View Categories

SURAH AZ-ZUKHRUF : AYAT 26-32

\"\"

SIKAP NABI IBRAHIM A.S MANTAP TAUHID, KAFIR TUDUH QURAN SEBAGAI SIHIR & ALLAH PENENTU REZEKI.

Full video : https://youtu.be/9UWKz4x0Gc4

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita akan lihat sikap tegas dan berprinsipnya Nabi Ibrahim, Khalilullah a.s, menjaga aqidahnya, mengajak manusia meninggalkan syirik dan bertauhid kepada Allah s.w.t.
  2. Juga sikap orang kafir yang menolak al-Quran dan menuduhnya sebagai sihir serta menolak nabi Muhammad s.a.w sebagai rasul kerana tidak berpangkat dan kaya seperti yang mereka jangkakan.
  3. Kemudian Allah s.w.t nytakan kuasa mutlak-Nya membahagikan rezeki kepada hamba-Nya mengikut bahagian khas masing-masing yang telah ditentukan-Nya.
  4. Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t telah menyatakan bahawa puak kafir keras kepala tidak mahu terima dakwah para rasul yang diutus kepada kaum masing-masing dengan alasan bahawa mereka telah ikut apa yang diwarisi dari nenek moyang mereka.
    Ini merupakan hujjah yang batil dan fasik. Kerana dalam perkara agama wajib rujuk kepada dalil bukan hanya taqlid buta, rujuk kepada orang tua saja.
  5. Maka Allah s.w.t balas balik dengan mengingatkan puak kafir itu tentang datuk mereka yang asal iaitu Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Ismail yang menjadi asal keturunan Quraisy.
    Jika mahu ikut sangat tok nenek kenapa tidak ikut Nabi Ibrahim a.a yang murni akidahnya, Nabi Ismail yang dipanggil \”Bapa Arab\” (أب العرب).
    Tetapi kenapa kamu ikut Amru bin Luhay yang membawa masuk ajaran berhala ke Makkah.
  6. Kisah Nabi Ibrahim dan Ismail sebagai penduduk awal Makkah ini boleh dibaca dalam buku Makkah; Kelebihan & sejarah ini:
    http://www.dartaibah.com/…

AYAT 26- {DAN (INGATKANLAH PERISTIWA) KETIKA NABI IBRAHIM BERKATA KEPADA BAPANYA DAN KAUMNYA: \”SESUNGGUHNYA AKU BERLEPAS DIRI DARI APA YANG KAMU SEMBAH.} (AZ-ZUKHRUF 43:26)

  1. Dalam ayat ini Allah sentap kaum Quraisy yang mengaku ikut agama nenek moyang itu, jika benar mahu ikut datuk nenek kenapa tidak ikut nabi Ibrahim yang murni akidahnya, beriman kepada Allah s.w.t. agama tauhid sama seperti yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
  2. Kata ulama\’; Jika Adab dan uruf bercanggah dengan dalil Syari\’ah, ia mesti ditinggalkan.
  3. Nabi Ibrahim dengan tegas dan berani mengatakan bahawa dia berlepas diri daripada apa yang disembah oleh bapa dan kaumnya yang syirik, dia tidak akan menyembah yang selain dari Allah s.w.t!
  4. Dalam ayat lain tentang ketegasan nabi Ibrahim a.s ini, Allah s.w.t berfirman:
    i- {Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: \”Inikah Tuhanku? Ini lebih besar\”. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: `Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).
    \”Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)\”.(Al-An\’aam 6: 78-79)

ii- {Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya – contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): \”Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata\”, tetapi janganlah dicontohi perkataan Nabi Ibrahim kepada bapanya (katanya): \”Aku akan memohon kepada Tuhanku mengampun dosamu, dan aku tidak berkuasa menahan (azab seksa) dari Allah sedikit juapun daripada menimpamu\”. (Berdoalah wahai orang-orang yang beriman sebagaimana Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya berdoa ketika mereka memusuhi kaumnya yang kafir, dengan berkata): \”Wahai Tuhan kami! Kepada Engkaulah sahaja kami berserah diri, dan kepada Engkaulah kami rujuk bertaubat, serta kepada Engkaulah jua tempat kembali!} (Al-Mumtahanah 60:4)

AYAT 27- {\”YANG LAIN DARI TUHAN YANG MENCIPTAKAN DAKU, KERANA SESUNGGUHNYA IA TETAP MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADAKU\”.} (AZ-ZUKHRUF 43:27)

  1. Nabi Ibrahim dengan tegas dan berani mengatakan bahawa dia berlepas diri daripada apa yang disembah oleh bapa dan kaumnya yang syirik, dia tidak akan menyembah yang selain dari Allah s.w.t!

