MENOLAK TUDUHAN ALLAH ADA ANAK, BIARKAN MEREKA DALAM KEBATILAN & ALLAH ADALAH ILAH YANG HAQ.
Full video : https://youtu.be/GmkdAKolONU
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah menolak tuduhan jahat orang kafir bahawa Allah Ada Anak.
- Selepas didakwah dan diberi peringatan, mereka masih ingkar dan mendustakan, maka biarkan Mereka Dalam Kebatilan sehingga tiba hari Pembalasan nanti.
- Perbincangan ketiga bahawa Allah Adalah Ilah Yang Haq, Tuhan yang wajib disembah dipuja dan dipuji.
- Dalam ayat-ayat yang lepas dalam surah az-Zukhruf ini puak kafir mendakwa bahawa:
i- malaikat itu adalah anak tuhan. Maka Allah s.w.t laknat mereka yang zalim itu dan azab neraka bagi mereka, (ayat 65)
ii- Mereka juga buat dakwaan bahawa Nabi Isa adalah ikon yang akan dibakar dalam neraka bersama berhala mereka, (ayat 57)
iii- mereka menjadikan bahawa hamba Allah malaikat itu sebagai perempuan, (ayat 57)
- Kemudian disebut juga tentang huru hara pada hari Kiamat dan apa siksaan yang sediakan bagi mereka yang syirik.
- Kemudian dibawa amaran keras jika kamu tidak beriman dan tidak berhenti dari kekufuran, maka kamu akan binasa.
- Maka dalam ayat-ayat hari ini dibawa dalil-dalil yang menafikan bahawa Allah s.w.t ada anak.
Ayat ini mengumpul kritikan terhadap puak kafir yang:
i- menyembah malaikat,
ii- mengatakan malaikat adalah anak perempuan Tuhan,
iii- serta mengaku berhala mereka iaitu al-Laata & Uzza juga adalah anak perempuan tuhan! - Maka Allah s.w.t mengajar Rasulullah s.a.w dan kita supaya berlawan dengan puak kafir, secara guna hujjah yang logik dan munasabah! Tengok ayat kita hari ini.
AYAT 81- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD, KEPADA MEREKA YANG MUSYRIK ITU): \”KALAU BETUL ALLAH YANG MAHA PEMURAH, MEMPUNYAI ANAK (SEBAGAIMANA YANG KAMU DAKWAKAN) MAKA AKULAH ORANG YANG AWAL PERTAMA YANG AKAN MENYEMBAH ANAK ITU; (TETAPI DAKWAAN KAMU ITU TIDAK BERASAS)!\”} (AZ-ZUKHRUF 43:81)
- Allah suruh Rasulullah s.a.w katakan kepada orang kafir Quraisy yang mendakwa bahawa Tuhan ada anak itu secara hujjah.
- Yakni jika benar dakwaan mereka itu- dengan bukti yang nyata dan sahih- bahawa Tuhan ada anak, maka pastilah Rasulullah s.a.w akan menjadi orang yang pertama yang akan menyembahnya kerana dia adalah rasul dan nabi yang dipilih Allah, yang menyembah Allah s.w.t yang Esa. Maka pastilah semua yang berkait dengan Allah adalah besar dan mulia!
- Tetapi kerana dakwaan kamu itu tidak berasas dan tidak betul sama-sekali, maka pastilah tidak aku sembah selain Allah s.w.t sama sekali!
- Kata Syeikh Ibnu Juzai, dalam ayat ini (فَأَنَا أَوَّلُ الْعَابِدِينَ) ada 4 huraian tafsir:
i- berhujjah dan menolak pandangan puak kafir jika mereka terima pegangan itu!
Jika ada anak (andaikata- إِنْ كَانَ), aku yang pertama akan sembah (فَأَنَا أَوَّلُ الْعَابِدِينَ), tetapi kerana hakikatnya tiada maka tidak perlu sembah dan terbatallah hujjah mereka itu!
