KAUM MUSYRIKIN JADIKAN ISA SEBAGAI IKON, HAKIKAT SEBENAR NABI ISA & SIKAP AHLI KITAB TERHADAPNYA.
Full video : https://youtu.be/JLGbbK837DU
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini ialah kisah tentang nabi Isa a.s. Juga puak kafir Quraisy kononnya mahu jadikan Isa sebagai ikon, ketua mereka dalam neraka. Na\’uzubillah!
- Kemudian Allah s.w.t perkenalkan siapakah Nabi Isa a.s yang sebenarnya, seorang hamba Allah yang dilantik menjadi nabi dan rasul!
- Juga nyatakan tentang sikap dan anggapan ahli Kitab yang melampau dan batil terhadap nabi Isa a.s.
i- pelampau yang jahat kata Isa anak tak betul, anak luar nikah.
ii- pelampau yang kata Isa anak tuhan!
Kedua pelampau kiri-kanan ini adalah semua karut dan batil. - Manakala kita orang Islam mengatakan nabi Isa a.s ini adalah seorang hamba Allah dan seorang rasul yang diutuskan-Nya, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah s.w.t.
- Munasabah ayat: Menceritakan tentang kedegilan kaum musyrikin Quraisy yang bersungguh mempertahankan penyembahan berhala. Lalu apabila turun ayat al-Quran Allah menyatakan bahawa mereka dan apa yang mereka sembah akan dibakar bersama dalam neraka. [al-Anbiya\’: 98]
Lalu salah seorang mereka membawa hujjah dengan Nabi s.a.w dengan berkata: Bahawa orang Kristian menyembah Isa a.s, sedangkan kamu kata bahawa Isa itu seorang nabi dan hamba Allah yang soleh. Maka jika dia disembah dan akan masuk dalam neraka, kami dan berhala yang kami sembah akan masuk neraka bersama, maka kami rela untuk bersam Isa dalam neraka!
Maka kaum musyrikin yang lain bersorak gembira seolah mendapat hujjah yang bijak dan mantap bagi mereka! [Sabab Nuzul ini dari Ibnu Abbas r.a, Riwayat Imam Ahmad dan lain-lain.]
- Cerita munasabah kedua, dari Ibnu Abbas r.a juga: Semasa Nabi S.A.W berdakwah kepada Musyrikin Makkah dan Baginda membaca ayat ini:
إِنَّكُمْ وَمَا تَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللهِ حَصَبُ جَهَنَّمَ أَنتُمْ لَهَا وَارِدُو
{Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah, yang selain dari Allah, akan menjadi bahan-bahan bakaran yang dilemparkan ke dalam neraka Jahannam; kamu (sudah tetap) akan memasukinya}. [al-Anbiya\’: 98]
*Maksudnya, Musyrikin Makkah dan berhala -berhala yang mereka sembah itu akan dimasukkan dalam neraka dan dijadikan sebagai bahan bakarnya.
Mendengar Rasulullah s.a.w membaca ayat itu, seorang lelaki bernama Abdullah bin az-Ziba\’ra datang bertanya adakah ayat ini merujuk kepada sembahan mereka di Tanah Arab sahaja atau seluruh dunia? Nabi S.A.W jawab di mana-mana sahaja.
Mendengar jawapan Baginda S.A.W ini, dia berkata lagi; Matahari & bulan telah disembah, Nabi Isa telah disembah, Uzair dan malaikat-malaikat juga telah disembah, maka apakah mereka semua akan masuk neraka dan dijadikan bahan bakar juga?
Selepas itu mereka bersorak gembira dengan bising-bising kerana mereka sangka mereka telah berjaya dan sudah menang hujah ke atas Rasulullah s.a.w.