AYAT 28- {DAN NABI IBRAHIM MENJADIKAN KALIMAH TAUHID ITU TETAP KEKAL PADA KETURUNANNYA, SUPAYA MEREKA KEMBALI (KEPADA TAUHID ITU, JIKA ADA YANG MENYELEWENG KEPADA SYIRIK).} (AZ-ZUKHRUF 43:28)

  1. Nabi Ibrahim memasak dan menanam kalimah tauhid dengan kemasnya dalam hati agar tetap kekal pada keturunannya, supaya mereka kembali kepada tauhid itu, jika ada yang menyeleweng kepada syirik.
  2. Nabi Ibrahim ini amat mengambil berat dan amat bimbang akan aqidah zuriat keturunannya.

Beberapa doa nabi Ibrahim yang patut kita amal dan baca:
i- {Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: \”Wahai Tuhanku! jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala.} (Ibrahim 14:35)

ii- {\”Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana\”.} (Al-Baqarah 2:129)

iii- {\”Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.} (Ibrahim 14:40)

  1. Kata Imam Ibnu Kathir rhm.: Dengan sebab dua perkara; Iman & pendidikan maka Allah kekalkan kalimah Tauhid dalam diri zuriat keturunan Nabi Ibrahim a.s. Yakni kena banyak berdoa serta dalam masa yang sama terapkan tarbiyyah dan didikan yang mantap ikut Syari\’ah Islam.
  2. Jika ada antara mereka yang tersilap tersalah menyeleweng dari jalan Allah yang benar, agar mereka segera sedar, lalu insaf dan kembali kepada Allah!
  3. Sebagaimana kaum Quraisy pada zaman jahiliyyah yang telah dipengaruhi oleh Amru bin Luhay al-Khuza\’i (عمرو بن لُحَيّ) orang pertama yang membawa masuk berhala ke Makkah dan mengubah perjalanan agama Nabi Ibrahim di Makkah.
    Mengajar pegangan kaum Quraisy kepada penyembahan berhala. Setelah itu diutus Rasulullah s.a.w datang untuk membersihkan kembali semua ini.

6.Begitulah doa DAN dakwah pendidikan mesti serentak, ibu bapa dan guru bekerjasama seiring sejalan dalam mendidik anak-anak.

AYAT 29- {(KEBANYAKAN MEREKA TIDAK KEMBALI KEPADA TAUHID, DAN AKU PULA TIDAK SEGERAKAN AZAB MEREKA) BAHKAN AKU MEMBERIKAN MEREKA DAN DATUK NENEK MEREKA MENIKMATI KESENANGAN HIDUP, SEHINGGA DATANGLAH KEPADA MEREKA KEBENARAN (AL-QURAN), DAN SEORANG RASUL YANG MENERANGKAN TAUHID.} (AZ-ZUKHRUF 43:29)

  1. Tetapi malangnya kebanyakan mereka tetap mahu berpegang atas agama berhala datuk-nenek itu, tidak mahu kembali kepada tauhid. Tetapi Allah s.w.t masih mahu beri peluang kepada mereka, tidak disegerakan azab ke atas mereka sebagaimana kaum yang terdahulu. Bahkan mereka mendapat nikmat kesenangan hidup walaupun di dalam kekufuran.
  2. Sehinggalah Allah datangkan dan utuskan kepada mereka kebenaran Al-Quran, dan seorang Rasul yang menerangkan tauhid, berdakwah membimbing mereka ke jalan kebenaran yang diredhai Allah s.w.t.
  3. Munasabah ayat; setelah golongan kafir masih lagi berpegang dengan ikut tok nenek, mereka tidak fikir tentang hujjah, keterangan dan kenyataan serta terpedaya dengan kekayaan dan nikmat dunia yang mereka miliki.
    Kemudian datang pula seorang rasul yang miskin di mata mereka, maka mereka berpaling tidak mahu terima kebenaran.
  4. Jadi doa nabi Ibrahim itu sebahagiannya ada yang terlaksana dan ada sebahagian yang tidak, kerana ada cucunya yang kembali beriman ada yang kekal dalam syirik terus menjadi kafir!

