ALLAH MENYAYANGI HAMBA-NYA, BAHAYA SYIRIK SEBAGAI SUATU KEZALIMAN & GALAKAN BERTAUBAT DARI DOSA.
Full video : https://youtu.be/jOVwmRWzwUY
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t yang bersifat Maha lemah-lembut (اللَّهُ لَطِيفٌ) menyatakan bahawa DIA Menyayangi Hamba-Nya,
- Allah s.w.t juga mengingatkan akan bahaya syirik samada dalam aqidah menyekurikan Allah, atau syirik dalam ibadat seperti riya\’ nak menunjuk dan lain-lain, serta bahawa syirik itu adalah satu kezaliman.
- Juga galakan untuk bertaubat dari dosa, orang yang khianat kepada Islam akan menerima balasan yang cukup dahsyat!
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan Dia menurunkan Kitab al-Quran yang mempunyai dalil yang begitu teliti dan halus, sebagai satu gambaran tentang kasih sayang Allah s.w.t terhadap hamba-Nya.
ii- Allah s.w.t juga nyatakan tentang kumpulan yang berpecah dan tidak mahu ikut Islam, mereka akan mendapat azab yang dahsyat.
iii- kemudian Allah s.w.t bawakan dalam ayat ini tentang kasih sayang Allah s.w.t terhadap hamba-Nya dengan menurunkan Kitab, menyatakan hujjah dan memberi peringatan tentang kewajipan masing-masing.
iv- kerana kasih sayangnya yang sempurna dan susun aturnya yang amat teliti, maka dipermudahkan segala kebaikan dan diberi rezeki kepada semua makhluk yang mukmin atau kafir, segala haiwan melata yang di bumi, udara atau dalam air, semuanya ada bahagian masing-masing, rezeki dari sumber yang tidak disangka.
- Semua anugerah ini untuk melihat samada hamba-Nya:
i- bagi orang mukmin yang mendapat rezeki apakah akan bersyukur.
ii- orang kafir apakah mereka akan sedar bahawa yang memberi rezeki kepada mereka adalah Allah bukan yang lain, dan dapat hidayat. - Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbirNya bagi apa yang dikehendakiNya; sesungguhnya Dia Allah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.} (Yusuf 12:100)
AYAT 19- {ALLAH MAHA LEMBUT TADBIRNYA (SERTA MELIMPAH-LIMPAH KEBAIKAN DAN BELAS KASIHANNYA) KEPADA HAMBA-HAMBANYA; IA MEMBERI REZEKI KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA (MENURUT PERATURAN YANG TELAH DITETAPKAN), DAN DIA LAH YANG MAHA KUAT, LAGI MAHA KUASA.} (ASY-SYURA 42:19)
- Allah yang Maha Lembut tadbirNya serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihan-Nya kepada hamba-hamba-Nya.
- Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya menurut hikmah dan peraturan yang telah ditetapkan.
Samada kafir atau mukmin semua ada bahagian masing-masing yang telah ditetapkan. - Kemudian Allah nyatakan dua sifat-Nya: Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa- sempurna kekuatan-Nya tiada lansung kelemahan serta kemuliaan yang sempurna.
Bila Allah s.w.t sebut tentang rezeki kepada makhluk, biasanya Allah sebut dua sifat-Nya ini sebagai menyatakan:
i- jangan runsing dia berkuasa dan mampu untuk mencukupkan rezeki kamu semua.
ii- Tetapi ingat; jika kamu masih ingkar tidak bersyukur atas rezeki itu, Allah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa boleh menarik dan mengubahnya bila-bila masa.
AYAT 20- {AYAT 16- {SESIAPA YANG MENGHENDAKI (DENGAN AMAL USAHANYA) MENDAPAT FAEDAH DI AKHIRAT, KAMI AKAN MEMBERINYA MENDAPAT TAMBAHAN PADA FAEDAH YANG DIKEHENDAKINYA; DAN SESIAPA YANG MENGHENDAKI (DENGAN AMAL USAHANYA) KEBAIKAN DI DUNIA SEMATA-MATA, KAMI BERI KEPADANYA DARI KEBAIKAN DUNIA ITU (SEKADAR YANG KAMI TENTUKAN), DAN IA TIDAK AKAN BEROLEH SESUATU BAHAGIAN PUN DI AKHIRAT KELAK.} (ASY-SYURA 42:20)
- Setelah Allah nyatakan sifat-Nya yang (Latif) banyaknya rezeki nikmat yang dikurniakan kepada hamba-nya maka kita orang beriman mesti berusaha melakukan yang tebaik, mencari keredhaan Allah dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang dimurkai-Nya.