Maka, Allah S.W.T telah menurunkan ayat 101 dan 102 dari surah al-Anbiya\’ untuk menjelaskan lagi:
إِنَّ الَّذِينَ سَبَقَتْ لَهُم مِّنَّا الْحُسْنَىٰ أُولَٰئِكَ عَنْهَا مُبْعَدُونَ
{Sesungguhnya orang-orang yang telah tetap dari dahulu lagi memperoleh kebaikan dari Kami, mereka dijauhkan dari neraka itu.}
Yakni mereka akan dijauhkan dari api neraka. Mereka dulu semasa hidup tidak pernah menyuruh supaya mereka disembah sebaliknya mengajar umat mereka untuk hanya menyembah Allah S.W.T sahaja. Hanya orang yang selepas itu sahaja yang memandai-mandai menyembah mereka selepas kematian mereka.
[Kisah Abdullah bin az-Ziba\’ra ini ada dibahaskan oleh Ibnu Asyur dalam kitab Tafsirnya].
- Maka jelaslah mereka ini tidak termasuk dalam golongan sembahan yang akan dibakar dalam api neraka. Ayat ini membatalkan fahaman kafir musyrikin yang kononnya mahu menjadikan nabi Isa a.s sebagai ikon atau ketua mereka di dalam neraka- na\’uzubillah.
AYAT 57- {DAN KETIKA (NABI ISA) ANAK MARYAM DIKEMUKAKAN SEBAGAI SATU MISAL PERBANDINGAN, (UNTUK MEMBANTAHMU WAHAI MUHAMMAD), TIBA-TIBA KAUMMU BERSORAK-SORAK KESUKAAN TERHADAPNYA (KERANA MENYANGKA BAHAWA MEREKA TELAH MENANG).} (AZ-ZUKHRUF 43:57)
- Apabila orang kafir Quraisy bawa contoh nabi Isa anak Maryam sebagai satu misal perbandingan kepada tuhan-tuhan yang disembah, untuk membantah hujjah Rasulullah s.a.w, mereka yang lain bersorak kegembiraan kerana mereka telah mendapat hujjah untuk melawan Rasulullah s.a.w.
- Munasabah ayat ini menyatakan puak kafir itu telah melakukan syirik yang banyak! Dalam surah az-Zukhruf ini saja terdapat lima tempat/ayat yang menyatakan dengan jelas kekufuran mereka:
i- Ayat 15- {Dan mereka (yang musyrik mempersekutukan Allah dengan) menjadikan sebahagian dari hamba-hamba Allah sebagai anak bagiNya.}
ii- Ayat 19- {Dan mereka pula menyifatkan malaikat – yang juga menjadi hamba-hamba Allah Yang Maha Pemurah itu – jenis perempuan.}
iii- Ayat 20- {Dan mereka berkata: \”Kalaulah Allah Yang Maha Pemurah menghendaki tentulah kami tidak menyembah malaikat itu\”.}
iv- Ayat 31- {Dan (kerana mereka mencemuh Nabi Muhammad) mereka berkata: \”(Kalaulah Al-Quran ini menjadi bukti kenabian seseorang, maka) sepatutnya Al-Quran ini diturunkan kepada seorang besar (yang kaya dan berpengaruh) dari salah sebuah dua bandar yang (terkenal) itu?\”}
v- Ayat 57- {Dan ketika (nabi Isa) anak Maryam dikemukakan sebagai satu misal perbandingan}.
- Yakni puak kafir jadikan Nabi Isa a.s sebagai contoh kepada tuhan lain yang disembah, yang akan dibakar bersama mereka di dalam neraka! Tetapi dakwaan dan sangkaan mereka itu tidak betul, dibatalkan oleh Allah s.w.t.
Ibnu Abbas menyatakan semua yang disembah, yang dikenali sebagai hamba Allah yang soleh tidak akan dimasukkan dalam neraka.
AYAT 58- {DAN MEREKA BERKATA LAGI: \”MANAKAH YANG LEBIH BAIK, BENDA-BENDA YANG KAMI SEMBAH ATAU ISA?\” DAN (SEBENARNYA) MEREKA TIDAK MENGEMUKAKAN PERBANDINGAN ITU KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) MELAINKAN KERANA MEMBANTAH SEMATA-MATA (BUKAN KERANA MENCARI KEBENARAN); BAHKAN MEREKA ITU ADALAH KAUM YANG SUKA SEKALI MENGEMUKAKAN BANTAHAN.} (AZ-ZUKHRUF 43:58)
- Puak kafir terus berhujjah, apakah yang lebih baik antara yang mereka sembah dan nabi Isa a.s? Semua itu semata-mata untuk mereka membantah hujjah Rasulullah s.a.w, bukan untuk mencari kebenaran.