Tiada tempat minta pertolongan kecuali kepada Allah s.w.t!

  1. Sudah menjadi sunnatul-hayah, perjuangan menegakkan kebenaran akan ada yang lawan itu dari orang yang jauh, bahkan ada yang datang dari dalam keluarga sendiri.
    Perjuangan dan penerangan mesti diteruskan, Sunnah Rasulullah s.a.w mesti dijunjung, penentangan kita letak ditepi!
  2. Kata ahli fikir: Setiap bekas itu akan mengeluarkan isinya, yakni apa yang ada di dalamnya.
    Zaman sekarang orang boleh dinilai melalui tulisan dan post-postnya di medsos seperti FB dan lain-lain.
    Jadi jika kita tidak yakin dan betul-betul tahu tentang sesuatu isu, lebih baik kita diam dari turut campur, komen share dan ulasnya.

AYAT 30- {DAN KETIKA KEBENARAN (AL-QURAN) ITU DISAMPAIKAN KEPADA MEREKA, BERKATALAH MEREKA: \”SESUNGGUHNYA INI ADALAH SIHIR, DAN SESUNGGUHNYA KAMI TETAP MENGINGKARINYA\”.} (AZ-ZUKHRUF 43:30)

  1. Apabila Rasulullah s.a.w membawa al-Quran dan keterangan yang jelas, mereka terus berkata: \”Sesungguhnya ini adalah sihir, dan sesungguhnya kami tetap mengingkarinya\”.
  2. Mereka mengatakannya sihir kerana al-Quran itu apabila didengar hati akan menjadi tertarik dan fikiran akan cenderung kepadanya. Maka mereka amat takut jika anak isteri, keluarga mereka mendengarnya lalu terpengaruh.
  3. Kita pada hari ini pun, apabila kita ajak orang tadabbur al-Quran, ada yang koyak dan larangannya, kata tidak boleh belajar tafsir, kita mesti belajar akidah dulu dan lain-lain permainan syaitan kepada orang yang nak belajar al-Quran!
  4. Dikatakan kononya belajar memahami tafsir al-Quran itu salah, tapi ada orang tafsir al-Quran dengan kefahaman kepala otak sendiri tak apa dan betul pula!

AYAT 31- {DAN (KERANA MEREKA MENCEMUH NABI MUHAMMAD) MEREKA BERKATA: \”(KALAULAH AL-QURAN INI MENJADI BUKTI KENABIAN SESEORANG, MAKA) SEPATUTNYA AL-QURAN INI DITURUNKAN KEPADA SEORANG BESAR (YANG KAYA DAN BERPENGARUH) DARI SALAH SEBUAH DUA BANDAR YANG (TERKENAL) ITU?\”} (AZ-ZUKHRUF 43:31)

  1. Mereka menghina dan memandang rendah kepada Rasulullah s.a.w, mereka juga cuba merendahkan pandangan dan menjauhkan orang ramai daripada Baginda.
  2. Mereka berkata jika betul al-Quran ini nak jadi bukti, maka sepatutnya ia diturunkan kepada seseorang yang kaya dan berpengaruh di bandar Makkah atau Taif! Inilah pandangan orang yang berjiwa keduniaan dan materialistik!
  3. Ulama\’ tafsir berkata pembesar Makkah yang mereka nak calonkan itu ialah:
    i- al-Walid bin al-Mughirah atau
    ii-Utbah bin Rabi\’ah.

Manakala pembesar Taif yang dicalonkan mereka pula ialah:
i- Habib bin Amri bin Umair ath-Thaqafi,
ii- Abu Mas\’ud, Urwah bin Mas\’ud ath-Thaqofi,
iii- Kinanah bin Abdi Amrin at-Toifi atau
iv- Ibnu Abdu Ya Lail,
Bukan Muhammad anak pengembala kambing.