- Dalam ayat sebelumnya (ayat 19) Allah sebut bahawa Dia yang memberi rezeki, maka dalam ayat ini (20) Allah ajar jika nak rezeki kena berusaha (حَرْثَ); yang makna asalnya adalah bercucuk tanam.
Yakni tidak mudah untuk mendapat rezeki, jika nak makan kita kena bercucuk tanam, bertani ini ada lambat ada cepat hasilnya. - Allah s.w.t juga nak ajar kita kena ada sifat zuhud untuk hidup atas dunia ini.
- Di sini diceritakan bahawa kumpulan pertama iaitu;
i- Sesiapa yang hendak supaya semua amal perkerjaannya atas dunia ini menjadi saham untuk Akhirat maka kena niat yang baik serta perbuatan itu sendiri juga sesuatu yang asalnya harus dan baik!
ii- Seperti keluar bekerja (yang halal) untuk mencari rezeki, untuk nafkah, zakat, infaq , waqaf dan lain-lain maka ia akan menjadi satu ibadat dan akan dapat pahala insya\’ Allah! Kita kena letak di depan mata bahawa semua pekerjaan dan usaha kita ini untuk Allah dan akhirat.
iii- Tetapi jangan usaha atau kerja yang memang asalnya haram, kerana benda yang haram tidak akan menjadi halal walaupun dengan niat baik. Tetapi benda yang harus jika kita niat baik akan menjadi berpahala walaupun bertani, nelayan, kerja pejabat dan lain-lain.
- Bahkan Allah s.w.t akan tambah lagi faedahnya kepada mereka ini.
Ulama\’ berbincang tentang maksudnya:
i- tambahan pahala bagi pekerjaannya itu jika niat yang baik dan pekerjaan yang harus.
ii- Allah akan tambahkan pekerjaan dan hasilnya, permudahkan urusannya
- Ini adalah tentang kumpulan kedua: Manakala sesiapa yang menghendaki dengan amal usahanya kebaikan di dunia semata-mata. Maka Allah akan berikan kepadanya:
i- dari kebaikan dunia itu sekadar yang Allah tentukan, yakni belum tentu kaya raya atau berjaya juga.
ii- Silap niat maka kerugianlah di Akhirat kelak kerana dia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.
- Firman Allah s.w.t yang menafsirkan ayat ini: {Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.}
{Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.} (Al-Israa\’ 17: 18-19) - Yakni siapa yang buat kerja/amal niat untuk Akhirat dia akan dapat dua-dua dunia dan akhirat, tetapi siapa yang buat untuk dunia, dia akan hanya dapat dunianya sahaja.
- Hadis Rasulullah s.a.w: agar seimbang kejar dunia dan akhirat.
- Rasulullah S.A.W mengingatkan di dalam Hadis ini, khusus kepada manusia yang menjadikan dunia ini sesuatu yang besar di hatinya:
\”Dari Zaid bin Thabit r.a, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: \”Siapa yang dunia menjadi keinginan terbesar di hatinya, maka Allah akan cerai beraikan urusannya. Dan Allah jadikan kefakiran di antara kedua matanya. Dan dunia tidak mendatanginya kecuali yang dituliskan saja untuknya.
Dan siapa yang akhirat itu menjadi niat utamanya (keinginan terbesar di hatinya akhirat), Allah akan kumpulkan urusannya, dan Allah akan jadikan kekayaan di hatinya dan dunia akan mendatanginya dalam keadaan dunia itu hina di matanya.\” [HR Ibnu Majah dan lain-lain.]
