View Categories

SURAH AZ-ZUMAR : AYAT 21-23

\"\"

GAMBARAN KEADAAN DUNIA, GOLONGAN YANG LAPANG DADA DENGAN ISLAM & KESAN AL-QURAN KEPADA JIWA MANUSIA.

Full video : https://youtu.be/iUkIY1jNJB0

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t bawa gambaran tentang keadaan cepatnya masa dunia atau bumi yang kita hidup di atasnya ini.
  2. Allah ceritakan tentang kumpulan yang lapang dada, lembut hati untuk menerima Islam, menerima al-Quran dengan tenang serta golongan yang sebaliknya, yang keras hati na\’uzubillah.
  3. Juga tentang kesan al-Quran ke atas jiwa dan fizikal manusia.
  4. Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas Allah gambarkan tentang Akhirat.
    Iaitu tentang syurga yang bertingkat-tingkat, indah seolah bintang yang bersinar, biliknya seperti kristal dan lain-lain keindahan.
  5. Lalu Allah nyatakan orang yang nak kepada syurga yang dijanjikan ini adalah orang yang berfikir dan berakal sempurna (لِأُولِي الْأَلْبَابِ).
  6. Lalu dalam ayat ini Allah s.w.t ceritakan tentang dunia pula.
    Dunia ini indah dan memukau, menjadikan manusia asyik mengejarnya, sibuk sehingga lupa akan Akhirat. Sehingga terlambat dan tiada penyesalan lagi.
  7. Kata bijak-pandai; Orang yang mengejar dunia seperti orang yang mengejar bayang-bayang, dia tidak akan dapat menangkapnya selamannya!

AYAT 21- {TIDAKKAH ENGKAU MEMERHATIKAN, BAHAWA ALLAH MENURUNKAN HUJAN DARI LANGIT, LALU DIALIRKANNYA MENJADI MATAIR-MATAIR DI BUMI; KEMUDIAN IA MENUMBUHKAN DENGAN AIR ITU TANAMAN-TANAMAN YANG BERBAGAI JENIS DAN WARNANYA; KEMUDIAN TANAMAN-TANAMAN ITU BERGERAK SEGAR (HINGGA KE SUATU MASA YANG TERTENTU), SELEPAS ITU ENGKAU MELIHATNYA BERUPA KUNING; KEMUDIAN IA MENJADIKANNYA HANCUR BERSEPAI? SESUNGGUHNYA SEGALA YANG TERSEBUT ITU MENGANDUNGI PERINGATAN YANG MENYEDARKAN ORANG-ORANG YANG BERAKAL SEMPURNA.} (AZ-ZUMAR 39:21)

  1. Allah bertannya wahai manusia tidak kamu melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkan air hujan itu menjadi matair-matair di bumi. Kemudian Ia menumbuhkan dengan air itu tanaman-tanaman yang berbagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman-tanaman itu bergerak tumbuh membesar, hidup segar hingga ke suatu masa yang tertentu.
  2. Setelah beberapa lama hidup segera ia akan menjdi layu ke kuningan lalu musnah.
  3. Begitulah kita manusia semasa hidup sihat wal-afiat, sibuk dengan urusan lain sehingga tidak sempat untuk amalan akhirat, nak solat Jemaah sibuk, nak baca al-Quran tiada masa, kejar sana kejar sini, tiba-tiba inna lillahi wa inna ilahi raji\’un! Begitulah kita dunia dunia.
  4. Begitulah kita tengok dunia ini seperti kita lihat pokok yang cantik segar dan hijau, dengan cepat hilang dan menjadi layu mati.
    Firman Allah s.w.t:
    {Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam;} (Faatir 35:27)
  5. Tumbuh hidup tanaman ini dan layu serta mati pokok itu adalah mengandungi peringatan yang menyedarkan orang-orang yang berakal sempurna. Bahawa begitulah hidup kita ini, akan musnah dan mati apabila tiba tempoh ajalnya.
  6. Begitulah perjalanan hidup di dunia ini hanya sekejap saja!
    Janganlah kita panjang angan-angan merasa lambat lagi ajal kematian kita. Keadaan dunia itu beginilah.
    Jangan dunia menjadi bebanan kepada kita pula.

