KEADAAN ORANG MENINGGALKAN QURAN, QARIN SYAITAN MENGUASAINYA & MENYESAL TIDAK BERGUNA.
Full video : https://youtu.be/DKaT14EsQiU
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang keadaan orang yang meninggalkan al-Quran. Mereka yang tidak mahu menerima al-Quran ini akan diberijan syaitan sebagai teman rapatnya.
- Mereka lawan Nabi sekejap, selepas itu apabila meninggal dunia akan menyesal tetapi penyesalan itu tidak berfaedah lagi.
- Munasabah ayat: Ayat ini bersambung dengan ayat 5 sebelum ini: {Patutkah Kami membiarkan kamu dengan mengenepikan dan menjauhkan peringatan Al-Quran daripada kamu, kerana kamu telah menjadi kaum yang melampau buruk keadaannya? }- iaitu kerja pendakwah adalah menyampaikan dakwah dan memberi bimbingan tanpa jemu, sehingga sampai ke kemuncaknya seperti dalam ayat 36 – {Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah..}- setelah segala penerangan, peringatan dan ancaman diberi, mereka masih ingkar tidak mahu terima, maka akhirnya barulah kita boleh serahkan urusannya kepada Allah! Kita tidak akan dipersoalkan lagi oleh Allah s.w.t kerana kita telah menjalankan tugas dan tanggung-jawab.
- Maka tunggulah, syaitan akan datang menjadi teman rapatnya (qarin-قَرِينٌ ), syaitan akan menguasai, menemani dan menghiasi perbuatan buruk dan syahwat, memasuki perasaan waswas dan syubhat dalam amalannya.
- Kita cuma ada dua pilihan sekarang ini, nak nak ikut al-Quran dan ikut Sunnah Nabi s.a.w, maka Allah s.w.t akan beri hidayah dan bimbingan. Jika tidak tunggulah syaitan akan datang menjadi teman rapatnya.
AYAT 36- {DAN SESIAPA YANG TIDAK MENGINDAHKAN PENGAJARAN (AL-QURAN YANG DITURUNKAN OLEH ALLAH) YANG MAHA PEMURAH, KAMI AKAN ADAKAN BAGINYA SYAITAN (YANG MENGHASUT DAN MENYESATKANNYA), LALU MENJADILAH SYAITAN ITU TEMANNYA YANG TIDAK RENGGANG DARIPADANYA.} (AZ-ZUKHRUF 43:36)
- Yakni sesiapa yang tidak mahu menerima dan meninggalkan al-Quran, maka syaitan akan menjadi teman rapatnya.
- Mengikut Ibnu Asyur rhm., maksudnya – {Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran al-Quran (يَعْشُ عَنْ)}-
i- orang yang lansung tidak mahu terima al-Quran seperti orang kafir.
ii- dia dengar dan tengok al-Quran tetapi tidak faham- seperti orang muslim yang tidak belajar dan tidak cuba memahami al-Quran lalu beramal dengannya. - Syaitan akan menjadi teman rapat, qarin yang tidak akan berpisah dengannya. Syaitan itu pula ada dari dua jenis:
i- dari kalangan jin yang kita tidak nampak.
ii- atau dari kalangan manusia yang kita boleh nampak. - Kerjanya menghiasi dosa dan maksiat serta perbuatan buruk menjadi baik dan indah. Syaitan akan ikut lorong-lorong yang sesuai dengan keadaan dan mengikut jenis seseorang itu, dia tidak akan masuk lorong \’no entry\’. Samada mengikut syubhat atau syahwat, ahli maksiat caranya, ahli ibadat juga ada caranya! Wal-iyazubillah!
- Firman Allah s.w.t:
{Dan Kami adakan untuk mereka teman-teman rapat (dari jin dan manusia), lalu teman-teman itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat) mengenai perkara-perkara dunia yang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara akhirat yang ada di belakang mereka; dan (dengan sebab itu) tetaplah hukuman (azab) atas mereka bersama-sama dengan umat umat (yang sesat) dari jin dan manusia yang terdahulu daripada mereka. Sesungguhnya mereka semuanya adalah golongan yang rugi (bawaan hidupnya).} (Fussilat 41:25)
AYAT 37- {DAN SESUNGGUHNYA SYAITAN-SYAITAN ITU TETAP MENGHALANGI MEREKA DARI JALAN YANG BENAR, SEDANG MEREKA MENYANGKA BAHAWA MEREKA ORANG-ORANG YANG MENDAPAT HIDAYAH PETUNJUK.} (AZ-ZUKHRUF 43:37)
- Syaitan ini kerjanya menghalang manusia dari jalan yang benar, menyekat manusia daripada memahami al-Quran, dari memahami amalan Sunnah Rasulullah s.a.w. Dia akan menghiasi amalan yang tidak diajar oleh Rasulullah s.a.w sebagai satu amalan yang betul dan menyangka merekalah orang yang mendapat petunjuk!