AYAT 21- {PATUTKAH MEREKA MEMPUNYAI SEKUTU-SEKUTU YANG MENENTUKAN – MANA-MANA BAHAGIAN DARI AGAMA MEREKA – SEBARANG UNDANG-UNDANG YANG TIDAK DIIZINKAN OLEH ALLAH? DAN KALAULAH TIDAK KERANA KALIMAH KETETAPAN YANG MENJADI PEMUTUS (DARI ALLAH, UNTUK MENANGGUHKAN HUKUMAN HINGGA KE SUATU MASA YANG TERTENTU), TENTULAH DIJATUHKAN AZAB DENGAN SERTA-MERTA KEPADA MEREKA (YANG BERBUAT DEMIKIAN). DAN SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG ZALIM ITU AKAN BEROLEH AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (ASY-SYURA 42:21)
- Ayat ini celaan kepada mereka mengambil sekutu selain daripada Allah, merujuk kepada selain al-Quran dan hadis dalam menentukan bahagian agama dan mengambil undang-undang lain selain Syari\’ah Allah. Tidak patut bagi mereka ada sekutu tanpa izin Allah. undang-undang jahiliyyah atau sekular sekarang ini yang bertentangan dengan Syari\’ah Allah Azza wa Jalla!
Firman Allah s.w.t:
{Allah tidak sekali-kali mensyariatkan Bahirah, tidak juga Saa\’ibah, tidak juga Wasilah dan tidak juga Haam. Akan tetapi orang-orang kafir itu sentiasa mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah; dan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal fikirannya.} (Al-Maaidah 5:103)
ii- {Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.} (At-Taubah 9:31),
- Bagi umat Nabi Muhammad ini, Allah s.w.t walau apapun perbuatan ingkar mereka, Allah sudah buat ketetapan tidak akan ambil tindakan terhadap mereka atas dunia ini selagi mereka tidak mati.
- Kezaliman yang paling besar ialah zalim kepada Allah s.w.t dengan berlaku syirik. Pastilah orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
AYAT 22- {(PADA HARI KIAMAT) ENGKAU AKAN MELIHAT ORANG-ORANG YANG ZALIM TAKUT NGERI (AKAN BALASAN BURUK) BAGI KEJAHATAN-KEJAHATAN YANG MEREKA TELAH LAKUKAN, SEDANG AZAB SEKSA ITU TETAP MENIMPA MEREKA. DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN SERTA BERAMAL SOLEH (BERSENANG-LENANG) DALAM TAMAN-TAMAN SYURGA; MEREKA BEROLEH APA SAHAJA YANG MEREKA INGINI DI SISI TUHAN MEREKA; YANG DEMIKIAN ITU IALAH LIMPAH KURNIA YANG BESAR.} (ASY-SYURA 42:22)
- Orang yang zalim atas dunia ini dulu, di akhirat kelak dia akan menikus, takut dan ngeri kerana mereka tahu akan balasan buruk bagi kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan. Jika terlepas di atas dunia ini, tidak akan terlepas sekali-kali di Akhirat kelak!
- Mereka akan mendapat balasan azab siksa atas segala perbuatan jahat dan kezaliman yang mereka lakukan atas dunia ini! Tiada peguam yang dapat membela, tiada hakim yang dapat dirasuah lagi!
- Manakala bagi orang yang beriman serta beramal soleh, balasan paha mereka nikmat dengan bersenang-lenang dalam taman-taman Syurga; mereka beroleh apa sahaja yang mereka ingini di sisi Tuhan mereka.
- Inilah balasan pahala dan limpah kurnia yang sangat besar.
Ya Allah jadikan kami penghuni syurga dan orang yang layak mendapat limpah kurnia-Mu yang amat besar ini!
AYAT 23- {(LIMPAH KURNIA YANG BESAR) ITULAH YANG ALLAH GEMBIRAKAN (DENGANNYA): HAMBA-HAMBANYA YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH. KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”AKU TIDAK MEMINTA KEPADA KAMU SEBARANG UPAH TENTANG AJARAN ISLAM YANG AKU SAMPAIKAN ITU, (YANG AKU MINTA) HANYALAH KASIH MESRA (KAMU TERHADAPKU) DISEBABKAN PERTALIAN KERABAT (YANG MENGHUBUNGKAN DAKU DENGAN KAMU SUPAYA AKU TIDAK DISAKITI)\”. DAN SESIAPA YANG MENGERJAKAN SESUATU PERKARA YANG BAIK, KAMI TAMBAHI KEBAIKAN BAGINYA (DENGAN MENGGANDAKAN PAHALA) KEBAIKANNYA ITU. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI SENTIASA MEMBALAS DENGAN SEBAIK-BAIKNYA (AKAN ORANG-ORANG YANG BERSYUKUR KEPADANYA).} (ASY-SYURA 42:23)
- Bagi orang yang beriman dan beramal soleh, terimalah khabar gembira dari Allah s.w.t tentang limpah kurnia, nikmat yang besar.
- Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w untuk berkata kepada kaum Quraisy penduduk Makkah yang menentangnya bahawa Baginda tidak mengharapkan segala faedah dari mereka seperti upah dan ganjaran yang besar, tetapi Baginda berdakwah supaya mereka beriman dan selamat dunia akhirat.
- Rasulullah s.a.w tidak minta harta, pangkat dan kedudukan, apa yang dia mahu hanyalah kasih sayanng mereka terhadap Baginda disebabkan pertalian kerabat yang menghubungkan Baginda dengan mereka supaya tidak disakiti. Berilah ruang untuk Baginda berdakwah kepada sesiapa yang dikehendakinya, Quraisy jangan menghalang dan menyakiti Baginda.
- Ibnu Abbas r.anhuma ditanya tentang maksudnya (الْقُرْبَى- kaum kerabat) dalam ayat ini- Said bin Jubair berkata maksudnya ialah keluarga Nabi Muhammad. Ibnu Abbas kata sabar, jangan gopoh; sesungguhnya Rasulullah s.a.w ada pertalian kerabat dengan semua kaum Quraisy. Kerana Baginda minta agar jangan berbalah dan menyakiti Baginda s.aw. kerana mereka mempunyai pertalian kerabat! Maka ayat ini adalah percakapan antara Rasulullah s.a.w dan kaun Quraisy di Makkah dulu!
AYAT 24- {(ORANG-ORANG KAFIR TIDAK MENGAKUI KERASULAN NABI MUHAMMAD) BAHKAN MEREKA MENGATAKAN: \”IA TELAH MEREKA-REKA PERKARA DUSTA TERHADAP ALLAH\” (SEBENARNYA TIDAK PATUT MEREKA BERKATA DEMIKIAN) KERANA ALLAH BERKUASA – JIKA IA MENGHENDAKI – MENUTUP HATIMU (DAN INGATANMU DARIPADA MENYATAKAN APA YANG ENGKAU TELAH NYATAKAN ITU, TETAPI ALLAH TIDAK MENGHENDAKI YANG DEMIKIAN, BAHKAN IA MEMBERI KUASA MENYAMPAIKAN PERINTAHNYA, MAKA SEMUA KENYATAAN YANG ENGKAU SAMPAIKAN ADALAH BENAR BELAKA). DAN SEMEMANGNYA ALLAH TETAP MENGHAPUSKAN PERKARA YANG SALAH SERTA IA MENETAPKAN YANG BENAR DENGAN KALIMAH-KALIMAH WAHYU-NYA DAN KEPUTUSAN-NYA. SESUNGGUHNYA IA MAHA MENGETAHUI AKAN SEGALA (ISI HATI) YANG TERKANDUNG DI DALAM DADA.} (ASY-SYURA 42:24)
- Mereka kafir yang tidak beriman dengan kerasulannya dan mendakwa bahawa Rasulullah s.a.w adalah berdusta dan mereka-reka ajaran dakwahnya.
- Allah s.w.t menjawab dakwaan dan tuduhan jahat puak kafir itu:
i- jika benar Rasulullah s.a.w menipu Allahakan cop atas hatinya, Allah akan hilangkan kebatilan itu ini kerana Allah akan jaga agamanya. Ini cabaran Allah terhadap puak kafir.
ii- Allah mahu Rasulullah s.a.w agar jangan sibuk dan susah hati, Allah sudah tetapkan hati Rasulullah s.a.w & segala kebatilan yang dibawa oleh mereka akan dibatalkan.
Yakni Allah sudah tetapkan bagi kemenangan Rasulullah s.a.w.
- Allah s.w.t tutup ayat ini dengan menegaskan bahawa sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada. Yakni jika sesiapa yang berdusta atau berbohong Allah akan tahu! Kamu jangan runsing, tetapi ingatlah dan jaga diri masing-masing!