Ini adalah dalil (دلالة التلازم). – yakni jika ada mesti, tiada tak perlu lagi.
ii- andainya Tuhan ada anak sebagaimana sangkaan kamu, pastilah aku orang yang pertama yang akan menyembah Allah s.w.t yang Esa sahaja (فَأَنَا أَوَّلُ الْعَابِدِينَ).
Maka dustalah pandangan dan tuduhan kamu yang tidak betul itu.
Ini adalah perisytiharan bahawa Nabi s.a.w akan tetap dengan TAUHID!
iii- makna perkataan (فَأَنَا أَوَّلُ الْعَابِدِينَ) adalah; bahawa aku orang yang pertama akan mengingkari tuduhan dan sangkaan kamu itu!
iv- perkataan sekiranya-andaikata (إِنْ كَانَ) adalah bermaksud penafian dan pengingkaran!
Tidak ada sama sekali bagi Tuhan itu anak, tidak mungkin! Tamat ayatnya.
Maka datang perkataan baru (فَأَنَا أَوَّلُ الْعَابِدِينَ) maka akulah perang pertama yang akan menyembah Allah s.w.t sahaja.
AYAT 82- {MAHA SUCI ALLAH TUHAN YANG MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI, – TUHAN YANG MEMPUNYAI ARASY (YANG MELAMBANGKAN KEBESARANNYA), – (MAHA SUCILAH IA) DARI APA YANG MEREKA KATAKAN ITU.} (AZ-ZUKHRUF 43:82)
- Dalam ayat ini Allah kembali/pusing balik kepada dalil yang lain pula.
Iaitu tuhan yang layak disembah, dipuja dan dipuji hanyalah Allah s.w.t, pencipta & pemilik (رَبِّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبِّ الْعَرْشِ) Arasy yang agung, langit dan bumi yang besar itu! - Maha Suci Allah, Tuhan yang menjadikan langit dan bumi, Yang Memiliki Arasy yang melambangkan keagungan-Nya, maka Maha Suci Allah daripada segala yang mereka dakwa itu!
- Dalam ayat yang lepas mereka dakwa Allah s.w.t ada anak, maka Allah s.w.t bersihkan Zat & Diri-Nya dengan penyucian yang sempurna dan sepenuhnya, dari semua apa yang didakwa oleh puak kafir itu.
- Ini kerana orang yang mahu anak itu adalah orang yang lemah dan perlukan bantuan dan kewujudan orang lain. Manusia nak dapatkan anak itu bukan senang jika bukan dengan kehendak Allah s.w.t.
- Anak adalah anugerah Allah s.w.t yang besar. Ada orang yang Allah berikan anak lelaki, anak perempuan atau kedua-duanya sekali, ada yang ramai, ada yang sedikit atau yang tiada anak terus (mandul). Jangan sedih semuanya adalah ketetapan Allah s.w.t. Sabar dan redha insya\’Allah ada hikmahnya!
- Firman Allah s.w.t: {{Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya; Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.
Atau Ia mengurniakan mereka kedua-duanya – anak-anak lelaki dan perempuan, dan Ia juga menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya: mandul. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.} [Ash-Shura: 49-50]. - Allah s.w.t yang Maha Berkuasa tidak perlukan itu semua itu.
Mereka juga memberi anak perempuan kepada Allah!
Firman Allah s.w.t: {Kalaulah Allah hendak mempunyai anak, tentulah Ia memilih mana-mana yang dikehendakiNya dari makhluk-makhluk yang diciptakanNya; Maha Sucilah Ia (dari menghendaki yang demikian). Dia lah Allah, Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaanNya segala-galanya.} (Az-Zumar 39:4)
AYAT 83- {OLEH ITU, BIARKANLAH MEREKA (WAHAI MUHAMMAD) TENGGELAM DALAM KESESATAN MEREKA DAN LEKA BERMAIN-MAIN (DALAM DUNIA MEREKA), SEHINGGA MEREKA MENEMUI HARI YANG DIJANJIKAN KEPADA MEREKA (UNTUK MENERIMA BALASAN).} (AZ-ZUKHRUF 43:83)
- Ayat ini menimbulkan khilaf di kalangan ulama\’ tentang kedudukannya.
i- Pandangan pertama:
Ada ulama\’ kata ia dibatalkan (Mansukh) dengan ayat pedang iaitu tidak boleh dibiarkan begitu saja kaum kafir bahkan wajib diperangi.
