View Categories

SURAH AZ-ZUKHRUF : AYAT 66-73

\"\"

KIAMAT BERLAKU SECARA MENGEJUT, KUMPULAN KAFIR BERBALAH SESAMA MEREKA & NIKMAT SYURGA BAGI MUTTAQIN.

Full video : https://youtu.be/yJP19fkDwgM

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan kepada kita tentang Kiamat yang akan berlaku secara mengejut. Orang yang sedang jemur kain tidak sempat angkat, orang yang makan tidak sempat minum dan sebagainya.
  2. Pada hari Kiamat kelak puak kafir akan berkelahi dan tuduh-menuduh sesama mereka.
  3. Kemudian Allah nyatakan nikmat Syurga yang begitu indah, tidak pernah terbayang oleh hati dan mata, untuk hamba-hamab-Nya yang bertaqwa.
    Ya Allah jadikan kami dari kalangan hamba-Mu yang bertaqwa yang layak mendapa nikmat syurga ini.

AYAT 66- {(MEREKA YANG MENENTANG NABI MUHAMMAD) TIDAK ADA LAGI YANG MEREKA TUNGGU MELAINKAN SAAT KIAMAT YANG AKAN DATANG KEPADA MEREKA SECARA MENGEJUT, DAN DALAM KEADAAN MEREKA LALAI LEKA DENGAN PERKARA-PERKARA KEDUNIAAN.} (AZ-ZUKHRUF 43:66)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menyatakan bahawa Kiamat itu akan datang dengan tiba-tiba. Maka orang yang menentang Rasulullah s.a.w, yang lalai dan leka dengan perkara-perkara keduniaan akan terkejut dan huru-hara menghadapinya.
  2. Kita jangan sangka Kiamat akan lambat lagi, kerana Kiamat individu, iaitu kematian akan berlaku bila-bila masa saja dan secara mengejut juga.
  3. Kita orang beriman wajib membuat persiapan untuk menghadapai kematian dan Kiamat. Setiap hari kita melihat kematian, solat jenazah dan hantranya ke kubur.
    Kata ulama\’; cukuplah kematian itu sendiri sebagai peringatan kepada kita, untuk memberi keinsafan.
  4. Hadis Rasulullah s.a.w bahawa Kiamat itu datang tiba-tiba.
    \”Sesungguhnya akan berlaku Kiamat, dua orang lelaki sedang menjemur kain tak sempat kering… [HR Bukhari & Muslim].
  5. Nabi s.a.w ajar kepada kita agar sentiasa bersedia, bayar hutang-hutang yang ada, tulis wasiat yang betul, yang tidak bercanggah dengan ketetapan Allah s.w.t. Apatah lagi dengan bekalan amal ibadat.

AYAT 67- {PADA HARI ITU SAHABAT-SAHABAT KARIB: SETENGAHNYA AKAN MENJADI MUSUH KEPADA SETENGAHNYA YANG LAIN, KECUALI ORANG-ORANG YANG PERSAHABATANNYA BERDASARKAN TAQWA (IMAN DAN AMAL SOLEH).} (AZ-ZUKHRUF 43:67)

  1. Ini adalah keadaan puak kafir pada hari Kiamat. Mereka yang dulunya berteman rapat dalam kemungkan dan maksiat akan berkelahi dan saling tuduh-menuduh sesama mereka!
  2. Kecuali orang yang Islam saling berkasih sayang atas paksi Tauhid yang persahabatannya berdasarkan taqwa iman dan amal soleh kepada Allah, mereka akan aman.
  3. Hadis Qudsi: Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muaz dari Rasulullah S.A.W Baginda bersabda: \”Allah Azza wa Jalla berfirman: orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku, mereka mempunyai beberapa mimbar dari cahaya, sangat dicita-citakan tempat-tempat mereka itu oleh para Nabi, Siddiqin dan Syuhada\’.\” [HR At-Tirmizi, Ahmad, Ibnu Hibban, Hakim].

Yakni mereka ini dicemburui oleh ahli syurga yang lain kerana mereka mendapat tempat khas dari Allah s.w.t atas sebab berkasih-sayang kerana-Nya.

AYAT 68- {(MEREKA – YANG BERTAQWA – ITU, DIBERI PENGHORMATAN SERTA DISERU OLEH ALLAH TAALA DENGAN FIRMANNYA): \”WAHAI HAMBA-HAMBAKU! PADA HARI INI KAMU TIDAK AKAN MERASAI SEBARANG KEBIMBANGAN (DARI SESUATU YANG TIDAK BAIK); DAN KAMU PULA TIDAK AKAN BERDUKACITA\”.} (AZ-ZUKHRUF 43:68)

  1. Keadaan orang yang bertaqwa pada hari itu menerima seruan Allah yang penuh kasih sayang pada hari Kiamat nanti: \”\”Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan dari sesuatu yang tidak baik. Yakni sudah selamat dari segala hisab yang tidak baik, titian Sirat dan lain-lain ujian.
  2. Pada hari itu mereka hanya mendapat nikmat kebahagiaan, tidak akan berdukacita lagi.
  3. Firman Allah s.w.t: {Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
    (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.

Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar.} (Yunus 10: 62-64)
Wali Allah ialah orang beriman dan bertaqwa! Bukan sekadar gelaran yang diberi walaupun orang itu menyalahi Syari\’ah.

AYAT 69- {(MEREKA ITU IALAH) ORANG-ORANG YANG BERIMAN AKAN AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI, SERTA MEREKA MENJADI ORANG-ORANG ISLAM YANG TAAT PATUH,} (AZ-ZUKHRUF 43:69)

  1. Wali Allah itu syaratnya ialah mereka yang:
    i- orang yang beriman dengan ayat-ayat Allah. Beramal dengan Syari\’ah Allah s.w.t serta ikut Sunnah Nabi s.a.w.

ii- orang Islam yang taat, tunduk patuh kepada apa yang diperintahkan oleh Allah Azza wa Jalla.

  1. Kata ulama\’ dalam ayat ini Allah s.w.t membezakan antara sifat orang yang beriman dan orang Islam. Ini dengan maksudnya iman ialah tentang perkara batin iaitu keimanan yang terpasak di dalam hati, manakala Islam ialah yang menzahirkan amalan zahirnya.
  2. Jika disebut sekali ia bermaksud dengan makna yang berbeza, jika tidak sebut bermakna sekali. Ulama\’ kata; Apabila bersama ia berpisah, apabila berpisah ia bersama.

AYAT 70- {(MEREKA DIBERI SEBAIK-BAIK BALASAN DENGAN DIKATAKAN KEPADA MEREKA): \”MASUKLAH KAMU KE DALAM SYURGA BERSAMA-SAMA ISTERI-ISTERI KAMU (YANG BERIMAN), DENGAN MENIKMATI SEPENUH-PENUH KEGEMBIRAAN DAN KESENANGAN\”.} (AZ-ZUKHRUF 43:70)

  1. Ayat ini diperincikan siapakah mereka dan apakah balasannya yang akan mereka dapat.
  2. Orang beriman dan pasangan-pasangannya akan masuk ke dalam Syurga dan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan.
  3. Ada tiga pandangan ulama\’ tentang maksud {bersama-sama isteri-isteri kamu}:
    i- isterinya atas dunia dulu yang sama-sama beriman.
    ii- bidadari syurga yang dicipta khas untuk orang beriman.
    iii- dengan makna semua orang kita sayangi atas dunia dulu, anak isteri keluarga dan para sahabat.
  4. Firman Allah s.w.t: {Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu;} (Ar-Ra\’d 13:23)
  5. Ya Allah dengan rahmat-Mu yang besar, kumpulkan kami semua di dalam syurga-Mu kelak sebagaimana Kamu kumpulkan kami di atas dunia ini.
    Tetapi ingat; Bukan setakat berdoa saja agar dikumpulkan semua di dalam syurga, tetapi wajib ada usaha dan ikhtiar untuk itu! Kempen masuk syurga sekeluarga hendaklah diamalkan dengan usaha.

AYAT 71- {DIEDARKAN KEPADA MEREKA PINGGAN-PINGGAN BESAR DAN PIALA-PIALA DARI EMAS; DAN DI DALAM SYURGA ITU PULA DISEDIAKAN SEGALA YANG DIINGINI OLEH NAFSU SERTA DI PANDANG INDAH OLEH MATA; DAN (DIKATAKAN KEPADA MEREKA): \”KAMU ADALAH TETAP KEKAL DI DALAMNYA\”.} (AZ-ZUKHRUF 43:71)

  1. Ini adalah di antara nikmat di dalam syurga bagi penghuninya:
    i- diedarkan pinggan dan piala (gelas berkaki kecil) daripada emas.
    ii- disediakan di dalam syurga apa saja yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata.
  2. Juga dikatakan kepada mereka bahawa mereka akan tetap kekal di dalam syurga selama-lamanya!
  3. Sekarang ini jangan kita fikir apa yang kita inginkan dulu, tetapi fikirkanlah apa yang dapat menolong kita untuk ke syurga!
  4. Hadis Rasulullah s.a.w:
    i- dari Huzaifah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
    \”Jangan kamu minum dalam bekas dari emas dan perak dan jangan kamu makan dalam pinggan dari keduanya kerana sesungguhnya ia untuk mereka (yakni orang-orang kafir) di dunia dan untuk kamu di akhirat.\” [HR al-Bukhari dan Muslim.]

