View Categories

SURAH AZ-ZUKHRUF : AYAT 9-14

\"\"

KEPERCAYAAN KAFIR YANG KONTRA, NIKMAT BUMI DAN HUJAN & NIKMAT KENDERAAN DAN DOANYA.

Full video : https://youtu.be/iZE3VMwSeCo

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan tentang kepercayaan puak kafir yang tidak tetap, sekali kata ada Allah tetapi tetap mensyirikkan-Nya.
  2. Kemudian Allah sebut anugerah yang diberikan, nikmat dijadikan bumi & diturunkan hujan serta nikmat kenderaan yang Allah anugerahkan kepada kita.
    Maka kita jangan megah dan sombong, bila naik kenderaan kena syukur kepada Allah, berdoa dan puji Allah, kembalikan nikmat itu kepada Allah Azza wa Jalla.
  3. Munasabah ayat: Setelah diceritakan tentang puak kafir yang tenggelam dalam kekufuran dan kesyirikan, mereka lari berpaling tidak mahu belajar dan dengar ayat-ayat Allah s.a.w, lalu Allah s.w.t ceritakan pula tentang perbuatan mereka yang kontra dengan perkataan mereka. Iaitu mereka mengaku Allah yang berkuasa, yang mencipta langit dan bumi tetapi mereka tetap sembah berhala. Inilah kebingungan dan ketidakstabilan akidah mereka!

AYAT 9- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! JIKA ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) BERTANYA KEPADA MEREKA (YANG MUSYRIK) ITU: \”SIAPAKAH YANG MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI?\” SUDAH TENTU MEREKA AKAN MENJAWAB: \”YANG MENCIPTAKANNYA IALAH ALLAH YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA MENGETAHUI\”.} (AZ-ZUKHRUF 43:9)

  1. Allah berkata kepada Rasulullah s.a.w bahawa jika dia bertanya kepada puak kafir musyrikin itu: \”Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?\”
    Sudah tentu mereka akan menjawab: \”Yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui\”.
  2. Dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan lapan sifat-Nya dalam ayat-ayat ini:
    i- Allah Yang menciptakan langit dan bumi. (خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ)
    Puak kafir juga mengakui hakikat ini. Mereka tidak mengatakan berhala sembahan mereka yang menciptanya.

ii- Allah Yang Maha Kuasa (الْعَزِيزُ) yang tiada suatu perkara pun yang dapat melawan, menyekat dan mengatasi kuasa-Nya.

iii- lagi Maha Mengetahui (الْعَلِيمُ), tiada satu perkara pun yang tersembunyi dari ilmu pengetahuan Allah tentang makhluk-Nya, hatta ulat yang di dalam batu pun ada rezekinya.

AYAT 10- {(DIA LAH TUHAN) YANG TELAH MENJADIKAN BUMI BAGI KAMU SEBAGAI HAMPARAN, DAN IA TELAH MENGADAKAN BAGI KAMU DI BUMI JALAN-JALAN LALU-LALANG, SUPAYA KAMU MENDAPAT PETUNJUK (KE ARAH YANG DITUJU).} (AZ-ZUKHRUF 43:10)

  1. Dalam ayat ini adalah sifat Allah yang keempat:
    Allah yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan (جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ مَهْدًا). Ibaratnya seperti hamparan kerana rata dan landai, yakni sesuai dan selamat untuk didiami manusia dan makhluk lain di atasnya. Bila kita berjalan dan bina bangunan tidak terbalik, tapaknya kukuh dan stabil.
  2. Firman Allah s.w.t juga tentang ini:
    i- {Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan.} (Al-Baqarah 2:22)

ii- {Dan bumi pula Kami hamparkan (untuk kemudahan kamu mendiaminya); maka Kamilah sebaik-baik yang menghamparkannya.} (Az-Zaariyaat 51:48)