Iaitu sebagaimana firman Allah s.w.t:
{{\”Perangi golongan musyrikin itu keseluruhannya seperti mana mereka memerangi kamu keseluruhan\”.} [At-Taubah: 36]
ii- Pandangan kedua:
Ia tidak dimansukhkan tetapi kekal.
Ia hanya ayat dalam bentuk cabaran atau perlian. Jika mereka degil, tidak hirau, tidak mahu dengar juga maka pedulikan mereka, biarkan mereka dalam kesesatan itu, tunggulah akibatnya.
Ayat ini adalah sebagai peringatan dan amaran (الوعيد).
Ibarat kata seperti budak nakal, apabila bapanya sudah puas melarangnya, masih tak dengar juga maka akhirnya dikatakan kepadanya: Mainlah lagi sehingga jatuh atau seumpamanya.
- Yakni biarkan mereka wahai Muhammad s.a.w mereka bermain dalam dunia mereka sehingga ke hari yang dijanjikan Allah untuk mereka menerima balasan.
Setelah Nabi s.a.w berdakwah menyampaikan Islam kepada mereka dengan jelas dan nyata, jika mereka tak hiraukan juga, serahkan urusanya kepada Allah s.w.t! - Kita para pendakwah juga boleh mengambil pendekatan ini, iaitu setelah kita menjalankan tugas dengan sempurna dan jelas, dengan penuh hikmah dan pesanan yang baik, mereka masih tidak mahu terima.
Tetapi jika kita ada kemampuan untuk sekat keburukan dan maksiat mereka sekatlah, jangan biarkan. - Ingat ada syarat dan tempohnya, jalankan tugas dan bertanggung-jawab dengan penuh usaha dan amanah dulu, barulah tidak akan dipertanggung-jawabkan oleh Allah nanti!
AYAT 84- {DAN (INGATLAH), ALLAH JUALAH TUHAN YANG BERHAK DISEMBAH DI LANGIT, DAN DIA LAH TUHAN YANG BERHAK DISEMBAH DI BUMI; DAN DIA LAH JUA YANG MAHA BIJAKSANA, LAGI MAHA MENGETAHUI. } (AZ-ZUKHRUF 43: 84)
- Allah s.w.t adalah Tuhan yang berhak disembah di langit dan di bumi.
- Sifat-Nya juga adalah:
i- Dia lah jua Yang Maha Bijaksana (الْحَكِيمُ). Hikmah- ertinya meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya yang sepatut dan selayaknya.
Bukan seperti kita manusia yang penuh kekurangan.
Contoh hukum hudud dalam potong tangan- ia ada nisab (jumlahnya) yang tertentu dan dengan syaratnya.
ii- Yang Maha Mengetahui (الْعَلِيمُ)- yakni tiada benda yang tersembunyi daripada Allah s.w.t!
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 81- {Katakanlah (Wahai Muhammad, kepada mereka yang musyrik itu): \”Kalau betul Allah yang maha pemurah, mempunyai anak (sebagaimana yang kamu dakwakan) maka akulah orang yang awal pertama yang akan menyembah anak itu; (tetapi dakwaan kamu itu tidak berasas)!\”}- ayat ini menunjukkan bahawa apabila kita menyebut sesuatu syarat (jika Tuhan ada anak); tidak semestinya ia ada dan akan berlaku (kerana mustahil Tuhan ada anak). (الشرط لا يدل على وقوع المشروط)
Apabila orang tidak mahu beri ia akan meletakkan sesuatu syarat yang mustahil.
- Ayat 81- {Katakanlah (Wahai Muhammad, kepada mereka yang musyrik itu): \”Kalau betul Allah yang maha pemurah, mempunyai anak (sebagaimana yang kamu dakwakan) maka akulah orang yang awal pertama yang akan menyembah anak itu; (tetapi dakwaan kamu itu tidak berasas)!\”}- mengingkari kefahaman dan pegangan manusia yang keras kepala ini, kita bantah mereka dengan dalil-dalil yang mantap dan hujjah yang jelas!
