} (Al-Ahzaab 33:63)
AYAT 18- {ORANG-ORANG YANG TIDAK BERIMAN KEPADA HARI KIAMAT ITU MEMINTA (SECARA MENGEJEK-EJEK) SUPAYA DISEGERAKAN KEDATANGANNYA, DAN (SEBALIKNYA) ORANG-ORANG YANG BERIMAN MERASA TAKUT NGERI KEPADANYA SERTA MEREKA MENGETAHUI DENGAN YAKIN BAHAWA IA ADALAH BENAR. KETAHUILAH! SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG MEMBANTAH MENGENAI HARI KIAMAT ITU, TETAP BERADA DALAM KESESATAN YANG JAUH TERPESONG.} (ASY-SYURA 42:18)
- Mereka yang tidak percaya kepada hari Kiamat tidak takut kepadanya, bahkan mereka meminta secara mengejek-ejek supaya disegerakan kedatangan hari Kiamat. Lalu mereka tidak percaya kepada hisab, pengadilan dan hukuman yang akan berlaku!
- Firman Allah s.w.t tentang pertanyaan mereka yang tidak percaya itu:
i- {Dan mereka bertanya: \”Bilakah berlakunya azab yang telah dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?\”} (An-Naml 27:71)
ii- {Dan mereka (yang ingkar) bertanya: \”Bilakah berlakunya azab yang telah dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?\”} (Saba\’ 34:29)
- Begitulah keadaan orang kafir yang tidak beriman. Mereka tidak percaya lalu hanya memerli dan mempermain-mainkannya! Mereka kata bila mati jadi tanah dan tiada apa lagi.
- Manakala kita orang beriman yang percaya kepada Allah, kepada hari Kiamat akan merasa takut dan ngeri kepadanya serta mengetahui dengan yakin bahawa ia adalah satu perkara benar yang akan terjadi.
- Firman Allah s.w.t: {Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka;} (Al-Mu\’minuun 23:60)
- Hadis Rasulullah s.a.w: \”Dalam hadis yang diriwayatkan Ibnu Abi Hatim dari \’UM Aisyah r.a pernah bertanya kepada Rasulullah mengenai ayat 60 ini;
(وَالَّذِينَ يُؤْتُونَ مَا آتَوْا وَقُلُوبُهُمْ وَجِلَةٌ), apakah yang dimaksudkan dengan ayat ini ialah orang berzina dan meminum khamar atau mencuri, dan kerana itu ia takut kepada Tuhan dan siksa-Nya?
Rasulullah s.a.w menjawab:
\”Bukan demikian maksudnya, wahai puteri Abu Bakar as-Siddiq. Yang dimaksud dalam ayat ini ialah orang-orang yang mengerjakan solat, berpuasa dan menafkahkan hartanya, namun dia merasa takut kalau-kalau amalnya itu termasuk amal yang tidak diterima (mardud).\” [HR Ahmad dan at-Tirmizi]. - Begitulah sepatutnya kiat sebagai orang mukmin, jangan over-confident, kena sentiasa runsing dan bimbang jika ibadat kita tidak kena dan sempurna sebagaimana yang Allah s.w.t kehendaki. Kerana itu kita kempen untuk beramal dengan ajaran Sunnah Rasulullah s.a.w, bukan yang dimodified apatah lagi yang baru direka!
- Sesiapa yang tidak percaya dengan hari Kiamat itulah manusia yang terpesong, yang jauh dari jalan yang benar, jangan sekali-kali kita ikut mereka yang sesat ini!
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 16- {Dan orang-orang yang berhujah menyangkal dan membantah tentang kebenaran agama Allah sesudah disambut dan diterima agamaNya itu -}- ulama\’ kata orang yang berhujjah dan membantah walaupun dia benar sekali pun, tetapi jika hujjahnya semata-mata untuk membatalkan yang hak dan menegakkan yang batil, maka dis telah berbuat zalim dan tidak akan diterima di sisi Allah s.w.t.
Ini kerana kita ada neraca timbangan, ibadat tidak boleh sewenangnya di ambil sana sini, tetapi hendaklah yang sahih diajar oleh Rasulullah s.a.w.
dalam perkara adat boleh kita ubah dan ikut selagi tidak bercanggah dengan Syari\’ah.
- Ulama\’ kata; Hujjah dalam Kitab al-Quran digunakan kepada dua jenis maksud:
i- untuk hujjah yang benar & sahih seperti dalam firman Allah s.w.t:
a) {Dan itulah hujah (bukti) Kami, yang Kami berikan kepada Nabi Ibrahim untuk mengalahkan kaumnya. Kami tinggikan pangkat-pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.} (Al-An\’aam 6:83)
b) {Katakanlah (wahai Muhammad: \”Kalau kamu sudah tidak ada sesuatu bukti) maka Allah mempunyai bukti yang tegas nyata. Oleh itu, jika Ia menghendaki tentulah Ia akan memberi hidayah petunjuk kepada kamu semuanya\”.