  1. Sifat-Nya yang kelima:- Allah juga telah mengadakan bagi kamu di bumi jalan-jalan lalu-lalang, supaya kamu mendapat petunjuk ke arah yang dituju. (فِيهَا سُبُلًا لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ).
  2. Yakni Allah buat bumi ini kita tahu ke arah mana kita nak pergi, ke barat atau timur dan seumpamanya.
    Orang zaman dulu melalui celah-celah bukit, tetapi zaman moden ini senang, bukit-bukit dikorek menjadi terowong, antara bukit di buat jambatan dan lain-lain teknologi sebagai tanda Kiamat.
    Dalam bahasa Arab terowong dipanggil (nafaq- نفق) dari perkataan asal untuk munafik kerana ia bermuka dua.
  3. Firman Allah s.w.t: {Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani.} (Al-Anbiyaa\’ 21:31)
  4. Ini supaya kamu dapat petunjuk ke arah mana kamu mahu pergi. Hanya orang yang pening saja tidak tahu ke mana arah tujuannya.

AYAT 11- {DAN (DIA LAH) YANG MENURUNKAN HUJAN MENURUT SUKATAN YANG TERTENTU, LALU KAMI HIDUPKAN DENGAN HUJAN ITU NEGERI YANG KERING TANDUS TANAHNYA. SEDEMIKIAN ITULAH PULA KAMU AKAN DIKELUARKAN (HIDUP SEMULA DARI KUBUR).} (AZ-ZUKHRUF 43:11)

  1. Tanda atau sifat keenam yang Allah sebut: Dia-lah Allah yang menurunkan hujan dari menurut sukatan yang tertentu (مَاءً بِقَدَرٍ).
  2. Yakni air hujan dengan sukatan yang mencukupi, sukatan yang biasa dengan kadar yang diperlukan oleh manusia, tumbuhan dan haiwan. Tetapi apabila terlebih itulah yang akan membawa kepada banjir dan lain-lain.
  3. Firman Allah s.w.t: {Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami sahaja perbendaharaannya dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan menurut kadar dan masa yang tertentu.} (Al-Hijr 15:21)
  4. Allah katakan bahawa Dia hidupkan dengan hujan itu negeri yang kering tandus tanahnya, dengan hidupkan tumbuh-tumbuhan supaya kamu berfikir. Berfikir bahawa demikian jugalah kamu akan dikeluarkan, hidup semula dari kubur nanti menuju ke Mahsyar.
  5. Daripada Abu Hurairah R.A, ia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Jarak waktu antara dua tiupan sangkakala itu adalah empat puluh.
    Mereka bertanya: Wahai Abu Hurairah, apakah empat puluh hari? Ia menjawab: Aku tidak dapat menyebutkan.
    Mereka bertanya lagi: Empat puluh bulan? Ia menjawab: Aku tidak dapat menyebutkan. Mereka bertanya lagi: Empat puluh tahun? Ia menjawab: Aku tidak dapat menyebutkan.
    Kemudian Rasulullah bersabda lagi: Lalu Allah menurunkan hujan, sehingga mayat-mayat tumbuh (bangkit) seperti tumbuhnya tanaman sayuran. Tidak ada satu bagian tubuh manusia kecuali semua telah hancur selain satu tulang, iaitu tulang ekor sulbi (عجب الذنب) dan dari tulang itulah jasad manusia akan disusun kembali pada hari Kiamat. [HR Muslim].

AYAT 12- {DAN (DIA LAH) YANG MENCIPTAKAN SEKALIAN MAKHLUK YANG BERBAGAI JENISNYA; DAN IA MENGADAKAN BAGI KAMU KAPAL-KAPAL DAN BINATANG TERNAK YANG KAMU DAPAT MENGENDERAINYA,} (AZ-ZUKHRUF 43:12)

  1. Sifat Allah yang ketujuh: Dia-lah yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya. Setiap makhluk itu ada pasangannya.
  2. Munasabah ayat: Setelah Allah sebut tentang penciptaan bumi, tumbuhan dan manusia, maka diceritakan pula tentang kelangsungan hidup atas muka bumi ini dengan menjadikan setiap perkara dan makhluk itu berpasangan. Lelaki lawannya perempuan, langit & bumi, siang & malam, syurga & neraka dan seumpamanya.
  3. Firman Allah s.w.t: {Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.} (Yaa Siin 36:36)
  4. Sifat Allah yang kelapan: Ia mengadakan bagi kamu kapal-kapal untuk kamu belayar di lautan. Kenderaan di daratan pula adalah binatang ternak yang kamu dapat mengenderainya.
    Zaman sekarang kenderaan modern seperti kereta, bas, lori, motor dan lain-lain. Juga kenderaan udara seperti kapal-terbang dan seumpamanya. Zaman Rasulullah s.a.w dulu sudah ada seperti Baginda naik Buraq pada malam Isra\’ Mi\’raj. Petunjuk kepada akan ada penggunaan kenderaan udara pada masa hadapan nanti.