ii- dari Jabir r.a., Rasulullah S.A.W telah bersabda:
إِنَّ أَهْلَ الْجَنَّةِ يَأْكُلُونَ فِيهَا وَيَشْرَبُونَ، وَلَا يَتْفُلُونَ، وَلَا يَبُولُونَ، وَلَا يَتَغَوَّطُونَ، وَلَا يَتَمَخَّطُونَ قَالُوا: فَمَا بَالُ الطَّعَامِ؟ قَالَ: جُشَاءٌ وَرَشْحٌ كَرَشْحِ الْمِسْكِ، يُلْهَمُونَ التَّسْبِيحَ وَالتَّحْمِيدَ كَمَا تُلْهَمُونَ النَّفَسَ
\”Sungguhnya ahli syurga makan minum mereka itu dan mereka tidak berludah dan tidak kencing dan tidak berak dan tidak berhingus. Kemudian para sahabat bertanya: Maka macam mana pula dengan makanan? Jawab Rasulullah S.A.W: Ada sendawa dan keluar peluh seperti wangian kasturi mereka diilhamkan bertasbih dan bertahmid seperti kamu diilhamkan dengan bernafas.\” (HR Muslim)

iii- Hadis Qudsi: Rasulullah s.a.w bersabda bahawa Allah s.w.t berfirman: \”Aku menyediakan syurga kepada hamba-Ku yang soleh. Sesungguhnya suatu pemandangan yang tidak pernah terpandang oleh pandangan mata dan telinga ini tidak pernah mendengar betapa indahnya syurga itu. Hati kita tidak pernah terdetik seindah ini syurga Allah.\”
Abu Hurairah berkata, kemudian Rasulullah S.A.W bersabda: \”Sekiranya kamu mahu, bacalah ayat ini, seperti mana firman Allah dalam surah as-Sajdah, ayat 17 yang bermaksud: {Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (daripada segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal soleh yang mereka telah kerjakan.}\” [HR Bukhari & Muslim].

  1. Pandangan dalam syurga juga tiada yang buruk, segalanya indah segar dan menarik pandangan mata.
  2. Kamu juga akan tetap kekal di dalam syurga, dengan nikmatnya yang tidak terputus, lalu kamu tidak akan keluar darinya selama-lamanya.

AYAT 72- {DAN (DIKATAKAN LAGI KEPADA MEREKA): \”INILAH SYURGA YANG DIBERIKAN KAMU MEWARISINYA, DISEBABKAN APA YANG KAMU TELAH KERJAKAN\”.} (AZ-ZUKHRUF 43:72)

  1. Dikatakan lagi kepada para penghuni syurga:
    i- Inilah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya, yang kamu boleh masuk & bebas menggunakan segala nikmatnya.
    ii- disebabkan apa yang kamu telah kerjakan di dunia dulu dari amal soleh & ikut Sunnah Nabi s.a.w.
  2. Hadis- dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
    \”Bahawa setiap manusia itu ada dua tempat tinggalnya, satu di dalam syurga, satu di dalam neraka. Jika ia mati dan ternyata masuk nereka, maka penduduk syurga akan mewarisi tempat tinggalnya (yang ada di syurga). Yang demikian itu disebutkan dalam firman Allah s.w.t: {Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi.} [al-Mukminun 10].\” [HR Ibnu Majah & al-Baihaqi].

AYAT 73- {\”KAMU BEROLEH DI DALAMNYA BERBAGAI JENIS BUAH-BUAHAN, UNTUK KAMU MAKAN DARIPADANYA\”.} (AZ-ZUKHRUF 43:73)

  1. Sekarang ini disebut pula tentang buah-buahan di dalam syurga. Terdapat di dalam syurga pelbagai jenis buah untuk kamu pilih dan makannya. Lengkaplah segala nikmat di dalam syurga.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 67- {Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).}- teman rapat (الْأَخِلَّاءُ) yang berpaksikan kemungkaran, atas dasar maksiat dan kufur atas dunia ini, akan menjadi musuh di akhirat kelak! Kecuali orang yang bertaqwa akan selamat dan tenang.
    Kerana itu jika nak berkasih sayang dan bersahabat atas dunia ini, letaklah atas dasar taqwa kepada Allah.
  2. Ayat 68- {(Mereka – yang bertaqwa – itu, diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firmanNya): \”Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik); dan kamu pula tidak akan berdukacita\”.} – inilah beberapa nikmat yang Allah berikan kepada orang yang bertaqwa, yang menjadi sebab mereka gembira di akhirat kelak:
    i- Allah s.w.t berkata-kata kepada mereka secara lansung tanpa menggunakan perantaraan.
    ii- Allah panggil serta sifatkan mereka sebagai hamba-hamba-Nya. Sifat ubudiyyah ini adalah satu sifat yang tinggi darjatnya di sisi Allah s.w.t.
    iii- tidak akan merasai sebarang kebimbangan dan ketakutan akan sesuatu apapun.
    iv- tidak akan berdukacita dan sedih lagi dengan apa yang kamu terlepas atas dunia dulu.
  3. Ayat 69- {(Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh,}- ayat ini menjelaskan kepada kita dua kategori yang berbeza antara iman & Islam.