(Al-An\’aam 6:149)
ii- digunakan dua-dua untuk hujjah yang benar dan salah.
a) Dalam ayat kita ini hujjah yang batil. {Dan orang-orang yang berhujah menyangkal dan membantah tentang kebenaran agama Allah.}
b) Firman Allah s.w.t: {Oleh sebab itu jika mereka berhujah (menyangkal dan) membantahmu (Wahai Muhammad), maka katakanlah: \”Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang mengikutku\”.} (A-li\’Imraan 3:20)
Maka balasan untuk yang memutar-belitkan hujjah, bawa hujjah yang pelik yang tiada fakta, mereka-reka ibadat yang tidak dibawa oleh Rasulullah s.a.w, maka mereka diberi amaran: {Dan mereka pula ditimpa kemurkaan (dari Allah) serta mereka beroleh azab seksa yang seberat-beratnya.}
- Ayat 17- {Allah yang menurunkan Kitab Suci dengan membawa kebenaran, dan menurunkan keterangan yang menjadi neraca keadilan.}- Kata ulama\’ ahlus-Sunnah bila dikatakan Kitab itu turun dari Allah s.w.t ini menunjukkan al-Quran itu Kalamullah. Bukan percakapan manusia.
Maka semua yang Allah kata itu benar, adil, telus, baik, penuh hikmah dan elok semuanya. - Ayat 17- {Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (وَمَا يُدْرِيكَ)? Boleh jadi hari kiamat itu sudah hampir (masa datangnya).}-
i- apabila Allah s.w.t bertanya dengan lafaz begini (وَمَا يُدْرِيكَ), Allah tidak akan beritahu jawapannya, Ayat ini juga menjadi dalil bahawa Rasulullah s.a.w sendiri tidak tahu bilakah akan berlaku Kiamat. Sebagaimana dalam hadis kedatangan Jibril bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang Iman, Islam dan Ihsan.
Maka sesiapa yang mengaku tahu bilakah tarikh Kiamat maka dia telah melakukan satu pembohongan kepada al-Quran.
Jadi macamana kita nak tahunya? Ulama\’ kata kita sendiri yang kena tadabbur, fikir dan cari jawapannya dalam al-Quran dengan mengumpul ayat-ayat al-Quran yang menceritakan tanda-tandanya.
ii- Tetapi jika Allah tanya dengan lafaz ini (وَمَا أَدْرَاكَ)- Apa yang kamu tahu?};
Allah akan jawab terus, seperti dalam beberapa ayat ini:
a- { {وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْقَارِعَةُ (3) يَوْمَ يَكُونُ النَّاسُ كَالْفَرَاشِ الْمَبْثُوثِ {Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari yang menggemparkan itu?} (Hari itu ialah: hari kiamat), hari manusia menjadi seperti kelkatu yang terbang berkeliaran,
(Al-Qaari\’ah 101: 3-4)
b- {Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia \”Haawiyah\” itu? (Haawiyah itu ialah): api yang panas membakar.} (Al-Qaari\’ah 101: 10-11)
Maknanya dalam setiap soalan begini Allah s.w.t akan terus jawab dalam ayat selepasnya.
- Ayat 18- {dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman merasa takut ngeri kepadanya serta mereka mengetahui dengan yakin bahawa ia adalah benar.}- orang beriman itu sentiasa ingat dan taat kepada Allah s.w.t serta takut kepada hari Kiamat. Walaupun mereka sibuk dengan urusan dunia, mereka tetap ingat kepada Allah dan takut kepada hari Kiamat.
Firman Allah s.w.t:
i- {(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.} (An-Nuur 24:37)
Ahli ibadat jangan berkelahi dan membenci sesama sendiri. Hapuskan penyakit hati, sejahterakan hati kita.
ii- {Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.} (Al-Baqarah 2:281)
Inilah ayat munajat yang dapat menginsafkan diri dan membersihkan hati bagi orang yang menghayatinya. Maka cubalah kita hafaz ayat ini dan memahami maknanya, mudah-mudahan ia dapat menjadi pelembut hati kita yang keras dengan Allah juga keras sesama manusia!
Ingatlah surat amalan yang akan kita baca di hadapan Allah nanti kitalah penulisnya. Maka tulislah yang baik, dengan segala amal ibadat dan hati yang sejahtera.
Orang beriman takut untuk bertemu dengan Allah kecuali dengan hati yang sejahtera. Maka kita bersihkan diri kita daripada segala penyakit hati yang ada.
Ya Allah bersihkan hati kami, matikanlah dalam husnul-khatimah, maafkan segala kesalahan kami dan keluarga kami yang zahir dan batin, jadikanlah kami dari kalangan yang dibebaskan dari neraka sempena bulan yang mulia ini!
اللَّـهُـمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ تُـحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
\”Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.\”