- Mereka cuba cari apa saja hujjah yang boleh digunakan, mereka akan lawan, ini kerana mereka adalah kaum yang suka berbantah!
- Kita hari ini begitu juga, suka berkelahi jika ada yang dia tak setuju. Biarpun itu adalah hujjah bodoh atau fitnah!
- Antara punca fitnah akhir zaman kita ini ialah ambil/edit video orang bercakap sekerat-kerat, tak habis lagi ayat dan maklumatnya tetapi dipotong lalu jadilah percakapan atau maklumat yang tidak betul dan boleh menimbulkan fitnah yang besar!
- Hadis Rasulullah s.a.w: Orang yang paling dibenci oleh Allah s.w.t ialah yang suka berbalah dan berbantahan.
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ أَبْغَضَ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ
Dari \’Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: \”Sesungguhnya orang yang paling dimurkai Allah adalah orang yang suka (paling keras) dalam berbantah-bantahan\”. [HR Bukhari, 2277]. - Tetapi jika berdebat untuk mencari kebenaran dengan hujjah yang mantap & diyakini dibenarkan. Bahkan Allah s.w.t ajar supaya berdebat dan berdialog dengan baik apabila keadaan memerlukan.
AYAT 59- {NABI ISA ITU TIDAK LAIN HANYALAH SEORANG HAMBA YANG TELAH KAMI KURNIAKAN NIKMAT KEPADANYA (DENGAN PANGKAT NABI), DAN KAMI JADIKAN DIA SATU CONTOH (KEKUASAAN KAMI YANG MENAKJUBKAN) BAGI KAUM BANI ISRAIL.} (AZ-ZUKHRUF 43:59)
- Lalu Allah s.w.t jelaskan di sini bahawa Nabi Isa itu tidak lain hanyalah seorang hamba yang telah Kami kurniakan nikmat kepadanya dengan pangkat Nabi dan dilantik menjadi rasul.
- Allah s.w.t juga berikan kepadanya beberapa mukjizat kekuasaan yang menakjubkan bagi kaum Bani Israil sebagai tanda kekuasaan dan keagungan Allah s.w.t!
- Antara mukjizatnya ialah:
i- lahir tanpa bapa.
ii- bercakap dengan orang mati.
iii- menyembuhkan orang buta, penyakit kulit dan lain-lain. - Sebagaimana firman Allah s.w.t: {Dan Kami jadikan (Nabi lsa) ibni Maryam serta ibunya sebagai satu tanda (mukjizat) dan Kami telah menempatkan keduanya di tanah tinggi, tempat tinggal yang ada tanaman dan mata air yang mengalir.} (Al-Mu\’minuun 23:50)
AYAT 60- {DAN KALAULAH KAMI KEHENDAKI, KAMI BERKUASA MELAHIRKAN DARIPADA KAMU (WAHAI KAUM LELAKI): MALAIKAT MENGGANTI KAMU (MENJALANKAN URUSAN) DI MUKA BUMI.} (AZ-ZUKHRUF 43:60)
- Ayat ini menjawab kecelaruan sangkaan puak kafir. Maka Allah beri contoh:
i- sebagaimana Allah boleh buat Isa lahir dari ibunya tanpa seorang bapa,
ii- jika Allah kehendaki Dia juga berkuasa untuk menjadikan malaikat itu lahir dari manusia lelaki tanpa ibu!