Mengingkari perbuatan atau fahaman yang salah, kekeliruan atau kebodohan yang ditimbulkan dengan tegas; bukan menunjukkan kita ekstrem atau melampau pula!
Kita kena bezakan keadaan yang ada pilihan atau tiada untuk kita terlibat dalam sesuatu program atau majlis yang bercampur antara munkar dan maksiat, yang boleh kita kita tegur dan nasihat. Jangan jadi manusia yang lemah dalam mempertahankan agama dan Syari\’ah.
- Ayat 82- {Maha Suci Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, – tuhan yang mempunyai Arasy (yang melambangkan kebesarannya), – (Maha Sucilah Ia) dari apa yang mereka katakan itu.}
- Dalam ayat ini Allah s.w.t sifatkan diri-Nya dengan sifat Rububiyyah (الربوبية), iaitu sifat ketuhanan dan ketuanan yang mencipta dan memiliki langit dan bumi yang besar ini.
ii- Manakala satu lagi ialah sifat Uluhiyyah (الألوهية) iaitu sifat Ketuhanan yang mesti kita puja, sembah, minta pertolongan dan ikut. Semua ini sifat Allah s.w.t yang Esa, hanya Dia Tuhan yang satu!
iii- Dengan sifat Rububiyyah ini, menunjukkan bahawa semua benda ini milik Allah, langit, bumi yang besar dan segala yang ada antara keduanya.
Maka Allah s.w.t tidak perlu kepada pembantu, penolong dan tempat menumpang seperti anak isteri maka secara automatiknya kita berhujjah bahawa Allah s.w.t yang Maha Agung dan Berkuasa, tidak ada anak baginya.
Siapa yang berkata begitu, ada anak maka dia pening dan sesat.
Maka kita sucikan Allah s.w.t daripada segala sifat kekurangan dan kelemahan seperti makhluk.
- Ayat 83- {Oleh itu, biarkanlah mereka (wahai Muhammad) tenggelam dalam kesesatan mereka dan leka bermain-main (dalam dunia mereka), sehingga mereka menemui hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan).}- ayat ini dibawa untuk menyatakan sikap yang perlu diambil selepas kita beri mereka dakwah, nasihat, maklumat serta peringatan dan amaran, maka sekarang terpulang kepada mereka untuk bertanggung-jawab sendiri atas pilihan yang mereka ambil.
Mereka pilih untuk terus sesat dan berada dalam kekufuran, maka kita tinggalkan mereka kerana kita tidak akan dipersalahkan lagi kerana kita telah menjalankan tugas dengan memberi maklumat dan penjelasan yang sepatutnya. Menegur dengan cara memberi amaran, jika apa yang terjadi, terima akibat buruk jangan salahkan kita lagi!
- Ayat 84- {Dan (ingatlah), Allah jualah Tuhan yang berhak disembah di langit, dan Dia lah Tuhan yang berhak disembah di bumi; dan Dia lah jua Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.}- Allah s.w.t itulah Tuhan bagi seluruh langit dan bumi yang berhak disembah oleh seluruh penduduk langit dan bumi!
Bukan kata Allah s.w.t itu hanya tuhan bagi kawasan tertentu atau Allah s.w.t itu berada di banyak tempat atau tuhan lain yang berada di sana di sini.
ii- Maksudnya Allah itu bagi penduduk langit atau bumi atau di mana-mana pun tempat, Dia-lah Tuhan yang berkuasa di langit dan di bumi.
Sebagai contoh mudah, seperti Agong atau PM bagi Malaysia, maka dia PM juga bagi negeri Selangor, Kelantan, Kedah dan seluruhnya.
Allah Azza wa Jalla itu sifat-Nya:
i- Dia lah jua Yang Maha Bijaksana (الْحَكِيمُ)- meletakkan segalanya pada tempatnya yang sepatutnya.
ii- Yang Maha Mengetahui (الْعَلِيمُ)- yakni tiada benda yang tersembunyi daripada Allah s.w.t! Dia Yang mengetahui segala perkara.