AYAT 22- {JIKA DEMIKIAN, ADAKAH ORANG YANG TELAH DILAPANGKAN ALLAH DADANYA UNTUK MENERIMA ISLAM, LALU IA TETAP BERADA DALAM CAHAYA (HIDAYAH PETUNJUK) DARI TUHANNYA, (SAMA SEPERTI ORANG YANG TERTUTUP MATA HATINYA DENGAN SELAPUT KEDERHAKAAN)? MAKA KECELAKAAN BESARLAH BAGI ORANG-ORANG YANG KERAS MEMBATU HATINYA DARIPADA MENERIMA PERINGATAN YANG DIBERI OLEH ALLAH. MEREKA YANG DEMIKIAN KEADAANNYA, ADALAH DALAM KESESATAN YANG NYATA.} (AZ-ZUMAR 39:22)

  1. Allah s.w.t bertanya lagi adakah sama antara:
    i- orang yang telah dilapangkan dadanya oleh Allah s.w.t untuk menerima Islam dan beramal dengan agamanya, yang mendapat cahaya petunjuk dari Tuhannya. Hatinya gembira dan untuk mendengar peringatan, buka mata dan telinga apabila mendengar tentang Sunnah Nabi s.a.w dan cuba beramal dengannya.

ii- orang yang tertutup mata hatinya dari menerima kebenaran, hatinya penuh pendustaan, penderhakaan, sempit dadanya apabila mendengar tentang Islam, tentang Rasulullah s.a.w dan lain-lain.

  1. Jawapannya pastilah tidak sama, sama sekali! Sebagaimana dalam ayat lain juga.
  2. Firman Allah s.w.t: {Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.} (Al-An\’aam 6:125)
  3. Gambaran yang Allah berikan tentang orang kafir yang atau orang munafik yang terasa sempit dadanya seolah orang lemas yang tidak cukup oksigen apabila mendengar tentang Islam.
    Begitu juga kita orang Islam berhati-hati, jangan sampai kita terasa lemas apabila membincangkan tentang Islam atau sunnah Nabi s.a.w, maka itu adalah tanda-tanda ada sifat kemunafikan dalam jiwannya!
  4. Tetapi kita jangan guna salah ayat-ayat begini dengan melakukan sesuatu yang tidak kena pada tempatnya.
    Seperti memasang bacaan ayat-ayat al-Quran dengan speaker yang kuat di luar masjid sehingga boleh menimbulkan gangguan bagi orang sekeliling.
    Baca al-Quran itu baik, tetapi jika tidak kena pada tempatnya tidak boleh.
  5. Maka celaka besarlah bagi orang keras hati, tidak mahu dengar peringatan dan tazkirah, yang hatinya keras membatu, tidak mahu menerima nasihat dan peringatan dari Allah. Menganggap tazkirah dan dakwah sebagai satu bebelan yang mengganggu, boleh membawa sesat dan seumpamanya.
  6. Mereka yang menolak dakwah Allah s.w.t dan Nabi s.a.w ini adalah orang yang berada di dalam kesesatan yang nyata! Na\’uzubillah.
  7. Allah s.w.t gambarkan mereka ini dalam firman-Nya ini: {Dan (di antara keburukan orang-orang yang melakukan syirik): apabila disebut nama Allah semata-mata (di dalam doa dan sebagainya), segan serta liarlah hati mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat; dan apabila disebut nama-nama yang mereka sembah dan puja yang lain dari Allah, mereka dengan serta merta riang dan gembira.} (Az-Zumar 39:45)

AYAT 23- {ALLAH TELAH MENURUNKAN SEBAIK-BAIK PERKATAAN IAITU KITAB SUCI AL-QURAN YANG BERSAMAAN ISI KANDUNGANNYA ANTARA SATU DENGAN YANG LAIN (TENTANG BENARNYA DAN INDAHNYA), YANG BERULANG-ULANG (KETERANGANNYA, DENGAN BERBAGAI CARA); YANG (OLEH KERANA MENDENGARNYA ATAU MEMBACANYA) KULIT BADAN ORANG-ORANG YANG TAKUT KEPADA TUHAN MEREKA MENJADI SERAM; KEMUDIAN KULIT BADAN MEREKA MENJADI LEMBUT SERTA TENANG TENTERAM HATI MEREKA MENERIMA AJARAN DAN RAHMAT ALLAH. KITAB SUCI ITULAH HIDAYAH PETUNJUK ALLAH; ALLAH MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK DENGAN AL-QURAN ITU KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA (MENURUT UNDANG-UNDANG PERATURANNYA); DAN (INGATLAH) SESIAPA YANG DISESATKAN ALLAH (DISEBABKAN PILIHANNYA YANG SALAH), MAKA TIDAK ADA SESIAPA PUN YANG DAPAT MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADANYA.} (AZ-ZUMAR 39:23)