*tetapi jangan pula puak LGBT mahu hujjah dengan dalil ini! - Munasabah ayat: dalam ayat yang lepas Allah s.w.t:
i- batalkan dakwaan puak Nasrani yang sesat bahawa nabi Isa itu anak Tuhan dan menyatakan bahawa Isa adalah manusia biasa yang dilantik menjadi rasul, utusan Tuhan kepada bani israil.
ii- ayat ini juga membatalkan dakwaan sebahagian puak kafir Makkah yang mengatakan malaikat itu anak Tuhan atau mereka meminta agar Allah utuskan malaikat sebagai rasul.
iii- maka Allah jawab boleh saja jika dia nak jadikan malaikat ini hidup atas muka bumi menggantikan manusia. Tetapi sudah ketetapan Allah s.w.t bahawa manusia yang hidup atas bumi ini, sedangkan malaikat itu hidup di langit, mereka hanya turun untuk menjalankan tugas yang diperintahkan Allah sahaja.
AYAT 61- {DAN SESUNGGUHNYA NABI ISA MENJADI TANDA KEDATANGAN HARI KIAMAT, MAKA JANGANLAH KAMU RAGU-RAGU TENTANG (HARI KIAMAT) ITU, DAN TURUTLAH (PETUNJUKKU); INILAH JALAN YANG LURUS.} (AZ-ZUKHRUF 43:61)
- Allah nyatakan bahawa nabi Isa akan menjadi tanda kedatangan hari Kiamat. Dia akan turun pada akhir zaman.
- Akidah kita ahli Sunnah wal Jamaah bahawa nabi Isa itu tidak mati dan berada di langit sekarang ini. Dekat Kiamat dia akan turun di Syam.
- Kata Imam al-Mawardi rhm., maksudnya {menjadi tanda kedatangan hari kiamat } ada beberapa tafsiran:
i- al-Quran itu sendiri sebagai tanda hari Kiamat.
ii- Nabi Isa mampu menghidupkan orang mati, apatah lagi Allah s.w.t. yang lebih berkuasa, maka ia sebagai tanda kepada hari Kiamat dan Kebangkitan semula.
iii- keluarnya Nabi Isa itu sebagai tanda hampirnya Kiamat.
- Maka janganlah kamu ragu tentang akan berlakunya hari Kiamat itu.
- Hadis Rasulullah s.a.w: Daripada Abu Hurairah radiyallahu \’anhu, Nabi SAW bersabda:
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَيُوشِكَنَّ أَنْ يَنْزِلَ فِيكُمُ ابْنُ مَرْيَمَ حَكَمًا عَدْلًا فَيَكْسِرَ الصَّلِيبَ وَيَقْتُلَ الْخِنْزِيرَ وَيَضَعَ الْجِزْيَةَ وَيَفِيضَ الْمَالُ حَتَّى لَا يَقْبَلَهُ أَحَدٌ حَتَّى تَكُونَ السَّجْدَةُ الْوَاحِدَةُ خَيْرًا مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا ثُمَّ يَقُولُ أَبُو هُرَيْرَةَ وَاقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ وَإِنْ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ إِلا لَيُؤْمِنَنَّ بِهِ قَبْلَ مَوْتِهِ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يَكُونُ عَلَيْهِمْ شَهِيدًا
Maksudnya: \”Demi yang jiwaku ditangan-Nya sungguh hampir saja turun kepada kamu Isa bin Maryam sebagai Hakim yang Adil, dia mematahkan salib, dan membunuh babi, dan menghapuskan jizyah (cukai), tidak menerimanya dari orang kafir.
Pada waktu itu harta yang banyak namun tidak ada seorangpun yang mahu menerimanya, sehingga satu sujud lebih baik dari dunia seisinya.
Kemudian Abu Hurairah berkata: Jika kamu mahu bacalah ayat Allah: Tidak seorangpun dari Ahli Kitab, kecuali akan beriman kepadanya sebelum kematiannya, dan di hari kiamat nanti Isa itu akan menjadi saksi terhadap mereka.\”[HR al-Bukhari, no. 3448].
- Dan turutlah petunjuk Allah dan Sunnah Nabi s.a.w, inilah jalan yang lurus. Ingatlah sesungguhnya jalan ke syurga itu hanya satu manakala jalan yang sesat itu banyak dan bermacam-macam.