AYAT 13- {SUPAYA KAMU DUDUK TETAP DI ATASNYA; KEMUDIAN KAMU MENGINGATI NIKMAT TUHAN KAMU APABILA KAMU DUDUK TETAP DI ATASNYA, SERTA KAMU (BERSYUKUR DENGAN) MENGUCAPKAN: \”MAHA SUCI TUHAN YANG TELAH MEMUDAHKAN KENDERAAN INI UNTUK KAMI, SEDANG KAMI SEBELUM ITU TIDAK TERDAYA MENGUASAINYA -} (AZ-ZUKHRUF 43:13)

  1. Allah beri tunggangan haiwan (kenderaan) itu agar manusia dapat duduk tetap atas belakangnya. Tetapi jangan lupa untuk bersyukur dan mengingati nikmat Allah yang amat besar ini.
  2. Allah ajar kita untuk membaca doa apabila naik kenderaan ini:
    سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ. وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ
    Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali.
  3. Kerana jika tidak dengan pertolongan dan anugerah Allah yang mempermudahkan semua ini, pasti kita tidak akan dapat menguasai haiwan atau kenderaan yang besar, liar lagi ganas itu! Semuanya dengar dan ikut arahan manusia yang mengembalainya!

AYAT 14- {\”DAN SESUNGGUHNYA KEPADA TUHAN KAMILAH, KAMI AKAN KEMBALI!\”} (AZ-ZUKHRUF 43:14)

  1. Juga agar kita sentiasa ingat bahawa kita semua akan mati dan kembali kepada Allah s.w.t!
  2. Daripada Ibn Umar R.A berkata:
    أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا اسْتَوَى عَلَى بَعِيرِهِ خَارِجًا إِلَى سَفَرٍ، كَبَّرَ ثَلَاثًا، ثُمَّ قَالَ: سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا، وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ، وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ، اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا، وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ، وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ، وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ
    Maksudnya: \”Adapun Rasulullah S.A.W apabila Baginda duduk di atas tunggangannya dengan tujuan untuk keluar bermusafir, Baginda akan bertakbir sebanyak tiga kali (Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar!) Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali. Ya Allah! Kami mohon kepada-Mu agar permusafiran kami ini di atas kebaikan dan ketaqwaan, dan ia dikira sebagai amalan yang Engkau redhai. Ya Allah! kami mohon agar permusafiran ini menjadi mudah ke atas kami, Engkau lipatkanlah jaraknya (supaya menjadi pendek). Ya Allah! Engkaulah Peneman ketika permusafiran dan Penjaga bagi ahli keluarga (yang ditinggalkan). Ya Allah! aku mohon berlindung daripada-Mu agar Engkau peliharalah kami daripada kesusahan ketika musafir, pemandangan yang mendukacitakan dan kepulangan yang buruk pada harta dan keluarga kami.\” [Riwayat Muslim (1342)]
    Bacaan 206 dalam buku Perisai Muslim.
  3. Doa ketika pulang dari musafir:
    لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير، آيِبُونِ تَائِبُونِ عَابِدُونِ لِرَبِّنَا حَامِدُونِ، صَدَقَ اللهُ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ
    Maksudnya: Tiada tuhan yang layak disembah selain Allah, yang Maha Esa, tiada sekutu baginya, yang menguasai kerajaan serta pujian, Dialah yang maha berkuasa atas segala sesuatu, kami kembali dengan bertaubat,beribadah, dan memuji tuhan kami. Allah yang telah menepati janjinya,membela hamba-hambanya, dan yang menumpaskan musuh bersendirian. [HR Bukhari & Muslim].
  4. Ali bin Rabi\’ah R.A menceritakan: \”Saya melihat Ali bin Abi Talib R.A dibawakan orang kendaraan untuk ditungganginya. Setelah mengangkat kakinya untuk menaikinya, beliau mengucapkan: \’Bismillah\’. Setelah duduk tetap di atasnya beliau mengucapkan: \’Segala puji bagi Allah, Maha Suci Allah yang telah menjinakkan kendaraan ini\’. Padahal, sebelumnya kami takkan mampu menjinakkannya, dan sesungguhnya kami kelak akan kembali kepada Tuhan kami.\” [HR Abu Daud, Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan lain-lain.]
  5. Ingatlah kita semua guna nikmat Allah ini untuk kita kembali kepada Allah s.w.t di dunia ini dengan ingat dan bersyukur kepada-Nya, serta kembali kepada Allah di Akhirat untuk dikira, dihitung, dihisab, dipersoalkan akan semua perkara yang kita lakukan semasa hidup atas dunia ini.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 9- {Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: \”Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?\” Sudah tentu mereka akan menjawab: \”Yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui\”.}- ayat ini menjadi dalil bahawa setakat manusia itu tahu ada Allah sahaja tetapi tidak ikrar dengan ketauhidan terhadap Allah s.w.t, maka tidak jadi muslim, tidak akan cukup. Jika nak beriman wajib beriman dengan kesemua enam Rukun Iman. Jika tidak cukup satu, tetap dikira kafir.