- Kata asy-Syaukani: Puak kafir itu menyangka syaitan itu mendapat hidayah, kerana itu mereka mengikutnya. Atau mereka menyangka mereka itu sendiri mendapat hidayah, manakala orang lain sesat dan tidak betul.
AYAT 38- {SEHINGGA APABILA IA (YANG TERJERUMUS DALAM KESESATAN ITU) DATANG KEPADA KAMI (PADA HARI KIAMAT), BERKATALAH IA (KEPADA SYAITANNYA): \”ALANGKAH BAIKNYA (KALAU DI DUNIA DAHULU ADA SEKATAN YANG MEMISAHKAN) ANTARAKU DENGANMU SEJAUH TIMUR DENGAN BARAT! KERANA (ENGKAU) ADALAH SEJAHAT-JAHAT TEMAN\”.} (AZ-ZUKHRUF 43:38)
- Mereka ini tidak sedar dan menyangka mereka berada di atas kebenaran sehingga tiba kepada mereka kematian (Kiamat kecil) atau tiba hari Kiamat yang sebenarnya!
- Pada hari itu baru mereka sedar dan menyesal! Penyesalan yang tidak ada guna dan faedah lagi! Mereka menyalahkan syaitan yang menjadi qarin mereka itu dan berkata jikalah antara mereka dahulu ada sekatan yang memisahkan mereka, yang sejauh timur & barat, dan jika tidak pernah bertemu lansung adalah lansung baik! Kerana engkau adalah sejahat-jahat teman.
- Kenapa Allah s.w.t kata di sini: { بُعْدَ الْمَشْرِقَيْنِ} – dalam bahasa Arab maksudnya sejauh dua timur.
Kata al-Mawardi tentang maksudnya ada dua pandangan:
i- yang dikehendaki ialah sejauh timur dengan barat, walaupun disebut dua timur. Sebagaimana disebut (Dua Umar- العمرين سنت) sepatutnya Abu Bakar & Umar r.a.
ii- ada juga yang kata timur waktu sejuk dan timur pada musim panas.
Yang pentingnya dia mahu katakan dia ingin jarak yang begitu jauh!
- Firman Allah s.w.t: {Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).} (Az-Zukhruf 43:67)
- Orang yang bertaqwa tidak akan bermusuh sesama sendiri, mereka tidak akan ikut ahli lain, mereka hanya berpegang dan Sunnah Nabi s.a.w. dan itulah ahli Sunnah yang sebenarnya.
AYAT 39- {(LALU DIKATAKAN KEPADA MEREKA): \”PADA HARI INI, SETELAH NYATA BAHAWA KAMU TELAH MENGANIAYA DIRI SENDIRI, (MAKA APA YANG KAMU CITA-CITAKAN ITU) TIDAK SEKALI-KALI AKAN MEMBERI FAEDAH KEPADA KAMU, KERANA SESUNGGUHNYA KAMU DAN TEMAN-TEMAN KAMU ITU TETAP MENDERITA BERSAMA-SAMA DI DALAM AZAB\”.} (AZ-ZUKHRUF 43:39)
- Lalu malaikat berkata kepada mereka pula: Pada hari ini telah nyata bahawa kamu menganiaya diri kamu dengan sebab kamu telah berbuat zalim terhadap diri sendiri iaitu syirik kepada Allah s.w.t dan meninggalkan Sunnah Rasulullah s.a.w.
- Maka apa yang kamu cita-citakan- iaitu untuk berpisah dengan syaitan qarin kamu itu tidak akan terjadi! Kerana kamu telah berkawan dan mengikut mereka di dunia dulu.
- Tidak sekali-kali akan memberi faedah lagi penyesalan kamu sekarang, kerana kamu dan syaitan itu akan bersama-sama diazab dalam neraka! Tidak perlu marah dan menyalahkan kepada sesiapa lagi!