AYAT 62- {DAN JANGANLAH SYAITAN MENGHALANG KAMU (DARIPADA MENURUT JALAN YANG BENAR); SESUNGGUHNYA SYAITAN ITU MUSUH YANG NYATA BAGI KAMU.} (AZ-ZUKHRUF 43:62)
- Apabila Allah s.w.t perintahkan arahan dan larangan, Allah s.w.t peringatkan kepada kita agar berhati-hati kerana syaitan akan datang untuk menghalangnya dari berbuat kebaikan!
- Ini kerana sesungguhnya Syaitan itu musuh yang nyata bagi manusia.
AYAT 63- {DAN KETIKA NABI ISA DATANG (KEPADA KAUMNYA) DENGAN MEMBAWA KETERANGAN-KETERANGAN YANG NYATA, BERKATALAH IA: \”SESUNGGUHNYA AKU DATANG KEPADA KAMU DENGAN MEMBAWA HIKMAT (AJARAN TUHAN), DAN UNTUK MENERANGKAN KEPADA KAMU: SEBAHAGIAN DARI (PERKARA-PERKARA AGAMA) YANG KAMU BERSELISIHAN PADANYA. OLEH ITU, BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH DAN TAATLAH KEPADAKU.} (AZ-ZUKHRUF 43:63)
- Nabi Isa berdakwah kepada kaumnya dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata dan hikmat, mengajak untuk beriman.
- Maksud bawa Hikmat: bawa ilmu dan amal, kitab Injil dan ajaran Allah serta menerangkan kepada mereka apa yang menyebabkan perselisihan mereka sebelum ini!
- Kata Syeikh Ibnu Atiyyah rhm.: Berbezanya manusia ini dalam banyak perkara samada urusan dunia atau akhirat. Ahli agama berkelahi tentang isu agama, orang awam berkelahi tentang isu dunia mereka. Ahli Taurat berkelahi tentang Taurat, ahli Injil berkelahi tentang Injil, ahli al-Quran juga berkelahi sesama mereka khilaf tentang ayat-ayat yang Allah s.w.t turunkan.
- Buku yang dicadangkan untuk dibaca, (Rahmat Dalam Perbezaan) susunan Abu Anas Madani:
http://www.dartaibah.com/… - Kerana itulah pada akhir ayat ini Nabi Isa a.s menyeru agar bertaqwa kepada Allah dan taat kepada ajarannya.
AYAT 64- {\”SESUNGGUHNYA ALLAH IALAH TUHANKU DAN TUHAN KAMU, MAKA SEMBAHLAH KAMU AKAN DIA; INILAH JALAN YANG LURUS\”.} (AZ-ZUKHRUF 43:64)
- Ingatlah tuhan itu satu, nabi itu satu agama itu satu dan al-Quran itu satu, maka sembahlah Allah s.w.t, itulah jalan yang lurus dan selamat yang akan membawa ke syurga. Jalan yang lurus itu pula hanya satu!
- Tetapi malangnya perbalahan dan perselisihannya begitu dahsyat! Kata seorang penyair yang juga pendakwah:
\”Aku telah berjalan ke serata dunia- di timur & barat;
aku dapati umat Islam itu mempunyai satu alat yang cukup besar untuk bersatu, dengan al-Quran dan Sunnahnya;
tetapi aku dapati merekalah orang yang paling kuat berkelahi dan berselisih! - Sekarang ini pula angin ribut label melabel, tuduh menuduh cukup laris dan amat dahsyat. Jika tak setuju je, terus label dan gamkan atas muka orang itu!
- Hadis- daripada Muawiyyah bin Abi Sufyan r.a, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: \”Ketahuilah, sesungguhnya golongan ahli kitab sebelum daripada kamu berpecah kepada 72. Dan golongan ini (Islam) akan berpecah kepada 73 golongan. 72 golongan akan ke neraka dan satu golongan akan ke syurga iaitu al-Jamaah.\” [HR Abu Daud, No.4597].