  1. Allah s.w.t telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitulah Kitab Allah, kitab al-Quran.
  2. Sifatnya Kitab ini ialah:
    i- yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (مُتَشَابِهًا) tentang benarnya, indahnya, sedap dengarnya, berfaktanya dan maklumatnya tiada yang bercanggah. Sejak dari mula turun sehingga ke akhirnya.

ii- yang berulang-ulang keterangannya, dengan berbagai cara (مَثَانِيَ). Yakni ceritanya berulang tetapi episodnya dengan berbagai cara seperti kisah nabi Musa, nabi Nuh dan lain-lain.

iii- Ada juga ulama\’ yang berkata maksud (مَثَانِيَ) ini ialah berkembar antara baik dan buruk, positif dan negatif seperti syurga & neraka, pahala & dosa dan seumpamanya.

  1. Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t memuji orang dengar dan ikut. Inilah golongan ulul-albab (yang berakal sempurna).
  2. Orang yang hatinya takut kepada Allah s.w.t apabila mendengar bacaan al-Quran akan gementar hatinya, lembut kulitnya, serta tenang tenteram hatinya apabila menerima ajaran dan petunjuk dari Allah s.w.t.
  3. Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.} (Al-Anfaal 8:2)
  4. Sebab nuzul ayat ini: Dari Saad bin Abi Waqas, bahawa Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah s.a.w, maka Baginda membacakannya kepada para sahabat. Lalu mereka meminta Rasulullah s.a.w menceritakan kepada mereka kisah-kisah orang yang terdahulu.
    Lalu turunlah ayat dari surah Yusuf. Satu kisah yang penuh dengan pengajaran dan iktibar. Ujian hidup yang penuh kesedihan.
    Kemudian suatu ketika lain Rasulullah s.a.w membaca al-Quran juga, para sahabat meminta lagi kepada Rasulullah s.a.w untuk memperdengarkan kisah pengajaran pula, maka Allah s.w.t turunkan ayat ini:
    {Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara);} [HR Ibnu Hibban- sahih].

Semua yang sahabat minta nak dengar kisah, nak dengar cerita semuanya ada dalam al-Quran; jika kamu nak bacalah al-Quran.

  1. Sifat al-Quran itu juga selain berulang kisahnya dan tidak becanggah faktanya:
    i- hukum-hakamnya sangat adil.
    ii- balaghah (gaya bahasa) yang sangat tinggi dan indah.
    iii- maknanya besar dan tinggi bukan hanya percakapan ringan dan kosong.
  2. Kerana itu Allah s.w.t cabar orang kafir dalam firman-Nya ini:
    {Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.} (An-Nisaa\’ 4:82)
  3. Hadis riwayat Jabir bin Abdullah r.a, adalah apabila Rasulullah s.a.w mahu berkhutbah, Baginda akan memulakannya dengan memuji Allah s.w.t kemudian amma ba\’du:
    Nabi S.A.W bersabda:
    فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللهِ، وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ، وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا، وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ
    Maksudnya: \”Sesungguhnya sebaik-baik perkataan adalah kitab Allah, sebaik-sebaik petunjuk adalah petunjuk Nabi Muhammad S.A.W, seburuk-buruk perkara adalah perkara baru yang direka (tiada asal di dalam agama) dan setiap bid\’ah (perkara baru) itu adalah sesat\”. [HR Muslim, Ibnu Majah dan lain-lain.]
  4. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya menurut undang-undang peraturan-Nya; dan ingatlah sesiapa yang disesatkan Allah disebabkan pilihannya yang salah, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.
  5. Kuasa Mutlaq adalah kepunyaan Allah s.w.t, maka kita hendaklan sentiasa berdoa memohon kepada Allah s.w.t agar diberi hidayah petunjuk selalu!
  6. Takut kepada Allah s.w.t yang sebenarnya ialah makin kuat ibadat dan amal kebajikannya bukan makin lemah dan malas untuk membuat persediaan bekalan untuk akhirat.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 21- {Tidakkah engkau memerhatikan, bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkanNya menjadi matair-matair di bumi;………….Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan orang-orang yang berakal sempurna.}- kata ulama\’ adalah:
    i- wajib bagi manusia untuk berfikir menggunakan akalnya untuk memikirkan tentang makhluk Allah, bermula dari makhluk kejadian Allah s.w.t yang sekecil-kecilnya seperti semut sehingga yang besar, kemudian kepada kejadian langit dan bumi, kepada perjalanan putaran hidup atas dunia ini untuk melihat kekuasaan kejadian Allah s.w.t.