AYAT 32- {(MENGAPA PEMBERIAN KAMI ITU MEREKA INGKARKAN?) ADAKAH MEREKA BERKUASA MEMBAHAGI-BAHAGIKAN (PERKARA-PERKARA KERUHANIAN DAN KEAGAMAAN YANG MENJADI SEBESAR-BESAR) RAHMAT TUHANMU (WAHAI MUHAMMAD, SEOLAH-OLAH KAMI HANYA BERKUASA DALAM PERKARA KEBENDAAN DAN KEDUNIAAN SAHAJA? MEREKA TIDAK INGKARKAN): KAMI MEMBAHAGI-BAHAGIKAN ANTARA MEREKA SEGALA KEPERLUAN HIDUP MEREKA DALAM KEHIDUPAN DUNIA INI, (SETENGAHNYA KAMI JADIKAN KAYA RAYA DAN SETENGAHNYA MISKIN MENDERITA); DAN JUGA KAMI TELAH MENJADIKAN DARJAT SETENGAH MEREKA TERTINGGI DARI DARJAT SETENGAHNYA YANG LAIN; (SEMUANYA ITU) SUPAYA SEBAHAGIAN DARI MEREKA SENANG MENDAPAT KEMUDAHAN MENJALANKAN KEHIDUPANNYA DARI (BANTUAN) SETENGAHNYA YANG LAIN. DAN LAGI RAHMAT TUHANMU (YANG MELIPUTI KEBAHAGIAAN DUNIA DAN AKHIRAT) ADALAH LEBIH BAIK DARI KEBENDAAN DAN KEDUNIAAN SEMATA-MATA YANG MEREKA KUMPULKAN.} (AZ-ZUKHRUF 43:32)

  1. Maka Allah s.w.t jawab dan sangkal dakwaan mereka itu!
    Yakni pangkat kenabian adalah rahmat pemberian dari Allah dan hanya Dia yang berhak memberikannya kepada siapa yang Dia kehendaki.
  2. Puak Quraisy mempertikaikan jawatan nabi seolah boleh dipilih dan mereka yang menentukannya!
    Amat tidak logik untuk mereka berkuasa membahagi-bahagikan perkara-perkara keruhanian dan keagamaan yang menjadi sebesar-besar rahmat Allah.
  3. Bagi mereka seolah-olah Tuhan hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja. Ini kerana mereka terima pula pembahagian rezeki miskin kaya yang Allah tetapkan!
  4. Hikmah Allah menjadikan darjat dan rezeki setiap orang tidak sama adalah supaya mereka saling memerlukan antara satu sama lain; maka mereka akan bekerjasama dan saling membantu ikut keperluan.
    Inilah kemudahan yang Allah buat dengan berbezanya darjat, martabat dan kedudukan seseorang,
  5. Allah juga ingatkan bahawa rahmat dan nikmat Allah, kehidupan akhirat adalah lebih baik daripada nikmat dunia yang kamu kumpulkan itu!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 26- {Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya: \”Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sembah.}- Ibrahim mengisytiharkan kepada bapa dan kaumnya bahawa dia berlepas diri dari perbuatan syirik mereka.

Ayat ini Allah memperingatkan puak Quraisy, jika betul mereka nak taqlid (ikut) datuk nenek moyang mereka, maka taqlid dan ikutlah datuk kamu Ibrahim a.s yang berpaksikan kepada tauhid kepada Allah s.w.t, ibadat dan akidah yang benar!
Bukan taqlid ikut dengan buta ikut tok nenek kamu yang sesat dan syirik, sembah berhala!

  1. Ayat 27- {\”Yang lain dari Tuhan yang menciptakan daku, kerana sesungguhnya Ia tetap memberi hidayah petunjuk kepadaku\”.}- Ibrahim kata dia berlepas diri daripada apa yang mereka sembah, kecuali Tuhan yang menciptakan aku. (إِلَّا الَّذِي فَطَرَنِي).

Persoalan; kenapa Ibrahim tak kata: {…kecuali Allah?}, jawapannya:
i- ini ialah isyarat bahawa Tuhan yang berhak disembah dan dipuja ialah Tuhan yang menciptakan makhluk. Bukan berhala yang dicipta oleh makhluk!