Maka kita pada hari ini berkelahi pula berebut tentang al-Jamaah ini, siapakah golongan Jamaah yang akan ke syurga itu. Maka kita tengok dalam sejarah Islam, kurun-kurun yang terpilih, ikutlah cara Jamaah Nabi s.a.w, para sahabat, para ulama\’ besar dari kalangan tabien yang dipanggil ulama\’ Salafus-Soleh serta ulama\’ besar yang muktabar di kalangan kita hari ini, yang mengikut mereka, itulah ahli Sunnah wal Jamaah. #
AYAT 65- {KEMUDIAN, GOLONGAN-GOLONGAN (DARI KAUMNYA) ITU BERSELISIHAN SESAMA SENDIRI. MAKA KECELAKAAN DAN KEBINASAANLAH BAGI ORANG-ORANG YANG ZALIM ITU, DARI (PALUAN) AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA, PADA HARI PEMBALASAN.} (AZ-ZUKHRUF 43:65)
- Allah s.w.t beri peringatan lagi, bagi golongan yang berselisih sesama sendiri, mereka akan mendapat kecelakaan dan kebinasaan akibat kezaliman mereka sendiri.
- Zalim yang besar itu ialah syirik kepada Allah s.w.t. Golongan yahudi berbuat zalim dengan mengatakan Uzair anak Tuhan, golongan Nasrani berbuat zalim dengan mengatakan Isa anak Tuhan, golongan musyrikin berbuat zalim dengan mencari dan menyembah yang lain selain dari Allah!
- Kita orang yang beriman pun hati-hatilah, jangan berbuat zalim dengan melakukan dosa dan maksiat terhadap Allah s.w.t. kerana orang yang zalim akan menerima azab seksa yang tidak terperi sakitnya, pada hari pembalasan.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 57- {Dan ketika (nabi Isa) anak Maryam dikemukakan sebagai satu misal perbandingan, (untuk membantahmu wahai Muhammad), tiba-tiba kaummu bersorak-sorak kesukaan terhadapnya (kerana menyangka bahawa mereka telah menang).}- maka ayat ini mengajar kepada kita supaya membincangkan maklumat dan fakta yang jelas. Jangan bina tuduhan dan fakta atas sangkaan semata, buat persepsi sendiri lalu bina hukum ke atas orang lain. Amat bahaya apabila manusia mendakwa tahu apa yang ada dalam hati orang lain.
Allah gambarkan di sini bagaimana orang kafir seperti Ibnu az-Ziba\’ra gembira apabila menyangka bahawa Nabi Isa, matahari, bulan & bintang akan bersama tuduhan mereka di dalam neraka! Satu sangkaan & hujjah yang salah sama sekali!
Bila fakta salah maka analisa akan menjadi salah, jika nak menjadi pengkaji atau pengkritik, kena baca dan kaji sehingga habis kiri & kanan dan secara telus, bukan separuh-separuh!
- Ayat 58- {Dan mereka berkata lagi: \”Manakah yang lebih baik, benda-benda yang kami sembah atau Isa?\” Dan (sebenarnya) mereka tidak mengemukakan perbandingan itu kepadamu (wahai Muhammad) melainkan kerana membantah semata-mata (bukan kerana mencari kebenaran);}- di sini mereka cuba pula buat bandingan antara nabi Isa dan tuhan mereka, apa yang buat itu semata-mata untuk berbantah dan berbalah, bukan kerana nak cari kebenaran.
Kata ulama\’ tadabbur; Ayat ini mencela orang yang suka berbantah dan berbalah tanpa kebenaran, berhujjah untuk menegakkan benang yang basah, benda yang salah! Tetapi jika untuk menegakkan kebenaran kita wajib mempertahankan agama bagi yang mampu!
Kenapa Allah s.w.t guna lafaz jama\’ dalam ayat ini (مَا ضَرَبُوهُ- mereka buat bandingan) sedangkan yang berdebat itu hanya Ibnu az-Ziba\’ra seorang?
Ini kerana:
i- uslub atau gaya bahasa Arab itu walaupun hanya seorang yang bercakap ia dikira mewakili kaumnya yang ramai. Percakapan seorang disandarkan kepada kumpulannya.
ii- semua geng kafir setuju dengan apa yang dibawa oleh Ibnu az-Ziba\’ra tentang nabi Isa a.s. maka dikira masuk semua sekali kumpulannya.