ii- air yang diturunkan dari langit dan keluar dari bumi itu bersih dan suci semuanya. Hujan turun dari langit kemudian ia disimpan di dalam tanah (bumi) dialir menjadi mata air untuk kita, apabila kita korek seperti telaga dan lain-lain.
Ini semua adalah hikmah kekuasaan Allah s.w.t, air sudah ada Allah turunkan dari langit, tetapi kita berusaha bekerja untuk mengeluarkannya pula dari tangki simpanannya iaitu bumi.

Ini juga menyatakan bahawa kita kena berusaha, kena kerja untuk mencari rezeki, bukan hanya tidur dan berpeluk tubuh menunggu rezeki datang bergolek!

  1. Ayat 22- {Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya,} – ini menunjukkan hidayah petunjuk itu milik dan dari Allah semata-mata!
    Kerana itu apabila kita dapat hidayah dan ilmu jangan bangga, bukan kerana berkat tok syeikh ini atau itu.
    Ini adalah anugerah Allah s.w.t, jika Allah s.w.t tidak beri ilmu dan petunjuk kepada kita, kita akan jahil dan sesat tanpa cahaya.

Mana-mana orang yang diberi hidayah, dibuka dadanya oleh Allah maka dia akan mendapat cahaya petunjuk dari Allah Azza wa Jalla.
Maka siapa yang nak banyak dan luas cahayanya maka dia kena banyak belajar ilmu yang berfaedah.

Punca paling utama untuk cerah dan lapangkan dada ialah dengan belajar ilmu tauhid yang murni kepada Allah s.w.t!

  1. Ayat 23- {Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); – Allah yang menurunkan kitab al-Quran yang sifatnya:
    i- dalil bahawa ayat al-Quran itu sama faktanya, tiada maklumat yang bercanggah! Ia adalah bersamaan (مُتَشَابِهًا) konsisten fakta maklumatnya!

ii- serta berulang keterangannya (مَثَانِيَ) – menunjukkan muliannya al-Quran dan indahnya serta sempurnanya hikmah Allah s.w.t, Dia yang mencipta makhluk-Nya maka dia tahu apa yang kita perlukan.
Apa yang makhluk mahukan ialah tazkiyatun-nafsi- penyucian jiwa, lembut dan bersih hatinya, akhlak yang mulia. Maka Allah gambarkan hati manusia seperti bumi atau tumbuhan yang perlukan hujan turun untuk menyubur dan menyegarkannya.

Kerana itulah dalam Islam ada solat Jumaat yang menghimpunkan kaum muslimin seminggu sekali sekurang-kurangnya untuk mendengar tazkirah dan peringatan, dengan mendengar khutbah, tengok perhimpunan orang Islam untuk nyalakan kembali cahaya hati yang malap dan menguatkan iman!

Begitu juga hati manusia, pengajian untuk menggilapkan hati dan iman itu adalah seperti air yang menyirami pokok.
Jika kita rasa iman dan hati kita lemah, cuba rechargenya balik dengan membaca & tadabbur al-Quran, mendengar tazkirah dan nasihat yang bermanfaat yang dapat menenangkan hati dan menaikkan kembali semangat keimanan.

Kata ulama\’; jangan sekali-kali kamu tinggalkan tadabbur al-Quran kerana ia adalah punca untuk menghidupkan hati!