Puak kafir Quraisy itu sedar bahawa Allah yang cipta semuanya, bukan berhala sembahan mereka, tetapi mereka tetap keras kepala, tidak mahu menyembah Allah s.w.t dan tetap melakukan syirik.

  1. Ayat 10- {(Dia lah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Ia telah mengadakan bagi kamu di bumi jalan-jalan lalu-lalang, supaya kamu mendapat petunjuk (ke arah yang dituju).}- ayat ini adalah nikmat yang Allah ungkit supaya kita sedar, bahawa Allah cipta bumi ini untuk kemudahan kita. Juga isyarat untuk menuju ke jalan yang diredhai Allah s.w.t, bukan hanya hidup untuk makan minum semata-mata atas dunia.
  2. Ayat 12- {dan Ia mengadakan bagi kamu kapal-kapal dan binatang ternak yang kamu dapat mengenderainya,}- Allah mengajar kepada kita bahawa yang memberi kemudahan kepada kita adalah Allah.
    Maka kita kena syukur dan gunakan segala kemudahan ini untuk menggapai keredhaan Allah, guna untuk kebaikan, bukan untuk membuat maksiat dan kemungkaran! Serta sentiasa baca doa yang diajar Allah s.w.t.
  3. Ayat 11- {Dan (Dia lah) yang menurunkan hujan dari menurut sukatan yang tertentu}- Allah bagi sukatan yang baik untuk menghidupkan bumi.
    Ulama\’ kata ini juga menjadi dalil bahawa setiap benda yang berlaku ada sebab, naik pokok dengan sebab turun hujan dan lain-lain. Ia sebagai sebab tetapi tidak semestinya menjadi.

{lalu Kami hidupkan dengan hujan itu negeri yang kering tandus tanahnya. Sedemikian itulah pula kamu akan dikeluarkan (hidup semula dari kubur).} Ayat ini juga sebagai satu isbat kepada QIYAS yang menjadi salah satu hujjah yang dipakai dalam sumber penggalian hukum dalam Islam selepas; al-Quran, Hadis Rasulullah s.a.w & Ijma\’ ulama\’.

  1. Ayat 13- {serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan: \”Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya.}- ayat ini mengajar kita agar sentiasa bersyukur, mengingati Allah s.w.t dengan bertasbih dan mensucikan Allah s.w.t daripada segala kekurangan pada setiap masa dan keadaan.
    Apabila kita dapat nikmat, atau mahu naik kenderaan bacalah doa khasnya, agar kita ingat akan anugerah Allah ini.

Mudah-mudahan kita selamat, dapat rahmat dan sentiasa dalam redha Allah s.w.t.

Powered by BetterDocs