Ii- isyarat kepada batalnya penyembahan berhala. Yang berkelip mata pun tidak, apatah lagi nak mencipta benda lain!

Ini juga mengajar kepada kita, sepatutnya bagi manusia apabila menyebut hukum, untuk menyatakan dalil, barulah lebih cepat dan mantap penerimaan orang.

Nabi Ibrahim berkata dalam ayat ini:
i- {Allah yang mencipta aku dan memberi hidayah kepadaku.} { سَيَهْدِينِ}
Firman Allah s.w.t juga:
ii- {\”Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dia lah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku;}. { يَهْدِينِ} (Asy-Syu\’araa\’ 26:78).

Ibrahim telah mengumpulkan dua pandangan ini bahawa Allah s.w.t-lah yang memberi hidayah kepadanya { يَهْدِينِ} dan Dia akan terus memberikan hidayah {سَيَهْدِينِ} kepadanya.

Maka kita hendaklah sentiasa berdoa agar Allah s.w.t meberikan kita hidayah yang berterusan dan berpanjangan. Agar sentiasa istiqomah atas jalan petunjuk yang diberi oleh Allah s.w.t ini sehingga kita mati!

  1. Ayat 28- {Dan Nabi Ibrahim menjadikan kalimah tauhid itu tetap kekal pada keturunannya, supaya mereka kembali (kepada tauhid itu, jika ada yang menyeleweng kepada syirik).}- kata ulama\’ ini menunjukkan puak kafir jahiliyyah itu tahu tentang Tuhan. Kerana itu apabila dalam keadaan terdesak (ketika kesusahan di lautan contohnya) mereka berdoa kepada Tuhan dengan penuh hati, Inilah kesan peninggalan doa nabi Ibrahim itu!
    Tetapi malangnya mereka masih syirik kepada Allah, atau mencampurkannya.

Kerana itu timbul persoalan tentang ahlul-fatrah- (manusia yang tiada agama dalam tempoh antara rasul) apakah mereka akan dikira berdosa atau tidak? Panjang perbahasannya oleh ulama\’, samada mereka akan masuk neraka atau diberi keuzuran? Ada yang mengatakan mereka ini akan diuji balik oleh Allah s.w.t. Boleh cuba rujuk kitab-kitab lain membahskan tentang tajuk ini!

  1. Ayat 31- {Dan (kerana mereka mencemuh Nabi Muhammad) mereka berkata: \”(Kalaulah Al-Quran ini menjadi bukti kenabian seseorang, maka) sepatutnya Al-Quran ini diturunkan kepada seorang besar (yang kaya dan berpengaruh) dari salah sebuah dua bandar yang (terkenal) itu?\”}- ayat ini menjadi dalil bahawa membesarkan orang kaya dan berkedudukan itu adalah perangai manusia sejak zaman dahulu lagi.
    Kerana itu Allah mahu menguji mereka dengan melantik Rasulullah s.a.w sebagai seorang rasul, seorang yang bukan dari golongan yang mereka gambarkan dan puja.

Allah juga sebut perkataan (الْقَرْيَ)- ini bermakna kalimah (الْقَرْيَ) yang makna asalnya kampung, boleh digunakan samada untuk kampung kecil dan juga bandar, hatta untuk bandar besar seperti ibu negara.

  1. Ayat 32- {Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini,]- rezeki dan nikmat yang diterima oleh segala makhluk atas dunia ini adalah dibawah kuasa dan ketetapan Allah s.w.t! Tiada siapa yang dapat mengurang atau melebihkannya!

Ayat ini juga mengajar dan melarang kita agar jangan berhasad dengki kerana semua rezeki adalah ketentuan dan ketetapan Allah s.w.t.

Kata Imam Qatadah rhm.: Adakalanya seorang lelaki yang lemah tetapi rezekinya luas dan banyak, manakala seorang lagi itu cerdik dan licik tetapi rezekinya tetap sempit dan sedikit.

Ayat ini juga mengajar kita agar bersifat zuhud dan sentiasa bertawakkal kepada Allah s.w.t.
Jika rezeki kita dalam sesuatu bidang itu sempit, maka cubalah usaha dalam bidang lain pula, jangan hanya ikut orang, kerana pintu rezeki itu luas dan berbeza-beza!

Powered by BetterDocs