  1. Ayat 23- {Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran}- Allah s.w.t katakan al-Quran itu adalah Kitab yang paling baik (أَحْسَنَ الْحَدِيثِ), yang diturunkan-Nya kerana:

a- paling baik (أَحْسَنَ الْحَدِيثِ) dari sudut lafaz;
i- bahasanya fasih dan lancar.
ii- dari sudut susunan ayatnya juga sempurna,

b- paling baik (أَحْسَنَ الْحَدِيثِ) dari sudut maknanya
i- sempurna & lengkap kerana tiada fakta yang bercanggah.
ii- mengandungi kisah dan peristiwa yang tidak terfikir oleh manusia seperti kejadian Adam dahulu dan kejadian Kiamat yang akan datang.
iii- ilmu dalam al-Quran terlalu banyak, menyeluruh dari segi ibadat, makan-minum, muamalat, pemerintahan, pentadbiran, kekeluargaan dan lain-lain.

c- Manakala maksud (كِتَابًا) pula ialah yang tertulis.
Al-Quran ini tertulis pada 3 tempat:
i- pertama di Lauh Mahfuz.
ii- kemudian Allah turunkan ke langit dunia, diberi di tangan malaikat.
iii- al-Quran yang ada di tangan kita sekarang ini, di dalam mashaf.

  1. Ayat 23- { yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.}- ayat ini menunjukkan kesan al-Quran kepada jiwa dan fizikal manusia. Orang yang mendengar bacaan al-Quran akan gementar hatinya, kulitnya akan meremang dan sejuk, lalu tenang dan lembut hatinya untuk beriman dan menerima ajaran serta rahmat Allah s.w.t. Lalu memperbanyakkan ibadat dan amal kebaikannya.

Jubair bin Mut`im ada meriwayatkan sewaktu ia belum islam, dia ada mendengar Nabi s.a.w membaca sesuatu ayat dalam surah At-Thur ketika solat maghrib dan ia menambah lagi, di situlah cahaya iman pertama dan hidayah pertama meresap masuk dalam jiwanya. Kemudian, Jubair memeluk islam selepas peperangan Badar.
Ayat-ayat itu ialah: {(Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri?

Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (Sudah tentu tidak!) Bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya).

Adakah pada tangan mereka perbendaharaan Tuhanmu (sehingga mereka boleh memberi atau menahan sesuatu nikmat atau pangkat), atau merekalah yang berkuasa mentadbirkan segala-galanya?} (At-Tuur 52: 35-37) [HR Bukhari].

Kisah saudara Zulkarnain seorang pendakwah Malaysia di Osaka, Jepun. Dia selalu memperdengarkan bacaan al-Quran kepada orang Jepun yang belum Islam yang datang melawat ke pusat ziarahnya. Terdapat beberapa orang yang gementar kulitnya, terbuka hatinya apabila mendengarnya lalu mendapat hidayah menjadi Islam, dengan sebab ini alhamdulillah.

Begitulah apabila mendengar al-Quran ini, gementar hati mereka, meremang kulitnya, kemudian hatinya tenang, kulitnya lembut berzikir dan beribadat kepada Allah s.w.t dengan senyap dan sunyi sebagaiman Sunnah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.

Demikianlah hidayah, petunjuk yang Allah s.w.t berikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Doa yang sering dibaca oleh Rasulullah s.a.w ketika baca doa istiftah solat qiyamullail.

«اللهمَّ ربَّ جِبرائيل، ومِيكائيل، وإسرافيل، فاطرَ السماوات والأرض، عالمَ الغيب والشهادة، أنت تحكم بين عبادك فيما كانوا فيه يختلفون، اهدني لما اختُلِف فيه من الحق بإذنك، إنَّك تهدي مَن تشاء إلى صراطٍ مستقيمٍ».

\”Ya Allah! Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Pencipta langit dan bumi, Zat Yang mengetahui perkara ghaib dan jelas. Engkaulah yang menetapkan keputusan apa yang diperselisihkan di antara hamba-hamba-Mu. Tunjukkanlah aku kepada kebenaran yang diperselisihkan (manusia) dengan izin-Mu. Sesungguhnya Engkau menunjukkan siapa yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus.\”
[HR Muslim].

Banyaklah membaca doa ini semoga Allah hidayahkan kita ke jalan yang diredhainya.

Powered by BetterDocs