Kita ucapkan na\’uzubillah dari kemurkaan Allah s.w.t!
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 36- {Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.}- dari ayat ini terdapat beberapa faedah:
i- ayat ini memberi amaran, jangan sekali-kali kita lupa dari mengingati Allah. Jika tidak syaitan akan masuk dekat terus. Kerana itu zikir pagi petang adalah ibarat perisai, baju besi bagi kita, benteng untuk menyekat dari penguasaan syaitan ke atas diri kita pada setiap pagi & petang!
ii- setiap orang yang berpaling dari sembah, cinta dan taat kepada Allah, dia akan pergi kepada taat, cinta dan sembah kepada makhluk Allah! Siapa yang penuhkan hatinya dengan cinta kepada Allah dan Rasul, dia akan selamat, tidak akan berpaling kepada benda lain!
iii- ayat ini juga menyatakan bahawa azab itu akan dikenakan berdasarkan dosa yang dibuat!
- Ayat 36- {Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.} & Ayat 37- {Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.}- sesungguhnya sesiapa yang Allah uji & balakan dia dengan berkawan dan ikut kesesatan syaitan, maka itu adalah kerana salah dia sendiri! Apabila dia tidak ikut al-Quran dan Sunnah maka syaitan akan masuk dekatnya. Setiap orang yang lari dari megingati Allah dan jalan Rasulullah s.a.w, maka dengan sendirinya dia akan ikut jalan syaitan.
Persoalan: {sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.} kenapa mereka ini diazab sedangkan mereka menyangka mereka mendapat hidayat yang betul, yakni tak tahu dia salah?
Jawapan: Mereka ini lawan setelah sampai maklumat dan ajaran kepada mereka, berbeza dengan orang yang tidak tahu lansung sebagaimana firman Allah ini:
{Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).} (Al-Israa\’ 17:15)
- Ayat 37- {sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.}- setiap orang tidak akan meninggalkan sesuatu tanpa maklumat, mereka tahu ada yang betul dan benar tetapi mereka tetap degil keras kepala tidak mahu menerimanya! Sebagaimana orang yan tahu bahawa sesuatu amalan itu Sunnah Nabi s.a.w tetapi tidak mahu meninggalkan apa yang diteimanya dari TG atau syeikh-syeikh mereka!
- Ayat 38- {Sehingga apabila ia (yang terjerumus dalam kesesatan itu) datang kepada Kami (pada hari kiamat), berkatalah ia (kepada Syaitannya): \”Alangkah baiknya (kalau di dunia dahulu ada sekatan yang memisahkan) antaraku denganmu sejauh timur dengan barat!}- maksud dari kisah yang Allah bawa ini untuk menunjukkan betapa buruk dan malangnya orang yang tidak mahu berfikir sendiri, tetapi hanya semata-mata mengikut hasutan dan ajaran qarinnya! Peringatan agar jangan berkawan (qarin) dengan orang-orang yang jahat!
Syaitan adalah setiap kumpulan yang melanggar dan melampaui batas hukum Allah s.w.t! Iaitu dari kalangan manusia dan jin yang jahat.
Firman Allah s.w.t: {\”(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia\”.} (An-Naas 114:6)
- Ayat 39- {(Lalu dikatakan kepada mereka): \”Pada hari ini, setelah nyata bahawa kamu telah menganiaya diri sendiri, (maka apa yang kamu cita-citakan itu) tidak sekali-kali akan memberi faedah kepada kamu, kerana sesungguhnya kamu dan teman-teman kamu itu tetap menderita bersama-sama di dalam azab\”.}- bala itu apabila dijatuhkan, akan kena semuanya! Maka puak kafir tidak perlu lagi berangan untuk tarik balik atau undur kembali! Teman rapat (qarin) itu akan tetap bersama-sama di dalam neraka kelak!
Kata ulama\’: Apabila orang kena azab beramai-ramai, tempat yang sempit akan menjadi bertambah sempit, berhimpit sesama mereka sebagai menambah azab.
Maka sentiasalah kita berdoa agar diberi hidayah petunjuk dan agar Allah tunjukkan kepada kita apa yang benar itu benar dan apa yang salah itu salah, bukan sebaliknya.
Pesanan mesra setiap minggu- Ingat Jumaat; Ingat selawat ke atas Nabi s.a.w dan jangan lupa baca surah al-Kahfi