KEADAAN KAFIR DALAM NERAKA, RAYUAN NAK MATI DITOLAK & CELAAN KE ATAS MEREKA.
Full video : https://youtu.be/NczWEAUw1Rs
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang Keadaan Kafir Dalam Neraka, yang dizab dan akan kekal di dalamnya.
- Mereka juga buat Rayuan Nak Mati tetapi Ditolak. Mereka sangka dan mati kembali mereka akan selamat terlepas daripada siksaan.
- Allah s.w.t juga malaikat mencela Ke Atas Mereka kerana degil dan keras kepala tidak mahu ikut Nabi s.a.w dan beriman dulu.
- Munasabah ayat: Dalam ayat sebelum ini Allah nyatakan janji baik (وعد) kepada orang-orang yang bertaqwa (الْمُتَّقِينَ) yang akan mendapat nikmat syurga yang kekal abadi. Kemudian mengikut tertib al-Quran selepas janji baik itu, datang pula ayat ini iaitu janji azab (وعيد) kepada mereka yang degil keras kepala tidak mahu beriman. Atau dia beriman tetapi langar peraturan Syari\’ah buat juga maksiat dan mungkar. Maka ayat ini adalah tentang golongan kedua, puak kiri iaitu ahli neraka.
AYAT 74- {\”SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG BERDOSA (DENGAN KEKUFURANNYA), KEKAL SELAMA-LAMANYA DI DALAM AZAB SEKSA NERAKA JAHANNAM.} (AZ-ZUKHRUF 43:74)
- Mereka ini (الْمُجْرِمِينَ) adalah orang yang jahat atas dunia dengan melakukan kekufuran kepada Allah, atau mendustakan rasul-rasul, maka mereka telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan kekal selama-lamanya di dalam azab seksa neraka Jahannam.
AYAT 75- {TIDAK DIRINGANKAN AZAB ITU DARIPADA MEREKA, DAN MEREKA TINGGAL MENDERITAINYA DENGAN BERPUTUS ASA (DARIPADA MENDAPAT SEBARANG PERTOLONGAN),} (AZ-ZUKHRUF 43:75)
- Azab ke atas mereka tidak akan berkurangan atau diringankan sama sekali. Mereka juga sudah berputus-asa (مُبْلِسُونَ), kecewa daripada mendapat sebarang bantuan dan pertolongan.
- Para pendakwah yang mahu bertoleransi dengan agama lain, jika mereka mahu berbaik dan mesra dengan penganut agama lain atas nama dakwah; tidak salah, tetapi kena perjelaskan kepada masyarakat bahawa kita tetap dengan pendirian kita bahawa satu-satunya di sisi Allah, agama yang diterima Allah hanyalah Islam!
- Ini agar anak-anak orang Islam dan masyarakat umumnya tidak salah faham dan keliru tentang agama dan aqidah yang sebenarnya! Bukan bahawa semua agama itu benar dan sama saja!
AYAT 76- {DAN TIDAKLAH KAMI MENGANIAYA MEREKA, AKAN TETAPI MEREKALAH YANG MENGANIAYA DIRI SENDIRI.} (AZ-ZUKHRUF 43:76)
- Bila Allah ceritakan tentang keadaan golongan mujrimin musyrikin ini, Allah akan nyatakan sebab kenapa mereka diazab sebegitu rupa. Mereka kekal di dalam neraka kerana di atas dunia dulu mereka kekal dalam kesyirikan.
- Mereka bukan dianiayai atau dizalimi, tetapi mereka sendiri yang menzalimi diri mereka dengan syirik dan tidak beriman kepada Allah s.w.t, maka mereka akan kekal di dalam neraka. Ini kerana Allah s.w.t akan mengampunkan dosa, kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya kecuali mereka yang melakukan SYIRIK kepada Allah.
- Maka sentiasalah basahkan lidah kita dengan istighfar kepada Allah, jangan rasa diri kita sudah cukup bersih dari dosa dan salah.
- Firman Allah s.w.t: {\”Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar\”.} (Luqman 31:13).
*Iaitu zalim dari sudut aqidah, lalu akan menyebabkan dirinya mendapat siksa Allah! - Maka kita sebagai umat Islam, berhati-hati, jagalah diri jangan pula terjebak dengan syirik yang tersembunyi seperti riyak, takabbur dan lain-lain penyakit hati yang dapat merosakkan ibadat.