- Ayat 59- {Nabi Isa itu tidak lain hanyalah seorang hamba yang telah Kami kurniakan nikmat kepadanya (dengan pangkat Nabi), dan Kami jadikan dia satu contoh (kekuasaan kami yang menakjubkan) bagi kaum Bani Israil.}- kata Ibnu Asyur rhm.: Ayat ini menjadi isyarat bahawa Nabi Isa a.s itu diutuskan khas kepada Bani Israil bukan kepada umat lain untuk ikut agamanya. Maka sesiapa yang ikut ajaran Nabi Isa selain dari bani Israil, pada zama kafir & syirik, maka mereka hanya ikut kepada dakwah Nabi isa, bukan apa yang sebenarnya yang dibawa oleh Isa a.s.
Isa a.s mengajak mereka keluar dari syirik, mereka pula yang buat syirik melaluinya.
Semua umat manusia selepas itu, yang putih, merah atau hitam, Rom atau Parsi, sepatutnya ikut ajaran al-Quran dan Rasulullah s.a.w bukan lagi ikut Injil yang sudah diseleweng itu, yang sudah dimansuhkan dengan al-Quran, maka teruslah mereka berada dalam kesesatan!
- Ayat 63- {Dan ketika Nabi Isa datang (kepada kaumnya) dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, berkatalah ia: \”Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa hikmat (ajaran Tuhan), dan untuk menerangkan kepada kamu: sebahagian dari (perkara-perkara agama) yang kamu berselisihan padanya. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.}- timbul persoalan di sini kenapa Nabi Isa hanya mahu menyatakan sebahagian dari perkara-perkara agama yang diperselisihkan padanya, tetapi kenapa tidak dinyatakan semua sekali perselisihan supaya jelas?
Jawapannya:
i- manusia itu memang suka berkelahi, jadi kadang-kadang bukan semua yang mereka selisihkan itu para nabi kena layan dan jawab. Maka Isa kata aku akan nyatakan sebahagiannya.
ii- sebahagian yang zahir yang mereka khilaf itu ialah ayat-ayat yang tidak jelas, yang perlu kepada penjelasan dan huraian dari nabi. Seperti kita juga ada ayat muhkam (jelas) dan ayat yang mutasyabih (samar) yang perlu dirujuk kepada ulama\’ zaman sahabat dan tabien yang muktabar, bukan ulama\’ terkini yang terpengaruh dengan fahaman dan ideologi baru, maka akan bertambah celaru.
iii- Allah s.w.t tahu apakah kepentingan yang perlu diselesaikan, apa yang perlu nabi Isa jelaskan dan apa yang tidak perlu. Jadi Nabi Isa hanya menyatakan apa yang sepatutnya dan meninggalkan yang tidak.
Sama seperti kerja kita hari ini bukan memberi komen dan ulasan tentang video atau Kuliah orang lain, tugasnya hanya menyampaikan apakah kebenaran yang ingin disampaikan.
- Ayat 64- {\”Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Dia; inilah jalan yang lurus\”.}- Allah nyatakan bahawa jalan yang benar & lurus hanya satu, iaitu mengabdikan diri kepada Allah s.w.t mengikut Syari\’at yang diajar oleh Nabi s.a.w. Jangan diikut jalan yang selain darinya terutama yang direka oleh manusia lain.
Manusia boleh reka makan-minum nak buat warna apa, boleh reka kereta berapa tayar nak. TETAPI dalam bab ibadat bukan kerja kita mereka ibadat, kerja kita hanya mengikut apa yang telah ditetapkan dan diSyariatkan oleh Allah Azza wa Jalla.
Sebagai kesimpulan: Kisah Nabi Isa dan kaumnya itu sebagai perhatian bahawa orang yang duduk dalam kumpulan sesat, menyokong dan bersama mereka, akan ikut sesat bersama mereka.
Nabi Isa sudah cuba mahu mengeluarkan bani Israil dari kesesatan tetapi mereka sendiri yang telah lari dan mereka-reka sendiri ajaran yang tidak diajar oleh nabi Isa a.s, maka sesatlah mereka selamanya!