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 19- {Allah Maha Lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya;}- Allah s.w.t ceritakan sifat-Nya kepada hamba-Nya.
Apa faedahnya?
i- Ini supaya apabila kita kenal Allah dan ini sifat-Nya, maka kita pun semangat dan tamak untuk mencitai Allah kerana Dia sangat sayang kepada hamba-Nya yang beriman.
ii- Kita kena yakin bahawa kebaikan Allah s.w.t itu akan sampai kepada semua hamba-hamba-Nya. Allah itu lemah lembut dan beri rezeki (اللَّهُ لَطِيفٌ بِعِبَادِهِ يَرْزُقُ) untuk semua manusia dan haiwan, kafir atau mukmin secara asasnya semua dapat. Cuma ada yang luas ada yang sempit atas kehendak dan hikmah Allah s.w.t.
- Ayat 20- {Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata,}- kata Ibnu Abbas r.a; Sesiapa yang melebihkan dunia daripada akhirat maka dia tidak akan dapat bahagian Akhirat kecuali neraka.
Manakala atas dunia dia tidak akan dapat apa-apa kelebihan kecuali setakat yang dikehendaki Allah s.w.t.
Sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w tadi, agenda mana yang kita letak di depan mata, dunia atau akhirat? Maka Allah akan beri apa yang kita pilih itu.
Ayat ini juga mengajar dan memberi galakan kepada kita untuk mengaitkan semua usaha kita kepada akhirat.
Bererti sekali lagi menjelaskan tentang kepentingan niat, maka Allah s.w.t akan beri kepadanya kebaikan!
- Ayat 23- {Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya).} – ayat ini memberi galakan untuk bertaubat bagi dosa- dosa yang telah lalu, yang tersembunyi kerana Allah s.w.t Maha Mengetahui segalanya.
ii- Ayat 24- {kerana Allah berkuasa – jika Ia menghendaki – menutup hatimu}- yakni jika berdusta Allah akan cop atas hati kamu (يَخْتِمْ عَلَى قَلْبِكَ). Ini adalah merupakan satu akibat bala bencana jika dicop dengan keburukan. Jika dengan baik alhmdulillah. Semoga Allah cop atas hati kita dengan petunjuk hidayah dan keimanan.
Kerana itu Rasulullah s.a.w ajar untuk membaca doa ini:
اللَّهُمَّ يا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلبَيْ على دِيْنِكَ،
Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku atas agama-Mu.\’\’ (HR Ahmad).
- Ayat 21- {Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan – mana-mana bahagian dari agama mereka – sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?}- ulama\’ kata ini menunjukkan bahawa pintu ibadat dalam agama ini, untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t, wajib ikut ajaran Allah dan Rasulullah s.a.w yang sahih.
Jika tidak kita akan jumpa yang pelik-pelik dan mengarut dalam amal ibadat.
Untuk doa dan zikir harian yang sahih sebagaimana ajaran Rasulullah s.a.w boleh rujuk:
http://www.dartaibah.com/…
Ayat ini juga menunjukkan bahawa bahaya mengikut penguasa yang menghalalkan apa yang Allah haramkan dan sebaliknya. Sebagaimana dalam ayat ini disebut bahawa tidak boleh beramal dengan: {sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah}
- Ayat 23- {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu,}- ini bukan untuk Rasulullah s.a.w saja tetapi untuk semua rasul-rasul terdahulu dan para pendakwah selepas Rasulullah s.a.w.
Ayat ini menjadi dalil bahawa sifat semulajadi manusia tidak suka kepada orang yang memberi nasihat/pendakwah tetapi meminta upah, hatta kaum jahiliyah Quraisy pun bencinya.
Maka kita pendakwah hari ini berpadalah, boleh terima sekadar keperluan masa dan tenaga kita, biar ada timbang-tara antara para penganjur dan pendakwah. Yang dijemput jangan terlalu meletak harga, sehingga menjadi bebanan kepada orang lain.
Para penganjur pun lihatlah keadaan semasa penceramah yang datang dari jauh dan memakan masa dan tenaganya, berilah yang yang sepatutnya jangan sampai menyusah dan tidak memberi hak orang pula.