AYAT 77- {DAN MEREKA MENYERU (KETUA MALAIKAT PENJAGA NERAKA, DENGAN BERKATA): \”WAHAI MALIK! BIARLAH HENDAKNYA TUHANMU MEMATIKAN KAMI (KERANA KAMI TIDAK TAHAN MENDERITA)!\” MAALIK MENJAWAB: \”SESUNGGUHNYA KAMU TETAP KEKAL DI DALAM AZAB!\”} (AZ-ZUKHRUF 43:77)
- Apabila sudah tidak tahan kena azab ini, mereka buka mulut untuk bercakap. Yakni dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan tempat yang mereka boleh bercakap.
- Mereka yakni puak kafir yang berada di dalam neraka, dalam keadaan yang begitu azab, mereka pergi berjumpa dan menyeru kepada ketua malaikat penjaga neraka (مَالِكُ), dengan berkata: \”Wahai Malik! Biarlah hendaknya Tuhanmu mematikan kami kerana kami tidak tahan menderita!\”
- Ulama\’ tafsir kata: Ahli neraka itu memanggil penjaga neraka (مَالِكُ), untuk memberitahu kepada Allah agar berhukum (لِيَقْضِ) dengan mereka iaitu mematikan mereka.
- Lalu Maalik penjaga neraka menjawab dengan bengis dan penuh kebencian kepada mereka: \”Sesungguhnya kamu tetap kekal di dalam azab! Tidak akan ada kelepasan dengan apa cara sekalipun. Tidak perlu lagi rayuan dan permohonan!\”
- Banyak lagi ayat-ayat yang menunjukkan bahawa mereka akan kekal di dalam neraka dan tidak akan mati lagi:
i- {\”Sebenarnya sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat sedang ia bersalah maka sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam yang ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup.} (Taha 20:74)
ii- {Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka neraka Jahannam; mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan terlepas dari seksa), dan tidak pula diringankan azab neraka itu dari mereka; dan demikianlah Kami membalas tiap-tiap orang yang melampau kufurnya.} (Faatir 35:36)
iii- {Dan (sebaliknya) orang yang sangat celaka akan menjauhinya, Dia-lah orang yang akan menderita bakaran neraka yang amat besar (azab seksanya), Selain dari itu, ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup senang.} (Al-A\’laa 87: 11-13)
- Hadis- Samurah bin Jundud R.A meriwayatkan, pada satu pagi selesai solat Subuh Rasulullah S.A.W menghadap pada jamaah seraya bertanya, \”Adakah di antara kamu yang malam tadi bermimpi?\”
Kemudian Rasulullah s.a.w bercerita: \”Sungguh malam tadi aku bermimpi melihat dua orang lelaki yang datang mengajakku berjalan, kami masuk ke dalam syurga dan neraka.\” Hadis ini panjang kisahnya, sehinggalah akhirnya:-
\”Salah seorang dari mereka berkata: Makhluk yang kamu lihat sedang menyalakan api, itulah MALIK- penjaga neraka. Manakala kami yang bawa kamu ini- aku adalah Jibril dan ini adalah Mikail.\” [HR Bukhari].
Ingat dari sudut fakta; Hadis ini menceritakan apa yang Rasulullah s.a.w lihat dalam mimpinya, bukan pada malam Isra\’ & Mi\’raj sebagaimana yang dikatakan oleh sebahagian penceramah!!
- Firman Allah s.w.t: {Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka (dengan rupa yang mendatangkan) penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka.} (Al-Baqarah 2:167)
AYAT 78- { (BAGI MENYATAKAN SEBABNYA MEREKA DIBIARKAN DI DALAM AZAB, ALLAH TAALA BERFIRMAN): \”DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TELAH MENYAMPAIKAN KEBENARAN KEPADA KAMU (MELALUI RASUL KAMI), AKAN TETAPI KEBANYAKAN KAMU (TELAH MENENTANGNYA, KERANA KAMU) TIDAK SUKA KEPADA KEBENARAN ITU\”.} (AZ-ZUKHRUF 43:78)
- Ini adalah respon atau jawapan Allah kenapa sebab mereka akan dikekalkan di dalam neraka, tidak akan mati atau keluar lagi.
- Kata Ibnu Atiyah, ada beberapa pandangan ulama\’ tafsir tentang kata-kata atau jawapan ini:
i- kata-kata penjaga neraka kepada ahlinya.
ii- ayat ini firman Allah s.w.t kepada kaum Quraisy. - Allah menyatakan bahawa sesungguhnya Kami telah menyampaikan kebenaran kepada kamu di dunia ini dengan menghantar para Rasul, menurunkan kitab-kitab, dengan dalil-dalil dan ayat-ayat yang jelas nyata.