Ada juga ayat yang tidak membezakan antara dua sifat, sama saja antara orang mukmin & muslim.

Seperti firman Allah s.w.t ini:
{(Setelah sampai utusan Kami ke tempat itu), Kami (perintahkan mereka) mengeluarkan orang-orang yang beriman yang tinggal di situ.
(Sesudah dipereksa) maka (utusan) Kami tidak mendapati di situ melainkan sebuah rumah sahaja yang ada penduduknya dari orang-orang Islam (yang beriman kepada Nabi Lut).} [az-Zaariyaat 51: 35-36]
Sama saja orang yang beriman dengan orang Islam.

Kata ulama\’: Iman itu termasuk semua yang Islam, adakalanya maksudnya begitu, sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w.

Hadis daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ
Maksudnya: Iman itu mempunyai 70 lebih atau 60 lebih cabang. Yang paling afdhalnya ialah ucapan \”لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ\” dan yang paling rendahnya adalah membuang apa yang menyakitkan dari jalan. Dan malu itu sebahagian daripada iman. [Riwayat Muslim (162)].

Ini menunjukkan ada waktunya iman & Islam boleh diguna sekali, ada waktunya ia terpisah. Iman itu kepercayaan dalam hati seperti Rukun Iman yang Enam, manakala Islam itu amalan yang zahir seperti solat, puasa haji dan lain-lain. Bila ia bersama ia berbeza. Apabila ia tidak bersama, maksudnya boleh jadi satu/sama.

  1. Ayat 71- {Dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata; dan (dikatakan kepada mereka): \”Kamu adalah tetap kekal di dalamnya\”.}- kerana orang mukmin tersekat dengan hukum-hakam tertentu atas dunia dulu maka di dalam syurga apa saja yang dikehendaki. Kerana atas dunia dulu mereka ada umur yang terhad, ada yang mati awal, mati kecil dan seumpamanya, maka di dalam syurga nanti mereka tetap kekal di dalamnya selamanya!
  2. Ayat 72- {Dan (dikatakan lagi kepada mereka): \”Inilah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya, disebabkan apa yang kamu telah kerjakan\”.}- ayat ini menjadi dalil bahawa amal soleh adalah tiket untuk masuk syurga.
    Timbul persoalan, kenapa seolah bertembung dengan hadis Rasulullah s.a.w ini:
    لَنْ يُنْجِيَ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ قَالَ رَجُلٌ : وَلَا إِيَّاكَ ؟ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ : وَلَا إِيَّايَ ، إِلَّا أَنْ يَتَغَمَّدَنِيَ اللَّهُ مِنْهُ بِرَحْمَةٍ
    Maksudnya: \” Amalan salah seorang dari kamu tidak akan menyelamatkannya. Seorang lelaki berkata: Walaupun engkau wahai Rasulullah. Nabi S.A.W: Walaupun aku akan tetapi Allah saluti aku dengan Rahmatnya.\” [HR Muslim (5165)].

Jawapannya tiada pertembungan antara ayat al-Quran dan hadis Nabi s.a.w ini, kerana:
i- huruf ba (بِ) dalam perkataan (dengan amalan kamu- بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ } adalah dengan makna sebab, kerana kamu buat amalan soleh dan yang baik-baik maka kamu layak untuk masuk syurga. Bukan sebagai tukar ganti; solat tukarannya masuk syurga.

ii- kata ulama\’ salaf, Syeikh As-Sufyan rhm.: Kita ini selamat daripada neraka dengan keampunan Allah s.w.t & kita masuk syurga dengan rahmat dari Allah. Perbezaan darjat dalam syurga adalah dengan amalan yang dibuat, kebaikan yang ada.

iii- kita masuk syurga dengan sebab amalan, tetapi yang memberi taufiq untuk kita beramal itu adalah Allah s.w.t! Berapa ramai manusia yang mendengar azan tetapi tidak ke masjid. Orang yang ikhlas beramal juga dengan taufiq dari Allah s.w.t!

iv- hadis yang tidak masuk syurga itu adalah dengan semata-mata amalan saja, tetapi boleh dengan amalan yang dikabul oleh Allah s.w.t dengan dua syaratnya: ikhlas dan ikut cara Nabi s.a.w.
Betapa ramai umat Nabi s.a.w yang telah menukar perjalanan agama, lalu dihalau oleh malaikat dari kolam Nabi s.a.w walaupun mereka telah sampai di situ dengan muka yang bercahaya. Lalu Rasulullah s.a.w kata halau, halaulah mereka.

Powered by BetterDocs