- Akan tetapi kebanyakan kamu telah menentangnya, kerana kamu tidak suka kepada kebenaran itu. Menolak tidak mahu menerima kebenaran.
- Firman Allah s.w.t: {Rasul mereka datang kepada mereka membawa agama yang tetap benar, dan tabiat kebanyakan mereka tidak suka kepada sebarang kebenaran.} (Al-Mu\’minuun 23:70)
- Timbul lagi persoalan tentang perkataan: {Kebanyakan kamu- أَكْثَرَكُمْ} sedangkan maksudnya semua puak kafir itu menentang, hanya yang beriman yang tidak menentang???
Jawapan: Maksudnya ketua-ketua yang utama itu yang menentang. Manakala pengikut hanya ikut sahaja, lalu disandarkan perbuatan kepada ketuanya yang menentang.
AYAT 79- {BAHKAN MEREKA (YANG KAFIR) ITU TELAH MENGAMBIL KEPUTUSAN MENJALANKAN SATU RANCANGAN (HENDAK MEMBUNUH RASUL KAMI), MAKA KAMI JUGA MENGAMBIL KEPUTUSAN (MENGGAGALKAN RANCANGAN MEREKA).} (AZ-ZUKHRUF 43:79)
- Munasabah ayat: Allah nyatakan keadaan mereka di dalam neraka. Kemudian Allah s.w.t mengungkit kejahatan mereka semasa atas dunia dulu adakah mereka sangka mereka itu bijak sangat sehingga membuat konspirasi untuk membunuh Rasulullah s.a.w. dan menyekat dakwah Islam.
- Tetapi Allah s.w.t sudah ada perancangannya juga untuk menggagalkan mereka dan memelihara Rasulullah s.a.w dari kejahatan mereka.
- Firman Allah s.w.t: {Dan orang-orang (kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh nabi), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.} (A-li\’Imraan 3:54)
AYAT 80- {PATUTKAH MEREKA MENYANGKA BAHAWA KAMI TIDAK MENDENGAR APA YANG MEREKA SEMBUNYIKAN (DI DALAM HATI) DAN APA YANG MEREKA PERKATAKAN (DENGAN BERBISIK) SESAMA SENDIRI? (BUKAN SEBAGAIMANA YANG MEREKA SANGKA) BAHKAN UTUSAN-UTUSAN KAMI (MALAIKAT) YANG MENJAGA MEREKA, ADA MENULIS SEGALA YANG MEREKA LAKUKAN.} (AZ-ZUKHRUF 43:80)
- Apakah mereka sangka Allah s.w.t tidak mendengar apa yang mereka bisikkan dan rancangkan secara rahsia dan senyap-senyap itu?
- Sedangkan Allah s.w.t sudah tugaskan malaikat penjaga mereka untuk mencatat dan merekod segala yang mereka fikir, rancang, ucap dan buat, secara sembunyi atau zahir. Bahkan kamu akan dibalas untuk semua itu!
- Firman Allah s.w.t: {Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu, (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu); Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.} (Al-Infitaar 82: 10-12)
- Maka beringatlah jangan kita sedap hati buat apa saja yang dikehendaki nafsu, ingatlah malaikat belum pencen, apa yang kamu fikir, plan, rancang, tulis, buat dan apa saja akan ditulis dan dicatat oleh malaikat!
- Ingatlah surat amalan yang kita akan baca di Akhirat nanti, kitalah penulisnya di atas dan ini! Maka nak baca yang baik buatlah baik, jika tidak sebaliknya akan berlaku!
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 77- {Dan mereka menyeru (ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata): \”Wahai Malik! Biarlah hendaknya Tuhanmu mematikan kami (kerana kami tidak tahan menderita)!\”- dari ayat ini timbul persoalan, bagaimana pula mereka bercakap, menyeru malaikat; sedangkan dalam ayat sebelumnya dikatakan mereka hanya diam membisu (مُبْلِسُونَ)?
Jawabnya: Tidak bercanggah antara ayat-ayat ini bahkan ia menyatakan keadaan (أحوال) ahli neraka, kerana:
i- keadaan dalam neraka itu panjang masanya dan berbeza keadaannya! Ahli neraka itu adakala mereka bercakap, adakala mereka diam.
ii- mereka panggil malaikat tidak menafikan mereka diam kerana mereka diam (مُبْلِسُونَ) itu kerana kecewa, tertekan, stress dan seumpamanya. Kemudian apabila tidak tahan lagi mereka pun bersuara minta untuk mati.
- Ayat 77- {Dan mereka menyeru (ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata): \”Wahai Malik! Biarlah hendaknya Tuhanmu mematikan kami (kerana kami tidak tahan menderita)!\”- mereka menyeru malaikat minta mati, kerana menyangka apabila mati tiada lagi azab!
Kerana kata ulama\’: Orang mati itu apabila ditorehpun tidak akan luka lagi.
Maka malaikat memberi jawapan yang tuntas: Kamu akan kekal di dalam neraka, yang mana menjadi dalil mereka tidak akan mati lagi dan akan kekal di dalam neraka selamanya - Ayat 78- {Akan tetapi kebanyakan kamu (telah menentangnya, kerana kamu) tidak suka kepada kebenaran itu\”.}- ayat ini menunjukkan bahawa ramai puak kafir yang menentang Rasulullah s.a.w dan dakwahnya.
Maka kata ulama\’: Dari ayat ini boleh kita guna untuk kefahaman sebaliknya (مفهوم مخالفة), bahawa ada sedikit daripada orang kafir itu yang terima kebenaran, tetapi mereka tak berani nak terima atau tunjukkannya kerana takut ditentang, dicela dan dikutuk oleh puak-puak dia pula! Seperti Abu Talib yang terhalang dari mengikut Rasulullah s.a.w dek kerana kuncu-kuncu pembesar Quraisy yang lain, lalu dia tetap dalam kekufurannya. Adapun pendapat yang mengatakan Abu Talib telah beriman dan Islam itu tidak sahih!
Kesimpulannya: Zaman kita ini pun ramai orang yang tahu tentang kebenaran bila kita kemukakan pandangan dan dalil yang sahih dari kalangan sahabat, tabi\’in dan ulama\’ yang besar, amalan yang sahih daripada Rasulullah s.a.w, ramai yang tahu dan bersetuju. Tetapi mereka tidak mampu nak ubah kerana bercanggah dengan amalan masyarakat, takut orang kata.
Sedangkan kita belajar dan ada ilmu, kenapa kita tidak boleh amal dan kembangkan ilmu kita itu??? Sampai bila akan selesai masalah jika kita takut orang kata tetapi kita tidak takut Tuhan atau Nabi marah???
- Ayat 80- {(Bukan sebagaimana yang mereka sangka) bahkan utusan-utusan Kami (malaikat) yang menjaga mereka, ada menulis segala yang mereka lakukan.}- dalam ayat ini Allah s.w.t beritahu kepada kita bahawa ilmu Allah s.w.t itu sama saja bila dan di mana keadaannya, dalam gelap atau cerah, berbisik atau guna mic, sendiri atau zahir, ia merangkumi dan meliputi segalanya.
Ingatlah amaran keras agar jangan berani buat maksiat walaupun ketika bersendirian dan tiada orang lain yang nampak, kerana dosa itu sama sahaja ketika zahir atau tersembunyi.
Terdapat banyak sudah ayat-ayat al-Quran tentang kuasa dan ilmu Allah s.w.t. Bila kita tahu Allah s.w.t itu berkuasa, bermakna dia mampu menjatuhkan hukuman, bila kita tahu Allah s.w.t itu jatuhkan hukuman dengan ilmu-Nya, bermakna Dia tidak akan berhukum dengan kezaliman kerana Dia tahu segalanya. Orang baik balasan baik, orang jahat akan dapat balasan buruk juga!
- Ayat 80- {(Bukan sebagaimana yang mereka sangka) bahkan utusan-utusan Kami (malaikat) yang menjaga mereka, ada menulis segala yang mereka lakukan.}- Allah s.w.t tahu apa yang kita buat dan bercakap secara zahir atau tersembunyi. Maka kata ulama\’ tadabbur: Wahai orang beriman hendaklah kamu sentiasa menjaga penampilan kamu, jangan keluar dari mulut dan anggota kamu kecuali apa yang Allah s.w.t suka dengar. Jangan buat dan bercakap apa yang Allah tidak suka.
Kerana kita tahu Allah tahu maka buatlah apa yang Allah s.w.t suka, hadirlah di tempat yang Allah suka.
Antara tempat yang Allah suka nak tengok kita hamba-Nya ada ialah:
i- masjid untuk solat jemaah.
ii- dalam majlis ilmu.
iii- ziarah orang sakit.
iv- solat dan iring jenazah kek kubur (lelaki).
v- mendamaikan orang yang berkelahi.
vi- apabila Islam terancam kita berjihad.
Jangan sekali-kali kita muncul ditempat yang Allah tidak suka dan murka, seperti tempat maksiat dan yang boleh menimbulkan fitnah. Na\’uzubillah.